Ahad, Februari 07, 2010

YANG MENGEJA

Kira-kira lebih sebulan yang lalu, ketika umum telah dimaklumkan berhubung dengan siapnya kertas laporan tragedi runtuhnya bumbung tempat duduk utama Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, MB Mat Said selayaknya boleh bermain selamat untuk tidak mendedahkan isi kandungan laporan berkenaan. Seperti biasa MB Mat Said memberikan alasan yang maha munasabah untuk tidak mendedahkannya.

Termasuk yang terbaru, penangguhan untuk tidak mendedahkan lagi kandungan laporan berkenaan oleh MB Mat Said masuk kali ketiga atau mungkin keempat ataupun kelima dan keenam. Janji dan tangguh lagi. Sudah banyak kali. Acap kali yang tidakpun dirasakan pelik. Kerana tiada yang pelik pada zaman pemerintahan MB Mat Said ini.

Memang betul sebab menyediakan laporan lebih susah dan lebih rumit serta kritikal daripada membina stadium atau bangunan itu sendiri. Kalau membina bangunan boleh siap dalam tempoh setahun atau setahun setengah, menyediakan laporan perlu juga tempoh yang hampir sama atau lebih lama lagi. Maklumlah, bukan mudah nak menyembunyikan nama-nama yang terlibat dengan penyelewengan.

Itulah bagus dan berhemahnya MBku ini. Bercakap sudah tidak membur dan bahang rambang lagi. Sudah ada batasan dan keberhati-hatian. Manalah tahu, kot-kot tersilap cakap lagi, terkeluar alasan yang melibatkan istana pula. Bagusnya lagi, MBku cuba sedaya mungkin untuk menyembunyikan dan menyelamatkan ‘kawan-kawan’ dan lawan-lawannya.

Tidak seperti mula-mula runtuhnya bumbung itu dulu, MB Mat Said and the gengnya seperti dihinggapi histeria, terlalu ghairah untuk mencari kesilapan yang seperti sudah pasti dilakukan oleh Derih Jusoh and the gengnya. Seperti tidak sabar-sabar untuk menunggu laporan dan terus ingin mendedahkan kepada umum bahawa runtuhnya bumbung stadium itu adalah angkara Derih Jusoh and the gengnya yang korupsi, yang menyeleweng dan memunahranahkan duit dan harta redok rakyat.

Tidak cukup dengan itu, muncul pula beberapa orang lembu yang menuding jari kepada beberapa nama lain di kalangan the geng of Derih Jusoh's. Malah amat mengharukan, ada seorang lembu yang lain, sempat mendedahkan kepada umum perihal yang boleh diistilahkan sebagai sulit dan rahsia kerajaan. Tetapi dek kerana ghairahnya lembu itu, maka soal sulit mulit dan rahsia mahsia itu bukan lagi menjadi perkara besar baginya. Yang penting, nama Derih Jusoh and the geng mesti dikotori dan mesti dikaitkan sebagai punca utama runtuhnya bumbung stadium berkenaan.

Tapi kali ini MB Mat Said amat berhati-hati walaupun beliau mengakui telahpun menerima laporan penuh punca, kelemahan dan segala macam yang berkaitan sehingga runtuhnya bumbung stadium berkenaan (berapa tebal, berapa muka dan berapa beratnya kertas laporan itu tidak pula dinyatakan).

Yang paling kelasnya jawapan MB Mat Said ialah apabila ada pihak media yang bertanya beliau, sama ada telah membaca atau belum laporan berkenaan. Kata beliau, sudah baca ‘sikit-sikit’. Maknanya kukuhlah alasan MB Mat Said untuk tidak lagi memberi kenyataan sebab baru baca sikit-sikit. Itu baru ada kelas. Kenyataan bertaraf dunia. Status MB berkelas dunia. Cara bagi alasan pun sudah menjelaskan betapa kelasnya MB yang kita semua sayangi ini.

Kenapa lambat? Kenapa masih tertangguh?

Apa punya wartawanlah yang selalu bertanya soal itu. Kan MB Mat Said sudah jelaskan bahawa beliau baru membaca sikit-sikit. Dan bila baca sikit-sikit, akan jadi lambatlah. Bila lambat tertangguh lagi. Kerana sikit-sikitlah yang lambat. Lambat dan sikit-sikit mungkin kerana laporan itu ditulis dalam bahasa Inggeris (bahasa yang kacang bagi MB Mat Said) atau dalam tulisan jawi. Lambat dan sikit-sikit mungkin kerana terpaksa mengeja. Jadi untuk apa nak desak-desak MB Mat Said kerana beliau terpaksa mengeja untuk menyelesaikan pembacaan laporan yang maha penting bagi dirinya itu.

Kalau tidak mengeja, masakan MB Mat Said masih nak sembunyikan kandungan laporan tu. Kalau diperhatikan daripada awal sebaik sahaja runtuhnya bumbung stadium dulu, seolah-olah tak payah ada laporan, semua dah tahu siapa terlibat dan sebab musababnya.

Terlibat Derih Jusoh and the geng. Sebabnya memunohkan harta redok rakyat. Musababnya runtuhlah bumbung. Dan lagi, seolah-olah apabila selesainya laporan disediakan dan tahu punca utama runtuhnya bumbung itu, tanpa banyak bercakap dan alasan, MB Mat Said terus sahaja ingin mendedahkan punca dan siapa yang bersalah. Siapa punya angkara dan siapa perlu bertanggungjawab. Dengan harapan yang tinggi, nama-nama seperti Derih Jusoh and the geng adalah nama-nama utama (wanted?) yang dibariskan dalam laporan berkenaan.

Tetapi kenapa pendedahan dalam laporan hasil siasatan itu belum didedahkan masih menjadi tanda tanya banyak orang. Sekali lagi diulangi, yang pasti, MB Mat Said belum habis membacanya atau sedang mengeja (ulang sedang mengeja. Ulang sedang mengeja...) Baru baca sikit-sikit. Baru mengeja-ngeja beberapa huruf yang sukar difahami dan sukar ditafsir. Jadi bersabarlah wahai rakyat jelata sekalian yang ada baik di bumi Darul Iman ini atau di luar bumi Darul Iman tetapi maha berminat untuk mengetahuinya.

Kita harap, selesai sahaja MB Mat Said mengeja laporan itu sepenuhnya, cepat-cepatlah mendedahkannya. Tak sabar-sabar rasanya nak mendengar bahawa nama Derih Jusoh and the gengnya dikaitkan sebagai punca runtuhnya bumbung stadium berkenaan. Tak sabar-sabar rasanya nak melihat mereka dikenakan tindakan sewajarnya atas kesalahan besar memalukan negeri Terengganu dan UMNO keseluruhannya itu. Inilah masanya nak meruntuhkan pula karier politik Derih Jusoh and the gengnya. Kata Jebat, 'hutang darah dibayar darah, hutang runtuh dibalas runtuh'. Biar padam muka mereka. Korupsi, menghabiskan harta redok rakyat, memunohkan pitis mas rakyat. Tak pandai mentadbir negeri, tak pandai merancang pembangunan negeri.

Jauh bezanya dengan MB Mat Said yang bijak serba serbi. Jadi atas kebijaksanaan MB Mat Said itu, kita harap laporan itu disegerakan pendedahannya. Dan jangan lupa, nama Derih Jusoh and the geng mesti dikaitkan juga. Tak payahlah MB Mat Said nak sembunyikan atau ‘selamatkan’ kawan-kawan rapat beliau itu daripada kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh mereka. Hukum dan kenakanlah tindakan sewajarnya. Baru rakyat berpuas hati berMBkan seorang MB yang telus, lurus, bejurus dan jerlus. Bukan macam MB sebelum-sebelumnya… Biar padam muka mereka… menghabiskan harta redok rakyat sahaja…

MB Mat Said jangan pedulikan apa orang nak kata. Siapa kata MB Mat Said jadi kelam kabut dan rasa bersalah dengan kenyataan beliau sebelum ini, setelah mendapati laporan siasatan yang disediakan oleh Jawatankuasa Penyiasat memperakui bahawa runtuhnya bumbung berkenaan adalah berpunca daripada masalah reka bentuk, installation serta tidak ada kena mengena dengan proses prosedur kontrak.

Siapa kata MB Mat Said tak tahu macam mana nak jawab kepada wartawan sepertimana dijanjikan oleh beliau. Itu bukan soalnya.. Soalnya walau apapun sebabnya, mesti dikaitkan dengan Derih Jusoh and the geng… Mesti, mesti dan mesti. Dan sekarang, segalanya sudah berada di tangan MB Mat Said dan beliau perlu berpegang kepada slogan “kita boleh”…

Berpegang teguhlah kamu kepada kata-kata “tiada yang pelik dan mustahil pada zaman pemerintahan MB Mat Said ini…”
Related Posts with Thumbnails