Selasa, Mac 31, 2009

YANG DINANTI BUKAN APRIL FOOL

Esok ialah 1 April 2009.

Esok (bukan lusa) Pak Lah bersama DS Najib diura-urakan akan ke Istana. Bukan untuk mohon perkenan menyerah jawatan, tetapi memohon tempoh masa. DS Najib akan ‘diperkenalkan’ bukan sebagai bakal PM tetapi sebagai saksi sahih.

Pak Lah dicakapkan banyak orang akan terus kekal sebagai PM untuk beberapa waktu lagi.

Pak Lah teringin sangat menyaksikan ‘kumpulan sorak’ yang mengeboo KJ semakin menggigit jari dan mereka-reka perkataan lain selain boo setelah KJ diangkat menjadi Menteri penuh.

Pak Lah akan menyerahkan jawatan PM kepada DSAI dan Sabah serta Sarawak tidak mahu berada di bawah ‘kerajaan pembangkang’ semasa.

Yang pasti ini bukan April fool.

Isnin, Mac 30, 2009

YANG DITEMUI : PEMIMPIN BEGINI? (siri 1)

Sebelumnya saya bertanya (begini). Hari ini antara ciri pemimpin yang ditemui di PWTC adalah seperti berikut. Jadi saya cuba menurunkan beberapa siri pemimpin dalam ungkapan Melayu yang secara kebetulan memang ditemui di PWTC tempoh hari.

Pemimpin Ampas

Pemimpin ampas hakikatnya adalah pemimpin yang tidak ada apa-apa, dadanya kosong akal pun pendek, sama sekali tidak memiliki kemampuan. Orang tua-tua mengatakan, “apabila memilih pemimpin ampas, tuah lesap maruah pun lepas” atau dikatakan, “pemimpin ampas dijadikan tua, alamat negeri rosak binasa”. Dalam ungkapan kepemimpinan Melayu dikatakan :

Ialah pemimpin bagaikan ampas
Manis terbuang sedapnya langkas
Tidakkan dapat menjalan tugas.

Hutang dan beban tidakkan lepas
Negeri kacau rakyat pun lemas
Tuah lesap maruah pun tumpas.

Dijadikan pemimpin habislah nafas
Isi lesap kulit terkupas
Negeri rosak umat melengas.

Dijadikan tua langkah terpepas
Umat tak suka banyaklah nahas.

Dijadikan induk orang kan cemas
Negeri rosak umat terhempas.

Jumaat, Mac 27, 2009

YANG MEROSAKKAN UMNO (5)

Catatan : SMS di bawah ini telah tersebar dua hari sebelum Perhimpunan Agung UMNO. Saya percaya ramai yang menerimanya, terutama para perwakilan. Namun atas beberapa faktor termasuk boleh ‘mempengaruhi’ keputusan pemilihan pucuk pimpinan baru UMNO, SMS ini ditunda penyiarannya dan di bawah ini diperturunkan sepenuhnya SMS berkenaan (tanpa pindaan, termasuk ayat dan ejaan).

Para Perwakilan : Tolong ikhtiarkan kpd bakal PM, agar MB Tganu diganti oleh ADUN UMNO yg lain tak kira sape pun (asalkan selain Ahmad Said).. Beliau dan kuncunya Penyebab UMNO Tganu semakin retak berpecah belah. Pegawai Kerajaan Negeri kecewa dgn campurtangan melampau. Tiada apapun pembangunan dibuat. melantik kroni yg mengampu kedalam GLC & Agensi negeri walaupun tiada keupayaan& kelayakan akademik,..kini Umno Negeri dan Kerajaan Tganu TERCALAR KREDIBLITI dan semakin LUMPUH…. From : LUNCAI EMAS

Rabu, Mac 25, 2009

YANG DICARI : ADAKAH PEMIMPIN BEGINI DI PWTC?

Abdullah bin Abbas ra merupakan salah seorang sahabat yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Khalifah Umar bin Khattab. Sahabat yang ahli tafsir ini bercerita tentang Khalifah Umar :

Suatu ketika, ketika beliau duduk bersama Khalifah Umar, Khalifah menghela nafas panjang seolah-olah roh akan terlepas dari dalam dirinya. Ibnu Abbas kemudian bertanya, “apakah engkau sangat prihatin sehingga menghela nafas begitu panjang?”

Khalifah Umar menjawab, “ya, memang aku sedang prihatin”. Umar lalu meminta Ibnu Abbas untuk duduk lebih dekat dengan dirinya. Ternyata, Khalifah Umar mengemukakan keprihatinan tentang tiadanya pemimpin yang mampu menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab kekhalifahan.

Ibnu Abbas kemudian menyebut enam orang sahabat yang pada hematnya mampu memikul peranan seperti yang disyaratkan oleh Khalifah Umar. Namun Umar lantas memberi komen tentang ketidakmampuan sahabat-sahabat yang disebut Ibnu Abbas itu.

Umar kemudian berkata, “yang mampu mengendung kekhalifahan ini adalah orang yang tegas tapi tidak sewenang-wenangnya, lembut tapi tidak lemah, murah hati tapi tidak boros, serta berhemat tapi tidak kedekut. Hanya orang seperti itulah yang mampu”.

Mendengar hal itu, Ibnu Abbas berfikir, “hanya Umar sendirilah yang memenuhi syarat-syarat itu”.

Ringan tapi sukar untuk direalisasikan.

Ahad, Mac 22, 2009

YANG SIAL KEMENANGAN, YANG BERTUAH KJ

Baru sahaja selesai perhitungan ‘politik warung’ yang melibatkan beberapa blogger, tukang cakap yang tidak ada kepentingan dan saham apa-apa pun serta beberapa perwakilan pemuda. Masing-masing (terutamanya perwakilan pemuda) mempertaruhkan bahawa KJ 'sedang menanti kemenangan'.

KJ dikatakan bertuah kerana terlepas daripada hukuman oleh Badan Disiplin UMNO mengikut kesalahan perkara 10.1, walaupun telah nyata dan sah beliau didapati bersalah. Sialnya pada sesetengah orang, terutama kepada Mukhriz dan Khir Toyo adalah kerana keterlepasan KJ itulah maka menyebabkan beliau menang.

Buku Pak Yahaya yang agak sudah sukar untuk diperolehi juga membawa sial kepada lawannya dan sekali gus tuah lebih memihak kepada KJ. Itu pandangan ahli mesyuarat warung itu.

KJ yang banyak orang kenali disifatkan sebagai anak muda yang tidak mudah terlatah apa lagi melatah walau sebagaimana tahap kesabarannya diuji seperti sebelumnya. Namun dengan buku Tuah dan Sial Khairy Jamaluddin oleh Pak Yahaya itu, KJ menjadi amat sensitif dan segera bertindak sambil ‘membeli’ maruah dirinya sebelum sempat Pak Yahaya dan musuh-musuh politiknya menjual maruahnya.

KJ dilihat amat bijak mengeksploitasi isu dan menyingkir keadaan yang mahukan beliau menemui sial. Walaupun ada sesetengah penulis politik menganggap KJ perlu bersabar dan masih mentah serta kurang berpengalaman untuk menerajui sayap penting UMNO itu. Pun demikian, bagi penyokong KJ, mereka melabelkan KJ seorang pemimpin yang licik dalam mengelola politik - membaca tari politik pihak lawan dan menyusuri akar perwakilan.

Mudahnya bolehlah kita sebutkan bahawa KJ ada pemasaran politik’ (politic marketing). Dalam bacaan politik semasa dan seperti terancang oleh teramarannya beliau dengan perkara 10.1 dan terbitnya buku berkenaan, KJ telah memasarkan politiknya berkonsepkan 4P (product, promotion, price and place) dalam memastikan perwakilan pemuda memilih beliau sebagai Ketua Pemuda.

Dalam hal ini, KJ sudah berada di barisan depan kerana pemasaran 4P itu. Menggunakan pemasaran 4P dalam usaha beliau merebut kerusi KP itu menjadikan pemasaran dirinya tidak hanya terbatas kepada iklan diri dan kepetahan komunikasi semata. Lebih jauh daripada itu, marketing politik KJ adalah pendekatan komprehensif dalam hal yang bersangkutan dengan cara seseorang pemimpin politik ketika memformulakan produk politik (dirinya), menyusun program penyerlahan dan komunikasi, mengatur strategi bersegmen sehinggalah kepada perhitungan ‘harga sebuah produk politik’, seterusnya beliau memilih tempat yang sesuai untuk bertindak mengikut situasi semasa.

Dan konsep ini jelas menenggelamkan sialnya kerana tata etika perkara 10.1 yang secara tidak langsung digantikan dengan tuah buku Pak Yahaya tanpa kesengajaan tetapi menguntungkan menantu Pak Lah itu.

Namun apakah ‘kemenangan’ KJ akan disusuli dengan sial dan apakah sial buku Pak Yahaya telah membuatkan KJ bertuah? Yang pasti kemenangan adalah tuahnya dan kekalahan adalah juga tuahnya dalam mengelakkan sial yang bakal menyusul.

Demikian sabda sang ahli mesyuarat warung....

Jumaat, Mac 20, 2009

YANG MEROSAKKAN UMNO (4)

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Abdul Ghafaar Atan turut mempersoalkan perkara yang sama dan melihat keputusan itu sebagai tidak adil.

''Adakah wujud ketelusan pada Lembaga Disiplin UMNO? Adakah benar siasatan telus dan jujur dilakukan ke atas Mohd. Ali dengan tidak memihak kepada pihak-pihak tertentu?

''Kenapa hanya di saat-saat akhir sebelum pemilihan parti barulah pihak Lembaga Disiplin hendak buat keputusan? Saya benar-benar terkilan dengan keputusan ini," katanya.

Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan juga mempertikaikan keputusan tersebut yang disifatkan berat sebelah.

''Ada pihak melakukan kesalahan yang sama tetapi sekadar diberikan amaran tetapi bagi Mohd. Ali pula beliau dilarang bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden," katanya.

Bendahari UMNO Bahagian Bukit Katil, Datuk Akbar Ali berkata, pada masa ini kewibawaan, integriti, ketelusan, keadilan dan kemampuan Lembaga Disiplin parti boleh dipertikaikan.

''Keputusan hari ini dipertikaikan. Ia dilihat seolah-olah kurang sihat dan perlu diperbetulkan segera, jika tidak ia akan memberi kesan pada pemilihan parti hujung bulan ini," katanya lagi.

Alahai – sendiri bikin peraturan sendiri marah kaaa???

Khamis, Mac 19, 2009

YANG MEROSAKKAN UMNO (3)

Soalan teka teki yang perlu dijawab dalam hati saja :


Yang mana lebih bermaruah dan bertanggungjawab antara orang yang tidur telanjang dengan orang yang ditelanjangkan sehingga 'tidur'?

Yang mana sepatutnya diberi perhatian antara orang yang merayu untuk melepaskan jawatan kerana tidur telanjang dengan orang yang membuat rayuan kerana ditelanjangkan sehingga tidur?


Yang mana perlu diutamakan agar melepaskan jawatannya antara orang yang tidur telanjang dengan orang yang ditelanjangkan sehingga tidur?


Yang mana lebih bermoral tidur telanjang tetapi tidak sayang jawatan atau ditelanjangkan sehingga tidur tetapi amat sayangkan jawatan?


Yang mana lebih mulia, orang yang telanjang dan yang ditelanjangkan sehingga tidur, kedua-duanya mengaku perkara ‘telanjang’ itu benar tetapi mengambil tindakan yang berbeza?


Yang mana lebih merosakkan parti masing-masing?

Rabu, Mac 18, 2009

YANG MEROSAKKAN UMNO (2)

Ketika majlis memperkenalkan calon-calon Majlis Tertinggi yang akan bertanding dalam pemilihan agung UMNO di Kuala Terengganu baru-baru ini, beberapa insiden lucu, aib dan memilukan berlaku.

Semuanya gara-gara pengacara majlis, Dr Jepun in bracket @ Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu yang mengemudi majlis pertemuan penting dan bersejarah itu. Pertemuan itu menjadi penting kerana, walaupun dibuat di Terengganu tetapi ramai yang hadir bukan perwakilan bahagian-bahagian dalam Terengganu. Tetapi majlisnya menjadi meriah kerana masing-masing calon membawa penyokongnya sendiri dan ada antaranya yang dikatakan membawa penyokong dengan beberapa buah bas.

Beberapa kali Dr Jepun in bracket menyerlahkan sambil menonjolkan ‘perangai’ dan ‘tabie’ dirinya sendiri kepada umum sekali gus seolah-olah melambangkan begitulah tabie sebahagian orang-orang UMNO keseluruhannya.

Perlakuan Dr Jepun in bracket ini ternyata melucukan, mengaibkan dan memilukan sekali.

Lucunya – semasa memperkenalkan para perwakilan bahagian Besut kepada calon-calon, perwakilan diminta oleh Dr Jepun in bracket ini mengangkat tangan. Almaklum kerana para perwakilan duduknya merata, maka perwakilan yang mengangkat tangan dilihat di setiap sudut dewan. Dek kerana Dr Jepun in bracket ini sudah terbukti maha bencinya kepada Ketua Bahagian Besut (Idris Jusoh), terlontarlah kata “hoo… hok hujung tu menawok belaka tu” (haah… yang angkat tangan di hujung sana tu, bohong semuanya (bukan perwakilan).

Aibnya – ketika giliran memperkenalkan perwakilan bahagian Kemaman yang mana Menteri Besar Terengganu adalah Ketua Bahagiannya, Dr Jepun in bracket tanpa rasa hormat sedikit pun dengan bangga dan kononnya beliaulah orang hebat yang boleh bertepuk bertampar dengan Menteri Besar, telah mengarahkan Mat Said yang berada di pentas supaya berdiri dengan menggunakan bahasa yang kasar dan amat tidak sopan – “MB, bangun ah, orang nok kenal”.

Memilukan – suasana menjadi amat pilu ketika calon-calon diperkenalkan kepada perwakilan seorang demi seorang. Perwakilan / hadirin diminta memberikan tepukan kepada calon-calon yang diperkenalkan. Dan antara calon AMT yang hadir termasuklah Dato’ Noh Omar, Menteri yang bertanggungjawab kepada MARA dan syarikat-syarikat anak di bawahnya. Memilukan sekali, dah secara kebetulan Noh Omar mendapat tepukan yang agak gemuruh berbanding calon-calon lain, maka dengan muka selamba dan penuh kemaluannya, Dr Jepun in bracket secara terbuka di hadapan hadirin mempromosi diri kepada 'bosnya' itu agar disambung perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Almaklum sajalah, jadi Pengerusi panjang sikit langkahnya. Belanja kahwin anak pun boleh buat belanja rekaan dan buat tuntutan supaya YPM membayarnya. Belanja lain? Alahai, kalau belanja kahwin anak pun boleh tuntut dengan YPM, belanja lain apa sangatnya, lagilah boleh direkataqlikkan.

YANG MEROSAKKAN UMNO (1)

Kelmarin semasa sembang-sembang berhubung dengan desas desus akan ada calon yang bertanding merebut jawatan utama akan dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana ‘dikatakan’ terlibat dengan gejala rasuah politik (atau digunakan dalam bahasa yang lebih halus oleh UMNO - politik wang), salah seorang kawan saya yang menjadi perwakilan (G7) daripada UMNO Bahagian Hulu Terengganu terus-terusan mempertahankan ‘rasuah politik’ ini. Katanya kalau nak disifatkan rasuah, yang hadir ke kenduri kahwin dan kemudian ‘bersalam mengaut’ itu juga boleh dipanggil rasuah. Alasannya kerana tuan rumah menjemput hadirin ke kenduri berkenaan.

Tujuan kawan saya itu adalah untuk menegaskan bahawa sekiranya dijemput dan kemudian diberi atau menerima wang / pitis sebagai upahan / balasan atau apa sekali pun istilahnya, maka itu adalah rasuah. Maksudnya, kalau G7 / perwakilan dipanggil oleh calon-calon dan kemudian diberi upahan, samalah konsepnya dengan dijemput ke kenduri kahwin.

Sambil berkeras kawan saya terus menegaskan bahawa konsep sebegitu tidak boleh diistilahkan sebagai rasuah. Katanya, dari Hulu Terengganu ke Kuala Lumpur, bukan dekat. Jadi kalau diberi sedikit imbuhan untuk mengisi minyak kereta, itu bukan rasuah tapi bolehlah dikatakan sebagai sagu hati. Tambahan pula, calon yang akan bertanding yang jemput mereka (perwakilan) hadir ke satu-satu perjumpaan dan biasanya yang hadir saja ‘diimbuhkannya’.

Saya hampir tergelak mendengar tafsiran dan analogi kawan saya itu. Dalam hati, saya melahirkan rasa kecewa memiliki kawan sebodoh itu dalam mentafsir sesuatu, asal ada bahagiannya sahaja tanpa langsung mengambil kira prinsip dan ketetapan yang telah dimaktubkan.

Itulah tahap pemikiran sebahagian perwakilan UMNO yang dipilih oleh perwakilan UMNO cawangan. Fikirkanlah sendiri tahap ahli UMNO di peringkat cawangan yang memilih perwakilan cawangan ke bahagian dan seterusnya.

Cuma yang boleh saya banggakan sikit ialah tahap pemikiran kawan saya ini sudah agak setanding dengan pemikiran Sasterawan Negara yang masih gagal membezakan antara belajar dan bercakap bahasa Inggeris dengan belajar mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (Samad Said cabar pemimpin Umno berbahasa Inggeris dalam kempen pilihan raya kecil – Harakahdaily).

Ahad, Mac 15, 2009

YANG KECIL & YANG BESAR : (ADA KE?)

Suatu ketika, Khalifah Umar bin Abdul Aziz menerima sepucuk surat daripada seorang wanita yang bernama Fartunah As Saudah. Fartunah hanyalah orang kecil yang tinggal di pedalaman Gaza daripada keluarga Asbah. Surat itu berisi keluhan tentang kebunnya yang kecil yang dimasuki oleh seseorang sehingga ayam yang dimilikinya juga telah dicuri orang itu.

Setelah membaca surat itu, Umar segera menulis surat balasan yang isinya memberi jaminan bahawa masalahnya akan segera diselesaikan oleh wakil Khalifah yang berada di daerah itu. Di samping itu, Khalifah juga mengirimkan surat kepada Ayub bin Syurahbil, salah seorang pegawainya yang ditugaskan di Mesir dan sekitarnya untuk mengurus masalah Fartunah As Saudah.

Ayub bin Syurahbil segera melaksanakan tugas setelah menerima surat tersebut. Dengan kudanya yang berlari kencang, beliau sampai di Gaza lalu bertanya kepada orang yang ditemuinya alamat Fartunah. Setelah berjaya ke rumah Fartunah, ternyata wanita itu seorang miskin yang memang harus ditolong. Kepada Fartunah, ia menyampaikan pesan dan tugas dari Khalifah Umar yang harus dilaksanakan.

Dengan senang hati, Fartunah mempersilakan Ayub untuk melaksanakan tugas yang diperintah oleh Khalifah. Untuk itu, kebun yang tidak begitu luas milik Fartunah tersebut kemudian diberi pagar di sekelilingnya sehingga ayam yang dipeliharanya dapat diselamatkan daripada dicuri.

Begitulah salah satu perhatian Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sedemikian besar kepada orang-orang kecil sehingga mereka merasakan kebahagiaan dalam hidup ini.

YANG MEMUJA & YANG TAK ADA KERJA

IPOH 15 Mac — Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini merobohkan plak peringatan ’Pokok Demokrasi’ yang dibina oleh Pakatan Rakyat untuk memperingati peristiwa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok pada 3 Mac lepas.

Lanjutan daripada tindakan itu juga, maka banyaklah orang melepaskan perasaan, marah-marah dan macam-macam tuduhan, sehingga sebahagiannya ada yang melabelkan pengkhianat yang mengkhianati plak berkenaan bersifat binatang.

Entahlah, kadang-kadang manusia nin adakalanya lebih pelik daripada benda-benda pelik. Tidak ada salahnya kalau benda ‘buatan manusia’ tu tidak diambil peduli pun. Bukan benda tu minta makan dengan sesiapa. Dah kalau benar kunjungan orang ramai semakin bertambah ke kawasan pokok ‘yang tak tahu apa-apa’ itu, itu rasanya lebih baik dan berjaya menarik jumlah pelancong ke tempat itu sendiri khasnya dan ke Ipoh umumnya.

Lebih manis dan berdemokrasi kalau plat berkenaan dipelihara @ dipagarrapikan seperti ramai orang memagarrapikan benda yang hampir serupa di tempat-tempat kenangan lain, terutama banyaknya ditemui di kawasan tanah perkuburan. Cuma jangan jadi benda yang dipuja untuk mendapatkan keuntungan yang syirik. Jangan sampai orang menuduh, dah tak ada kerja ke?

Lebih manis juga kalau ‘benda Allah’ yang dicipta manusia itu tidak terlalu dibela atau dipuja-puja, sehingga disentuh pun menimbulkan amarah yang membuak sehingga melahirkan kata-kata kesat yang sudah tentu akan mendapat ‘dosa kering’.

Mungkinkah kedua-dua pihak dah habis cerita nak ambil hal terhadap ‘manusia’ sehingga plat dan pokok pula menjadi pujaan dan diambil peduli sehingga sebegitu rupa?

Selasa, Mac 10, 2009

YANG SELALU DIKECAM : ALAHAI POLIS MALAYSIA

Pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dikecam lagi. Terbaru mereka dikatakan bertindak ganas kepada orang awam (termasuk wanita dan kanak-kanak) 3 hari lalu kerana dikatakan melanggar arahan polis dalam perarakan dan himpunan besar membantah PPSMI.

Itulah polis. Tak buat salah, buat lagi salah.

Pada saya, bukan semua polis yang seronok nak melakukan apa yang didakwa ‘kekerasan’ dan ‘keganasan’ begitu. Mereka juga seperti kita, yang menjalankan tugas dalam mencari rezeki. Lagi tak dinafikan, memang ada polis yang mempunyai sifat sebegitu dan kadang-kalanya sanggup melebih-lebihkan daripada arahan sebenar.

Cuma yang perlu kita fikirkan bersama – mungkinkah akan terjadi sebegitu rupa kalau semua orang mematuhi arahan dan peraturan yang telah ditetapkan. Nak dikatakan kerajaan takut dengan himpunan besar sebegitu, himpunan telah diadakan. Polis sendiri pun sedar akan berlakunya himpunan besar sebegitu, kalau tidak mana mungkin mereka dihantar untuk berkawal.

Kadang-kadang kesihan juga kepada anggota polis yang telah ‘dikambinghitamkan’ dan dalam masa yang sama kesihan juga kepada rakyat yang kena gas pemedih mata semata-mata kerana kurang faham atau tidak dimaklumkan dengan jelas arahan dan peraturan yang telah dikeluarkan oleh pihak polis. Atau mungkin kerana mereka sendiri merasakan, peraturan dan undang-undang buatan manusia apalah salahnya dilanggar, sedangkan hukum dan peraturan Allah (al-Quran) pun, ada manusia yang mengingkari dan melanggarnya.

Yang jelas, tiada siapa yang gembira dan ketawa besar apabila ditahan polis, contohnya dalam kes kesalahan lalu lintas atau memandu melebihi had laju atau tersalah letak kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan sahaja pun, walaupun jelas mereka terang-terangan melanggar peraturan yang ditetapkan. Mahu tidak mahu, polis tetap dipersalahkan, saman tetap diterima tetapi maki hamun dan rasa tidak puas hati kepada polis yang bertindak begitu tetap bersarang di dalam diri. Tak ada peliknya kalau itu yang berlaku. Yang jelas dan perlu kita sedar, selagi namanya manusia, tetap manusia yang bukan seratus peratus sempurna, ada kelemahan dan kekurangan tersendiri. Itulah lumrah dan fitrah.

Yang boleh difikirkan : Bagaimana kalau negara tidak perlu ada polis, tidak perlu ada peraturan dan tidak perlu ada undang-undang? Bagaimana pula bentuk dan wajah serta kaedah polis sekiranya mereka berkhidmat di bawah kerajaan (pusat) bukan kerajaan BN.

Marilah kita sama-sama doakan agar parti yang baik berjaya membentuk kerajaan yang tidak mengarahkan polis bertindak mengikut peraturan dan undang-undang yang dicipta oleh manusia itu.

Ahad, Mac 08, 2009

YANG TERSURAT : SEKADAR RENUNGAN

Gambar sebelah adalah anak Datuk A. Samad Said - sila layari webblognya (di sini).

Sekadar untuk renungan, saya memetik satu komen daripada blog Catatan Seekor Lipas yang secara kebetulan orang yang memberi komen di bawah adalah anak Terengganu. Ini bukan soal kenegerian atau soal menyokong atau menentang PPSMI, tetapi sekadar renungan. Diperturunkan komen oleh seorang yang menamakan dirinya Ahmad Albab sepenuhnya tanpa pindaan.

Salam. pertamanya, mmg kelakar bila baca apa yang ko tulis mat. Mmg masuk kepala ke akal - apa akan jadi kalu suma benda tu ditukar ke BM... hancur!

Kedua, lepas tu, aku tengok komen...mcm-mcm ada komen. Hingga ada yg kata ko ni mat, hina bahasa Melayu.

Ketiga, Pengalaman aku. Aku asal pantai timur, terengganu masuk skolah rendah early 80-s sampai menengah early 90-s. kat sana BI tu ibaratnye bahasa Dewa-dewa. Jarang sgt org sembang dlm bahasa tu.

Bila aku buat Diploma/degree di Shah Alam, aku kat ITM. Hampir - bahasa pengantar Bahasa melayu. english aku mmg berterabur. Nak kutip satu-satu nak buat ayat rasa macam nak bina twin tower. Jauh sungguh bezanya dgn budak KL, Selangor. Org belah pantai timur haram nak cakap orang putih... macam itik sakit tekak je bunyinya.

Sekarang aku dah kerja, kat syarikat besar. masih lagi guna bahasa melayu dalam 100 peratus urusannya kerjanya. Sebahagiannya nak cakap orang putih pun malu-malu...macam anak dara kampung zaman 60-an bercakap depan bakal pak mentua. bunyi suara dlm tekak je.

bila aku sedar kelemahan diri aku tu... aku yang boleh baca org putih, dan paham apa org cakap dlm bahasa mat salleh, belajar cakap org putih. Daripada bunyi kakak tua, aku dah boleh cakap lancar. semuanya terpaksa dilakukan dengan inisiatif diri.

kawan-kawan aku yg lain...sampai skang masih ramai - kalu kat function org cakap org putih, cari meja paling hujung dewan. dok sama geng sendiri, sebabnya buleh cakap melayu dengan bebasnya.

aku cuba cari sebabnya. kenapa aku susah sgt nak kuasai English. Bila aku renungkan, antara faktor penting, masa aku sekolah dulu...CIKGU AJAR ENGLISH DALAM BAHASA MELAYU!!!

Inisiatif diri. Melihatkan latar belakang aku yang lemah English dan banyak ketinggalan, kehilangan peluang termasuk kerjaya yang best - (simply coz i cant communicate in English). Aku tukar sekolah anak, dari sebuah sekolah di luar Lembah Klang. Aku hantar anak aku ke Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (1).

Beberapa hari pertama, balik sekolah anak aku mengadu kat bini aku...Mama, kakak tak pahamlah, cikgu kat sekolah cakap English. bini aku cakap, sabarlah. Kakak tanyalah kawan-kawan dan cikgu.

Aku kesian kat dia, tapi kami laki bini tetap biarkan dia di sekolah tu. Lama la jugak, dlm 6 bulan kemudian. anak aku dah mahir dgn english. Dan kami di rumah dan luar rumah boleh speaking org putih kat rumah dan luar rumah. Dia boleh tengok movie tanpa subtitles, boleh ajar dan sembang ngan adik-adik dia in English dan banyak lagi.

Bukan aku benci Bahasa Melayu. Tidak pernah sekali-kali. Apa lagi aku adalah pelajar Jurusan Sastera yang dapat SPM A1 - sastera dan BM. tapi aku sedar, belajar Sc n Maths in English adalah baik untuk anak MELAYU!

Jgn jadi bodoh. Konon hilang Melayu bila belajar dalam English. Nak tau Melayu hilang dekat mana, pegi ke Curve, Mutiara Damansara. Tengok anak perempuan Melayu yang pakai seluar pendek paras pangkal peha, dada tersembul dan pusat terjelir. Tengok anak lelaki Melayu yang togok arak macam minum air sirap limau. pergi la ke KLCC, Bukit Bintang, MidValley. Ada tak yg pakai baju Melayu, Baju Kurung atau kebaya. tengok la dressing,gaya, imej dia org, sebijik macam anak kevin Costner yg dok di Hulu Chicago. Diaorg ni la yang nak kena diperbetulkan dulu. kaji kat mana kelemahannya sampai budaya melayu terhakis macam gitu sekali. bukannya nak memekak pasal ajor anak kita guna BI di sekolah.

Lagipun, nama pun belajar di sekolah. Kan itu tempatnya org belajor! bengap!!!

yang benar,
Ahmad Albab yg masih Melayu walaupun slalu dok bercakap org putih.

Jumaat, Mac 06, 2009

YANG SEMAKIN BERKUASA : BUDAK TINGKAT 16

(i)

Barangkali ada benarnya seperti yang didakwa melalui bena di sebelah. Yang mentadbir dan berkuasa dalam kerajaan negeri Terengganu sekarang semakin keliru dan bercelaru.

Dua malam lalu, ketika lepak dan minum-minum bersama beberapa teman di Jalan Batas Baru, datang seorang kawan yang sudah kira-kira dua bulan tidak bertemu. Paling akhir bertemu beliau semasa sibuk menghadapi PRK Kuala Terengganu Januari lalu.

Dalam sembang-sembang itu, kawan saya yang merupakan seorang ahli perniagaan ini mengeluh, merungut dan membebel serta tidak puas hati kepada seseorang di tingkat 16, Wisma Darul Iman (Pejabat Menteri Besar Terengganu). Katanya semua orang tidak puas hati dan marah dengan perilaku budak tingkat 16 ini yang sekarang nampaknya semakin ‘mete’ dan benar-benar berkuasa di Terengganu.

Kata kawan itu, Mat Said Menteri Besar yang sah hanya menjadi tunggul sahaja atau mungkin juga di luar pengetahuan Mat Said dalam banyak hal yang melibatkan pentadbiran kerajaan hari ini, dek kerana budak tingkat 16 ini yang terlalu banyak menggunakan kuasa melangkaui bidang kuasa Menteri Besar berbanding apalah sangat bidang kuasanya sendiri.

Oleh kerana lagak serta tingkah laku melampau dan dalam masa yang sama Mat Said seolah-olah membiarkan budak tingkat 16 ini berkuasa dan berleluasa, kata kawan saya lagi, sudah banyak orang terutama di pejabat SUK yang menggelarkan budak tingkat 16 ini sebagai Menteri Besar II. Namun katanya lagi, gelaran nampak sedikit bawah daripada Mat Said tetapi kuasanya jauh melebihi kuasa yang ada pada seorang Menteri Besar. Itu kata kawan saya.

(ii)

Setelah bertanya punca masalah, kawan saya berkenaan mohon saya menulis perihal perkara ini. Bagi pihak beliau sendiri pula, beliau akan usahakan untuk bertemu dengan Mat Said dalam tempoh terdekat ini dan kalau masih tidak dapat selesaikan, beliau akan dedahkan perkara itu kepada media. Dakwa kawan saya lagi, sekiranya beliau memulakan pendedahan kepada media, akan ramai lagi orang lain yang senasib dengannya akan turut mendedahkannya dan kerajaan Mat Said akan malu besar. Demikian ‘ugutan’ kawan saya yang nampak semakin berang.

Sama ada Mat Said menyedari atau tidak, perkara ini nampaknya menjadi semakin serius. Kata kawan saya itu, kerajaan negeri berhutang dengannya lebih daripada RM1 juta. Sebagai orang berniaga, beliau amat memerlukan wang untuk meneruskan perniagaannya. Beliau akui kebanyakan produk yang dibekalkannya dibuat semasa zaman Idris Jusoh menjadi Menteri Besar tetapi bukan ditempah sendiri oleh Idris Jusoh tetapi ditempah oleh sebuah agensi kerajaan negeri untuk kegunaan dan kepentingan kerajaan negeri. Sama seperti tempahan ketika ini yang bukannya ditempah sendiri oleh Mat Said.

Memandangkan kelulusan dan tempahan serta bekalan berkenaan dibuat pada zaman Idris Jusoh, maka kata budak tingkat 16 @ Menteri Besar II, perbelajaannya tidak akan dibayar. Alasannya Idris Jusoh yang berhutang bukan Mat Said.

Kes serupa ini bukan sahaja menimpa kawan saya itu, malahan banyak orang. Ada yang merungut Mat Said telah menghentikan semua program dan bantuan atau sumbangan kewangan yang diteruskan oleh Idris Jusoh, walaupun segala program, bantuan mahupun sumbangan itu adalah merupakan lanjutan tradisi kerajaan BN, bukan baru diperkenal atau baru dimulakan pada zaman Idris Jusoh.

Sama kesnya dengan bantuan tahunan tambang pengangkutan sekolah pelajar-pelajar miskin di pedalaman yang menjadi tradisi sejak zaman Menteri Besar TS Wan Mokhtar lagi. Bantuan berkenaan diteruskan oleh Idris Jusoh malahan pada masa kerajaan Pas pimpinan Haji Hadi pun. Tetapi apabila sampai pada zaman Mat Said, bantuan berkenaan disimpan sejuk dalam bakul KIV budak tingkat 16 @ Menteri Besar II sehingga terpaksa beberapa kali diulang angkat. Yang nyata, akhirnya disahkan bahawa kes ini tidak pernah sampai ke pengetahuan Mat Said selaku Menteri Besar apa lagi untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Besar. Alhamdulillah, setelah kes ini sampai ke pengetahuan Mat Said atas bantuan dan usaha seseorang (yang kini dah dinyahkan dari tingkat 16), barulah kes itu selesai dan bantuan berkenaan sampai kepada yang memerlukan.

Tindakan sebegitu dianggap oleh banyak pihak, seolah-olah usaha untuk menghapuskan terus pengaruh dan legasi Idris Jusoh dalam peta pemerintahan kerajaan negeri Terengganu. Lebih buruk lagi tanggapan yang menyatakan seperti kerajaan Mat Said dan kerajaan Idris Jusoh adalah kerajaan bukan daripada parti yang sama.

Tanggapan itu ada benarnya dan teringat saya pada beberapa bulan yang lalu ketika saya bertemu dengan salah seorang bekas pemimpin UMNO Bahagian Kuala Terengganu. Perkara yang sama juga dijaja, seperti ada pakatan untuk memburukkan kerajaan pimpinan Idris Jusoh terdahulu. Cuma yang pasti, bekas pemimpin UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu menyebut perkara ini selepas beliau marahkan Idris Jusoh, kononnya Idris menaja ‘orangnya’ untuk menentang dan mengalahkan beliau di Bahagian Kuala Terengganu.

(iii)

Saya tidak berhasrat untuk mengatakan siapa benar atau siapa yang salah. Idris Jusoh mungkin ada salahnya dan Mat Said juga mungkin ada benarnya. Cuma apabila kita kembali kepada prinsip berkerajaan, kita kena faham dan tahu kaedah berkerajaan dan tanggungjawab sebagai kerajaan.

Sama seperti kerajaan Pas Terengganu 1999 yang mengambil alih pemerintahan daripada BN ketika itu. Kerajaan Pas ‘terpaksa’ membayar balik hutang-hutang yang dilonggokkan semasa pemerintahan sebelumnya dan kerajaan Pas telah berjaya menjelaskan hutang yang bukan sedikit kepada yang berkenaan terutamanya kepada kerajaan persekutuan (walaupun tidak keseluruhan kerana kekangan kewangan yang dihadapi oleh Pas). Demikian juga sebaik sahaja BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 2004, kerajaan Idris Jusoh juga turut membayar hutang-hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan Pas sebelumnya.

Itu adalah tanggungjawab kerajaan. Melaksanakan program dan membelanjakan wang (sama ada berhutang atau bagaimana caranya) adalah kaedah perlu bagi menggerakkan negeri. Dan kalau dikehendaki kerajaan itu bertukar tangan, hutang-piutang tetap menjadi tanggungjawab kerajaan semasa. Kalau nak persoalkannya pun, sama ada kerajaan itu belanjanya berhemah atau tidak. Membazir atau membatil. Itu sahaja.

(iv)

Cuma apabila kes kawan saya ini dirujuk kepada budak tingkat 16 @ Menteri Besar II, beliau terus memberi kata putus yakni tidak akan membayarnya kerana itu urusan zaman Idris Jusoh. Seolah-olah segala macam yang dibekalkan oleh kawan saya dan orang-orang lain yang berkaitan itu adalah atas kapasiti peribadi Idris Jusoh bukan kerajaan negeri, sedangkan kelulusannya cukup jelas dan berminit.

Justeru saya melihat perkara ini bukan soal pentadbiran yang diketahui sepenuhnya oleh Mat Said tetapi hanyalah rekaan budak tingkat 16 @ Menteri Besar II yang merasa lebih berkuasa dan penuh berkuasa.

Mat Said perlu melihat perkara ini dengan rasional. Kata kawan saya lagi, kalau benar Mat Said terlibat dengan kepincangan dan tahu hal ini, kenapa Mat Said meluluskan dan menjelaskan hutang berjumlah ratusan RM kepada seseorang yang menulis sebuah buku pada zaman Idris Jusoh sebaik sahaja Mat Said menjadi Menteri Besar, sedangkan permohonan ‘menjual buku’ berkenaan telahpun ditolak oleh mesyuarat Exco Kerajaan negeri pada era Idris Jusoh yang sudah tentu Mat Said (selaku Exco Kerajaan negeri ketika itu) turut berada dalam mesyuarat berkenaan.

Dalam kes ini, apakah Mat Said membawa untuk mendapatkan kelulusan bayaran pembelian buku-buku berkenaan ke dalam mesyuarat Exco? Dan lebih tragis lagi timbul persoalan “ada ke buku-buku tu? Di mana letaknya? Berapa jumlahnya? Berapa kos sebenarnya? Apakah dibayar kerana kroni? Atau ada kepentingan lain?

(v)

Alahai sakitnya UMNO dan BN Terengganu kalau beginilah keadaannya.

Rabu, Mac 04, 2009

YANG WAJAR PAS USAHAKAN

KUALA LUMPUR 2 Mac – Sebanyak 75,299 kes perceraian direkodkan di seluruh negara pada 2007 dan 2008 termasuk kes-kes tertunggak bagi tahun-tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 64,631 kes dicatatkan pada 2007 yang turut melibatkan tunggakan kes tahun-tahun sebelumnya, manakala sebanyak 10,668 kes dilaporkan tahun lalu.

Apa yang tersirat dapat kita fikirkan di sebalik berita di atas? Sudah tentu kaitannya dengan Islam, maruah, moral dan peraturan. Apakah antara puncanya terjadi begitu besar angka penceraian itu disebabkan mereka belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? Tentu tidak.

Yang pasti mereka tidak menghayati roh dan perintah agama Islam sebagaimana difirmankan Allah swt kepada umat-Nya melalui al-Quran. Sebahagian besar daripada mereka (bukan sahaja pasangan yang bercerai malahan termasuk campur tangan orang ketiga dan seterusnya) gagal menghayati ajaran Islam yang syumul itu sebagai cara hidup dan amalan harian mereka sementara mereka masih bernyawa dan berada di muka bumi ciptaan Allah ini.

Sering kita dengar orang-orang Pas mendakwa UMNO dan kerajaan BN hari ini tidak mahu kepada Islam sedangkan Pas berjuang dengan berasaskan itu (Islam berpandukan al-Quran). Perlembagaan Pas jelas memperuntukkan perihal itu. Sementara orang UMNO pula mendakwa mereka bukan menolak Islam, tetapi menolak Islam yang dipolitikkan oleh Pas untuk kepentingan politik mereka.

Mursyidul Am Pas mahupun pimpinan Pas lainnya rasanya sudah laih menyebut perkara ini. Perlembagaan yang ‘dianuti’ oleh Malaysia hari ini adalah perlembagaan sekular tinggalan penjajah yang dicipta oleh manusia. Justeru perlembagaan itu tidak betul, tidak boleh diterima dan tidak islamik. Perlu kepada perlembagaan Islam iaitu berlandaskan al-Quran yang di dalamnya sudah terkandung segala macam perkara yang menyentuh semua aspek kehidupan yang wajib diikuti tanpa was-was dan prejudis. Itulah perlembagaan Islam. Maka seru mereka – “kembalilah kepada Islam”.

Kalau kita kembali kepada Islam, rasanya tidak akan berlaku sebegitu banyak kes perceraian seperti dinyatakan di atas. Dalam politik juga misalnya, tidak mungkin berlaku kekalutan yang maha kartun seperti berlaku di Perak dan di mana-mana negeri dalam Malaysia seperti yang dialami hari ini. Itulah keyakinan orang-orang Pas dan itulah ulasan yang sering didengar pada setiap kali berlakunya perkara yang menyanggah hukum serta qadak dan qadar Tuhan.

Justeru pada saya, Pas perlu usahakan untuk mengangkat perlembagaan Islam ini dengan jujur, ikhlas dan tidak berselindung di sebalik mainan politik. Kalau Pas hari ini menyokong GMP (yang kita belum pasti UMNO menerimanya), kenapa Pas tidak berusaha secara sendiri ataupun menaja atau menyokong gerakan untuk memperjuangkan perlembagaan dan undang-undang Islam. Sediakan memorandum dan kumpulkan manusia untuk mengadakan perhimpunan ratusan ribu orang di hadapan Istana Negara bagi tujuan menyembahkannya kepada DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong seperti yang akan dilakukan pada 7 Mac ini.

Sepatutnya Pas sudah lama mengusahakan tindakan ini, kerana Pas sudah acap kali menuduh UMNO tidak mahu kepada Islam, tidak mahu negara mengikut undang-undang Islam dan sebagainya. Samalah seperti tuduhan Pas yang menyatakan UMNO menolak dan tidak mahu menghapuskan PPSMI.

Kalau kaedahnya UMNO menolak dan jalan penyelesaiannya mengumpul dan menyerahkan memorandum kepada Agong, saya kira dalam kes perlembagaan dan undang-undang Islam ini juga amat wajar dilakukan perkara yang sama. Biar rakyat celik mata dan orang-orang UMNO tahu, setakat mana kesungguhan dan keikhlasan perjuangan Pas dalam soal menegakkan negara Islam yang sebenar-benarnya Islam.

Sebab itu saya katakan, jangan berselindung di sebalik kepentingan politik. Menegakkan negara Islam adalah perintah dan suruhan Allah. Justeru Pas sewajarnya tidak perlu takut kepada orang bukan Islam yang boleh mengurangkan undi dan populariti mereka, tetapi perlu lebih takut kerana tidak melaksanakan perintah dan suruhan Allah. Demi kerana Islam dan ketaatan sebagai hamba Allah, ‘perjuangan’ ini wajib dilaksanakan.

Malangnya yang kita nampak sekarang, Pas hanya bersungguh-sungguh terhadap perkara politik yang remeh temeh di sisi Islam. Slogan ‘Pas untuk semua’ perlu dihayati dengan sesungguhnya. Pas sering melaungkan Islam adalah perjuangannya dan bukan Melayu (seperti UMNO?). Kalau orang itu orang Inggeris sekali pun tetapi dia Islam, maka dia wajib dibela.

Kenapa Pas menyokong GMP yang antara perjuangannya kerana bangsa dan bahasa Melayu? Yang antara perjuangannya juga kerana kerajaan melanggar perlembagaan negara bila menggunakan bahasa Inggeris dalam P&P sains dan matematik? Sedangkan dalam masa yang sama, Pas memperjuangkan ‘Pas untuk semua’.

Dalam masa yang sama juga Pas dan banyak orang yang menentang kerajaan sudah tidak menerima perlembagaan negara sekarang kerana perlembagaan itu tidak betul, ciptaan manusia dan tinggalan penjajah serta amat wajar digantikan dengan perlembagaan Islam yang berteraskan al-Quran.

Untuk apa lagi ada organisasi atau individu menyaman kerajaan semata-mata kerana kerajaan melanggar perlembagaan negara, sedang dalam masa yang sama, kita sendiri tidak memperakui dan menerima perlembagaan itu?

Pas perlu melihat perkara ini dengan rasional berasaskan perjuangan siasahnya bukan hanya berdasarkan isu yang dirasakan menguntungkan dan memberi ‘mileage’ politik kepadanya, sedangkan tindakan itu secara tidak langsung telah memakan diri sendiri.
Related Posts with Thumbnails