yang semasa

Ahad, Mac 22, 2009

YANG SIAL KEMENANGAN, YANG BERTUAH KJ

Baru sahaja selesai perhitungan ‘politik warung’ yang melibatkan beberapa blogger, tukang cakap yang tidak ada kepentingan dan saham apa-apa pun serta beberapa perwakilan pemuda. Masing-masing (terutamanya perwakilan pemuda) mempertaruhkan bahawa KJ 'sedang menanti kemenangan'.

KJ dikatakan bertuah kerana terlepas daripada hukuman oleh Badan Disiplin UMNO mengikut kesalahan perkara 10.1, walaupun telah nyata dan sah beliau didapati bersalah. Sialnya pada sesetengah orang, terutama kepada Mukhriz dan Khir Toyo adalah kerana keterlepasan KJ itulah maka menyebabkan beliau menang.

Buku Pak Yahaya yang agak sudah sukar untuk diperolehi juga membawa sial kepada lawannya dan sekali gus tuah lebih memihak kepada KJ. Itu pandangan ahli mesyuarat warung itu.

KJ yang banyak orang kenali disifatkan sebagai anak muda yang tidak mudah terlatah apa lagi melatah walau sebagaimana tahap kesabarannya diuji seperti sebelumnya. Namun dengan buku Tuah dan Sial Khairy Jamaluddin oleh Pak Yahaya itu, KJ menjadi amat sensitif dan segera bertindak sambil ‘membeli’ maruah dirinya sebelum sempat Pak Yahaya dan musuh-musuh politiknya menjual maruahnya.

KJ dilihat amat bijak mengeksploitasi isu dan menyingkir keadaan yang mahukan beliau menemui sial. Walaupun ada sesetengah penulis politik menganggap KJ perlu bersabar dan masih mentah serta kurang berpengalaman untuk menerajui sayap penting UMNO itu. Pun demikian, bagi penyokong KJ, mereka melabelkan KJ seorang pemimpin yang licik dalam mengelola politik - membaca tari politik pihak lawan dan menyusuri akar perwakilan.

Mudahnya bolehlah kita sebutkan bahawa KJ ada pemasaran politik’ (politic marketing). Dalam bacaan politik semasa dan seperti terancang oleh teramarannya beliau dengan perkara 10.1 dan terbitnya buku berkenaan, KJ telah memasarkan politiknya berkonsepkan 4P (product, promotion, price and place) dalam memastikan perwakilan pemuda memilih beliau sebagai Ketua Pemuda.

Dalam hal ini, KJ sudah berada di barisan depan kerana pemasaran 4P itu. Menggunakan pemasaran 4P dalam usaha beliau merebut kerusi KP itu menjadikan pemasaran dirinya tidak hanya terbatas kepada iklan diri dan kepetahan komunikasi semata. Lebih jauh daripada itu, marketing politik KJ adalah pendekatan komprehensif dalam hal yang bersangkutan dengan cara seseorang pemimpin politik ketika memformulakan produk politik (dirinya), menyusun program penyerlahan dan komunikasi, mengatur strategi bersegmen sehinggalah kepada perhitungan ‘harga sebuah produk politik’, seterusnya beliau memilih tempat yang sesuai untuk bertindak mengikut situasi semasa.

Dan konsep ini jelas menenggelamkan sialnya kerana tata etika perkara 10.1 yang secara tidak langsung digantikan dengan tuah buku Pak Yahaya tanpa kesengajaan tetapi menguntungkan menantu Pak Lah itu.

Namun apakah ‘kemenangan’ KJ akan disusuli dengan sial dan apakah sial buku Pak Yahaya telah membuatkan KJ bertuah? Yang pasti kemenangan adalah tuahnya dan kekalahan adalah juga tuahnya dalam mengelakkan sial yang bakal menyusul.

Demikian sabda sang ahli mesyuarat warung....
Related Posts with Thumbnails