Ahad, Mei 24, 2009

YANG SERUPA TAPI TAK SAMA

(i)
Kemelut politik di Perak masih jauh untuk kelihatan cerah dan tenang. Jelaslah Nizar nampaknya seorang ‘hero koboi’ yang tidak mudah mengaku kalah. Tahniah. Alang-alang menyeluk pekasan biar sampai ke panggal lengan, alang-alang mandi biar basah, genggam bara api biar sampai jadi arang.

Sebenarnya persoalan kemelut berkenaan tidaklah serumit dan sesukar seperti yang dihadapi dan sedang berlaku sekarang. Sifirnya amat mudah. Sudah terlalu banyak pandangan dan cadangan dikemukakan, tetapi biasalah, seperti cerita koboi ‘hero’ tak mungkin mati. Atau seperti cerita kartun, walau dilenyet sekemek mana beratus kali pun, tetap boleh kembali kepada asalnya dan tidak akan mati.

Seperti yang disebut, sifirnya mudah. Walau dikira sifirnya mengikut PPSMI atau dalam Ilmu Hisab yang di-Melayukan pun, jawapannya tetap sama. Tinggal lagi sejauh mana orang yang berkenaan boleh menerima hakikat dan akur dengan kehendak.

Dalam situasi yang berlaku di Perak hari ini, hakikat dan realitinya Nizar hanya mendapat sokongan minoriti dan jelas sudah tidak mendapat sokongan majoriti ADUN. Soal tidak meletak jawatan, tiada usul undi tidak percaya atau tiadanya pembubaran DUN bukan lagi sesuatu yang perlu dipertikaikan berkait dengan hilangnya majoriti itu.

Demikian juga sekiranya soal tiga ADUN Bebas yang berpaling tadah, bukan sesuatu yang patut dibebankan sebagai sebab musabab masalah. Sama ada mereka dibeli, diperalat, dijanjikan dengan apa-apa keistimewaan atau dikonspirasikan atau diapa-apakan sekalipun – semua itu perlu dibincangkan di luar kotak hilangnya sokongan majoriti terhadap Nizar.

Yang utama dan jelas ialah HILANG MAJORITI. Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Negeri Perak jelas memberi hak kepada Sultan Perak untuk melantik seorang Menteri Besar yang mendapat majoriti di DUN. Dan apabila seseorang MB itu sudah hilang majoriti, maka secara MARUAH dan PRINSIPnya, beliau tidak perlu menunggu untuk dipecat atau diberhentikan (sama ada terdapatnya fasal berkaitan dan tidak), sebaliknya dengan sukarela dan berprinsip serta bermaruahnya, beliau hendaklah melepaskan atau meletakkan jawatan.

Akan tetapi kerana Nizar degil dan ‘keras keng’lah menyebabkan kemelut ini berpanjangan dan tidak berkesudahan. Nizar dan Zambry boleh sahaja naik turun mahkamah. Mahkamah boleh saja memutuskan berdasarkan perlembagaan dan perundangan. Namun, perlu juga diakur bahawa kerana kelemahan manusia, sebab akibat kemelut tidak semuanya termaktub di dalam perlembagaan. Contohnya termasuklah tiadanya hak Sultan untuk melucutkan jawatan MB apabila seseorang MB itu TIDAK LAGI mendapat majoriti.

(ii)
Apakah kemelut di Terengganu berada dalam kondisi yang sama? Mungkin, kalaulah kumpulan 10 budak hitam kini mendakwa telah mendapat majoriti sokongan (menjadi kumpulan 18) serta mereka sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada MB Mat Said. Tinggal lagi, kumpulan 18 ini (kalau benar-benar sudah menjadi 18) wajar berani membuktikan dan menyakinkan pihak Istana dan pucuk pimpinan bahawa mereka sudah mendapat majoriti dan MB Mat Said hanya mendapat minoriti sokongan ADUN dalam DUN Terengganu untuk kekal sebagai MB.

Persoalannya, kenapa kumpulan yang mendakwa telah mendapat sokongan 18 ADUN itu terus menekup batu dalam situasi sekarang? Kalau tidak berani atau kena akur dengan mana-mana pihak untuk terus menyokong dan mencurahkan taat setia kepada MB Mat Said, isytiharkan sahaja kepada rakyat bahawa mereka terus taat setia tanpa berbelah bahagi terhadap MB Mat Said dan mintalah rakyat di bawah mereka juga memberi sokongan dan taat setia kepada MB mereka.

Atau kalau mereka tetap dengan prinsip, pegangan dan pendirian asal untuk menolak Mat Said dan semua 18 ADUN berkenaan terus ‘keras keng’ dengan prinsip, pegangan serta pendirian mereka itu, isytiharkan juga segera bahawa mereka tiada kompromi lagi dalam hal mengekalkan status quo Mat Said sebagai MB. Habis cerita dan keadaannya tidaklah tergantung dan menjadi tanda tanya serta mengelirukan rakyat bawahan. Dan kalau ini dijelaskan, MB Mat Said perlulah menerima hakikat ini dan kembalilah kepada maruah dan prinsip.

Sama seperti situasinya di Perak, kalau benar dakwaan kumpulan 18 bahawa mereka sudah hilang keyakinan dan sokongan kepada MB Mat Said, bermakna walau apapun tuduhan, tohmohan, tafsiran, tanggapan, labelan kepada mereka, sama ada kumpulan budak jahat, kumpulan penderhaka, kumpulan buruk, kumpulan busuk, kumpulan tidak kenang budi, kumpulan pengkhianat atau apa sahaja labelnya, pokoknya mereka sudah hilang keyakinan dan hilang kepercayaan kepada MB. Tak perlulah bersusah-susah untuk mencari sebab musabab, punca dan premis-premisnya kerana hakikat dan penonjolan mereka adalah kepada isu sebenar atau isu pokok yakni mereka tidak lagi yakin dengan kewibawaan Mat Said sebagai MB untuk menerajui politik dan pentadbiran negeri. Bermakna dalam bahasa yang mudahnya mereka sudah menjadi kumpulan majoriti yang menjadikan Mat Said sebagai MB hanya mendapat sokongan minoriti. Dalam demokrasi raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, menang dengan hanya satu undi sudah dianggap menang dan mendapat majoriti. Mudah saja sifirnya politik di Malaysia ini sebenarnya.

Namun sehingga hari ini, kalau keadaan mengelirukan ini berterusan, Mat Said tidak perlu disalahkan kalaupun beliau tetap kekal sebagai MB kerana Mat Said tidak pernah tahu yang beliau sudah hilang majoriti sokongan ADUN. Mungkin kalau Mat Said tahu, beliau tidak semudah itu menjual maruah dan prinsipnya. Ini soal MB bukan soal Pengerusi JKKK.

(Catatan : DUN Terengganu ada 32 kerusi. BN 24 kerusi dan PAS 8 kerusi. Kalau benar 18 ADUN BN tidak bersetuju dengan Mat Said bermakna Mat Said hanya mendapat sokongan daripada 6 ADUN BN dan kalaupun ADUN PAS menyokong Mat Said, Mat Said masih gagal untuk mendapat majoriti. Dalam hal ini, ADUN PAS mungkin ‘boleh’ menyokong Mat Said kerana mereka masih mahu meneruskan urusniaga kambing boey).

(iii)
Kerana itu kembalilah kepada maruah dan prinsip. Entahlah, kalau sebagai seorang Islam, perkara prinsip dan maruah hanya diletakkan sebagai perkara yang harus atau makruh sahaja, bukan sesuatu yang wajib dan dosa besar, itu adalah pandangan dan tanggapan serta tafsiran masing-masing yang boleh dipelbagaikan. Begitulah juga akan jadinya apabila prinsip dan maruah diletakkan di kepala lutut.

(iv)
Situasi di kedua-dua negeri ini serupa tetapi tidak sama. Serupa dari segi isu dan hilang majoritinya tetapi tidak sama dari segi partinya. Tetapi kedua-dua negeri masih berpegang kepada satu perkara yang sama – Undang-undang Tubuh atau perlembagaan. Sekali lagi mungkin tidak sama beberapa perkara antara dua Undang-undang Tubuh Perak dan Terengganu.

Yang pasti, kedua-duanya tetap serupa dalam hal ‘mempertahankan’ prinsip dan maruah masing-masing kerana prinsip dan maruah itu bukan cermin muka yang merugikan kedudukan mereka.
Related Posts with Thumbnails