Sabtu, Januari 10, 2009

YANG DILIHAT & DIDENGAR (PRK-2)

Sehingga malam semalam, Kuala Terengganu tidak seperti yang dijangka. Tidak serancak yang diharapkan banyak orang. Mungkin kerana ‘masih awal’ atau mungkin kerana tiada isu besar atau mungkin kerana calon yang berentap atau juga mungkin kerana orang ramai selesa dengan tahap keselamatan sesuai dengan keramaian polis yang merata sepanjang masa sehingga terlupa untuk meriuh. Atau juga PRK Kuala Terengganu menjanjikan suasana tenang dan damai sahaja.

Seperti yang digambarkan sebelumnya, hari Jumaat ini juga tidak banyak yang berubah. Cuma Najib datang lagi setelah Pak Lah balik. Najib masih dengan isterinya yang malam semalam mengenakan baju kurung batik sutera semacam sutera Terengganu. Mungkin yang dibeli minggu lalu.

Mat Tyson dan Geng

Mat Tyson and the geng bersama beberapa pemimpin kecil cawangan (calon tidak kelihatan) menjelajah dari rumah ke rumah di beberapa kampung dalam DUN Ladang pada sebelah paginya. Menurut cerita orang yang menyaksikan perarakan rombongan, mereka hanya singgah berkempen di rumah penghuni yang dikenalpasti pro-PAS atau tepatnya orang PAS. Berapa orang yang kena KO dan TKO Mat Tyson tidak dapat dipastikan. Entah-entah Mat Tyson yang kena.

Peruntukan Unit Peti Undi / Markas / Pos

Berbeza daripada malam kelmarin, semalam sudah ada laporan yang mengatakan peruntukan sudah ada dengan Ketua Peti Undi tetapi masih tidak mengalir ke bawah. Kebanyakan markas / pos BN masih kekontangan. Rokok Dunhill China belum kunjung tiba. Mungkin kontenanya terkandas di pelabuhan atau telah dirompak lanun lagi. Suasana markas / pos masih seperti malam sebelumnya. Cuma ada beberapa markas terutamanya markas peti undi yang telah dihias cantik luar dan dalam bagi menyambut kunjungan rasmi TPM Najib ke unit-unit peti undi terpilih.

8.30 Jadi 11.30 Malam

Orang kampung pulang setelah lelah menunggu lawatan Najib ke markas peti undi dalam DUN Ladang. Yang tinggal petugas markas dan penunggu setia markas yang kebanyakannya ‘bapa angkat’ markas berkenaan. Najib dijadual melawat beberapa markas mulai pukul 8.30 malam. Jadual asal tersasar menjadi 11.30 malam, baru rombongan besar Najib sampai. Penyusun jadual kunjungan Najib ke unit peti undi mungkin terlepas pandang yang Najib sudah mempunyai jadual makan malam dengan masyarakat Cina sehingga 9.00 malam.

Diiringi Meriah

Najib dan isteri diiringi meriah oleh polis bermotosikal, berkereta di samping tidak kurang 30 buah kereta pengiring yang buat-buat sibuk. Tersusun di celah kereta banyak itu sebuah ambulan yang tidak putus-putus menyalakan lampu merah berpusing yang berada di bumbung keretanya. Jalan Pasir Panjang jadi sesak dengan kenderaan pengiring. Laluan terganggu tetapi suasana itulah yang sedikit sebanyak telah mengubati kelembapan tempo berkempen PRK Kuala Terengganu kali ini. Kemeriahan dengan begitu ramai pengiring bagaimanapun dirasakan kurang sempurna kerana calon dan Pengarah PRK merangkap MB serta pemimpin tertinggi BN Negeri tidak kelihatan bersama.

Rumah UMNO Pahang

Rumah UMNO Pahang terletak di kampung Paloh dalam DUN Wakaf Mempelam. Melintasi rumah mereka agak meriah dengan penunggu setia dan beberapa kereta mewah. Malam masih awal, mereka tak tahu nak ke mana. Kampung Paloh antara kubu Wahid Endut. Hiasan bendera meriah dan nampak meremut. Cuma lebih menyerlah dengan bendera UMNO. Bimbang kalau-kalau SPR datang minta diturunkan bendera UMNO, akan menjejaskan kemeriahan.

Wakaf Mempelam Menghijau

Rata-rata bendera besar dan kecil, plastik poster dalam DUN Wakaf Mempelam diwarnai dengan warna hijau. Warna merah dan biru agak ketinggalan. Begitu juga markas / pos yang didirikan. Lebih besar dan meriah dengan selimut hijau.

Mini Billboard

Mini billboard BN semakin banyak dan ada yang semakin besar. Rata-rata menggambarkan kejayaan dan pelbagai program BN yang telah dibuat untuk keselesaan dan faedah warga Kuala Terengganu.

Poster Calon

Poster gambar calon BN masih belum kelihatan. Yang banyak ditemui poster besar bersaiz bena. Poster kecil bergambar calon PAS dah dijumpai.

Ceramah dan Kerja Malam

Semalam seperti langsung tidak ada ceramah. Sekitar DUN Wakaf Mempelam sunyi tanpa gangguan pembesar suara. Di sini tidak juga ditemui pekerja kontrak malam yang bekerja mengorek parit, membuat jalan atau kerja-kerja kontrak yang lain. Barangkali masing-masing berehat kerana Jumaat adalah hari minggu di Terengganu.

Nasi Lemak dan Telur Separuh Masak

Awal pagi tadi setelah puas pusing-pusing, sekali lagi bersama beberapa teman pekena nasi lemak dan telur separuh masak di gerai makan di Perhentian Bas MBKT yang dibuka 24 jam. Kawan saya jadi ketagih untuk pekena lagi setelah pertama kali mencuba malam kelmarin.
Related Posts with Thumbnails