Jumaat, Februari 27, 2009

YANG BUAT HAL LAGI

(i)

Datuk A. Samad Said (Pak Samad), Sasterawan Negara (SN) buat hal lagi. Beberapa media menyiarkan kenyataan Pak Samad seperti berikut :

Datuk A. Samad Said sedia kehilangan gelaran dan penghormatan sebagai Sasterawan Negara dalam memperjuangkan pemansuhan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, gelaran tersebut tidak penting bagi dirinya kerana perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu lebih utama bagi kelangsungan anak bangsa pada masa depan.

"Kalau hendak ambil (gelaran), ambillah sekarang, perjuangan mesti diteruskan, ia langsung tidak menyentuh saya, kalau fikir itu besar sangat ambil dan simpan sajalah.

Sebelum ini (akhir 80-an dan akhir 90-an) Pak Samad telah dua kali membuat hal dengan melancarkan ‘mogok seni’, yang dilihat sesetengah orang sebagai berkepentingan peribadi, walaupun beliau telahpun diberi keistimewaan yang jauh lebih baik daripada sasterawan lain termasuklah mereka yang bergelar SN.

Saya secara peribadi sebenarnya amat menghormati ketegasan dan ketokohan Pak Samad dari dulu lagi. Apa lagi kalau diteliti daripada hasil karyanya. Koleksi SN terutamanya koleksi buku-buku Pak Samad menjadi koleksi yang paling banyak saya miliki berbanding dengan SN yang lain.

Namun apabila ini tindakan Pak Samad – menjaja dan menjual maruah dan penghargaan yang dianugerahkan orang kepada kita, saya menjadi sedikit terkilan dan (maaf) saya merasakan Pak Samad sudah diperalatkan dan sudah mula menjaja egonya sendiri dengan kedudukan dan penganugerahan yang telah diterimanya sejak tahun 1986 itu.

Saya masih mencari apakah ada sesiapa yang mempertikaikan Pak Samad kerana bukan sahaja menyokong, malahan menjadi antara juru cakap di pentas bagi menunjukkan komitmen beliau yang ‘ikhlas’ untuk memansuhkan PPSMI. Nampaknya saya gagal menemui, malahan tidak diketemui pun komen daripada sesiapa termasuklah pemimpin politik kerajaan terhadap penglibatan Pak Samad untuk memansuhkan PPSMI ini, baik menerusi Pena, Gapena mahupun GMP. Jauh sekali untuk bercakap tentang ‘menarik balik’ anugerah SN yang sudah 23 tahun diterimanya itu.

Sebenarnya tidak ada apa yang perlu dirisaukan oleh Pak Samad. Sebagai rakyat Malaysia, beliau dan sesiapa sahaja berhak menunjukkan bantahan, bebas menyokong apa dan sesiapa sahaja selagi tidak melanggar batas dan peraturan yang digunapakai masa kini. Tak kiralah apa sahaja tanggapan orang-orang yang tidak setuju dengan batas dan peraturan yang dikuatkuasakan sekarang, sama ada dianggap peraturan rimba atau sebagainya, ia tetap batas dan peraturan. Sebagai warganegara yang diletakkan Allah di bumi Malaysia, sebagai warganegara yang waras dan ada kesusilaan sebagai rakyat, apa lagi kalau dapat menghayati budaya Melayu dengan sempurna, maka segala itu wajar dipatuhi dan diikuti.

Dan dalam kes Pak Samad, tiada sesiapa yang mempertikaikan ‘perjuangan’ Pak Samad dalam usaha memansuhkan PPSMI. Jadi untuk apa tiba-tiba Pak Samad ‘menjual’ gelaran SN dan seolah-olah ‘menawarkan’ agar kerajaan menarik balik gelaran berkenaan? Siapa yang mempertikaikan perihal Pak Samad? Siapa yang mempertikaikan perihal gelaran SN? Siapa yang gatal mulut dan dengki amat terhadap Pak Samad tu?

Tidak lain dan tidak bukan adalah persepsi Pak Samad sendiri yang menjaja ego dan kehebatan sendiri dan menganggap kes PPSMI ini adalah isu yang perlu dibesarkan dan perlu diberi perhatian oleh semua orang, bukan sahaja rakyat Malaysia malahan oleh seluruh dunia kerana gerakan dan perjuangan memansuhkan PPSMI telah disertai sama oleh seorang yang maha hebat – seorang Sasterawan Negara. Wow !!!

Buat apa kita nak menjaja dan menjual ego sendiri. Berjuanglah. Berceramah dan berkempenlah. Tidak ada kaitan langsung dengan SN. Sama seperti tiadanya kaitan dengan gelaran Datuk. Sama seperti tiada kaitan langsung dengan Pak Said (ayahanda Pak Samad) atau anak isterinya. Itu soal peribadi dan perjuangan serta fahaman masing-masing. Tiada manusia di dunia ini yang boleh menyekat kehendak dan fahaman individu yang lain. Demikian juga halnya dengan Pak Samad.

Kesedaran dan keinsafan mungkin datang kemudian. Itulah yang dinamakan perubahan dan ada kemajuan. Itu kita faham. Namun apabila kita kaitkan perbuatan lalu dengan masa kini dengan cara yang tidak sewajar dan sepatutnya, apa lagi melibatkan soal kepentingan peribadi, kita seolah-olah mengundur ke belakang, bukan ke arah perubahan tetapi sengaja mencari publisiti murahan mengada-ngada dan menonjolkan diri, kononnya diri kita hebat dan berpengaruh.

Pak Samad kena sedar, bukan sahaja anugerah SN, waima gelaran Datuk, Tan Sri, Tun atau apa sahaja yang dikategorikan sebagai anugerah, pemberian – semua orang berhak menolaknya dan semua orang kena perakui segalanya itu boleh ditarik balik. Dalam erti kata yang lain, tidak semestinya wajib diterima atau berdosa besar kalau tidak menerima. Dan bukan sesuatu yang pelik, kalau hari ini bergelar Datuk atau Tan Sri tetapi dua hari kemudian kembali kepada Encik, Tuan Haji. Kenikmatan dan kesihatan yang baik yang dianugerahkan Illahi pun, kalau Allah ingin menarik balik, kita tidak dapat menghalangnya. Tak perlu kita menawarkan agar ditarik balik, diambil semula atau menjaja sehingga sebegitu rupa.

Gelaran SN bukanlah besar dan tidak juga kecil. Itu bukan kriteria penarafannya. Tetapi yang perlu dicelikkan mata, SN adalah anugerah dan pemberian sebagai penghormatan dan penghargaan kepada kita. Menolak atau menawarkan agar ditarik balik bermakna kita tidak tahu mengenang budi, tidak reti menghargai dan tidak pandai berterima kasih. Sifat orang Melayu apa lagi mengakui sebagai seorang Islam yang ‘sudah bertaubat’ tidak sewajarnya sampai ke tahap itu. Wajarkah diteladani sikap dan sifat orang Melayu yang berdegar-degar memperjuangkan bahasa dan budaya Melayu sebegini? Bercakap soal memperjuangkan Melayu, sedang dalam masa yang sama sifat ke-Melayuan diletak di bawah tapak kaki.

Sepatutnya Pak Samad tidak menerimanya dari dulu lagi. Sepatutnya Pak Samad menawarkan agar ditarik balik anugerah itu sejak dulu lagi. Tetapi malangnya setelah segala macam keistimewaan yang berkaitan dengan anugerah SN itu sudah ‘menjadi darah daging dan najis’, barulah Pak Samad tergadah mengatakan itu tidak penting dan 'besar sangat'.

Itulah kesombongan, keangkuhan dan keegoan sendiri. Kalau sehingga menimbulkan cakap “kalau fikir itu besar sangat ambil dan simpan sajalah” sebegitu, maknanya sikap sombong, angkuh dan ego Pak Samad sudah sampai ke siling. Mengangkat diri dan merasakan diri kita hebat berbanding orang lain.

Bukan tidak ada SN yang pernah menentang kerajaan, malahan pernah jadi wakil rakyat lagi. SN yang dianugerahi gelaran itu lebih awal daripada Pak Samad – Cikgu Shahnon Ahmad misalnya adalah ahli PAS seumur hidup dan pernah menjadi Ahli Parlimen Sik, Kedah mewakili parti PAS. Tak ada apa-apa masalah pun. Sehingga sekarang masih ada gelaran SN. Cikgu Shahnon tidak pula nampak egonya menawarkan gelaran SN supaya ditarik balik. Apakah Cikgu Shahnon takut dan berkepentingan peribadi? Kalau Cikgu Shahnon takut dan ada kepentingan peribadi, beliau sewajarnya tidak menjadi ahli PAS seumur hidup dan kemudian bertanding atas tiket PAS. Tapi Cikgu Shahnon adalah contoh SN yang ada akal budi dan akal fikir, ada ilmu, warganegara yang berfikiran terbuka dan lebih penting sebagai seorang hamba Allah beragama Islam yang tahu dan faham batas keIslaman, kesopanan dan kesusilaan sebagai seorang Islam.

Maknanya bukan Pak Samad seorang yang menerima gelaran dan merasakan hebatnya tindakan yang dianuti sekarang sehingga menawarkan gelaran SN untuk ditarik balik. Ramai sasterawan yang tidak setuju dengan banyak dasar yang ada. Ramai sasterawan yang kecenderungan fahaman dan ideologi politiknya tidak memihak kepada kerajaan. Itu tidak menjadi kesalahan dan itu adalah hak peribadi mereka. Tetapi mereka tidak pula sampai menonjolkan keegoan yang melampau atau merasakan diri mereka terlalu hebat.

Mungkin Pak Samad takut dengan bayang-bayangnya sendiri? Atau Pak Samad sudah diperalatkan oleh agen politik yang ingin menunjukkan kepada umum kononnya SN pun menyokong mereka. Mereka hendak menggunakan nama SN itu untuk kepentingan politik mereka. Kerana itu, mereka berusaha memperalat SN bukan atas kapasiti Pak Samad secara peribadi.

(ii)

"Memang dulu, saya seorang sasterawan yang 'berkira-kira' oleh kerana golongan elit yang berkuasa adalah rakan-rakan saya, semuanya saya kenal, kalau bercakap saya tidak mahu sentuh kecuali ada pemimpin yang inginkan fikiran saya secara jujur dan total".

Saya percaya kata-kata Pak Samad. Tetapi dengan ‘teman-teman yang semuanya dikenalinya’ pun, adakah menjadi sesuatu halangan yang besar atau menjadi pantang larang untuk Pak Samad bertemu mereka bagi memberi pandangan, berunding secara hati ke hati dan dalam kes PPSMI ini misalnya - melahirkan kebimbangan akan kuncupnya bahasa Melayu yang semua orang Melayu sayang itu. (Oh ya.. saya terlupa. Taraf SN dan ‘Sasterawan Rakyat’ seperti Pak Samad bukan kelasnya pergi berjumpa dengan PM atau TPM atau Menteri, tetapi Pak Samad perlu dijemput dan disambut dengan kereta mewah untuk diajak berbincang dengan orang-orang itu. Pak Samad kan SN, daulah dan darjatnya wajib dijaga).

Pak Samad tidak jujur dan ikhlas dalam perjuangan memansuhkan PPSMI. Pak Samad memang diperalatkan. Kalau Pak Samad benar-benar ikhlas dan jujur serta tiada kepentingan apa-apa dalam perjuangan memansuhkan PPSMI ini, jauh sekali diperalatkan, Pak Samad sebagai warganegara yang prihatin, bertanggungjawab dan berpengaruh, hanya perlu bersemuka sahaja dengan ‘rakan-rakan’ beliau golongan elitis yang berkuasa itu, kerana ‘semuanya beliau kenal’.

Tetapi yang jelas dan nyata, tindakan Pak Samad sekarang bertentangan sekali dengan cakap-cakapnya. Keikhlasannya diragui. Tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak dipersoalkan. Sepatutnya, setelah perbincangan diadakan, rasional yang relevan dan kukuh dibentangkan, diikuti dengan pengutaraan saranan, pandangan atau nasihat yang bernas dan meyakinkan - tetapi Pak Samad masih tidak dihiraukan oleh ‘teman-teman yang semuanya dikenali' itu, barulah Pak Samad boleh bersama-sama ‘pejuang’ yang lain berjuang dengan pendekatan alternatif, termasuklah berceramah di pentas politik dan mengadakan demontrasi 100 juta orang sekali pun.

Barulah boleh dijadikan modal. Bukan modal setelah ke Mekah dan bertaubat!!! Sayanglah, orang sehebat Pak Samad pun sudah terperdaya dengan mainan politik orang-orang berkepentingan.

Isnin, Februari 23, 2009

YANG KELIRU, YANG MENGAKU & YANG MENGADA-NGADA

Satu perkataan yang mengelirukan banyak orang dalam banyak kes ialah RAKYAT. Kita ambil beberapa contoh berikut :

Contoh 1 : (Seperti gambar di sebelah) Daulat Tuanku Rakyat pohon Tuanku bubarkan DUN Perak.

Contoh 2 : Adalah menjadi harapan patik-patik sekalian rakyat jelata agar Tuanku Sultan Perak mengambil tindakan segera ke atas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan mereka yang bersama beliau menggantung Menteri Besar Perak dan Barisan EXCOnya dari menghadiri sidang DUN Perak.

Contoh 3 : Ini sejarah hitam bagi rakyat negeri Perak apabila dengan zalim dan rakusnya Timbalan Presiden UMNO, Najib Tun Razak mengadap DYMM Sultan Perak pada pagi 5 Feb. 2009 untuk merompak hak rakyat tersebut melalui pintu belakang.

Contoh 4 : Menurut Mukhriz keputusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang berpihak kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya Umno.

Contoh 5 : Rakyat Kuala Terengganu telah mulai sedar dan terang-terangan menolak BN dengan memilih calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut sebagai Ahli Parlimen mereka.

Contoh 6 : Menurutnya JPN cuba bermain sandiwara setelah menteri pelajaran diasak teruk di mana pelbagai pihak tampil menentang dasar PPSMI yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri. Kata beliau seharusnya kerajaan mendengar keluhan rakyat dan bukannya memekat telinga meneruskan dasar PPMSI.

Apa penyelesaiannya apabila …

Semua pihak mengada-ngada mengaku rakyat bersama mereka. Apakah kalau sebahagian orang yang tidak setuju dan sebahagian yang lain bersetuju, boleh diistilahkan sebagai rakyat yang mewakili keseluruhannya?

Contoh 1 : Apakah semua rakyat Perak mohon DUN Perak dibubarkan?

Contoh 2 : Apakah semua rakyat Perak bersetuju dan memberi kesanggupan agar Tuanku Sultan Perak mengambil tindakan?

Contoh 3 : Semua rakyat negeri Perak terpalit sejarah hitam yang dimaksudkan?

Contoh 4 : Tak kan 100% rakyat UMNO hilang kepercayaan?

Contoh 5 : Kalau rakyat Kuala Terengganu menolak BN, kenapa Wan Farid dapat undi lebih 30 ribu dan ‘rakyat’ Wahid Endut hanya 31 ribu itu sahaja?

Contoh 6 : Siapa ‘pelbagai pihak’? (pinjam cara TT tanya : woit… NAK TANYA SIKIT… PELBAGAI PIHAK NI APA BENDANYA?.... kah kah kah...SELALU DENGAR TAPI TAK PERNAH JUMPA…. kah kah kah…..ADA DI JUAL DI JAYA JUSCO KE?... kah kah kah… Keluhan ‘rakyat’ yang bersetuju dan mempertahankan PPSMI tak ada ke?

Apa istilah yang sesuai untuk digunakan bagi menggantikan perkataan ‘rakyat’ dalam konteks adanya majoriti dan minoriti serta adanya pro dan kontra, setuju dan tidak setuju dalam banyak kes? Apakah yang bermajoriti sedikit pun, boleh dianggap sebagai ‘rakyat keseluruhannya?'

Istilah yang sesuai mungkin suara majoriti, suara terbanyak, majoriti orang atau lebih separuh atau yang berkepentingan. Namun dalam kes-kes tertentu, istilah itu akan menjadi subjektif berdasarkan ukuran majoriti minoriti, terbanyak terkurang atau lebih separuh kurang separuh. Dan siapa pula yang boleh mengesahkan dan mengiktiraf perkara ini?

Kadang-kadang kita akan kecewa apabila ada yang mengada-ngada mendakwa ‘rakyat’ bersama mereka, rakyat menyokong penuh usaha mereka, rakyat berdiri teguh di belakang mereka. Siapa rakyat yang dimaksudkan itu? Pening juga nak mengistilahkan formula sains dan matematik ini dalam bahasa Melayu ya?

Rasanya elok para pejuang bahasa terutamanya GAPENA dan GMP mencari istilah yang sesuai untuk perkataan ‘rakyat’ ini dan marilah kita sama-sama terdahulunya merakamkan jutaan terima kasih atas usaha dan kejayaan mereka dalam menggantikan dengan tepat perkataan itu untuk digunapakai oleh ‘rakyat’ Malaysia dengan selesanya tanpa keliru dan mengada-ngada lagi.

Sabtu, Februari 21, 2009

YANG TERUS KEMARUK & PELAHAP KUASA

Saya sebenarnya sudah malas nak menulis perihal 'Dr Jepun dalam kurungan' @ (Dr Jepun) Timbalan Menteri Besar Kanan negeri Terengganu seorang nin yang bodoh sombong, gila kuasa, kemaruk kuasa dan pelahap kuasa. Tetapi memandangkan kekemarukan dan kepelahapan kuasa itu ada sedikitnya bersangkutan dengan saya, maka saya gagahi juga menulis perkara ini.

Sebenarnya terlalu banyak sifat dan tindakan (Dr Jepun) ini yang rata-rata menjelaskan betapa kemaruk dan pelahap kuasanya beliau. Inilah antara contoh teladan yang perlu dicelikkan mata oleh Mat Said selaku Menteri Besar yang sah, bagi menjamin Mat Said tidak diperkudakan oleh (Dr Jepun) ini, apa lagi sehingga merosakkan nama baik dan imej kerajaan negeri pimpinan Mat Said.

Sejak kebelakangan ini (terutama selepas (Dr Jepun) ini menang jawatan Ketua UMNO Bahagian), beliau dilihat amat berkuasa dan berpengaruh mencampuri secara langsung pelbagai urusan, bukan sahaja urusan dalaman parti UMNO/BN malahan dalam pentadbiran kerajaan negeri juga. Beliau bukan lagi dilihat sebagai Setiausaha Perhubungan UMNO negeri tetapi tarafnya kadang-kadang sebagai Ketua Menteri Besar Terengganu mengalahkan Mat Said pula.

Beliaulah yang bertindak memuaskan nafsu dan melepaskan dendamnya dengan memecat orang-orang tertentu yang tidak sebulu dan melantik orang-orang yang serasi dengannya sewenang-wenangnya. Bukan sahaja jawatan dalam parti, malahan juga yang melibatkan pentadbiran kerajaan seperti dalam UMNO Perhubungan sendiri, JKKK, Ubest, dan seumpamanya. Sudah banyak orang dipecat dengan pelbagai alasan dan hairannya Mat Said seolah-olah membutakan mata, memekakkan telinga sahaja apabila 'orang paling kanannya' itu bertindak sedemikian. Ringkasnya, beliaulah manusia yang bertanggungjawab memporakporandakan UMNO dan masyarakat UMNO di Terengganu.

Kebelakangan ini, sama ada disedari atau tidak oleh Mat Said, banyak ‘majlis rasmi kerajaan’, (Dr Jepun) ini akan hadir atas nama 'wakil khas Menteri Besar'. Bagi mengelakkan pengacara majlis terlupa menyebut namanya, beliau sendiri akan mengarahkan pengacara menyebut namanya sebagai wakil khas Menteri Besar. Dan kalau pengacara tidak menyebutnya sedemikian, entah apalah hukumannya. Mungkin akan dipecat juga, barangkali.

Mat Said tidak sedarkah akan perkara ini? Atau (Dr Jepun) yang pandai-pandai reka. Kerana setahu dan sepanjang pengetahuan saya yang naif ini, pada zaman Menteri Besar terdahulu, kalau Menteri Besar tidak dapat hadir ke majlis-majlis rasmi kerajaan, keutamaan menggantikan tempat MB ialah Exconya yang bertanggungjawab dan berkaitan dengan portfolio. Paling tidak ada Exco pun, peranan itu akan diambil alih oleh wakil-wakil rakyat yang bertindak selaku Timbalan Exco. Kalau tidak ada lagi, tugas itu akan turun kepada pegawai kanan Jabatan/agensi kerajaan termasuklah Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawainya.

Dalam hal (Dr Jepun) ini, siapa (Dr Jepun)? Apa jawatannya dalam kerajaan? Apa peranan Exco Kerajaan negeri? Di mana kredibiliti Menteri Besar dan Exconya? Apa kuasa (Dr Jepun) ini sehingga boleh dilabelkan sebagai ‘wakil khas Menteri Besar’? Maka amat sesuailah kalau pun (Dr Jepun) ini boleh diberikan jawatan Ketua Menteri Besar Terengganu sehingga Mat Said boleh dicucuk hidung sebegitu rupa.

Kerana pelahap dan kemaruk kuasa juga, (Dr Jepun) ini telah pun memaklumkan kepada banyak orang (termasuk YB yang masih berkhidmat secara sah sekarang) bahawa ‘senarai calon UMNO/BN’ untuk pilihan raya umum ke-13 akan datang telah pun siap. Termasuk dalam senarai ialah namanya sendiri yang akan bertanding semula di Parlimen Dungun menggantikan YB Matulidi yang disifatkan olehnya sebagai ‘tidak perform’ dan dok rok cetong. Beliau juga akan bertanding di DUN (sama ada di Paka atau Bukit Besi) bagi memastikan angan-angan yang dipasangnya untuk menjadi Menteri Besar Terengganu akan termakbul. Itu hasrat dan cita-cita menggunungnya yang kini sedang dicanang oleh balaci dan baruanya di seluruh negeri Terengganu, termasuk juga di Lembah Klang.

Sesuatu yang paling melucukan dan mungkin tidak terjangkau oleh sesiapa yang masih waras akal fikirannya ialah adanya ‘arahan’ yang terkeluar daripada mulut (Dr Jepun) yang kemaruk kuasa ini agar orang-orang tertentu dalam syarikat / agensi yang tidak kena mengena dengan beliau sendiri khususnya atau UMNO dan kerajaan Terengganu khasnya, melakukan sesuatu bagi kepentingan diri atau memuaskan nafsu dan memboyehkan lagi isi perutnya yang kotor itu.

Contoh paling ketara betapa kemaruk, pelahap dan tidak sedar dirinya (Dr Jepun) ini misalnya ialah sudah beberapa kali beliau mengarahkan Editor Watan supaya ‘memecat’ saya daripada berkhidmat dengan Watan (kebetulan saya adalah wakil negeri kepada akhbar Watan). (Dr Jepun) nin mungkin tidak menyedari bahawa bukan beliau yang menanggung makan minum saya mahupun pekerja-pekerja Watan yang lain selama ini, malahan haram bagi saya menjamah duit beliau walaupun satu sen. Lebih jauh daripada itu, beliau tidak pernah hendak menyedari bahawa Watan itu bukan harta milik dirinya atau peninggalan mak bapak beliau atau pusaka tokki beliau.

Itulah (Dr Jepun) yang walaupun fizikalnya khetoq, namun cita-cita dan nafsunya tidaklah terlalu khetoq walaupun akalnya masih jauh daripada untuk tidak khetoq.

Khamis, Februari 19, 2009

YANG BARU TERJAGA DARI TIDUR : ALAHAI GAPENA, ALAHAI GMP

Alkisah maka banyaklah songel dan ngomelnya para ‘pejuang bahasa’ yang tersohor, bertaraf profesor dan pakar-pakaran memperjuangkan bahasa Melayu dan mendesak supaya dihapuskan PPSMI. Harap-harap mereka ini bukannya profesor kangkung Sintok atau mana-mana institusi pengajian MELAYU Malaysia seperti yang selalu ‘didewa-dewakan’ oleh banyak orang kalau ada isu yang kurang dipersetujui mereka.

Tahniah kepada GAPENA dan tahniah kepada GMP. GAPENA telah berjaya membuat laporan polis (diulang LAPORAN POLIS bukan SAMAN terhadap Kerajaan dan Kementerian Pelajaran seperti ugutan awal mereka) dan GMP telah berjaya mengadakan ‘himpunan besar’ di hadapan SOGO yang paling ringkas dan segera dalam dunia (tercatat dalam World Guiness Book of Records… ooppp!!! Buku Rekod Dunia Jenama Arak?) seterusnya berjaya mengemukakan memorandum kepada ahli-ahli Parlimen yang menyokong mereka. Sekali lagi TAHNIAH.

Ikhlas dan jujur saya katakan bahawa saya bukan menyokong PPSMI secara totok (saya sudah sebutkan pendirian saya berkaitan PPSMI ini dengan panjang lebarnya dalam tulisan terdahulu (di sini) atau bukannya saya tidak menyokong GAPENA dan GMP dalam perjuangan memansuhkan PPSMI ini. Tetapi kerana pada pandangan peribadi saya, hari ini GAPENA dan GMP jelas menggunakan PPSMI untuk mengisi agenda politik (bukan hanya politik kepartian) dan kepentingan sendiri.

Saya tidak berhasrat untuk mengulangi banyak perkara yang telah pun saya sebut dalam tulisan panjang lebar itu. Cuma kali ini saya ingin mencari sesuatu yang saya sendiri masih teraba-raba apakah faktor dan alasan logik serta kuat yang membolehkan saya perlu berdiri bersama GAPENA mahupun GMP memegang sepanduk membantah PPSMI.

Mungkin saya menjadi antara salah seorang Melayu yang telah ‘dibodohkan oleh UMNO selama lebih 50 tahun’ itu, lantaran itu saya teraba-raba hilang punca dan tidak menyokong GAPENA dan GMP dalam hal ini. Atau memang saya secara pantulannya telah sedar bahawa baik GAPENA mahupun GMP, mereka ini ada kepentingan dan agenda sendiri serta diperalatkan. Atau mungkin juga kerana aliran pemikiran kini yang semakin ramai pengundi berhaluan kiri dan tidak menghiraukan BN, makanya GAPENA dan GMP tumpang semangkuk, menjadikan saya tawar untuk bersubahat memperalatkan PPSMI untuk kepentingan mereka. Wallahuaklam.

Yang pasti, dalam mencari semuanya itu, saya hanya ternampak GAPENA dan GMP baru terjaga dari tidur mereka yang lena selama kira-kira 52 tahun (Semenanjung Tanah Melayu) dan 46 tahun Malaysia merdeka dan mereka baru sedar daripada mengigau selama lebih enam tahun setelah PPSMI dilaksanakan.

Yang agak ketara baru terjaga dari tidur dan ingauan ini ialah GAPENA kerana almaklumlah, penggerak atau barisan jawatankuasa mereka hampir semuanya terdiri daripada mereka yang sudah ‘tetap dan berpencen’. Ayam pencen bila tidurnya lebih lena dan kalau disembelih pula, dagingnya agak keras. Itulah ayam pencen. Mereka berkeras bahawa gerombolan mereka yang menerajui GAPENA hari inilah merupakan gerombolan paling hebat. Tiada badan bukan kerajaan lain yang sehebat GAPENA yang dibarisi oleh orang-orang yang hebat sebegitu, sedangkan mereka tidak tahu dalam kepala dan minda mereka, masih bernostalgia dengan lagu dan irama lama.

Betul yang ada di kerusi jawatankuasa GAPENA tu sarjana, profesor, ilmuan, Tan Sri, Datuk-Datuk, tapi resmi ayam pencen amat menebal dan bebal. Kalau tidak masakan ada AJKnya bangkai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Petaka (jangan betulkan ejaan anda, ini adalah label yang telah diberikan oleh orang-orang yang sebelumnya mempersendakan peranan DBP kerana tidak sebulu dengan nafsu mereka) pun, baru sekarang mereka tersentak.

(p/s : Wooiit… dalam jawatankuasa kerja GAPENA ada beberapa orang profesor yang pernah digelar profesor kangkung tau. Tapi dalam hal yang nampak ada kepentingan begini, tidak pula ada manusia yang menyebut profesor-profesor pencen dalam GAPENA tu profesor kangkung Sintok. Kah… kah… kah… cukuplah tipu Melayu oooiii).

Pada saya berkata benarlah biarpun pahit. Seperti kata Ketua Dua GAPENA berikut :

Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sejak ia dilaksanakan enam tahun lepas, kata Ketua Dua GAPENA, Profesor Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Beliau berkata, gabungan itu tetap dengan pendirian menentang PPSMI dan pelbagai bantahan dibuat setiap tahun melalui seminar dan mesyuarat sejak pelaksanaan dasar itu pada tahun 2002.

Sayangnya Dr Latif tidak menjelaskan apakah perkembangan bantahan berterusan itu atau apa kesannya atau apa tindakan susulannya atau kalau berhenti, kenapa berhenti atau apa resolusi hasil seminar, perbincangan, mesyuarat seperti yang disebut itu.

Biar saya tolong sebutkan kenapa perkara itu terbantut dan hari ini (2009) baru terantuk. Benar GAPENA pernah ada seminar dan mesyuarat, tetapi seminar dan mesyuarat yang hanya kata orang ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja. Tidak bersungguh sehingga ke peringkat membincangkan untuk menyaman kerajaan. Sekadar meluahkan rasa tidak puas hati dan rasa tidak senang sesama sendiri. Itu pun dibuat tanpa kesungguhan dan ditimbulkan oleh beberapa kalangan sahaja, khususnya di kalangan badan kerabatnya yang memang menyedari perihal PPSMI yang tidak memartabatkan bahasa Melayu ini.

Memang pernah diusulkan untuk mengkaji semula dan memansuhkan PPSMI yang ditimbulkan dalam Mesyuarat Agung GAPENA. Tetapi usul itu sampai ke mana, banyak orang tidak tahu. Tindakan susulannya meragukan.

Yang pasti, GAPENA memang sibuk dengan seminar dan kunjungan mencari dunia Melayu di luar Malaysia sampai ke Mekah, Afrika, Vietnam, Thailand, Indonesia dan seratanyalah. Setiap kali keluar negara mencari dunia Melayu di luar, berbondong-bondonglah AJK mereka yang sudah pencen dan tdak terikat dengan kerja harian itu ikut bersama. Kesibukan itulah yang menyebabkan isu-isu dalam negara sendiri menjadi terlepas pandang atau memang sengaja tak nak pandang pun. Isu remeh temeh katakan.

Satu perkara lagi yang jelas menyebabkan terbantutnya usaha GAPENA memperjuangkan mansuhnya PPSMI ini ialah tika mana ada pihak yang telah pun mengirimkan jentolak dan beberapa jentera berat ke perkarangan rumah GAPENA untuk mengambil alih membangunkan tanah yang diehsankan sementara kepada GAPENA itu. Tak salah kerajaan, kerana itu milik kerajaan bukan milik GAPENA yang hak.

Semua gelabah dan bermati-matian mempertahankan rumah pusaka mereka itu. Macam-macam surat dan memorandum dikirimkan kepada orang-orang besar negara untuk memohon menyelamatkan rumah pusaka itu. Atas kepentingan takutnya kehilangan rumah GAPENA itu, maka segala macam tuntutan lain yang kelihatan agak ‘menentang arus’ dikendurkan dan ada yang disembunyikan terus ke dalam guri beras termasuklah mendesak kerajaan untuk memansuhkan PPSMI ini.

Situasi itu berlanjutan sehingga beberapa tahun. Kurang pasti bagaimana kedudukan rumah GAPENA hari ini, sudah menjadi milik mereka atau bagaimana.

Yang paling menyebabkan GAPENA mula terhantuk dan tersedar daripada tidur lenanya yang panjang itu ialah tamparan hebat bagaimana seorang anak muda dari Johor menyanggah jawatan Ketua Satu GAPENA. Walaupun dari segi sokongannya, anak muda itu kurang mendapat sokongan majoriti (lantaran perwakilan badan kerabat pun ramai yang sudah berjawatan tetap dan berpencen juga), tetapi dari segi moral dan mesejnya, berjaya menjolok punggung Ketua Satu sepanjang hayat itu untuk melenting sakan.

Banyak isu yang diketengahkan oleh anak muda dari Johor itu yang menggangu fikir Ketua Satu dan GAPENA mutakhir ini. Mereka mula sedar, mencari dunia Melayu di luar walaupun penting tetapi mencari dunia Melayu dalam kain sendiri adalah lebih penting. Memperjuangkan Melayu di dalam laman sendiri lebih penting dan lebih utama daripada menjulurkan akal minda memperjuangkan Melayu yang entah dari mana keturunannya di luar itu.

Membantu pejuang bahasa dan dunia Melayu di kalangan kerabat mereka lebih perlu diutamakan, bukan hanya sekadar boleh berbangga dengan hanya sumbangan RM3 ribu setahun kepada badan kerabat, sedang dalam masa yang sama harta dan aset yang dimiliki GAPENA perlu dibekukan dalam khazanah sampai bila-bila dan untuk siapa entah.

Sebab itu tak perlulah kita hairan, banyaknya perubahan yang berlaku selepas acahan hebat anak muda Johor itu. Termasuklah menghangatkan semula isu PPSMI yang sudah hampir nak basi lantaran sudah terlalu lama terperap dalam guri beras dan periuk GAPENA. Tolong jangan pertikaikan perkara ini. Kalau nak pertikai juga, tanyalah anak muda Johor itu sendiri.

Yang GMP pula demikian juga. Pengerusinya ayam pencen yang pernah jadi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Petaka (sekali lagi, jangan betulkan ejaan anda). Lepas itu disertailah oleh para profesor, sasterawan, penyair dan pakar-pakaran yang dikatakan ‘pejuang yang sayangkan bahasa Melayu’.

Ayam pencen bangkai KP DBP nin tak payahlah nak tipu Melayu. Nak mengelirukan Melayu dan rakyat ramai. Beberapa kenyataannya jelas membodohkan Melayu dan bangsanya sendiri. Apabila dikatakan menjadi alat kepada politik partisan, melatah tak tentu hala. Cuba senaraikan siapa yang berada dalam GMP tu dan senaraikan juga orang yang disebut sebagai pakar dan pejuang bahasa tu.

Berapa banyak masalah bahasa Melayu dah dapat diselesaikan oleh ayam pencen nin selama dia menjadi KP DBP dulu? Kenapa sampai sekarang pun masih lagi ada ‘mazhab’ dalam bahasa Melayu? Ada mazhab Hasmah Haji Omar, ada mazhab Nik Safiah Karim, ada mazhab Awang Sariyan, ada mazhab DBP, ada mazhab USM, ada mazhab UKM, ada mazhab UPM dan ratusan mazhab lagi. Kenapa perkara ini tidak didedahkan dan diselesaikan? Betul ke semua orang yang bercakap dan menulis dalam bahasa Melayu sebelum PPSMI dilaksanakan dulu?

Mana pakar-pakar bahasa yang disebut tu? Tak duduk dalam GMP ke? Atau sedang memikirkan bagaimana nak kembangkan lagi mazhab mereka supaya Melayu lebih ramai kena tipu?

Yang berjanggut putih tu bukan pakar bahasa Datuk. Suruh dia balik ke Singapura berjuang bahasa Melayu di sana baru betul. Jawi dan roman Melayu pun tak tahu nak beza, apa kelas pejuang gitu. Profesor yang menjadi timbalan Datuk tu bukan profesor bahasa Datuk, dia profesor sains. Bercakap nak pesan teh tarik pun 90 peratus guna istilah sains. Yang ada jawatan dalam parti politik tu bukan pakar bahasa Datuk. Mereka pakar, pakai, pokai dan 'pokke' politik. Sebut UMNO, PAS, PKR, DAP mereka retilah. Kenapa menggunakan mereka? Tak ada kepentingan dan bukan diperalatkan ke kalau begitu keadaannya?

Cerita Melayu ramai kena tipu dan mazhab-mazhab Bahasa Melayu nin teringat saya semasa belajar di sebuah universiti tempatan dulu. Bahasa Melayu yang diambil sebagai mata pelajaran wajib lulus terpaksa menggunakan buku teks yang ditulis oleh pensyarah bahasa Melayu universiti berkenaan. Oleh kerana mazhabnya amat songsang sekali dengan mazhab DBP, maka ada di kalangan guru (yang menyambung pelajaran) kandas beberapa kali dalam peperiksaan kertas Bahasa Melayu, sedangkan guru berkenaan adalah Munsyi Dewan (Ahli / pakar rujuk bahasa Melayu DBP), apa lagi pelajar-pelajar lain yang bukan munsyi.

Malah ada seorang pelakon dan pengacara telivisyen yang tersohor ketika itu (sekarang pun masih lagi hebat) setiap pagi muncul di kaca TV dan bercakap dalam bahasa Melayu yang hebat, berbunga-bunga dan gramatis, tetapi malangnya terpaksa mengambil kertas Bahasa Melayu di universiti tu sebanyak 7 kali. 6 kali gagal dan yang terakhir lulus pun hanya dengan gred ‘D’ (itu pun mungkin bagi membolehkan beliau selesai pengajian).

Ini kerana mazhab Bahasa Melayu di universiti berkenaan direka cipta sendiri oleh pakar-pakarnya. Pelajar terpaksa mengikut mazhab mereka kerana merekalah yang menyediakan soalan dan memeriksa. Lebih penting merekalah yang meluluskan pelajar. Hal ini juga sama dengan universiti lain, punya mazhab sendiri-sendiri.

Kenapa tak selesaikan ini dulu? Dah berkurun masalah nin Datuk!!!! Kesian kepada mereka yang memilih kerjaya guru dan memilih Bahasa Melayu sebagai opsyennya, terpaksa membetulkan semula (dengan izin) ‘alignment’ minda Bahasa Melayunya untuk sesuaikan dengan mazhab yang digunakan di sekolah. Semua sekolah di Malaysia menggunakan Bahasa Melayu mazhab DBP.

Bahasa Melayu P&P dengan bahasa Melayu perbualan berbeza? Dah kalau begitu, apa salahnya PPSMI dan bahasa Inggeris? Bangkai KP DBP tu bila bercakap bahasa Inggeris atau bahasa Melayu menggunakan istilah matematik dan sains ke? Tak kan nak minta ‘kopi O secawan’ kena sebut “aljebra sifar h2o dua tolak satu kabohidrat !!!”. Nanti Chandran jual kopi O tepi pagar DBP tu kata apa pula kepada mereka.

Tak tahukah GMP yang kaum Cina dan India juga mahukan pengajaran matematik dan sains itu dalam bahasa ibunda mereka. Malahan sudah ada secara diam-diam sekolah jenis kebangsaan yang menggunakan bahasa ibunda mereka dalam P&P matematik dan sains. Mana bahasa Melayu?

Betul kata bangkai KP DBP tu bahawa bukan dua mata pelajaran sains dan matematik sahaja yang melibatkan kerugian kerana menggunakan bahasa Inggeris, malah ada lebih 80 subjek lain yang akan ditemui di peringkat universiti akan turut terjejas. Seperti yang saya ceritakan berhubung mazhab Bahasa Melayu di universiti tadi, amat tidak munasabah, bangkai KP DBP tu tak tahu cara belajar di universiti. Bukankah senat universiti dan para pensyarahnya mempunyai kuasa autonomi berhubung dengan bidang yang hendak diajar, buku yang hendak digunakan, membina soalan sendiri, memeriksa sendiri, meluluskan pelajar sendiri?

Saya kira autonomi itu masih berkekalan sehingga hari ini. Pensyarah boleh suka-suka menggunakan buku rujukan siapa dan dari mana mengikut mazhab yang dianuti mereka dan mana yang dirasakan sesuai serta serasi dengan mereka. Tambah lagi kalau buku itu ditulis sendiri oleh pensyarah berkenaan, makinlah minta dijadikan teks dan rujukan. Dan seingat saya pada zaman belajar di universiti dulu, hanya subjek Bahasa Melayu sahaja yang dipelajari dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Bagi subjek lain, termasuk Pengajian Islam, mesti ada buku rujukan dalam bahasa Inggeris yang perlu dirujuk atas kehendak dan arahan pensyarah.

Jadi apa nak disusahkan sangat kalau PPSMI kerana yang akan ditemui di universiti nanti ialah buku-buku rujukan bahasa asing itu juga. Atau kalau boleh, tolong bangkai KP DBP senaraikan buku-buku semua bidang dalam bahasa Melayu yang sedang digunakan sekarang di universiti. Sampai 30 peratus? Buku rujukan dalam bahasa asing langsung tak ada ke sekarang? Atau tak boleh ke kita katakan bahawa segala bahan rujukan termasuk untuk rujukan bagi subjek matematik dan sains itu merupakan disiplin ilmu bantu yang diperlukan untuk mengembangkan lagi tahap pemikiran dan pengetahuan pelajar tanpa mengira dalam bahasa apa kita rujukkannya? Akan tergugat dan tercemarkah bahasa Melayu apabila pelajar menguasai kemahiran dan disiplin bantu lain, terutamanya dalam bahasa Inggeris?

Kenapa kita tidak sibuk dengan subjek Kesusasteraan Inggeris yang diajar dalam bahasa Inggeris, sedangkan masih boleh diajar dalam bahasa Melayu? Kenapa kita tidak tergadah dengan subjek Tasawur Islam atau Usuluddin yang diajar dalam bahasa Arab sedangkan masih boleh diajar dalam bahasa Melayu? Lagikan doa masih boleh dibacakan dalam bahasa Melayu, inikan subjek yang manusia cipta.

Mohon GAPENA dan GMP senaraikan juga orang-orang terdahulu yang bebal atau menjadi gila atau kurang siuman semata-mata mereka bersekolah dalam aliran Inggeris yang semua subjek (kecuali Bahasa Melayu) sepenuhnya menggunakan bahasa Inggeris. Kalau saya masih sempat menjadi generasi terakhir mengikuti peperiksaan MCE dan HSC, saya kira Pengerusi GMP atau Ketua Satu GAPENA lebih daripada sempat mengikuti dan bergelumang dengan 'dosa' pemerintah terdahulu yang menjadikan manusia Malaysia hari ini semuanya gila kerana sistem dan dasar pelajaran yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Tak tahulah saya kot kot dua orang ini bersekolah di sekolah jenis kebangsaan dan sekolah menengah jenis kebangsaan.

Marilah kita berfikir secara rasional dan terbuka. Ambillah tindakan dengan berhemah sesuai dengan sopan santun dan kesusilaan adat, adab dan resmi orang MELAYU. Ada cara yang jauh lebih sopan untuk berunding bukan dengan cara yang dibuat sekarang.

Kalau kerajaan berkeras nak teruskan juga, apa kita nak buat? Nak rombak bangunan DBP atau nak rombak Putrajaya? Kalau kita meniarap seminggu di jalanan pun seperti di Perak tu, Zamry juga yang mereka nak lantik, mereka peduli apa dengan kita. Nak apakan kita dengan mereka? Begitu juga dengan hal ini.

Nak melihat bangsa dan anak bangsa bertamadun, bukan begitu caranya. Jangan kita kembalikan kejahilan ibu bapa zaman tahun-tahun 50-an 60-an dulu yang menyifatkan hantar anak ke sekolah Inggeris, akan jadi kafir. Fahaman kolot tu tak sepatutnya masih melekat di minda bangsa harapan baru Malaysia alaf 20 ini.

ACARA SELINGAN 1 :

Tujuan Penubuhan GAPENA :

1. Menyatupadukan penulis-penulis tanahair yang menulis dalam Bahasa Kebangsaan;


2. Mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan-kepentingan penulis;

3. Memberikan sumbangan moral dan material secara kolektif kepada tujuan dan cita-cita Gabungan;

4. Mengusahakan peluang-peluang untuk penulis-penulis memajukan bakat mereka;

5. Menyatupadukan semua rakyat negara ini menerusi bahasa rasmi yang tunggal iaitu Bahasa Melayu;

6. Mencari, mendapatkan dan mengendalikan harta alih dan harta tidak alih di mana-mana sahaja dalam Malaysia dan luar negara, dan bagi menyempurnakan tujuan ini Gabungan bolehlah menubuhkan apa-apa entiti, syarikat, badan korporat atau yayasan; dan

7. Berusaha untuk memajukan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

SOALAN : Tolong senaraikan berapa perkara daripada tujuh tujuan penubuhan GAPENA itu sudah berjaya dengan jaya dan bangganya selama hampir 40 tahun GAPENA wujud di alam Malaysia ini.

ACARA SELINGAN 2 :

(petikan terus daripada rencana dalam Harakah online tanpa pindaan)

Menurutnya JPN cuba bermain sandiwara setelah menteri pelajaran diasak teruk di mana pelbagai pihak tampil menentang dasar PPSMI yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri.

Kata beliau seharusnya kerajaan mendengar keluhan rakyat dan bukannya memekat telinga meneruskan dasar PPMSI.

Beliau yang enggan mendedahkan identitinya turut meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan JPN Kelantan yang cuba memperalatkan PIBG untuk tujuan politik.

SOALAN : Wartawan/penulis nin belajar bahasa Melayu zaman PPSMI ke? Menulis dalam bahasa Melayu pun banyak yang tak betul. Inilah contoh pejuang bahasa Melayu yang maha hebat abad ini, yang amat dibangga-banggakan oleh GAPENA dan GMP.

Ahad, Februari 15, 2009

YANG KECOH & YANG KELIRU

Episod yang belum siap sepenuhnya.

Kecoh : Kau tau tak keliru, wakil rakyat Bukit Selambau sudah balik. Aku dapat khabar dia pun berpendirian macam ADUN Changkat Jering, Behrang dan Jelapang, tidak mengaku sudah menyerah surat perletakan jawatan. Itu mainan PR katanya.

Keliru : Kau jangan buat aku bertambah keliru kecoh. Mana aci macam tu.

Kecoh : Betul… dia turut persoalkan kenapa bila tiba giliran dia, SPR boleh akui surat tu sah sedangkan dia baru saja balik dari bertapa di Gunung Selembu, sebelah Gunung Cupak tu. Kes dia sebiji macam kes tiga kawannya di Perak tu.

Keliru : Dia kata apa lagi?

Kecoh : Dia buat kecoh, katanya nin mesti geng-geng SPR takut dituduh derhaka kat Sultan Kedah nin.

Keliru : Hiss…. Tak kan sampai macam tu sekali. Pengerusi SPR tu mana ada pakai serban macam Karpal Singh. Serban macam Haji Hadi lagilah tak reti nak putar.

Kecoh : Ha ah… aku pun macam kau juga, kecoh yang keliru. Lagi kecoh macam aku bila dia tanya soalan “kenapa di Perak SPR kata surat begitu tak sah, tapi di Kedah sah pula.

Keliru : Kecoh apa gitu, aku pun boleh jawab. Sikit pun tak keliru.

Kecoh : Aku pun boleh jawab, tapi saja nak kelirukan kau saja. Kau ingat bila nama kau keliru, kau tak akan keliru ke?

Keliru : Dah kau tu pula ingat nama kau kecoh, kau kecoh sangat ke?

Kecoh : Ya lah, semua orang jadi kecoh bila aku jawab “sebabnya di Kedah, kalau sekadar seorang atau satu DUN yang diisytihar kosong dan ada pula PRK, tak terjejas pun kerajaan Kedah tu. Jadi BN tak payah nak terseliurlah nak gulingkan kerajaan di sana.

Keliru : Tapi itu boleh mengelirukan rakyat sebab BN tak mainkan peranan sebenar mereka seperti yang berlaku di Perak.

Kecoh : Aku sikit pun tak keliru sebab aku tukang kecoh saja bukan tugas aku buat orang keliru… Cuma yang tak bestnya, tak bolehlah kita tengok drama kartun macam berlaku di Perak tu berlaku pula di Kedah. Aku harap-harap sangat drama kartun tu berlaku juga di Kedah sebab aku ada agenda sendiri untuk kecohkan keadaan.

Keliru : (berkata sendiri) Dasar sahabat berkepentingan….

Isnin, Februari 09, 2009

YANG MAHA BESAR : HIKMAH & KEKUASAAN TUHAN

Pasti ada hikmah di sebalik kekuasaan dan maha penyayangnya Allah swt apabila Allah memutuskan untuk mengambil nyawa hamba-Nya yang seorang ini – Arwah Roslan Shaharum, Ahli Parlimen P59 Bukit Gantang, Perak yang menang atas tiket PAS dalam PRU ke-12/2008 lalu.

Kepada siapa Allah ingin menjelaskan kebenaran, sama-samalah mereka yang terlibat mengambil iktibar sambil merenung kekuasaan dan kebesaran Allah swt ini.

Yang pasti, ujian besar menunggu BN dan Pakatan Rakyat. Allah mengambil nyawa Ahli Parlimen yang salah satu daripada 3 DUN yang berada dalam kawasan parlimennya kini diwakili oleh Mohd Osman Mohd Jailu.

N14 Changkat Jering menjadi kerusi panas sebelum ini sehingga membawa kepada keluarnya wakil rakyat mereka Mohd Osman Mohd Jailu daripada PKR. Osman bersama seorang lagi wakil rakyat PKR Jamaludin Mohd Radzi di N59 Behrang dan ADUN N31 Jelapang Hee Yit Fong (DAP) enggan mengosongkan kerusi yang diwakili mereka dan mengisytiharkan diri mereka menjadi wakil rakyat bebas sehingga kemudiannya memberi sokongan terbuka kepada BN yang menyaksikan drama politik kartun di Perak bermula dengan penuh kekartunannya.

Tetapi Allah itu maha besar. Keengganan Osman, Jamaluddin dan Hee mengosongkan kerusi N15, N31 dan N59 kerana ‘perjanjian setan’ melalui surat tanpa tarikh yang dianggap tidak sah dan penuh keraguan, tambahan lebih kalutnya politik kekartunan di Perak apabila Tuanku Sultan Perak tidak berkenan membubarkan DUN Perak, dibalas secara tunai oleh Allah swt.

Itulah qadak dan qadar Tuhan. Ajal maut di tangan Tuhan. Sesiapa dan bila-bila masa sahaja yang Tuhan kehendaki, akan diambil nyawa mereka. Tidak kira orang itu BN atau Pakatan Rakyat atau bebas, tiba masanya Allah akan tamatkan riwayatnya. Orang Islam wajib percaya perihal ini.

Pun demikian sebagai manusia, kita juga diberikan akal fikiran dan kurangnya jangkauan sebab musabab yang membawa kepada timbulnya persoalan demi persoalan. Bukan mengingkari fitrah dan ketetapan Allah, tetapi lumrahnya begitu.

Kenapa Allah mematikan wakil rakyat P59 Bukit Gantang yang secara kebetulan salah seorang ADUN dalam kawasan parlimennya bermati-matian enggan meletakkan jawatan dan sekali gus menafikan PRK. Kalau pun Allah telah menetapkan satu kerusi parlimen di Perak untuk diadakan PRK sebagai ujian dengan apa yang berlaku sekarang bagi dijadikan ukuran ketaatan manusia politik partisan kepada-Nya, kenapa Allah tidak memilih di kalangan 23 Ahli Parlimen lain, yang 21 daripadanya tiada kaitan dengan sikap bermati-matian dan ‘perjanjian setan’ ADUNnya. Inikah yang dikatakan ada hikmah di sebalik kembalinya Ruslan kepada Allah itu?

Di P59 inilah Allah ingin menguji kebenaran. Allah ingin menguji umat-Nya lagi dengan pemergian arwah Roslan dan meletakkan percaturan kerusi itu nanti sebagai manifestasi siapa benar dan siapa tidak benar DI SISI-NYA.

Janganlah dipertikai kehendak Allah itu. Pertikaikan niat dan nawaitu manusia yang masih dihidupkan Allah untuk mengisi amanah Allah itu.

Tuhan itu maha mendengar, mengetahui dan maha besar atas segalanya. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Justeru kepada semua yang akan bertanding dalam PRK nanti, bertindaklah mengikut lunas-lunas yang betul untuk mengharungi ujian besar Allah ini sesuai dengan wahyu dan fitrah-Nya yang mengosongkan kerusi P59 berkenaan. Wallahuaklam.

SEJENAK MENJENGUK BUKIT GANTANG

P59: BUKIT GANTANG: (55,471)
1. Datuk Azim Zabidi (BN) 18,449
2. ROSLAN SHAHARUM (PAS) 20,015
3. M Muruganan (Bebas) 872
Majoriti : 1,566
Jumlah Mengundi : 40,187
Peratus Mengundi : 72.65%
Rosak : 851
(2004: TAN LIAN HOE (BN-GER) Majoriti : 6,702)

N13: KUALA SAPETANG: (19,699)
1. See Tean Seng (BN-GERAKAN) 6,721
2. TAI SING NG (PKR) 7,285
Majoriti : 564
Jumlah Mengundi : 14,466
Peratus Mengundi : 73.59%
Rosak : 460
(2004: SEE TEAN SENG (BN-GER) Majoriti : 2,686)

N14: CHANGKAT JERING: (24,864)
1. Datuk Mat Isa Ismail (BN) 8,309
2. MOHD OSMAN MOHD JAILU (PKR) 9,411
Majoriti : 1,102
Jumlah Mengundi : 18,054
Peratus Mengundi : 72.85%
Rosak : 334
(2004: DATUK MAT ISA ISMAIL (BN-UMNO) Majoriti : 4,764)

N15: TRONG: (10,908)
1. DATUK ROSLI HUSIN (BN) 4,212
2. Nor Azli Musa (PAS) 3,296
Majoriti : 916
Jumlah Mengundi : 7,681
Peratus Mengundi : 70.5%
Rosak : 173
(2004: ROSLI HUSSIN (BN-UMNO) Majoriti : 3,020)

Mengikut statistik PRU 2008 berdasarkan undi popular yang dapat dipungut oleh calon, PAS berjaya memenangi kerusi P59 ini dengan majoriti 1,566 undi. Manakala kalau dicampur majoriti dua DUN (N13 & N14) yang memihak kepada PKR dalam PRU berkenaan, mereka memperolehi undi popular sebanyak 1,666 undi.

Hanya 100 undi sahaja yang membezakan majoriti undi parlimen dan dua DUN berkenaan. Bermakna secara kasarnya, 100 undi yang gagal dipungut oleh arwah (tafsirannya undi selipar sebelah kasut sebelah) adalah satu ‘pengkhianatan’ yang bukannya gambaran keengganan untuk tidak menyokong calon bukan dari parti yang sama, tetapi kesepakatan seimbang yang tidak boleh dinafikan begitu sahaja.

Ahad, Februari 08, 2009

YANG BERCAHAYA & YANG MENYERAP CAHAYA

Mengapa awan hujan nampak gelap?

Hujan adalah air. Air itu bening atau berwarna terang. Awan hujan sarat dengan air. Oleh sebab itu, awan hujan seharusnya terang. Menurut teori seharusnya begitu, tetapi itu sebenarnya salah.

Jelas, selalu ada butir-butir air dalam awan. Ketika butir-butir air itu kecil, ia memantulkan cahaya dan kita menyebutnya putih. Akan tetapi ketika butir-butir itu menjadi cukup besar untuk membentuk titis hujan, ia menyerap cahaya dan kita yang berada di bawah melihatnya sebagai sesuatu yang gelap.

Politik kartun di Perak seharusnya tidak menjadi penyerap cahaya yang boleh mengelirukan persepsi ramai. Walaupun wajib bagi orang Islam mempercayai bahawa gelap, cerah atau apa warna sekali pun, itu adalah kerja Allah.

Jumaat, Februari 06, 2009

YANG MOHON LALUAN : MISAL KATA SAHAJA

Mohon laluan …

Cerita politik kartun di Perak belum boleh dikatakan telah selesai, walaupun ada yang memohon supaya ‘terima sajalah apa yang telah diputuskan’ oleh baginda Sultan Perak.

Mohon laluan untuk sama-sama kita membuat retrospektif seterusnya menjawab sendiri (dalam hati) kepada dua kes berikut :

KES 1 : 1983

1 Ogos 1983 – Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 1983, dibentangkan buat bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, DS Dr Mahathir Mohamad.

7 November 1983 – Raja Perlis bertitah “Tidak ada Raja kalau tidak ada rakyat dan tidak ada rakyat kalau tidak ada Raja”.

9 November 1983 – Setiausaha Agung UMNO menyatakan semua Bahagian UMNO menyokong bulat pucuk pimpinan untuk menyelesaikan krisis Perlembagaan.

26 November 1983 – Rapat raksaksa di Alor Setar, Kedah. Dr. Mahathir menafikan akan meletakkan jawatan sebagai PM atas sebab-sebab krisis Perlembagaan dan berkata “tidak ada sesiapa dan tidak ada golongan mana sekali pun yang boleh menurunkan saya dari kerusi Perdana Menteri selain daripada rakyat”.

6 Disember 1983 – Dr. Mahathir menegaskan bahawa negara ini tidak akan bertukar menjadi republik.

15 Disember 1983 – Timbalan Yang Di Pertuan Agong telah berkenan menandatangani pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Misal kata sahaja : Malaysia jadi Perak.

Siapa yang akan berterima kasih kepada Mahathir dan siapa pula yang akan menuduh Mahathir menderhaka?

KES 2 : 2008

25 MAC 2008 :

Pas sokong Ahmad Said

Pas menyokong keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) melantik Ahmad, sebagai Menteri Besar Terengganu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menerima prinsip Raja Berpelembagaan dan menyokong sebarang keputusan istana yang bertindak mengikut lunas sewajarnya. Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak istana kerana tegas dalam hal pelantikan Menteri Besar Terengganu serta menyokong cara penyelesaian yang diambil dalam kemelut berkenaan.

“Oleh kerana Ahmad Said dipilih istana, maka dialah yang kita sokong. Itu pandangan istana. Secara dasar (MPPR) menunaikan hak sebagai Raja Berpelembagaan,” katanya.

Justeru, beliau menggesa UMNO supaya menerima dan menghormati keputusan MPPR demi kepentingan rakyat kerana mereka sebahagian daripada institusi raja yang menjadi teras kepada Perlembagaan negara.

Istana Terengganu wajar terima

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula berkata, pihak Istana Terengganu perlu menerima keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melantik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar negeri itu buat penggal kedua berturut-turut.

Pelantikan Idris dibuat hasil cadangan parti Barisan Nasional (BN) yang memenangi pilihan raya umum lalu.

“Dia (Idris) dicadangkan parti untuk menjadi Menteri Besar. Istana (Terengganu) perlu dengar dan menerima cadangan parti.

“Kita buat ikut perlembagaan dan saya percaya istana juga akan ikut perlembagaan.

Mana-mana parti yang menang boleh bentuk kerajaan dan melantik Menteri Besar. Ia perlu dipersetujui Duli Tuanku.

“Dia (Idris) mendapat sokongan majoriti, termasuk daripada Pemuda dan Puteri Umno Terengganu. Yang penting dalam perlembagaan, Ahli Dewan Undangan Negeri menyokong dia,” katanya.

Jangan cabul hak Raja-Raja Melayu

Parti Islam Se-Malaysia (Pas), menyelar tindakan pihak yang menggunakan campur tangan politik ke atas Kuasa Raja-Raja Melayu dan Eksekutif.

Menurut Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, selain mencabar Institusi Kesultanan, perkara ini juga menunjukkan betapa rapuhnya pegangan Kerajaan Pusat terhadap proses pendemokrasian yang digunapakai selama ini.

Pemuda Pas mengesa polis menyiasat kain rentang yang dipamerkan berdekatan kediaman Datuk Seri Idris Jusoh kerana dianggap menghina Institusi Raja.

Kain rentang itu berbunyi `Kami nak Idris, natang,’ yang bermaksud kami mahukan Idris, binatang’ dalam loghat Terengganu.

Salahuddin Ayub berkata, tulisan di kain rentang ini bersifat hasutan dan tindakan segera perlu diambil untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Misal kata sahaja : Terengganu jadi Perak.

Siapa yang sokong Ahmad Said dan siapa pula yang sanggup menuduh Idris Jusoh menghina Institusi Raja? Siapa pula akan sokong Idris Jusoh?

Rabu, Februari 04, 2009

YANG SAHIH, YANG BIMBANG & YANG HILANG

Apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertikaikan kesahihan surat perletakan jawatan oleh dua DUN PKR di Perak, permainan politik menjadi semakin kartun. Jatuh, kemek, lenyek, putus, terkepit, kartun tetap hidup dan kembali kepada adanya. Itulah yang seronoknya menjadi kartun.

Saya tidak berhasrat mempertikaikan bidang tugas SPR atau mengganggu kerja ‘cangkul tanah orang’ seperti yang telah dilakukan oleh SPR, apa lagi sudah terlalu banyak pakar dan cerdik pandai dalam bidang perlembagaan dan peraturan membicarakan soal itu. Yang nak disebutkan di sini ialah implikasi selepas pertikaian SPR itu.

Sama ada sahih atau tidak, mahupun mengikut perlembagaan dan peraturan serta undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak atau sebaliknya, implikasinya tetap wujud. Dan dalam hal ini, PKRlah menjadi parti paling bimbang menghadapinya. Implikasi ini sebenarnya cukup merungsingkan PKR, walaupun ada para blogger menteorikan mainan kartun ini adalah strategi licik Ketua Umum PKR sendiri.

PAS rasanya tidak terlalu bimbang dalam konteks akan kehilangan wakil rakyatnya seperti kebimbangan PKR dan UMNO. Sebagai sebuah parti yang berpaksikan Islam, secara teori dan prinsipnya, wakil-wakil rakyat PAS sudah tentu bernawaitu dan mentaati perjuangan partinya sesuai dengan aturan Islam contohnya seperti disebut dalam firman Allah surah al-Baqarah ayat 58-59. Kalau ketaatan dan nawaitu wakil rakyatnya juga tergelincir, lebih elok dan sesuai rasanya, mereka awal-awal lagi memilih untuk berjuang di dalam UMNO atau PKR sahaja. Dalam kes di Perak ini, cuma PAS bimbang jawatan Menteri Besar mungkin akan terlepas daripada gengaman mereka.

Demikian juga dengan DAP, prinsip dan perjuangan mereka jelas menyukarkan wakil rakyat mereka menyeberang selat, apa lagi dalam situasi majoriti masyarakat bukan Melayu sekarang ini lebih berkecenderungan memihak kepada perjuangan mereka. Wakil mereka sudah kecut perut hanya dengan sebaris ayat amaran daripada Setiausaha Agungnya. Tambahan lagi apabila MCA dengan segera juga menolak kalau-kalau ada keinginan dan hasrat anggota DUN DAP untuk bertenggek dan menumpang kasih dalam MCA.

Kerana itu saya sebutkan yang lebih menyerlah kebimbangan mereka sekarang ialah PKR. Sebab kebimbangan itulah, jadinya mereka diminta untuk menandatangani surat ‘perjanjian setan’ yang sudah pasti dipersetujui secara bersama pada awal kemenangan mereka. Sesuatu yang agak mustahil kalau surat perjanjian itu dipaksa untuk ditandatangani dengan paksaan lantaran mereka menang dengan penuh kesedaran dan keinsafan di samping tiadanya keraguan ketidakwarasan di kalangan mereka. Syarat menjadi calon pilihan raya jelas, salah satunya mestilah waras dan tidak gila.

Diberitakan semua wakil rakyat PKR (Parlimen dan DUN) yang menang dalam PRU lalu menandatangani surat ‘perjanjian setan’ tanpa tarikh itu tanpa prejudis seperti juga dua ADUN PKR di Perak itu. Dan khabarnya juga semua surat berkenaan ada dengan PKR negeri masing-masing dan siap sedia untuk dihulurkan kepada Yang Di Pertua Dewan sebaik sahaja mereka dikesan belok atau mengambil keputusan menyeberang ke parti lain, khususnya parti lawan yang merugikan mereka, baik dari segi majoriti untuk memerintah mahupun mengurangkan suara majoriti.

Demikian kalau SPR mempertikaikan surat ‘perjanjian setan’ dua ADUN di Perak itu, maka kedudukan wakil rakyat PKR di mana-mana negeri atau di Parlimen sendiri yang mempunyai cita-cita yang sama untuk beralih angin atau mempunyai kepentingan sendiri, akan secara langsung menyelamatkan kedudukan mereka daripada tidak lagi menjadi wakil rakyat. Mereka akan merasa aman dan bebas untuk berhijrah tanpa hilang kedudukan seperti ADUN UMNO yang telah mengambil keputusan berpindah kepada PKR itu atau seperti Ahli Parlimen Pasir Mas yang memilih untuk berada di luar saf asal usul jadinya mereka sebagai wakil rakyat. Maka parti asal mereka yang memberi kepercayaan untuk mereka akan hilang kuasa dan maruahnya.

Kondisi kes kartun di Perak ini masih lagi memihak kepada Pakatan Rakyat, kalau pun dua ADUN itu sudah membuat keputusan untuk menyertai UMNO/BN. Kalau pun tidak diadakan PRK, Pakatan Rakyat masih mempunyai kelebihan kerusi, tetapi sampai bila? Apakah keyakinan kepada ‘perjanjian setan’ boleh digunapakai? Pun kalau MB Perak membuat keputusan untuk membubarkan DUN keseluruhannya, apa pula strategi dan kaedah menyelamatkan berlakunya ‘perjanjian setan’ ini?

Kalau ditakdirkan berlakunya pembubaran DUN dan pilihan raya semula diadakan dan sama ada BN atau Pakatan Rakyat yang menang dan menerajui kerajaan, strategi dan kaedah menghalalkan ‘perjanjian setan’ sama sahaja, yakni perlu diberi jaminan keselamatan yang tinggi. Bukan sesuatu yang mustahil, ‘perjanjian setan’ seperti ini sekali lagi akan dicabuli, apa lagi sekiranya kemenangan mana-mana pihak dalam pilihan raya semula itu nantinya berkedudukan tipis seperti adanya sekarang, apa lagi kalau adanya kepentingan sendiri yang melangkaui kepentingan parti dan perjuangannya.

Sesuatu yang mungkin kita semua buat-buat lupa ialah Melayu PKR asalnya UMNO dan itulah orangnya. Itulah transaksi maruah Melayu PKR ke dalam UMNO dan sebaliknya.

Inilah sebenarnya senario kartun kejar kartun dalam politik menghalalkan cara yang maha kluk klek di Malaysia mutakhir ini. Cuma persoalannya, apakah jenis kartun yang perlu diperjelaskan itu.
Related Posts with Thumbnails