yang semasa

Jumaat, Februari 06, 2009

YANG MOHON LALUAN : MISAL KATA SAHAJA

Mohon laluan …

Cerita politik kartun di Perak belum boleh dikatakan telah selesai, walaupun ada yang memohon supaya ‘terima sajalah apa yang telah diputuskan’ oleh baginda Sultan Perak.

Mohon laluan untuk sama-sama kita membuat retrospektif seterusnya menjawab sendiri (dalam hati) kepada dua kes berikut :

KES 1 : 1983

1 Ogos 1983 – Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 1983, dibentangkan buat bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, DS Dr Mahathir Mohamad.

7 November 1983 – Raja Perlis bertitah “Tidak ada Raja kalau tidak ada rakyat dan tidak ada rakyat kalau tidak ada Raja”.

9 November 1983 – Setiausaha Agung UMNO menyatakan semua Bahagian UMNO menyokong bulat pucuk pimpinan untuk menyelesaikan krisis Perlembagaan.

26 November 1983 – Rapat raksaksa di Alor Setar, Kedah. Dr. Mahathir menafikan akan meletakkan jawatan sebagai PM atas sebab-sebab krisis Perlembagaan dan berkata “tidak ada sesiapa dan tidak ada golongan mana sekali pun yang boleh menurunkan saya dari kerusi Perdana Menteri selain daripada rakyat”.

6 Disember 1983 – Dr. Mahathir menegaskan bahawa negara ini tidak akan bertukar menjadi republik.

15 Disember 1983 – Timbalan Yang Di Pertuan Agong telah berkenan menandatangani pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Misal kata sahaja : Malaysia jadi Perak.

Siapa yang akan berterima kasih kepada Mahathir dan siapa pula yang akan menuduh Mahathir menderhaka?

KES 2 : 2008

25 MAC 2008 :

Pas sokong Ahmad Said

Pas menyokong keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) melantik Ahmad, sebagai Menteri Besar Terengganu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menerima prinsip Raja Berpelembagaan dan menyokong sebarang keputusan istana yang bertindak mengikut lunas sewajarnya. Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak istana kerana tegas dalam hal pelantikan Menteri Besar Terengganu serta menyokong cara penyelesaian yang diambil dalam kemelut berkenaan.

“Oleh kerana Ahmad Said dipilih istana, maka dialah yang kita sokong. Itu pandangan istana. Secara dasar (MPPR) menunaikan hak sebagai Raja Berpelembagaan,” katanya.

Justeru, beliau menggesa UMNO supaya menerima dan menghormati keputusan MPPR demi kepentingan rakyat kerana mereka sebahagian daripada institusi raja yang menjadi teras kepada Perlembagaan negara.

Istana Terengganu wajar terima

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula berkata, pihak Istana Terengganu perlu menerima keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melantik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar negeri itu buat penggal kedua berturut-turut.

Pelantikan Idris dibuat hasil cadangan parti Barisan Nasional (BN) yang memenangi pilihan raya umum lalu.

“Dia (Idris) dicadangkan parti untuk menjadi Menteri Besar. Istana (Terengganu) perlu dengar dan menerima cadangan parti.

“Kita buat ikut perlembagaan dan saya percaya istana juga akan ikut perlembagaan.

Mana-mana parti yang menang boleh bentuk kerajaan dan melantik Menteri Besar. Ia perlu dipersetujui Duli Tuanku.

“Dia (Idris) mendapat sokongan majoriti, termasuk daripada Pemuda dan Puteri Umno Terengganu. Yang penting dalam perlembagaan, Ahli Dewan Undangan Negeri menyokong dia,” katanya.

Jangan cabul hak Raja-Raja Melayu

Parti Islam Se-Malaysia (Pas), menyelar tindakan pihak yang menggunakan campur tangan politik ke atas Kuasa Raja-Raja Melayu dan Eksekutif.

Menurut Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, selain mencabar Institusi Kesultanan, perkara ini juga menunjukkan betapa rapuhnya pegangan Kerajaan Pusat terhadap proses pendemokrasian yang digunapakai selama ini.

Pemuda Pas mengesa polis menyiasat kain rentang yang dipamerkan berdekatan kediaman Datuk Seri Idris Jusoh kerana dianggap menghina Institusi Raja.

Kain rentang itu berbunyi `Kami nak Idris, natang,’ yang bermaksud kami mahukan Idris, binatang’ dalam loghat Terengganu.

Salahuddin Ayub berkata, tulisan di kain rentang ini bersifat hasutan dan tindakan segera perlu diambil untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Misal kata sahaja : Terengganu jadi Perak.

Siapa yang sokong Ahmad Said dan siapa pula yang sanggup menuduh Idris Jusoh menghina Institusi Raja? Siapa pula akan sokong Idris Jusoh?
Related Posts with Thumbnails