Rabu, Oktober 07, 2009

YANG BAKAL DIBALAS JASANYA

Cerita pengguguran dan pengantian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu muncul lagi. Sebenarnya cerita ini dah banyak kali dihebohkan dan sudah acap kali diulangtayangkan. Walaupun MB Mat Said sendiri telah membuat pengakuan dan kenyataan menafikan perihalnya, ceritanya tetap muncul lagi.

Kali ini datangnya daripada kerabat Wisma Darul Iman sendiri. Entah betul atau sebaliknya, itu tidak pasti, tetapi yang pasti cakap-cakap kerabat ini bukan cakap politik tetapi cakap pentadbiran. Kata beliau, mungkin tidak berlaku dalam tempoh terdekat ini, tetapi mungkin selepas sidang DUN Disember ini atau pada awal tahun hadapan.

Dan khabar serta cakap ini amat bertepatan sekali dengan situasi terkini yang sedang dihadapi oleh MB Mat Said dan ‘ketenangan’ dalam politik Terengganu. Justeru, tahap kepercayaannya bolehlah diletakkan sebagai 51 peratus. Kalau dalam pemilikan saham, 51 peratus itu sudah menjadi pemilik majoriti yang berkuasa melebihi pemegang saham yang lain.

Khabarnya ada tiga (3) Exco yang amat bermasalah dengan MB Mat Said yang bakal digugurkan. Salah seorang daripadanya sebelum ini, diuar-uarkan telah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan kerana masalah dalaman yang tidak berkesudahan. Seorang lagi yang sudah ‘redha’ kalaupun beliau digugurkan, justeru tindakan dan cakapnya sudah tidak terbatas bebasnya. Manakala yang ketiga, rasanya sudah banyak kali sebenarnya disebut yang beliau akan diganti dan digugurkan dan beliau ini memang amat tidak disenangi oleh MB Mat Said.

Dan sebagai gantinya, sudah tentulah dipilih daripada kalangan orang yang sejak kebelakangan ini telah banyak membantu MB Mat Said dalam mengharungi apa yang disebut sebagai kemelut dalaman UMNO Terengganu. Tiga orang pengganti ini (kalau betul akan diganti), adalah di kalangan geng 10 budak hitam yang sejak kebelakangan ini (entah telah dijanjikan atau telah dibuat perkiraan dengan MB Mat Said atau dengan sesiapa sahaja yang berkuasa), memang jelas kelihatan muncul dalam setiap program yang melibatkan MB Mat Said atau dalam program-program yang turut melibatkan MB. Diperkukuhkan lagi dengan kenyataan-kenyataan yang muluk-muluk dan secara langsungnya telah mengembalikan maruah dan imej MB Mat Said.

Baguslah kalau khabar ini menjadi kenyataan nantinya. Inilah yang dikatakan membalas budi dan jasa. Siapa kata MB Mat Said tidak tahu membalas budi dan jasa wakil-wakil rakyatnya? Hanya orang yang tak tahu memberi budi dan menabur jasa kepada MB Mat Said sahaja yang berkata sedemikian.

Dan siapa pula yang berkata wakil rakyat UMNO Terengganu hangat-hangat tahi ayam dalam perjuangan mereka? Sesuatu yang maha zalim kalau dikatakan sedemikian, apa lagi kalau ada orang yang tak tahu diuntung menuduh wakil-wakil rakyat UMNO Terengganu ini ada kepentingan peribadi dan gilakan jawatan.

Harap-harap kali ini MB Mat Said cubalah sedaya mungkin untuk mengotakan katanya. Janganlah seperti sebelum ini, walaupun sudah dihebohkan di akhbar, hangatnya seperti ayam nak bertelur sahaja.

Dan kalau khabar ini bukan lagi khabar hanya sekadar untuk menyedapkan halwa telinga dan terbukti perjuangan geng 10 budak hitam telah berjaya, sewajarnya mereka ini (khususnya 3 orang yang disebut-sebut bakal dilantik sebagai Exco menggantikan Exco sedia ada itu), wajar dikalungkan ucapan tahniah yang setinggi-tingginya. Tahniah kerana pengorbanan dan budi mereka sudah amat berbaloi dengan balasan dan anugerah yang bakal diterima mereka.

Manakala kepada 3 orang Exco sedia ada yang juga disebut-sebut bakal digugurkan dan diganti itu, juga sewajarnya diungkapkan kalimah tahniah yang maha tinggi kerana rela berkorban dan memudahkan kerja dan menenangkan pemikiran MB Mat Said selepas ini. Mereka bertiga inilah antara anggota ‘kumpulan penentang dan penderhaka’ yang ada kepentingan peribadi dan banyak menyusahkan MB Mat Said selama ini.

Selamat ‘kembali’ semuanya. Semoga 6 orang ini bersama MB Mat Said dapat tidur lena tanpa dibuai mimpi ngeri lagi.

Khamis, Oktober 01, 2009

YANG TAK KESIHANKAN MB

Dua Pemimpin Pemuda Umno Diberkas Terlibat Dadah

Itu tajuk berita dua hari lalu. Dengan rasa penuh kesedaran dan bertanggungjawab, marilah kita sama-sama andaikan bahawa cerita ini cerita rekaan (???). Cerita ini semata-mata untuk memburukkan nama baik dan nama harum MB Mat Said (???). Jadi, jangan percaya dengan cerita ini. Sebabnya, mana ada surat khabar lain yang pakai cerita ini… hanya agensi Berita Nasional (Bernama) saja yang berani. Betul-betul Bernama nin nak kena. Nasib baik Bernama tu bukan bakul, kalau bakul rasanya sudah kena sepak terajang dah… Kesihan kepada MB Mat Said.

Walaupun kita diminta buat andaian atau dalam bahasa halusnya dilarang sama sekali mempercayai cerita ini, tapi dek kerana beritanya sudah diterbitkan untuk tatapan umum - orang kampung pun semua dah tahu, nak tak nak, kenalah juga tambah-tambah cerita, biar cerita tu menjadi semakin sensasi dan sedap didengar.

Wooiiittt… Yang diberkas kes dadah itu sebenarnya dua ‘pemuda harapan bangsa’, terdiri daripada pemegang jawatan semasa dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman (ulang : Bahagian Kemaman, ulang : Bahagian Kemaman, ulang : Bahagian Kemaman). Orang Terengganu sebut Kemamang…. Kemamang…. Kemamang….

Kepada pembaca sama ada yang sudah tahu apa lagi yang hanya tahu sikit-sikit, sukacita dimaklumkan bahawa Bahagian Kemaman merupakan salah satu daripada 8 bahagian UMNO yang ada di Terengganu. Bahagian ini memang hebat. Ahli Parlimen Kemaman seorang Menteri penuh. Ada 4 DUN dalam Parlimen Kemaman iaitu DUN Kijal, DUN Cukai, DUN Kemasik dan DUN Air Putih. Ketua UMNO Bahagiannya bukan calang-calang orang. Sekarang bergelar Yang Amat Berhormat Menteri Besar, merupakan ADUN Kijal. ADUN Cukai pula merupakan seorang Exco Kerajaan Negeri sejak 2004.

Seorang lagi yang hampir-hampir nak jadi Exco tapi sempat tersungkur kerana RM5 ribu adalah ADUN Kemasik juga dalam parlimen Kemaman (sedihnya kes ADUN Kemasik ini, hari raya pun ‘diadakan’ rumah tertutup). Satu lagi DUN dalam parlimen ini ialah DUN Air Putih, pada mana ADUNnya adalah anakanda kepada mantan Menteri Besar Terengganu selama 25 tahun. Manakala mantan ADUN Air Putih penggal 2004-2008 lalu sekarang ini adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu.

Banyak lagi kehebatan yang tak termuat nak ditulis dalam ruang terbatas ini berkait dengan Bahagian Kemaman. Itu tak termasuk kes beli bas bernilai RM1 juta lagi. Tak termasuk juga papan tanda elektronik/digital (maaflah, entah betul ke tidak namanya, saya pun tak reti nak sebut) yang juga harganya juta-juta, sekarang sudah ‘koh’ (kalau jam dinding kerana tiada bateri) di persimpangan lampu isyarat Bandar Cukai Utama berhadapan Balai Bomba tu. Itu juga belum termasuk, satu-satunya daerah yang ‘advance’ satu ketika dulu kerana ada ‘roller coaster’ mengalahkan mana-mana disneyland, yang sekarang ini 'roller coaster' berkenaan dijual sebagai besi buruk di mana entah…

Juga tak termasuk, kilang besi yang kena kecek. Tak terhitung lagi kehebatan satu-satunya daerah yang adanya zoo terbesar di Asia termasuk untuk menempatkan spesis kambing boer, yang tiada pada zoo-zoo lain di negara malahan mungkin di dunia ini. Banyaknya kehebatan Kemaman. Semuanya kerana kerja kuat orang Kemaman dan sebahagiannya usaha MB sekarang sendiri.

Laaa… cerita lain pulak dah. Baiklah. Berbalik kepada cerita kes dadah ini, baik sesiapa sahaja yang tahu dan kenal pemuda harapan bangsa ini - sama ada waris warah, kaum kerabat mahupun hanya saing rodong, apa lagi ibu bapa tercinta, sudah amat pasti, lagi lagilah amat amat dukacita dengan apa yang berlaku. Barangkali ayat yang paling tepat untuk mengambarkan kekecewaan terhadap fie perangai dua pemuda harapan bangsa ini ialah ‘apa kejadah punya kerja budak-budak tua ni. Nak ‘memunohkan’ nama baik Yang Amat Berhormat ke???… Kesihan MB Mat Said.

Malu… malu dan aib sekali. Dahlah terlibat dengan benda haram dan merosakkan begitu. Berlaku pula di rumah dan di kampung MB Mat Said. Apa namanya? Kijal?…. Kijal? Kijal? Betullah tu agaknya. Kalau betul, tu nama DUN yang wakil rakyatnya MB Mat Said. Dahlah begitu, mereka ni pula bukan calang-calang orang. Orang kuat MB Mat Said. Jawatan mereka di peringkat Bahagian dan kampung hebat. Seorang Naib Ketua Pemuda Bahagian dan seorang lagi AJK Pemuda Bahagian.

Yang Naib Ketua Pemuda Bahagian tu pulak khabarnya merangkap Pengerusi Penyelaras Pemuda DUN Kijal, Ketua UMNO Cawangan Kijal dan Pengerusi JKKK Kijal lagi tu (Ketua Kampunglah senang panggilnya). Hairannya, macam mana beliau tergamak kedaroh benda jahanam tu. Masya-Allah…Kesihan MB Mat Said.

Takkanlah pemuda harapan bangsa tu tak faham-faham. Kesihan MB Mat Said. Lepas satu, satu cerita timbul. Lepas 3 juta timbul pula cerita 5 ribu 20 ribu. Lepas tu timbul pula cerita ini. Pemuda-pemuda harapan bangsa nin agaknya suka sangat melihat MB Mat Said melelehkan air mata. Mentang-mentanglah MB Mat Said tu ‘pelakon air mata’, rela mereka sekali lagi nak menyaksikan dengan penuh ghairahnya MB mereka menangis dan menangis lagi. Biarlah MB Mat Said simpan air mata untuk bekal pencen nanti. Kata nak pergi kerja luar negara dengan air mata tu. Tak faham betullah budak-budak nin. Tak kesihan langsung. Kesihan MB Mat Said.

Fikirlah sikit, mana sempat MB Mat Said nak ‘kutip cara’ semua hal. MB Mat Said banyak kerja lain. Nak fikir hal negeri, membangunkan negeri, stadium runtuh tak selesai lagi, kolam renang bocor tak selesai lagi, terminal lapangan terbang yang bumbung terbang tak selesai lagi. Mana nak membetulkan parti lagi, nak sekeh kepala 10 budak hitam lagi, nak ‘tanda tangan’ banyak lagi kawasan-kawasan dan projek-projek yang bakal diagihkan 'untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat melata’ di negeri bertuah ini lagi. Alahai, budak-budak 41 tahun ni… kenapalah dah jadi budak tua pun tak insaf-insaf lagi. Kesihan MB Mat Said.

Ini namanya anak buah yang tak pandai jaga bos. Sepatutnya yang perlu jaga nama baik bos, orang-orang harapan MB Mat Said inilah, orang seperti dua pemuda harapan bangsa tu. Inilah yang dikatakan tak pandai jaga bos dan menyusahkan jiwa dan raga bos nin…Kesihan MB Mat Said, kat mana nak letak muka. Buat muka selamba macam sekala dahlah MB Mat Said oooo..

Kesihan MB Mat Said. Tapi tak mengapa kalau kita ‘reverse psikology’ sikit cerita ini. Kita katakan bahawa, mereka adalah pemuda harapan bangsa dan harapan negeri Terengganu, inilah contoh TERBAIK generasi muda yang diwakili oleh pemuda UMNO yang diharapkan oleh generasi muda untuk menghapuskan musuh nombor satu negara itu. Dan inilah juga yang dikatakan ‘harapkan pagar, pagar TAK makan padi, harapkan haruan, haruan TAK makan anak’…

Lagi pun, MB Mat Said adalah Menteri Besar. Punyai kuasa untuk menyelamatkan pemuda harapan bangsa ini. Lagikan kawasan ribu-ribu hektar boleh selesai, inikan ‘small matter’ macam ini. Don’t be khuatirlah. MB Mat Said kan ada. MB Mat Said tak kan nak biarkan pemuda harapan bangsanya diperlakukan begitu. Hello hello sepatah dua, berehlah boohhh… Lagipun, kes nin bukan besar sangat, belum sampai seksyen 39B pun.. Kacang aje tu… Tapi kesihan juga kepada MB Mat Said, tambah lagi beban masalah untuk diselesaikan. Alahai budak-budak nin, tak ada kerja cari kerja..

Cuma yang agak merisaukan dan kasihan kepada MB Mat Said ialah berhubung dengan soalan cepumas paling sensasi ini…. ‘betul ke seorang lagi orang kanan MB Mat Said turut disyaki sama terlibat dengan benda hamjadah ning?…

syyyy….. jangan cakap belakang….

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kepada yang belum sempat menelaah berita berkaitan, silalah… Berita ini dipetik daripada Bernama Online (Bernama.com)…

Dua Pemimpin Pemuda Umno Diberkas Terlibat Dadah

KUALA TERENGGANU, 29 Sept (Bernama)-- Polis menahan dua orang pemimpin Pemuda Umno bahagian setelah disyaki mengambil dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Tengah, Kijal, malam Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supt Roslan Abdul Wahid berkata, kedua-duanya yang berumur 41 tahun itu, merupakan antara 74 orang yang diberkas dalam Ops Sepadu yang dijalankan oleh jabatan berkenaan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan Kemaman.

"Seorang daripada mereka ditahan di ruang tamu di rumah tersebut pada pukul 9 malam, manakala seorang lagi ditahan bersama abangnya dalam sebuah bilik di rumah yang sama. Kita merampas satu tiub straw yang mengandungi dadah jenis heroin daripada seorang daripada mereka," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Beliau berkata pemeriksaan air kencing yang dijalankan mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah.

Seorang daripada mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan polis setelah kenyataan diambil manakala seorang lagi bersama abangnya telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman sebelum dilepaskan dengan jaminan RM3,000 seorang.

Operasi itu dijalankan oleh 100 anggota dan pegawai dari cawangan narkotik di kawasan-kawasan panas di daerah Dungun dan Kemaman dalam usaha untuk membersihkan kawasan berkenaan daripada kegiatan pengedaran dan penagihan dadah.
Related Posts with Thumbnails