Khamis, Februari 19, 2009

YANG BARU TERJAGA DARI TIDUR : ALAHAI GAPENA, ALAHAI GMP

Alkisah maka banyaklah songel dan ngomelnya para ‘pejuang bahasa’ yang tersohor, bertaraf profesor dan pakar-pakaran memperjuangkan bahasa Melayu dan mendesak supaya dihapuskan PPSMI. Harap-harap mereka ini bukannya profesor kangkung Sintok atau mana-mana institusi pengajian MELAYU Malaysia seperti yang selalu ‘didewa-dewakan’ oleh banyak orang kalau ada isu yang kurang dipersetujui mereka.

Tahniah kepada GAPENA dan tahniah kepada GMP. GAPENA telah berjaya membuat laporan polis (diulang LAPORAN POLIS bukan SAMAN terhadap Kerajaan dan Kementerian Pelajaran seperti ugutan awal mereka) dan GMP telah berjaya mengadakan ‘himpunan besar’ di hadapan SOGO yang paling ringkas dan segera dalam dunia (tercatat dalam World Guiness Book of Records… ooppp!!! Buku Rekod Dunia Jenama Arak?) seterusnya berjaya mengemukakan memorandum kepada ahli-ahli Parlimen yang menyokong mereka. Sekali lagi TAHNIAH.

Ikhlas dan jujur saya katakan bahawa saya bukan menyokong PPSMI secara totok (saya sudah sebutkan pendirian saya berkaitan PPSMI ini dengan panjang lebarnya dalam tulisan terdahulu (di sini) atau bukannya saya tidak menyokong GAPENA dan GMP dalam perjuangan memansuhkan PPSMI ini. Tetapi kerana pada pandangan peribadi saya, hari ini GAPENA dan GMP jelas menggunakan PPSMI untuk mengisi agenda politik (bukan hanya politik kepartian) dan kepentingan sendiri.

Saya tidak berhasrat untuk mengulangi banyak perkara yang telah pun saya sebut dalam tulisan panjang lebar itu. Cuma kali ini saya ingin mencari sesuatu yang saya sendiri masih teraba-raba apakah faktor dan alasan logik serta kuat yang membolehkan saya perlu berdiri bersama GAPENA mahupun GMP memegang sepanduk membantah PPSMI.

Mungkin saya menjadi antara salah seorang Melayu yang telah ‘dibodohkan oleh UMNO selama lebih 50 tahun’ itu, lantaran itu saya teraba-raba hilang punca dan tidak menyokong GAPENA dan GMP dalam hal ini. Atau memang saya secara pantulannya telah sedar bahawa baik GAPENA mahupun GMP, mereka ini ada kepentingan dan agenda sendiri serta diperalatkan. Atau mungkin juga kerana aliran pemikiran kini yang semakin ramai pengundi berhaluan kiri dan tidak menghiraukan BN, makanya GAPENA dan GMP tumpang semangkuk, menjadikan saya tawar untuk bersubahat memperalatkan PPSMI untuk kepentingan mereka. Wallahuaklam.

Yang pasti, dalam mencari semuanya itu, saya hanya ternampak GAPENA dan GMP baru terjaga dari tidur mereka yang lena selama kira-kira 52 tahun (Semenanjung Tanah Melayu) dan 46 tahun Malaysia merdeka dan mereka baru sedar daripada mengigau selama lebih enam tahun setelah PPSMI dilaksanakan.

Yang agak ketara baru terjaga dari tidur dan ingauan ini ialah GAPENA kerana almaklumlah, penggerak atau barisan jawatankuasa mereka hampir semuanya terdiri daripada mereka yang sudah ‘tetap dan berpencen’. Ayam pencen bila tidurnya lebih lena dan kalau disembelih pula, dagingnya agak keras. Itulah ayam pencen. Mereka berkeras bahawa gerombolan mereka yang menerajui GAPENA hari inilah merupakan gerombolan paling hebat. Tiada badan bukan kerajaan lain yang sehebat GAPENA yang dibarisi oleh orang-orang yang hebat sebegitu, sedangkan mereka tidak tahu dalam kepala dan minda mereka, masih bernostalgia dengan lagu dan irama lama.

Betul yang ada di kerusi jawatankuasa GAPENA tu sarjana, profesor, ilmuan, Tan Sri, Datuk-Datuk, tapi resmi ayam pencen amat menebal dan bebal. Kalau tidak masakan ada AJKnya bangkai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Petaka (jangan betulkan ejaan anda, ini adalah label yang telah diberikan oleh orang-orang yang sebelumnya mempersendakan peranan DBP kerana tidak sebulu dengan nafsu mereka) pun, baru sekarang mereka tersentak.

(p/s : Wooiit… dalam jawatankuasa kerja GAPENA ada beberapa orang profesor yang pernah digelar profesor kangkung tau. Tapi dalam hal yang nampak ada kepentingan begini, tidak pula ada manusia yang menyebut profesor-profesor pencen dalam GAPENA tu profesor kangkung Sintok. Kah… kah… kah… cukuplah tipu Melayu oooiii).

Pada saya berkata benarlah biarpun pahit. Seperti kata Ketua Dua GAPENA berikut :

Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sejak ia dilaksanakan enam tahun lepas, kata Ketua Dua GAPENA, Profesor Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Beliau berkata, gabungan itu tetap dengan pendirian menentang PPSMI dan pelbagai bantahan dibuat setiap tahun melalui seminar dan mesyuarat sejak pelaksanaan dasar itu pada tahun 2002.

Sayangnya Dr Latif tidak menjelaskan apakah perkembangan bantahan berterusan itu atau apa kesannya atau apa tindakan susulannya atau kalau berhenti, kenapa berhenti atau apa resolusi hasil seminar, perbincangan, mesyuarat seperti yang disebut itu.

Biar saya tolong sebutkan kenapa perkara itu terbantut dan hari ini (2009) baru terantuk. Benar GAPENA pernah ada seminar dan mesyuarat, tetapi seminar dan mesyuarat yang hanya kata orang ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja. Tidak bersungguh sehingga ke peringkat membincangkan untuk menyaman kerajaan. Sekadar meluahkan rasa tidak puas hati dan rasa tidak senang sesama sendiri. Itu pun dibuat tanpa kesungguhan dan ditimbulkan oleh beberapa kalangan sahaja, khususnya di kalangan badan kerabatnya yang memang menyedari perihal PPSMI yang tidak memartabatkan bahasa Melayu ini.

Memang pernah diusulkan untuk mengkaji semula dan memansuhkan PPSMI yang ditimbulkan dalam Mesyuarat Agung GAPENA. Tetapi usul itu sampai ke mana, banyak orang tidak tahu. Tindakan susulannya meragukan.

Yang pasti, GAPENA memang sibuk dengan seminar dan kunjungan mencari dunia Melayu di luar Malaysia sampai ke Mekah, Afrika, Vietnam, Thailand, Indonesia dan seratanyalah. Setiap kali keluar negara mencari dunia Melayu di luar, berbondong-bondonglah AJK mereka yang sudah pencen dan tdak terikat dengan kerja harian itu ikut bersama. Kesibukan itulah yang menyebabkan isu-isu dalam negara sendiri menjadi terlepas pandang atau memang sengaja tak nak pandang pun. Isu remeh temeh katakan.

Satu perkara lagi yang jelas menyebabkan terbantutnya usaha GAPENA memperjuangkan mansuhnya PPSMI ini ialah tika mana ada pihak yang telah pun mengirimkan jentolak dan beberapa jentera berat ke perkarangan rumah GAPENA untuk mengambil alih membangunkan tanah yang diehsankan sementara kepada GAPENA itu. Tak salah kerajaan, kerana itu milik kerajaan bukan milik GAPENA yang hak.

Semua gelabah dan bermati-matian mempertahankan rumah pusaka mereka itu. Macam-macam surat dan memorandum dikirimkan kepada orang-orang besar negara untuk memohon menyelamatkan rumah pusaka itu. Atas kepentingan takutnya kehilangan rumah GAPENA itu, maka segala macam tuntutan lain yang kelihatan agak ‘menentang arus’ dikendurkan dan ada yang disembunyikan terus ke dalam guri beras termasuklah mendesak kerajaan untuk memansuhkan PPSMI ini.

Situasi itu berlanjutan sehingga beberapa tahun. Kurang pasti bagaimana kedudukan rumah GAPENA hari ini, sudah menjadi milik mereka atau bagaimana.

Yang paling menyebabkan GAPENA mula terhantuk dan tersedar daripada tidur lenanya yang panjang itu ialah tamparan hebat bagaimana seorang anak muda dari Johor menyanggah jawatan Ketua Satu GAPENA. Walaupun dari segi sokongannya, anak muda itu kurang mendapat sokongan majoriti (lantaran perwakilan badan kerabat pun ramai yang sudah berjawatan tetap dan berpencen juga), tetapi dari segi moral dan mesejnya, berjaya menjolok punggung Ketua Satu sepanjang hayat itu untuk melenting sakan.

Banyak isu yang diketengahkan oleh anak muda dari Johor itu yang menggangu fikir Ketua Satu dan GAPENA mutakhir ini. Mereka mula sedar, mencari dunia Melayu di luar walaupun penting tetapi mencari dunia Melayu dalam kain sendiri adalah lebih penting. Memperjuangkan Melayu di dalam laman sendiri lebih penting dan lebih utama daripada menjulurkan akal minda memperjuangkan Melayu yang entah dari mana keturunannya di luar itu.

Membantu pejuang bahasa dan dunia Melayu di kalangan kerabat mereka lebih perlu diutamakan, bukan hanya sekadar boleh berbangga dengan hanya sumbangan RM3 ribu setahun kepada badan kerabat, sedang dalam masa yang sama harta dan aset yang dimiliki GAPENA perlu dibekukan dalam khazanah sampai bila-bila dan untuk siapa entah.

Sebab itu tak perlulah kita hairan, banyaknya perubahan yang berlaku selepas acahan hebat anak muda Johor itu. Termasuklah menghangatkan semula isu PPSMI yang sudah hampir nak basi lantaran sudah terlalu lama terperap dalam guri beras dan periuk GAPENA. Tolong jangan pertikaikan perkara ini. Kalau nak pertikai juga, tanyalah anak muda Johor itu sendiri.

Yang GMP pula demikian juga. Pengerusinya ayam pencen yang pernah jadi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Petaka (sekali lagi, jangan betulkan ejaan anda). Lepas itu disertailah oleh para profesor, sasterawan, penyair dan pakar-pakaran yang dikatakan ‘pejuang yang sayangkan bahasa Melayu’.

Ayam pencen bangkai KP DBP nin tak payahlah nak tipu Melayu. Nak mengelirukan Melayu dan rakyat ramai. Beberapa kenyataannya jelas membodohkan Melayu dan bangsanya sendiri. Apabila dikatakan menjadi alat kepada politik partisan, melatah tak tentu hala. Cuba senaraikan siapa yang berada dalam GMP tu dan senaraikan juga orang yang disebut sebagai pakar dan pejuang bahasa tu.

Berapa banyak masalah bahasa Melayu dah dapat diselesaikan oleh ayam pencen nin selama dia menjadi KP DBP dulu? Kenapa sampai sekarang pun masih lagi ada ‘mazhab’ dalam bahasa Melayu? Ada mazhab Hasmah Haji Omar, ada mazhab Nik Safiah Karim, ada mazhab Awang Sariyan, ada mazhab DBP, ada mazhab USM, ada mazhab UKM, ada mazhab UPM dan ratusan mazhab lagi. Kenapa perkara ini tidak didedahkan dan diselesaikan? Betul ke semua orang yang bercakap dan menulis dalam bahasa Melayu sebelum PPSMI dilaksanakan dulu?

Mana pakar-pakar bahasa yang disebut tu? Tak duduk dalam GMP ke? Atau sedang memikirkan bagaimana nak kembangkan lagi mazhab mereka supaya Melayu lebih ramai kena tipu?

Yang berjanggut putih tu bukan pakar bahasa Datuk. Suruh dia balik ke Singapura berjuang bahasa Melayu di sana baru betul. Jawi dan roman Melayu pun tak tahu nak beza, apa kelas pejuang gitu. Profesor yang menjadi timbalan Datuk tu bukan profesor bahasa Datuk, dia profesor sains. Bercakap nak pesan teh tarik pun 90 peratus guna istilah sains. Yang ada jawatan dalam parti politik tu bukan pakar bahasa Datuk. Mereka pakar, pakai, pokai dan 'pokke' politik. Sebut UMNO, PAS, PKR, DAP mereka retilah. Kenapa menggunakan mereka? Tak ada kepentingan dan bukan diperalatkan ke kalau begitu keadaannya?

Cerita Melayu ramai kena tipu dan mazhab-mazhab Bahasa Melayu nin teringat saya semasa belajar di sebuah universiti tempatan dulu. Bahasa Melayu yang diambil sebagai mata pelajaran wajib lulus terpaksa menggunakan buku teks yang ditulis oleh pensyarah bahasa Melayu universiti berkenaan. Oleh kerana mazhabnya amat songsang sekali dengan mazhab DBP, maka ada di kalangan guru (yang menyambung pelajaran) kandas beberapa kali dalam peperiksaan kertas Bahasa Melayu, sedangkan guru berkenaan adalah Munsyi Dewan (Ahli / pakar rujuk bahasa Melayu DBP), apa lagi pelajar-pelajar lain yang bukan munsyi.

Malah ada seorang pelakon dan pengacara telivisyen yang tersohor ketika itu (sekarang pun masih lagi hebat) setiap pagi muncul di kaca TV dan bercakap dalam bahasa Melayu yang hebat, berbunga-bunga dan gramatis, tetapi malangnya terpaksa mengambil kertas Bahasa Melayu di universiti tu sebanyak 7 kali. 6 kali gagal dan yang terakhir lulus pun hanya dengan gred ‘D’ (itu pun mungkin bagi membolehkan beliau selesai pengajian).

Ini kerana mazhab Bahasa Melayu di universiti berkenaan direka cipta sendiri oleh pakar-pakarnya. Pelajar terpaksa mengikut mazhab mereka kerana merekalah yang menyediakan soalan dan memeriksa. Lebih penting merekalah yang meluluskan pelajar. Hal ini juga sama dengan universiti lain, punya mazhab sendiri-sendiri.

Kenapa tak selesaikan ini dulu? Dah berkurun masalah nin Datuk!!!! Kesian kepada mereka yang memilih kerjaya guru dan memilih Bahasa Melayu sebagai opsyennya, terpaksa membetulkan semula (dengan izin) ‘alignment’ minda Bahasa Melayunya untuk sesuaikan dengan mazhab yang digunakan di sekolah. Semua sekolah di Malaysia menggunakan Bahasa Melayu mazhab DBP.

Bahasa Melayu P&P dengan bahasa Melayu perbualan berbeza? Dah kalau begitu, apa salahnya PPSMI dan bahasa Inggeris? Bangkai KP DBP tu bila bercakap bahasa Inggeris atau bahasa Melayu menggunakan istilah matematik dan sains ke? Tak kan nak minta ‘kopi O secawan’ kena sebut “aljebra sifar h2o dua tolak satu kabohidrat !!!”. Nanti Chandran jual kopi O tepi pagar DBP tu kata apa pula kepada mereka.

Tak tahukah GMP yang kaum Cina dan India juga mahukan pengajaran matematik dan sains itu dalam bahasa ibunda mereka. Malahan sudah ada secara diam-diam sekolah jenis kebangsaan yang menggunakan bahasa ibunda mereka dalam P&P matematik dan sains. Mana bahasa Melayu?

Betul kata bangkai KP DBP tu bahawa bukan dua mata pelajaran sains dan matematik sahaja yang melibatkan kerugian kerana menggunakan bahasa Inggeris, malah ada lebih 80 subjek lain yang akan ditemui di peringkat universiti akan turut terjejas. Seperti yang saya ceritakan berhubung mazhab Bahasa Melayu di universiti tadi, amat tidak munasabah, bangkai KP DBP tu tak tahu cara belajar di universiti. Bukankah senat universiti dan para pensyarahnya mempunyai kuasa autonomi berhubung dengan bidang yang hendak diajar, buku yang hendak digunakan, membina soalan sendiri, memeriksa sendiri, meluluskan pelajar sendiri?

Saya kira autonomi itu masih berkekalan sehingga hari ini. Pensyarah boleh suka-suka menggunakan buku rujukan siapa dan dari mana mengikut mazhab yang dianuti mereka dan mana yang dirasakan sesuai serta serasi dengan mereka. Tambah lagi kalau buku itu ditulis sendiri oleh pensyarah berkenaan, makinlah minta dijadikan teks dan rujukan. Dan seingat saya pada zaman belajar di universiti dulu, hanya subjek Bahasa Melayu sahaja yang dipelajari dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Bagi subjek lain, termasuk Pengajian Islam, mesti ada buku rujukan dalam bahasa Inggeris yang perlu dirujuk atas kehendak dan arahan pensyarah.

Jadi apa nak disusahkan sangat kalau PPSMI kerana yang akan ditemui di universiti nanti ialah buku-buku rujukan bahasa asing itu juga. Atau kalau boleh, tolong bangkai KP DBP senaraikan buku-buku semua bidang dalam bahasa Melayu yang sedang digunakan sekarang di universiti. Sampai 30 peratus? Buku rujukan dalam bahasa asing langsung tak ada ke sekarang? Atau tak boleh ke kita katakan bahawa segala bahan rujukan termasuk untuk rujukan bagi subjek matematik dan sains itu merupakan disiplin ilmu bantu yang diperlukan untuk mengembangkan lagi tahap pemikiran dan pengetahuan pelajar tanpa mengira dalam bahasa apa kita rujukkannya? Akan tergugat dan tercemarkah bahasa Melayu apabila pelajar menguasai kemahiran dan disiplin bantu lain, terutamanya dalam bahasa Inggeris?

Kenapa kita tidak sibuk dengan subjek Kesusasteraan Inggeris yang diajar dalam bahasa Inggeris, sedangkan masih boleh diajar dalam bahasa Melayu? Kenapa kita tidak tergadah dengan subjek Tasawur Islam atau Usuluddin yang diajar dalam bahasa Arab sedangkan masih boleh diajar dalam bahasa Melayu? Lagikan doa masih boleh dibacakan dalam bahasa Melayu, inikan subjek yang manusia cipta.

Mohon GAPENA dan GMP senaraikan juga orang-orang terdahulu yang bebal atau menjadi gila atau kurang siuman semata-mata mereka bersekolah dalam aliran Inggeris yang semua subjek (kecuali Bahasa Melayu) sepenuhnya menggunakan bahasa Inggeris. Kalau saya masih sempat menjadi generasi terakhir mengikuti peperiksaan MCE dan HSC, saya kira Pengerusi GMP atau Ketua Satu GAPENA lebih daripada sempat mengikuti dan bergelumang dengan 'dosa' pemerintah terdahulu yang menjadikan manusia Malaysia hari ini semuanya gila kerana sistem dan dasar pelajaran yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Tak tahulah saya kot kot dua orang ini bersekolah di sekolah jenis kebangsaan dan sekolah menengah jenis kebangsaan.

Marilah kita berfikir secara rasional dan terbuka. Ambillah tindakan dengan berhemah sesuai dengan sopan santun dan kesusilaan adat, adab dan resmi orang MELAYU. Ada cara yang jauh lebih sopan untuk berunding bukan dengan cara yang dibuat sekarang.

Kalau kerajaan berkeras nak teruskan juga, apa kita nak buat? Nak rombak bangunan DBP atau nak rombak Putrajaya? Kalau kita meniarap seminggu di jalanan pun seperti di Perak tu, Zamry juga yang mereka nak lantik, mereka peduli apa dengan kita. Nak apakan kita dengan mereka? Begitu juga dengan hal ini.

Nak melihat bangsa dan anak bangsa bertamadun, bukan begitu caranya. Jangan kita kembalikan kejahilan ibu bapa zaman tahun-tahun 50-an 60-an dulu yang menyifatkan hantar anak ke sekolah Inggeris, akan jadi kafir. Fahaman kolot tu tak sepatutnya masih melekat di minda bangsa harapan baru Malaysia alaf 20 ini.

ACARA SELINGAN 1 :

Tujuan Penubuhan GAPENA :

1. Menyatupadukan penulis-penulis tanahair yang menulis dalam Bahasa Kebangsaan;


2. Mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan-kepentingan penulis;

3. Memberikan sumbangan moral dan material secara kolektif kepada tujuan dan cita-cita Gabungan;

4. Mengusahakan peluang-peluang untuk penulis-penulis memajukan bakat mereka;

5. Menyatupadukan semua rakyat negara ini menerusi bahasa rasmi yang tunggal iaitu Bahasa Melayu;

6. Mencari, mendapatkan dan mengendalikan harta alih dan harta tidak alih di mana-mana sahaja dalam Malaysia dan luar negara, dan bagi menyempurnakan tujuan ini Gabungan bolehlah menubuhkan apa-apa entiti, syarikat, badan korporat atau yayasan; dan

7. Berusaha untuk memajukan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

SOALAN : Tolong senaraikan berapa perkara daripada tujuh tujuan penubuhan GAPENA itu sudah berjaya dengan jaya dan bangganya selama hampir 40 tahun GAPENA wujud di alam Malaysia ini.

ACARA SELINGAN 2 :

(petikan terus daripada rencana dalam Harakah online tanpa pindaan)

Menurutnya JPN cuba bermain sandiwara setelah menteri pelajaran diasak teruk di mana pelbagai pihak tampil menentang dasar PPSMI yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri.

Kata beliau seharusnya kerajaan mendengar keluhan rakyat dan bukannya memekat telinga meneruskan dasar PPMSI.

Beliau yang enggan mendedahkan identitinya turut meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan JPN Kelantan yang cuba memperalatkan PIBG untuk tujuan politik.

SOALAN : Wartawan/penulis nin belajar bahasa Melayu zaman PPSMI ke? Menulis dalam bahasa Melayu pun banyak yang tak betul. Inilah contoh pejuang bahasa Melayu yang maha hebat abad ini, yang amat dibangga-banggakan oleh GAPENA dan GMP.
Related Posts with Thumbnails