Selasa, Mei 25, 2010

YANG NAMANYA PEMBANGUNAN PESAT (Siri 2)

Terengganu Catat Jumlah Penagih Paling Tinggi Di Malaysia

KUALA TERENGGANU, 19 Mei (Bernama) – Terengganu mencatatkan jumlah penagih dadah paling ramai di negara ini dengan 10,000 tangkapan dicatatkan sepanjang tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid berkata berdasarkan jumlah penduduk seramai 1.2 juta di negeri ini, nisbah penagih dadah ialah seorang daripada 100 penduduk (1:100).

“Hasil mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik seluruh negara yang diadakan di Bukit Aman awal bulan ini mendapati Terengganu mencatatkan angka penagih dadah yang tertinggi di Malaysia dengan 10,000 tangkapan dilakukan tahun lepas diikuti dengan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Angka itu menunjukkan masalah penagihan dadah di negeri ini dalam keadaan yang amat serius dan memerlukan perhatian pihak berkuasa dan rakyat di negeri ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini Rabu.

Kah3...kah3... kah3.... Ini berita mesti nak memburukkan MB Mat Said. Wartawan mana yang menulis berita ini. Apa hal pula pihak polis bercakap begitu. Kalaupun itu dapatan dan dibincang dalam mesyuarat, ‘berkelentong’ dan ‘berlebong’lah sikit kepada media dan rakyat. Inikan kerajaan ‘melebongkelentongkan’ rakyat. Tak jadi hal punya.

Janganlah cuba nak menjatuhkan reputasi MB Mat Said sebagai MB terhebat abad ini pula. Nak tulis berita, mesti kena jelas dan yang penting bukan untuk menjatuhkan imej dan maruah MB Mat Said. Sepatutnya kena dijelaskan walaupun tangkapan itu dibuat sepanjang tahun lepas (2009 – ulang tahun lepas, ulang tahun lepas, ulang tahun lepas), penagih-penagih berkenaan telah lama muncul dan paling banyak muncul pada zaman Derih Jusoh.

Kerana yang nombor satu, terbaik dan mendahului, pertama di Malaysia dan dunia, serta segala macam itu adalah pada zaman MB Derih Jusoh dan PM Mahathir saja. PM Najib pun hanya pakai nombor sahaja – 1Malaysia. Zaman MB Mat Said mana ada ‘tertinggi, johan, nombor satu, pertama, mendahului, terbaik’ dan sebagainya itu. Ini mesti berita tipu dan lebong rakyat. Yang terbaik dan terhebat pada zaman MB Mat Said ialah MB itu sendiri, MB tersohor dan terhebat abad ini.

Inilah bukti kukuh, jelas dan tepat gambaran pembangunan pesat pada zaman MB Mat Said. Pembangunan pesat, tersesat dan menyesatkan. Kategori jenis ini layak disamakan dengan pembangunan yang dibawa oleh Ayah Pin yang sesat entah ke mana tu. Pembangunan ke arah menipu, membohongi, melebong, mekelentong rakyat dan menghabiskan harta redok rakyat.

Agak munasabah, kalau semakin ramai rakyat yang ‘tersesat’ dalam pembangunan pesat era MB Mat Said sebegini, akan lebih mudahlah untuk menipulebongkan rakyat. Rakyat sudah khayal, rakyat sudah hanyut dalam ‘Gelombang Gian’ (ganti Gelombang Biru). Apa-apa yang dilakukan oleh kerajaan dan pimpinan negeri, tak ada yang sedar. Mereka sudah khayal, tak ada yang bantah, tak ada yang komplen. Sepatutnya nisbah penagih di Terengganu bukan 1:100 tetapi 100:1. Barulah senang nak melebong dan menjual harta redok rakyat.

Barangkali kerana berita ini jugalah, makanya ‘bodyguard’ MB Mat Said (seorang anggota keselamatan) DIPECAT sebagai ‘bodyguard’. MB Mat Said apa peduli dengan kawan lama atau kawan baik. Yang penting awak tak pandai bekerja. Seribu kerja bagus sebelum ini pun, tidak cukup untuk meyakinkan MB Mat Said berbanding satu kerja buruk. Ini kerja buruk kamu. Sesama anggota keselamatan pun tak boleh jaga, cakap membur dan lebih memilukan, awak tak pandai menjaga air muka MB sendiri.

(p/s : dialog cepumas) "Tuan Supt Roslan, nak tanya sikit... yang 10 ribu orang tu termasuk 'pemuda harapan bangsa' Kemaman ke?" kah3...kah3...

JAM
: Berpegang teguhlah kamu kepada kata-kata “tiada yang pelik dan mustahil pada zaman pemerintahan MB Mat Said ini…” Marilah bersama kekalkan slogan "Melebongrakyatkan Pembangunan". Tak boleh tempat pertama terbaik dalam konteks positif, dalam hal tempat pertama di Malaysia (yang tertinggi @ paling ramai) penagih pun, kira sudah boleh “menyohor”. Sudah diiktiraf sebagai ‘kejayaan luar biasa’ MB Mat Said hasil pembangunan pesat Terengganu. Kata Nujum Pak Belalang.... "hantam sajalah belalang".....

Isnin, Mei 24, 2010

YANG DIANUGERAHI GELARAN DATU$ – TAHNIAH

Bangga, megah, gah, sohor, bagak, besar hati, semarak dan banyak lagi kesinoniman kata bagi menggambarkan betapa gumbiranya (jangan betulkan ejaan anda) rakyat negeri Terengganu Darul Iman kerana adanya rakyat negeri Terengganu yang dianu.........i (jangan mengisi tempat kosong sebelum masanya) ‘darjah kebesaran’ sebuah negeri di Malaysia yang membawa gelaran DATU$.

[NOTA PENTING 1 : Perkataan ‘dianu......i’ itu bolehlah dipenuhi tempat kosongnya dengan perkataan yang sesuai seperti dianuBELIi atau dianuBAYARi... Yang sepatutnya menjadi DIANUGERAHI...

NOTA PENTING 2 : Jangan betulkan ejaan anda bagi perkataan DATU$, kerana mengikut sahibul hikayat yang maha arif lagi bijaksini, simbol ‘$’ itu sekali-sekala boleh digunakan sebagai menggantikan apa sahaja perkataan bagi memaknakan perkataan itu, baik secara tersurat mahupun tersirat. Betul atau tidak, wallahuaklam, itu kena tanya Nabil si-Raja Lawak – lu fikirlah sendiri....)]

Apa-apa pun, itulah yang dinamakan rezeki. Insan ‘terpilih’ ini memang bertuah. Sebanyak itu rakyat Terengganu, beliau jugalah yang ‘terpilih’ dan ‘dipilih’. Tak kisahlah, sama ada dipilih atau terpilih, yang pasti beliau sudah tersenarai. Harap-harapnya tersenarai dalam golongan insan terbayar. Baru ada kelas tersendiri yang tinggi nilainya.

Penerima bertuah rakyat Terengganu ini memang layak, wajar dan bertepatan sekali kerana sumbangan besar beliau dalam pembangunan negeri Terengganu khasnya. Anugerah daripada negeri mana, itu bukan isunya, yang penting ‘sumbangan’ besar orang ini kepada pembangunan rakyat dan negeri. Rakyat Terengganu juga adalah rakyat Malaysia sama seperti rakyat negeri-negeri lainnya. Pembangunan Terengganu juga adalah pembangunan Malaysia, sama seperti pembangunan negeri-negeri lainnya. 1Malaysia katakan....

Demikianlah bertuahnya budak tingkat 15 merangkak (jangan betulkan ejaan anda) budak tingkat 16 merangkak (sekali lagi jangan betulkan ejaan anda) Menteri Besar 2 (MB2) negeri ber-Darul Iman ini. (Nota : ‘merangkak’ tu TIDAK sama spesisnya dengan yang ada dalam mini zoo Kemaman tau!!).

Memang Datu$ ini orang yang senantiasa bertuah. Beliau merangkak dan berusaha daripada bawah, kemudian ketuahannya bertambah-tambah. Kalau disingkatkan kisah hidupnya, rentetan kejayaannya penuh ‘trajis dan memilukan’ (jangan betulkan ejaan anda. Jangan pandai-pandai mengubah huruf “tr” kepada “n” (bagi perkataan trajis) dan huruf “i” kepada “a” (bagi perkataan memilukan), sehingga terpaksa dibaca ‘najis dan memalukan’).

Bermula dengan seorang budak penjual baja, penguli (roti) balak, pemungut hutang @ komisen yang aktif, ‘pemain bola’ yang hebat, Semua Untung Sendiri Kaut (susk) yang pintar, pencocok dan penarik hidung orang nombor wahid yang licik, sehinggalah Datu$ ini dapat berdiri di tingkat 15 menjadi budak tingkat 15 yang terlebih ‘power rangernya’ daripada semua orang yang ada dalam negeri ini.

Amat dan maha munasabahlah beliau dianuBELIi gelaran Datu$ adanya. Kalau sekadar 180 ribu atau 200 ribu rial harganya, memang lebih daripada mampu untuk dianuBELIi atau dianuBAYARi. Hitunglah sendiri, satu bag baja sudah berapa rial? Satu batang balak, berapa rial pula harganya.... Kacang je tu...

Dirgahayu Datu$$$$$$......

JAM : Berpegang teguhlah kamu kepada kata-kata “tiada yang pelik dan mustahil pada zaman pemerintahan MB Mat Said ini…” Teringat kata seorang pengunjung mini zoo Kemaman berbangsa Cina (nama gelarannya Mat Payang) kepada penjaga pintu masuk mini zoo berkenaan ; “haiya... jual baja pun boleh beli itu latuk ka??? Hoooyooo manyak senang tipu halata lakyat negeli lhoo.....”

Selasa, Mei 18, 2010

YANG MENERIMA DR IN BRACKET LAGI

Sudah lama kita tidak memperkatakan tentang kawan kita yang seorang ini, Dr Jepun in bracket merangkap Ketua UMNO Bahagian Dungun merangkap Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan (kurang pasti, apakah jawatan ini sudah dimansuhkan atau belum). Maaflah, bukan tak mahu beri publisiti kepada kawan kita ini, tapi sejak kebelakangan ini namanya agak terlepas pandang.

Kali ini baru berpeluang untuk membicarakan perihal ‘usaha dan kerja kerasnya’. Cerita perihal diri Dr Jepun in bracket kali ini ada hubungan dengan balasan atau ganjaran yang sepatutnya diterima oleh beliau. Sebelum itu mari kita baca berita (sumber : Utusan Malaysia) di bawah :

PM terima ijazah kehormat

TOKYO 20 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Meiji di sini sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau dan negara amnya dalam hubungan Malaysia-Jepun khususnya sektor pendidikan.

Ijazah itu disampaikan oleh Presiden Universiti Meiji, Hiromi Naya dalam satu majlis di universiti itu.

Majlis tersebut turut disaksikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shaharuddin Md. Som; serta para pelajar Malaysia yang menuntut di bandar raya ini.

Sekali baca tidak ada apa yang menarik dalam berita di atas. Tetapi tidak banyak orang mengetahui, bahawa berita berkenaan ada ‘hubung kait yang rapat’ dengan Dr Jepun in bracket.

Hubungannya bukan sahaja Datuk Seri Najib akan turut sama menggunapakai gelaran (Dr) @ Dr in bracket yang sama tarafnya dengan Dr Jepun in bracket, tetapi cerita di sebaliknya yang wajar dicelikkelihkan oleh PM.

Sepatutnya berita pada para ini dibaca sebegini :

Majlis tersebut turut disaksikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shaharuddin Md. Som; Dr Jepun in bracket (orang yang bertungkus lumus memastikan PM menerima Ijazah kehormat berkenaan) serta para pelajar Malaysia yang menuntut di bandar raya ini.

Dr Jepun in bracket patut disebut berada sama dengan PM kerana memang beliau ada bersama ketika itu. Tidak berselindung di sebalik keperkasaan tubuh PM pun, jelas dan terang lagi bersuluh beliau ada. Wartawan mana yang menulis berita berkenaan sehingga Dr Jepun in bracket pun wartawan itu tidak kenal? Alahai.... Nak kena wartawan nin...

Selain itu, tugas besar beliau yang paling besar sehingga seantero Dungun malahan serata Terengganu dan mungkin juga seluruh negara atau sesuku dunia diuar-uarkan, bahawa PM menerima ijazah Doktor Kehormat adalah kerana bertungkus lumusnya usaha Dr Jepun in bracket dan kerana ‘pengaruh’ dan ‘kuasa’ Dr Jepun in bracket jugalah makanya PM menerima ijazah berkenaan. Itu cakap-cakap juak-juak penglipur lara, juak-juak Tok Selampit, juak-juak Tok Dalang beliau yang didondangsayangkan pada segenap penjuru alam.

Amat benar dan munasabah sekali dengan apa yang didendangkan itu. Siapa kata Dr Jepun in bracket tidak hebat? Persoalannya, apakah kehebatan Dr Jepun in bracket ini sudah berada dalam pengetahuan PM atau PM tidak dimaklumkan perihal ini.

Tugas Dr Jepun in bracket sehingga membolehkan PM menerima gelaran besar dan gah itu bukan calang-calang, bukan membodek, bukan mengampu dan jauh sekali nak mengharapkan balasan dan ganjaran. Kita amat kenal dengan Dr Jepun in bracket, bukan orangnya sebegitu.

Tetapi sebagai orang Melayu yang mempunyai akal budi dan sopan santun yang tinggi, PM kena faham dan akur dengan pepatah ‘ada ubi ada batas, ada budi ada balas’.

Dr Jepun in bracket mungkin tidak mengharapkan apa-apa daripada PM. Pertolongan dan pengorbanan yang dibuat oleh beliau adalah ikhlas seikhlasnya. Tidak ada ‘sekilas ikan di air’ pun, tidak ada ‘udang di sebalik mee’ pun, tidak ada, tidak ada, tidak ada, dan tidak ada sama sekali. Percayalah dengan kejujuran dan keikhlasan Dr Jepun in bracket yang maha jujur, maha ikhlas dan maha amanah itu.

Tetapi seperti yang disebut, budinya perlu juga dibalas. Berilah apa-apa yang patut. Bukan senang nak membodek dan mengampu. Jarang orang boleh membodek dan mengampu sebegitu. Tambah-tambah telah didondangsayangkan pula oleh juak-juaknya seantero dunia dengan harapan supaya PM sedar... tak kan PM masih tidak sedar.

Rasanya PM sudah sedar. Cuma yang susah sikit PM sedang fikirkan ialah kalaupun nak lantik Dr Jepun in bracket sebagai Menteri atau Timbalan Menteri, kena bagi Senator. Dr Jepun in bracket dahpun jadi senator selama dua penggal (walaupun boleh diejas, kerana semua itu atas PM belaka), Nak bagi Pengerusi mana-mana agensi tidak pula setaraf dengan ‘kehebatan dan kedudukan’ beliau. Pening juga PM nak fikirkan.

PM sepatutnya sudah boleh ‘mengkonfirmkan’ kerusi yang ‘boleh dipilih’ oleh Dr Jepun in bracket pada pilihan raya umum akan datang (bebas memilih untuk bertanding di mana, Parlimen atau DUN atau kedua-duanya pun boleh). Cuma sebelum pilihan raya umum nanti, satu-satunya jawatan yang paling sesuai dan wajar dipertimbangkan oleh PM ialah melantik Dr Jepun in bracket sebagai ‘Duta bertaraf Timbalan Perdana Menteri’ ke negara Jepun. Barulah berbaloi dan munasabah.

Di Jepun, jadi duta olok-olok pun tak apa, suruhlah Dr Jepun in bracket menjaga mana-mana hotel pun sudah berbaloi. Pekerjaan tetap lain, mengampu dan membodek universiti-universiti di Jepun yang ada hubungan dengan KYM, supaya beri ijazah Doktor Kehormat kepada bakal-bakal bos Dr Jepun in bracket yang boleh memanfaatkan beliau. Itu sudah memadai. Ramai yang menunggu-nunggu status (Dr Jepun) itu. Yang penting, MB Mat Said dilupa jangan... kena masuk dalam senarai penerima selepas ini boooossss....

Yang mustahaknya lagi, kalau Dr Jepun in bracket jaga hotel di Jepun sana, sebulan sebelum hari raya puasa setiap tahun, bolehlah pakat-pakat gi berehat di sana dengan aman.... enak pak... aroma tembakau paip seperti terhidu wangi di hujung hidung ini.... eeemmmm...

JAM : Berpegang teguhlah kamu kepada kata-kata “tiada yang pelik dan mustahil pada zaman pemerintahan MB Mat Said ini…” hanya kes baju kedai jahit Pertama Kompleks pun, hidung MB dah tercucuk..

Jumaat, Mei 07, 2010

YANG BERKUASA YANG BERLELUASA

Lelaki mati tinggal nota untuk isteri (Berita Harian – 06/05/2010)

KUALA TERENGGANU : Akibat tidak dapat menahan tekanan berikutan hidup dalam kemiskinan dan kehilangan pekerjaan mendorong seorang lelaki berusia 41 tahun mengambil keputusan drastik untuk menamatkan riwayat hidup sendiri.

Dengan hanya beberapa ringgit dalam kocek seluar serta sekeping nota yang ditinggalkan untuk isteri dan anak berusia lima bulan, Khairudin Wazir Khan ditemui terbaring berlumuran darah di tilam oleh rakan sebiliknya di Flet Sri Kolam di sini, kira-kira jam 12.15 pagi semalam dengan kesan tikaman di dada dipercayai menggunakan sebilah pisau lipat.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin, berkata setakat ini polis menolak kaitan jenayah dengan kematian itu tetapi siasatan diteruskan.

Khairudin dipercayai meninggalkan keluarganya di Setiu dan bekerja sebagai pengawal keselamatan hingga dua bulan lalu apabila dia diberhentikan kerja.

Rakan sebiliknya yang tidak mahu dikenali berkata, Khairudin berkahwin semula dengan isterinya lebih setahun lalu selepas mereka berpisah selama 10 tahun.

Bagaimanapun, selepas kehilangan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan, dia masih gagal mendapat kerja baru walaupun sudah puas mencari kerja di daerah ini.

Seorang jiran, Alias Muhammad, 43, berkata beberapa jam sebelum itu, Khairudin menceritakan kisah sedih kehidupannya kepada beberapa penduduk flet itu di gerai makan berhampiran.

Katanya, Khairudin memberitahu mereka dia sudah berhutang sebanyak RM160 dan masih terhutang wang sewa rumah.

Kes ini mungkin dianggap sebagai kes kecil dan terpencil. Kecil dan terpencil daripada kaca mata pemimpin besar termasuklah juga Menteri Besar serta orang besar-besar yang besar-besar lainnya.

Jangan pelik dan jangan terasa apa-apa kalau selepas ini akan ada orang besar-besar berkenaan akan bingkas memberikan respon (cakap-cakap mulut) dan kemudian akan berdondong-dondonganlah mereka menyengihkan gigi masing-masing ke rumah isteri atau keluarga mangsa. Itu adalah amalan turun temurun semenjak nenek moyang mereka dulu, sebagai trend dan tradisi yang wajib ditonjolkan.

Orang besar-besar nantinya akan bersabda ; “biasalah kes terpencil. Apa nak dihairankan sangat, orang mati hari-hari, orang kemalangan hari-hari, orang susah hari-hari, orang berak hari-hari. Seperti juga berlakunya mala petaka lainnya. Dah nak terjadi, nak buat macam mana. Itu fie perangai, tindakan dan perlakuan individu, mana kita terjangkau nak fikirkan atau nak menghalangnya”.

Betul... Tak kanlah kes-kes kecil dan terpencil macam itupun, nak mengharapkan semuanya diselesaikan oleh Menteri Besar (misalnya). Banyak lagi tugas ‘besar-besar’ yang perlu disegerakan oleh Menteri Besar. Maklumlah namanya dah ‘besar’.

Walaupun kes ini mungkin dianggap kes kecil dan terpencil, tetapi boleh (kalau nak dibolehkan) dianggap sebagai manifestasi daripada golongan susah yang benar-benar susah di kalangan rakyat yang susah. Seperti yang pernah dikatakan – walaupun seorang, dia tetap rakyat.

Paling mengharukan kes ini berlaku pada saat pimpinan negara sedang menebarkan aspirasi dan inspirasi 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Lebih memilukan kes ini terjadi pada ketika pimpinan negara, negeri, daerah sehinggalah ke kampung-kampung berkompang keliling kota, kampung dan desa melaksanakan apa yang dinamakan sebagai program JUARA RAKYAT.

Namun, peristiwa dan tragedi kes memilukan, mengharukan dan menyedihkan ini sebenarnya adalah perlambangan sejelasnya betapa berkuasanya para pimpinan hari ini dan analogi kepada berleluasanya kesusahan rakyat yang dikatakan berada di negeri kaya pada mana pimpinan negerinya tidak henti-henti menobatkan untuk membantu rakyat dan merakyatkan pembangunan.

Inilah juga manifestasi yang membawa musibah kepada kealpaan pemimpin yang dihanyutkan kekuasaan, merakyatkan kroni "and the gengnya”, sambil dialun dengan retorika memanjang tanpa henti mengaitkan kesalahan semasa dengan pimpinan masa lalu, tujuan menutup kelemahan sendiri. Merekalah yang ‘mendahulukan rakyat’, merekalah yang menjadi ‘juara rakyat’ dan mereka jugalah yang ‘membangunkan rakyat’.

Cuba kita bandingkan berita di atas dengan SMS di bawah :

Renunglah para ADUN BN/UMNO. Dalam tempoh 2008/10, perancangan pembangunan ekonomi Tganu hanya aktiviti... BALAK, MINI ZOO KMAMN (baru beli anak rimau), MB & Exco (masing-masing pakat keluar negara makan angin, kononnya mencari pelabur) MB banyak masa melawat org sakit (dan miskin?)... nasiblah RAKYAT Tganu di bawah UMNO/BN mengemukakan MB Mat Said.... (nota : SMS ini diterima pada 8 April 2010, kira-kira sebulan sebelum kisah memilukan di atas berlaku).

Renung-renungkanlah...

Yang masih menjadi tanda tanya ialah apakah kandungan nota si mati yang ditinggalkan kepada isterinya? Apakah berkemungkinan berbunyi, “sayang... jangan lupa undi MB Mat Said dalam pilihan raya akan datang..”

Berpegang teguhlah kamu kepada kata-kata “tiada yang pelik dan mustahil pada zaman pemerintahan MB Mat Said ini…” Juara Rakyat menjadi Juara kelentong Rakyat atau Juara perabis harta redok Rakyat, 1Terengganu Mendahului Rakyat Kepentingan kroni Diutamakan dan Menyusahrakyatkan Pembangunan dan Pentadbiran....

Khamis, Mei 06, 2010

YANG TERSALAH HANTAR ATAU PROVOKASI?

Kira-kira pukul 7.30 pagi 6 Mei 2010, saya terperasan terdapat 3 SMS yang diterima belum lagi dibaca. Dua daripadanya ada kaitan dengan kerja saya. Kedua-duanya dihantar oleh orang yang sama, teman saya yang masih berada di Melaka.

Yang nak diceritakan di sini ialah berkenaan satu lagi SMS yang diterima lebih lewat daripada dua SMS teman saya itu. SMS ketiga ini (saya namakan SMS misteri) diterima seawal pagi 6 Mei 2010 daripada nombor yang tidak saya kenali (memakai talian 014869xxxx)... SMS itu dihantar pada pukul 4.27am (mengikut apa yang tercatat pada telefon saya).

Bunyi SMS tu begini : "Bos... da blog baru yg kutuk bos. blog teganumu.blogspot.com. bos tengok r."

Seperti biasa, kerana saya tidak pernah terkesima dan tidak pernah mengambil kisah dengan kutukan atau serangan peribadi (bukan 'isu'), saya tidak mempedulikan SMS berkenaan. Tambahan pula (sebagai makluman), saya tidak pernah menghiraukan kutukan-kutukan peribadi walau bagaimana bentuk dan cara sekalipun, apa lagi untuk saya menyegerakan diri membuka blog yang dimaksudkan (termasuk saya tidak pernah membuka blog dan membaca tulisan yang saya anggap tidak memberikan apa-apa faedah kepada saya).

Itu adalah prinsip saya. Kalau dirasakan tidak berkenan dengan apa yang ditulis atau dicatat sama ada melalui blog, cetakan atau sebagainya (baik ideologi, pandangan mahupun pujian atau kutukan - baik berkaitan 'isu', apa lagi bersifat peribadi), saya tidak akan membacanya. Dan itu juga yang pernah saya sarankan kepada penjenguk blog JAM, sejak awal saya memiliki blog ini (sila rujuk beberapa posting terdahulu).

Berbalik kepada SMS tadi, saya seperti sudah melupakan SMS berkenaan dan kebetulan pula saya agak sibuk menyelesaikan kerja-kerja yang perlu dibereskan segera, jadi saya langsung tidak menghiraukan untuk membuka komputer dan membuka blog yang dimaksudkan oleh si pengirim SMS misteri pada dini hari itu.

Sehinggalah saya menerima SMS daripada kawan saya di Kuala Terengganu petang tadi yang bertanyakan sudah membaca atau belum blog teganumu.blogspot.com? Lantas saya terlintas kepada SMS misteri dini hari yang turut mengajukan untuk saya membaca 'blog yang mengutuk saya' itu. Saya menjawab SMS kawan saya :

"ada org dah bagitau blog tu, malas nak baca. biasalaaa, biarlah diaorg nak kutuk aku apa pun..."

"bukan kutuk mun, kutuk org lain, mun salah blog tu.." balas kawan saya lagi.

"dok eh.. betul r, siap ngan adress sekali dia beri... dia kata blog baru yg kutuk aku. dia panggil aku bos.." jawab saya sambil lewa kerana saya merasakan bahawa kawan sayalah yang tersalah maklum kepada saya.

"laaaa... mun bukalah www.teganumu.blogspot.com, baru mun tahu.." tegas kawan saya lagi.

Saya membuka semula SMS misteri dan mendapati memang alamat blognya sama. Saya menjadi agak keliru kerana dua 'makluman' yang memetik blog yang sama tetapi berbeza kandungannya. SMS misteri menyatakan blog mengutuk saya, sedangkan SMS kawan saya menyatakan mengutuk orang lain.

Kerana kekeliruan itu (pada mulanya), saya membuka komputer dan mencari blog berkenaan mengikut alamat yang diberikan. Ternyata kawan saya yang benar.

Tetapi selepas saya menatap blog berkenaan, saya menjadi bertambah keliru dan timbul beberapa persoalan yang susah juga saya nak menjawabnya. Lantas saya terus menelefon kawan saya yang memaklumkan melalui SMS tadi dan bertanya bagaimana dia tahu adanya blog berkenaan.

Kawan saya memaklumkan, dia menerima SMS tengah hari tadi (hari yang sama 6 Mei 2010) yang memaklumkan "kunjungi blog baru www.teganumu.blogspot.com". Menurut kawan saya lagi, pengirimnya beliau juga tidak kenal tetapi nombor telefonnya tidak sama dengan nombor yang mengirim SMS misteri kepada saya (setelah saya meminta kepastian, adakah nombor telefon si pengirim SMS kepadanya sama dengan nombor telefon pengirim SMS misteri kepada saya).

Kerana 'misteri' itu, saya cuba menghubungi nombor telefon pengirim SMS misteri berkenaan, tetapi talian berkenaan tidak diaktifkan dan SMS yang turut saya kirimkan ke nombor berkenaan masih berstatus 'pending'.

Saya menulis cerita ini bukan bermaksud saya hendak mempromosi blog berkenaan kerana sedikitpun tiada niat saya untuk mempromosikannya (walaupun blog berkenaan tidak mengutuk saya). Tetapi yang menimbulkan 'sedikit' kemusykilannya ialah KENAPA SMS MISTERI BERKENAAN SAMPAI KEPADA SAYA dengan makluman sebegitu? ("Bos... da blog baru yg kutuk bos. blog teganumu.blogspot.com. bos tengok r.")

Adakah SMS berkenaan tersalah hantar atau memang disengajakan atau tersilap orang atau secara kebetulan atau berniat melagakan atau satu bentuk provokasi? Apa motifnya, wallahuaklam. Mungkin ramai lagi orang lain yang menerima SMS yang sama seperti saya atau seperti diterima oleh kawan saya, sekali lagi, wallahuaklam.

Yang pasti, kerana prinsip saya yang tidak mempedulikan blog-blog seperti itu, khususnya yang lebih berfokus kepada serangan peribadi (bukan 'isu'), maka saya mengambil keputusan untuk BIARKAN SI LUNCAI TERJUN DENGAN LABU-LABUNYA....

Perihal ini pada saya, berakhir pada titik akhir posting ini sahaja. TITIK.

Ahad, Mei 02, 2010

YANG DISEWA KHAS – WOW!!! FAKTOR

Kira-kira dua atau tiga minggu yang lalu, seorang kawan ‘muka buku’ (facebook) ada meninggalkan komen dalam FB saya seperti berikut :

“Bos, are you going to china too with mb to utilize back all the development in china and bring back to terengganu billions of investment”.

“Not 'glutton' bro... apa2 pun, semoga berjaya membawa balik 'cerita' yg muluk-muluk”... balas saya.

“Bahasa 'pelik' di negeri berpemimpin ajaib ....pah..aku org trg pun dok faham glutton tu bende”.. komen kawan itu lagi.

“Glutton' tu slang 'kekijalan' daerah yg ada di Hulu England (UK) kot... lebih kurang 'pelahap'lah kalu kita makan gok...kah3....” terang saya bergurau.

“Oh gitu....rasa2 elok ditujukan kpd pengikut pemimpin kebebalan....se lagi...aku jadi moyok kalu mu rehat lama baru ni.....” kata kawan saya lagi...

Keesokan harinya keluar berita sidang media MB Mat Said sebelum berangkat ke China (sekadar sedikit petikan sahaja) :

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) sebelum berlepas ke Guangzhou, China bersama 177 rombongan melalui penerbangan terus ke negara itu.

Ahmad berkata, beliau akan bertemu dengan Datuk Bandar Guangzhou serta Jabatan Perancang Bandar dan Landskap untuk membincangkan beberapa perkara dalam bidang perkilangan, lokasi memancing di Tasik Kenyir dan Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER).

Kemudian laman sesawang “BuletinOnline.net” pada 21 April 2010 menyiarkan tulisan berkaitan dengan lawatan ‘besar’ berkenaan melalui kolum pendapat laman web berkenaan dengan persoalan dan pertanyaan “Mengapa Delegasi Besar ke China?”

(*Nota : diperturunkan sepenuhnya pendapat yang tersiar di laman sesawang berkenaan kerana tulisan ini adalah cetusan minda rakyat – walaupun seorang, beliau (penulis berkenaan) masih tetap rakyat – sila baca di bawah).

Saya masih lagi tidak menghiraukan sangat acahan kawan saya dan ‘pandangan’ yang tersiar dalam buletin online berkenaan. Al-maklum, terus terang dimaklumkan bahawa kawan saya tu memang ‘tak sukakan’ MB Mat Said, sementara buletin online pula yang menggunakan tag/moto “media informasi terkini” dikendalikan oleh penyokong parti pembangkang (negara dan negeri Terengganu).

Sehinggalah kelmarin (1 Mei 2010) Sinar Harian melalui ruangan pojok wartawannya di Terengganu turut membangkitkan soal ini (walaupun penekanannya dari sudut penglibatan wartawan dalam rombongan berkenaan), menyebabkan banyak orang termasuklah saya sendiri tertanya-tanya, apa yang tak kena dengan rombongan itu atau hanya cerita yang ‘muluk-muluk’ sahaja yang dibawa balik untuk menghalalkan ‘kebesaran’ lawatan itu?

Tidak ada yang pelik dan ajaib sebenarnya di zaman pemerintahan MB Mat Said ini. Beliau kan MB tersohor abad ini? Apa nak dihairankan? Apa nak dipelikkan?

Yang koman dan ‘cap ayam’nya adalah pemimpin / MB terdahulu termasuk Derih Jusoh. Derih Jusoh tak pandai menghabiskan duit rakyat untuk membawa ramai orang melawat keluar negeri. Derih Jusoh hanya pandai habiskan duit rakyat untuk buat projek dalam negeri yang disebut MB Mat Said sebagai “tadok fe’dah sekepeng ke rakyat”. Jauh sekali hendak menyewa khas sebuah kapal terbang.

Yang koman juga PM atau TPM atau Menteri-menteri dulu, kini dan selamanya. Mana ada sejarah PM, TPM atau para Menteri yang menyewa khas sebuah kapal terbang untuk membawa ‘anak buah’ secara beramai-ramai keluar negara seperti yang dilakukan oleh MB Mat Said? PM atau TPM atau Menteri-menteri yang ada di Malaysia, semuanya tidak pandai hendak menggunakan kuasa. Nampaknya mereka kena datang ke Terengganu dan belajar dengan MB Mat Said perihal sebegitu.

Mana ada MB, KM atau PM atau TPM atau Menteri yang ‘berani’ menyewakhaskan sebuah kapal terbang untuk membawa rombongan menarik pelabur ke negerinya? Mana ada MB/KM yang ‘tak reti’ berjimat cermat dalam masa negara dan negeri menghadapi kegawatan? Mana ada MB/KM yang berani nak habiskan pitis rakyat dan negeri dengan apa cara sekalipun.

Kiralah berapa belanja yang perlu dibayar untuk seorang bagi lawatan ini. Tambang, makan minum, penginapan, perjalanan di China dan segala macam yang perlu dibelanjakan. Kalau benar kapal terbang itu disewa khas hanya untuk rombongan itu sahaja, hanya 177 orang yang perlu bayar tambang atau satu kapal terbang perlu ditanggung? Soal itu, kena tanya pilot kapal terbang itu sendiri. Pilot tu ambil tambang atau tidak. Tapi biasanya pilot, kalaupun mereka ambil, diambil untuk minum kopi dan belanja rokok sebungkus dua sahaja (macam drebar baslah jugok kot...).

Tapi tidak menjadi masalah punya. Apa yang hendak disusahkan sangat. Rakyat Terengganu amat terkenal sebagai rakyat yang mudah dikecek (tipu), senang dikelentong, gampang dilebong. Katakan sahaja bahawa semua yang pergi itu adalah tanggungan sendiri, kerajaan tak keluar duit sekepeng pun.

Waima tambang kapal terbang MB Mat Said sendiri syarikat penerbangan itu yang tanggung. Manakala makan minum, tempat tinggal di Guangzhou selama seminggu, beliau tinggal di rumah warisnya. (Nota : MB ramai waris di sana, sebagai cadangan selepas pencen nanti, nak pergi kerja di sana – ambil upah menangis orang mati???). MB Mat Said kan MB, mesti segala-galanya ditanggung halal. Lagi pun MB Mat Said sudah tersohor seantero dunia sebagai MB terhebat abad ini.

Tak perlulah susah-susah. Peduli apa dengan kata-kata orang. Ini masa MB Mat Said jadi MB. MB mesti ada kuasa. Kalau kuasa pun takut nak guna, buat apa jadi MB.

Jadi, suka dialah nak buat apa. Suka dialah nak buat keputusan macam mana. Suka dialah nak guna kuasa setakat mana. Suka dialah nak belanja pitis mas banyak mana, nak jual harta redok rakyat ke, nak gadai khazanah negeri ke, nak lelong balak ke, nak lelong bijih ke, nak pulon apa saja.. itu hak MB... MB berkuasa segala-galanya. Nasib baik tak beli kapal terbang saja. Kalau kerajaan negeri beli kapal terbang sendiri, siapa nak marah? Siapa peduli?

Bukankah itu akan memudahkan perjalanan MB and the geng ke mana-mana. Dalam dan luar negara? Bukankah MB Mat Said banyak tugas dan tanggungjawab di luar negara? Selang sebulan keluar negara, selang dua bulan keluar dari Malaysia. MB katakan. Jadi MB mesti kena sibuk. Mesti kena bagi nampak gah dan hebat. Mesti banyak berjalan, baru cepat habis duit. Siapa lagi yang hendak diharapkan untuk menghabiskan duit rakyat kalau tidak MB sendiri? Nak harapkan Exco, wakil rakyat atau wakil rakyat pembangkang.... hisssshhh, mereka semuanya cap ayam. Dok rok cetong....

PM/TPM tak perlu diberitahu atau jangan ‘galak gatal’ nak ambil tahu. Bukan PM/TPM jadi MB, MB Mat Said yang jadi MB. MB Mat Said bukan MB UMNO/BN, dia MB istana. Negeri Terengganu bukan negeri PM atau negeri TPM, ini negeri MB Mat Said punya. Orang lain jangan dengki, jangan ambil pot, jangan gatal tangan nak campur-campur urusan negeri ini. MB Mat Said sebagai MB tahulah apa yang baik dan apa yang buruk untuk negerinya. Peduli apa dengan duit rakyat. Yang penting bukan duit sendiri. Wow!!! Kan hebat bunyinya tu...

Makanya, berpegang teguhlah kamu kepada kata-kata “tiada yang pelik dan mustahil pada zaman pemerintahan MB Mat Said ini…” Barang hendak barang jadi... kun fayakun.... Cuma kalau nak hairan sedikit pun (itu pun kalau hendak... kalau tak mahu hairan pun, bolehlah dikatakan ‘sedikit yang tidak terjangkau dek fikiran’), ialah “kenapa MB Mat Said suka sangat dengan haiwan/binatang? ” Sampai ke China masih berunding pasal binatang...

Yang boleh tolong menjawabnya hanyalah Nabil Raja Lawak.... “Lu fikirlah sendiri...”

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Mengapa Delegasi Besar ke China?
(sumber : Buletin online)

Wednesday, 21 April 2010 08:25 Editor

Ahad lalu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said berangkat ke Guangzhou di China, memimpin satu delegasi perdagangan seramai 177 orang, yang cukup besar dengan standard apapun.

Lawatan ini dilaporkan bertepatan kerana berlangsungnya sebuah eksposisi perdagangan di bandar China itu, di mana Ahmad dikatakan akan bertemu Gabenor dan para pegawai China yang lain disertai pengusaha Terengganu yang akan menawarkan peluang-peluang perniagaan.

Di antara ahli delegasi adalah beberapa pengusaha industri walit yang akan mengadakan pertemuan dengan pengedar sarang burung walit di Guangzhou. Ia adalah dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai Hub global untuk sarang burung yang berkualiti tinggi.

Terengganu dilaporkan mengeksport sekitar 100kg sarang burung ke Guangzhou sebulan. Jumlah eksport sarang burung setahun tahun 1,200 kg - dalam RM25,000 kilo - dan bernilai RM30 juta. Dan itu hanyalah satu barang dagangan, mungkin akan ada banyak dagangan lain.

Namun, masih timbul pertanyaan kepada Dewan Undangan Negeri, di mana kerajaan negeri Terengganu dipertanggungjawabkan, persoalannya, adakah jumlah dagangan tahunan antara Guangzhou-Terengganu membenarkan saiz delegasi lawatan ‘mega’ yang sedang berada di China sekarang.

Ahmad perlu menjelaskan butiran delegasi dan kos yang terlibat sejurus selepas beliau kembali dari Guangzhou kerana, kesemua 177 orang itu adalah delegasi rasmi dan kosnya akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan hasil minyak, pastinya kerajaan dapat, dengan mudah membayar kos yang terlibat. Namun, rakyat masih ingin tahu seperti yang berlaku di Negeri Sembilan.

Dilaporkan dalam sidang DUN Negeri Sembilan (NS) kelmarin, jumlah belanja kos yang dikeluarkan oleh Menteri Besar ketika melakukan perjalanan rasmi pada tahun 2008 dan 2009.

Menteri Besar NS hanya melakukan dua perjalanan rasmi, satu ke Kuala Terengganu dengan Pembantu Khasnya dan yang lain ke Kuching bersama isteri dan Pembantu Khasnya. Kos untuk dua kali perjalanan itu adalah RM13,000, meliputi tiket pesawat dan penginapan hotel.

Dewan Undangan Negeri Terengganu, oleh kerana itu, perlu diberitahu seperti DUN Negeri Sembilan diberitahu tentang tujuan lawatan, identiti ahli delegasi dan penjelasan tentang mengapa mereka dimasukkan dalam senarai delegasi, maka kos yang terlibat dan diunjurkan manfaat dari perjalanan. Ia adalah kerana dana awam terlibat dan mesti diakaunkan sepenuhnya.

Jika tidak dilakukan, di mana Ahmad tidak melaporkan perincian lawatan 177 delegasi tersebut, ia adalah tugas pihak Dewan Undangan Negeri untuk memanggil perakaunan, meminta laporan. Lagi pula, badan perundangan (state legislature) terdiri daripada wakil-wakil rakyat yang memilih mereka ke sana.

Seharusnya, kerajaan negeri tidak perlu menunggu Ketua Audit Negara untuk mendedahkan penyalahgunaan dan membuat kecaman terhadap kerajaan.

Ahmad perlu bertindak melaporkan segala butiran lawatan atau menghadapi tuduhan menyalahgunakan dana awam dalam urusan kerajaan. Kerana terlalu banyak pelanggaran telah dilakukan tanpa semakan.

Oleh kerana itu, Parlimen atau Dewan Undangan Negeri harus memainkan peranan mereka, memastikan kerajaan dipertanggungjawabkan atas setiap tindakan yang dilakukakan. (Terjemahan bebas dari The Sun).

YANG UNTUK SANTAI-SANTAI

Dalam apa sekali situasi dan keadaan, santai amatlah digalakkan. Justeru marilah kita sama-sama bersantai agar minda dan tubuh kita senantiasa berada dalam keadaan tenang dan damai adanya. Apa lagi pada penghujung minggu dan cuti-cuti Malaysia sebegini.

Siling DUN Pulau Pinang Runtuh

Siling di bahagian galeri Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang runtuh semalam menjelang persidangan Dewan yang akan bermula Isnin ini. Menurut Speaker Datuk Abdul Halim Hussain, kira-kira 70 peratus siling di ruang tempat duduk media, pemerhati dan penulis hansard dilaporkan runtuh kira-kira 3.30 petang tadi.

"Ketika kejadian, terdapat dua hingga tiga kakitangan berada di dalam bangunan. Bagaimanapun mereka tidak mengalamai sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarahkan untuk menyiasat kejadian.Abdul Halim berkata runtuhan itu tidak akan menjejaskan persidangan nanti.

"Pihak kami juga sedia dengan alternatif lain termasuk kemungkinan memindahkan lokasi persidangan ke tempat lain seperti Dewan Sri Pinang, Dewan Universiti Sains Malaysia dan Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai," katanya.

Semasa ditinjau, pekerja JKR sudah memulakan kerja baik pulih dengan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob dan beberapa pegawai polis turut mengunjungi bangunan berkenaan.

Pada 23 Julai 2008, plaster siling sepanjang empat meter di bahagian tengah lobi bangunan itu turut dilaporkan jatuh dan hampir menimpa orang ramai yang sedang berada di situ. – Bernama

Tak perlulah menyusahkan minda memikirkan hubungan santai dan berita runtuhnya siling DUN Pulau Pinang ini. Dikatakan santai adalah bagi membolehkan pembaca sekalian berfikir secara menyantaikan minda dan tidak perlu bersusah payah mencari punca atau menuduh si anu atau si anu yang bersalah. Santai saja... santai saja... santai saja.... dengan sama-sama menyalahkan Derih Jusoh and the geng yang menyebabkan punca runtuhnya siling DUN Pulau Pinang itu.

Paling tidak pun, katakan bahawa Derih Jusohlah yang bersetuju membiayai perbelanjaan membina bangunan DUN Pulau Pinang itu dengan peruntukan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (wang ehsan) negeri Terengganu.

Katakan juga, tak cukup dengan bahang rasuah di Terengganu, Derih Jusoh and the geng rela 'hunggar' ke Pulau Pinang untuk bahang rasuah. Apa punya orang tu...

Tapi tidak perlulah menubuhkan Pasukan atau Jawatankuasa Penyiasat, teruskan mengarah SPRM supaya menyiasat Derih Jusoh and the geng. Nanti kalau ada Pasukan atau Jawatankuasa dan pasukan atau Jawatankuasa itu tidak mensabitkan kesalahan kepada Derih Jusoh, ramai yang tak berpuas hati dan ramai pula yang ‘tak jenera nak tidur’...

Berpegang teguhlah kamu kepada kata-kata “tiada yang pelik dan mustahil pada zaman pemerintahan MB Mat Said ini…” Rekalah kesalahan pemimpin terdahulu kerana segalanya adalah salah pemimpin terdahulu, di mana-mana dan bila-bila masa sahaja...
Related Posts with Thumbnails