Khamis, Disember 24, 2009

YANG TERSERLAH REALITINYA

Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang ditangguhkan kelmarin dengan terang lagi bersuluhnya menyerlahkan realiti. Jangan cuba menafikan kerealitian ini kerana semuanya berlaku dalam dewan yang mulia itu, yang menjadi pentas rasmi, bukannya pentas untuk berpolitiking, menonjolkan hipokrasi atau pentas lakonan dan sandiwara semata.

Realitinya jelas. Bahawa majoriti ADUN BN masih tidak sukakan dan tidak pernah suka dan (rasanya) tidak akan suka kepada MB Mat Said. Tidak suka bukan atas kapasitinya secara individu yakni Mat Said itu, tetapi atas kapasitinya MB. Barangkali bagi mereka, itulah pentas paling sesuai untuk menterjemahkan ketidaksukaan mereka kepada MB Mat Said, setelah sebelumnya banyak pandangan menyatakan mereka sudah boleh duduk semeja dan menyokong kepimpinan MB Mat Said.

Bermakna, kenyataan MB Mat Said dan beberapa pemimpin UMNO bahawa kumpulan apa yang dinamakan geng Derih Jusoh @ penentang MB Mat Said (atau digelar oleh MB Mat Said and the geng sebagai kumpulan 10 budak hitam) sudah memberikan sokongan dan menyokong MB Mat Said, bahawa politik UMNO Terengganu sudah reda dan stabil, bahawa adanya ‘taubat nasuha’ daripada kalangan ADUN yang menentang MB Mat Said dan sudah menyokong penuh MB Mat Said, dan pelbagai andaian, telahan, ungkapan yang muluk-muluk dan melegakan kerongkong MB Mat Said and the geng - rupa-rupanya sama sekali tidak benar dan belit auta semata-mata.

Semua pandangan yang menyatakan sedemikian adalah untuk menyedapkan hati yang lara sahaja. Menjadi halwa telinga yang tidak pernah dirasakan manis madunya kehalwaan, apa lagi sebagai penawar ‘kemesraan’ yang sudah sekian lama menyelinap di sebalik tembok kepura-puraan.

Antara kenyataan yang berbau ‘untuk menyedapkan hati’ sebegitu, selain datangnya daripada MB Mat Said sendiri, pernah disuarakan oleh beberapa konconya termasuk Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu – Dato’ Ku Tera. Ku Tera dengan penuh yakin menyatakan (kepada beberapa teman yang sempat terserempak dengan beliau satu ketika sebelum Sidang DUN), bahawa hanya tinggal tiga orang sahaja lagi ADUN yang tidak menyokong MB Mat Said. Tiga ADUN itu ialah Dato’ Rosol Wahid (Ajil), Zawawi Ismail (Kuala Berang) dan Zakaria Abdullah (Paka). Zawawi pun menurut Ku Tera, hanyalah pak turut sahaja, bukan sebenar-benarnya penentangan dan ketidaksetujuan itu datangnya daripada dalam dirinya. Ngikut Dato’ Rosollah tu maksudnya….

MB Mat Said juga begitu, dengan yakin menyatakan bahawa ADUN-ADUN itu adalah kawan-kawan beliau belaka yang boleh bekerjasama. Beralasankan kehadiran dalam program kerajaan, MB Mat Said dengan segera mengandaikan bahawa ADUN yang menentang beliau sudah berpaling tadah dan memberi sokongan serta kerjasama penuh kepada beliau.

Semua itukan retorik yang diperindahkan. Hakikat atau realitinya bagaimana? Untuk menjelaskan realiti, senaraikan ADUN (termasuk Exco) yang betul-betul tunduk dan menyokong kuat beliau. Atau kalau takut menimbulkan malu aib kepada ADUN-ADUN berkenaan sekiranya dibuat sokongan secara terbuka dan berdepan, buatlah undian secara sulit. Cuma takut dan bimbang juga kalau ada undi sulit bagi mencari siapa yang suka dan tidak suka kepada MB Mat Said, kalau tersilap 'kerut', MB Mat Said sendiri akan mengundi tidak suka kepada dirinya sendiri, barangkalilah kot!!!

Kerana realitinya, penentangan (terbuka atau sulit) dan usaha untuk merudumkan MB Mat Said tidak pernah bernoktah dan tidak pernah terpadam dalam diari perjuangan beberapa ADUN ini, waima apa sekali tanggapan dan hasrat ketua-ketua mereka. Yang jelas dan menjadi batasan akhir kepada ADUN-ADUN berkenaan adalah kerana mereka masih lagi akur dan patuh serta tidak mahu dianggap penderhaka, walaupun sudah ada yang melabelkan mereka sedemikian.

Sebab itu, sebaik ‘penentangan yang tak terduga’ dibuat oleh beberapa ADUN dalam dewan dan belum pun dewan selesai bersidang, sudah muncul beberapa ekor lembu yang bertindak ala jagoan untuk menutup kemaluan besar tuannya kerana diperlakukan sebegitu rupa oleh ADUNnya sendiri sambil dalam masa yang sama cuba memburuk-burukkan ADUN-ADUN berkenaan.

Lembu-lembu berkenaan berhempas pulas menyesuaikan dengan mes yang dimakannya, cuba menyembunyikan kemaluan tuannya dengan pelbagai alasan yang tidak logik, pandak akal, menonjolkan kebodohsombongannya, menjelaskan realiti kebodohan melampaunya dan paling seronok, berjaya menonjolkan ketololan dan kedunguannya tentang politik Terengganu semasa. Sesuai dan amat cocok sekali dengan sifat kelembuannya.

Cuma yang jelas - dengan meletakkan sementara ke tepi insiden dalam dewan dua hari lalu - sambil kita mengambil yang agak positif terhadap andaian yang menyatakan hampir semua penentang itu sudah agak kendur penentangannya dan mula kembali berjinak-jinak dengan parti mereka, UMNO (walaupun antara mereka ada yang tidak berjawatan apa-apa dalam UMNO) - segalanya adalah kerana ‘kasih sayang’ mereka kepada UMNO kononnya.

Kerana mereka menghormati dan patuh kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu – DSHH, kerana mereka berhasrat mengukuhkan semula UMNO Terengganu yang dilihat telah rosak, hambar dan bercelaru semenjak selepas PRU ke-12 lalu, dan (ada sikit-sikit) kerana kalau-kalau mereka masih diintai untuk mengekalkan kerusi sebagai wakil rakyat pada PRU ke-13 nanti atau kerana (dalam bahasa yang agak lembut) sebahagian mereka masih menekup batu, lebih-lebih bagi mereka yang telah dianugerahi dengan berbagai-bagai bagai bagai 'anugerah' oleh MB Mat Said. Agaknya.

Itulah realitinya. Kekenduran mereka bukan kerana hebatnya MB Mat Said atau berjayanya Ku Tera, bukan kerana kejayaan MB Mat Said merapatkan hubungan dengan mereka. Bukan kerana.... bukan, bukan dan bukan. Semua orang tahu hal ini, termasuklah Presiden dan Timbalan Presiden parti, juga DSHH sendiri.

Alahai…. kesihan, tidak ada ke penasihat yang berani memaklumkan kepada MB Mat Said, bahawa insiden dalam dewan ini juga merupakan rentetan menjejaskan 'maruah dan moral' yang bukan boleh ditutup hanya dengan nyiru atau mes makanan lembu? Tolonglah, jangan biarkan MB kita tu dilabelkan banyak orang sebagai tidak tahu erti maruah dan moral.

Kesihan MB kita.

Isnin, Disember 21, 2009

YANG POPULAR & TERPOPULAR

Sudah lama tak mengesahkan perihal kawan kita yang seorang nin. Pun demikian, tak diceritakan pun dia tetap menjadi orang popular dan terpopular (ter – sama ada ‘paling popular’ atau ‘tersalah popular’ – lu fikirlah sendiri).

Jadi pada kesempatan yang amat terbatas ini, saya mengambil kesempatan untuk menceritakan sedikit perihal sahabat yang kita sayangi ini. Cerita ini bukan ada apa-apa, tak adapun. Cuma sekadar nak mengaitkan dengan bagaimana popular dan bertuahnya dia berbanding dengan manusia lain yang kurang popular dan kurang bertuah.

(Dah yang kamu tu JAM menceritakan perihal dia tu, kamu dengki dengan dia ke kerana dia popular? He he he… taklah sampai gitu, cuma ini juga sebagai satu bentuk penghormatan atau penghargaan kepada beliau untuk mempopularkan lagi beliau yang telah tersedia popularnya itu. Alaaa.. tak kan nak beri penghormatan pun tak boleh kot).

Arakian, orang yang ingin diceritakan ini, tidak lain dan tidak bukan ialah seorang yang bertitle (Dr). Ada ler terserempak dengan sipopular nin masa malam Anugerah Kawat seminggu dua dulu, tapi kerana kita bukan orang popular dan dia orang popular, maka dia ‘buat deq’ jeee sambil mengepul-ngepulkan asap rokok (paip?) yang sedang disedutnya (mungkin asapnya berkepul-kepul dan berbau sama seperti cerita hisap rokok/paip dalam tandas di station Petronas itu hari kot? Entah, no comment!!!).

Dek kerana popularnya dia nin, sampai di tempat makan pun ada orang yang kenal dan menegurnya ‘dengan ramah’. Ceritanya beginilah kira-kiranya :

Kalau tak silap pendengaran daripada cerita orang yang menyaksikan dan mendengarnya, insiden ini berlaku dalam bulan ramadan tahun ini (2009). Waktunya malam (bulan puasa kena makan terang-terangan pada waktu malam jelah). Tempatnya ‘kedai ikan singgang’ yang ‘popular’ dalam kalangan orang Pantai Timur di Kuala Lumpur (maaf, jalan apa namanya di situ terlupa, tetapi jalan off Jalan Tunku Abdul Rahman / Chow Kit tu).

Sipopular ini bersama keluarga dan dua orang kanan beliau sedang makan di kedai ikan singgang tu dengan seronok dan berselera bakali. Apa tidaknya, makan di bulan ramadan setelah seharian menahan lapar dan dahaga katakan…(p/s: orang kanan sipopular tu bukan ghurka, bukan balaci, bukan orang suruhan, bukan, bukan, bukan…..sebab mereka nin berpangkat tinggi jugalah dalam UMNO Bahagian – seorang daripadanya sekarang berjawatan pegawai dan seorang lagi juga pernah memegang jawatan pegawai tu, sekarang masih AJK Bahagian).

Sedang asyik sipopular, keluarga dan orang kuatnya menjamu selera, datang dua orang pemuda yang juga hendak makan di kedai yang sama. Dua pemuda ini memilih meja yang tidak jauh daripada sipopular sekeluarga ini. Kebetulan juga, meja-meja lain sudah banyak dipenuhi orang lain yang turut datang menjamu selera ikan singgang sama seperti kegemaran sipopular itu.

Nak dijadikan cerita dan kerana seperti yang dikatakan sidia nin memang popular, salah seorang daripada pemuda yang baru sampai dan baru saja duduk berdekatan dengan kumpulan sipopular ini, tiba-tiba bangun dan menuding jari kepada sipopular. Dan dengan suara yang agak kuat (maksudnya boleh didengari oleh banyak orang di sekeliling dalam kedai tulah kiranya), pemuda itu berkata :

“Ninlah muka bahang (makan) rasuah…”

Masya-Allah, pemuda tu pun satu hal juga. Orang sedang makan dan depan rezeki pula tu, tak payahlah memuji-muji kepopularitian orang begitu, tunggulah sehingga orang tu habis makan ke, masa nak bayar ke… untung-untung dapat makan free, maklumlah dah memuji dan dah kembang punggungnya, tak kan sekadar sepuluh dua puluh ringgit tu tak boleh nak belanja kot…

Jadilah seperti sipopular tu, terus dengan muka keselambaannya, terdiam tak terkata. Orang kanan yang ada bersama sipopular tu pun bagus juga. Tak juga terkata apa-apa, hanya berkedip-kedip matanya menyaksikan sipopular dan pemuda itu bergilir-gilir, macam cicak tertelan kapur aje…

Entahlah, insiden ini boleh dimasukkan dalam kategori apa - popular atau terpopular. Terpopular tu pula, sama ada paling atau tersalah popular, wallahuaklam

Ahad, Disember 20, 2009

YANG KEHILANGAN, DIHILANGKAN & TERHILANG

MB Mat Said kehilangan lagi. Kesihan MB kita. Lepas satu, satu yang hilang. Tapi jangan keliru dan jangan takut serta bimbang. MB kita tu bukan kehilangan kedudukan dan jawatan MBnya. MB Mat Said tidak mungkin kehilangan kedudukan dan jawatannya sekarang. Tak mungkin dengan puluhan ribu kawasan hutan yang sudah ‘terhilang’ itu, boleh menjejaskan lagi kedudukan MB Mat Said. Tak mungkin sama sekali.

Yang MB Mat Said hilang kali ini adalah ORANG. Tiga orang. Dalam tahun ini sahaja. Dalam konteks kehilangan dan hubungan, bolehlah dikatakan MB Mat Said kehilangan dua orang kuat dan penting serta satu orang tak kuat (tapi penting juga) pada pemikiran beliau.

Sebenarnya sudah terlalu ramai orang-orang yang dihilangkan dan terhilang sepanjang MB Mat Said jadi MB. Paling ketara orang-orang yang berada dalam spesis hilang itu kebanyakannya adalah spesis peninggalan air tangan Derih Jusoh. Yang jelas, proses penghapusan spesis dan warisan Derih Jusoh dilakukan dengan penuh tragis dan diiringi air mata MB Mat Said sendiri. (Tafsirlah sendiri, air mata gembira atau air mata berduka).

Tetapi kebanyakan yang terhilang itu, tidak tergolong dalam kategori orang-orang penting atau tidak tersohor langsung. Sebab itu, kalaupun tidak diceritakan, tidak menjadi gudis gatal apa-apa. Jauh sekali untuk mendatangkan penyakit kepada MB Mat Said and the geng.

Bezanya dengan yang nak diceritakan kali ini ialah mereka yang ‘hilang’ itu tergolong dalam kategori orang-orang penting dalam sejarah pentadbiran MB Mat Said. Mungkin tidak penting bagi sesetengah orang, tetapi menjadi begitu penting kepada MB Mat Said.

Setelah MB Mat Said ‘kehilangan’ jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri pada April 2009 lalu, orang kuat pertama MB Mat Said yang ‘hilang’ ialah Setiausaha BPUNT yang dilantik dan dibelai serta amat dipercayai oleh beliau selaku Pengerusi BPUNT sepanjang kira-kira setahun beliau memegang jawatan berkenaan.

Dr Jepun in bracket yang amat dipercayai oleh MB Mat Said tidak disambung jawatannya oleh Pengerusi BPUNT yang baru. Semenjak itu, Dr Jepun in bracket bukan sahaja kehilangan jawatan Setiausaha BPUNT malahan turut hilang jawatan gelaran dengan kuasa-kuasa yang ada padanya sepanjang beliau memegang jawatan ‘penting’ dalam UMNO itu. Jawatan gelaran Dr Jepun in bracket dalam pentadbiran kerajaan negeri ialah sebagai Timbalan Menteri Besar Kanan merangkap salah seorang anggota kanan geng enam jahanam.

Walaupun Dr Jepun in bracket sudah kehilangan jawatan-jawatan tu, dek kerana keakraban hubungan dan kebiaran kepercayaan yang melampau sebelumnya oleh MB Mat Said, Dr Jepun in bracket sekali sekala masih lagi mengunakan keakraban dan kebiaran itu untuk menjolorkan kepala dan menempelkan ketidakmaluan mukanya dalam khalayak. Cuma penyerlahannya sedikit kurang jelas walaupun masih mengekalkan sikap kemengada-ngadaannya. Kadang-kadang bolehlah ditamsilkan sebagai hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Orang popular katakan!!! (p/s : tunggu cerita YANG POPULAR & TERPOPULAR dalam masa terdekat ini - JAM).

Kemudian MB Mat Said kehilangan seorang lagi orang kuat dan orang kanan yang boleh dikatakan amat dipercayai dan 100 peratus cakap-cakapnya dipatuhi oleh MB Mat Said. Orang kuat kedua ini menjadi amat berkuasa dan digeruni oleh banyak orang dalam pentadbiran kerajaan negeri, sehinggakan bos nombor satu dalam pentadbiran negeri pun seperti kehilangan kuku serta tidak mampu untuk mengatasi orang ini.

Demikian hebatnya ‘budak tingkat 16’ ini. Demikian berpengaruh dan berkuasanya orang yang juga mendapat ‘jawatan baru’ sebagai Menteri Besar Kedua (MB2) sepanjang berada di Tingkat 16 Wisma Darul Iman itu. Dan sekarang MB Mat Said telah kehilangan lagi.

Sama ada sengaja dihilangkan mahupun terhilang, yang pasti ‘budak tingkat 16’ ini sudah sah menghilangkan diri. Bagaimana kaedah ‘menghilangkan’ budak tingkat 16 atau MB2 ini, hanya orang-orang tertentu sahaja yang tahu. Pun demikian, khabarnya budak tingkat 16 ini telah di…….. (diluluskan atau diarahkan atau diminta atau disyorkan atau dipohon atau dihalalkan cara – pilih satu yang paling sesuai) untuk melanjutkan pelajaran. Di mana, ke mana dan berapa lama, itu kena tanya MB Mat Said.

Sayang dengan kehilangan orang kuat ini. Kesihan MB kita.

Orang ketiga pula memang sengaja dihilangkan oleh MB Mat Said. Dikatakan sengaja adalah kerana orang ketiga ini bukan orang kuat MB, walaupun beliau menjadi orang nombor satu dalam pentadbiran kerajaan negeri. Bukan sahaja dengan MB Mat Said malahan dengan budak tingkat 16 pun, orang ini tak boleh masuk daun. Tambahan pula orang ketiga ini dilantik pada zaman Derih Jusoh jadi MB. Nampaknya proses membersihkan saki baki bekas tangan Derih Jusoh belum lagi berakhir. Kalau disusuli cerita perihal orang nombor satu ini, seboleh mungkin MB Mat Said and the geng dah nak nyahkan orang ini daripada kerusi beliau di Tingkat 15 tu setelah kurang lebih dua minggu MB Mat Said dilantik sebagai MB. Kesihan MB kita.

Dan sebaik sahaja mentari 2010 menjengahkan wajahnya nanti, SUK lantikan zaman Derih Jusoh ini akan melambaikan tangan meninggalkan kerusi panas beliau di tingkat 15 itu. Jangan lupa, kalau ada walau sehelai kertas tercatat mahupun bekas tapak kasut hak milik ‘SUK terhilang’ tu di mana-mana dalam pejabat sekarang, tolong ambil dan sapu sebersih-bersihnya. Tak sudi agaknya orang nak melihat khazanah beliau lagi.

Barangkali ungkapan ini bakal diungkapkan oleh SUK terhilang tu – “Selamat tinggal bungaku Tingkat 15. Duduklah diam-diam, jangan buas-buas dan giatkanlah belajar mengangguk-angguk seperti pokke senantiasa”.

Semoga MB Mat Said tidak lagi kehilangan selepas ini, walaupun mungkin akan terhilang atau dihilangkan. Kesihanilah MB kita.

Jumaat, Disember 18, 2009

YANG BOLEH DISOAL

Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu (bajet) akan berlangsung mulai 21 hingga 23 Disember 2009 ini. Agaknya sidang dewan kali ini akan menjadi meriah, yang khabarnya akan ada penglibatan semua YB BN yang sebelum ini mengambil tindakan bisu dan kelu. Demikian juga, khabarnya akan ada soalan-soalan daripada mereka untuk dijawab oleh MB dan para exconya.

Yang nyata tidak ada lagi boikot memboikot, ugut mengugut, diam mendiam, bisu membisu. Baik 10 budak hitam atau beberapa budak coklat, semuanya sudah insaf dan 'bertaubat nasuha' agaknya. Baguslah kalau gitu.

Sidang kali ini juga khabarnya akan dihujani dengan soalan-soalan yang boleh menaikkan nama MB Mat Said dan para exconya. Pun demikian, khabarnya lagi, banyak juga soalan yang terpaksa ditolak, baik soalan daripada YB BN mahupun YB PAS. Mungkin kerana soalan-soalan tu terlalu mudah untuk dijawab, atau kerana soalan tu bertaraf UPSR sahaja, atau soalan tu tak relevan, tidak menguntungkan serta tidak punyai apa-apa kepentingan kepada kedududan MB Mat Said di mata umum.

Kalau itu alasannya, amat wajar dan munasabahlah, kalaupun banyak soalan yang terpaksa ditolak. Sepatutnya MB Mat Said mengarahkan pejabat dewan supaya guna bulldozer atau jentolak saja untuk menolak soalan-soalan tu, baru nampak real.

Cuma rasanya ada beberapa soalan 'sampingan' atau soalan 'luaran' (ada ke?) yang ada kaitan dengan bajet, yang mungkin ditolak (kalau dah hantar), atau mungkin terlepas pandang untuk ditanya, atau memang kesihankan MB Mat Said kita tu, kalau bertanya... Dalam hal ini, kepada YB-YB (baik BN mahupun PAS), marilah kita sama-sama beringat, tolonglah bertanya atau bercakap 'beralus' sikit dengan MB kita tu. Kesihanlah MB kita tu, jangan sampai beliau melelehkan air mata lagi.

Antara soalan sampingan yang boleh disoal mungkin :

Soalan 1 : Berapakah bajet sebenar kos asas projek 'jelapang padi' negeri Terengganu? Berapa juta RM pula (yang diarahkan) ditingkatkan nilainya sebagai nilai baru projek berkenaan? Apakah dibuat secara tender terbuka? Siapakah individu yang bertuah yang mendapat rezeki bergolek-golek itu? (Anggaran jawapan : 36, 56-46, direct nego, Anak Gundik Umno...)

Soalan 2 : Benarkah kerajaan negeri telah membeli semula tanah di kawasan perindustrian Teluk Kalong/Kijal yang telah ditambus tetapi dibiarkan? Kalau benar, berapakah harga belian balik tanah berkenaan? Berapakah pula kos yang telah dibelanjakan bagi kerja-kerja menambus tanah kawasan berkenaan terdahulu? Siapa pula orangnya yang terlibat dengan tanah berkenaan. (Anggaran jawapan : yes, 100, 8, Anak Gundik Umno....)

Soalan 3 : Berapa banyakkah Anak Gundik Umno sudah mendapat projek semenjak MB Mat Said jadi YB, Exco dan sekarang MB? Berapa nilai kekayaan Anak Gundik Umno sekarang? (Anggaran jawapan : hanya dia sendiri yang maha mengetahui).

Soalan 4
: Berapa orangkah (orang itu nilai juga - sesuaikan dengan bajet), orang-orang seperti Anak Gundik Umno yang berjaya dilahirkan oleh mantan MB sebelum ini (maksudnya Derih Jusohlah tuu....). (Kehendak soalan juga kena jelas - maksud 'orang-orang seperti' itu ialah 'ras'nya). (Anggaran jawapan : mana ada... Derih Jusoh lebih pentingkan orang UMNO jeee!!!).

(P/S : Terhad kepada empat soalan sahaja dulu, kalau lebih akan ditolak lagi.... Anggaran jawapan hanya untuk bacaan sulit dalam bilik resort secara berpasangan sahaja. Tak boleh baca beramai-ramai).

Khamis, Disember 17, 2009

YANG TAK KESIHANKAN MB (siri… lagi….)

Sebelum ini, JAM pernah menulis berhubung dengan adanya manusia yang amat rapat dengan MB Mat Said ‘kita’, tapi tak kesihankan MB kita tu dengan berkelakuan yang tidak sepatutnya. Agaknya tidak sedikit air mata MB Mat Said yang terkeluar dek kerana perangai orang-orang beliau yang langsung tak memikirkan kedudukan dan malu aibnya seorang bergelar MB adanya.

Apa tidaknya, kes ‘mat songlap awana’ dan ‘mat gian kijal’ belum tahu tepi hujungnya, sekarang timbul lagi kes yang sekali lagi boleh mengaibkan MB Mat Said. Kesihan MB Mat Said kita tu, dah lah dari Mekah tak terus balik ke Terengganu, terpaksa melencong dulu kerana kerja dan kuatnya memikirkan perihal nak membangunkan negeri, (kata orang Terengganu ‘sian malang kheje, sapa dok balik dumoh’), tiba-tiba ada kalangan para pegawai beliau yang buat onar dan memalukan bos sendiri.

Ceritanya begini : Seorang pegawai bertaraf penasihat dan berstatus di pejabat MB Mat Said, ‘ditemui’ (bukan ditangkap atau dicekup atau diserbu atau di… apa-apa yang negatif – bukan! bukan! bukan!), oleh sekumpulan petugas pejabat agama, sedang ‘bersembang-sembang’ (bersembang tu maknanya lebih daripada seoranglah tu) dalam bilik di sebuah resort.

Pegawai ini ditemui bersama seorang teman lelaki dan dua lagi wanita (berpasangan atau kebetulan ‘terpasangan’). Atau dalam bahasa untuk mengelakkan syak wasangka dan prejudis – dua lelaki dan dua wanita yang bukan muhrim. Bukan pasangan kekasih gelap, bukan teman istimewa wanita, bukan, bukan dan bukan. Tak disebutkan pula, ada berapa ‘bilik dalam bilik’ di resort yang ditemui dua ‘pasangan’ tu. Yang pasti mereka ditemui dalam bilik sebuah resort dan ada empat orang yang berjantina dua lelaki dan dua wanita (alahai, susahnya nak sebut. Kalau disebut berpasangan, nanti ada yang bertanya kekasih gelap ke? Kesihan isteri dan anak-anak kat rumah).

Kes ini memang sah kes nak memalukan MB Mat Said. Mungkin petugas pejabat agama tu, orang-orang Derih Jusoh yang memasang perangkap dan nak mengenakan seterusnya sengaja nak memalukan MB Mat Said. Tak kang lah, si pegawai tu nak buat kerja yang tak senonoh. Pegawai tu bukan orang sebarangan, ada status, ada kelas, ada rupa, dah biasa kerja dengan menteri lagi, dah biasa dengan kehidupan yang lebih bebas di Kuala Lumpur. Lagi pun, tak kan dalam keadaan berempat begitu, ‘boleh’ melakukan sesuatu yang mencurigakan. Apa punya fikirlah petugas pejabat agama tu… Fikirlah yang positif dan elok-elok. Barulah tidak mengaibkan sesiapa, terutamanya MB Mat Said.

Janganlah jadi seperti sesetengah orang yang sengaja nak cari kesalahan orang. Sengaja nak memalukan MB Mat Said kita tu. Ada ke, mereka sempat lagi berfikir dan bertanya, apa kejadahnya bertemu dalam bilik resort/hotel sebegitu dengan wanita bukan muhrim? Dakwa mereka, walaupun berempat, semuanya bukan muhrim. Namanya tetap berpasangan, tetap ada dua spesis manusia yang berlainan jantina. Yang ada ‘lawan’. Lagikan yang sesama jantina pun ada ‘lawan’, inikan yang azalinya dah ditetapkan lawannya.

Kata mereka lagi, kalaupun nak bincang hal ekonomi negeri ke, projek negeri ke, masalah negeri ke, atau apa-apa perbincangan waima sesulit mana sekalipun, dan lagi, (kata mereka, fikir yang positiflah)… katakan mereka tak lakukan apa-apa, baik dan alimlah katakan, masih banyak lagi tempat yang sesuai untuk berbincang. Katalah hal yang nak dibincangkan itu sulit mulit, bawa berbincanglah di rumah salah seorang daripada mereka tu. Lagilah selamat. Atau kalau nak tempat yang selesa tetapi tak menimbulkan syak wasangka sebagaimana yang berlaku, masih banyak tempat yang sesuai dalam negeri Darul Iman ini.

Katakanlah, kalau dah tak ada dalam Terengganu, pergilah ke Pahang ke, Kelantan ke, Johor ke. Dah tak ada dan tak boleh lagi, takut-takut kalau rahsia tidak menjadi sulit lagi, pergilah ke Singapura ke, London ke, Dubai ke. Jerman ke, Bangladesh ke… Alaa… si pegawai ni kan pernah bekerja dengan seorang menteri yang menjaga hal ehwal negara luar, tak kan tak tahu destinasi yang selesa dan menyegarkan.

Itu kata mereka yang dengki kepada pegawai tu dan kepada MB Mat Said, bukan saya yang kata. Saya tukang tulis saja. Barangkali mereka ini team Derih Jusoh juga, sama seperti petugas pejabat agama tu.

Mungkin itu juga yang difikirkan oleh petugas pejabat agama tu sehingga mereka kemudiannya pergi ‘menemui’ pegawai berkenaan.

Hish.. hish… hish.…. apa nama ke pegawai kalau lagu macam ning. Langsung tak mengenang budi semata-mata kerana body. Kesihanlah kepada MB kita tu….

Rabu, Disember 16, 2009

YANG BERTANYA & YANG TAK ADA KERJA

Memang agak lama tidak mengemaskini blog JAM ini. Bukan apa-apa, sebenarnya tak ada apa-apa, cuma tak apa-apa sahaja. Utamanya sedikit kekangan waktu yang membataskan sehingga blog JAM ini tidak dapat dikemaskinikan. Ramai yang bertanya kenapa, ke mana, bagaimana, dan apa-apa soalan yang boleh dijadikan soalan.

Sambil itu, banyak juga yang membuat andaian, tekaan dan kesimpulan. Segala andaian, tekaan dan kesimpulan itu lebih hebat daripada yang hebat-hebat di kalangan yang terhebat. Tetapi daripada kalangan yang hebat-hebat itu, ada satu yang saya amat tertarik.

Minggu lalu ketika saya berada di Kuala Lumpur, saya sempat bertemu dengan seorang kawan yang seperti juga blog ini, agak lama tak berjumpa. Perkara pertama yang ditanya si kawan itu adalah berhubung dengan blog JAM ini ialah "mengapa". Setelah saya menjelaskan sebab musababnya sambil bercakap dan bersembang, si kawan yang betul bendul ini pun berkata ;

"Kerana kau tak menulis dalam blog JAM, ada kawan aku yang makan gaji buta, hampir-hampir tak ada kerja". Kata si kawan saya itu lagi ; macam mana nak ada kerja, selama ini dia tu kerjanya tiap hari membelek, membuka, membaca dan membalas apa yang kau tulis dalam blog kau. Jadi bila kau tak menulis, dia dah tak ada kerja dan tak ada apa yang nak dibalas lagi, maknanya makan gaji butalah kawan aku tu.

"Lebih baik kau menulis semula cepat-cepat, kalau tak, kesian kat kawan aku tu, makan gaji buta seumur hidup...", kata kawan saya lagi sambil ketawa terkekeh-kekeh menampakkan gigi palsunya yang bergerak-gerak kerana sudah agak longgar... (ketawanya 'selok' tapi berdeser saja sebenarnya).

Sebelum kami berpisah, saya bertanya kawan saya, "bila aku dah mula menulis semula, agaknya adalah manusia yang masih boleh cari makan kot...". Kawan saya hanya mampu terus 'mendeserkan selok sukanya' sahaja.
Related Posts with Thumbnails