yang semasa

Sabtu, Julai 24, 2010

YANG KEMARUK & YANG PELAHAP

Seronok mendengar cerita-cerita mengarut dan kemaruk para pemimpin terkini. Terkini kemaruk dan mengarut untuk mengembalikan MB Mat Said selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT).

Kuah kuah kuah....

Tetapi rasanya, ini semua cerita yang cuba nak menjatuhkan kredibiliti MB Mat Said yang hebat dan tersohor itu. Mana mungkin seorang pemimpin tinggi negeri yang hebat, berpengaruh dan mempunyai kuasa terbesar begitu, masih mengidam dan kemaruk dengan jawatan parti yang akan menambahkan kebanyakkerjaan beliau sebagai MB yang senantiasa sibuk, terutamanya urusan-urusan melancong politik ke luar negeri dan luar negara. Mana mungkin MB Mat Said yang mengepalai usaha dan provokasi sebegitu. “Ooo tak mungkin, tak mungkin aku kembali....” (bacalah dengan irama lagu D’lyod – oh tak mungkin).

Apa punya turrrrr lah yang duk mengaruk sangat tu. Apa punya ‘rezat’ sampai isu tu dijadikan usul Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Kemaman? Apa punya pelahapnya manusia nin sehingga semua sayap dipanggil untuk menyatakan sokongan dan pendirian agar MB Mat Said diserahkan semula jawatan Pengerusi BPUNT.

Lebih menyeronokkan, bukan sahaja usul yang diterima sebujur suara oleh perwakilan UMNO Kemaman, malahan sayap-sayap yang dipanggil oleh MB Mat Said di kediaman rasminya diberi hanya satu pilihan yakni menyokong penuh untuk mengembalikan semula jawatan Pengerusi BPUNT kepada MB Mat Said. Tidak cukup dengan itu, sehari kemudian, Dr Jepun in Bracket, bangkai Setiausaha BPUNT, pemain utama ke arah realiti ini memanggil dan membilas lagi dengan klorok cap paip dan janji-janji manis menghabiskan harta redok rakyat di Primula BR.

Cuma yang nak disebutkan di sini, apa kejadahnya MB Mat Said and the gengnya beria-ia sangat nak mengembalikan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri itu? Apa ke pelahapnya Dr Jepun in Bracket yang menjadi “king of mastermind” dalam usaha mengembalikan status itu?

Jawapannya mudah sahaja ;

(1) Mengembalikan jawatan Pengerusi BPUNT akan lebih menyakinkan kepastian untuk penentuan calon pilihan raya umum akan datang. Sudah pasti, para kroni, enam jahanam dan para pembodek serta para balaci beliau termasuklah beliau sendiri akan diletakkan sebagai calon UMNO/BN dan boleh memilih untuk bertanding di mana-mana.

(2) Mengembalikan jawatan Pengerusi BPUNT kepada MB Mat Said akan memastikan Dr Jepun in Bracket akan dilantik semula sebagai Setiausaha dan terus mengukuhkan kuasanya (yang telah sedia kukuh itu) sebagai Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan dan jawatan-jawatan lain yang sewaktu kuasa dengannya. "Kuasa" yang paling dikehendaki sudah tentu 'melupuskan fail MRR2' yang masih menghantui beliau sehingga kini.

(3) Mengembalikan jawatan Pengerusi BPUNT kepada MB Mat Said akan membongkar kelemahan serta mengaibkan muka DSHH yang dilantik DS Najib sekali gus turut mengaibkan DS Najib yang kononnya membuat pilihan yang tidak tepat. Lebih jelas, akan menyerlahkan apa yang disebut pihak pembangkang kepada DS Najib sebagai seorang Presiden parti yang kluk klek.

Harap-harap ini bukan cerita benar dan kalaupun benar bukan onar dan kehendak MB Mat Said sendiri. Ini empunya akalan puak-puak balaci MB Mat Said and the gengnya sahaja.

Yang peliknya (ooppp!!! Terlupa bahawa tiada yang pelik dan mustahil sebenarnya di zaman pemerintahan MB Mat Said ini)... Tepatnya, yang nak terkentut, terberak dan terkiciknya ialah tak kanlah seorang MB yang menguar-uarkan seantero dunia bahawa dia menjadi MB kerana dikehendaki istana masih lagi pelahap dengan jawatan Pengerusi BPUNT? Jawatan Pengerusi BPUNT tu kecil sahaja. Jawatan MB jauh langit dengan bumi besar dan berkuasanya jika nak dibandingkan dengan jawatan Pengerusi BPUNT tu.

Dah kerana dikehendaki istana sebagai MB, maka buatlah kerja MB. Berilah tumpuan sepenuhnya kepada kerja tu. Buat apa lagi nak menyibuk dengan jawatan parti. Bekerjalah untuk membangunkan negeri dan rakyat, bukan bekerja untuk membangunkan kroni dan menghabiskan harta redok rakyat.

Jawatan parti hanya diberikan kepada pemimpin parti bukan pemimpin yang mendakwa dipilih dan dikehendaki istana. Kerja MB Mat Said selepas jadi MB istana selama ini sudah betul. Tak payah peduli arahan pucuk pimpinan parti, ingkar dengan semua arahan parti, tak payah peduli kepada wakil rakyat parti, tak payah hadir apabila pimpinan tertinggi parti datang ke Terengganu, tak payah nak peduli bila nak pakai kereta mercedes, hantam sajalah apa yang dirasakan hendak dihantam, peduli apa dengan parti @ BN @ UMNO.

Mungkin MB Mat Said terlupa bahawa semasa mula-mula beliau nak dilantik sebagai MB dulu, UMNO tidak mengiktiraf beliau dan beliau sendiri dah berjuta kali mempertahankan kenyataannya bahawa beliau adalah MB istana BUKAN MB BN/UMNO.

Jadi untuk apa pelahap dan kemaruk lagi dengan jawatan parti? Kalau pun tidak menjadi Pengerusi BPUNT, beliau masih sebagai MB. DS Najib atau sesiapa sahaja yang berdiri atas sifatnya sebagai pemimpin parti ternyata dan terjelas tidak berani untuk ‘mengusik’ MB Mat Said daripada kedudukannya sebagai MB. Siapa DS Najib, TS Muhyiddin atau DSHH dalam ‘diari ketakutan’ MB Mat Said? Tak kan perkara ini pun, balaci-balaci MB Mat Said tak faham dan tak reti bahasa lagi?

Melucukan sekali apabila rakyat membaca sejarah ini. MB Mat Said and the gengnya serta para balacinya mungkin terlupa sejarah ini dek kerana kemaruk dan pelahap tu. Kerana itu usaha ke arah mengembalikan semula jawatan Pengerusi BPUNT kepada MB Mat Said tidak mungkin akan terhenti sehingga DS Najib tunduk dan menyembah kepada MB Mat Said.

Dan tidak mustahil juga nantinya, setelah puas dengan usaha sendiri seperti yang dilakukan para balaci MB Mat Said and the geng + enam jahanamnya sekarang, mereka akan mendesak MB Mat Said untuk menyewakhaskan sekali lagi kapal terbang tujuan terbang terus dari Kuala Terengganu ke Oberhausen, Jerman bagi menemui Oliver Walenciak penjaga Paul Oktopus (si sotong nujum bola) di cawangan Pusat Hidupan Laut Weymouth bagi mendapatkan khidmat menentukan siapa selayaknya menjadi Pengerusi BPUNT.

Maka dalam akuarium sotong nujum itu dimasukkan gambar tersengih MB Mat Said dan gambar pesaingnya. Keputusan yang dipilih si sotong nujum bola itu (kalau positif dan memihak kepada MB Mat Said) akan dijadikan alasan kukuh dan kuat kenapa DS Najib perlu melantik semula MB Mat Said sebagai Pengerusi BPUNT. Tapi kalau si sotong nujum bola tu bengong dan bahlul serta tidak memihak kepada MB Mat Said, maka dengan halal dan redhanya, jadikanlah penyewaan khas kapal terbang dan kunjungan ke Jerman itu sebagai hadiah kepada para pembodek MB Mat Said kerana terus memberikan sokongan padu tanpa berbelah bahagi kepada beliau.

Segalanya bukan pelik dan mustahil.
Related Posts with Thumbnails