Rabu, Januari 14, 2009

YANG DILIHAT & DIDENGAR (PRK-5)

Isnin dan Selasa di Kuala Terengganu agak kurang sibuk berbanding Sabtu dan Ahad lalu. Pelancong dan pelencong politik pulang buat sementara menguruskan tugas di negeri masing-masing sementara menunggu Jumaat dan Sabtu nanti. Gerak kerja kempen telah dimulai sejak pagi dan kertas perang saraf sudah mulai dapat dikesan di mana-mana. Sudah pasti apabila namanya perang saraf, maka yang beredar banyak yang memburukkan pihak lawan. Baik BN mahupun PAS/PKR.

Ceramah teaterikal

Ceramah besar BN malam kelmarin (Isnin) di sebelah pasar Cabang Tiga Kuala Terengganu dihadiri ramai orang. Boleh sampai 1000 atau mungkin juga lebih. Tetamu utama ialah TPM. Ceramah bertemakan ‘Masihkah Kau Ingat’, slogan yang pernah dipopularkan oleh mantan MB Terengganu, Idris Jusoh.

Menariknya ceramah itu kerana diselitkan elemen teaterikal di dalamnya selain dibantu dengan tayangan slide pada layar besar yang dipasang kiri kanan pentas. Sesekali ceramah tu jadi macam persembahan wayang Cina, siap dengan iringan bising drum yang mengiringi kata-kata semangat penceramah termasuk mengiringi TPM berucap. Nampak cekap anggota pemain drum tu kerana seperti sudah ada ‘rehearsal’ sebelum ceramah.

Yang agak kurang menarik terdapat lebih 10 buah bas yang membawa pendengar (pengundi?) diletakkan di tepi-tepi jalan berhampiran lokasi ceramah. Lebih berkesan ceramah tu sekiranya bas-bas yang membawa pendengar tu tidak ditonjolkan. Bagaimanapun kurang pasti, sama ada bas-bas itu membawa pendengar untuk ke ceramah BN atau ke ceramah PAS kerana kira-kira 200-300 meter di kiri kanan lokasi ceramah BN tu, ada dua ceramah PAS (satu dalam DUN Bandar dan satu dalam DUN Wakaf Mempelam). Kehadiran pendengarnya pun boleh tahan.

Pasar Cabang Tiga adalah sempadan DUN Bandar dan DUN Wakaf Mempelam.

Najib puji Idris

Dalam ceramah besar di Cabang Tiga itu, Najib tidak lekang memuji Idris Jusoh. Tidak cukup dengan itu, pelbagai slogan yang dicipta Idris sepanjang Idris menjadi MB dulu, diulang-ulang semula oleh Najib. Mat Said hanya tersipu-sipu. Kenapa dan apa yang ada dalam kepala Najib atau kalau nak dikatakan ada muslihat di sebaliknya, buatlah tafsiran sendiri. Jangan tunggu sehingga orang PAS mengekspoitasi pujian Najib tu.

Surat khabar hari-hari

BN sepatutnya merakamkan jutaan terima kasih kepada akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian yang membekalkan akhbar mereka secara percuma setiap hari ke makas-markas BN. Maklumat terkini tak payah dibeli lagi. Cuma yang ‘sedikit’ tak kenanya, bekalan sampai agak lewat – petang dan ada markas yang menerima sebelah malam. Isu sudah basi atau ramai yang dah membelinya. Lebih menyedihkan banyak markas yang menjadi setor tidak rasmi kepada akhbar-akhbar berkenaan. Berlonggok di dalam dan luar.

Lim Kit Siang TPM

Semalam dalam ceramah di peti undi Batas Baru, salah seorang anggota 6 Jahanam bangkai PKR (bukan Mat Kotex) mengulangi lagi cerita memburukkan Anwar Ibrahim, terutamanya janji Anwar Ibrahim kepada Lim Kit Siang untuk melantiknya sebagai TPM sekiranya PR memerintah. Lebih mendalam katanya, Anwar atau PKR boleh menyaman beliau kerana timbulkan isu itu kalau kenyataannya berbaur fitnah. Beliau ada bukti kerana beliau sendiri yang mencatatkan minit mesyuarat perjanjian itu. Si penceramah nin kemudian meminta pengundi supaya tidak memberikan undi kepada PAS kerana itu (kalau PR memerintah, Cina akan jadi TPM). Sebelum ini dalam ceramah mereka bersebelah Flet Kampung Kolam perkara yang sama juga disentuh.

Kampung Kolam dan Batas Baru ada ramai juga pengundi Cina dan sebahagian mereka ada yang hadir mendengar ceramah tu. Kalau kita nafikan hak orang Cina, sulit juga penerimaan mereka, sedangkan MCA sendiri beberapa kali pernah mendesak supaya kerajaan melantik seorang daripada kalangan kaum Cina sebagai TPM Kedua.

Blogger tidak membantu

Seorang Menteri BN dalam ceramahnya menguar-uarkan kepada pendengar bahawa blogger tidak banyak membantu dalam kempen PRK kali ini. Katanya jangan percaya kepada blogger kerana banyak blogger yang menulis ‘tidak jejak dasar’ dan hanya tafsiran dan andaian sahaja.

Peliknya Menteri tu sendiri tahu banyak blogger menulis dan menyentuh tentang blogger. Kalau tak percayakan blogger, kenapa diuar-uarkan dalam ceramah kerana boleh membuatkan orang yang mendengar gesaan Menteri tu berhasrat ingin tahu dan kemudiannya akan ‘kelebet’ laman-laman blog.

Pyanhabib di KT

Begitulah khabarnya. Penyair dan pelakon Pyanhabib akan berada di Kuala Terengganu menjelang 17 Januari. Selebihnya akan dimaklumkan mengikut keperluan.

Kurang orang

Kata sesetengah orang, kurangnya pelancong dan pelencong politik di Kuala Terengganu berbanding PRK tempat lain, khususnya di Permatang Pauh, Ijok, Permatang Pasir dan beberapa tempat lain sebelum ini adalah disebabkan Kuala Terengganu hampir tidak ada pusat-pusat hiburan selepas tengah malam. Zon pemampan terdekat yang boleh menampung pusat keriangan itu juga agak jauh dari Kuala Terengganu.

Di mana petugas PR tinggal

Masih menjadi mesteri sehingga sekarang. Di mana petugas-petugas luar Pakatan Rakyat khususnya petugas PAS tinggal sepanjang berada di Kuala Terengganu.

Isu yang tidak sesuai

Banyak isu yang diketengahkan oleh tukang kempen baik di pihak PAS mahupun BN yang tidak sesuai dengan situasi tempatan dilontarkan sepanjang berkempen, khususnya dalam ceramah-ceramah dan kempen rumah ke rumah. Kadang-kadang isu yang dibawa juga tidak selaras dan tidak berkonsisten.

Penceramah

Rata-rata baik di khemah BN mahupun PAS yang melalak kebanyakannya bukan penceramah tempatan. Kebanyakan mereka pula amat cetek pengetahuannya terhadap politik dan keperluan pengundi tempatan. Sebab itu banyak isu tempatan tidak dapat disampaikan dengan baik. Lebih mendukacitakan yang melalak tu seolah-olah nak menunjukkan kejagoan mereka di luar gelanggang, sedangkan gelanggang sendiri pun ‘terlepas tangan bau tahi’. Macam cerita Pak Kadok dan Lebai Malanglah kira-kiranya.

Dilarang berpolitik

Ada banyak ketua agensi kerajaan yang melalak melarang keras pegawai dan kakitangannya supaya tidak berpolitik sedangkan dalam masa yang sama mengerah pekerja mereka menghadiri majlis yang diisi sepenuhnya dengan agenda politik.

Isu arwah

Sebolehnya biarkan roh Allahyarham Dato’ Razali berkeadaan aman di alam barzah, janganlah dijadikan isu untuk kepentingan politik manusia yang masih dipanjangkan umur oleh Allah swt. Demikian juga dengan isu orang-orang yang rapat dengan calon, kerana seperti kata Dato’ Nik Aziz, manusia nin dilahirkan bukan seperti proton saga yang serupa dan sama saja, walaupun sekali dikeluarkan jumlahnya sampai 10 ribu unit.

BN tetap menang

Orang BN/UMNO tidak henti-henti berkeyakinan “BN tetap menang” walau apa sekali pun tanggapan dan perolehan orang.
Related Posts with Thumbnails