yang semasa

Khamis, April 30, 2009

YANG SUKAR MENERIMA KENYATAAN?

Sekadar untuk renungan dan tidak sukar sebenarnya untuk meneladani sifat, sikap, fie perangai dan tingkah laku pemimpin mithali ini, seterusnya menerima kenyataan dengan apa yang telah tersurat :

(i)

Khalifah Umar Abdul Aziz merupakan salah seorang khalifah yang sangat berjaya dalam memimpin meskipun masa kepimpinannya sangat singkat, yakni tidak sampai tiga tahun. Salah satu keberhasilannya adalah kerana dorongan daripada anggota keluarga, khususnya dari salah seorang daripada 15 anaknya, yang bernama Abdul Malik.

Ketika Umar telah menerima jawatan sebagai khalifah, dia merasa perlu beristirehat kerana keadaan badannya yang sudah amat letih dan mata yang sudah amat mengantuk. Namun, baru saja dia merebahkan tubuhnya di atas tempat tidur dan meletakkan kepalanya di atas bantal, tiba-tiba datang Abdul Malik lalu berkata, “Apa yang akan ayah lakukan sekarang?”

“Aku ingin istirehat sebentar anakku,” jawab Umar.

“Apakah ayah akan beristirehat padahal ayah belum mengembalikan harta rakyat yang dirampas secara zalim kepada yang berhak?”

“Ayah akan lakukan itu nanti setelah zohor, semalam ayah tidak boleh tidur kerana menguruskan bapa saudaramu,” jawab Umar.

“Ayah, siapa yang boleh memberi jaminan bahawa ayah akan tetap hidup sampai zohor nanti?” tanya Abdul Malik lagi.

Mendengar pertanyaan anaknya itu, terbakar rasanya semangat Umar sehingga seperti hilang rasa mengantuk dan letih yang dialaminya, lalu memanggil Abdul Malik mendekati dirinya.

Setelah Abdul Malik mendekatinya, Umar mencium keningnya lalu berkata, “Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku anak keturunan yang membantuku dalam agamaku.”

Khalifah Umar segera bangkit dari tempat tidurnya dan segera menyempurnakan tugasnya.

Suatu ketika Umar mengumpulkan para ulama untuk diminta pendapat mereka tentang harta rakyat yang diambil secara zalim oleh pemerintah terdahulu. Namun, para ulama mengatakan bahawa hal itu bukanlah dosa Umar kerana terjadi bukan pada masa pemerintahannya. Tentu saja Umar tidak puas dengan pendapat ulama tersebut. Dia pun merasa perlu bertanya kepada anaknya, Abdul Malik.

“Saya berpendapat bahawa ayah harus mengembalikan harta itu kepada pemiliknya selama ayah mengetahui permasalahannya. Kalau ayah tidak melakukannya bererti ayah terlibat bersama mereka yang telah mengambil harta itu secara zalim.”

Mendengar jawapan anaknya, Umar menjadi lega dan senang hati. Teguran, nasihat, dan pandangan yang baik dari sesiapa pun dan bagaimana cara sekalipun disampaikan merupakan hal yang sangat penting untuk didengar oleh seorang pemimpin.

Seorang pemimpin perlu lebih mengutamakan isi percakapan daripada siapa yang bercakap atau bagaimana cara ia bercakap.

(ii)

Hendaknya janganlah kita menjadi pemimpin seperti bidalan berikut :

Menjadi pemimpin dungu dan bebal
dada kosong akal sejengkal.

Bercakap tidak berhujung pangkal
memimpin bagai kehilangan akal
diberi nasihat telinganya tebal
rakyat sengsara negeri tertinggal.

Dijadikan pemimpin pasti menyesal
dijadikan tua hilanglah akal
dijadikan induk anak dibedal
negeri rosak rakyat terjual.
Related Posts with Thumbnails