yang semasa

Rabu, Mac 04, 2009

YANG WAJAR PAS USAHAKAN

KUALA LUMPUR 2 Mac – Sebanyak 75,299 kes perceraian direkodkan di seluruh negara pada 2007 dan 2008 termasuk kes-kes tertunggak bagi tahun-tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 64,631 kes dicatatkan pada 2007 yang turut melibatkan tunggakan kes tahun-tahun sebelumnya, manakala sebanyak 10,668 kes dilaporkan tahun lalu.

Apa yang tersirat dapat kita fikirkan di sebalik berita di atas? Sudah tentu kaitannya dengan Islam, maruah, moral dan peraturan. Apakah antara puncanya terjadi begitu besar angka penceraian itu disebabkan mereka belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? Tentu tidak.

Yang pasti mereka tidak menghayati roh dan perintah agama Islam sebagaimana difirmankan Allah swt kepada umat-Nya melalui al-Quran. Sebahagian besar daripada mereka (bukan sahaja pasangan yang bercerai malahan termasuk campur tangan orang ketiga dan seterusnya) gagal menghayati ajaran Islam yang syumul itu sebagai cara hidup dan amalan harian mereka sementara mereka masih bernyawa dan berada di muka bumi ciptaan Allah ini.

Sering kita dengar orang-orang Pas mendakwa UMNO dan kerajaan BN hari ini tidak mahu kepada Islam sedangkan Pas berjuang dengan berasaskan itu (Islam berpandukan al-Quran). Perlembagaan Pas jelas memperuntukkan perihal itu. Sementara orang UMNO pula mendakwa mereka bukan menolak Islam, tetapi menolak Islam yang dipolitikkan oleh Pas untuk kepentingan politik mereka.

Mursyidul Am Pas mahupun pimpinan Pas lainnya rasanya sudah laih menyebut perkara ini. Perlembagaan yang ‘dianuti’ oleh Malaysia hari ini adalah perlembagaan sekular tinggalan penjajah yang dicipta oleh manusia. Justeru perlembagaan itu tidak betul, tidak boleh diterima dan tidak islamik. Perlu kepada perlembagaan Islam iaitu berlandaskan al-Quran yang di dalamnya sudah terkandung segala macam perkara yang menyentuh semua aspek kehidupan yang wajib diikuti tanpa was-was dan prejudis. Itulah perlembagaan Islam. Maka seru mereka – “kembalilah kepada Islam”.

Kalau kita kembali kepada Islam, rasanya tidak akan berlaku sebegitu banyak kes perceraian seperti dinyatakan di atas. Dalam politik juga misalnya, tidak mungkin berlaku kekalutan yang maha kartun seperti berlaku di Perak dan di mana-mana negeri dalam Malaysia seperti yang dialami hari ini. Itulah keyakinan orang-orang Pas dan itulah ulasan yang sering didengar pada setiap kali berlakunya perkara yang menyanggah hukum serta qadak dan qadar Tuhan.

Justeru pada saya, Pas perlu usahakan untuk mengangkat perlembagaan Islam ini dengan jujur, ikhlas dan tidak berselindung di sebalik mainan politik. Kalau Pas hari ini menyokong GMP (yang kita belum pasti UMNO menerimanya), kenapa Pas tidak berusaha secara sendiri ataupun menaja atau menyokong gerakan untuk memperjuangkan perlembagaan dan undang-undang Islam. Sediakan memorandum dan kumpulkan manusia untuk mengadakan perhimpunan ratusan ribu orang di hadapan Istana Negara bagi tujuan menyembahkannya kepada DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong seperti yang akan dilakukan pada 7 Mac ini.

Sepatutnya Pas sudah lama mengusahakan tindakan ini, kerana Pas sudah acap kali menuduh UMNO tidak mahu kepada Islam, tidak mahu negara mengikut undang-undang Islam dan sebagainya. Samalah seperti tuduhan Pas yang menyatakan UMNO menolak dan tidak mahu menghapuskan PPSMI.

Kalau kaedahnya UMNO menolak dan jalan penyelesaiannya mengumpul dan menyerahkan memorandum kepada Agong, saya kira dalam kes perlembagaan dan undang-undang Islam ini juga amat wajar dilakukan perkara yang sama. Biar rakyat celik mata dan orang-orang UMNO tahu, setakat mana kesungguhan dan keikhlasan perjuangan Pas dalam soal menegakkan negara Islam yang sebenar-benarnya Islam.

Sebab itu saya katakan, jangan berselindung di sebalik kepentingan politik. Menegakkan negara Islam adalah perintah dan suruhan Allah. Justeru Pas sewajarnya tidak perlu takut kepada orang bukan Islam yang boleh mengurangkan undi dan populariti mereka, tetapi perlu lebih takut kerana tidak melaksanakan perintah dan suruhan Allah. Demi kerana Islam dan ketaatan sebagai hamba Allah, ‘perjuangan’ ini wajib dilaksanakan.

Malangnya yang kita nampak sekarang, Pas hanya bersungguh-sungguh terhadap perkara politik yang remeh temeh di sisi Islam. Slogan ‘Pas untuk semua’ perlu dihayati dengan sesungguhnya. Pas sering melaungkan Islam adalah perjuangannya dan bukan Melayu (seperti UMNO?). Kalau orang itu orang Inggeris sekali pun tetapi dia Islam, maka dia wajib dibela.

Kenapa Pas menyokong GMP yang antara perjuangannya kerana bangsa dan bahasa Melayu? Yang antara perjuangannya juga kerana kerajaan melanggar perlembagaan negara bila menggunakan bahasa Inggeris dalam P&P sains dan matematik? Sedangkan dalam masa yang sama, Pas memperjuangkan ‘Pas untuk semua’.

Dalam masa yang sama juga Pas dan banyak orang yang menentang kerajaan sudah tidak menerima perlembagaan negara sekarang kerana perlembagaan itu tidak betul, ciptaan manusia dan tinggalan penjajah serta amat wajar digantikan dengan perlembagaan Islam yang berteraskan al-Quran.

Untuk apa lagi ada organisasi atau individu menyaman kerajaan semata-mata kerana kerajaan melanggar perlembagaan negara, sedang dalam masa yang sama, kita sendiri tidak memperakui dan menerima perlembagaan itu?

Pas perlu melihat perkara ini dengan rasional berasaskan perjuangan siasahnya bukan hanya berdasarkan isu yang dirasakan menguntungkan dan memberi ‘mileage’ politik kepadanya, sedangkan tindakan itu secara tidak langsung telah memakan diri sendiri.
Related Posts with Thumbnails