Rabu, Januari 27, 2010

YANG TIDAK BENAR

Episod selingan.

Seorang pegawai kanan kerajaan yang sengaja pergi mengadap ke bawah MB Mat Said untuk membincangkan perihal perancangan pembangunan negeri bercerita. Katanya semasa beliau berbincang dengan MB Mat Said, MB Mat Said sempat dengan penuh kesedaran dan ketidaknyanyukannya meluahkan ‘sedikit’ rasa susahnya kerana berada dalam keadaan ditekan dan diasak (wallahuaklam ditekan dan diasak kerana apa - Mungkin kerana tak ada lagi kawasan yang nak dibahagikan atau tidak ada lagi jalan tanah merah ke kandang kambing boer yang boleh di’directnego’kan), sehingga MB Mat Said berkata :

“You tahu apa? I sekarang ditekan dan diserang dari kiri kanan, atas bawah, depan belakang…..”. Air mata kasih sandiwara kelihatan bergenang di kelopak mata MB Mat Said - cerita pegawai kanan berkenaan lagi.

Kesihan MB Mat Said kita. Siapalah yang menyiksa kehidupan dan kesenangan serta kekuasaan MB Mat Said tu? Siapa yang maha tidak cerdik sangat sehingga menekan MB Mat Said begitu? Apakah mereka lupa kecantikan fie perangai MB Mat Said atau mereka tidak pernah bertentang mata dengan MB Mat Said yang senantiasa ceria, bersikap cakna rakyat dan senantiasa tersengeh itu? Apakah mereka lupa, MB Mat Said sudah tidak menendang bakul lagi.. Apakah mereka teralpa bahawa MB Mat Said sudah tidak lagi digelar 'Mat Payang'? Apakah mereka tidak sedar, kalaupun MB Mat Said menangis, itu hanyalah sandiwara dan lakonan semata-mata seperti mana ‘felem’ Melayu lama lakonan seniwati Ros Yatimah?

Siapa kata MB Mat Said susah dan ditekan? Tak faham-faham dan tak reti cakap MB Mat Said ke? Berkali-kali MB Mat Said nyatakan dia adalah MB istana, bukan MB parti. Bukan MB Pak Lah, bukan MB Najib, bukan MB BN, bukan MB UMNO, bukan bukan bukan…

Siapa kata MB Mat Said susah dan tertekan? MB Mat Said kan sudah ada bukitkijal.blogspot.com. MB Mat Said sudah punyai anakbujalkemaman.blogspot.com. Tolonglah hargai MB Mat Said. Dia telah terlalu banyak menghabiskan duit harta redok rakyat dan negeri untuk beli dakwat pen tujuan menandatangani surat-surat membahagikan harta ‘rampasan perang’ milik negeri ke bawah MB Mat Said ini.

Fahamilah dan ‘reti base’lah wahai sekelian manusia yang mengatakan MB Mat Said ditekan dan diasak, bahawa MB Mat Said sudah punyai ‘and the geng’ yang boleh menjamin masa depannya. MB Mat Said ada budak berkuasa di tingkat 15 @ budak tingkat 16nya, MB Mat Said sudah ada ‘Anak Gundik Umno’. MB Mat Said sudah ada haji ‘Duit Orang Lain’, MB Mat Said sudah ada “and the geng” serta YB-YB tekup batu yang bimbang kawasan tak sempat dijual, MB Mat Said sudah punyai segala-galanya.

Jadi macam mana pegawai kanan berkenaan bercerita yang karut marut macam tu? Agaknya pegawai kanan berkenaan sengaja nak memburuk-burukkan MB Mat Said kot? Kerana tak dapat kerusi panas di tingkat 15 ke, tak dapat kawasan lupa daratan ke. Atau apa-apa yang mungkin ada dendam kesuma yang telah lama terhadap MB Mat Said. Atau maha tepatnya, agaknya pegawai kanan berkenaan adalah orang Derih Jusoh…

Sayugia, mari kita sama-sama katakan bahawa yang diceritakan pegawai kanan berkenaan tentang MB Mat Said kita ini adalah sesuatu yang sama sekali tidak benar. Tiada yang tidak benar melainkan tidak benar. Tidak benar, tidak benar dan tidak benar belaka-laka.

Isnin, Januari 25, 2010

YANG LUPA DARATAN?

Khabarnya, MB Mat Said telah dimurkai kerana lupa daratan, lupa diri, tidak mengenang jasa dan budi pihak yang menganugerahkan beliau jawatan MB itu. Kebelakangan ini, seolah-olah pihak yang menganugerahkan beliau jawatan itu (yang menyerahkan watikah perlantikan diiringi kontroversi memuncak ketika itu) seolah-olah dipinggirkan terus dan ditinggalkan dalam banyak urusan yang sewajarnya diketahui pihak berkenaan.

Sudah banyak perkara yang mana MB Mat Said telah membelakangkan pihak atasan ini. Yang agak ketaranya, taklimat/makluman berhubung dengan bajet negeri 2010 yang sepatutnya dipersembahkan dan diberi taklimat oleh MB Mat Said tidak disempurnakan oleh MB Mat Said. Paling mendukacitakan ialah kegagalan menyembah taklimat oleh MB Mat Said itu secara halusnya disembunyikan dengan pelbagai alasan yang tidak logik dan tidak masuk akal.

Lanjutan itulah, MB Mat Said dimurkai. Disifatkan sengaja mengetepikan laluan yang sepatutnya. Mengambil tindakan dengan memintas pihak negeri. Walau bagaimanapun, seperti yang disebut terdahulu, MB Mat Said ini licik dan bijak orangnya, selain beliau merupakan orang yang berhemah tinggi. Beliau bukan keras kepala dan bukan juga keras keng. Salah dan silaplah kalau ada pihak yang menuduh MB Mat Said bersifat begitu. MB Mat Said sebenarnya mungkin merasakan pihak ini bukan lagi jambatan kukuh untuk beliau meniti di atasnya sebagai MB. Justeru ‘terpaksa ditinggalkan’ dan bergantung langsung dengan kejapnya pada tiang jambatan yang lebih besar dan tinggi.

Benarlah seperti yang diucapkan oleh Dr Jepun in bracket semasa persidangan UMNO tahun lalu. Katanya, MB Mat Said bukanlah hendak sangat menjadi MB, tetapi DIPAKSA oleh pihak istana untuk menjawat jawatan itu. Betul sekali kata Dr Jepun in bracket itu, dan hari ini, MB Mat Said benar-benar ‘terpaksa’ meninggalkan istana kecil di negeri dan terus bergayut dengan istana besar di ibu negara. Itulah berhemah dan jujurnya MB Mat Said, menerima ‘dipaksa’ kemudian membalasnya dengan ‘terpaksa’. Salahlah khalayak ramai kalau mengatakan MB Mat Said telah menerima susu dan membalasnya dengan tuba. MB Mat Said sebenarnya menerima susu dan membalasnya dengan Kopi O kaw!!!

Sebab itu MB Mat Said tanpa segan silu masih menggunakan nama istana untuk mempertahankan semua keputusan yang dikehendakinya. Sehinggakan dalam kes sekecil jawatan Pegawai Pembangunan DUN pun, dikatakan dilantik orang tertentu sebagai PPD adalah kerana ‘dikehendaki’ oleh pihak istana. MB Mat Said memang betul dan benar. Apa lagi yang boleh dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian kalau begitu cakap MB mereka.

Justeru janganlah dituduh MB Mat Said sebagai lupa daratan, kerana MB Mat Said dipaksa dan terpaksa. Bukan dengan kerelaannya. MB Mat Said tidak lupa daratan. Tidak, tidak dan tidak… Kalaupun betul dia ‘sedikit’ lupa daratan, janganlah disebut secara terang-terangan. Frasa lain selain frasa lupa daratan masih dibolehkan.

Tolonglah gunakan frasa lain selain daripada lupa daratan itu. Mungkin boleh menggunakan frasa tidak mengenang budi ke, tidak menghargai budi dan jasa ke, atau kacang lupakan kulit ke… atau apa-apa sahajalah yang sama waktu dengan frasa lupa daratan tu.

Sebabnya, mana ada MB Mat Said pernah lupa daratan. Kalau pun beliau ada ‘terlupa’ sedikit tentang daratan ini ialah yang ada dalam Tasik Kenyir. Yang itu memang mungkin terlupa daratan, sebab ada dalam air. Yang lain, yang dah puluhan ribu ekar dah tergadai semuanya atas daratan. Jadi adalah sesuatu yang mengelirukan dan tidak tepat kalau masih ada yang berkata MB Mat Said adalah orang yang lupa daratan.

Satu lagi, apa hal pulak rakyat banyak berkata, MB Mat Said membahagi-bahagikan harta alam @ khazanah negeri atas daratan tu adalah semata-mata nak kekalkan jawatan beliau selaku MB dan nak merosakkan harta 'redok' negeri yang bukan hak peribadi beliau.

Apa punya tuurr lah dia orang nin. Tak ada kerja lain, kira nak merosakkan nama baik MB sahaja. Kesihan MB kita tu. Dahlah pening memikirkan kawasan mana lagi nak dianugerahkan kepada ‘and the geng’nya (tujuan bekalan untuk hari muka), kawasan hutan simpan yang nak di’convert’kan sebagai hutan berstatus bebas, belumpun selesai selesai, datang pula masalah yang kata MB lupa daratan. Susahlah rakyat Terengganu yang 'bangang-bangang' belaka nin.

Kalau MB Mat Said ambil orang luar / bukan anak Terengganu kerja dengan dia, kita marah sedangkan cara berfikir anak Terengganu dan tuduhan lupa daratan tu pun, dah jelas menampakkan tahap pemikiran rakyat Terengganu yang ‘low class’. Bukan anak Terengganu semuanya ada kelas tersendiri, hebat dan ligat untuk memenuhi kantung masing-masing. Letaklah di mana sahaja, mereka pasti cemerlang, gemilang, terbilang dan temberang.

Inilah susahnya rakyat Terengganu, berburuk sangka kepada MBnya sendiri. MB Mat Said mana lupa daratan dengan meminggirkan anak negeri, Cuma beliau dipaksa dan terpaksa mengambil orang luar, kerana itu adalah kehendak beliau yang punyai kuasa untuk mengambil dan meletakkan sesiapa yang beliau hendak dan suka. Anak negeri kena sedar bahawa mereka tidak ada kelas, tidak disukai dan tidak boleh diharapkan.

Kepada rakyat banyak dan kepada pihak istana kecil negeri yang dipinggirkan, janganlah menuduh MB Mat Said yang jujur dan baik itu dengan kata-kata lupa daratan. MB Mat Said tidak lupa daratan. Cuma kadang-kadang beliau terlupa daratan mana yang dia pijak.

Ahad, Januari 24, 2010

YANG TERGADAI SEGALANYA

Awal pagi tadi, dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu, saya ada menerima satu salinan mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang pada perkiraan saya, pengirimnya turut forwardkan sms berkenaan kepada banyak orang yang lain juga. Saya juga tidak pasti, sama ada sms berkenaan baru sahaja ‘beredar di pasaran’ atau sudah lama/sudah beberapa hari/minggu/bulan sebelum hari ini. Agak menarik sms tu, walaupun kesahihannya belum dapat dipastikan lagi.

Mengikut apa yang terkandung dalam sms berkenaan, sms tersebut dikirimkan kepada seorang yang berstatus YB Dato’ Seri (kemungkinan YB. Dato’ Seri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu) untuk mengetahui sama ada benar atau tidak wujudnya cerita berkenaan. Saya menunggu-nunggu sms lain, terutamanya (kalau ada) sms balas daripada pihak MB Mat Said sendiri (yang dikaitkan namanya dalam sms berkenaan). Tetapi sehingga cerita ini ditulis dan dipostingkan, tiada sebarang makluman balas perihal mahupun jawapan pasti berkaitan diterima. Insya-Allah kalau saya menerimanya nanti, akan saya postingkan lagi di sini.

Cuma dalam saya menunggu sms lain (terutamanya sms balas daripada MB Mat Said atau and the gengnya, kalau ada), saya teringat kata-kata daripada seorang kawan. Katanya, jangan diharap nak tunggu balasan sms daripada MB Mat Said, kerana bukan dia tak layan atau malas nak taip sms atau malas nak layan sms sebegitu, tetapi kerana beliau (MB Mat Said) memang buta sms. Dengan perkataan yang mudah disebut dan makna lebih tepat ialah ‘dok reti nak balas sms’. Telefonnya, kata kawan itu lagi sekadar untuk membuat dan menerima panggilan suara sahaja.

Lanjutan daripada itulah, makanya tanpa menunggu sebarang jawapan atau kenyataan balas atau penafian rasmi daripada MB Mat Said atau sesiapa yang dituju sms itu, saya turunkan sms berkenaan sepenuhnya (bahasa sms/ejaannya diubah mengikut ejaan penuh bahasa Melayu) :

YB Dato’ Seri, adakah sms ni benar? Salam. (Hari ini Mr Lim dari Hong Kong (pembeli sebenar tanah dan aset Pulau Besar, Merang) telah berada di Terengganu untuk apa-apa persiapan pembelian tersebut bertopengkan Syarikat Ri-Yaz Asset Sdn. Bhd., (paid up capital RM100k). Keseluruhan Pulau Besar seluas 676 ekar dijual dengan 664 ekar (daripadanya) berharga RM40 juta manakala (baki) tanah 12 ekar + (campur) hotel dalam pembinaan yang telah dilunaskan (oleh) kerajaan negeri (berharga) hampir RM30 juta + (campur) jalan yang dibangunkan dengan harga keseluruhan RM67 juta. Hari (hal) ini dikatakan dibincang dalam Exco meeting. SATU LAGI TANAH LUAS YANG SANGAT STRATEGIK AKAN TERLEPAS KE TANGAN CINA. Ri-Yaz Asset dikatakan kroni penting MB yang membekalkan air zam-zam. Saya yakin HANYA CAMPUR TANGAN TUANKU SAJA YANG MAMPU SELAMATKAN ASET PENTING INI DARIPADA KEJAHATAN MAT SAID).

Sama ada benar atau sebaliknya cerita di sebalik sms itu, seperti yang dikatakan sebelum ini – tiada yang pelik atau ajaib atau luar biasa atau mustahil pada zaman pemerintahan MB Mat Said selaku MB… kun fayakun… Itulah hebatnya MB Mat Said, MB yang kita semua sanjungi dan sayangi… Yang tergadai bukan sahaja maruah dan harta ‘redok’ negeri tetapi segalanya…

Sabtu, Januari 23, 2010

YANG MEMANFAATKAN KUASA, MEMINGGIR RASA, MENYINGKIR MANGSA

Senarai terbaru penempatan Pegawai Tadbir kerajaan negeri Terengganu (TCS) sudah sedia beredar. Senarai terbaru ini melibatkan sejumlah 48 pegawai merangkumi pelbagai gred jawatan, daripada Gred 41 sehinggalah ke Gred VU7. Tarikh penguatkuasaan pertukaran dan penempatan ialah pada 1 Februari 2010, pukul 8.00 pagi.

Seperti biasa, ada yang puas hati dan ada yang tak puas hati. Adablah tu, mana nak memuaskan hati semua orang. Yang disediakan tu memang dah sempurna dan wajar. Senarai tu kan dibuat setelah mendapat restu dan persetujuan MB Mat Said. Siapa yang tak puas hati, kamu punya pasallah…

Marilah kita sama-sama mengangkat tabib spring kepada kebijaksanaan MB Mat Said. Beliau cukup matang dan amat mahir, bijaksana lagi bijaksini dalam mengatur dan menguruskan pertukaran dan penempatan pegawai kanan TCS ini. Jangan merasa pelik dan ajaib, jangan, jangan dan jangan, kerana tak ada yang pelik dan ajaibnya di zaman pemerintahan MB Mat Said ini.

Siapa kata pelik walaupun satu-satunya negeri dalam Malaysia yang punyai dua orang Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dalam satu masa ialah negeri Terengganu. Persetankan dengan apa orang nak kata walaupun ada kalanya pedih juga telinga yang mendengarnya. Ada pula cerita yang menuduh MB Mat Said terlalu dicucuk hidungnya sehingga menampakkan sangat ‘perut sucinya’ tidak sukakan SUK sehinggakan SUK yang masih dalam perkhidmatan pun, (cuma sedang bercuti sebelum bersara paksaan), sudah ada SUK baru yang menandatangani surat pertukaran berkenaan. Hoii…., bukan tak baguslah… itulah namanya proaktif (sinonim dengan prosak).

Alaaa, tuduhan itu tidak penting bagi MB Mat Said. Tak perlu dipedulikan pun. Beliau kan MB – orang yang paling berkuasa dalam negeri. Yang perlu diuar-uarkan sekarang ialah kebijaksanaan penyelesaian yang telah diambil oleh MB Mat Said terhadap kes kecil macam tu (ada dua SUK dan nak tutup kemaluan ‘mantan’ SUK). Macam mana kes sekecil itu boleh ditutup dengan hanya (ulang : hanya, ulang : hanya, ulang : hanya) seluas kurang lebih 1,500 ekar di Besut. Kepada yang komplen sangat, nantilah mantan SUK tu sedekahkan dalam 4-5 batang kepada mereka.

Berbalik kepada cerita pertukaran TCS. Seperti dalam posting JAM terdahulu – YANG MEMANFAATKAN KUASA, memang MB Mat Said wajar disanjung tinggi-tinggi. MB Mat Said telah sedaya upaya memainkan peranan dan memanfatkan kuasa yang ada untuk kebaikan, kenaikan dan kekukuhan ‘and the geng’ dan kuncu-kuncunya. Serba nak serba jadi. ‘Kun fayakun’. Siapa dan di mana mereka nak diletakkan, ‘itu ana punya kuasa, enta hanya perlu akur’.

Tahniah kepada MB Mat Said. Dan yang paling wajar ditahniahkan sebanyak pokok di hutan, sebanyak batu di darat ialah kepada mantan Setiausaha Sulit Kanan kepada MB sendiri yang telah ‘dipetisejukkan’ sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) dalam senarai pertukaran baru ini. Tahniah, tahniah dan tahniah.

Inilah yang dikatakan bagus dan cemerlangnya MB Mat Said. Orang kanan beliau yang pernah diberi jolokan Budak Tingkat 16 @ Menteri Besar Kedua (MB2) itu amat wajar dipetisejukkan. Soal bergred 48, melangkah kepala, meminggir rasa menyingkir mangsa, tidak perlu dipedulikan. Yang penting, MB2 amat tepat dan sesuai dengan cita rasa masyarakat TCS masa kini dengan meletakkannya di tempat yang betul dan sewajarnya. Jasa dan pengorbanan beliau amat besar kepada MB Mat Said serta kepada kerajaan negeri. TCS lain yang ada, semuanya cap ayam dan cap kambing boer belaka.

Soal baru dua tiga bulan dihantar atau ‘disembunyikan’ di luar negara kononnya untuk menyambung pelajaran tidak perlu ditimbulkan. Tiada konon mengonong, kerana memang MB2 ini ‘dihandingkan’ untuk menimba ilmu jauh di negara orang agar dapat duduk, kalau boleh di kerusi nombor satu dalam pentadbiran kerajaan negeri. Itulah yang dikatakan, tiada benda yang pelik dalam pentadbiran MB Mat Said sekarang. Dah lah ada dua SUK, orang yang cuti belajar pun masih boleh disenaraikan dan diletakkan di tempat penting jentera kerajaan untuk menggerakkan pentadbiran. Ya lah, MB Mat Said cara berfikirnya maha jauh ke hadapan. Mungkin beliau bimbang, kot-kot hujan di tengah hari, makanya orang kanan beliau itu (MB2) terlepas pula jawatan penting itu.

Justeru MB2 wajar dipetisejukkan sementara. Sebenarnya MB2 bukan bercuti belajar, cuma disembunyikan untuk berehat seketika. Nanti bila keadaan reda dan terkawal, baliklah dia dan bolehlah memainkan peranan untuk mengukuhkan kedudukan MB Mat Said di persada tingkat 16 itu.

MB Mat Said bukannya orang yang kedekut atau ‘klorek’ sangat. Sekadar RM200,000.00 (ulang dengan sebutan perkataan – Ringgit Malaysia dua ratus ribu sahaja… ulang perkataan akhir – sahaja, sahaja, sahaja, sahaja…) duit kerajaan untuk membiayai MB2 pergi berehat, bukan satu jumlah yang besar pun. Kereta Mercedes E200K yang dipakai MB dan para Exconya itupun lebih mahal daripada itu. Lagipun, semua itu bukan duit atau harta MB Mat Said secara peribadi. Itu ‘harta redok’ kerajaan, pitis kerajaan. MB Mat Said tak rugi sekepeng pun. Rakyat tak perlu tahu dan tak sepatutnya tahu hal-hal remeh temeh macam nin.

Rakyat semua bangang dan tak tahu apa-apa. Rakyat semua sebagai pak turut sahaja. Begitu kata MB mereka, mereka dengan segera menyokong sehingga 110 peratus. Perbodohkan dan perlembukan sahaja rakyat. Mereka tahu apa? Tambah lagi, Pak Mat, Pak Soh, Pak Yek, dan banyak lagi Pak Pak Pak Pak di kampung-kampung tu tak reti pun nak bilang duit kalau sudah kosongnya ‘berjujuk-jujuk’. Kalau yang reti dan faham betul-betul tentang kosong yang berjujuk-jujuk tu pun, mungkin Pak Seli, Anak Gundik Umno, Ustaz-ustaz yang pakai songkok tinggi, para politikus dan YB yang tekuk batu, atau mereka yang pada fikiran MB Mat Said, boleh mengekalkan kedudukan beliau. Itu saja. Yang lain selain itu, holor kurma sekotak pun, bereh dah.

Jadi apa yang salahnya. Belanja sajalah, jangan peduli dengan cakap orang. Bila lagi nak menghabiskan duit kerajaan, kalau tidak semasa berkuasa ini. Nanti kalau orang lain pula yang berkuasa, sekurang-kurangnya MB Mat Said atau MB2 sudah lega kerana berjaya memanfaatkan kuasa tepat pada masanya.

Yang penting MB2 pasti akan balik semula dan akan menyambung kemanfaatan kuasanya selaku MB2 merangkap TSUK(P) merangkap SUSK (SUSKKBB??? –Setiausaha Sulit Kanan Kiri Bahang Belaka???). Yang membezakan sedikit ialah beliau akan menjadi Budak Tingkat 15 pula. Tetapi walaupun turun satu tingkat, kuasa tetap naik mencokeng. Tahniah sekali lagi.

Memang MB Mat Said pemimpin yang maha prihatin dan berjiwa rakyat sebulu. Beliau bukan sahaja berusaha membantu sahabat dan ‘and the geng’nya, malahan berusaha mengembalikan semula ‘maruah’ sahabatnya (MB2) itu. Seperti yang disebutkan sebelum ini, MB kita ning seorang yang maha bermaruah dan bermoral tinggi. Sehingga kadang-kadang maruah dan moral itu, dek kerana terlalu tinggi, terpaksa disembunyikan di atas pokok cengal besar di hutan Hulu Dungun. Kalaupun nak tebang cengal tu pun, kerana MB dan MB2 orang yang tak berkira banyak sangat, orang yang maha prihatin, maha bijaksana, pasti boleh saja.

Sebabnya MB Mat Said nak membantu MB2 kerana MB2 kita nin telah dianayai orang, dikhianati dan banyak orang dengki dengannya. Kesihan MB2, beliau bukan tidak layak, maha layak, layak kerana kuasa, layak kerana ‘and the geng’, layak kerana ‘sebab aku nak beri…’ Jadi usah dipertikai lagi. Jangan ada dengki antara kita. Jangan ada kemarahan oleh orang lain. Yang marah tu siapa? Kamu kan sudah setuju dan berbai’ah dengan MB Mat Said. Tunggulah nanti giliran kamu yang akan dapat manfaat dan upahannya.

Memang MB2 kita tu dianayai. Sebelum beliau menjadi TCS, beliau pernah bekerja sebagai Pegawai Luar (Field Assistant) Felda di Felda Jerangau Barat. Jadi FA, berapalah sangat gajinya. Tapi alhamdulillah, kira rezeki dah tu.

Yang nak diceritakan, si MB2 kita nin (masa tu FA laaa), dituduh orang telah menyelewengkan amanah dan melakukan sesuatu yang menjejaskan kemaluan sehingga menjatuhkan maruah beliau. Jangan percaya dengan fitnah ini, tetapi marilah kita semua yakin bahawa MB2 kita ini orang yang punyai maruah dan harga diri, walaupun maruah dan harga dirinya bernilai hanya satu beg baja sahaja.

Menurut cerita (ini cerita – jangan percaya seratus peratus kerana namanyalah cerita, sebuah karya kreatif). Menurut cerita, para auditor yang melakukan kerja-kerja audit di Felda Jerangau Barat pada waktu itu telah mengenalpasti bahawa si MB2 kita nin telah menyeleweng amanah dan melakukan kesalahan menjual baja. Masya-Allah, apa punya cerita nin… Tak kan baja satu beg yang tak berapa sen nilainya tu, nak dijual oleh MB2. Lebih baik jual ladang saja, baru berbaloi-baloi.

Dek kerana keesahan kesalahan yang ‘dikatakan’ dilakukan oleh MB2 tu, maka beliau pun dinasihatkan berhenti kerja (dalam bahasa yang lebih lembut dan bersopan – dipaksa supaya berhenti – samalah seperti izin dalam paksa kot) sebagai FA Felda. Yalah… kalau tak salah, tak kan nak dituruti arahan atau paksaan tu kan? Kan? Kan? Kan?

Maka, si MB2 nin dengan muka selambanya pun berhentilah bekerja sebagai FA Felda dan dengan penuh bersemangatnya menyambung pelajaran sehingga berjaya memperolehi Ijazah (rasanya pada masa tu, susah sikit nak beli sijil, walaupun ada duit hasil jual baja). Selesai menyambung pelajaran, dek kerana rapatnya hubungan dan ‘kacing’nya keluarga MB2 dengan mantan MB Terengganu masa tu (ayah wan), MB2 diterima menjadi TCS, walaupun rekod baik dan bersih kejualbajaannya sewaktu menjadi FA Felda bukan menjadi suatu rahsia lagi.

Kalau tidak silap (harap-harap tak silap), MB2 ning diterima dengan ikhlasnya sebagai TCS samalah zamannya dengan MB Mat Said. Tu juga antara faktor kekacingan MB1 dan MB2 nin.

Cuma sesekali terfikir juga, rasanya kalaulah auditor Felda dan bos Felda yang menasihati MB2 berhenti dulu masih ada dan kebetulan pula bekerja di Terengganu, tak tahulah, apa hukuman setimpal yang boleh dijatuhkan kepada mereka. Mungkin dendanya menjadi gembala kambing boer di Bukit Kijal atau di Kampung Manir. Baru padam muka.

Nah…. Sekarang dengan rasminya MB2 telah dilantik ke jawatan TSUK (P). Pegawai kanan yang punyai kuasa besar dan hebat. Kalau masa menjadi FA Felda, beliau ‘difitnah’ menjual baja yang tidak seberapa harganya itu, apa pula ‘fitnah’ (nak sedapkan bahasa) yang bakal beliau hadapi apabila menduduki kerusi berharga di tingkat 15 itu nanti.

Sudah tentu dengan bajet sebanyak RM1bilion yang menjadi ‘kawalan’ TSUK (P), MB2 menjadi ‘semakin tergamak’ untuk mengukuhkan kedudukan beliau dan bosnya. Secara logiknya, baja kelapa sawit yang nilainya tak seberapa itu pun tergamak untuk beliau menjualnya, tak kanlah ‘pitis’ depan mata yang sudah jelas warna dan nilainya itu, nak dibiarkan ‘berterbangan’ begitu sahaja? Real lah bro... lu warak dan jujur punye…

Apa-apapun, selamat kembali ke arena mencucuk hidung. Semoga hidung yang dicucuk tidak tercucuk sampai ke dalam, takut-takut terbersin dan tersembur hingus yang menjijikkan.

Rabu, Januari 20, 2010

YANG MEMANFAATKAN PENGARUH

Alhamdulllah… Cerita memanfaatkan kuasa terdahulu amat berkait rapat dengan cerita memanfaatkan pengaruh ini. Kali ini pengaruh salah seorang ‘and the geng’ kepada MB Mat Said.

Sebelum cerita dilanjutkan, JAM terkenang dua cerita yang telah sekian lama dipostingkan oleh sahabat JAM, Sdr Mohd Zabidi Saidi, blogger Memo Belakang yang khabarnya sekarang menjadi penyokong kuat MB Mat Said. Dua cerita di bawah ini dipetik semula daripada blog memo belakangnya.

Untuk makluman juga, cerita HAJI DOL KUASAI UMNO KEMAMAN turut disiarkan dalam akhbar Mingguan Watan yang pada ketika itu, Sdr Mohd Zabidi bertugas sebagai Editor akhbar berkenaan. Sama-samalah kita mengembalikan semula nostalgia dengan membaca kembali cerita yang dipostingkan oleh Mohd Zabidi Saidi ini :

Khamis, Februari 19, 2009
HAJI DOL KUASAI UMNO KEMAMAN

UMNO Bahagian Kemaman yang diketuai oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said telah membuat rombakan berikutan pemilihan ahli jawatankuasa UMNO bahagian yang baru tahun lepas.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Rosli Ahmad dilantik sebagai Setiausaha UMNO Bahagian yang baru menggantikan Zahari Said. Zahari Said yang menjadi Setiausaha selama dua penggal adalah bekas setiausaha pemuda ketika Ahmad Said menjadi ketua pemuda (1993-1998). Zahari yang berasal dari Besut dikatakan orang bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Manakala Haji Dol dilantik sebagai Bendahari yang baru menggantikan Ghani Zahari (GZ). Ramai yang mempertikai perlantikan Rosli sebagai Setiausaha Bahagian kerana sewaktu krisis perlantikan Menteri Besar Terengganu pada tahun lepas, beliau tidak menyokong Ahmad Said sebagai Menteri Besar. Rosli dikatakan menghantar sms kepada ahli-ahli UMNO supaya tidak menyambut Ahmad Said di sempadan Terengganu-Pahang sekembalinya Menteri Besar baru itu dari Kuala Lumpur. Seorang bekas pemandu lori, Hassan Ali pula dilantik Ketua Penerangan UMNO Bahagian.

Rosli yang juga Penyelia Kanan KEMAS juga dikatakan berperanan melantik guru-guru kemas sebagai jurukira undi sewaktu pemilihan UMNO Bahagian Kemaman Oktober lalu yang menimbulkan kontroversi sehingga didakwa banyak berlaku penipuan kiraan undi. Walaupun UMNO Perhubungan mengakui kesilapan itu tetapi oleh kerana ia melibatkan Bahagian Menteri Besar, maka Perhubungan terpaksa menutup mata kesalahan tersebut dan membuat keputusan tidak membuat pemilihan semula walaupun surat pemilihan semula sudahpun diedarkan kepada 500 orang perwakilan.

Sebagai kompromi, GZ yang membuat laporan salah laku itu diberi kemenangan sebagai ahli jawatan kuasa UMNO Bahagian di tempat ke 20 menggantikan Wan Nordin. Wan Nordin diumumkan oleh Ketua Bahagian sebagai ahli jawatankuasa dilantik bersama Kamaruddin Mat Ali yang tewas dalam pertandingan ketua pemuda UMNO bahagian. Kamaruddin tewas kepada Hisham Zubir.

Sekarang heboh di Kemaman kononnya Haji Dol orang yang paling berpengaruh dalam UMNO Bahagian Kemaman. Di zaman PAS memerintah Terengganu, Haji Dol adalah ahli PAS. Bila PAS kalah, beliau menyertai UMNO dan dikatakan beliau terlalu rapat dengan Ahmad Said.

Kini Haji Dol menguasai KSB walaupun beliau bukan Pengerusinya. Haji Dol dikatakan mengarahkan CEO KSB, Ramli Cono adik Mat Bawal (seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman) untuk menamatkan kantin Mohamad Abu Bakar (Mat Taya) yang merupakan bendahari pemuda di zaman Ahmad Said jadi ketua pemuda UMNO Bahagian Kemaman.

Di zaman Wan Mokhtar dulu, Mat Taya paling disayangi oleh Ahmad Said. Bila PAS menang, Mat Taya meninggalkan Ahmad Said. Dia tak sangka Mat Said akan jadi Exco semula dan akhirnya dilantik Menteri Besar. Ketika krisis perlantikan Menteri besar tahun lepas, Mat Taya dan Zahari Said dikatakan tidur di rumah Idris Jusoh di Besut menyokong Idris sebagai Menteri Besar. Sepatutnya Zahari sebagai Setiausaha UMNO bahagian yang dilantik Ahmad Said menyokong Ahmad Said sebagai Menteri Besar. Begitu juga Mat Taya yang merupakan salah seorang ketua cawangan dalam DUN Kijal sepatutnya menyokong Ahmad Said yang juga ADUN Kijal sebagai Menteri Besar.

Sudah 10 tahun Mat Taya tidak berbaik dengan Ahmad Said. Mat Taya dapat kantin pun kerana Zahari yang dilantik oleh Idris sebagai Pengerusi KSB Sdn. Bhd. Oleh itu tindakan Haji Dol menamatkan tender kantin Mat Taya disokong oleh para penyokong Ahmad Said.

Dalam pada itu Haji Dol dikatakan mempengaruhi Ramli Cono memberi satu projek kepada adiknya di KS. Adiknya dikatakan masih ahli PAS dan ini menimbulkan kemarahan ahli-ahli UMNO Kemaman kerana mereka lihat Haji Dol terlalu tamak.

Sementara itu Ahmad Said dikatakan melantik lulusan darjah enam sebagai Pengerusi PESAMA. Ngah Ismail, seorang bekas pemandu ambulan dilantik sebagai pengerusi anak syarikat kerajaan negeri. Sebagai seorang kontraktor beliau telah memberi peluang perniagaan kepada proksinya. Ia juga heboh di Kemaman kerana Idris Jusoh selaku Menteri Besar melantik golongan professional sebagai pengerusi anak-anak syarikat kerajaan negeri tetapi Ahmad Said melantik lulusan darjah enam sebagai pengerusi anak syarikat. Sewaktu Ahmad Said menjadi Pengerusi PESAMA dulu, PESAMA mengalami keuntungan. Dapatkah lulusan darjah enam seperti Ngah Ismail mengekalkan keuntungan PESAMA?

Oleh itu Ahmad Said selaku Menteri Besar perlu mengkaji semula kedudukan Ngah Ismail dan Haji Dol kerana mereka berdua telah merosakkan nama baik Menteri Besar. Soalnya, adakah tindak-tanduk mereka direstui oleh Menteri Besar? Ini semua menimbulkan kemarahan ahli-ahli UMNO Kemaman. Oleh itu Ahmad Said perlu bertindak segera mengatasi masalah ini.

Kemudian setelah dua hari cerita berkenaan dipostingkan, muncul pula cerita ini :

Sabtu, Februari 21, 2009
EDITOR WATAN DICARI UNTUK DIPUKUL

Sudah lama saya tidak balik ke Kemaman. 18 hari sejak 3 Februari lalu. Hari ini balik kerana ada anak dua pupu kahwin di Gong Pasir, Dungun. Seperti biasa setiap pagi Sabtu bila saya berada di Chukai, saya akan bersarapan di kedai Mat Stopa di stesen teksi bersama rakan baik, Sulong.

Pagi ini Mohd. Nor Dusun Nyior turut ada sama. Saya kecil hati dengan Mohd. Nor ini. Dahulu saya minta dia calonkan saya untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman pada tahun lepas, tetapi dia tidak calonkan saya walaupun saya sudah hulur RM150 kepadanya. Bila saya tanya dia kata lupa. Duit sapu, cadang nama tidak. Ada juga orang seperti ini.

Setiap kali balik ke Kemaman, banyak topik politik yang dibualkan. Paling heboh suratkhabar WATAN yang terbaru yang memuatkan satu rencana mengenai politik UMNO Kemaman iaitu Haji Dol kuasai UMNO Kemaman.

Bukan main marah Haji Dol, Bendahari UMNO Bahagian Kemaman kepada saya. Saya selaku editor berhak menyiarkan rencana yang ditulis oleh Fadzilah Mokhtar itu kerana ia menggambarkan kemarahan ahli UMNO Kemaman kepada beliau.

Menurut seorang rakan bernama Haji Khalid Karim, dia suruh saya jaga-jaga sikit kerana Haji Dol dan Ngah Ismail sedang mencari saya di keliling bandar Chukai dengan dua buah kereta pagi ini mahu pukul saya. Masih ada orang primitif yang mahu pukul orang kerana marahi menulis benda yang benar. Saya tak takut dipukul kerana rencana itu menyiarkan benda yang benar dan bukannya memfitnah Haji Dol.

Tak payah masuk politiklah kalau mahu jadi samseng. Tergamak pula dia upah orang untuk pukul saya. Lebih baik Haji Dol letak jawatanlah kalau ditegur sikit dalam tulisan sudah melenting. Khairy Jamaluddin menantu Pak Lah macam-macam ditegur oleh para penulis, tapi tak ada pun kita dengar cerita Khairy upah orang untuk pukul penulis. Nampak sangat Haji Dol masih primitif. Tidak profesional.

Oleh itu Datuk Ahmad Said selaku Ketua Bahagian hendaklah melihat perkara ini secara serius. Jangan sampai ahli jawatankuasa UMNO Bahagiannya terlibat dengan jenayah. Buat malu aja.

~~~~~~~~~

Mungkin tiada apa yang menarik berhubung dengan dua cerita di atas kerana secara sepintasnya hanya menceritakan perihal dalaman UMNO Bahagian Kemaman. Cuma menariknya, walaupun dalam cerita di atas dilihat seolah-olah Zabidi semacam kurang sebulu dengan MB Mat Said, tetapi hakikatnya sekarang Sdr Zabidi sudah menjadi orang kuat kepada MB Mat Said, dalam erti kata kuat menyokong MB Mat Said melalui tulisan-tulisannya. Yang bagusnya lagi, Zabidi tetap setia dengan MB Mat Said, walaupun beliau terpaksa ‘berhutang dengan tokey karaoke” kerana sudah tiada kerja tetapi masih kekal setia tinggal di Kuala Lumpur.

Yang hendak dikaitkan dengan dua cerita Zabidi di atas tadi bukanlah perihal Zabidi, tetapi sedikit kaitan dengan Bendahari UMNO Bahagian Kemaman, nama seperti yang disebut Zabidi sebagai Haji Dol.

Mungkin betul seperti diceritakan oleh Zabidi perihal Haji Dol itu. Tetapi itu mungkin cerita lama. Mungkin juga Haji Dol sudah berubah atau sudah sedar di mana kedudukan beliau serta sejauh mana had-had kuasa yang ada pada beliau.

Tetapi, dengan tidak semena-mena, rupanya ‘kuasa’ dan ‘pengaruh’ Bendahari UMNO Bahagian itu masih berbisa dan masih diakuri kuat oleh MB Mat Said. Mungkin sesuai dengan penyebaran sayap dan kemanfaatan kuasa oleh MB Mat Said sendiri, makanya Bendahari UMNO Bahagian juga mengambil peluang yang sama untuk memanfaatkan pengaruh dan menggunakannya untuk kesejahteraan keluarganya.

Soal penyebaran dan penggunaan kuasa oleh MB Mat Said and the geng yang tidak memudaratkan atau tidak menampakkan sangat keluarbiasaannya, apatah lagi rakyat tak tahu pun – tak ada yang merungut atau bising pun. Yang menjadi rungutan dan tidak puas hati banyak orang apabila sesuatu tindakan dibuat semata-mata kerana kuasa dan pengaruh.

Yang rakyat tahu, MB ini bagus, mesra rakyat, cakna rakyat, cakna harta rakyat, cakna harta kerajaan, cakna harta sendiri. Kerana kecaknaan MB Mat Said kepada rakyat dan tidak kedekut dan loket dengan harta kerajaan yang bukan harta sendirilah, mungkinnya pengaruh dan kehendak Bendahari UMNO bahagian itu dicincaikan sahaja pelaksanaannya.

Kalau tidak tiada orang yang merungut perihal bagaimana anak kepada Bendahari UMNO Bahagian itu yang baru bertugas tiga empat tahun dengan Syarikat Anak kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) (66667-K) telah dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Kanan syarikat berkenaan.

Sedang masih ramai sebenarnya (termasuk yang melahirkan rasa tidak puas hati tu) yang sudah berbelas-belas tahun berkhidmat dengan EPIC malahan ada antaranya yang jatuh dan bangun dengan Syarikat, punyai kelayakan, rekod perkhidmatan yang baik, tetapi dipejamkan mata oleh “…………..” (oleh siapa ya?) untuk ke jawatan Pengurus Kanan, sebaliknya diberikan kepada Bendahari UMNO bahagian punya anak.

Itulah yang dinamakan rezeki. Rezeki disebabkan pengaruh. Pengaruh menguasai kuasa. Kuasalah yang mengenepikan segala yang lain, segala yang sepatutnya dan segala yang dituntut oleh Allah s.w.t.

Semoga rezeki yang bakal menjadi darah daging anak isteri dan keluarga itu mendapat keredhaan dan diberkati Allah jua hendaknya. Aminnn….

YANG MEMANFAATKAN KUASA

ALHAMDULILLAH – itulah kalimah kesyukuran kepada Allah Azzawajalla yang sewajarnya diucapkan oleh seorang hamba-Nya apabila dianugerahkan kejayaan, kerahmatan dan segala kenikmatan.

Maka Alhamdulillah jugalah ucapannya, sebagai menandakan kesyukuran kita kepada Allah Azzawajalla kerana kejayaan dan kecemerlangan MB Mat Said menggunakan kuasa dan pengaruh serta kedudukannya yang ada. MB Mat Said benar-benar tidak mensia-siakan kuasa dan pengaruhnya serta langsung tidak pernah membazirkan peluang yang ada di hadapan mata untuk membela ‘and the geng’ dan orang-orang yang boleh mengekalkan beliau untuk berkuasa.

Alhamdulillah, MB Mat Said telah menggunakan motto yang betul dalam pentadbiran dan kekuasaannya iaitu “ada peluang kita bahang, ada kuasa kita berleluasa”.

Kerana itu, kita sebagai rakyat dan hamba marhain di bawah kepimpinan MB Mat Said perlu mengucapkan syukur dan alhamdulillah yang sebesar-besarnya, kerana MB Mat Said tidak pernah mengecewakan rakyat dalam mengambil tindakan dan menggunakan kuasa yang ada padanya. Amat wajar kalau rakyat menaikkan kain pemidang atau ‘billboard’ besar di seluruh negeri merakamkan terima kasih rakyat kepada MB Mat Said atas kebijaksanaan beliau yang maha terserlah itu.

Itulah kebijaksanaan MB Mat Said. Dan itulah sikap MB Mat Said yang maha wajar diberi sanjungan tinggi. MB Mat Said tidak pernah kedekut dan loket dengan harta rakyat dan harta kerajaan. Harta negeri adalah milik rakyat. MB Mat Said tahu, harta negeri bukan harta beliau. Jadi, untuk apa beliau kedekut. Lebih baik beliau menjadi MB maha pemurah lagi maha pemberi dan maha penghabis harta negeri.

Rakyat pun tak akan kata apa-apa, sebab rakyat mana tahu menahu hal-hal harta negeri nin. Semua rakyat Terengganu dungu dan tokey angguk sahaja. Semua wakil rakyat Terengganu bengong dan tekup batu belaka. Apa lagi dalam kalangan wakil rakyat yang ada kepentingan peribadi. Mana-mana wakil rakyat yang tergolong dalam golongan ada kepentingan peribadi ini, semuanya MB Mat Said tahu. Sudah ada senarai harta negeri ‘bukan hak milik MB secara peribadi’ siap sedia untuk dibahagi-bahagikan – ‘satu untuk kau satu untuk aku”.

Harta negeri adalah harta rakyat. Itu MB Mat Said amat tahu. MB Mat Said tidak pernah menyanggah kenyataan itu kerana MB Mat Said juga rakyat. Tapi rakyat bawahan lain serta semua wakil rakyat nakkan Mat Said sebagai MB. Bukankah episod mereka (wakil rakyat BN) menangis berguling di hadapan pintu pagar istana dan pintu pagar Seri Perdana, meronta-ronta meraung semata-mata nakkan agar Mat Said dilantik sebagai MB.

Rakyat mahukan Mat Said jadi MB bermakna rakyat memberi kuasa dan tanggungjawab penuh kepada beliau untuk memerintah negeri dan membuat apa sahaja yang beliau suka. Dalam hal ini semua orang termasuk rakyat dan wakil-wakil rakyat tidak ada hak langsung untuk mempertikaikan apa sahaja tindakan kerana kuasa sebagai MB mengatasi segalanya. Mempertikaikan tindakan dan kuasa MB Mat Said bermakna tidak mensyukuri nikmat yang diberikan Tuhan. Tuhan amat sayang kepada rakyat Terengganu, sebab itu Tuhan telah menganugerahkan kepada mereka seorang MB yang hebat dan maha prihatin terhadap harta negeri dan harta rakyat.

Ini MB bagus punya. Bukan seperti MB-MB lain sebelum ini. MB ini punya perancangan dan wawasan besar untuk menghabiskan harta rakyat dan harta negeri dengan baik dan tersusun. Tidak akan ada pembaziran. Kalau boleh sedepa tanah pun tidak akan ditinggalkan takut membazir. Apa lagi kalau tanah itu ada pokok kayu yang besar-besar. Semuanya nak dibahagikan, terutama kepada mereka yang boleh mengekalkan kedudukan sekali gus kuasa sebagai MB.

Prinsip, cara dan pendekatan MB Mat Said maha baik. Yang ada hari ini adalah untuk makan hari ini. Esok lusa kemudian kira. Kalau orang lain pula dilantik sebagai MB kemudian hari, itu pandai-pandai dialah. Negeri bangsat atau bangkrapsi, itu bukan soalnya. Yang penting, kuasa perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya. Itulah sifat dan teladan seorang MB yang baik, berjaya dan berkesan.

Inilah ciri-ciri MB terbaik di Terengganu setakat ini. Tanyalah datuk nenek kita, rasanya tidak pernah ada MB sebaik Mat Said sebelum ini di Terengganu. Mungkin MB Mat Said adalah antara MB terbaik seluruh Malaysia. Nak dibandingkan dengan MB Kelantan atau Selangor atau Kedah atau KM Pulau Pinang yang dikuasai pakatan tu, amat jauh bezanya. Segala-galanya berbeza dan tidak hebat sebagaimana hebatnya MB Mat Said. Bezanya umpama dunia dengan pluto jauhnya.

Kuasa dan kekuasaan itulah sebenarnya yang benar-benar dimanfaatkan oleh MB Mat Said.

Maka bersyukurlah wahai sekalian rakyat Terengganu kerana mendapat MB yang maha hebat dan maha berkuasa itu. Alhamdulillah….

Rabu, Januari 06, 2010

YANG DIBUBAR & TERBUBAR

Ramai teman yang bertanya, benarkan seperti kenyataan seorang ADUN (mendakwa mewakili kumpulan ’10 Budak Hitam’ yang disiarkan dalam akhbar beberapa minggu lalu) dengan menyatakan kumpulan/geng 10 Budak Hitam sudah dibubarkan dan sekarang hanya tinggal beberapa orang sahaja lagi.


JAM mendapat respon daripada beberapa ADUN yang didakwa berada dalam kelompok 10 Budak Hitam ini dan beberapa jawapan ringkas berikut diperolehi :


PERTAMA : Kumpulan 10 Budak Hitam TIDAK PERNAH diwujudkan atau ditubuhkan atau didaftarkan atau diapa-apakan dalam konteks ‘memaujudkan’ sebuah kumpulan seperti yang digelar. Jadi bagaimana kumpulan yang tidak pernah wujud ini tiba-tiba hendak dibubarkan? Yang jelas, nama ’10 Budak Hitam’ itu sendiri asalnya diberi gelaran oleh MB Mat Said and the geng serta kuncu-kuncunya, bukan dinamakan oleh 10 ADUN terbabit. Kemudian nama itu menjadi popular di kalangan wartawan, bloggers dan orang awam seantero dunia.


KEDUA : ADUN yang mendakwa mewakili kumpulan 10 Budak Hitam itu sendiri berada di luar kumpulan 10 ADUN BN yang ‘memboikot’ @ ponteng @ tidak hadir Sidang DUN April 2009 lalu. Kalau kita masih ingat, ada tiga (3) ADUN biasa (bukan Exco) yang berada dalam Sidang Dewan ketika rakan-rakan mereka memutuskan untuk tidak hadir ke Sidang Dewan hari pertama lantaran isu ‘sms ugutan’. Salah seorang daripada tiga ADUN berkenaan adalah ADUN yang mengeluarkan kenyataan ‘membubarkan’ Kumpulan 10 Budak Hitam ini.


KETIGA : Sama ada ‘dibubarkan’ atau tidak dinamakan lagi kumpulan 10 Budak Hitam itu, penentangan dan kebencian berterusan terhadap kepimpinan MB Mat Said jelas tidak pernah terhenti. Malahan semakin membuak-buak, bukan sahaja di kalangan 10 ADUN terbabit sahaja, tetapi tetap kekal sepertimana dakwaan mereka sebelumnya iaitu seramai 18 orang.


KEEMPAT : Mungkin yang dimaksudkan dengan Kumpulan 10 Budak Hitam itu adalah anggota ‘10 Exco Kerajaan Negeri’ kerana dalam kalangan Exco yang dilantik oleh MB Mat Said sendiri, ada yang tidak disukai, tidak sebulu dan tidak sekepala dengan beliau. Membubarkan kumpulan 10 Budak Hitam dalam konteks 10 Exco ini boleh digunapakai kerana ura-ura menukar dan menggantikan Exco sudah lama diuar-uarkan. Tinggal lagi mungkin MB Mat Said sedang mengadakan ‘runding terus’ untuk menjaja dan melelong jawatan Exco kepada yang berminat.


Cuma yang ‘mendukacitakan’ (bukan ‘mensukacitakan’, sama sekali bukan, bukan, bukan…), lanjutan daripada kenyataan membubarkan kumpulan 10 Budak Hitam itu serta serba sedikit ada kaitannya dengan ‘penentangan yang tak terduga’ dalam Sidang DUN sebelumnya, JAM (dan mungkin ramai lagi) menerima SMS panjang berikut :


Satu-satunya modal sementara untuk menutup kelemahan kepimpinan dan runding terus yang berterusan yang menjadi sungutan rakyat dan pegawai kerajaan adalah mengaitkan mereka yang mengkritik dengan ‘Idris Jusoh’ kerana hanya itu sahaja yang boleh menjadi alasan yang menarik perhatian istana. Maka diupahlah wartawan yang senantiasa lapar wang dengan mencari wakil rakyat yang menjadikan jawatan dan mandat yang diberi oleh rakyat sebagai batu loncatan untuk mengumpul wang atas nama projek runding terus dalam kawasan (kononnya projek membela rakyat) untuk membuat kenyataan menyokong kepimpinannya. Sampai bila kita mahu menipu dan menutup mata rakyat dengan menyimpan sampah di bawah tikar? Sampai bila kita sanggup menggunakan hasil mahsyul dan projek pembangunan negeri Terengganu untuk menyuap kepada wakil rakyat bagi meraih sokongan mereka dan menutup mulut mereka? Sampai bila kita mahu gunakan hasil negeri untuk mengupah wartawan dan bloggers menulis menyokong kita? SEHINGGALAH RAKYAT MENUKAR KERAJAAN DALAM PRU AKAN DATANG!!!


Kepada siapakah kenyataan SMS ini ditujukan? Adakah kepada MB Mat Said atau kepada ‘pokok kayu’ atau kepada ‘kambing boer’?


Adegan yang membimbangkan dan tak ingin dilihat – DIBUBAR 10 TERBUBAR 1.


Alahai…… kesihan MB kita tu….

Related Posts with Thumbnails