Jumaat, Mei 29, 2009

YANG MENANTI : SELEPAS 31 MEI 2009

Tanggal 31 Mei yang hanya tinggal dua hari lagi dinantikan penuh debar. Mungkinkah sesuatu yang mengejutkan akan berlaku selepas tarikh itu?

Yang pasti, bukan keputusan PRK DUN Penanti Pulau Pinang atau PRK DUN Manik Urai Kelantan (Julai nanti) atau DUN (dang) di Perak. Bukan dan bukan, kerana semua itu seperti sudah dijangka apa keputusannya dan tidak saspen serta tidak perlu dinantikan apa-apa lagi.

Sama ada berlaku atau sebaliknya, saya sendiri tidak boleh menjangkakan. Tetapi yang nyata, saya menerima satu sistem pesanan ringkas (sms) yang sebenarnya tidaklah pendek beberapa hari lalu. Sms berkenaan amat ‘mengilukan’ dan ‘membimbangkan’.

Pada saya, isi sms itu tidak wajar didedahkan dulu di sini. Walaupun bukan sms ugutan bunuh, tetapi sms kebelakangan ini amat sensitif statusnya. Nanti jadi kes pula. Biarlah saspen dan misteri sikit. Cuma saya nak tegaskan bahawa sms berkenaan memang mengilukan dan membimbangkan.

Begitulah dunia politik adanya. TAMAT

YANG DIHARGAI : DR JEPUN IN BRACKET

Beberapa malam lalu saya sempat berbual dengan saudara Zabidi Saidi (blogger Memo Belakang) yang kebetulan pulang ke Kuala Terengganu. Saudara Zabidi menghubungi saya mengajak minum-minum. Wah!!! Zabidi sudah menjadi orang senang dan banyak wang sekarang. Alhamdulillah rezeki kawan-kawan.

Banyak perkara yang kami bualkan terutama tentang perkembangan politik di Terengganu mutakhir ini. Saya banyak memberi gambaran, pandangan dan cadangan berdasarkan pemerhatian dan sedikit pengetahuan saya terhadap apa yang telah, sedang dan ‘akan’ berlaku terhadap politik Terengganu.

Banyak perkara yang saya sebutkan di hadapan Zabidi dan sebahagian besarnya tidak pernah saya tulis kerana saya cuba sedaya upaya mengelak agar tiada yang mengatakan saya bias kepada orang itu atau orang ini, walaupun ada antaranya untuk kebaikan orang-orang tertentu. Sebab itu saya kira ada perkara yang Zabidi akan tulis hasil pertemuan itu.

Saya tahu yang cakap saya tidak pernah berlapik dan itulah yang saya sebutkan di hadapan Zabidi. Cuma yang saya tekankan kepada Zabidi ialah apa sahaja yang saya nak tulis, itu adalah hak saya kerana saya tidak ada apa-apa kepentingan dengan mana-mana pihak. Tambahan lagi saya tidak pernah meminta sedekah atau minta makan dengan mereka dan bukan mereka juga yang memberi makan kepada saya. TITIK.

Dan dalam banyak perkara yang disembang-sembangkan itu, Zabidi dalam ketawanya menyebut : “Jahat mung, panggil orang tu Dr Jepun in bracket…”. Kata-kata Zabidi itu mengingatkan saya kepada perkhabaran sebelumnya oleh kawan-kawan bahawa Dr Jepun in bracket marahkan saya kerana katanya saya ‘mempersendakan’ dan ‘mengajing’ (dog ing?) dia.

Astaqfirullah… kenapa sampai begitu sekali? Saya jelaskan kepada Zabidi, inilah susahnya manusia kalau hatinya sudah meletakkan hitam kepada sesuatu. Sehinggakan orang mengiktiraf dan memberi penghargaan pun masih marah dan memandang serong.

Saya menulis begitu kerana kalau ditulis pun akan membawa maksud yang sama. Kalau dalam bentuk tulisan akan ditulis begini : Yang Berbahagia Dato’ (Dr) sipolan sipolan (nama penerima)… Bukankah Dr itu berada dalam kurungan (bracket)? Bukankah (Dr) itu bermakna anugerah Doktor Kehormat yang dianugerahkan oleh sesebuah universiti dalam memberi pengiktirafan dan mengakui kewibawaan penerimanya?

Dan saya menguar-uarkan Dr dalam kurungan itu untuk lebih jelas diketahui orang bahawa anugerah (Dr) @ Dr in bracket itu adalah dari sebuah universiti di Jepun. Bukankah hebat dan bangga namanya tu. Jarang anak Melayu yang menerima anugerah sebesar itu dari universiti luar negara khususnya universiti di negara matahari terbit itu. Kita mengiktiraf penerima dan turut memberi maklum dari mana anugerah itu datang.

Dr Jepun itu bukan panggilan ‘gelor’. Orang Jepun sekarang ini sudah sama tinggi dengan manusia benua lain. Kalau saya nak bergelor orang yang menerima itu pendek, lebih baik saya berterus terang katakan dia pendek atau pendek khetoq seperti yang pernah saya tulis sebelum ini (klik sini). Kalau saya bermaksud Jepun itu pendek (kerana orang Jepun zaman kelahiran awal tamadun mereka pendek-pendek), nanti orang Jepun sekarang marah kerana mereka tidak lagi pendek. Kalau ada pun sudah tidak ramai. Nanti kalau orang Jepun tahu dan mereka buat repot polis kerana menghina dan menghasut, saya juga yang susah.

Kenapa marah dan terasa seperti saya ‘menganjing’? Apakah kerana pemberian anugerah Dr Kehormat oleh universiti di Jepun itu tidak ikhlas atau kerana orang yang dianugerahi itu juga tidak ikhlas untuk menerimanya? Ataukah kerana universiti yang menganugerahkan Dr Kehormat itu universiti kelas kampung? Atau ada sebab-sebab lain? Sebab dibeli ke? Dilobi ke? Atau apa?

Untuk apa ada orang-orang yang tahu menilai bersusah payah membeli iklan di beberapa akhbar (yang bukan murah bayarannya) untuk mengucapkan tahniah kepada penerima? Kalau begitu caranya, bermakna orang-orang yang berkenaan telah membazirkan duit membeli iklan dan rendahnya penerimaan balasan terima kasih daripada orang yang diucapkan tahniah itu.

Janganlah kita menyerlahkan kelemahan dan membuka ‘rahsia’ tersembunyi kita dengan tindakan dan amarah yang tidak sewajarnya. Pandai makan pandailah simpan.

Ahad, Mei 24, 2009

YANG SERUPA TAPI TAK SAMA

(i)
Kemelut politik di Perak masih jauh untuk kelihatan cerah dan tenang. Jelaslah Nizar nampaknya seorang ‘hero koboi’ yang tidak mudah mengaku kalah. Tahniah. Alang-alang menyeluk pekasan biar sampai ke panggal lengan, alang-alang mandi biar basah, genggam bara api biar sampai jadi arang.

Sebenarnya persoalan kemelut berkenaan tidaklah serumit dan sesukar seperti yang dihadapi dan sedang berlaku sekarang. Sifirnya amat mudah. Sudah terlalu banyak pandangan dan cadangan dikemukakan, tetapi biasalah, seperti cerita koboi ‘hero’ tak mungkin mati. Atau seperti cerita kartun, walau dilenyet sekemek mana beratus kali pun, tetap boleh kembali kepada asalnya dan tidak akan mati.

Seperti yang disebut, sifirnya mudah. Walau dikira sifirnya mengikut PPSMI atau dalam Ilmu Hisab yang di-Melayukan pun, jawapannya tetap sama. Tinggal lagi sejauh mana orang yang berkenaan boleh menerima hakikat dan akur dengan kehendak.

Dalam situasi yang berlaku di Perak hari ini, hakikat dan realitinya Nizar hanya mendapat sokongan minoriti dan jelas sudah tidak mendapat sokongan majoriti ADUN. Soal tidak meletak jawatan, tiada usul undi tidak percaya atau tiadanya pembubaran DUN bukan lagi sesuatu yang perlu dipertikaikan berkait dengan hilangnya majoriti itu.

Demikian juga sekiranya soal tiga ADUN Bebas yang berpaling tadah, bukan sesuatu yang patut dibebankan sebagai sebab musabab masalah. Sama ada mereka dibeli, diperalat, dijanjikan dengan apa-apa keistimewaan atau dikonspirasikan atau diapa-apakan sekalipun – semua itu perlu dibincangkan di luar kotak hilangnya sokongan majoriti terhadap Nizar.

Yang utama dan jelas ialah HILANG MAJORITI. Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Negeri Perak jelas memberi hak kepada Sultan Perak untuk melantik seorang Menteri Besar yang mendapat majoriti di DUN. Dan apabila seseorang MB itu sudah hilang majoriti, maka secara MARUAH dan PRINSIPnya, beliau tidak perlu menunggu untuk dipecat atau diberhentikan (sama ada terdapatnya fasal berkaitan dan tidak), sebaliknya dengan sukarela dan berprinsip serta bermaruahnya, beliau hendaklah melepaskan atau meletakkan jawatan.

Akan tetapi kerana Nizar degil dan ‘keras keng’lah menyebabkan kemelut ini berpanjangan dan tidak berkesudahan. Nizar dan Zambry boleh sahaja naik turun mahkamah. Mahkamah boleh saja memutuskan berdasarkan perlembagaan dan perundangan. Namun, perlu juga diakur bahawa kerana kelemahan manusia, sebab akibat kemelut tidak semuanya termaktub di dalam perlembagaan. Contohnya termasuklah tiadanya hak Sultan untuk melucutkan jawatan MB apabila seseorang MB itu TIDAK LAGI mendapat majoriti.

(ii)
Apakah kemelut di Terengganu berada dalam kondisi yang sama? Mungkin, kalaulah kumpulan 10 budak hitam kini mendakwa telah mendapat majoriti sokongan (menjadi kumpulan 18) serta mereka sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada MB Mat Said. Tinggal lagi, kumpulan 18 ini (kalau benar-benar sudah menjadi 18) wajar berani membuktikan dan menyakinkan pihak Istana dan pucuk pimpinan bahawa mereka sudah mendapat majoriti dan MB Mat Said hanya mendapat minoriti sokongan ADUN dalam DUN Terengganu untuk kekal sebagai MB.

Persoalannya, kenapa kumpulan yang mendakwa telah mendapat sokongan 18 ADUN itu terus menekup batu dalam situasi sekarang? Kalau tidak berani atau kena akur dengan mana-mana pihak untuk terus menyokong dan mencurahkan taat setia kepada MB Mat Said, isytiharkan sahaja kepada rakyat bahawa mereka terus taat setia tanpa berbelah bahagi terhadap MB Mat Said dan mintalah rakyat di bawah mereka juga memberi sokongan dan taat setia kepada MB mereka.

Atau kalau mereka tetap dengan prinsip, pegangan dan pendirian asal untuk menolak Mat Said dan semua 18 ADUN berkenaan terus ‘keras keng’ dengan prinsip, pegangan serta pendirian mereka itu, isytiharkan juga segera bahawa mereka tiada kompromi lagi dalam hal mengekalkan status quo Mat Said sebagai MB. Habis cerita dan keadaannya tidaklah tergantung dan menjadi tanda tanya serta mengelirukan rakyat bawahan. Dan kalau ini dijelaskan, MB Mat Said perlulah menerima hakikat ini dan kembalilah kepada maruah dan prinsip.

Sama seperti situasinya di Perak, kalau benar dakwaan kumpulan 18 bahawa mereka sudah hilang keyakinan dan sokongan kepada MB Mat Said, bermakna walau apapun tuduhan, tohmohan, tafsiran, tanggapan, labelan kepada mereka, sama ada kumpulan budak jahat, kumpulan penderhaka, kumpulan buruk, kumpulan busuk, kumpulan tidak kenang budi, kumpulan pengkhianat atau apa sahaja labelnya, pokoknya mereka sudah hilang keyakinan dan hilang kepercayaan kepada MB. Tak perlulah bersusah-susah untuk mencari sebab musabab, punca dan premis-premisnya kerana hakikat dan penonjolan mereka adalah kepada isu sebenar atau isu pokok yakni mereka tidak lagi yakin dengan kewibawaan Mat Said sebagai MB untuk menerajui politik dan pentadbiran negeri. Bermakna dalam bahasa yang mudahnya mereka sudah menjadi kumpulan majoriti yang menjadikan Mat Said sebagai MB hanya mendapat sokongan minoriti. Dalam demokrasi raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, menang dengan hanya satu undi sudah dianggap menang dan mendapat majoriti. Mudah saja sifirnya politik di Malaysia ini sebenarnya.

Namun sehingga hari ini, kalau keadaan mengelirukan ini berterusan, Mat Said tidak perlu disalahkan kalaupun beliau tetap kekal sebagai MB kerana Mat Said tidak pernah tahu yang beliau sudah hilang majoriti sokongan ADUN. Mungkin kalau Mat Said tahu, beliau tidak semudah itu menjual maruah dan prinsipnya. Ini soal MB bukan soal Pengerusi JKKK.

(Catatan : DUN Terengganu ada 32 kerusi. BN 24 kerusi dan PAS 8 kerusi. Kalau benar 18 ADUN BN tidak bersetuju dengan Mat Said bermakna Mat Said hanya mendapat sokongan daripada 6 ADUN BN dan kalaupun ADUN PAS menyokong Mat Said, Mat Said masih gagal untuk mendapat majoriti. Dalam hal ini, ADUN PAS mungkin ‘boleh’ menyokong Mat Said kerana mereka masih mahu meneruskan urusniaga kambing boey).

(iii)
Kerana itu kembalilah kepada maruah dan prinsip. Entahlah, kalau sebagai seorang Islam, perkara prinsip dan maruah hanya diletakkan sebagai perkara yang harus atau makruh sahaja, bukan sesuatu yang wajib dan dosa besar, itu adalah pandangan dan tanggapan serta tafsiran masing-masing yang boleh dipelbagaikan. Begitulah juga akan jadinya apabila prinsip dan maruah diletakkan di kepala lutut.

(iv)
Situasi di kedua-dua negeri ini serupa tetapi tidak sama. Serupa dari segi isu dan hilang majoritinya tetapi tidak sama dari segi partinya. Tetapi kedua-dua negeri masih berpegang kepada satu perkara yang sama – Undang-undang Tubuh atau perlembagaan. Sekali lagi mungkin tidak sama beberapa perkara antara dua Undang-undang Tubuh Perak dan Terengganu.

Yang pasti, kedua-duanya tetap serupa dalam hal ‘mempertahankan’ prinsip dan maruah masing-masing kerana prinsip dan maruah itu bukan cermin muka yang merugikan kedudukan mereka.

Selasa, Mei 19, 2009

YANG PANAS : KONSPIRASI TERANCANG

DUA hari lalu saya ada menulis tentang kenyataan TPM TS Muhyiddin Yassin berhubung dengan kedududukan MB Terengganu. Seperti yang telah saya catatkan, saya memetik sumber berita berkenaan daripada blog Terengganu Lening (kerana disiar lebih awal daripada media lain). Pun demikian, selepas itu beberapa media arus perdana dan beberapa webmedia dan blog lain turut menyiarkan berita ‘gumbira’ kem Mat Said itu dengan kandungan yang maksudnya sama seperti dilaporkan oleh blog Terengganu Lening.

Rupa-rupanya ‘berita’ berkenaan merupakan konspirasi terancang dan pembohongan jahat ‘dalang’ yang berselindung di sebalik kepentingan peribadi dan usaha menyembunyikan rasa ‘nak terkencing terberak’ mereka. Kali ini dibuat dengan menggunakan media @ orang-orang media.

Ini merupakan siri konspirasi terancang dan pembohongan jahat kali kedua dalam siri mempertahankan Mat Said supaya kekal sebagai MB Terengganu selepas isu sms ugutan.

Bagaimana berita berkenaan menjadi seperti yang tersiar, tidak perlu dihairankan lagi. Kerana itu, dikhabarkan TPM cukup kecewa dengan manipulasi berita berkenaan lalu pejabat TPM telah mengarahkan semua media (termasuk Bernama) menyediakan salinan percakapan TPM (transkrip sidang media) seterusnya mengemukakan kepada pejabat TPM dengan segera.

Bandingkan berita yang telah disiarkan ini dengan transkrip percakapan sebenar TPM berikutnya :

BERITA :

Datuk Ahmad Said akan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu kerana Umno tidak memutuskan sebarang perubahan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perubahan jawatan Menteri Besar tidak pernah berbangkit.

TRANSKRIP SIDANG MEDIA TPM :

TPM : alright siap. Ada apa nak tanya?

Wartawan (W) : Tan Sri, bila pelaksanaan kouta guru cemerlang, tambahan kouta guru cemerlang yang diumumkan?

TPM : Serta merta. Untuk semua yang kita announce tadi, untuk semua yang saya umumkan tu, kecuali ada satu dua yang saya sebutkan kebelakangkan, yang lain tu serta merta.

(diam tanpa apa-apa soalan lain buat seketika).

TPM : Ok, soalan lain? Tak ada apa-apa oklah. Cukup banyak tu berita hari ini.

W : Tan Sri ……..(kurang jelas) ….. pengumuman yang lain tu sudah di peringkat mana?

TPM : Yang itu bukan siswazah. Ia masih di peringkat perundingan dan peringkat penilaian yang dibuat oleh pihak JPA dengan pihak kementerian. Kita harap satu yang positif akan tercapai dan bila dapat diputuskan nanti, kita akan beritahu tarikh yang sebenarnya. Saya sebutkan tadi, tak payah tunggu hari guru tahun depan. Kalau boleh selesai awal, kita buat awal.

Suara (kurang jelas) : ok. thanks you lah.

W : ….. (kurang jelas)… seperti yang dikatakan akan ada pertukaran jawatan MB

TPM : (terus menyampuk).. siapa kata?

W : kot ada UMNO atau ada UMNO atau ada apa-apa initial ke tentang perkara atau pun…

TPM : (segera menjawab) setakat ini saya tak dengar apa-apa.

W : (tidak jelas)......

TPM : Kita tak dengar apa-apa. Kita harap situasi politik akan bertambah baik. Yang penting kita nak melihat kekuatan UMNO dan BN di Terengganu. Itu yang akan kita utamakanlah dan saya percaya semua kepimpinan UMNO termasuk di kalangan ahli-ahli Yang Berhormat, pimpinan-pimpinan Bahagian akan cuba mengorak langkah baru untuk menunjukkan satu kesefahaman yang lebih baik kerana kita sayangkan Terengganu ini dan rakyat telahpun memberikan kepercayaan kepada kita dan kita harus tumpukan sepenuh masa kepada soal membangunkan Terengganu. Kerana Terengganu negeri yang punyai banyak sumber, sumber asli, minyak pun ada dan rakyat, saya kira di Terengganu masih mahu melihat pembangunan yang lebih banyak. Yang itu saya fikir patut diutamakan. Kalau pun ada perselisihan, salah faham di kalangan kita, itu harus ada cara kita selesaikan sama sendiri. Sebaiknya itulah yang kita patut utamakan.

W : (kurang jelas) ……

TPM : Yang itu umumlah saya sebutkan tadi, sama ada ADUN, bukan ADUN, pimpinan parti, berjawatan atau pun tidak berjawatan harus berganding bahu, pentingkan parti dan juga kita pentingkan rakyat dan juga kita nak pertahankan kedudukan kita di Terengganu kerana rakyat telah beri keyakinan kepada kita, maka ini jangan kita, orang kata abaikan.

Ok, thank you. Ada lagi… tadi tak ada soalan (ketawa kecil).

W : (kurang jelas) …. selsema H1N1 sekarang, bagi pihak Kementerian Pelajaran, bagaimana?

TPM : Ooo…. Kita tak ada apa-apa, kita akan ikut apa-apa panduan, nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan dan agensi yang bertanggungjawab untuk mengawal wabak ini. Kita tahu semalam sudah ada satu kes tapi saya telah memberi kenyataan bahawa kita yakin Kementerian Kesihatan, menteri pun telah beritahu kepada saya segala-galanya dalam keadaan yang terkawal dan kita hendaklah tidak harus panik dalam situasi sebegini. Pelajar-pelajar dan guru-guru sudah pun diberi tahu, apakah langkah-langkah yang wajar dibuat dan setakat hari ini tak perlulah langkah-langkah tertentu kerana keadaan masih dapat kita kawal. Yang penting, apa nama ni pemantauan ataupun surveylert, kena kita tingkatkan, bermakna di kawasan-kawasan pintu masuk. Macam kes yang kita dapati yang pertama nin ialah bukan daripada Malaysia, datang daripada luar. Bermakna dengan sistem surveylert, kita telah dapat mengenal pasti. Jadi langkah sebegini adalah bermakna tindakan kita itu berkesan. Jadi saya semalam pun telah diberitahu oleh Pemangku Menteri Kesihatan Datuk Kong…. dia beritahu bahawa semuanya dalam keadaan terkawal. Kes yang pertama ini telah diambil tindakan kuarantin dan dalam keadaan yang boleh dikatakan terkawal. Jadi di peringkat sekolah atau kementerian, kita mengikut panduan yang samalah. Dia tak ada berbeza daripada panduan untuk rakyat keseluruhannya.

W : Tan Sri, semalam ….. (tak jelas) ada sebutkan Jawatankuasa Penerangan tak berfungsi…… (kurang jelas)…. Apakah akan memberikan kesan kepada UMNO.

TPM : Ya, mungkin Ahmad Maslan nak menunjukkan, tapi memang sekarang ini kita nak beri perhatian kepada jentera penerangan parti. Itu antara satu daripada fokus kita supaya kita dapat menyebarkan maklumat yang tepat, mematahkan segala dakyah pihak parti lawan yang kadang-kadang berbohong ataupun memutarbelitkan fakta yang sebenarnya. Sebab itu jentera penerangan parti itu penting, mesti digerakkan dengan lebih cekap. Jadi saya telah mengarahkan kepada Ketua Penerangan UMNO Malaysia supaya mengatur program-program latihan dan ini perlu dibuat di seluruh negara dan beliau telah menemui dan mungkin akan memulakan program memberikan segala maklumat-maklumat yang penting dan di samping itu melahirkan lebih ramai para penceramah yang berwibawa yang boleh membantu untuk memberikan penjelasan supaya tidak ada pihak yang keliru. Ok, terima kasih.
~~~~~~~~~~~~~~

Lanjutan daripada berita yang mengelirukan ini, sekurang-kurangnya ada dua media arus perdana yang telah membuat pengakuan jujur bahawa berita berkaitan (yang melibatkan MB) yang disediakan oleh wartawan mereka dan dihantar untuk disiarkan adalah berasaskan kepada kenyataan akhbar TPM tetapi telah dirombak dan ditokoktambah (diarah?) oleh ‘tangan-tangan gatal’ di Ibu Pejabat media berkenaan.

Yang sebenarnya inilah corak konspirasi terancang dan pembohongan jahat terhebat abad ini. Tahniah kepada yang berjaya mencipta keburukan situasi kerana dengan bertambah buruk dan kalutnya situasi ini lebih menjelaskan keburukan dan kekalutan isi perut penciptanya.

Ahad, Mei 17, 2009

YANG BETUL : TPM MUHYIDDIN YASSIN

Petang tadi ketika saya sedang berekreasi, beberapa panggilan telefon dan sms diterima berhubung dengan kenyataan TS Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri tentang kedudukan Menteri Besar Terengganu. Kenyataan TPM dilaporkan sebagaimana berikut (sumber : blog Terengganu Lening) :

Ahmad Said terus akan jadi MB Terengganu

Datuk Ahmad Said akan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu kerana Umno tidak memutuskan sebarang perubahan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perubahan jawatan Menteri Besar tidak pernah berbangkit.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran berkata demikian selepas merasmikan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-38 di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, di sini, hari ini.

Kata saya Alhamdulillah. Itu satu perkembangan yang sihat dan baik. Sekurang-kurangnya akan mengendurkan sedikit ketegangan dan kebimbangan kem Mat Said (yang sebelumnya saya pernah sebutkan ‘sehingga nak terkencing nak terberak’) dan sekali gus akan menambahkan lagi kekecewaan geng 10 budak hitam. Kalaupun kenyataan TPM merangkap Timbalan Presiden UMNO ini boleh menjadikan keadaan semakin kalut dan panas, itu juga berkemungkinan.

Ada tiga kontradiksi persepsi yang boleh dirumuskan hasil kenyataan TPM berkenaan :

Pertama : Saya pernah menulis tentang kecek mengecek, tekup batu dan hangat-hangat tahi ayam dalam mengharungi gelombang politik di Terengganu (di sini). Bukan maksud saya untuk mengapi-apikan semangat mana-mana pihak untuk bertindak di luar batas kesopanan dan tidak juga untuk melihat keserabutan dalam politik di Terengganu menjadi semakin kusut. Tetapi realitinya, itulah nilai 'orang politik UMNO' Terengganu di mata pemimpin dan pemerhati politik luar termasuk daripada pembangkang.

Kedua : Kalau blogger Terengganu Lening tidak tersalah mencatatkan kenyataan TPM berkenaan, bermakna betullah TPM. Memang yang nyatanya, UMNO belumpun memutuskan atau pernah membangkitkan tentang perubahan jawatan Menteri Besar. Yang diputuskan dan dibangkitkan baru-baru ini hanyalah jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT).

Selain itu, DS Hishamuddin selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu baru sahaja mencadangkan tarikh untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua UMNO Bahagian dalam negeri Terengganu selain turut akan mengadakan perjumpaan dengan semua ADUN BN Terengganu pada hari Rabu ini.

Seperti kenyataan beliau sebelum ini, DS Hishamuddin akan melaporkan hasil pertemuan dan sebarang keputusan berkenaan kepada pimpinan parti termasuklah kepada TPM dan PM. Selain itu, kalaupun ada apa-apa keputusan yang melibatkan kedudukan jawatan berkenaan (MB), pasti MT UMNO akan membincangkan seterusnya memutuskan dalam mesyuarat mereka. Dan kerana kerajaan negeri Terengganu sekarang adalah kerajaan Barisan Nasional (BN), maka pandangan dan keputusan secara bersama dengan parti-parti komponen BN juga perlu diambilkira.

Jadi betullah kenyataan TPM bahawa ‘UMNO tidak memutuskan sebarang perubahan kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri setakat ini’. Dan dalam konteks makna ‘setakat ini’ seperti disebut TPM berkenaan, mungkinkah boleh ditafsirkan sebagai :

(a) setakat hari ini, atau;
(b) setakat belum ada mesyuarat MT, atau;
(c) setakat belum ada mesyuarat BPUNT, atau;
(d) setakat sebelum apa-apa cadangan daripada Pengerusi BPUNT.

Berapa lamakah tempoh ‘setakat ini’ seperti disebut TPM, wartawan yang mengemukakan soalan berkaitan perkara ini siang tadi perlu bertanya semula kepada TPM atau tanyalah DS Hishamuddin atau tanya sahaja Presiden UMNO.

Ketiga : Kenyataan TS Muhyiddin juga betul kerana walaupun UMNO nantinya telah memutuskan sama ada MB akan kekal atau bertukar, keputusan berkenaan masih berupa cadangan yang bukan muktamad kerana UMNO/BN perlu mendapat perkenan Tuanku Sultan untuk memuktamadkan perlantikan MB.

Sekarang adalah tempoh bertenang. Harapnya kem Mat Said tidak terlalu gembira dengan berita ini sehingga boleh mengeruhkan ‘ketenangan’ dan kem 10 budak hitam juga tidak terlalu kecewa sehingga boleh mengusutkan ketenangan.

Khamis, Mei 14, 2009

YANG BERKONSPIRASI?

Saya menunda untuk ‘posting’ perihal Datuk Dr Ahmad Ramzi, sms ugutan dan apa yang disebut sebagai konspirasi ini beberapa kali lantaran kes berkenaan sedang disiasat polis, tambahan pula ketika itu Dr Ramzi belum lagi ‘ditangkap’.

Pun demikian, posting ini juga bukan bertujuan untuk mengganggu atau jauh sekali untuk mempengaruhi siasatan polis, cuma secara kebetulan perbicaraan kali ini ada kaitan dengan sms ugutan berkenaan dan kaitannya dengan apa yang disebut banyak pihak sebagai konspirasi bagi menjatuhkan Menteri Besar Terengganu.

Persepsi banyak orang (terutamanya puak-puak yang berkepentingan) dan menjadi jajaan mereka sekarang ialah kaitannya sms ugutan berkenaan yang dijadikan alasan untuk '10 budak hitam' tidak menghadiri sidang DUN seterusnya dianggap sebagai konspirasi mereka yang sengaja dibuat (dengan sms berkenaan) bagi menjatuhkan kepimpinan Mat Said sebagai MB Terengganu.

Persepsi itulah yang dijaja semata-mata untuk mengaburi mata rakyat dan menonjolkan ‘kejahatan’ geng 10 budak hitam ini yang sekali gus dilabelkan sebagai kem Deris Jusoh. Segala-galanya dikaitkan dengan sms, Dr Ramzi dan konspirasi Deris Jusoh and the geng.

Pada saya, banyak orang hanya mahu mengaitkan Dr Ramzi dengan Deris Jusoh and the geng. Ini adalah perancangan daripada Deris Jusoh dan Deris Jusohlah dalangnya. Sebab itu isu sms ugutan itu menjadi begitu besar dan dominan berbanding isu krisis keyakinan dan hilangnya kepercayaan terhadap MB (kalau ditafsir berdasarkan kegembar-gemburan pihak sebelah kem Mat Said). Yang dihasratkan oleh kem mereka (mungkin), supaya rakyat melihat ‘kesalahan besar’ Deris Jusoh and the geng sekali gus isu hilang keyakinan terhadap MB menjadi semakin mengecil dan bertaraf tempelan sahaja.

Marilah kita berfikir secara rasional dan terbuka. Tidak taksub dan berfikir dengan akal fikir bukan akal nafsu.

Pokok kekalutan di Terengganu ialah ‘krisis keyakinan’ ADUN BN terhadap MB. Bagaimana ditafsir dan bagaimana diterjemahkan hilangnya keyakinan ADUN BN terhadap MB ini, itu bukan perkara utama yang perlu dijelaskan. Yang penting, isu itu adalah isu utama dan memang realiti. Itulah hakikatnya.

Sms ugutan dan hilang keyakinan terhadap MB bukan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan serta menjadi lengkap melengkapi. Bukan. Berdasar senario semasa, sms ugutan dilihat hanya ‘satu alat’ tambahan untuk mengukuhkan lagi manifestasi hilangnya keyakinan ADUN BN terhadap MB. Dua isu ini (sms dan krisis keyakinan) hakikatnya berdiri secara sendiri kerana KALAUPUN tidak ‘diwujudkan’ sms ugutan itu, krisis keyakinan terhadap MB memang telah dan sedang berlaku.

Saya tidak berhasrat menyebelahi sesiapa termasuk Dr Ramzi atau Deris Jusoh and the geng. Apa-apa pun, kes sms ugutan telah menjadi kes polis dan Dr Ramzi juga dikaitkan dengan kes ini. Biarlah kes itu ditentukan salah benarnya oleh pihak berkuasa. Biar siasatan selesai dan keputusan memutuskan serta memuktamadkannya.

Kalau nanti kes sms ugutan ini selesai dan Dr Ramzi benar-benar didapati bersalah dan bertanggungjawab, beliau amat wajar dihukum. Padan mukanya kerana membuat kerja-kerja bodoh dan bahalul itu. SUSK MB yang dikaitkan dengan penggunaan nombor telefonnya juga boleh menyaman Dr Ramzi. Nama SUSK akan bersih dalam kes ini (dalam kes dan hal-hal lain entahlah....).

Jadi kenapa kita perbesarkan sangat isu Dr Ramzi ini? Apa motif sebenarnya sehingga kita beria-ia sangat menyebut Dr Ramzi, Dr Ramzi… Dr Ramzi? Sehinggakan Dr Ramzi menyerah diri dan ditangkap, persoalan tidur di hotel dan di rumah pun dijadikan bahan berita hangat? Kalau pun beliau ingin menginap di hotel berbelas bintang pun, bukan beliau meminta kita yang bayar. Jadi apa kejadahnya kita bersusah mempertikaikan di mana beliau tidur? Soal bersalah atau sebaliknya, soal menyerah diri atau menyembunyikan diri, sebenarnya perkara yang boleh berdiri sendiri seperti juga hal krisis keyakinan dan hilangnya kepercayaan terhadap MB.

Seperti yang saya sebutkan, dalam persoalan kemelut politik di Terengganu sekarang, sms ugutan itu telah menjadi satu alat tambahan pelengkap kepada manifestasi atau lambang menjelaskan meluatnya kebencian ADUN BN terhadap kepimpinan Mat Said. Yang nyata, krisis keyakinan dan kemelut hilang kepercayaan terhadap MB merangkap Pengerusi BPUNT (sebelum ini) sudah membuak SEBELUM wujudnya sms ugutan itu lagi.

Jadi kenapa sms itu dikaitkan seolah-olah punca dan sebab utama tindakan membenci MB oleh ADUN BN?

Kalaupun (ulang : kalaupun) nak dikatakan sms itu sebagai satu konspirasi terancang oleh Deris Jusoh and the geng untuk memalukan dan menurunkan Mat Said - apa salahnya? Sebelum isu sms ugutan itu pun, sudah terlalu banyak tuduhan dan tohmohan sebegitu yang dilemparkan kepada kumpulan ini. Mat Said and the geng amat maklum dan berperanan dalam perihal ini. Cuma bezanya tidak dikaitkan dengan sms tetapi dikaitkan dengan macam-macam perlakuan dan tindakan lainnya.

Malahan kalau jajaan itu dijomhebohkan, semakin jelas Deris Jusoh jauh lebih hebat daripada Mat Said. Apa tidaknya. Dalam situasi Deris Jusoh sejak setahun lalu terpaksa menanggung malu besar dan tekanan maha hebat daripada pelbagai pihak, hilang jawatan, tiada apa-apa kuasa dalam kerajaan mahupun parti, hanya mengendong status ‘wakil rakyat bodo’, Deris Jusoh masih boleh menguasai dan mempengaruhi ADUN-ADUN BN agar menyokong beliau.

Itukan hebat namanya. Jangan pemilihan menjadi calon oleh Deris Jusoh dijadikan ukuran dan alasan dangkal, kerana sejarah telah banyak membuktikan, orang-orang si-A akan menjadi orang kuat si-B apabila si-B berkuasa dan menguasai kuasa. Tetapi Mat Said gagal membuktikan hakikat sejarah kerana Mat Said tersilap langkah mencaturkan orang-orang tertentu (yang ‘makan tuan’) di tempat yang tidak sewajarnya, sehingga kemudiannya Mat Said menjadi ‘kambing hitam’ (oppp!! Kambing boey ???) dan dicucuk hidung oleh orangnya sendiri.

Mat Said secara dasarnya ‘tidak bersalah’. Tetapi itulah kesilapan besar beliau. Beliau memberi kuasa besar kepada ‘pemimpin bayangan' sehingga pemimpin bayangan ini merosakkan Mat Said dan merenggangkan keakraban yang sepatutnya berlaku dalam kalangan ADUN-ADUN BN dan ahli UMNO di Terengganu.

Minta Mat Said memaklumkan kepada juak-juak beliau yang sekarang sedang giat menjaja simpati dan menjaja cerita sms ugutan ini agar bermuhasabah dan mengimbas kembali apa janji dan tindakan Mat Said, seterusnya apa yang Mat Said telah buat sehingga timbulnya krisis keyakinan.

Kalau kita imbau kembali hari pertama Mat Said mengangkat sumpah sebagai MB Terengganu, beliau dengan penuh keyakinan memaklumkan kepada para wartawan bahawa beliau berjanji dan yakin akan dapat menyelesaikan masalah ‘penolakan beliau sebagai MB oleh 22 ADUN BN’ kerana kata Mat Said, mereka itu adalah kawan-kawan beliau dan orang UMNO yang boleh diperbetulkan.

Namun setelah setahun Mat Said mendapat kuasa dan kedudukan, kegagalan beliau menyelesaikan masalah, merapatkan keakraban sesama sendiri semakin melarut sehingga sukar ditapissaringkan lagi malahan bertambah bercampuraduk dan ‘berbolok wok’. Ini semua kerana kesilapan besar Mat Said yang terlalu mengiyakan kata dan tindakan para juaknya yang terlalu tamak dan gilakan kuasa dan kedudukan.

Kesihan kepada Mat Said. Beliau menjadi mangsa kepada orang kepercayaan yang diiktirafnya sendiri. Namun beliau masih boleh diselamatkan sebagai MB yang akan mendapat sokongan padu semua orang, sekiranya Mat Said kembali semula ke alam nyata setelah setahun hanyut di alam fantasi yang dikuasai para juaknya. Mat Said sendiri mungkin tidak sedar bahawa selama tempoh berkenaan beliau sebenarnya berada di alam fantasi yang digerak menggunakan ‘remote control’ yang dipegang oleh individu-individu tertentu.

Siapa sebenarnya yang mencipta konspirasi terhadap Mat Said?

Rabu, Mei 13, 2009

YANG MEROSAKKAN UMNO (6)

(Berita 1 : Dipetik daripada siasahdaily.blogspot.com)

KUALA TERENGGANU, 22 April: Selepas kem Idris Jusoh mendakwa dapat sokongan majoriti anggota Dun Terengganu, kem Menteri Besar Datuk Ahmad Said pula mendakwa mendapat sokongan tujuh dari lapan bahagian Umno dalam negeri Terengganu.

Setiausaha Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan dalam wawancara dengan Siasah berkata, pihaknya mendapat sokongan majoriti pemimpin Umno di Terengganu.

Bagi Rosli, adalah silap Kelab Penyokong Kerajaan yang diketuai Datuk Rosol Wahid membuat 'road show' mengenai isu ini kerana ia seolah-olah mendedahkan pertikaian dalam parti secara terbuka.

Beliau juga berkata, Ahmad Said dilantik oleh Tuanku Sultan Terengganu atas cadangan Perdana Menteri dan adalah tidak wajar pemimpin Umno lain membuat kacau sehingga boleh ditafsirkan menderhaka kepada raja.

Wawancara penuh dalam Siasah Jumaat ini (24 April 2009).

(Berita 2 : Juga petikan daripada siasahdaily.blogspot.com)

KUALA LUMPUR, 8 Mei: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri mengingatkan ahli parti itu supaya jangan terikut-ikut dengan rentak yang dipalu media musuh yang sengaja menimbulkan polemik bagi memecahkan perpaduan PAS menjelang muktamarnya bulan depan.

Katanya, media berkenaan ada agenda tersendiri untuk memecahkan PAS dengan mengkelompokkan pemimpinnya dalam kem-kem atau puak tertentu.

“Saya melihat gejala ini sengaja ditimbulkan media massa untuk menjatuhkan imej dan keaslian PAS sebagai jemaah yang terkenal dengan perpaduan di kalangan ahlinya,” ujarnya.

Yang sama-sama boleh difikirkan :

Bayangkanlah di manakah letaknya maruah dan harga diri seorang pemimpin UMNO negeri (ketika itu) sehingga sanggup menggadaikan nilai diri dan parti melalui media yang jelas dikuasai pembangkang. Wawancara yang turut memburukkan beberapa pemimpin UMNO negeri Terengganu (yang tidak memihak kepada beliau) jelas menggambarkan betapa terdesaknya Dr Jepun in bracket dalam menghadapi krisis keyakinan dalaman UMNO Negeri.

Buatlah perbezaan antara kenyataan beliau berkenaan dengan kenyataan bekas (ulang : bekas) Timbalan Presiden PAS yang secara jelas terus tidak memberi kepercayaan kepada media pro-BN/Umno.

Yang jelas, demi kepentingan peribadi dan bimbang kehilangan kuasa dan kedudukan, akal dan tahap pemikiran telah diletakkan di tempat yang tidak sewajarnya.

Ahad, Mei 10, 2009

YANG DISEBUT PEMIMPIN BAYANGAN

Pemimpin bayangan hakikatnya ialah pemimpin yang tidak rasmi tetapi mampu mengendalikan pemimpin yang rasmi. Orang tua-tua mengatakan, “apa tanda pemimpin bayangan, dilihat tak nampak tapi berperanan”, atau dikatakan, “tanda-tanda pemimpin bayangan, memegang kendati mengatur kekuasaan walau dirinya tidak kelihatan” ; atau dikatakan, ‘yang disebut pemimpin bayangan, tak dapat diraba dapat dirasakan”. Dalam ungkapan kepemimpinan dikatakan :

Menjadi pemimpin bagai bayang-bayang
Tidak jelas dilihat orang.

Walaupun ada tak dapat dipegang
Bekerja selalu main belakang
Bila dicari ia menghilang
Akalnya licin fikiran panjang
Salah-salah menjatuhkan orang.

Dijadikan pemimpin banyaklah malang
Dijadikan tua ia di belakang
Dijadikan induk tak nampak dipandang
Dijadikan tiang tak dapat dipancang
Dijadikan tudung tak dapat dibentang
Salah-salah masuk pelubang
Negeri rosak umat terbuntang.

Dalam budaya Melayu pemimpin bayangan ini dianggap ada baik dan ada buruknya. Ia menjadi baik, bila mampu mengendalikan pemimpin rasmi ke arah kebaikan. Sebaliknya, tidak mustahil pemimpin “bayangan” ini memanfaatkan pemimpin rasmi untuk kepentingan peribadi atau kepentingan tertentu yang merosakkan kepentingan umum. Orang tua-tua mengingatkan, “sifat menjadi pemimpin bayangan, pantang sekali berdepan-depan, akibat tak mahu ia tanggungkan, bila buruk berlepas tangan, bila baik ia ke depan”.

(dipetik daripada : Tenas Effendy, “Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu”, DBP Kuala Lumpur, 2002).

Khamis, Mei 07, 2009

YANG MENEGUR & YANG MENGAMPU

(i)

Seorang pemimpin bukanlah orang yang kebal terhadap kritik. Justeru, pemimpin yang sejati biasanya selalu mendambakan adanya kritikan, pandangan dan saranan daripada orang-orang yang dipimpinnya, baik yang terkait dengan dirinya secara langsung mahupun orang bawahannya.

Sebagai seorang khalifah, Umar bin Khattab juga amat menghargai keberanian rakyatnya dalam mengungkapkan segala kejanggalan, walau bagaimana sekalipun cara mengungkapkannya. Kerana bagi seorang pemimpin, yang penting adalah masalah yang dikemukakan dan bukan cara mengungkapkannya.

Suatu ketika, Umar sedang duduk-duduk bersama sahabat-sahabatnya. Tiba-tiba datang seorang lelaki yang di tangannya terdapat segengam rambut bekas cukuran. Dengan wajah yang kesal, orang itu melemparkan rambut yang dipegangnya ke dada Khalifah Umar.

Para sahabat tentu sahaja menjadi kesal, begitu pula Umar yang menjadi sasaran pelemparan. Namun, Umar berjaya mengawal emosinya dan beliau pun mencegah agar para sahabat jangan sampai melampiaskan kemarahan mereka.

Dengan tenang Umar memungut rambut itu dan orang itu dipersilakan untuk duduk sambil menunggu sehingga amarahnya reda. Umar kemudian bertanya, “Apa sebenarnya yang terjadi pada dirimu?”

“Demi Allah, bila engkau berbohong, api neraka taruhannya wahai Umar,” tegas orang itu dengan nada marah.

Umar menjawab, “Benar, demi Allah seandainya aku berbohong, api neraka sebagai taruhannya. Akan tetapi, apa masalahnya?”

Orang itu kemudian menjelaskan bahawa Gabenor Abu Musa Al Asy’ary menjatuhkan hukuman kepadanya dengan dicambuk dan dicukur rambutnya dengan pisau cukur, padahal ia tidak bersalah.

Umar faham apa masalah orang berkenaan. Kemudian memohon agar mengambil perhatian kepada semua yang hadir, Umar berkata, “Seandainya seluruh rakyat memiliki keberanian seperti saudara kita ini, aku lebih senang daripada semua jizyah yang pernah dikurniakan Allah kepada kita.”

Setelah itu, Umar berkirim surat kepada Abu Musa agar ia memberi kesempatan kepada orang itu untuk menerima hukum qisas.

Satu kesah lain yang terjadi kepada Khalifah Umar tentang bagaimana ia menghargai keberanian menyatakan pendapat. Suatu ketika beliau melawat rakyatnya bersama Jarud al Abdi. Tiba-tiba seorang wanita berseru, “Tunggu sebentar wahai Umar. Ada yang hendak aku sampaikan.”

Umar berpaling kepada wanita itu dan dengan penuh perhatian ia mendengar wanita itu berkata.

“Wahai Umar, aku masih ingat ketika engkau masih dipanggil Umeir, engkau senantiasa bergaul dengan anak-anak muda di pasar Ukadh. Tidak berapa lama selepas itu, kamu telah bernama Umar, kemudian tidak berapa lama lagi, kamu kemudiannya dipanggil Amirul Mukminin. Oleh sebab itu, takutlah engkau kepada Allah mengenai rakyat dan ketahuilah bahawa barang siapa yang takut akan mati, tentu ia juga akan takut pada kealpaan diri.”

Mendengar hal itu, Jarud berkata kepada wanita itu, “Berani benar kamu berkata lancang kepada Amirul Mukminin!”

Namun dengan senyum yang mengembang dan seraya menarik tangan Jarud, Umar berkata, “Biarkan dia hai Jarud. Kamu belum kenal dirinya. Inilah Khaulah binti Hakim yang suaranya didengar Allah swt ketika ia menggugat Rasulullah tentang suaminya dan mengadukannya kepada Allah. Maka, demi Allah, Umar lebih pantas lagi mendengar tegurannya.”

(ii)

Pemimpin ampu ialah pemimpin yang suka ‘mengampu’ yakni mengambil muka, menjilat atau disebut ‘mengangkat lampah’ atau ‘ampu telur’. Pemimpin jenis ini amatlah dipantangkan dalam budaya Melayu, kerana hakikatnya ia hanya memikirkan diri dan kelompoknya saja tanpa memperdulikan nasib orang lain.

Pemimpin ini tidak memiliki rasa aib dan malu, dan mahu melakukan apa-apa saja untuk mencapai tujuannya, atau untuk menyelamatkan dirinya. Dalam ungkapan kepemimpinan dikatakan :

Ia pemimpin suka mengampu
mengambil muka ia tak malu
halal dan haram dibawa lalu
penderitan orang ia tak mau tahu
kesenangan dirinya yang ia buru

diberi nasihat ia berseteru
akalnya busuk hati berbulu
dijadikan pemimpin banyaklah seteru
rakyat sengsara hilir dan hulu
malang menimpa celaka memburu

dijadikan tua membuat malu
dijadikan induk orang tak mahu
memimpin negeri buruklah laku.

Budaya Melayu amatlah memantangkan sifat menjilat dan mengampu ini, kerana dianggap sifat yang amat rendah, yang mau menjual tuah dan maruahnya. Orang pengampu (apa lagi pemimpin) dianggap orang yang tidak punya harga diri, hina dan tak dapat dipercayai. Baginya, halal dan haram tidaklah menjadi ukuran asal maksudnya tercapai.

Orang tua-tua mengatakan “bila bersua orang pengampu, daripada berkawan elok berseteru”; atau dikatakan, “siapa suka menjilat, tanda hatinya dengki khianat” atau dikatakan, “orang penjilat, hatinya laknat, pantang sekali dibuat sahabat”.

(dipetik daripada : Tenas Effendy, “Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu”, DBP Kuala Lumpur, 2002).

Selasa, Mei 05, 2009

YANG MENJAJA SIMPATI (siri 1)

Siri menjaja simpati yang dinamakan Majlis Penerangan Isu-isu Semasa kepada pemimpin UMNO di setiap UMNO Bahagian dalam negeri Terengganu sedang giat dilaksanakan. Penerajunya Dr Jepun in bracket. Atas kapasiti apa, wallahuaklam.

Setelah mengadakan majlis kepada pimpinan tertinggi Bahagian empat peringkat pada 19 April lalu, semalam majlis penerangan isu yang sama telah dilaksanakan di Bahagian Dungun. Khabarnya seramai kurang lebih 300 orang hadir. Hadir sama termasuklah YAB Menteri Besar Terengganu.

Apa beberapa perkara menarik untuk diperhatikan berhubung perihal ini :

Pertama, kalau benar majlis berkenaan dibuat atas nama parti, maka majlis seumpama itu nampaknya telah dengan sengaja melanggar arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Presiden dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu yang baru, agar tidak mengadakan majlis seumpama itu dalam tempoh ‘peralihan’ ini. Apa lagi, majlis yang disusun ini lebih menjurus kepada usaha menjaja simpati dan mempertahankan kepentingan, sekali gus meletakkan kesalahan kepada beberapa pemimpin (khususnya kepada geng 10 budak hitam). Secara jelas bukan sahaja menjaja simpati, sekali gus menjaja kesalahan sesama sendiri.

Kedua, kurang mengerti, siapakah sasaran untuk menghadiri majlis berkenaan dan apakah kapasiti pemanggilnya? Nak dikatakan majlis kerajaan, ada orang yang sepatutnya dijemput tidak dijemput. Nak dikatakan majlis parti juga, ada orang yang sepatutnya dijemput turut tidak dijemput. Hendaknya janganlah jadi majlis tu sebagai majlis syok sendiri. Sepatutnya kalau hendak menjaja simpati, jemputan dan sebarannya mestilah merata.

Ketiga, seperti biasa, majlis dipenuhi dengan ucapan pemimpin yang hadir dan masing-masing mempertahankan diri dan kumpulan masing-masing. Secara tidak langsung turut menyalahkan (atau dengan bahasa yang lebih sopan ‘memburukkan’) pemimpin lain yang dikatakan menjadi punca masalah.

Tidak perlu dipertikaikan sama ada ucapan dan kata-kata dalam ucapan mereka menyalahkan atau memburukkan orang lain itu betul atau sebaliknya. Yang hendak disebutkan di sini ialah, terpulanglah kepada mereka untuk menyalahkan atau memburukkan sesiapa, kerana mereka berhak dan bebas bersuara. Kepertikaian orang lain terhadap benar atau salahnya kenyataan mereka tidak perlu dipedulikan. Justeru, kalau mereka bebas bercakap memburukkan atau menyalahkan orang lain tanpa dipedulikan, apa lagi tidak pernah dimarahi oleh sesiapa pun, maka sewajarnya mereka juga perlu berlaku adil terhadap tindakan orang lain.

Maksudnya, kalau kita tidak dimarahi kerana memburukkan orang lain, apa hak kita untuk memarahi orang lain apabila kita juga turut diburukkan? (misalnya).

Kalau kita beranggapan dan menuduh segala yang ‘diburukkan’ oleh pihak lain adalah semuanya tidak betul, apa hak dan istimewanya kita hendak menegakkan kononnya kita benar dan semua yang terpancul daripada mulut kita adalah betul (tiada yang tidak benar melainkan benar belaka?). Apa pula kekebalan dan kelebihan serta hebatnya kita apabila dengan secara pantulannya terus melenting apabila ada yang mengatakan kita tidak betul?

Lebih ringkas, semua yang daripada kita adalah betul dan semua daripada orang lain adalah salah. Apa hak, kekebalan dan apa keistimewaan yang dibenarkan kepada kita untuk kita menghalalkan seterusnya melabelkan sebegitu?

Keempat, kerana siri majlis penerangan ini secara tersiratnya adalah merupakan siri menjaja simpati, maka amat wajarlah simpati yang dijaja itu diletakkan harganya dengan kejujuran dan penjelasan berpandukan serta berpaksikan hakikat sebenar. Cukuplah dilelong simpati itu dengan sokongan perekaan keburukan orang lain untuk mengukuhkan kepentingan diri dan menyembunyikan kegusaran dan ketergugatan kedudukan. Jangan nanti akan ada yang berkata ‘mengata dulang paku serpih’. Mengata orang yang memburukkan kita, sedangkan kita yang terlebih sudah memburukkan orang. Saya kira Mat Said dan Dr Jepun in bracket sudah amat jelas dan amat memahami kedudukan sebab akibat berlakunya perkara ini. Berkata benarlah walaupun pahit bosss…

Kelima, untuk kesekian kalinya Dr Jepun in bracket mencanangkan bahawa apa yang ditulis dalam blog Jarang Anak Melayu (JAM) semuanya tidak betul dan bohong.

Sekali lagi, kita tidak perlu mempertikaikan kata-kata itu. Soalnya, Dr Jepun in bracket secara langsung dan tanpa disedari telah turut mempromosi blog JAM di kalangan orang Dungun. Apabila Dr Jepun in bracket menyebut bohong atau apa-apa saja istilahnya, bermakna beliau turut mengikuti dan melayari blog JAM. Terima kasih kerana itu.

Walau bagimanapun pada saya, selagi Dr Jepun in bracket tidak mengemukakan yang betul atau yang tidak berbohong sebagai penafian kepada yang dikatakan bohong dan tidak betul itu, selagi itulah Dr Jepun in bracket masih boleh dipertikaikan hak dan kewibawaannya.

Apa hak beliau untuk berkata begitu. Kenapa terlalu taksub dengan blog JAM sahaja sehingga nak terkencing terberak dan menjadikan seperti satu agenda khas untuk menghentam blog JAM? Kalau saya selaku pengendali blog JAM tidak melenting dengan kemarahan berganda Dr Jepun in bracket terhadap blog dan saya sendiri secara peribadi, sekali gus menganggap itu adalah kebebasan bersuara dalam negara yang merdeka ini, apakah Dr Jepun in bracket tidak boleh bersikap seperti saya? Barulah adil. Masing-masing bebas nak mengampu sesiapa dan bebas untuk menuduh atau menghentam sesiapa, tetapi ‘tak aci’ marah. Boleh boss?

Khabarnya pada hari Khamis nanti, siri ini akan dilangsungkan pula di Marang. Baguslah. Teruskan bosss. Tapi tolong jangan terus-terusan membohongi orang Melayu bosss… dan jangan lupa tolong juga teruskan promosi blog JAM lagi. Orang-orang Marang mungkin ramai lagi yang belum sedar wujudnya blog JAM nin. Kalau boleh dan tidak keberatan, tolong sebutkan sekali alamat untuk melayarinya bossss… baru ada ummppp…

Ahad, Mei 03, 2009

YANG TAKSUB, YANG MELIAR & YANG BERHEMAH

Tentu anda pernah mendengar ada orang berkata “sampai nak terkencing nak terberak” apabila seseorang berada dalam situasi cemas, gelabah, takut, bimbang, genting, dan seribu rasa gusar yang lainnya. Itulah yang boleh dikesan berlaku kepada sesetengah orang dewasa ini dalam menghadapi situasi kemelut politik di Terengganu. Dan ada antaranya yang sudah tidak mampu lagi untuk bertahan lalu timbullah tindakan sebegini (klik sini).

Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang perihal repot-repot sebegitu kerana biarlah pihak berkuasa yang menentukan betul salahnya. Cuma kita bolehlah berkongsi pandangan dan pendapat dalam hal ini dengan blogger Pada Hemat Saya.

(i)

Jangan keliru dan jangan salah sangka. Tulisan ini sama sekali tidak berhasrat untuk mempertahankan diri tetapi hanyalah sekadar untuk mengulangi sekali lagi, setelah berkali-kali saya menulis berkaitan dengan sikap pengomen blog yang sekira-kiranya dilihat seolah-olah masih tidak faham dan mengerti makna kewujudan blog.

Tetapi maaf, beberapa komen mereka tidak dapat dilepaskan kerana agak terlampau tidak sopannya dan amat aib untuk disiarkan atas dasar (mengikut pemerhatian dan tafsiran saya), pengomen berkenaan beragama Islam dan berbangsa Melayu. Malahan ada yang sampai ke tahap demikian teruknya ketaksuban mereka kepada seseorang sehingga menafikan kewarasan berfikir dalam meninggalkan komen. Saya juga sempat berfikir, kalaulah tahap ketaksuban mereka kepada Allah boleh sampai sebegitu tinggi, sebagai seorang Islam, masya-Allah, selamatlah mereka dunia akhirat.

Cuma suka saya nak sebutkan di sini, seboleh mungkin marilah kita elakkan daripada mengugut dan menakut-nakutkan blogger kerana kita sekarang bukan lagi berada pada zaman orang dulu-dulu yang menakutkan anak-anak dengan cerita-cerita hantu dan cerita ‘larangan duduk di atas bantai kerana takut menjadi bisul’.

Saya menulis begini bukan kerana takut dengan gertakan oleh pihak-pihak tertentu (jika ada). Jauh sekali untuk merasa gerun lantas segera mengambil keputusan untuk berhenti menulis. Repotlah dan samanlah berapa ribu kali pun, insya-Allah, saya akan menghadapinya. Apa yang perlu saya takutkan kalau segala yang sudah tertulis itu adalah kebenaran. Dan kalau ada pihak-pihak tertentu menganggap segala yang tertulis itu adalah tidak betul, fitnah, menghasut atau apa saja istilahnya, ambillah perjalanan dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya. Saya sentiasa bersedia dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat atau mengambil apa-apa tindakan perlu. Tambahan lagi, kebanyakan para blogger, termasuklah saya sendiri, sudah terlalu amat biasa dengan ugutan dan gertakan sebegitu seperti yang pernah saya tuliskan terdahulu (klik sini).

Siapa saya untuk menahan atau menghalang mereka membuat repot atau melakukan apa sahaja yang pada tanggapan mereka, itulah jalan terbaik. Silakan. Siasatlah, kerana itu adalah prosedur yang mahu tidak mahu terpaksa kita lalui dalam negara yang ada peraturan dan undang-undang ini.

Tetapi insya-Allah, dengan gertakan dan ugutan sebegitu akan lebih menggalakkan untuk saya lebih kerap menulis apa sahaja yang saya rasa perlu didedahkan untuk pengetahuan pembaca blog ini (walaupun pengunjungnya taklah seramai blog-blog popular lain). Selama ini pun, saya tidak pernah menghiraukan ada atau tiadanya gertakan. Yang pasti, saya tetap dengan prinsip dan pendirian saya. Saya sesekali tidak akan berundur daripada prinsip saya ‘berkata benarlah walaupun pahit dan kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai’ hanya kerana gertakan cerita-cerita hantu sebegitu. Negeri kita ada undang-undang dan peraturan. Jauh daripada itu, kita dibenarkan hidup di bumi Allah yang Esa. Ingat senantiasa bahawa daripada-Nya kita datang kepada-Nya juga kita kembali.

Dalam hal yang berkaitan dengan pandangan dan tulisan saya dalam blog JAM ini, suka saya nyatakan bahawa ini adalah cara tidak bersetuju saya dengan sesuatu perkara yang merugikan banyak orang. Saya terpaksa memilih cara ini kerana siapa saya sehingga MB atau pemimpin-pemimpin lain mahu mendengar cakap saya secara bersemuka? Tambahan lagi, semua itu bukannya perasaan dan cakapan saya seorang. Seperti saya, mereka juga tidak berpeluang untuk menzahirkan secara bersemuka atau bercakap terus dengan yang sepatutnya, kerana halangan dan batasan yang menghadkan. Mereka kemudian bercakap perkara ini di mana-mana dan mereka mungkin malas atau tidak mahu menulis kerana banyak halangan dan kekangan lain. Jadi saya menggunakan sedikit kebolehan menulis yang dianugerahi Illahi ini untuk menzahirkan rasa tidak setuju saya dan banyak orang lain yang kebetulan senada dengan saya.

Pun demikian tidak bermakna saya minta menyembah dengan sesiapa untuk bersetuju atau menerima, apa lagi untuk menuruti apa yang saya tuliskan. Terpulang kepada pembaca. Kalau dirasakan ada yang boleh digunakan, gunakan. Tetapi kalau tidak pun, biarkan saja begitu. Saya tidak rugi apa-apa. Saya menulis secara sukarela tanpa apa-apa kepentingan, tiada apa-apa bayaran atau imbuhan atau diupah oleh mana-mana pihak. Yang penting saya puas kerana boleh meluahkan rasa sendiri dan ada kalanya membantu dalam menyampaikan rasa orang lain melalui cara ini.

Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak pernah mendapat upah atau meminta sedekah daripada orang yang disokong apa lagi dengan orang yang saya tidak menyokongnya atau pihak yang mengutuk saya. Saya tiada apa-apa kepentingan dengan mana-mana pihak kerana saya tidak pernah meminta sedekah atau memohon apa-apa kedudukan daripada mereka. Saya tidak takut kehilangan jawatan atau apa-apa kerusi dengan mana-mana pihak.

Sama ada siapa sahaja yang menjadi MB atau pemimpin negeri, saya tidak pernah ambil ‘pot’. Sekali lagi, tidak ada untung dan tidak pernah rugi pun saya, walau siapa pun yang menjadi MB atau pemimpin parti. Sama ada Deris Jusoh atau Mat Said, waima semasa Hadi Awang dan Wan Mokhtar jadi MB pun, saya masih dan tetap begini. Rezeki ada di mana-mana. Telah ditetapkan oleh Tuhan. Tinggal lagi kita sahaja yang perlu usahakan untuk mendapatkannya. Alhamdulillah, sehingga hari ini, keluarga saya masih boleh menikmati rezeki dan rahmat Tuhan yang dianugerahkan kepada kami. Cukuplah sesuap nasi. Syukur alhamdulillah.

Tetapi yang nyata, walau pada zaman siapa sekalipun, kelemahan dan kepincangan (kalau berlaku) tetap saya dedahkan. Selongkarlah blog ini untuk mengesahkan kebenarannya. Deris Jusoh and the geng turut sama menjadi sasaran tulisan saya, kerana mereka melakukan kesilapan yang merugikan negeri dan parti. Cuma kebelakangan ini, oleh kerana beberapa pemimpin negeri dan parti lebih kerap dan lebih terserlah mengulangi kesalahan, kerana itu mereka lebih kerap menjadi sasaran penulisan saya.

Justeru saya rasa itu adalah pandangan yang lebih bersifat peribadi. Tiada orang yang berhak untuk mengutuk atau memarahi saya kalau kemarahan itu hanya sekadar kerana tulisan saya atau kerana sokongan peribadi yang kuat terhadap seseorang, kecualilah orang yang mengutuk atau memarahi itu ada kepentingan dan terselit agenda tersembunyi.

Kerana itu saya hairan dan pelik, kenapa mereka perlu melenting dan marah-marah? Semua orang termasuk saya berhak bersuara bercakap ke atas perkara yang tidak betul. Kita kena faham, ‘menyerang’ individu kerana kepentingan awam adalah berbeza sama sekali dengan menyerang individu secara peribadi.

Kalau kita masih kurang faham membezakan dua kenyataan berkenaan, mari kita lihat contoh berikut :

Contoh 1 : Menyerang individu kerana kepentingan awam

Si-B menyerang Si-A yang menjadi Ketua Negara kerana mengamalkan korupsi, menyalahgunakan kuasa dan melakukan banyak perkara yang jelas merugikan dan menjejaskan reputasi sebuah kerajaan. Si-A yang juga menjadi Ketua Parti membiarkan parti kelam kabut sehingga mengelirukan ahli-ahlinya. Menggunakan parti untuk kepentingan individu dan menjadikan parti seolah-olah sebagai hak peribadi sehingga menjejaskan keutuhan dan keharmonian dalam parti.

Contoh 2 : Menyerang individu secara peribadi

Si-B menyerang Si-A yang kebetulan adalah Ketua Negara dan Ketua Parti kerana si-A berkahwin tiga empat orang, rumah tangga porak-poranda, anak-anak tidak terjaga, tidak sembahyang, tidak berpuasa, gigi tidak digosok dan mandi tidak bersabun.

Justeru dalam hal ini, ada kalanya saya terpaksa ‘menyerang individu kerana kepentingan awam’ adalah kerana memang individu itu yang bertanggungjawab dan terlibat secara langsung dengan segala macam kelemahan dan kesilapan. Bagaimana kita tidak mahu menyentuh individu berkenaan kerana memang individu itu yang melakukannya.

Kelemahan individu sebagai MB contohnya, apakah kena disebut “ini adalah kelemahan kerusi meja pejabat MB, ini adalah kesalahan tayar kereta MB, ini adalah kesilapan yang disengajakan oleh lif Wisma Darul Iman”…begitu??? Atau kelemahan individu sebagai pemimpin parti, apakah kita kena sebut “itu salah meja mesyuarat pejabat parti, itu salah komputer pejabat parti, itu salah pintu pejabat parti, bangunan partilah yang melantik si anu si anu pegang jawatan itu ini”…begitu???

Sila semak tulisan-tulisan saya dalam blog ini. Saya tidak menghentam individu secara peribadi. Kalaupun ada ‘gelaran-gelaran’ tertentu, itu ada kaitannya dengan 'kesombongan individu dengan status yang ada', perlakuan ke arah tindakan dan cara mengurus parti dan negeri yang pada pandangan umum boleh merosakkan parti dan negeri serta melibatkan prinsip serta dasar kerajaan dan parti. Perlu difahami, dasar dan prinsip itu adalah berkepentingan awam bukan berkepentingan peribadi. Kerana itulah penulisan berkenaan masih terikat kepada mengkritik individu kerana kepentingan awam. Perlakuan dan tindakan individu berkenaan jelas merosakkan kepentingan awam dalam parti dan kerajaan.

Berdasarkan perihal di atas, berdasarkan prinsip dan kedudukan saya berikut :

1) Sebagai rakyat negeri Terengganu yang dilahirkan dalam negara merdeka dan berdemokrasi, diberi hak dan keistmewaan sama rata, dikenakan cukai dan dibataskan dengan peraturan dan undang-undang yang sama dengan semua rakyat negeri ini yang lainnya :

Maka saya dan rakyat lainnya berhak bersuara menegur Menteri Besar sebagai pemimpin yang diamanahkan untuk menjaga negeri dalam negeri yang saya naungi dan pemimpin kepada saya dan rakyat lainnya selagi beliau membuat kesalahan dan melakukan sesuatu yang tidak betul. Kalaupun MB itu di kalangan kerajaan Pakatan sekalipun, dia tetap MB negeri ini yang tidak kebal untuk dikritik atau ditegur. Soal sama ada teguran itu diterima atau sebaliknya, itu bukan keutamaan. Yang pasti saya dan semua orang ada hak masing-masing.

2) Sebagai ahli UMNO yang membayar yuran tahunan sebanyak RM1.00 setahun (sama sahaja seperti Presiden dan ahli UMNO yang lain) dan mempunyai hak dan batasan yang sama tertakluk kepada perlembagaan parti, saya dan mereka yang menjadi ahli UMNO berhak bersuara menegur pemimpin mereka (waima Presiden sekalipun) yang membuat salah dan dilihat telah, sedang dan boleh merosakkan parti itu sendiri. Sekali lagi, soal sama ada teguran itu diterima atau sebaliknya, itu bukan keutamaan. Yang pasti saya dan semua ahli UMNO ada hak masing-masing.

Kita sepatutnya marah kerana rakyat negeri Terengganu dan ahli UMNO yang secara membuta tuli sambil memekakkan telinga dan membutakan mata, menyokong dan mengampu pemimpin yang jelas tidak betul sikap dan bawaannya. (p/s : Fasal ini tidak terikat atau tertakluk kepada mereka yang bukan rakyat negeri Terengganu, kerana mereka bebas untuk bertindak, bebas untuk bersuara, bebas untuk memihak kepada sesiapa yang mereka suka. Mereka sudah selesa dengan mencari makan di negeri ini. Apa nak jadi pun, itu bukan hal mereka, ini bukan negeri mereka. Kalau hancur musnah negeri dan parti di negeri ini, mereka boleh balik ke kampung asal mereka. Berbahagialah menjadi orang-orang sebegini).

Walau bagaimanapun, kalaupun (diulang : kalaupun… ulang : kalaupun) saya secara peribadi atau tulisan-tulisan di dalam blog ini secara umumnya dilihat memihak dan menyokong kumpulan atau pemimpin-pemimpin tertentu, kenapa perlu dimarahinya saya? Kenapa perlu dimaki hamunnya saya? Kenapa perlu diserangnya saya? Bukankah itu menampakkan bahawa kita diupah, diperalatkan dan diperkudakan oleh individu berkepentingan? Atau kita sendiri yang berkepentingan? Kita bimbang kita rebah dan hilang kuasa? Kita takut kita jatuh dan terlepas peluang? Atau apakah kita gusar kita terlucut kedudukan dan terencat segala?

Seperti saya tidak pun memarahi mereka yang totok menyokong Mat Said sebaik beliau ditabal menjadi MB dulu. Seperti saya tidak marah kepada mereka yang tidak menyokong Deris Jusoh apabila dinyahkan sebagai MB, juga seperti saya tidak pernah marah kepada mereka yang tidak berdiri bersama kumpulan yang dinamakan kumpulan penderhaka dalam kemelut perlantikan MB dulu. Tidakkah boleh kita bersikap rasional sebegitu? Kalaupun hendak marah, marahlah kerana kita sayangkan negeri dan parti. Marahlah kalau negeri dan parti dijadikan bahan uji kaji.

Menjawablah secara rasional dengan menggunakan akal fikiran yang waras bukan menggunakan kepala lutut.

(ii)

Satu perkara lagi yang ingin saya sebutkan di sini ialah berhubung dengan senario kebelakangan ini yang amat memeriahkan dunia blogger. Sudah ada yang membuka akaun google semata-mata bertujuan menzahirkan perasaan ketotokan terhadap seseorang dengan melepaskan perasaan amarah yang teramatnya melalui komen dalam blog yang tidak menguntungkan mereka dan menempelak pemimpin pujaan sanjungan mereka.

Maka jelaslah bahawa mereka yang bertindak begini (membuka akaun google) menjadi semacam takut dan dayus untuk menggunakan nama sebenar dengan terus mengambil pendekatan berselindung di sebalik nama, jauh sekali untuk memaparkan foto atau maklumat peribadi yang boleh mengenalkan diri mereka. Orang-orang ini bolehlah digolongkan dalam kalangan orang-orang yang tidak bermoral, tidak bertanggungjawab, tidak beretika dan rendah maruahnya.

Orang-orang ini sebenarnya mengambil upah daripada seseorang untuk menjawab tulisan, memaki hamun, mengutuk dengan cara yang jauh menyimpang sifatnya sebagai seorang Islam dan Melayu. Atau juga mereka mempunyai kepentingan tersendiri. Mereka kemudiannya akan tersenyum sinis dan merasa puas yang disaluti kekejian setelah meninggalkan komen pada blog yang tidak dipersetujui mereka.

Ada juga pengomen yang menggunakan nama kononnya nak menunjukkan beliau ‘berkelulusan undang-undang’ tetapi perangai dan perlakuannya lebih buruk daripada seburuk-buruk yang buruk. ‘Lawyer buruk’ ini juga tidak mempunyai blog atau laman sendiri tetapi hanya membuka akaun google semata-mata untuk membalas komen, mengampu blogger /individu yang sealiran dan memihak kepadanya, mengutuk, mencaci, mencerca, menghina, memaki dan memburuk-burukkan orang lain, khususnya yang tidak sepemikiran dan sealiran dengan beliau. Malang sekali profession guaman yang murni dan beretika serta disanjung tinggi itu dengan adanya individu yang bersifat sebegini (kalau benar beliau seorang peguam). Jangan kerana seekor kerbau yang membawa lumpur, akan terpalit semuanya. Kerana nila setitik, rosaklah susu yang putih bersih itu sebelanga.

Kepada pengomen daripada Felda Cerul pula (hanya menggunakan nama UMNO) yang meninggalkan komen, suka saya nyatakan bahawa saya tidak pernah merangkak atau menyembah anda meminta untuk saya dihormati dan dikagumi. Tidak ada untung ruginya kalau saya dikagumi dan dihormati atau tidak. Tidak ada apa faedahnya saya dikagumi, apa lagi oleh orang-orang seperti anda. Saya tidak pernah meminta sedekah walau satu sen pun daripada anda walau setinggi mana anda mengagumi dan menghormati saya.

Malahan terus terang saya katakan, saya tidak rela dan tidak redha kalau saya dibanggakan atau dihormati oleh orang yang hipokrik, tidak bermaruah serta dayus seperti anda.

Daripada UMNO Felda Cerul juga, ugutan dan gertakan dengan ‘dengar banyak cerita’ tentang saya terlalu umum dan seperti rahsia besar yang hendak disembunyikan. Saya mencabar supaya ceritalah. Jangan jadi budak hingusan dan menganggap saya juga budak hingusan yang boleh digertak-gertak. Apa cerita yang banyak didengar itu? Ceritakan dan dedahkan satu persatu kalau anda tidak dayus. Saya menunggu pendedahan itu dalam mana-mana blog, laman web atau mana-mana media cetak sekalipun.

Memang agak keras dan sombong sedikit kenyataan saya ini, tapi itulah bahasa yang paling sopan dan paling sesuai untuk orang seperti mereka.

Sekali lagi, jangan cuba mengugut, mengertak dan menakut-nakutkan saya dengan cerita-cerita hantu. Carilah orang lain untuk menakut-nakutkan begitu tetapi bukan saya. Kepada mereka, ingatlah pesan orang tua-tua - sarang tebuan dijolok jangan.

Rasionallah dan berhujahlah secara berhemah. Terimalah hakikat bahawa setiap manusia tidak sama. Tidak semua orang boleh menuruti dan menyokong kita. Dengan akal fikir yang dianugerahi Tuhan kepada kita telah menjadikan penerimaan dan pemikiran kita berbeza. Ideologi, fahaman dan anutan ternyata tidak sama.

Sedarlah bahawa marahnya kita kepada media yang pro-Pakatan samalah juga seperti marahnya kumpulan penyokong dan penganut ideologi mereka kepada media pro-Kerajaan (UMNO/BN). Ini kerana mereka dengan anutan mereka dan kita juga dengan anutan kita. Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk menyokong dan senantiasa bersetuju dengan kita dan begitu jugalah mereka juga tidak berhak dan tidak boleh untuk memaksa dan mendera kita agar bersetuju dan menyokong mereka.

Tetapi mereka (penyokong dan penganut ideologi bertentangan itu) jauh lebih sopan dan bertertib daripada kita. Mereka berhujah dengan berhemah dan mengikut saluran yang betul dan bertanggungjawab. Jawablah dengan apa kaedah dan bahasa sekalipun (berdasarkan kemudahan yang ada), bukan dengan menceroboh laman orang dengan sesuka hati. Kalau kita merasa sakit hati dan tidak bersetuju dengan laman sebegini, jangan melayarinya. Baca sahaja laman atau media yang mengembirakan kita. Kita sama sekali tidak akan sakit hati dan kehidupan kita pun akan tenang dan tenteram.

Dan kita juga perlu amat sedar, walaupun fahaman dan ideologi adalah sama, penerimaan terhadap seseorang pasti tidak akan sama. Jelasnya ketidaksamaan itu adalah kerana sikap, pembawaan dan kepimpinan seseorang yang tidak selari dan secucuk dengan kita atau lebih besar daripada itu, ketidaksefahaman itu adalah disebabkan kepentingan individu terhadap individu yang lain mengatasi segala-galanya.

Akhirulkalam, marilah kita sama-sama menerima hakikat ini dan senantiasalah menghadapi segalanya ini dengan sopan, bersantun secara Melayu dan berhemah secara Islam.
Related Posts with Thumbnails