Jumaat, Februari 27, 2009

YANG BUAT HAL LAGI

(i)

Datuk A. Samad Said (Pak Samad), Sasterawan Negara (SN) buat hal lagi. Beberapa media menyiarkan kenyataan Pak Samad seperti berikut :

Datuk A. Samad Said sedia kehilangan gelaran dan penghormatan sebagai Sasterawan Negara dalam memperjuangkan pemansuhan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, gelaran tersebut tidak penting bagi dirinya kerana perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu lebih utama bagi kelangsungan anak bangsa pada masa depan.

"Kalau hendak ambil (gelaran), ambillah sekarang, perjuangan mesti diteruskan, ia langsung tidak menyentuh saya, kalau fikir itu besar sangat ambil dan simpan sajalah.

Sebelum ini (akhir 80-an dan akhir 90-an) Pak Samad telah dua kali membuat hal dengan melancarkan ‘mogok seni’, yang dilihat sesetengah orang sebagai berkepentingan peribadi, walaupun beliau telahpun diberi keistimewaan yang jauh lebih baik daripada sasterawan lain termasuklah mereka yang bergelar SN.

Saya secara peribadi sebenarnya amat menghormati ketegasan dan ketokohan Pak Samad dari dulu lagi. Apa lagi kalau diteliti daripada hasil karyanya. Koleksi SN terutamanya koleksi buku-buku Pak Samad menjadi koleksi yang paling banyak saya miliki berbanding dengan SN yang lain.

Namun apabila ini tindakan Pak Samad – menjaja dan menjual maruah dan penghargaan yang dianugerahkan orang kepada kita, saya menjadi sedikit terkilan dan (maaf) saya merasakan Pak Samad sudah diperalatkan dan sudah mula menjaja egonya sendiri dengan kedudukan dan penganugerahan yang telah diterimanya sejak tahun 1986 itu.

Saya masih mencari apakah ada sesiapa yang mempertikaikan Pak Samad kerana bukan sahaja menyokong, malahan menjadi antara juru cakap di pentas bagi menunjukkan komitmen beliau yang ‘ikhlas’ untuk memansuhkan PPSMI. Nampaknya saya gagal menemui, malahan tidak diketemui pun komen daripada sesiapa termasuklah pemimpin politik kerajaan terhadap penglibatan Pak Samad untuk memansuhkan PPSMI ini, baik menerusi Pena, Gapena mahupun GMP. Jauh sekali untuk bercakap tentang ‘menarik balik’ anugerah SN yang sudah 23 tahun diterimanya itu.

Sebenarnya tidak ada apa yang perlu dirisaukan oleh Pak Samad. Sebagai rakyat Malaysia, beliau dan sesiapa sahaja berhak menunjukkan bantahan, bebas menyokong apa dan sesiapa sahaja selagi tidak melanggar batas dan peraturan yang digunapakai masa kini. Tak kiralah apa sahaja tanggapan orang-orang yang tidak setuju dengan batas dan peraturan yang dikuatkuasakan sekarang, sama ada dianggap peraturan rimba atau sebagainya, ia tetap batas dan peraturan. Sebagai warganegara yang diletakkan Allah di bumi Malaysia, sebagai warganegara yang waras dan ada kesusilaan sebagai rakyat, apa lagi kalau dapat menghayati budaya Melayu dengan sempurna, maka segala itu wajar dipatuhi dan diikuti.

Dan dalam kes Pak Samad, tiada sesiapa yang mempertikaikan ‘perjuangan’ Pak Samad dalam usaha memansuhkan PPSMI. Jadi untuk apa tiba-tiba Pak Samad ‘menjual’ gelaran SN dan seolah-olah ‘menawarkan’ agar kerajaan menarik balik gelaran berkenaan? Siapa yang mempertikaikan perihal Pak Samad? Siapa yang mempertikaikan perihal gelaran SN? Siapa yang gatal mulut dan dengki amat terhadap Pak Samad tu?

Tidak lain dan tidak bukan adalah persepsi Pak Samad sendiri yang menjaja ego dan kehebatan sendiri dan menganggap kes PPSMI ini adalah isu yang perlu dibesarkan dan perlu diberi perhatian oleh semua orang, bukan sahaja rakyat Malaysia malahan oleh seluruh dunia kerana gerakan dan perjuangan memansuhkan PPSMI telah disertai sama oleh seorang yang maha hebat – seorang Sasterawan Negara. Wow !!!

Buat apa kita nak menjaja dan menjual ego sendiri. Berjuanglah. Berceramah dan berkempenlah. Tidak ada kaitan langsung dengan SN. Sama seperti tiadanya kaitan dengan gelaran Datuk. Sama seperti tiada kaitan langsung dengan Pak Said (ayahanda Pak Samad) atau anak isterinya. Itu soal peribadi dan perjuangan serta fahaman masing-masing. Tiada manusia di dunia ini yang boleh menyekat kehendak dan fahaman individu yang lain. Demikian juga halnya dengan Pak Samad.

Kesedaran dan keinsafan mungkin datang kemudian. Itulah yang dinamakan perubahan dan ada kemajuan. Itu kita faham. Namun apabila kita kaitkan perbuatan lalu dengan masa kini dengan cara yang tidak sewajar dan sepatutnya, apa lagi melibatkan soal kepentingan peribadi, kita seolah-olah mengundur ke belakang, bukan ke arah perubahan tetapi sengaja mencari publisiti murahan mengada-ngada dan menonjolkan diri, kononnya diri kita hebat dan berpengaruh.

Pak Samad kena sedar, bukan sahaja anugerah SN, waima gelaran Datuk, Tan Sri, Tun atau apa sahaja yang dikategorikan sebagai anugerah, pemberian – semua orang berhak menolaknya dan semua orang kena perakui segalanya itu boleh ditarik balik. Dalam erti kata yang lain, tidak semestinya wajib diterima atau berdosa besar kalau tidak menerima. Dan bukan sesuatu yang pelik, kalau hari ini bergelar Datuk atau Tan Sri tetapi dua hari kemudian kembali kepada Encik, Tuan Haji. Kenikmatan dan kesihatan yang baik yang dianugerahkan Illahi pun, kalau Allah ingin menarik balik, kita tidak dapat menghalangnya. Tak perlu kita menawarkan agar ditarik balik, diambil semula atau menjaja sehingga sebegitu rupa.

Gelaran SN bukanlah besar dan tidak juga kecil. Itu bukan kriteria penarafannya. Tetapi yang perlu dicelikkan mata, SN adalah anugerah dan pemberian sebagai penghormatan dan penghargaan kepada kita. Menolak atau menawarkan agar ditarik balik bermakna kita tidak tahu mengenang budi, tidak reti menghargai dan tidak pandai berterima kasih. Sifat orang Melayu apa lagi mengakui sebagai seorang Islam yang ‘sudah bertaubat’ tidak sewajarnya sampai ke tahap itu. Wajarkah diteladani sikap dan sifat orang Melayu yang berdegar-degar memperjuangkan bahasa dan budaya Melayu sebegini? Bercakap soal memperjuangkan Melayu, sedang dalam masa yang sama sifat ke-Melayuan diletak di bawah tapak kaki.

Sepatutnya Pak Samad tidak menerimanya dari dulu lagi. Sepatutnya Pak Samad menawarkan agar ditarik balik anugerah itu sejak dulu lagi. Tetapi malangnya setelah segala macam keistimewaan yang berkaitan dengan anugerah SN itu sudah ‘menjadi darah daging dan najis’, barulah Pak Samad tergadah mengatakan itu tidak penting dan 'besar sangat'.

Itulah kesombongan, keangkuhan dan keegoan sendiri. Kalau sehingga menimbulkan cakap “kalau fikir itu besar sangat ambil dan simpan sajalah” sebegitu, maknanya sikap sombong, angkuh dan ego Pak Samad sudah sampai ke siling. Mengangkat diri dan merasakan diri kita hebat berbanding orang lain.

Bukan tidak ada SN yang pernah menentang kerajaan, malahan pernah jadi wakil rakyat lagi. SN yang dianugerahi gelaran itu lebih awal daripada Pak Samad – Cikgu Shahnon Ahmad misalnya adalah ahli PAS seumur hidup dan pernah menjadi Ahli Parlimen Sik, Kedah mewakili parti PAS. Tak ada apa-apa masalah pun. Sehingga sekarang masih ada gelaran SN. Cikgu Shahnon tidak pula nampak egonya menawarkan gelaran SN supaya ditarik balik. Apakah Cikgu Shahnon takut dan berkepentingan peribadi? Kalau Cikgu Shahnon takut dan ada kepentingan peribadi, beliau sewajarnya tidak menjadi ahli PAS seumur hidup dan kemudian bertanding atas tiket PAS. Tapi Cikgu Shahnon adalah contoh SN yang ada akal budi dan akal fikir, ada ilmu, warganegara yang berfikiran terbuka dan lebih penting sebagai seorang hamba Allah beragama Islam yang tahu dan faham batas keIslaman, kesopanan dan kesusilaan sebagai seorang Islam.

Maknanya bukan Pak Samad seorang yang menerima gelaran dan merasakan hebatnya tindakan yang dianuti sekarang sehingga menawarkan gelaran SN untuk ditarik balik. Ramai sasterawan yang tidak setuju dengan banyak dasar yang ada. Ramai sasterawan yang kecenderungan fahaman dan ideologi politiknya tidak memihak kepada kerajaan. Itu tidak menjadi kesalahan dan itu adalah hak peribadi mereka. Tetapi mereka tidak pula sampai menonjolkan keegoan yang melampau atau merasakan diri mereka terlalu hebat.

Mungkin Pak Samad takut dengan bayang-bayangnya sendiri? Atau Pak Samad sudah diperalatkan oleh agen politik yang ingin menunjukkan kepada umum kononnya SN pun menyokong mereka. Mereka hendak menggunakan nama SN itu untuk kepentingan politik mereka. Kerana itu, mereka berusaha memperalat SN bukan atas kapasiti Pak Samad secara peribadi.

(ii)

"Memang dulu, saya seorang sasterawan yang 'berkira-kira' oleh kerana golongan elit yang berkuasa adalah rakan-rakan saya, semuanya saya kenal, kalau bercakap saya tidak mahu sentuh kecuali ada pemimpin yang inginkan fikiran saya secara jujur dan total".

Saya percaya kata-kata Pak Samad. Tetapi dengan ‘teman-teman yang semuanya dikenalinya’ pun, adakah menjadi sesuatu halangan yang besar atau menjadi pantang larang untuk Pak Samad bertemu mereka bagi memberi pandangan, berunding secara hati ke hati dan dalam kes PPSMI ini misalnya - melahirkan kebimbangan akan kuncupnya bahasa Melayu yang semua orang Melayu sayang itu. (Oh ya.. saya terlupa. Taraf SN dan ‘Sasterawan Rakyat’ seperti Pak Samad bukan kelasnya pergi berjumpa dengan PM atau TPM atau Menteri, tetapi Pak Samad perlu dijemput dan disambut dengan kereta mewah untuk diajak berbincang dengan orang-orang itu. Pak Samad kan SN, daulah dan darjatnya wajib dijaga).

Pak Samad tidak jujur dan ikhlas dalam perjuangan memansuhkan PPSMI. Pak Samad memang diperalatkan. Kalau Pak Samad benar-benar ikhlas dan jujur serta tiada kepentingan apa-apa dalam perjuangan memansuhkan PPSMI ini, jauh sekali diperalatkan, Pak Samad sebagai warganegara yang prihatin, bertanggungjawab dan berpengaruh, hanya perlu bersemuka sahaja dengan ‘rakan-rakan’ beliau golongan elitis yang berkuasa itu, kerana ‘semuanya beliau kenal’.

Tetapi yang jelas dan nyata, tindakan Pak Samad sekarang bertentangan sekali dengan cakap-cakapnya. Keikhlasannya diragui. Tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak dipersoalkan. Sepatutnya, setelah perbincangan diadakan, rasional yang relevan dan kukuh dibentangkan, diikuti dengan pengutaraan saranan, pandangan atau nasihat yang bernas dan meyakinkan - tetapi Pak Samad masih tidak dihiraukan oleh ‘teman-teman yang semuanya dikenali' itu, barulah Pak Samad boleh bersama-sama ‘pejuang’ yang lain berjuang dengan pendekatan alternatif, termasuklah berceramah di pentas politik dan mengadakan demontrasi 100 juta orang sekali pun.

Barulah boleh dijadikan modal. Bukan modal setelah ke Mekah dan bertaubat!!! Sayanglah, orang sehebat Pak Samad pun sudah terperdaya dengan mainan politik orang-orang berkepentingan.
Related Posts with Thumbnails