Jumaat, Mei 07, 2010

YANG BERKUASA YANG BERLELUASA

Lelaki mati tinggal nota untuk isteri (Berita Harian – 06/05/2010)

KUALA TERENGGANU : Akibat tidak dapat menahan tekanan berikutan hidup dalam kemiskinan dan kehilangan pekerjaan mendorong seorang lelaki berusia 41 tahun mengambil keputusan drastik untuk menamatkan riwayat hidup sendiri.

Dengan hanya beberapa ringgit dalam kocek seluar serta sekeping nota yang ditinggalkan untuk isteri dan anak berusia lima bulan, Khairudin Wazir Khan ditemui terbaring berlumuran darah di tilam oleh rakan sebiliknya di Flet Sri Kolam di sini, kira-kira jam 12.15 pagi semalam dengan kesan tikaman di dada dipercayai menggunakan sebilah pisau lipat.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin, berkata setakat ini polis menolak kaitan jenayah dengan kematian itu tetapi siasatan diteruskan.

Khairudin dipercayai meninggalkan keluarganya di Setiu dan bekerja sebagai pengawal keselamatan hingga dua bulan lalu apabila dia diberhentikan kerja.

Rakan sebiliknya yang tidak mahu dikenali berkata, Khairudin berkahwin semula dengan isterinya lebih setahun lalu selepas mereka berpisah selama 10 tahun.

Bagaimanapun, selepas kehilangan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan, dia masih gagal mendapat kerja baru walaupun sudah puas mencari kerja di daerah ini.

Seorang jiran, Alias Muhammad, 43, berkata beberapa jam sebelum itu, Khairudin menceritakan kisah sedih kehidupannya kepada beberapa penduduk flet itu di gerai makan berhampiran.

Katanya, Khairudin memberitahu mereka dia sudah berhutang sebanyak RM160 dan masih terhutang wang sewa rumah.

Kes ini mungkin dianggap sebagai kes kecil dan terpencil. Kecil dan terpencil daripada kaca mata pemimpin besar termasuklah juga Menteri Besar serta orang besar-besar yang besar-besar lainnya.

Jangan pelik dan jangan terasa apa-apa kalau selepas ini akan ada orang besar-besar berkenaan akan bingkas memberikan respon (cakap-cakap mulut) dan kemudian akan berdondong-dondonganlah mereka menyengihkan gigi masing-masing ke rumah isteri atau keluarga mangsa. Itu adalah amalan turun temurun semenjak nenek moyang mereka dulu, sebagai trend dan tradisi yang wajib ditonjolkan.

Orang besar-besar nantinya akan bersabda ; “biasalah kes terpencil. Apa nak dihairankan sangat, orang mati hari-hari, orang kemalangan hari-hari, orang susah hari-hari, orang berak hari-hari. Seperti juga berlakunya mala petaka lainnya. Dah nak terjadi, nak buat macam mana. Itu fie perangai, tindakan dan perlakuan individu, mana kita terjangkau nak fikirkan atau nak menghalangnya”.

Betul... Tak kanlah kes-kes kecil dan terpencil macam itupun, nak mengharapkan semuanya diselesaikan oleh Menteri Besar (misalnya). Banyak lagi tugas ‘besar-besar’ yang perlu disegerakan oleh Menteri Besar. Maklumlah namanya dah ‘besar’.

Walaupun kes ini mungkin dianggap kes kecil dan terpencil, tetapi boleh (kalau nak dibolehkan) dianggap sebagai manifestasi daripada golongan susah yang benar-benar susah di kalangan rakyat yang susah. Seperti yang pernah dikatakan – walaupun seorang, dia tetap rakyat.

Paling mengharukan kes ini berlaku pada saat pimpinan negara sedang menebarkan aspirasi dan inspirasi 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Lebih memilukan kes ini terjadi pada ketika pimpinan negara, negeri, daerah sehinggalah ke kampung-kampung berkompang keliling kota, kampung dan desa melaksanakan apa yang dinamakan sebagai program JUARA RAKYAT.

Namun, peristiwa dan tragedi kes memilukan, mengharukan dan menyedihkan ini sebenarnya adalah perlambangan sejelasnya betapa berkuasanya para pimpinan hari ini dan analogi kepada berleluasanya kesusahan rakyat yang dikatakan berada di negeri kaya pada mana pimpinan negerinya tidak henti-henti menobatkan untuk membantu rakyat dan merakyatkan pembangunan.

Inilah juga manifestasi yang membawa musibah kepada kealpaan pemimpin yang dihanyutkan kekuasaan, merakyatkan kroni "and the gengnya”, sambil dialun dengan retorika memanjang tanpa henti mengaitkan kesalahan semasa dengan pimpinan masa lalu, tujuan menutup kelemahan sendiri. Merekalah yang ‘mendahulukan rakyat’, merekalah yang menjadi ‘juara rakyat’ dan mereka jugalah yang ‘membangunkan rakyat’.

Cuba kita bandingkan berita di atas dengan SMS di bawah :

Renunglah para ADUN BN/UMNO. Dalam tempoh 2008/10, perancangan pembangunan ekonomi Tganu hanya aktiviti... BALAK, MINI ZOO KMAMN (baru beli anak rimau), MB & Exco (masing-masing pakat keluar negara makan angin, kononnya mencari pelabur) MB banyak masa melawat org sakit (dan miskin?)... nasiblah RAKYAT Tganu di bawah UMNO/BN mengemukakan MB Mat Said.... (nota : SMS ini diterima pada 8 April 2010, kira-kira sebulan sebelum kisah memilukan di atas berlaku).

Renung-renungkanlah...

Yang masih menjadi tanda tanya ialah apakah kandungan nota si mati yang ditinggalkan kepada isterinya? Apakah berkemungkinan berbunyi, “sayang... jangan lupa undi MB Mat Said dalam pilihan raya akan datang..”

Berpegang teguhlah kamu kepada kata-kata “tiada yang pelik dan mustahil pada zaman pemerintahan MB Mat Said ini…” Juara Rakyat menjadi Juara kelentong Rakyat atau Juara perabis harta redok Rakyat, 1Terengganu Mendahului Rakyat Kepentingan kroni Diutamakan dan Menyusahrakyatkan Pembangunan dan Pentadbiran....
Related Posts with Thumbnails