Rabu, Januari 20, 2010

YANG MEMANFAATKAN PENGARUH

Alhamdulllah… Cerita memanfaatkan kuasa terdahulu amat berkait rapat dengan cerita memanfaatkan pengaruh ini. Kali ini pengaruh salah seorang ‘and the geng’ kepada MB Mat Said.

Sebelum cerita dilanjutkan, JAM terkenang dua cerita yang telah sekian lama dipostingkan oleh sahabat JAM, Sdr Mohd Zabidi Saidi, blogger Memo Belakang yang khabarnya sekarang menjadi penyokong kuat MB Mat Said. Dua cerita di bawah ini dipetik semula daripada blog memo belakangnya.

Untuk makluman juga, cerita HAJI DOL KUASAI UMNO KEMAMAN turut disiarkan dalam akhbar Mingguan Watan yang pada ketika itu, Sdr Mohd Zabidi bertugas sebagai Editor akhbar berkenaan. Sama-samalah kita mengembalikan semula nostalgia dengan membaca kembali cerita yang dipostingkan oleh Mohd Zabidi Saidi ini :

Khamis, Februari 19, 2009
HAJI DOL KUASAI UMNO KEMAMAN

UMNO Bahagian Kemaman yang diketuai oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said telah membuat rombakan berikutan pemilihan ahli jawatankuasa UMNO bahagian yang baru tahun lepas.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Rosli Ahmad dilantik sebagai Setiausaha UMNO Bahagian yang baru menggantikan Zahari Said. Zahari Said yang menjadi Setiausaha selama dua penggal adalah bekas setiausaha pemuda ketika Ahmad Said menjadi ketua pemuda (1993-1998). Zahari yang berasal dari Besut dikatakan orang bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Manakala Haji Dol dilantik sebagai Bendahari yang baru menggantikan Ghani Zahari (GZ). Ramai yang mempertikai perlantikan Rosli sebagai Setiausaha Bahagian kerana sewaktu krisis perlantikan Menteri Besar Terengganu pada tahun lepas, beliau tidak menyokong Ahmad Said sebagai Menteri Besar. Rosli dikatakan menghantar sms kepada ahli-ahli UMNO supaya tidak menyambut Ahmad Said di sempadan Terengganu-Pahang sekembalinya Menteri Besar baru itu dari Kuala Lumpur. Seorang bekas pemandu lori, Hassan Ali pula dilantik Ketua Penerangan UMNO Bahagian.

Rosli yang juga Penyelia Kanan KEMAS juga dikatakan berperanan melantik guru-guru kemas sebagai jurukira undi sewaktu pemilihan UMNO Bahagian Kemaman Oktober lalu yang menimbulkan kontroversi sehingga didakwa banyak berlaku penipuan kiraan undi. Walaupun UMNO Perhubungan mengakui kesilapan itu tetapi oleh kerana ia melibatkan Bahagian Menteri Besar, maka Perhubungan terpaksa menutup mata kesalahan tersebut dan membuat keputusan tidak membuat pemilihan semula walaupun surat pemilihan semula sudahpun diedarkan kepada 500 orang perwakilan.

Sebagai kompromi, GZ yang membuat laporan salah laku itu diberi kemenangan sebagai ahli jawatan kuasa UMNO Bahagian di tempat ke 20 menggantikan Wan Nordin. Wan Nordin diumumkan oleh Ketua Bahagian sebagai ahli jawatankuasa dilantik bersama Kamaruddin Mat Ali yang tewas dalam pertandingan ketua pemuda UMNO bahagian. Kamaruddin tewas kepada Hisham Zubir.

Sekarang heboh di Kemaman kononnya Haji Dol orang yang paling berpengaruh dalam UMNO Bahagian Kemaman. Di zaman PAS memerintah Terengganu, Haji Dol adalah ahli PAS. Bila PAS kalah, beliau menyertai UMNO dan dikatakan beliau terlalu rapat dengan Ahmad Said.

Kini Haji Dol menguasai KSB walaupun beliau bukan Pengerusinya. Haji Dol dikatakan mengarahkan CEO KSB, Ramli Cono adik Mat Bawal (seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman) untuk menamatkan kantin Mohamad Abu Bakar (Mat Taya) yang merupakan bendahari pemuda di zaman Ahmad Said jadi ketua pemuda UMNO Bahagian Kemaman.

Di zaman Wan Mokhtar dulu, Mat Taya paling disayangi oleh Ahmad Said. Bila PAS menang, Mat Taya meninggalkan Ahmad Said. Dia tak sangka Mat Said akan jadi Exco semula dan akhirnya dilantik Menteri Besar. Ketika krisis perlantikan Menteri besar tahun lepas, Mat Taya dan Zahari Said dikatakan tidur di rumah Idris Jusoh di Besut menyokong Idris sebagai Menteri Besar. Sepatutnya Zahari sebagai Setiausaha UMNO bahagian yang dilantik Ahmad Said menyokong Ahmad Said sebagai Menteri Besar. Begitu juga Mat Taya yang merupakan salah seorang ketua cawangan dalam DUN Kijal sepatutnya menyokong Ahmad Said yang juga ADUN Kijal sebagai Menteri Besar.

Sudah 10 tahun Mat Taya tidak berbaik dengan Ahmad Said. Mat Taya dapat kantin pun kerana Zahari yang dilantik oleh Idris sebagai Pengerusi KSB Sdn. Bhd. Oleh itu tindakan Haji Dol menamatkan tender kantin Mat Taya disokong oleh para penyokong Ahmad Said.

Dalam pada itu Haji Dol dikatakan mempengaruhi Ramli Cono memberi satu projek kepada adiknya di KS. Adiknya dikatakan masih ahli PAS dan ini menimbulkan kemarahan ahli-ahli UMNO Kemaman kerana mereka lihat Haji Dol terlalu tamak.

Sementara itu Ahmad Said dikatakan melantik lulusan darjah enam sebagai Pengerusi PESAMA. Ngah Ismail, seorang bekas pemandu ambulan dilantik sebagai pengerusi anak syarikat kerajaan negeri. Sebagai seorang kontraktor beliau telah memberi peluang perniagaan kepada proksinya. Ia juga heboh di Kemaman kerana Idris Jusoh selaku Menteri Besar melantik golongan professional sebagai pengerusi anak-anak syarikat kerajaan negeri tetapi Ahmad Said melantik lulusan darjah enam sebagai pengerusi anak syarikat. Sewaktu Ahmad Said menjadi Pengerusi PESAMA dulu, PESAMA mengalami keuntungan. Dapatkah lulusan darjah enam seperti Ngah Ismail mengekalkan keuntungan PESAMA?

Oleh itu Ahmad Said selaku Menteri Besar perlu mengkaji semula kedudukan Ngah Ismail dan Haji Dol kerana mereka berdua telah merosakkan nama baik Menteri Besar. Soalnya, adakah tindak-tanduk mereka direstui oleh Menteri Besar? Ini semua menimbulkan kemarahan ahli-ahli UMNO Kemaman. Oleh itu Ahmad Said perlu bertindak segera mengatasi masalah ini.

Kemudian setelah dua hari cerita berkenaan dipostingkan, muncul pula cerita ini :

Sabtu, Februari 21, 2009
EDITOR WATAN DICARI UNTUK DIPUKUL

Sudah lama saya tidak balik ke Kemaman. 18 hari sejak 3 Februari lalu. Hari ini balik kerana ada anak dua pupu kahwin di Gong Pasir, Dungun. Seperti biasa setiap pagi Sabtu bila saya berada di Chukai, saya akan bersarapan di kedai Mat Stopa di stesen teksi bersama rakan baik, Sulong.

Pagi ini Mohd. Nor Dusun Nyior turut ada sama. Saya kecil hati dengan Mohd. Nor ini. Dahulu saya minta dia calonkan saya untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman pada tahun lepas, tetapi dia tidak calonkan saya walaupun saya sudah hulur RM150 kepadanya. Bila saya tanya dia kata lupa. Duit sapu, cadang nama tidak. Ada juga orang seperti ini.

Setiap kali balik ke Kemaman, banyak topik politik yang dibualkan. Paling heboh suratkhabar WATAN yang terbaru yang memuatkan satu rencana mengenai politik UMNO Kemaman iaitu Haji Dol kuasai UMNO Kemaman.

Bukan main marah Haji Dol, Bendahari UMNO Bahagian Kemaman kepada saya. Saya selaku editor berhak menyiarkan rencana yang ditulis oleh Fadzilah Mokhtar itu kerana ia menggambarkan kemarahan ahli UMNO Kemaman kepada beliau.

Menurut seorang rakan bernama Haji Khalid Karim, dia suruh saya jaga-jaga sikit kerana Haji Dol dan Ngah Ismail sedang mencari saya di keliling bandar Chukai dengan dua buah kereta pagi ini mahu pukul saya. Masih ada orang primitif yang mahu pukul orang kerana marahi menulis benda yang benar. Saya tak takut dipukul kerana rencana itu menyiarkan benda yang benar dan bukannya memfitnah Haji Dol.

Tak payah masuk politiklah kalau mahu jadi samseng. Tergamak pula dia upah orang untuk pukul saya. Lebih baik Haji Dol letak jawatanlah kalau ditegur sikit dalam tulisan sudah melenting. Khairy Jamaluddin menantu Pak Lah macam-macam ditegur oleh para penulis, tapi tak ada pun kita dengar cerita Khairy upah orang untuk pukul penulis. Nampak sangat Haji Dol masih primitif. Tidak profesional.

Oleh itu Datuk Ahmad Said selaku Ketua Bahagian hendaklah melihat perkara ini secara serius. Jangan sampai ahli jawatankuasa UMNO Bahagiannya terlibat dengan jenayah. Buat malu aja.

~~~~~~~~~

Mungkin tiada apa yang menarik berhubung dengan dua cerita di atas kerana secara sepintasnya hanya menceritakan perihal dalaman UMNO Bahagian Kemaman. Cuma menariknya, walaupun dalam cerita di atas dilihat seolah-olah Zabidi semacam kurang sebulu dengan MB Mat Said, tetapi hakikatnya sekarang Sdr Zabidi sudah menjadi orang kuat kepada MB Mat Said, dalam erti kata kuat menyokong MB Mat Said melalui tulisan-tulisannya. Yang bagusnya lagi, Zabidi tetap setia dengan MB Mat Said, walaupun beliau terpaksa ‘berhutang dengan tokey karaoke” kerana sudah tiada kerja tetapi masih kekal setia tinggal di Kuala Lumpur.

Yang hendak dikaitkan dengan dua cerita Zabidi di atas tadi bukanlah perihal Zabidi, tetapi sedikit kaitan dengan Bendahari UMNO Bahagian Kemaman, nama seperti yang disebut Zabidi sebagai Haji Dol.

Mungkin betul seperti diceritakan oleh Zabidi perihal Haji Dol itu. Tetapi itu mungkin cerita lama. Mungkin juga Haji Dol sudah berubah atau sudah sedar di mana kedudukan beliau serta sejauh mana had-had kuasa yang ada pada beliau.

Tetapi, dengan tidak semena-mena, rupanya ‘kuasa’ dan ‘pengaruh’ Bendahari UMNO Bahagian itu masih berbisa dan masih diakuri kuat oleh MB Mat Said. Mungkin sesuai dengan penyebaran sayap dan kemanfaatan kuasa oleh MB Mat Said sendiri, makanya Bendahari UMNO Bahagian juga mengambil peluang yang sama untuk memanfaatkan pengaruh dan menggunakannya untuk kesejahteraan keluarganya.

Soal penyebaran dan penggunaan kuasa oleh MB Mat Said and the geng yang tidak memudaratkan atau tidak menampakkan sangat keluarbiasaannya, apatah lagi rakyat tak tahu pun – tak ada yang merungut atau bising pun. Yang menjadi rungutan dan tidak puas hati banyak orang apabila sesuatu tindakan dibuat semata-mata kerana kuasa dan pengaruh.

Yang rakyat tahu, MB ini bagus, mesra rakyat, cakna rakyat, cakna harta rakyat, cakna harta kerajaan, cakna harta sendiri. Kerana kecaknaan MB Mat Said kepada rakyat dan tidak kedekut dan loket dengan harta kerajaan yang bukan harta sendirilah, mungkinnya pengaruh dan kehendak Bendahari UMNO bahagian itu dicincaikan sahaja pelaksanaannya.

Kalau tidak tiada orang yang merungut perihal bagaimana anak kepada Bendahari UMNO Bahagian itu yang baru bertugas tiga empat tahun dengan Syarikat Anak kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) (66667-K) telah dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Kanan syarikat berkenaan.

Sedang masih ramai sebenarnya (termasuk yang melahirkan rasa tidak puas hati tu) yang sudah berbelas-belas tahun berkhidmat dengan EPIC malahan ada antaranya yang jatuh dan bangun dengan Syarikat, punyai kelayakan, rekod perkhidmatan yang baik, tetapi dipejamkan mata oleh “…………..” (oleh siapa ya?) untuk ke jawatan Pengurus Kanan, sebaliknya diberikan kepada Bendahari UMNO bahagian punya anak.

Itulah yang dinamakan rezeki. Rezeki disebabkan pengaruh. Pengaruh menguasai kuasa. Kuasalah yang mengenepikan segala yang lain, segala yang sepatutnya dan segala yang dituntut oleh Allah s.w.t.

Semoga rezeki yang bakal menjadi darah daging anak isteri dan keluarga itu mendapat keredhaan dan diberkati Allah jua hendaknya. Aminnn….
Related Posts with Thumbnails