Sabtu, Julai 31, 2010

YANG TIDAK SELESAI MASA KECIK?

Ini cerita, kata orang Terengganu “dok selesaa mase kecik” (tidak selesai masa kecil) atau “dok selesaa mase mude” (tidak selesai masa muda). Jadi sekarang saja masanya untuk menyelesaikan segala macam yang terbuku dan ‘ter e-book’ dalam hati selama ini. Kepada ibu bapa zaman moden ini, kalau tidak mahu anak-anak anda mengalami situasi ‘tidak selesai ini’, tolonglah beri perhatian kepada anak-anak dan sedaya mungkin selesaikan apa sahaja kehendak anak-anak, selagi tidak salah, tidak berdosa dan tidak melanggar hukum hakam dunia dan akhirat. Wallahuaklam.

KERAJAAN AHMAD SAID ; NOSTALGIA PERIBADI JADI AGENDA NEGERI
Oleh : Dr Azman Ibrahim
(sumber : www.buletinonline.net)

Akhbar melaporkan Kerajaan Negeri Terengganu menyediakan peruntukan RM2 juta kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi tujuan penyelidikan ubi gadong yang dipercayai mampu membesarkan buah dada. Laporan juga menyebut ubi gadong boleh diproses menjadi hormone seks dan pil pencegah kehamilan. Menteri Besar Dato' Ahmad Said dipetik sebagai berkata, “Dari segi pasaran, tiada masalah kerana hasil kajian pasti akan dijual, kita serah kepada UniSZA untuk kaji berapa lama, kalau ada penemuan baru kita akan tambah peruntukan.” Ahmad said juga dikatakan pencetus kepada kajian ubi gadong yang dikatakan ditanam di 150 negara di dunia.

Saya seorang anak kampong yang membesar dalam persekitaran kampong. Masuk hutan keluar hutan, masuk baruh keluar baruh baik ketika membantu keluarga mengusahakan tanah padi seekar dua atau mencari daun palas dan daun pinang di hutan kerana ibu juga membuat kuih secara kecil-kecilan untuk diletakkan di kedai-kedai kopi bagi mendapatkan duit belanja harian. Kebiasaan ini sudah menjadi rutin semenjak zaman kanak-kanak lagi.

Lantas nama ubi gadong bukanlah suatu yang asing bagi saya walaupun ia bukan selalu malah amat jarang dimakan. Orang tua selalu berpesan, jangan buat main-main dengan ubi gadong, silap makan boleh nampak ‘dunia terbalik’, mabuk! Memang rasanya boleh tahan kalau dimakan dengan kelapa parut yang dicampur gula tapi mungkin kerana proses penyediannya yang agak rumit dan kepelbagaian bahan makanan dizaman sekarang menyebabkan nama ubi gadong amat jarang disebut sekarang malah mungkin ada anak-anak muda yang tidak pernah mendengar apatah lagi melihatnya dan jauh sekali untuk merasai ‘keenakkan’ rasa ubi yang diminati oleh Ahmad Said ini.

Masih diingati, bagaimana ubi gadong perlu dibersihkan dengan teliti, dibuang kulitnya, dipotong nipis-nipis, dimasukkan ke dalam kain jarang dan diikat kemudian perlu direndam di dalam air mengalir dua tiga malam (mungkin untuk membuang bisanya) lalu barulah direbus dan sedia untuk dinikmati bersama kelapa parut dan air kopi panas diwaktu petang. Tapi awas! Walaupun begitu kejadian mabuk ubi gadong masih sering berlaku sekalipun kesannya tidak serius apatah lagi tidak pernah dilaporkan kes kematian kerananya. Secara bergurau, pernah saya bertanya orang tua-tua, apakah khasiat ubi gadong. Arwah datuk saya menjawab juga secara bergurau, khasiatnya, kalau makan boleh jadi kenyang.

RM2 juta bagi saya peruntukan yang agak besar. Apakah peruntukan sebesar ini kena dengan priority (keutamaan). Apatah lagi khasiatnya dikatakan untuk membesarkan buah dada wanita, hormone seks dan pil pencegah kehamilan cukup untuk menarik perhatian sekumpulan orang-orang tua melebihi separuh abad yang sedang minum di sebuah kedai kopi pagi ini.

Sebagai seorang bekas pensyarah universiti, saya biasa memegang geran penyelidikan baik geran jangka pendek atau geran jangka panjang. Jumlahnya sekitar RM20,000 untuk satu penyelidikan. Tumpuan kajian saya ketika itu berkaitan kes sumbing bibir dan lelangit di kalangan kanak-kanak di Malaysia. Apabila berhadapan dengan board committee bagi membentangkan proposal kajian, biasanya kita akan ‘dibelasah teruk’ dalam rangka untuk meyakinkan mereka bahawa kajian kita ada pulangan untuk masyarakat disebabkan peruntukan geran penyelidikan adalah dari duit rakyat.

Tanpa niat untuk mempertikaikan kemampuan akademik staf-staf penyelidikan UniSZA yang tentunya berkemahiran dalam bidang yang mereka ceburi, tetapi hati kecil saya melihat dan menyatakan ianya tiada keutamaan. Apatah lagi tidak pernah dilaporkan terjadinya kes perceraian di Terengganu disebabkan isteri mempunyai saiz payu dara yang kecil, lantas satu kajian perlu dilakukan dengan peruntukan jutaan ringgit bagi mengatasi masalah ini. Ketika ubat-ubatan penguat tenaga batin bersepah di pasaran dan ketika rakyat Terengganu masih bergelut untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan sempurna.

Ahmad Said MB Ad-Hoc, sering muncul dengan idea dan minat baru yang terlintas dalam kepalanya, kajian ubi gadong untuk membesarkan payu dara, hormone seks dan pil pencegah kehamilan. Nostalgia zaman silam(nya) dijadikan agenda kerajaan.

Oh! Terengganuku... Apa punya negeri??

(Nota : Tulisan ini dipetik seperti asalnya. Terdapat kesalahan ejaan dan tatabahasa yang kecil tetapi sengaja tidak diubah bagi menjaga keasliannya. - JAM)

JAM :
kah3... kah3... kah3... marilah ramai-ramai kita 'menguniversitikan' perlakuan dan tindakan kita, mudah-mudahan orang akan melabelkan kita sebagai cerdik, kerana universiti biasanya dikatakan tempat orang-orang cerdik untuk mendidik orang menjadi cerdik.... kah3... kah3... kah3....
Related Posts with Thumbnails