Jumaat, Januari 09, 2009

YANG BERBAKI 9

Ada 9 hari lagi. Semalam Pak Lah datang. “Kalau saya tak datang, orang kata apa pula”. Demikian antara kata-kata Pak Lah memberi sebab kenapa dia turut datang berkempen untuk kemenangan Wan Farid.

Selain itu Pak Lah secara rasmi menjawab tuduhan Dr Mahathir yang mengatakan Wan Farid adalah calon proksinya. Jauh lebih itu, Pak Lah banyak mempertahankan Wan Farid kerana Wan Farid dirasakan telah diserang secara peribadi. Maka timbullah perkataan sombong, tak tahu dan tidak betul dan sebagai sebagai sebagainya.

Sebagai pemimpin Pak Lah berhak bertindak membela anak buahnya. Demikian apabila beliau mempertahankan Khairy satu ketika apabila Khairy diserang hebat berkait dengan faktor tidak popularnya BN dalam pilihan raya umum lalu.

Hari ini Najib menyambung tugas Pak Lah menjawab tuduhan dan tohmahan Dr Mahathir. Kata Najib “Wan Farid bukan orang sesiapa. Dia dipilih oleh Pak Lah dan saya secara bersama.”

Kenapa perihal dan isu Dr Mahathir perlu diperbesar. Apakah impak besar kepada kemenangan BN dalam PRK ini bila dikaitkan dengan isu itu. Apa pentingnya isu itu sehingga perlu diperjelaskan kepada umum? Rakyat tahukah, seseorang wakil rakyat itu mesti dipilih di kalangan bukan proksi atau mesti orang erdogan, misalnya? Yang masing-masing melalak minta rakyat memilih wakil mereka yang boleh membawa masalah mereka ke dewan negara dan mewakili mereka untuk kepentingan mereka tu apa dia. Yang masing-masing sibuk menerangkan dasar dan perjuangan parti dan kelemahan dasar dan prinsip parti lawan tu pula apa?

Umum telah mengetahui bahawa itu adalah tugas pemimpin. Memilih dan menentukan calon adalah hak beliau. Apabila seseorang itu telah dipilih, tuduhan dan tohmahan sepatutnya tidak perlu dilayan. Yang penting, perlu bekerja untuk kemenangan calon yang telah ditentukan itu, sesuai dengan prinsip, perjuangan dan manifesto masing-masing.

Dalam PAS pun isu calon pada mulanya banyak diperkatakan. Tetapi sekarang tidak timbul lagi sebabnya pemimpin mereka tidak menghiraukan sangat pelbagai tohmahan dan andaian dan tuduhan. Bagi mereka sudah selesai. Mereka lagilah boleh dibesarkan isu calon proksi kalau mahu, kerana Haji Hadi mengakui bahawa Wahid dipilih oleh beliau sendiri. Maknanya Haji Hadi seorang yang memilih Wahid. Selepas dipilih baru dimaklumkan kepada Nik Aziz. Tidak ada pula soal proksi Haji Hadi atau proksi sesiapa apabila Wahid dicalonkan. Haji Hadi atau Anwar Ibrahim tak perlu jawab pun kepada media.

Itulah sebenarnya beza antara BN dan PAS dalam hal menamakan calon ini. Tambah membezakan apabila adanya suara-suara sumbang sesama sendiri yang secara terang-terangan mengkritik dan membuat andaian yang macam-macam. Seperti baru kali ini BN/UMNO menghadapi pilihan raya.

Persoalan yang sepatutnya diselesaikan sekarang bukan soal proksi atau erdogan atau erbakang. Apabila soal calon merupakan antara faktor yang penting, maka sesiapa saja yang telah dipilih perlu menyesuaikan dirinya selepas diumumkan, untuk menjadi calon pilihan yang tepat dan layak digelar Yang Berhormat atau wakil rakyat. Sekali lagi wakil rakyat.

Baik Wan Farid mahupun Wahid Endut ataupun Azharudin (yang dipilih sendiri oleh dirinya), mereka perlu mengharungi masa susah 12 hari ini untuk menjadi ‘bakal’ wakil rakyat bukannya ‘bangkai’ wakil rakyat. Kalau sikap dan sifat yang ditunjukkan oleh mereka tidak mencerminkan keperibadian sebagai bakal wakil rakyat, bersedialah untuk menjadi bangkai wakil rakyat.

Justeru gerak kerja yang masih berbaki 9 hari ini perlu menjurus ke arah itu. Sayangnya ada di kalangan bakal wakil rakyat ini yang tidak mengambil peluang. Akhirnya mereka dikatakan bermasalah dan sebab itu timbulnya masalah proksi, prestasi kurang memuaskan, tidak memenuhi piawaian dan sebagainya itu.

Wan Farid (juga Azharudin) langsung tidak berpengalaman sebagai wakil rakyat. Berbanding Wahid Endut yang sudah menjadi wakil rakyat selama lima penggal. Walaupun jadi ADUN bukan Ahli Parlimen, tetapi kaedah mewakilrakyatkan diri tetap sama.

Kita sedar masa 12 hari yang diperuntukkan untuk berkempen amat singkat bagi mengenali sejumlah 80 ribu pengundi dalam Parlimen Kuala Terengganu. Tetapi di sinilah letaknya kecekapan dan kebijaksanaan mereka. Mereka perlu berhati-hati dan membuat keputusan yang cekap baik secara lisan, tindakan mahupun perlakuan.

Hari ini sudah ada cakap-cakap Wan Farid dan Wahid Endut sama saja. Sama dalam konteks, seolah-olah orang yang berkempen pula menjadi calon wakil rakyat, bukan mereka berdua. Azharudin tak termasuk dalam perbincangan ini kerana beliau tiada mazhab parti. Lubang hidungnya pun masih belum kelihatan selepas hari penamaan calon.

Yang hairannya Wahid Endut yang sudah lima penggal jadi calon pun masih tidak pandai memberi keutamaan, mana yang dulu mana yang kemudian. Tian Chua yang berkempen untuk beliau mengeluh dan merungut seolah-olah beliau (Tian Chua) yang jadi calon. Wahid nin susah nak jumpa. Di mana mereka pergi pun tak tahu. Telefon tak pernah berjawab. Tak kan kerana parti yang hendakkan beliau bertanding, maka parti saja kena bekerja untuk beliau.

Mungkin Wahid berpegang teguh dengan kesetiaan ahli-ahli partinya yang sering dimomokkan sebelum ini bahawa orang PAS tak akan beralih undinya, walau siapa dan bagaimana sekali sikap calonnya. Hal itu mungkin betul, tapi berapa peratus pengundi PAS dalam parlimen Kuala Terengganu? Kalau pengundi yang jadi ahli UMNO hanya ada 36%, pengundi PAS rasanya kurang sedikit atau lebih kurang saja jumlahnya. Yang selebihnya pengundi tanpa mazhab atau pengundi atas sempadan. Wahid tidak memerlukan pengundi-pengundi tu ke?

Wan Farid juga sama. Dah lah tak ada pengalaman jadi calon, berlakon jadi wakil rakyat pun kaku dan tidak hidup. Alasan yang diberikan memeningkan kepala orang yang bertanya. Sepatutnya perkataan ‘urusan peribadi’ dan ‘balik berehat kerana keletihan’ dipadamkan terus dalam diari bakal wakil rakyat buat sementara, sekurang-kurangnya untuk tempoh 12 hari ini. Selepas menang atau kalah nanti, tidurlah sampai 3 hari 3 malam pun, orang pun faham kalau nak menganggu masa tu.

Berjumpa dengan pengundi yang akan menjadi rakyat kita juga adalah soal peribadi, berehat bukan tak boleh tapi bukan tak boleh diganggu. Lawatan dan kunjungan pemimpin besar, khususnya ke tempat yang rapat dengan rakyat, penyokong dan pengundi kita perlu diutamakan. Hairan juga kalau bakal wakil rakyat tak ikut Timbalan Perdana Menteri melawat bilik gerak kerja peti undi (yang sudah pasti ratusan pengundi dan penyokong parti akan menunggu). Apa lagi keutamaan kalau tidak masa sebegitu.

Atau kefahaman Wan Farid, beliau bukan 'orang sesiapa' tu sebagai beliau 'keseorangan' (al-faridun). Bukan orang parti dan bukan juga milik rakyat?

Tempoh 9 hari yang masih berbaki ini, sama ada Wan Farid atau Wahid Endut atau Azharudin perlu mengambil peluang atas kelemahan calon lawan mereka masing-masing. Salah seorang yang berjaya mencuri hati pengundi dalam hal keutamaan ini, insya-Allah akan terlepas daripada bala bangkai wakil rakyat.

Esok masih ada 8 hari. Nombor yang dianggap oleh masyarakat cina sebagai memberi ‘ong’ kepada mereka. Sepatah kata P. Ramlee “entahlah belalang…. 2 x 5, 5 x 2 belaka.”
Related Posts with Thumbnails