Isnin, Januari 25, 2010

YANG LUPA DARATAN?

Khabarnya, MB Mat Said telah dimurkai kerana lupa daratan, lupa diri, tidak mengenang jasa dan budi pihak yang menganugerahkan beliau jawatan MB itu. Kebelakangan ini, seolah-olah pihak yang menganugerahkan beliau jawatan itu (yang menyerahkan watikah perlantikan diiringi kontroversi memuncak ketika itu) seolah-olah dipinggirkan terus dan ditinggalkan dalam banyak urusan yang sewajarnya diketahui pihak berkenaan.

Sudah banyak perkara yang mana MB Mat Said telah membelakangkan pihak atasan ini. Yang agak ketaranya, taklimat/makluman berhubung dengan bajet negeri 2010 yang sepatutnya dipersembahkan dan diberi taklimat oleh MB Mat Said tidak disempurnakan oleh MB Mat Said. Paling mendukacitakan ialah kegagalan menyembah taklimat oleh MB Mat Said itu secara halusnya disembunyikan dengan pelbagai alasan yang tidak logik dan tidak masuk akal.

Lanjutan itulah, MB Mat Said dimurkai. Disifatkan sengaja mengetepikan laluan yang sepatutnya. Mengambil tindakan dengan memintas pihak negeri. Walau bagaimanapun, seperti yang disebut terdahulu, MB Mat Said ini licik dan bijak orangnya, selain beliau merupakan orang yang berhemah tinggi. Beliau bukan keras kepala dan bukan juga keras keng. Salah dan silaplah kalau ada pihak yang menuduh MB Mat Said bersifat begitu. MB Mat Said sebenarnya mungkin merasakan pihak ini bukan lagi jambatan kukuh untuk beliau meniti di atasnya sebagai MB. Justeru ‘terpaksa ditinggalkan’ dan bergantung langsung dengan kejapnya pada tiang jambatan yang lebih besar dan tinggi.

Benarlah seperti yang diucapkan oleh Dr Jepun in bracket semasa persidangan UMNO tahun lalu. Katanya, MB Mat Said bukanlah hendak sangat menjadi MB, tetapi DIPAKSA oleh pihak istana untuk menjawat jawatan itu. Betul sekali kata Dr Jepun in bracket itu, dan hari ini, MB Mat Said benar-benar ‘terpaksa’ meninggalkan istana kecil di negeri dan terus bergayut dengan istana besar di ibu negara. Itulah berhemah dan jujurnya MB Mat Said, menerima ‘dipaksa’ kemudian membalasnya dengan ‘terpaksa’. Salahlah khalayak ramai kalau mengatakan MB Mat Said telah menerima susu dan membalasnya dengan tuba. MB Mat Said sebenarnya menerima susu dan membalasnya dengan Kopi O kaw!!!

Sebab itu MB Mat Said tanpa segan silu masih menggunakan nama istana untuk mempertahankan semua keputusan yang dikehendakinya. Sehinggakan dalam kes sekecil jawatan Pegawai Pembangunan DUN pun, dikatakan dilantik orang tertentu sebagai PPD adalah kerana ‘dikehendaki’ oleh pihak istana. MB Mat Said memang betul dan benar. Apa lagi yang boleh dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian kalau begitu cakap MB mereka.

Justeru janganlah dituduh MB Mat Said sebagai lupa daratan, kerana MB Mat Said dipaksa dan terpaksa. Bukan dengan kerelaannya. MB Mat Said tidak lupa daratan. Tidak, tidak dan tidak… Kalaupun betul dia ‘sedikit’ lupa daratan, janganlah disebut secara terang-terangan. Frasa lain selain frasa lupa daratan masih dibolehkan.

Tolonglah gunakan frasa lain selain daripada lupa daratan itu. Mungkin boleh menggunakan frasa tidak mengenang budi ke, tidak menghargai budi dan jasa ke, atau kacang lupakan kulit ke… atau apa-apa sahajalah yang sama waktu dengan frasa lupa daratan tu.

Sebabnya, mana ada MB Mat Said pernah lupa daratan. Kalau pun beliau ada ‘terlupa’ sedikit tentang daratan ini ialah yang ada dalam Tasik Kenyir. Yang itu memang mungkin terlupa daratan, sebab ada dalam air. Yang lain, yang dah puluhan ribu ekar dah tergadai semuanya atas daratan. Jadi adalah sesuatu yang mengelirukan dan tidak tepat kalau masih ada yang berkata MB Mat Said adalah orang yang lupa daratan.

Satu lagi, apa hal pulak rakyat banyak berkata, MB Mat Said membahagi-bahagikan harta alam @ khazanah negeri atas daratan tu adalah semata-mata nak kekalkan jawatan beliau selaku MB dan nak merosakkan harta 'redok' negeri yang bukan hak peribadi beliau.

Apa punya tuurr lah dia orang nin. Tak ada kerja lain, kira nak merosakkan nama baik MB sahaja. Kesihan MB kita tu. Dahlah pening memikirkan kawasan mana lagi nak dianugerahkan kepada ‘and the geng’nya (tujuan bekalan untuk hari muka), kawasan hutan simpan yang nak di’convert’kan sebagai hutan berstatus bebas, belumpun selesai selesai, datang pula masalah yang kata MB lupa daratan. Susahlah rakyat Terengganu yang 'bangang-bangang' belaka nin.

Kalau MB Mat Said ambil orang luar / bukan anak Terengganu kerja dengan dia, kita marah sedangkan cara berfikir anak Terengganu dan tuduhan lupa daratan tu pun, dah jelas menampakkan tahap pemikiran rakyat Terengganu yang ‘low class’. Bukan anak Terengganu semuanya ada kelas tersendiri, hebat dan ligat untuk memenuhi kantung masing-masing. Letaklah di mana sahaja, mereka pasti cemerlang, gemilang, terbilang dan temberang.

Inilah susahnya rakyat Terengganu, berburuk sangka kepada MBnya sendiri. MB Mat Said mana lupa daratan dengan meminggirkan anak negeri, Cuma beliau dipaksa dan terpaksa mengambil orang luar, kerana itu adalah kehendak beliau yang punyai kuasa untuk mengambil dan meletakkan sesiapa yang beliau hendak dan suka. Anak negeri kena sedar bahawa mereka tidak ada kelas, tidak disukai dan tidak boleh diharapkan.

Kepada rakyat banyak dan kepada pihak istana kecil negeri yang dipinggirkan, janganlah menuduh MB Mat Said yang jujur dan baik itu dengan kata-kata lupa daratan. MB Mat Said tidak lupa daratan. Cuma kadang-kadang beliau terlupa daratan mana yang dia pijak.
Related Posts with Thumbnails