Khamis, April 23, 2009

YANG KELENTONG : DR JEPUN IN BRACKET

Hasnim Emilia (duduk dari kiri), Engku Naimah dan Mohd Mahadi bersama ahli jawatankuasa tiga sayap yang menyatakan sokongan padu kepada Idris pada sidang akhbar di Jerteh Terengganu semalam.

Ini cerita sebenar berkaitan apa yang berlaku di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu malam 19 April 2009 lalu dan kenyataan Dr Jepun in bracket kepada Malaysiakini.com dua hari berikutnya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Besut menyangkal kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rosli Mat Hasan (Dr Jepun in bracket) bahawa ketiga-tiga sayap UMNO Besut itu menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said (Mat Said).

Malah Ketua Wanita dan Pemuda turut menyifatkan kehadiran mereka pada perjumpaan anjuran BPUNT di Kuala Terengganu pada 19 April lalu sebagai usaha memerangkap mereka supaya menyokong kepimpinan Menteri Besar.

Mereka menegaskan walau apa keadaan sekalipun akan tetap berdiri teguh di belakang Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Idris Jusoh (Deris Jusoh) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh.

Ketua Pemuda, Mohd Mahadi Musa, Ketua Wanita Engku Naimah Engku Taib dan pemangku Ketua Puteri Hasnin Emilia A. Ghani membuat kenyataan bersama pada sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Penyelaras DUN Jerteh dekat sini petang semalam.

Ketiga-tiganya kesal dengan kenyataan tidak benar yang dikeluarkan oleh Dr Jepun in bracket itu dan menggambarkan BPUNT sedang berusaha untuk menunjukkan kepada pihak atasan bahawa Mat Said masih menerima sokongan ramai sedangkan keadaan sebenar adalah sebaliknya.

Menurut mereka, kenyataan Dr Jepun in bracket itu juga bertujuan untuk memburuk-burukkan Deris Jusoh dan mengambarkan seolah-olah bekas MB itu kini tersepit apabila tiga sayap daripada bahagiannya tidak menyokong beliau.

Malaysiakini.com 21 April 2009 melaporkan tujuh daripada lapan Ketua UMNO Bahagian di Terengganu menyatakan sokongan mereka terhadap MB Mat Said untuk terus menerajui kerajaan negeri itu.

Menurut laporan yang memetik kenyataan oleh Dr Jepun in bracket itu, hanya Ketua UMNO Bahagian Besut, Deris Jusoh salah seorang daripada 18 ADUN di Terengganu yang mendesak Mat Said meletak jawatan – tidak menyokongnya.

Bagaimanapun menurut laporan itu lagi, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Besut turut menyokong kepimpinan Mat Said.

Engku Naimah berkata, selepas majlis perjumpaan di Kuala Terengganu itu, dia diminta menandatangani dokumen seakan akujanji yang mengandungi empat perkara utama iaitu sokongan kepada institusi beraja, sokongan kepada kepimpinan negara, kepimpinan negeri dan badan perhubungan UMNO negeri.

Katanya, dia merasa seakan diperangkap dengan cara tersebut kerana jika tidak ditanda tangan seolah-olah dia tidak menyokong institusi atau derhaka kepada raja serta tidak menyokong kepimpinan negara.

Menurutnya, dengan perasaan serba salah dia menandatangani dokumen itu hanya atas sebab menyokong institusi raja dan kepimpinan negara dan bukannya sebab menyokong kepimpinan Menteri Besar dan UMNO Perhubungan negeri.

“Saya yakin ramai yang hadir pada majlis itu merasa demikian tetapi kerana terperangkap dengan cara yang dibuat mereka juga terpaksa menandatangani dokumen tersebut,” jelasnya.

Mohd Mahadi pula berkata, setelah menerima jemputan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Setiausaha Kerja BPUNT dan kemudiannya menerusi telefon daripada Setiausaha Kerja Pemuda UMNO negeri, dia hadir pada majlis yang diadakan di Hotel berkenaan.

Katanya, pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa perkara pelik kerana memang menjadi kelaziman pemberitahuan mengenai perjumpaan anjuran Pemuda UMNO negeri hanya dibuat menerusi cara itu.

Bagaimanapun menurutnya, ketika berada dalam majlis itu Bendahari Perhubungan UMNO negeri yang berucap telah habis-habisan menghentam Deris sebagai dalang kepada kemelut yang berlaku sekarang,

Mahadi berkata, dia sempat mengambil peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar dan dakwaan Bendahari itu yang kononnya pada malam sebelumnya ada satu mesyuarat diadakan oleh Deris.

Katanya dia sendiri kemudian turut menandatangani dokumen tersebut kerana tidak mahu dianggap sebagai menderhaka kepada raja dan tidak menyokong kepimpinan negara (Perdana Menteri).

Bagaimanapun jelasnya, kenyataan Dr Jepun in bracket dalam Malaysiakini.com itu adalah tidak benar sama sekali kerana sokongan kami hanya kepada raja dan kepimpinan negara dan bukannya kepada MB dan Pengerusi BPUNT sekarang.

Sementara Hasnim Emilia pula berkata kenyataan Dr Jepun in bracket bahawa Puteri UMNO Bahagian Besut turut menyokong kepimpinan Mat Said, sama sekali tidak benar kerana pergerakan itu tidak pernah menandatangani sebarang dokumen sokongan.

Katanya, dia sendiri tidak pernah diberitahu mengenai perjumpaan itu oleh mana-mana pihak termasuk Puteri UMNO negeri dan tidak pernah menghadirkan diri ke perjumpaan yang diadakan.

“Bagaimana pula boleh dikatakan Puteri UMNO Besut menyokong dan siapa pula yang menandatangani dokumen itu atau ada pihak tertentu yang cuba untuk memburukkan kami, “ ujarnya.
Related Posts with Thumbnails