Ahad, April 05, 2009

YANG MEMBAZIR @ YANG SALAH RANCANG?

Semalam sempat bertemu dengan seorang Pegawai Kanan kerajaan negeri. Beliau sebelum ini dan kini juga (selepas pertukaran besar-besaran TCS Januari lalu) merupakan antara 'orang penting' dalam pentadbiran kerajaan negeri. Bersama beliau seorang Jurutera di sebuah daerah dan seorang YB Ahli Parlimen Terengganu.

Dalam banyak-banyak cerita yang disembangkan, soal berhubung dengan usaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menjadikan beberapa jalan utama di bandaraya berkenaan sebagai jalan sehala menjadi perhatian kami.

Pegawai Kanan kerajaan berkenaan mendakwa (ini dakwaan beliau, kalau salah dan fitnah, maka salah dan fitnahlah blog ini) bahawa pihak MBKT membelanjakan sejumlah RM40 juta (Ringgit Malaysia : Empat puluh juta sahaja) hanya untuk urusan menjadikan jalan-jalan utama (hanya melibatkan beberapa jalan di sekitar dua atau tiga kilometer dalam bandaraya Kuala Terengganu itu) sebagai jalan sehala.

Pengguna jalan raya di sekitar bandaraya Kuala Terengganu boleh menyaksikan sendiri jalan-jalan yang terlibat dan bagaimana kaedah mensehalakan jalan di tempat-tempat berkenaan sehingga melibatkan perbelanjaan sebesar itu. Lagi pun, kalau tidak silap pandangan saya, kerja-kerja membuang penghadang tengah jalan dan menurap semula tar atas kesan penghadang itu dilakukan oleh pihak JKR (berdasarkan jentera, lori dan pekerja yang berada di situ). Kerana itu, sekali fikir, tak kan pihak JKR mengenakan bayaran yang sebegitu besar untuk kerja-kerja berkenaan sehingga mengalahkan kontraktor?

Kata Pegawai Kanan kerajaan itu lagi, kalau dibuat 'fly over', perbelanjaannya akan jauh lebih kecil dan menjimatkan, tambahan akan mengindahkan lagi pemandangan bandaraya Kuala Terengganu.

Kami tidak dapat memberi komen apa-apa kerana dia (pegawai berkenaan) sebenarnya amat lebih arif berhubung dengan 'kewangan' kerajaan. Cuma yang kami baru tersedar ialah betapa mahalnya kos bahan binaan dan kos upah di bandaraya sekarang ini.
Related Posts with Thumbnails