Rabu, Januari 20, 2010

YANG MEMANFAATKAN KUASA

ALHAMDULILLAH – itulah kalimah kesyukuran kepada Allah Azzawajalla yang sewajarnya diucapkan oleh seorang hamba-Nya apabila dianugerahkan kejayaan, kerahmatan dan segala kenikmatan.

Maka Alhamdulillah jugalah ucapannya, sebagai menandakan kesyukuran kita kepada Allah Azzawajalla kerana kejayaan dan kecemerlangan MB Mat Said menggunakan kuasa dan pengaruh serta kedudukannya yang ada. MB Mat Said benar-benar tidak mensia-siakan kuasa dan pengaruhnya serta langsung tidak pernah membazirkan peluang yang ada di hadapan mata untuk membela ‘and the geng’ dan orang-orang yang boleh mengekalkan beliau untuk berkuasa.

Alhamdulillah, MB Mat Said telah menggunakan motto yang betul dalam pentadbiran dan kekuasaannya iaitu “ada peluang kita bahang, ada kuasa kita berleluasa”.

Kerana itu, kita sebagai rakyat dan hamba marhain di bawah kepimpinan MB Mat Said perlu mengucapkan syukur dan alhamdulillah yang sebesar-besarnya, kerana MB Mat Said tidak pernah mengecewakan rakyat dalam mengambil tindakan dan menggunakan kuasa yang ada padanya. Amat wajar kalau rakyat menaikkan kain pemidang atau ‘billboard’ besar di seluruh negeri merakamkan terima kasih rakyat kepada MB Mat Said atas kebijaksanaan beliau yang maha terserlah itu.

Itulah kebijaksanaan MB Mat Said. Dan itulah sikap MB Mat Said yang maha wajar diberi sanjungan tinggi. MB Mat Said tidak pernah kedekut dan loket dengan harta rakyat dan harta kerajaan. Harta negeri adalah milik rakyat. MB Mat Said tahu, harta negeri bukan harta beliau. Jadi, untuk apa beliau kedekut. Lebih baik beliau menjadi MB maha pemurah lagi maha pemberi dan maha penghabis harta negeri.

Rakyat pun tak akan kata apa-apa, sebab rakyat mana tahu menahu hal-hal harta negeri nin. Semua rakyat Terengganu dungu dan tokey angguk sahaja. Semua wakil rakyat Terengganu bengong dan tekup batu belaka. Apa lagi dalam kalangan wakil rakyat yang ada kepentingan peribadi. Mana-mana wakil rakyat yang tergolong dalam golongan ada kepentingan peribadi ini, semuanya MB Mat Said tahu. Sudah ada senarai harta negeri ‘bukan hak milik MB secara peribadi’ siap sedia untuk dibahagi-bahagikan – ‘satu untuk kau satu untuk aku”.

Harta negeri adalah harta rakyat. Itu MB Mat Said amat tahu. MB Mat Said tidak pernah menyanggah kenyataan itu kerana MB Mat Said juga rakyat. Tapi rakyat bawahan lain serta semua wakil rakyat nakkan Mat Said sebagai MB. Bukankah episod mereka (wakil rakyat BN) menangis berguling di hadapan pintu pagar istana dan pintu pagar Seri Perdana, meronta-ronta meraung semata-mata nakkan agar Mat Said dilantik sebagai MB.

Rakyat mahukan Mat Said jadi MB bermakna rakyat memberi kuasa dan tanggungjawab penuh kepada beliau untuk memerintah negeri dan membuat apa sahaja yang beliau suka. Dalam hal ini semua orang termasuk rakyat dan wakil-wakil rakyat tidak ada hak langsung untuk mempertikaikan apa sahaja tindakan kerana kuasa sebagai MB mengatasi segalanya. Mempertikaikan tindakan dan kuasa MB Mat Said bermakna tidak mensyukuri nikmat yang diberikan Tuhan. Tuhan amat sayang kepada rakyat Terengganu, sebab itu Tuhan telah menganugerahkan kepada mereka seorang MB yang hebat dan maha prihatin terhadap harta negeri dan harta rakyat.

Ini MB bagus punya. Bukan seperti MB-MB lain sebelum ini. MB ini punya perancangan dan wawasan besar untuk menghabiskan harta rakyat dan harta negeri dengan baik dan tersusun. Tidak akan ada pembaziran. Kalau boleh sedepa tanah pun tidak akan ditinggalkan takut membazir. Apa lagi kalau tanah itu ada pokok kayu yang besar-besar. Semuanya nak dibahagikan, terutama kepada mereka yang boleh mengekalkan kedudukan sekali gus kuasa sebagai MB.

Prinsip, cara dan pendekatan MB Mat Said maha baik. Yang ada hari ini adalah untuk makan hari ini. Esok lusa kemudian kira. Kalau orang lain pula dilantik sebagai MB kemudian hari, itu pandai-pandai dialah. Negeri bangsat atau bangkrapsi, itu bukan soalnya. Yang penting, kuasa perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya. Itulah sifat dan teladan seorang MB yang baik, berjaya dan berkesan.

Inilah ciri-ciri MB terbaik di Terengganu setakat ini. Tanyalah datuk nenek kita, rasanya tidak pernah ada MB sebaik Mat Said sebelum ini di Terengganu. Mungkin MB Mat Said adalah antara MB terbaik seluruh Malaysia. Nak dibandingkan dengan MB Kelantan atau Selangor atau Kedah atau KM Pulau Pinang yang dikuasai pakatan tu, amat jauh bezanya. Segala-galanya berbeza dan tidak hebat sebagaimana hebatnya MB Mat Said. Bezanya umpama dunia dengan pluto jauhnya.

Kuasa dan kekuasaan itulah sebenarnya yang benar-benar dimanfaatkan oleh MB Mat Said.

Maka bersyukurlah wahai sekalian rakyat Terengganu kerana mendapat MB yang maha hebat dan maha berkuasa itu. Alhamdulillah….
Related Posts with Thumbnails