yang semasa

Isnin, April 13, 2009

YANG YAKIN @ YANG TERSEPIT?

"Itu (tukar Menteri Besar) saya tidak tahulah, Terengganu kena tanya dengan Tuanku sendirilah," ujarnya dengan menyelar pihak media yang sering kali menggembar-gemburkan isu yang tidak sahih dan 'khabar angin'.

Kenapa Mat Said begitu berani mengeluarkan kenyataan berkenaan? Apakah kerana geram, nak menunjukkan kuasa, nak melepaskan perasaan atau memang beliau yakin bahawa istana akan tetap dan terus berada di belakang beliau?

Atau mungkin Mat Said sudah mulai terasa tersepit dengan situasi mutakhir, sehinggakan beliau dengan tidak sengaja 'mengheret' istana ke dalam kancah politik negara?

Hakikatnya Mat Said perlu menyedari, kebergantungannya kepada pihak istana ada batas susilanya. Sekali pihak istana memilih dan perkenan agar beliau menjadi MB, tidak bermakna selama-lamanya beliau terus direstui. Peranan, amanah, tanggungjawab, rekod perkhidmatan, masalah kecil besar dan segala macam track record yang dibuktikan oleh Mat Said, sekurang-kurangnya menjadi perhatian dan penilaian istana. Pihak istana juga, saya percaya amat berharap agar rakyat tidak sengsara untuk mengecap kenikmatan hasil kepimpinan MB serta dapat memberi manfaat kepada negeri baginda.

Namun dipercayai bahawa kenyataan yang lebih bersifat melepaskan perasaan itu dibuat oleh Mat Said untuk menyembunyikan kegusaran dan kegelisahan yang telah mulai disedarinya.

Kerana dalam realiti kehidupan, sesiapa sahaja bernama manusia yang mempunyai naluri dan kesedaran yang insaf dengan pemberian Allah, tanpa mengira taraf dan kedudukan mereka di dunia ini, pasti tidak rela dengan kelemahan ketara dan kepincangan besar yang gagal ditangani dengan baik oleh seorang manusia yang lain. Menerima kepincangan dan kelemahan bermakna kita menafikan hak dan kehendak sebahagian manusia lain untuk bernafas dengan lega sementara kehidupan masih dibenarkan di dunia ini.

Justeru, Tuanku Sultan yang juga dianugerahi naluri mahukan rakyat baginda hidup aman dan sentosa serta mengecapi nikmat kehidupan, sudah pasti tidak mudah dikaburi mainan politik berselindung di sebalik istana sebegini, apa lagi cubaan mengheret istana ke lembah politik berkepentingan.

Mat Said sepatutnya mengambil teladan dan ikhtibar dengan apa yang berlaku mutakhir ini, apabila mainan politik diistanakan dan istana dijadikan perisai menyelamatkan diri tanpa mencermin kemampuan dan kebijaksanaan diri sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, menguntungkan jelata dan memakmurkan negeri.

Janganlah kita cuba memalsukan keyakinan diri dengan berselindung di sebalik kuasa dan daulah istana sedangkan hakikatnya kita sudah semakin sukar menyelamatkan diri daripada terjepit dalam timbunan kelemahan yang kita sendiri membinanya.
Related Posts with Thumbnails