yang semasa

Rabu, April 01, 2009

YANG AKAN TERUS DIANAYAI

Semalam ada enam orang anak buah satu Unit di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang mengadu hal yang mereka bakal ‘ditamatkan’ perkhidmatan mereka menjelang akhir bulan April 2009 ini.

Alasannya unit berkenaan akan bertukar nama dan mereka mulanya dilantik di bawah jenama yang lain. Kerana itu, mereka tidak akan disambung kontrak perkhidmatannya.

Kesihannya, ada di kalangan mereka yang akan hilang punca rezeki bagi membiayai keluarga (isteri dan anak-anak).

Turut dianayai termasuklah hampir keseluruhan kakitangan Unit berkenaan di semua DUN dalam negeri Terengganu. Pentadbiran Unit berkenaan katanya bukan sahaja tidak mengiktiraf perakuan yang dibuat dan dicadangkan oleh ADUN-ADUN, malah terpaksa akur dengan ‘arahan’ dan kehendak orang-orang tertentu bagi melantik kakitangan baru yang akan menggantikan kakitangan yang lahir sejak awal penubuhan Unit berkenaan.

Lebih membolokkan keadaan (seperti berlaku dalam perlantikan JKKK), penamaan kakitangan untuk Unit ini juga dikhabarkan wujud dengan dua senarai yang berbeza. Satu senarai daripada ADUN dan satu senarai lagi oleh orang-orang tertentu, terutamanya oleh Ketua-Ketua Bahagian UMNO.

Kerana bagi menghalalkan cara dan menamatkan perkhidmatan mereka secara halus, makanya Unit berkenaan ditukar dan khabarnya telah dinaikkan taraf sebagai sebuah Agensi, walaupun fungsi dan peranannya tidak berubah.

Itu kata mereka.

Angkara siapa yang menghukum mereka sebegitu kurang pasti. Namun yang jelas, mereka dianayai dan diperlakukan lebih daripada tindakan yang diambil oleh Kerajaan PAS semasa PAS mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri tahun 1999 yang lalu.

Mat Said tolonglah tengok-tengokkan anak buah yang dianayai ini. Soal nak melantik kroni sebagai Pengarah baru Unit berkenaan, itu adalah hak yang dibenarkan (walaupun tidak disukai oleh banyak orang). Dalam hal ini, kita sedikit pun tidak menafikan bahawa Mat Said mempunyai kuasa dan hak sepenuhnya selaku pemimpin tertinggi negeri untuk melantik sesiapa yang beliau suka bagi membantu beliau melaksanakan tugas dan pentadbiran kerajaan negeri. Tetapi itulah… jawatan yang diberi bukan lesen untuk menganayai apa lagi menyekat rezeki orang lain.

Unit berkenaan khabarnya akan ditukar namanya menjadi singkatannya APM… dan Unit ini (bersama sebahagian kakitangannya) adalah ‘mangsa’ proses pemutihan pengaruh dan ‘air tangan’ Idris Jusoh di Terengganu.
Related Posts with Thumbnails