yang semasa

Ahad, Ogos 30, 2009

YANG DIPANGGIL PEMIMPIN BEBAL

Pemimpin bebal ialah pemimpin yang sama sekali tidak memiliki kecerdasan dan tidak pula mampu melaksanakan tugasnya. Orang tua-tua mengatakan, "apa tanda pemimpin bebal, sampai tua tak menyorong akal" ; atau dikatakan, "yang disebut pemimpin bebal, tak tahu beza nangka dan temabal". Dalam ungkapan kepemimpinan dikatakan :

Menjadi pemimpin dungu dan bebal
dada kosong akal sejengkal

bercakap tidak berhujung pangkal
memimpin bagai kehilangan akal
diberi nasihat telinganya tebal
rakyat sengsara negeri tertinggal

dijadikan pemimpin pasti menyesal
dijadikan tua hilanglah akal
dijadikan induk anak dibedal
negeri rosak rakyat terjual.

Sabtu, Ogos 29, 2009

YANG DAH LAMA TAK DICERITAKAN

Betul-betul saya sudah ketinggalan bas. Banyak perkara saya tertinggal khususnya tentang perkembangan mutakhir politik di Terengganu. Entahlah, sama ada sudah bosan, sudah tak berminat atau sudah malas untuk mengetahuinya, saya sendiri pun tak boleh nak pastikan.

Barangkali kerana sudah agak ketinggalan bas, menjadikan sudah agak lama tak diceritakan perihal kawan kita seorang nin. Apa khabar Dr Jepun in bracket? Lama tak dengar cerita. Entah di mana beliau, beliau sendiri sahaja yang tahu. Tapi yang pasti, sejak kebelakangan ini, kelibat dan cakapnya agak mengendur. Mungkin kerana itu jugalah, makanya saya ketinggalan banyak perkara berhubung dengan politik Terengganu.

Masa kawan kita nin tengah galak berkokok dulu, banyak peristiwa dan perkembangan politik Terengganu diketahui umum. Maklumlah orang penting dalam politik Terengganu. Sepatah beliau bercakap, berpatah-patah yang dilaporkan.

Tapi sejak kebelakangan ini, peminat dan pemerhati politik Terengganu seolah-olah kehilangan permata yang menjadi idola mereka ini. Mereka kehilangan suara dan kelibat hebat Dr Jepun in bracket. Entah apa faktornya dan apa sebabnya, wallahuaklam. Tiada orang yang tahu.

Saya sendiri seperti tidak percaya, di tengah-tengah kehebatan Dr Jepun in bracket ‘menguasai’ politik dan kerajaan Terengganu, tiba-tiba sahaja suaranya lenyap begitu sahaja. Seolah-olah ada garuda yang turun menyambar ‘kehebatan’ beliau.

Yang paling saya terkejut ialah tentang beliau bukan lagi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu. Memang saya tak tahu (ulang : tak tahu, ulang : tak tahu) Maafkanlah saya kerana ketidaktahuannya saya terhadap perkara ini. Betul.... saya ingat beliau masih berjawatan itu. Macam mana saya pun boleh taksub sampai begitu. Sampai tak percaya, Dr Jepun in bracket bukan lagi SU BPUNT.

Sebaik saya tersedar perihal Dr Jepun in bracket bukan lagi SU BPUNT, saya menjadi tertanya-tanya. Kenapa DS Hishamudin tak terus menyambung perkhidmatan Dr Jepun in bracket sebagai Setiausaha BPUNT? Beliau kan orang hebat. Beliau kan orang yang serba boleh? Dan yang paling penting, beliau memang ‘nak sangat-sangat’ jawatan itu, kalau boleh nak bawa sampai ke kubur.

Hishamudin atau MB Mat Said tak sedar ke tentang hal ini? Tak ada orang yang tolong menyedarkan mereka betapa Dr Jepun in bracket ini amat memerlukan jawatan itu dan beliau perlu diutamakan? Ke mana kuncu-kuncu dan barua-barua beliau yang ramai sebelum ini? Tak kan, tak ada seorang pun yang rapat dan akrab dengan Hishamudin, sekadar nak menyampaikan betapa perlunya Dr Jepun in bracket ini dikekalkan kedudukannya sebagai SU BPUNT. Tak kan itu pun tak boleh diharapkan. Kalau semua Dr Jepun in bracket nak buat sendiri, nanti apa pula kata orang, semuanya nak bolot seorang saja.

Kesihan Dr Jepun in bracket. MB Mat Said pun tak boleh tolong. Semuanya nak mengharapkan Dr Jepun in bracket lakukannya sendiri. Kesihanlah kepada beliau. Dah lah sebelum Hishamudin melantik pegawai-pegawai UMNO Terengganu dulu, beliau dah cukup kuat melobi untuk nak kekalkan jawatan SU tu. Tak kesihan ke kepada beliau, yang saban hari terjongol di pejabat Hishamudin, mohon simpati. Tanpa prejudis, jangan juga kita nafikan bahawa sudah berapa banyak baju lenin, kot, kasut atau cincin yang ditinggalkan di pejabat Hishamudin tu. Macam mana tak terlantik juga?

Saya juga tak tahu (ulang : tak tahu, ulang : tak tahu) perihal Dr Jepun in bracket dan kaitannya dengan MRR2 di Kuala Lumpur tu. Apa kaitannya? Apa kejadahnya MRR2 tu? Apa masalahnya dengan SPRM tu? Haahh!!! 3 juta? Apa yang 3 juta tu? Pitis? Wang? Orang? Kereta? Baju lenin?

Entahlah, sebab tu saya katakan yang saya tak tahu. Tak tahu, tak tahu dan tak tahu!!! Dan saya sendiri tak nak ambil tahu pun. Cuma yang saya terasa nak tahu sikit (kawan-kawan kena tahu jugak), apa khabar beritanya Dr Jepun in bracket nin. Baik ke? Sihat ke? Masih hebat ke? Masih hisap paip ke?

Dan nak juga bertanya, “Apa khabar SPRM? kenal tak dengan Dr Jepun in bracket? Tak kang tak kenal kot… orang tersohor tu…”

Hendaknya, semoga Dr Jepun in bracket berada dalam keadaan selamat senantiasa adanya…. Aminnn…

YANG NAMANYA PEMIMPIN BADAK

Pemimpin badak ialah pemimpin yang tidak memiliki aib malu, berkata bohong dan berperangai buruk. Orang tua-tua mengatakan, "apa tanda pemimpin badak, muka tebal akalnya pandak" atau dikatakan, "tanda-tanda pemimpin badak, aibnya kurang, malu tak nampak". Dalam ungkapan kepemimpinan dikatakan :

Muka tebal bagai kulit badak
aib tak ada malu tak nampak
ke hulu membohong, ke hilir membengak
ke laut menipu, ke darat melagak.

Diberi nasihat ia mengelak
diberi petua ia menolak
rakyat sengsara negeri pun rosak.

Dijadikan pemimpin datanglah balak
dijadikan tua perangai tak cedak
dijadikan induk kan lintang kedak
negeri binasa umat terinjak.

Rabu, Ogos 26, 2009

YANG TERKENANG SETAHUN LALU

Berada dalam bulan puasa begini, teringat perihal seseorang yang curi-curi tak berpuasa. Bukan budak-budak lagi, tetapi seorang yang berstatus pemimpin tersohor.

Kisah ini berlaku dalam bulan ramadan tahun lalu. Terasa baru sekejap peristiwa itu, tetapi itulah masa dan dunia hari ini. Pejam celik pejam celik, dah berada dalam bulan puasa lagi. Entahlah pemimpin itu, tahun ini masih dengan perangai lamanya lagi atau sebaliknya, wallahuaklam. Harap-harap beliau sudah insaf khususnya apabila beliau terpaksa berhadapan dengan beberapa ujian Tuhan yang telah dilaluinya kebelakangan ini.

Ini bukan nak menyentuh soal peribadi pemimpin itu tetapi dek kerana beliau berstatus sebagai seorang yang wajar memberi teladan yang baik dan wajar pula diteladani, maka sepatutnya beliau menunjukkan fie perangai yang baik dan bersahsiah mulia. Dan kalau ditafsirkan kisah ini sebagai kisah membongkar keburukan peribadi seseorang, maka dalam bulan yang mulia ini saya memohon ampun dan maaf saja. Tetapi sekali lagi suka saya tegaskan, nawaitu saya adalah untuk menjadikan kisah ini sebagai teladan kerana ini adalah kisah benar teladan seorang pemimpin yang tidak sepatutnya dan tidak sewajarnya berlaku.

Ceritanya begini :

Peristiwa ini berlaku di Station Petronas Batu 5, Dungun (yang berhadapan dengan lampu isyarat ke jalan menghala ke Kampung Balai Besar/Gong Pasir). Satu hari di bulan puasa, seorang rakan saya (rakan pemimpin ini juga – rakan saya ini, sekarang memegang jawatan penting dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Dungun - saya namakannya sebagai A) bersama temannya (saya namakan B) singgah untuk mengisi minyak kereta di station berkenaan, dalam perjalanan mereka ke Kuala Lumpur. Waktunya siang hari dalam lingkungan pukul 2.00 petang kurang lebih (waktu setepatnya, saya kurang pasti).

Sebaik A menghentikan keretanya untuk mengisi minyak pada salah satu pam station berkenaan, B terus keluar dan menuju ke tandas untuk membuang air kecil. Masuk sahaja ke tandas, B segera menghidu bau asap rokok (asap tembakau paip sebenarnya) yang masih semerbak - sudah pasti aroma tembakau paip jauh lebih harum daripada bau bahan buangan yang biasa dihumbangkan ke dalam mangkuk tandas.

Tanpa mempunyai apa-apa muslihat, B membuang air kecil pada ruang sinki berdiri yang disediakan walaupun ada satu lagi tandas yang tidak digunakan. Belumpun sempat B selesai membuang air, terjongollah pemimpin itu dengan tersengehnya dan terus keluar tanpa menegur si-B dan B dengan jelas dapat melihat di tangan pemimpin itu ada sebuah ‘pouch’ yang sering digunakan orang untuk mengisi perkakasan menghisap paip. Agak bernasib baik kerana B sahaja yang mengenali pemimpin itu (maklumlah pemimpin tersohor, siapa yang tidak mengenalinya), sedangkan pemimpin itu tidak pula mengenali B (mungkin secara akrabnya).

Kerana tidak selesa membuang air secara berdiri begitu, B pun memasuki tandas yang baru ditinggalkan pemimpin itu. Selang beberapa ketika, B terdengar percakapan telefon pemimpin itu dengan seseorang secara jelasnya. Antara yang disebut pemimpin itu :

“Axxxx, mun doksoh mari agi ah, ‘ATL’ ada sini. Aku dang dah sedapur (hisap paip?). Mun mari lambat sikit ah…”

Terjemahan : (“Axxxx, kau jangan datang lagi, ‘ATL’ ada di sini. Aku dah sempat satu dapur (hisap paip?). Kau datang lambat sikit lah…”)

Selesai membuang air, pemimpin itu, yang sedang bercakap dengan ATL (A) kelihatan terkejut beruk tetapi masih berjaya “maintain selambaland” melihat B, yang rupanya teman kepada ATL. Mereka berdua kemudiannya meninggalkan pemimpin itu sendiri dalam keadaan yang agak serba salah dan masih menyambung menunggu kehadiran rakannya yang dipanggil Axxxx itu.

Dalam kereta, B menceritakan kepada A perihal apa yang dialaminya. Dan mereka berdua membuat kesimpulan bahawa sahlah yang tidak berpuasa dan menghisap paip itu adalah pemimpin itu kerana tiada orang lain ketika itu dalam tandas melainkan mereka berdua. Panggilan telefon kepada kawan (Axxxx) pemimpin itu juga menjelaskan perlakuannya. Dan orang yang dipanggil sebagai “Axxxx” oleh pemimpin itu tidak salah lagi adalah “Axxxx Uxxx” kerana mereka berdua adalah regu terbaik (yang sudah acap kali ditemui) menyembunyikan perangai tidak berpuasanya mereka daripada khalayak.

Moral cerita ini ialah ; sama-samalah kita mengambil iktibar daripada kisah ini agar kita yang berhasrat untuk menjadi pemimpin tersohor dapat menunjukkan teladan dan fie perangai yang baik lagi berjurus kepada masyarakat pimpinan kita. Soal kita dengan Tuhan, itu adalah soal peribadi yang wajib ditanggung sendiri kalaupun kita ‘tidak malu’ kepada-Nya, atau kalaupun tidak ada manusia yang melihat kejadian sebegitu.

Wallahuaklam.

(***Catatan : peristiwa ini diceritakan sendiri oleh rakan saya dan temannya itu pada hari yang sama kejadian, kerana kami berjumpa di Kuala Lumpur pada sebelah malamnya).

Ahad, Ogos 09, 2009

YANG TAK TERKATA TAPI TERTULIS

Membaca Sinar Harian, Sabtu 8 Ogos 2009, halaman N18, tajuk : Apa kalutnya politik Terengganu? berbaur pelbagai rasa menyelubungi diri. Cuma yang paling nyata timbul rasa fikir – “kenapalah tak suka kepada Mat Said tu… kesihan dia, kesihan dia…” (ulang beberapa kali seperti lagu Allahyarham Sudirman Hj Arshad).

Telah beberapa kali disebutkan dalam blog JAM ini, MB Mat Said tidak ‘seburuk dan selemah’ seperti yang digembar-gemburkan oleh ‘musuh-musuh politik’ beliau. MB Mat Said orang yang bagussssss….. hebatttttt…. cemerlanggggg…..

JAM tidak berhasrat untuk memberi respon terhadap semua perkara yang dibangkitkan dalam rencana berkenaan, cuma nak sentuh beberapa perkara saja :

(1) Tak baik mengatakan MB Mat Said orang yang mempunyai psikologi yang tidak stabil semata-mata kerana dia mencabar ADUN PAS bergaduh di luar dewan. MB Mat Said bukan ‘mencabar untuk bergaduh’ tetapi hanya sekadar ‘mengajak’ Wahid Endut (Adun PAS Wakaf Mempelam) bergomol di luar dewan saja. Selain itu tak ada lagi… Yang sebelum itu, masa awal-awal jadi ADUN dan dilantik sebagai YDP MDK, beliau hanya sepak terajang bakul sayur penjaja sayur di pasar Kemaman. Bukan sepak terajang orang. Itu bukan bergaduh. Bergaduh antara orang dengan orang, bukan orang dengan bakul.

(2) Jangan memperlekehkan MB Mat Said sebagai ‘lemah penguasaan bahasa Inggerisnya’. Mana ada lemah, MB Mat Said hanya ‘langsung tak reti’ bahasa Inggeris je… dia sekolah kampung, kesihanlah kepada MB kita nin. Itu pun baca teks ucapan dalam bahasa Inggeris masa perasmian FEI-WEC 2008 dulu tu, molek bedo’oh (molek benar) dah tu… Sampai ada yang menyaksikan siaran langsung di TV, menyangka siaran TV yang sedang disaksikan oleh mereka adalah siaran TV BBC atau siaran TV Amerika. Mereka tak percaya demikian hebatnya MB Terengganu ‘mengeja dan membaca’ teks ucapan Bahasa Inggeris yang disediakan.

(3) MB cakap membur (cakap tidak berasas, cakap ikut sedap mulut)? Hissss… jangan kata macam tu. MB Mat Said nin kang orang yang amat patriotisme kepada kekampungan dan ke-Terengganuan. Cakap beliau tu bukan membur, tapi cara kekampungan dan ke-Kijalan. Mesra rakyat kanggg…. MB Mat Said bukan tak reti nak cakap bahasa baku, tapi memang pelat begitu. MB nin kang orang yang tak menyombong, suka rendah diri, ‘low profile’. Sekali sekala ‘membur’ tu nak buat macam mana. Terlepas cakap dan tak disengajakan lah tu. Tapi dalam membur-membur gitu, cakapnya penuh dengan visi dan misi. Buktinya, baru setahun lebih jadi MB, macam-macam ‘cakap membur’ dah diucapkannya. Pembangunan dan membangunkan rakyat tak penting, yang penting mesti bercakap. Tak buat dan tak laksana tak apa, asal cakap. Membur ke, 'kembur' ke, rakyat Terengganu bukan tahu semua tu. Mereka sudah boleh ditutup mata dan mulut dengan dana hari raya, dana remaja dan macam-macam dana lagi.

(4) DS Najib dan DS Hishamuddin? Alaaaa… mereka nin bukan orang Terengganu. Peduli apa dengan orang Terengganu. Yang penting, mereka dah berkuasa. Yang lagi penting bagi mereka, mereka perlukan sokongan orang UMNO Terengganu untuk memastikan mereka mendapat kuasa dan kedudukan. Sekarang dah dapat. Buat apa nak bersusah payah memikirkan soal rakyat Terengganu lagi. Rakyat Terengganu? Mampus dia lah… Lagi pun, batu, diulang : batu (kalau ada), perlu ditekup. Kalau tak tekup batu, nanti tergugat pula kuasa, kedudukan dan kepentingan.

(5) Yang Sinar Harian menyiarkan rencana panjang lebar sebegitu, apa halnya? Ini sudah tentu yang ‘mengupah’ wartawan/penulis berkenaan adalah Deris Jusoh and the geng atau Deris Jusoh sendiri. Kalau tak pun, geng 10 budak hitam yang kecewa dan derhaka tu. Atau ada gembala lembu yang beri makan lembunya di tangan? Deris Jusoh pun satu hal, kalaupun nak ‘mengupah’ orang menulis, janganlah bagi tulis puji-puji Deris Jusoh pula dalam tulisan tu. Buat macam tu, nampak sangat tembelangnya. Bukan apa, boleh jadi modal lembu-lembu peliharaan untuk meragut rumput umpanan tu. Tak percaya? Sama-samalah tunggu.

Apa-apa pun, diperturunkan sepenuhnya rencana menarik berkenaan untuk tatapan kita bersama, terutama kepada yang terlepas membeli dan membelek akhbar SH kelmarin.

Apa kalutnya politik Terengganu?

(Sumber : Sinar Harian, 8 Ogos 2009 (Sabtu), halaman N18)

Dengan penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka tafsiran yang paling tepat mengenai politik Terengganu sekarang ialah kian kalut dan seolah-olahnya tidak dapat dibendung lagi. Dari satu segi, kekalutan ini agak luar jangkaan kerana dalam Pilihan Raya Umum 2008, negeri ini masih kekal di tangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti dua pertiga. Sedangkan beberapa negeri lain, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor jatuh ke tangan pembangkang, manakala Kelantan pula kekal seadanya. Dari satu segi yang lain, kekalutan ini memang tidak memeranjatkan kerana Terengganu mempunyai seorang Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, yang banyak mencetuskan persoalan berbanding dengan penyelesaian.

Seperti yang diketahui umum, Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh atas perkenan istana. Tanpa mempersoalkan kewajaran dan kerasionalan istana memperkenankan lantikan itu, yang jelas Ahmad Said tidak mendapat sokongan kebanyakan ADUN dalam BN, malahan juga tidak memperoleh sokongan rakyat di negeri itu. Sejak awal pelantikan sebagai Menteri Besar, personaliti beliau sering menjadi bahan persendaan orang Terengganu yang kuat dengan semangat kedaerahan.

Ketika jawatan Menteri Besar Terengganu masih panas selepas pilihan raya umum yang lalu, sebuah akhbar bahasa Inggeris pernah menyebut Ahmad Said mempunyai psikologi yang tidak stabil kerana beliau pernah mencabar ADUN Pas bergaduh di luar Dewan Undangan Negeri itu. Selain itu, akhbar berkenaan mendedahkan bahawa Ahmad Said lemah penguasaan bahasa Inggerisnya, walaupun diakui ini bukannya kriteria penting untuk menerajui sebuah negeri di Pantai Timur. Baru-baru ini, akhbar itu memaparkan Ahmad Said kerana gaut, terpaksa dipapah ketika menghadiri majlis di Istana Maziah.

Satu demi satu malang menimpa negeri yang mempunyai sumber minyak: gagal mempertahankan Parlimen Kuala Terengganu, keruntuhan bumbung stadium, penangkapan seorang ahli UMNO kerana menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur ugutan, dan penyiasatan SPRM terhadap beberapa orang penting dalam UMNO. Semua ini mencerminkan kecelaruan negeri yang dipimpin oleh Datuk Ahmad Said yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Oleh sebab Ahmad Said tidak mendapat sokongan padu daripada ADUN dalam BN, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Luar Negeri ketika itu pernah menyebut bahawa Menteri Besar akan “jatuh berdebuk macam nangka.” Namun, lebih setahun berlalu, “nangka yang kelihatan kurang ranum itu masih tergantung di pokok.”

Masa depan

Apabila beberapa ADUN dalam BN melakukan “pemberontakan” terhadap Ahmad Said, dan akibatnya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO tidak melantik Ahmad sebagai Ketua Perhubungan UMNO Negeri, banyak menjangkakan bahawa perjalananan politik beliau sudah sampai penghujung. Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Naib Presiden UMNO dan juga Menteri Dalam Negeri sebagai Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menandakan Ahmad Said tidak memperoleh cap Najib. Lebih janggal lagi, beliau satu-satu Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada UMNO yang tidak dilantik sebagai Ketua Perhubungan.

Ahmad Said terus bertahan sebagai Menteri Besar, meskipun dari banyak segi, kepimpinan dan prestasinya terus dipersoalkan. Dengan tiadanya kata muktamad daripada Najib seolah-olahnya pucuk pimpinan UMNO-BN ini rela membiarkan dirinya memikul beban yang berpanjangan, walaupun ini mengorbankan kebajikan rakyat dan menghancurkan masa depan partinya di negeri itu.

Sebagai Menteri Besar, Ahmad Said gagal dalam ujian yang penting, iaitu pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada awal tahun ini apabila BN gagal mempertahankan kerusi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail. Meskipun BN belum mengumumkan calonnya, cakap-cakap tersebar bahawa para pengundi akan beralih kepada Pas. Alasannya, mereka ingin mengajar Ahmad Said yang memang tidak layak sebagai Menteri Besar Terengganu. (Sebenarnya, bahasa yang mereka gunakan terhadap Ahmad Said bunyinya agak keras.)

Semasa kempen pilihan raya kecil itu semakin rancak, seorang ahli UMNO Terengganu pernah menyatakan kebimbangannya bahawa faktor Menteri Besar dan bukannya faktor calon, Datuk Wan Farid Wan Mohd Salleh yang memungkinkan BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen ini.

“Mu tahu,” kata ahli UMNO itu, “orang ramai marah kerana MB cakap membur (cakap tidak berasas, cakap ikut sedap mulut). Cakap tak macam MB. Mu tengok, poster MB kurang, orang benci.”

Dalam nada yang kian marah, dia menambah, “Tidak seperti Datuk Seri Idris Jusoh yang sentiasa jadi penggerak, Mat Said (Datuk Ahmad Said) tidak boleh buat apa satu, slow. Pegawai kerajaan negeri tidak sokong. Macam mana nak menang?” Tengah-tengah orang sibuk nak pilihan raya, dia tukar, pecat pegawai kerajaan; nak tutup anak syarikat kerajaan negeri. Langsung tak fikir!”

Pemerhati politik

Kemarahan ahli UMNO itu melarat kepada pembelian kereta Mercedes. “Mu fikir, teruk tak teruk Mat Said, negeri lain bawah BN pakai Perdana, dia beli Mercedes. Macam tak faham dasar kerajaan BN. Bila orang tanya, dia jawab lebih kurang – dah beli nak buat macam mana, kena pakailah. Kita dengar naik malu.”

Seorang ahli jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang turut bertugas untuk BN dalam pilihan raya kecil itu memberitahu: “Zaman Datuk Deris (Datuk Seri Idris Jusoh), beliau selalu berhubung dan mengadakan mesyuarat dengan JKKK. Paling tidak beliau sms untuk tanya khabar dan berita. Zaman Mat Said (Datuk Ahmad Said), kita JKKK tak tahu apa satu.”

Selaku ketua perhubungan UMNO negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin mengambil langkah bijak dengan mengetepikan beberapa individu yang dilantik oleh Datuk Ahmad Said untuk memegang jawatan dalam UMNO. Pada pandangan umum, mereka dilantik oleh Ahmad Said lebih bersifat “membalas budi” dan bukannya berdasarkan prestasi atau “boleh buat kerja.” Misalnya, pelantikan Zubir Embong yang kerjaya politiknya berkubur sejak tahun 1990, sebagai Ketua Penerangan UMNO Negeri dilihat oleh banyak pihak tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada parti.

Malangnya, tindakan berani beliau itu hanya setakat itu. Rakyat Terengganu khususnya dan pemerhati politik di negara ini amnya, masih tertunggu-tunggu tindakan berani Najib dan Hishammuddin berhubung dengan kepimpinan negeri itu. Hingga kini, kedua-duanya belum menampakkan keberanian untuk membuat keputusan.

Akibatnya, seperti yang dilaporkan baru-baru ini, sebilangan ADUN yang anti-Ahmad Said mula hilang kesabaran mereka dan seakan-akan memberikan kata dua – ingin berpaling tadah. Namun, Najib dilaporkan meminta mereka bersabar kerana beliau baru sahaja mengambil alih pucuk pimpinan negara.

“Sudah berbulan-bulan berlalu, macam mana Najib tidak beri kata putus tentang MB Terengganu,” ulas seorang anak Terengganu yang bekerja di Lembah Klang. Sama ada nak kekalkan MB sekarang, yang penting mesti ada keputusan. Bukan terus tergantung.” Tambah dia lagi, “Macam ambil alih syarikat, Najib mesti patut sudah ada perancangan, siapa yang akan dilantik sebagai CEO (ketua pegawai eksekutif), siapa nak jaga kewangan, pengurusan.”

Untuk kekal sebagai Menteri Besar, Ahmad Said boleh berlindung di sebalik istana. Tetapi, berapa lama? Lambat-laun Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan. Mampukah UMNO-BN bertahan di negeri itu?

Apakah sejarah tahun 1999 berulang lagi akibat keengganan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad berundur, satu negeri jatuh ke tangan Pas. Mungkin musuh-musuh politiknya gagal menjatuhkan beliau, tetapi rakyat mampu melakukannya. Buktinya, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang lalu – rakyat memberikan mesej yang jelas.

Isnin, Ogos 03, 2009

YANG LAGI DAN LAGI

Berita asal :

SPRM tahan ADUN Terengganu kerana disyaki terima rasuah

02/08/2009 9:50pm

KUALA TERENGGANU 2 Ogos - Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu hari ini ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM20,000.

ADUN berkenaan dipercayai menerima wang suapan terbabit bagi membolehkan sebuah syarikat mendapat projek lanskap di Kuala Lumpur.

Difahamkan, semasa ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi di Kijal, dekat Kemaman, Terengganu, SPRM telah menemui wang tunai RM5,000 pada ADUN berkenaan.

Ketika ditahan, ADUN berkenaan berada bersama rakannya dan difahamkan beliau telah dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, ketika dihubungi, mengesahkan mengenai penahanan ADUN terbabit tetapi enggan mengulas lanjut. - Bernama
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Ini apa cerita pula nin? Cukuplah usaha-usaha nak memalukan MB Mat Said tu. Baru saja bekas orang kuat MB Mat Said dimalukan. Ini timbul pulak kes ADUN Terengganu (pembetulan dan lengkapkan : ADUN BN/UMNO Terengganu). Kes rasuah lagi. Janganlah membuka baju nak tunjukkan buncit perut sendiri. Malu 1Malaysia.

Oppp!!! Tersalah lagi… Siapa kata kes ini usaha nak memalukan MB Mat Said? Nama ADUN tu kan dicadangkan dan dipersetujui oleh Deris Jusoh. Jadi, mesti orang Deris Jusoh. Tak ada kena mengena dengan MB Mat Said. Mat Said hanya mewarisi kepimpinan yang telah disusun oleh Deris Jusoh sahaja. Fie perangai ADUN kena tuding kepada Deris Jusoh. Kebetulan sahaja (diulang : kebetulan sahaja.... ulang : kebetulan sahaja) kes nin berlaku di zaman MB Mat Said.

Apa-apa pun harap bertenang. Jangan menuduh semberono. SPRM atau mana-mana pihak berkuasa belum mengesahkan kesalahan YB berkenaan. Baru ditahan dan disiasat. Jadi janganlah terus menghukum yang YB tu bersalah dan benar melakukannya. Biar mahkamah yang memutuskannya nanti. Negara 1Malaysia kita inikan ada undang-undang dan peraturan. Jangan pula kita melampaui undang-undang dan hukum dengan andaian dan sentimen begitu.

Cuma ‘cerita’ sikit-sikit kisah nin untuk menyedapkan halwa telinga dan senaman mata membacanya bolehlah. Cerita - bukan menghukum atau menuduh. Atau marilah kita sama-sama menasihati YB berkenaan supaya bersabar dan bertenang menghadapi dugaan ini. Caranya mungkin boleh begini. Alahhh… ala-ala surat terbuka jugalah… :

Ke hadapan Yang Berhormatku yang dikasihi,

Saya sungguh terharu dengan apa yang menimpa YB. Tetapi apakan daya, saya hanya insan biasa yang hanya mampu menasihati agar YB bersabar dan bertenang sahaja dan tidak lebih daripada itu.

Harapnya YB bersabarlah. Sabar YB, kerana sabar itu sebahagian daripada iman. YB belum lagi didapati bersalah. Baru peringkat ditahan dan disiasat. Yang hanya boleh menghukum YB bersalah dan dihukum hanyalah mahkamah. Selagi YB tidak dihukum di mahkamah, YB tetap tidak bersalah.

Alaaa…. RM20 ribu tu bukannya banyak sangat YB kalau nak dibandingkan dengan yang orang lain kebas pun. Kawan YB (dalam konteks pemimpin UMNO) yang ditahan SPRM baru-baru nin, kesnya jauh lebih besar daripada kes YB nin. Kes YB nin tak sampai pun 1Persen (ala 1Malaysia) berbanding kes kawan YB tu. Kalau 1Persen daripada RM3juta dapat juga RM30ribu. Ini baru RM20 ribu. Sikit… sikit….sikit….sikit YB. RM5 ribu yang dijumpai? Huuuhhh…. Lagi sikit YB. RM5 ribu tu bagi seorang gembala yang mempunyai lembu gembalaannya sendiri, baru untuk bagi makan seekor lembu sahaja. Eleh, lekat celah gigi lembu tu je, kalau banyak tu.

Dalam kes nin pun, alaaa... orang nak bagi. Derma ikhlas upah melobilah katakan. Nak melobi bukannya senang ya YB? Naik turun pejabat, jumpa orang itu orang ini, intertain orang itu, rai orang ini, naik kereta turun keretapi, naik lif turun tangga. Dia orang tak tahu ke, semua tu kena pakai duit YB. Kalau tak bernasib baik, tak cukup dengan RM20 ribu tu untuk segala urusan naik turun saja.

Lagipun orang tak tahu siapa YB. Wartawan hanya tulis ADUN Terengganu. Tak sebut nama pun, apa lagi nak siar gambar. Lainlah kalau YB ADUN PAS atau pembangkang. Mungkin nama dan gambar dah disiarkan. Atau lainlah kalau YB di kalangan ADUN Terengganu daripada Geng 10 budak hitam. Kalau YB di kalangan ADUN Geng 10 budak hitam tu, rasanya cerita (tulisan) dan gambar YB sah dan pasti akan diberikan warna sepenuhnya. Baru hebat dan gah.

Jangan gusar YB. YB boleh minta tolong bos-bos YB. Tak kang bos YB tak boleh tolong. Antara bos YB ialah MB sendiri. Bukankah YB antara tiga orang ADUN yang tidak tersenarai sebagai ADUN yang memboikot sidang DUN lalu dan YB bukan di kalangan anggota Geng 10 budak hitam. YB tak ponteng sidang DUN, apa lagi memboikot. YB hadir sidang DUN. YB tidak dicop sebagai anggota Geng 10 Budak Hitam pun. Sekali YB dah menyelamatkan maruah MB.

Kemudian timbul pula Kumpulan 18 yang menandatangani memoradum tidak percaya kepada kepimpinan MB Mat Said. YB juga tak terlibat. YB merupakan salah seorang daripada 6 orang ADUN BN (termasuk MB Mat Said) yang tetap berdiri teguh di belakang MB Mat Said dan tidak menandatangani memorandum bersama 18 ADUN (termasuk Exco) yang lain itu. YB sudah bijak bacaan politiknya. Sudah bijak main selamat.

Sekali lagi YB menyelamatkan maruah MB Mat Said. YB orang yang akur dan menerima kepimpinan MB Mat Said. Cerita orang macam-macam. YB tak usah dengar sangat. Itu fitnah orang yang dengki kepada YB. Ada ke munasabah diceritakan orang, YB tak menandatangani memorandum tidak percaya kepada kepimpinan MB Mat Said adalah kerana YB dijanjikan dengan janji politik oleh MB Mat Said untuk melantik YB sebagai Exco menggantikan Exco daripada Kemaman sedia ada. Itu janji politik dan saya percaya YB tidak terpengaruh dengan janji politik dan cerita politik begitu. Yang saya percaya, ketaatan YB kepada MB Mat Said adalah benar-benar ketaatan yang jujur dan ikhlas. Nah… sekali lagi itu pengorbanan besar YB kepada MB Mat Said.

Saya rasa YB menjadi mangsa politik kerana YB orang politik. Kerana itu, saya rasa YB boleh minta tolong bos politik YB. Lagipun DUN Kemasik yang diwakili oleh YB tu bersempadan dengan DUN Kijal yang diwakili MB Mat Said. Dalam satu Parlimen lagi tu. Parlimen Kemaman. Ketua UMNO Bahagian Kemaman MB Mat Said sendiri. Tak kang MB Mat Said nak membiarkan YB Ir Rosli dianiayai… Malulah MB Mat Said kalau macam tu. Cukuplah memalukan MB Mat Said, kesihan dia.

Pun demikian, mahu tidak mahu, MB Mat Said kenalah tengok pengorbanan dan taat setia yang telah ditunjukkan oleh YB. Sepatutnya YB taat kepada Deris Jusoh macam geng 10 tu, sebab… ialah YB kan jadi ADUN kerana Deris Jusoh setuju YB dicadangkan bertanding di DUN Kemasik tu. Tapi Deris Jusoh pun tak patut juga YB. Tak kang YB tak ingat. Masa pengumuman nama calon di kediaman MB di Kuala Terengganu semasa PRU12 dulu, ada ke Deris Jusoh umum nama Radilah Abd. Wahab sebagai calon DUN Kemasik, bukan nama YB. Lepas tu dua tiga hari baru tukar nama YB. Maknanya macam Deris Jusoh pun tak mahu juga kepada YB.

Dah siapa yang nak kepada YB sebagai calon? Mat Said ke? Bukan. Mat Said tak ada kuasa lagi masa mencadangkan nama calon. Mat Said sendiri pun hampir-hampir tak ada nama. Jadi, kalau bukan Deris Jusoh dan Mat Said yang mahu, siapa yang mahu YB jadi calon di Kemasik tu? Susahlah kalau macam nin. Nanti selepas ini tak ada orang nak mengaku YB memihak sebelah mana. Nak kata orang Pak Lah pun, Pak Lah dah pencen. Bukan apa YB, saya terkenangkan nasib rakan-rakan kita terdahulu. Almaklum bila dah jadi nama tersangkut dengan kes-kes memalukan begini, kawan pun boleh jadi lawan. Orang yang 'hidup' di bawah batang hidung bosnya sendiri pun, diputarbelitkan cerita. Masing-masing nak 'lari kepala'.

Sabar jelah YB…

Akhirulkalam, saya harap YB bersabar dan bertenanglah. Rasanya saya tak menyebut nama YB dan kawasan yang diwakili YB. Saya pun jaga juga malu aib YB kan… tetapi kalau tersebut dan tertulis juga, itu secara tidak sengajalah tu. Ketidaksengajaan kerana keasyikan bercerita. Saya minta maaflah ya...

Harap-harap YB selamat dan dapat jadi Exco.
Related Posts with Thumbnails