Ahad, Februari 07, 2010

YANG MENGEJA

Kira-kira lebih sebulan yang lalu, ketika umum telah dimaklumkan berhubung dengan siapnya kertas laporan tragedi runtuhnya bumbung tempat duduk utama Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, MB Mat Said selayaknya boleh bermain selamat untuk tidak mendedahkan isi kandungan laporan berkenaan. Seperti biasa MB Mat Said memberikan alasan yang maha munasabah untuk tidak mendedahkannya.

Termasuk yang terbaru, penangguhan untuk tidak mendedahkan lagi kandungan laporan berkenaan oleh MB Mat Said masuk kali ketiga atau mungkin keempat ataupun kelima dan keenam. Janji dan tangguh lagi. Sudah banyak kali. Acap kali yang tidakpun dirasakan pelik. Kerana tiada yang pelik pada zaman pemerintahan MB Mat Said ini.

Memang betul sebab menyediakan laporan lebih susah dan lebih rumit serta kritikal daripada membina stadium atau bangunan itu sendiri. Kalau membina bangunan boleh siap dalam tempoh setahun atau setahun setengah, menyediakan laporan perlu juga tempoh yang hampir sama atau lebih lama lagi. Maklumlah, bukan mudah nak menyembunyikan nama-nama yang terlibat dengan penyelewengan.

Itulah bagus dan berhemahnya MBku ini. Bercakap sudah tidak membur dan bahang rambang lagi. Sudah ada batasan dan keberhati-hatian. Manalah tahu, kot-kot tersilap cakap lagi, terkeluar alasan yang melibatkan istana pula. Bagusnya lagi, MBku cuba sedaya mungkin untuk menyembunyikan dan menyelamatkan ‘kawan-kawan’ dan lawan-lawannya.

Tidak seperti mula-mula runtuhnya bumbung itu dulu, MB Mat Said and the gengnya seperti dihinggapi histeria, terlalu ghairah untuk mencari kesilapan yang seperti sudah pasti dilakukan oleh Derih Jusoh and the gengnya. Seperti tidak sabar-sabar untuk menunggu laporan dan terus ingin mendedahkan kepada umum bahawa runtuhnya bumbung stadium itu adalah angkara Derih Jusoh and the gengnya yang korupsi, yang menyeleweng dan memunahranahkan duit dan harta redok rakyat.

Tidak cukup dengan itu, muncul pula beberapa orang lembu yang menuding jari kepada beberapa nama lain di kalangan the geng of Derih Jusoh's. Malah amat mengharukan, ada seorang lembu yang lain, sempat mendedahkan kepada umum perihal yang boleh diistilahkan sebagai sulit dan rahsia kerajaan. Tetapi dek kerana ghairahnya lembu itu, maka soal sulit mulit dan rahsia mahsia itu bukan lagi menjadi perkara besar baginya. Yang penting, nama Derih Jusoh and the geng mesti dikotori dan mesti dikaitkan sebagai punca utama runtuhnya bumbung stadium berkenaan.

Tapi kali ini MB Mat Said amat berhati-hati walaupun beliau mengakui telahpun menerima laporan penuh punca, kelemahan dan segala macam yang berkaitan sehingga runtuhnya bumbung stadium berkenaan (berapa tebal, berapa muka dan berapa beratnya kertas laporan itu tidak pula dinyatakan).

Yang paling kelasnya jawapan MB Mat Said ialah apabila ada pihak media yang bertanya beliau, sama ada telah membaca atau belum laporan berkenaan. Kata beliau, sudah baca ‘sikit-sikit’. Maknanya kukuhlah alasan MB Mat Said untuk tidak lagi memberi kenyataan sebab baru baca sikit-sikit. Itu baru ada kelas. Kenyataan bertaraf dunia. Status MB berkelas dunia. Cara bagi alasan pun sudah menjelaskan betapa kelasnya MB yang kita semua sayangi ini.

Kenapa lambat? Kenapa masih tertangguh?

Apa punya wartawanlah yang selalu bertanya soal itu. Kan MB Mat Said sudah jelaskan bahawa beliau baru membaca sikit-sikit. Dan bila baca sikit-sikit, akan jadi lambatlah. Bila lambat tertangguh lagi. Kerana sikit-sikitlah yang lambat. Lambat dan sikit-sikit mungkin kerana laporan itu ditulis dalam bahasa Inggeris (bahasa yang kacang bagi MB Mat Said) atau dalam tulisan jawi. Lambat dan sikit-sikit mungkin kerana terpaksa mengeja. Jadi untuk apa nak desak-desak MB Mat Said kerana beliau terpaksa mengeja untuk menyelesaikan pembacaan laporan yang maha penting bagi dirinya itu.

Kalau tidak mengeja, masakan MB Mat Said masih nak sembunyikan kandungan laporan tu. Kalau diperhatikan daripada awal sebaik sahaja runtuhnya bumbung stadium dulu, seolah-olah tak payah ada laporan, semua dah tahu siapa terlibat dan sebab musababnya.

Terlibat Derih Jusoh and the geng. Sebabnya memunohkan harta redok rakyat. Musababnya runtuhlah bumbung. Dan lagi, seolah-olah apabila selesainya laporan disediakan dan tahu punca utama runtuhnya bumbung itu, tanpa banyak bercakap dan alasan, MB Mat Said terus sahaja ingin mendedahkan punca dan siapa yang bersalah. Siapa punya angkara dan siapa perlu bertanggungjawab. Dengan harapan yang tinggi, nama-nama seperti Derih Jusoh and the geng adalah nama-nama utama (wanted?) yang dibariskan dalam laporan berkenaan.

Tetapi kenapa pendedahan dalam laporan hasil siasatan itu belum didedahkan masih menjadi tanda tanya banyak orang. Sekali lagi diulangi, yang pasti, MB Mat Said belum habis membacanya atau sedang mengeja (ulang sedang mengeja. Ulang sedang mengeja...) Baru baca sikit-sikit. Baru mengeja-ngeja beberapa huruf yang sukar difahami dan sukar ditafsir. Jadi bersabarlah wahai rakyat jelata sekalian yang ada baik di bumi Darul Iman ini atau di luar bumi Darul Iman tetapi maha berminat untuk mengetahuinya.

Kita harap, selesai sahaja MB Mat Said mengeja laporan itu sepenuhnya, cepat-cepatlah mendedahkannya. Tak sabar-sabar rasanya nak mendengar bahawa nama Derih Jusoh and the gengnya dikaitkan sebagai punca runtuhnya bumbung stadium berkenaan. Tak sabar-sabar rasanya nak melihat mereka dikenakan tindakan sewajarnya atas kesalahan besar memalukan negeri Terengganu dan UMNO keseluruhannya itu. Inilah masanya nak meruntuhkan pula karier politik Derih Jusoh and the gengnya. Kata Jebat, 'hutang darah dibayar darah, hutang runtuh dibalas runtuh'. Biar padam muka mereka. Korupsi, menghabiskan harta redok rakyat, memunohkan pitis mas rakyat. Tak pandai mentadbir negeri, tak pandai merancang pembangunan negeri.

Jauh bezanya dengan MB Mat Said yang bijak serba serbi. Jadi atas kebijaksanaan MB Mat Said itu, kita harap laporan itu disegerakan pendedahannya. Dan jangan lupa, nama Derih Jusoh and the geng mesti dikaitkan juga. Tak payahlah MB Mat Said nak sembunyikan atau ‘selamatkan’ kawan-kawan rapat beliau itu daripada kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh mereka. Hukum dan kenakanlah tindakan sewajarnya. Baru rakyat berpuas hati berMBkan seorang MB yang telus, lurus, bejurus dan jerlus. Bukan macam MB sebelum-sebelumnya… Biar padam muka mereka… menghabiskan harta redok rakyat sahaja…

MB Mat Said jangan pedulikan apa orang nak kata. Siapa kata MB Mat Said jadi kelam kabut dan rasa bersalah dengan kenyataan beliau sebelum ini, setelah mendapati laporan siasatan yang disediakan oleh Jawatankuasa Penyiasat memperakui bahawa runtuhnya bumbung berkenaan adalah berpunca daripada masalah reka bentuk, installation serta tidak ada kena mengena dengan proses prosedur kontrak.

Siapa kata MB Mat Said tak tahu macam mana nak jawab kepada wartawan sepertimana dijanjikan oleh beliau. Itu bukan soalnya.. Soalnya walau apapun sebabnya, mesti dikaitkan dengan Derih Jusoh and the geng… Mesti, mesti dan mesti. Dan sekarang, segalanya sudah berada di tangan MB Mat Said dan beliau perlu berpegang kepada slogan “kita boleh”…

Berpegang teguhlah kamu kepada kata-kata “tiada yang pelik dan mustahil pada zaman pemerintahan MB Mat Said ini…”

Jumaat, Februari 05, 2010

YANG BAHALOL & YANG BODOFUL

Hamba sebagai hamba Tuhan yang daif lagi serba kekurangan ini sebenarnya tidak tahu ada manusia yang setaraf lembu tahap kebodohannya, sehinggalah hamba membaca posting blogger Tuan Ayob Mamat dalam blognya Penaku (di sini).

Hamba menjadi terfikir banyak kali untuk menulis posting ini kerana diri hamba tidak berniat untuk menyerang seseorang secara peribadi kecuali perkara yang dilakukan oleh seseorang itu ‘secara peribadinya’ menjejaskan imej sebagai pemimpin masyarakat ramai seperti di kampung hamba (kerana kita sanggup untuk menjadi pemimpin, maka kita wajar dan wajib menjadi teladan dan membimbing orang-orang yang dipimpin, bukan menjelaskan keegoan dan kesombongan, menunjuk-nunjuk kuasa, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya), juga yang merosakkan orang banyak dan memusnahkan kepentingan ramai serta memudaratkan kepentingan umum yang ada hubungan dengan kedudukan dan kekuasaan semasa mereka. Jugalah adanya kalaulah seseorang itu secara amat terang dan nyata memperlihatkan kebodohan dan kesombongannya.

Dan hamba pun inginlah jelaskan sedikit sebelum kalam hamba dipanjangi yakni berhubung perihal ini yang perlu kita fahami maknanya dengan sebenar-benarnya. Mohon sangat-sangatlah wahai sekalian makhluk Tuhan, agar tidak disalahtafsirkan maknanya oleh tuan-tuan hamba yang bijaksana lagi bestari itu.

Jadi akan kerana itulah dan juga kerana hamba menyahut seruan orang kampung hamba agar “tulislah walaupun secuit, kerana Tuan Ayob menyebut nama tuan hamba, bukan kerana yang lain. Yang lain pedulikan aje…” (orang kampung hamba kadang-kadang berkeceknya pekat loghat keindonesiaan. Kadang-kadang tu pulak bertukar, sesekali loghat Terengganu, sesekali loghat Kelantan. Kerana orang kampung hamba nin, bukan calang-calang orang. Ada yang pernah dapat Anugerah Kajai pun).

Tanpa membuang masa, mari tuan-tuan hamba, kita kembali membelek tulisan Tuan Ayob Mamat dalam blognya itu. Dalam hal apa yang ‘dicotengkan’ oleh Tuan Ayob itu, hamba amat-amat bersetuju dan bersependapat dengan Tuan Ayob tentang ‘status’ penulis yang menyembunyikan identiti dan menghentam seseorang dengan menggunakan nama umum atau nama samaran begitu (kalau di kampung hamba dipanggil ‘nama tuchut’. Tanyalah orang kampung hamba apa maknanya, pasti mereka segera menjawab ‘tuchut’ tu bermakna 'batu kecut'. Masya-Allah, orang kampung hamba nin, ada mulut yang tak sensor langsung).

Pun demikian, hamba bersetuju dan bersependapat dengan Tuan Ayob bukan kerana Tuan Ayob seperti membela (sebut betul-betul – jangan bertukar pula antara e pepet dan e taling) hamba, tetapi memang begitu pendirian hamba dan pemikiran hamba, dari dulu-dulu lagi. Mungkin semenjak dilahirkan.

Kalau di zaman nenek moyang hamba dan di negeri hamba yang kemunduran ini, orang seperti yang dimaksudkan oleh Tuan Ayob itu bukan sahaja setakat apa yang disebutkan oleh Tuan Ayob sebagai ‘kebodohan, ketongongan dan kecetekan akal’, tetapi mereka seperti ini lebih layak dilabelkan sebagai orang bacul, dayus dan kalau dia seorang lelaki, lelaki yang tidak ada batu (kerana kecut?) atau kalau perempuan munasabah sangatlah. Malahan orang seperti ini turut diberi gelar orang yang maha bahalol dan maha bodoful (istilah orang kampung hamba lagi tu – singkatan daripada ‘maha bodoh sepenuhnya’ – bodohfull – berkecek manggris pulok dah orang kampung hamba nin).

Dan lebih dahsyat lagi, orang-orang kampung hamba turut memposterkan (lebih daripada labellah tu maknanya), mereka ini bukan daripada jenis manusia, kerana kata orang-orang kampung hamba lagi, kalau dia itu manusia, sewajarnya dia menghargai jasa ayah dan ibunya yang bersusah payah memikirkan untuk menamakan dirinya. Puas orang tua tu bergaduh dan membelek kitab-kitab nak mencari nama. Tuk.. tuk... tak dipakainya nama yang diberi. Kesihan orang tua beliau. Kalaulah mereka tahu, amatlah berasa hatinya orang tua tu ya?

Kalau dia menghargai, sudah tentu beliau mempunyai dan menggunakan namanya, waima dia anak luar nikah sekalipun. Itu kata orang kampung hamba lagi. Dan itu juga yang dikatakan oleh P.Ramli Nujum Pak Belalang…. bukan hamba yang kata…

Hamba pun kadang-kadang terfikir – benar juga kata orang-orang kampung hamba itu. Amat tepat dan setaraf kalau sifat kebodohan, kesombongan, kedayusan serta kebahlolan si manusia yang dimaksudkan oleh Tuan Ayob ini disamatarafkan statusnya dengan binatang. Dan kalau mengikut ukuran yang diukur oleh orang-orang kampung hamba, si dia ini kalau ditimbang berat ringan dan sesuai tepatnya dengan sifat kebodohsombongan dan kebahlolbengongan seperti perlakuannya itu, binatang paling sesuai dan tepat adalah lembu.

Hal ini demikian kerana, mungkin orang di kampung hamba ramai yang mengembala lembu. Jadi lembu sahajalah yang mudah bagi mereka mengadudombakannya. Bukan kambing boer, bukan gajah, bukan beruk, bukan belalang, bukan ayam, bukan bukan bukan… Lembu sahaja. Sedap dan mudah disebut, di mana-mana dan bila-bila masa…

Pesan orang kampung hamba lagi, “Lu sama-samalah fikirkan sendiri bagaimana sifat dan sikap seekor lembu….” (Waduss… orang kampung hamba bercakap ‘lu gua lu gua’ pulak dah…)

Maaflah, hamba hanya mengetahui sedikit perihal yang ditulis oleh lembu ini melalui tulisan Tuan Ayob. Maafkan hamba kerana hamba tidak pernah berminat untuk membaca blog atau tulisan orang (?) seperti ini, apa lagi kalau tulisan itu adalah tulisan lembu. Nanti kalau hamba baca, orang kampung hamba akan memarahi hamba. Kata orang kampung hamba… “tulisan lembu pun tuan hamba baca?”

Jadinya, janganlah pula dimarah akan hamba dengan tulisan ini kerana hamba sendiri sebenarnya tidak pernah tahu dan tidak sekelumit pun berhasrat untuk mahu mengambil tahu siapa (lembu mana?) sebenarnya yang dimaksudkan oleh Tuan Ayob lewat tulisannya itu. Alaa... iklan TV pun banyak guna lembu, macam iklan susu tu... tak kan tukang buat iklan pun nak marah kot???

Akhirul kalam pesan orang kampung hamba…. Kalau sebenarnya itu memang lembu, biarlah ia terus menjadi lembu. Tetapi kalau sifatnya sahaja lembu, diharapkan pada ketika dunia sudah di penghujung ini, lembu itu dapat berubah menjadi manusia. Kalaupun tidak keseluruhan sifatnya, otaknya sahaja pun biarlah menjadi otak manusia. Kerana dengan otak manusia, walaupun tonggong dan bahalol, dia tetap namanya manusia. Cuma akan digelar orang - 'manusia tonggong dan bahalol' - namun dia tetap manusia.

Yang tak ingin didengar oleh orang kampung hamba… “base lembu tonggong dan bahalol… munasabahlah jadi lembu punggg…." Harap-harap janganlah begitu adanya. Amin….

Demikianlah adanya alkisah lembu yang tonggong dan bahalol itu….(Oppp!!! Maafkan hamba lembu, hamba tersalah panggil lagi…)

Khamis, Februari 04, 2010

YANG KEMARUK NAK JADI MB?

Heboh diperkatakan terdapat beberapa orang wakil rakyat di Terengganu sedang menyiapkan diri untuk menjadi Menteri Besar Terengganu yang baru menggantikan MB Mat Said. Sehingga ada dikatakan beberapa orang isteri kepada Ahli-ahli Yang Berhormat berkenaan sudahpun menempah kain sutera dan menghias diri kononnya akan menjadi wanita pertama negeri Terengganu Darul Gondol ini.

Ish.. ish… ish…. Ini mesti kerja YB-YB cap ayam yang masih tak tekup batu dan tak dapat kawasan balak serta tak dapat projek rumah mampu milik atau projek-projek lain anugerah oleh MB Mat Said nin. Dalam bahasa yang lembut dan mudahnya - YB-YB yang masih tidak berjaya DIBELI oleh MB Mat Said dan YB-YB yang tak sempat dikelentong oleh MB Mat Said bahawa mereka ini ditolak oleh istana. Mereka memang tidak sedar kediri. Tak faham-faham, tak reti base.

Apa punya hal yang mereka galak gatal sangat nak jadi MB? Kang MB Mat Said tu sudah kelas gitu. Sudah hebat dan sudah tersohor seantero dunia sebagai MB terhebat abad ini? MB Mat Said bukan sebarangan orang. Jangan bercakap pasal pembangunan dan soal nasib rakyatlah. MB Mat Said tak main dan tak penting pasal itu semua. Yang penting kepada MB Mat Said ialah bagaimana nak menghabiskan harta redok negeri dan harta redok rakyat Terengganu. Bagaimana nak kayakan ‘and the geng’nya dan bagaimana nak kekalkan kuasanya. Yang lain tu, tidak penting, tidak mustahak, tidak menjadi kepentingan dan tidak termasuk dalam senarai ‘keutamaan' kepada dirinya.

Mana boleh nak ganti MB Mat Said. Kawasan balak betullah dah nak habis dibahagi tetapi ada lagi yang masih belum terjual. Wang royalti belum lagi diterima. Kawasan bijih besi, kawasan pertanian, kawasan lapang, belum lagi dipindahmilikkan. Kambing-kambing boer, lembu-lembu, beruk monyet dan gajah-gajah belum lagi dibeli. Pulau-pulau masih banyak lagi yang belum digadai. Baja-baja banyak lagi yang belum dijual. Saing rodong belum lagi jadi Pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah GLC, belum lagi jadi SUK, belum lagi jadi Pegawai Kewangan, belum lagi lompat gred.

Lagi pun untuk apa kemaruk dan gila sangat nak jadi MB tu? Pitis mas tadok sekepeng dah. Hasil negeri licing moner dah. Kawasan balak jual kira lori saja, kalau adapun tinggal sejoker dua je lagi. Tu pun hak hujung-hujung, hak batang kurus-kurus dan hak yang belum sempat ditukar statusnya lagi. Yang lain, semuanya dah gondol belaka. Jadi nak tadbir apa lagi? Nak cari hasil negeri celah mana lagi?

Nak tebeng apa lagi? Janganlah jadi bodoh wahai YB-YB yang gila nak jadi MB tu. Jadi tak berapa cerdik seperti yang disebutkan oleh MB Mat Said lebih baik. Buat-buat bodoh lebih baik daripada buat-buat cerdik tapi memang comfirm bodoh. Tak kan itu pun tak reti lagi wahai YB-YB cap ayam… Tak kan yang itu pun nak kena MB Mat Said juga ajar.

Wahai YB-YB yang kemaruk nak jadi MB sekalian. Ini nak maklumkan (bukan mengajar atau menasihati tetapi sekadar ingin memaklumkan) :

Janganlah jadi seperti seorang lembu yang bodoh tonggong tu. Lembu gembalaan MB Mat Said ini bukan sahaja bodoh sombong tapi juga bahalol dan bla bla bla… Yalah lembu. Kerana apa dipanggil lembu, kerana memang dia lembu. Nak sebut nama pun memang spesis lembu jarang sekali tuannya berikan nama. Dah memang dia lembu, bodoh pun, memang lembu bodoh (lembu nin saya sendiri pun tak tahu yang mana satu. Cuma dimaklumkan, sesekali ada di Tingkat 16, sesekali ada di Tingkat Atas. Hebat lembu ni boleh naik turun lif dan naik turun tangga. Tapi seperti kata pepatah Melayu, ‘lembu mana (siapa) yang makan rumput, dialah yang terasa racun paraquatnya’…).

Yang geli hatinya, lembu ini seperti sengaja menonjolkan sifat kebodohlembuannya. Yalah, almaklum lembu. Namanya dah lembu. Tak boleh nak kata apalah. Kalau manusia atau orang tu, ada juga namanya. Mamat ke, Derih ke, Stopa ke, Semek ke, Mek Wok ke. Bermakna kalau apa-apa pun yang disebut oleh lembu ini, tak boleh nak kata apa lagi. Kalau dipertikaikan pun, dia memang dah comfirm bodoh (macam) lembu sebab dia lembu. Layak dan logiklah apa yang diperkatakannya.

Tetapi wahai YB-YB yang kemaruk kuasa, pedulikan apa yang lembu tu katakan. Jawatan MB bukannya jawatan yang tokki atau tok lembu itu tinggalkan. Bukan milik tokki atau tok dia. Bukan warisan nenek moyang dia. Mana ada jawatan MB peninggalan tok atau tokki lembu dalam dunia nin. Kalau DS Najib atau DS Hishammuddin atau mana-mana pemimpin parti UMNO/BN tu sendiri pun tak boleh nak buat apa dengan MB Mat Said – maksudnya tak mampu untuk tentukan kedudukan MB Mat Said – memang maha tepat dan betullah tu. DS Najib atau DS Hishammuddin atau mana-mana pemimpin sekalipun, memang sedar kediri. Mereka tak mampu dan tak layak, sebab jawatan MB tu bukannya peninggalan tok atau tokki mereka. Mereka hanya menjalankan amanah berdasarkan kedudukan yang dipertanggungjawabkan.

DS Najib atau DS Hishammuddin atau pemimpin lainnya hanya diberikan amanah untuk menjaga dan memimpin parti dan kerajaan. Mereka diberi amanah dan tanggungjawab. Mereka melaksanakan tugas mengikut kemampuan dan kuasa yang diamanahkan ahli parti dan rakyat. Sekali ahli berkehendakkan mereka menjadi pemimpin mereka, mereka sekali gus seperti diberi ‘kuasa’ untuk mewajarkan mereka menentukan kedudukan sesiapa berdasarkan kuasa-kuasa yang diamanahkan itu. Itu adalah prinsip dan aturan berparti, berkerajaan dan berkepimpinan.

Yang jelas, mereka tidak pernah menjadikan jawatan yang dimiliki mereka sebagai hak peribadi atau mewarisi peninggalan nenek moyang mereka, walaupun ayah dan keluarga mereka pernah menduduki jawatan yang disandang mereka sekarang. Mereka tidak pula jelas sedang berhempas pulas untuk menghabiskan harta redok rakyat dan negara. Kerana mereka tahu, mereka dikehendaki oleh rakyat untuk memimpin mereka. Dan walaupun yang melantik PM, TPM dan Menteri-menteri itu adalah istana, mereka tidak pula mendabik dada mengatakan mereka adalah PM, TPM atau Menteri istana.

Mereka sedar jawatan dan kuasa yang diberikan bukan jawatan warisan atau hak mereka atau hak tok dan tokki atau yang ayah mereka tinggalkan. Itulah bezanya seorang pemimpin yang boleh berfikir dan membezakan, berbanding dengan seorang lembu yang memang sah tahap pemikiran berkelembuannya.

Seperti yang Dr Jepun in bracket sebutkan di hadapan khalayak ramai dalam perhimpunan agung UMNO tahun lalu di PWTC, MB Mat Said DIPAKSA oleh istana untuk memegang jawatan MB Terengganu. Bukannya MB Mat Said yang gila dan kemaruk nak jadi MB. Dia dipaksa. Kalau tidak menerimanya, dia akan dilabelkan sebagai penderhaka. Kesihan MB Mat Said. Beliau bukan orangnya yang derhaka. Beliau bukan si-Tanggang anak derhaka atau si-Jebat derhaka. Bermakna bukan salah MB Mat Said. MB Mat Saidlah yang betul. Kerana itu, MB Mat Said berhak untuk menjaja dan menjualnya. Dengan status MB istana itulah, MB Mat Said selamat dan boleh bermahaistanarela (bermaharajalela?).

Itulah amalan MB Mat Said. Dah memaksa sangat dia jadi MB. Lantak ajelah. Itukan amanah dan tanggungjawab. MB Mat Said telah sedaya upaya menjalankan amanah dan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. MB Mat Said sudah berjaya menunaikan amanah supaya menjual harta redok rakyat dan menyempurnakan tanggungjawab menggadai harta redok negeri. Jadi, untuk apa lagi perlu tukarkan MB?

Aduhai YB-YB sekalian,

Akuilah bahawa menjaja dan menjual nama istana oleh MB Mat Said sebegitu adalah tindakan yang maha wajar, kerana tindakan itu boleh menghalalkan cara, sekali gus beliau and the gengnya boleh bertindak sewenang-wenangnya tanpa memperdulikan pucuk pimpinan parti atau sesiapa sahaja, apa lagi rakyat yang tak punyai apa-apa kuasa dan tak tahu apa-apa itu - semata-mata kerana dia adalah MB istana.

Jadi YB-YB cap ayam sekalian,

Janganlah berangan-angan nak jadi MB, walaupun anda semua ‘layak’ untuk menjadi MB. Layak dalam erti kata, seseorang MB perlu dilantik di kalangan ahli-ahli Yang Berhormat. Pedulikanlah kelayakan itu selagi MB Mat Said masih ada. Kelayakan dengan ‘status YB’ itu sahaja yang ahli-ahli YB semua boleh tayangkan, sedangkan dari segi idea, pemikiran, gerak kerja, perancangan, visi dan misi serta segala macam keperluan lain selayaknya sebagai seorang MB, YB-YB semua jauh ketinggalan berbanding kemampuan dan hebatnya MB Mat Said. Jauh seperti planet pluto dengan bumi.

MB Mat Said maha mesra rakyat. Mana ada MB sebelum ini yang semesra rakyat semacam MB Mat Said. Mana ada MB sebelum ini yang boleh singgah di gerai-gerai makan kecil untuk makan bersama rakyat, walaupun sekejap sambil-sambil nak melawat kawasan lombong atau kawasan hutannya. Rakyat mana yang tidak ‘gumbira’ apabila seorang MB sanggup mencemar diri makan di warung-warung kecil tepi jalan. Rakyat (walaupun di kampung) semuanya sudah cerdik dan tak mudah ditipu dan dikaburi mata mereka. MB Mat Said ternyata telah berjaya mengelak daripada menipu dan mengaburi mata rakyat. MB Mat Said orang yang jujur dan ikhlas dalam segala hal.

Dah tu, masih tak puas hati dengan MB Mat Said. Sehingga sebegitu pengorbanan yang ditunjukkan oleh MB Mat Said, masih ada yang masih tidak puas hati? Entahlah… Nampaknya kena beli dan sedekah lembu serta air zam-zam dan kurma banyak lagi kepada mereka yang terus-terusan tidak puas hati ini. Insya-Allah, dengan meminum air zam-zam dan makan kurma bergambar MB Mat Said, harap-harap sejuklah sikit hati mereka.

Percaya dan yakinlah, tidak ada di kalangan YB-YB yang ada sekarang boleh setanding, sehebat dan selayak MB Mat Said. Sebutlah siapa MB dalam dunia ini, seorang pun tak boleh setaraf MB Mat Said. Cukup dengan MB Mat Said menyebut kun fayakun sahaja, semuanya sudah ternganga, tak ada lagi orang yang boleh melawan kehebatan beliau.

Wahai YB-YB cap ayam….

Kalaupun MB Mat Said duduk sahaja di kerusi MBnya atau ‘katakanlah’ (katakan sahaja, bukan betul. Maaflah kalau perkataan tu tak sesuai atau sensitif digunakan), MB Mat Said nak menderhaka dan tak mahu jadi MB, pun YB-YB yang ada masih tidak layak dan tidak boleh untuk menjadi MB. Kerana sudah ada yang berlagak dan perasan yang dialah sebenarnya MB, bukan MB Mat Said. MB Mat Said pada mereka boneka sahaja. MB Mat Said kena getel kepala sahaja. MB Mat Said hanya pada nama sahaja, kuasa dan keputusan di tangan orang lain.

Itulah dikatakan bagusnya MB Mat Said. Beliau telah ‘menurunkan’ kuasa-kuasa kepada mereka ini dan hasilnya tunjuk lagak mereka sudah jelas melampaui tugas dan kuasa MB Mat Said sendiri. Satu penghasilan yang maha cemerlang dan terbilang lagi tembelang.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang memelikkan dan mengajaibkan kerana di zaman MB Mat Said tidak ada yang pelik, ajaib atau mustahil. Semuanya OK dan KO belaka. MB Mat Said bukannya tidak sedar, malah amat sedar dan amat tahu. Lembu itu pun rasanya amat tahu walaupun bodoh macam lembu. Tahu bahawa adanya orang @ manusia yang memang tak layak menjadi MB tetapi sudah berlagak lebih daripada seorang MB.

Jadi wahai YB-YB yang kemaruk sekalian,

Lupakanlah sahaja hasrat YB-YB untuk menjadi MB kalau betul YB berhasratnya begitu. Sudah pasti YB-YB semua tidak layak dan tidak mampu untuk mentadbir negeri Terengganu Darul Gondol ini. Perkara utama yang YB-YB gagal untuk menuruti cara dan pendekatan kecemerlangan kepimpinan MB Mat Said ialah YB-YB tidak mampu dan tidak tergamak untuk menggadai dan menghabiskan harta redok rakyat dan negeri. Itulah yang menghalang YB-YB untuk menjadi MB. Rasa tergamak dan teringin itu adalah maruah terbesar dan aset penting yang perlu ada pada seseorang untuk menjadi MB Terengganu Darul Gondol ini. Kalau tidak ada itu, lupakan sahaja hasrat menggunung itu. Beritahu isteri YB supaya sedekahkanlah kain sutera itu untuk rakyat kawasan YB.

Lupakan sahaja kegilaan dan kekemarukan YB-YB untuk menjadi MB itu. Berilah kerjasama dan sokongan penuh kepada kepimpinan MB Mat Said untuk memudahkan tugas beliau menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan untuk menggadai dan menjual negeri Terengganu ini. Menggadai dan menjual harta redok negeri dan rakyat Terengganu. Seterusnya menggadai maruah warga negeri yang menghormati dan menjunjung tinggi institusi istana yang berdaulat dan terpuji itu.
Related Posts with Thumbnails