Sabtu, Julai 18, 2009

YANG TERASA NAK RESPON (siri 2)

Kisah 2 : BUMBUNG RUNTUH

Kira-kira lebih sebulan yang lalu, ketika memenuhi jemputan kenduri perkahwinan anakda sahabat saya di Kuala Berang, Hulu Terengganu, saya terserempak dengan seorang perwakilan G7 Hulu Terengganu yang memaklumkan kepada saya adanya satu tulisan yang diedar melalui pos dari Kuala Lumpur berhubung dengan kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan, Gong Badak diterima oleh beliau dan beberapa rakan G7 yang lain.

Kata sahabat G7 berkenaan, nama saya ada disebut dalam tulisan edaran berkenaan di samping turut menyebut nama Derih Jusoh dan Rosol Wahid. Ketika itu, saya tidak memberikan komen apa-apa lantaran saya sendiri tidak menerima atau membaca tulisan berkenaan.

Selang beberapa hari, seorang lagi kawan saya G7 daripada Dungun menelefon saya dan memaklumkan perkara yang sama. Dua hari kemudian, barulah saya menerima 'surat' yang mengandungi tulisan berkenaan. Yang menariknya, saya menerima 3 salinan tulisan berkenaan sekali gus yang diposkan dalam 3 sampul surat yang berbeza, semuanya ditujukan kepada saya dengan menggunakan alamat yang sama. Saya tidak pasti, sama ada perkara ini disengajakan atau dirancang atau memang sifatnya bengap kerja orang yang bertanggungjawab itu.

Saya sudah lupa di mana tulisan itu diletakkan. Saya mengambil endah tak endah tentang 'surat' tulisan itu kerana saya tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa respon daripadanya kerana saya berpendapat tidak ada apa yang wajar saya endahkan. Setakat bertanya ke mana saya, Derih Jusoh dan Rosol Wahid ketika bumbung stadium runtuh, saya kira tidak ada apa yang boleh saya jawab.

Tetapi minggu lalu, ketika saya berada di Ipoh, seorang rakan lama saya dari Kuala Lumpur bertanya saya kenapa saya tidak mengulas tentang bumbung stadium yang runtuh itu. Pertanyaan sahabat lama saya itu mengembalikan semula ingatan saya kepada surat tulisan yang saya terima itu. Mungkin kawan saya ini turut menerima surat yang serupa, kerana itu beliau memprovokasi saya supaya menulisnya.

Jawapan saya mudah sahaja. Saya telahpun menyatakan terdahulu bahawa orang yang bertanggungjawab untuk menjawabnya sudah ada. Kerajaan Negeri juga telah melantik jawatankuasa penyiasat untuk menyiasat, SPRM juga telah menyiasat dan telahpun menyatakan 'hampir selesai'. Kalau ada yang bersalah, hukumlah mereka. Lagi pun, bumbung yang runtuh itu pun tidak akan berdiri tegak semula, kalaupun saya menjawab atau tidak tulisan berkenaan.

Siapa saya untuk menjawab atau menyatakan perihal keruntuhan bumbung stadium itu? Banyak orang nampaknya berhasrat saya menulis untuk mempertahankan Derih Jusoh and the gengnya kerana kononnya Derih Jusoh yang bertanggungjawab. Adanya penyelewengan dan adanya unsur-unsur rasuah dalam hal pemberian projek dan pembinaan stadium berkenaanlah yang menyebabkan mutu binaannya rendah dan akhirnya runtuh, dakwa mereka.

Saya pula dilihat sebagai orang yang 'diupah' kumpulan Derih Jusoh ini untuk menyokong mereka melalui blog dan menghentam MB Mat Said. Kerana itu (menurut teman-teman) masih ada orang yang mahukan saya mengulas perihal perkara itu.

Demikianlah bodoh dan bengongnya sesetengah manusia. Saya dah berkali-kali menyebut, sekarang, saya tidak ada apa-apa kepentingan dengan sesiapa. Saya tidak ada kaitan apa-apa dengan sesiapa. Dulu saya bekerja dengan Din Adam atas dasar penjawat awam. Saya tidak mendapat apa-apa keistimewaan lebih daripada apa yang penjawat awam dapat. Selepas kontrak saya dengan Din Adam tamat, saya tidak ada apa-apa kepentingan lagi dengan beliau atau sesiapa yang berkaitan dengan beliau, termasuklah Derih Jusoh sendiri. Kalau ada pun kami masih berhubungan dan tolong menolong, semuanya berlaku atas dasar seorang kawan.

Begitulah penjawat awam. Sesiapa sekalipun bos mereka, bertukar kerajaan atau majikan ke, dia tetap penjawat awam yang wajib mematuhi majikan semasanya.

Dalam soal stadium, saya langsung tidak tahu menahu perihal soal tender, soal harga tawaran, soal kontraktor, soal pembinaan atau apa-apa kepentingan (kalau ada) di sebalik pembinaan stadium itu, lantaran itu bukan dalam bidang tugas saya atau bidang tugas Exco (Din Adam). Yang saya tahu, kerajaan negeri hendak membina stadium dan akan digunakan untuk SUKMA ke-12. Itu saya tahu kerana menggunakan kemudahan sukan untuk acara dan atlit serta penganjuran SUKMA XII Terengganu 2008 adalah di bawah bidang kuasa Din Adam waktu itu. 'Core business' portfolio yang dipengerusikan oleh Din Adam ketika itu ialah pembangunan manusia @ pembangunan modal insan bukan pembinaan infrastruktur.

Sekali lagi saya nyatakan, saya tidak ada apa-apa kepentingan dengan sesiapa. Baik Derih Jusoh mahupun Mat Said atau sesiapa saja yang ada kaitan dengan tulisan saya. Saya menulis atas kehendak dan kesedaran saya sendiri tanpa paksaan, upahan atau apa-apa habuan. Saya bukan lembu peliharaan yang dikurung di dalam kandang kemudian diberi makan rumput yang dicerut (potong) oleh gembalanya. Lembu-lembu macam ini adalah lembu berkepentingan dan lembu yang dicucuk hidung dan kemudian dipaksa bekerja untuk tuannya. Akhirnya lembu sebegini akan menjadi habuan tuannya untuk dilapah dan dimamah dagingnya.

Berbalik kepada soal stadium. Soal stadium tidak perlu disangkutkan dengan sesiapa. Jawatankuasa penyiasat telah ada. SPRM telah menyiasat. Dan kemudian apabila siasatan selesai dan didapati berlaku penyelewengan dan salah laku atau ada unsur-unsur rasuah yang menyalahkan peraturan dan undang-undang negara, dakwa dan hukumlah orang-orang yang terlibat itu. Kalau Derih Jusoh salah, hukumlah dia. Kalau Rosol Wahid disabitkan dan bersalah, hukumlah dia. Kalau Din Adam terlibat, hukumlah dia. Kalau perlu hukumannya gantung sampai mati, laksanakanlah. Baru berbaloi dan padan muka mereka kerana mereka melakukan perkara yang memalukan, menyalahi undang-undang dan menyusahkan MB Mat Said (agaknya). Dan baik Derih Jusoh, Rosol Wahid, Din Adam atau sesiapa saja kalau dah didapati terang benderang kesalahannya, janganlah pula memandai-mandai mereka-reka dokumen rekaan atau menjadikan orang lain kambing hitam untuk melepaskan diri.

Tak perlulah kita memandai-mandai menuduh dan menghukum seseorang setelah bos kita sendiri mengumumkan berbagai langkah untuk menyiasat tragedi berkenaan. Jangan terlalu lebih sudu daripada kuah. Janganlah dengan sengaja kita menonjolkan sifat-sifat 'kelembuan kenyang'. Atau janganlah kita nak menjadi lembu yang hanya tahu merembat sahaja walaupun diberi makan plastik, rumput kering atau apa-apa sahaja yang tidak sesuai dimakan oleh seekor lembu. Apa-apa pun, lembu-lembu itu tetap beruntung. Nasib baik ada runtuhan bumbung stadium, ada juga isu yang boleh dikerjakan bagi memanjangkan hayat peliharaan oleh gembalanya.

Carilah isu lain untuk memusnahkan puak-puak Derih Jusoh tu. Tidak sepadan sehingga isu tak nampak batang hidung menjenguk keruntuhan bumbung stadium pun dibesar-besarkan dan menjadi isu antarabangsa. Carilah isu yang sesuai. Isu beli kambing untuk dihitamkan ke, isu nak tambah lembu peliharaan yang nak dicucuk hidung lagi ke. Baru ada kelas.

Nasiblah Derih Jusoh. Dah stadium tu dibina pada zaman dia berkuasa, tidak dapat tidak kena kaitkan dengan beliau. Itulah tidak cerdiknya Derih Jusoh berbanding MB Mat Said. Di zaman MB Mat Said nin, jangan termimpilah nak melihat runtuhan apa-apa (bumbung ke, lantai ke). Tak ada, memang tak ada. Nak ada macam mana, jangankan nak membina stadium, nak membina 'gok' (kandang) kambing dan gok lembu pun tak ada.

Tapi jangan terkejut dan pelik, tiba-tiba gempar seluruh dunia dengan berita 'Bumbung kandang lembu peliharaan MB bernilai RM15 ribu sebulan runtuh dan menimpa kepala kambing hitam boer kesayangan beliau'.

Haru biru juga nantinya. Wallahuaklam.
Related Posts with Thumbnails