Khamis, Januari 08, 2009

YANG BERBAKI 10

Ada 10 hari lagi. Masih panjang kepada yang telah banyak menyelesaikan masalah terutama masalah dalaman. Sudah tidak ada masa kepada yang masih tercari-cari formula menyelesaikan masalah.

Calon BN, Wan Farid telah melalui masa yang lebih lama daripada dua calon lain. Beliau diumumkan sebagai calon kurang lebih 2 minggu sebelum tarikh penamaan calon. Sepatutnya sudah banyak yang dapat diselesaikan.

Wan Farid masih punyai peluang untuk menang kalau banyak perkara, khususnya masalah dalaman UMNO/BN dapat disegerakan penyelesaiannya. Jika cakap-cakap negatif dalaman dapat dibisukan. Jika penyelarasan daripada semua peringkat dapat diselarikan.

Sehingga hari ini, formula penyelesaian masih tergagar-gagar. Kata-kata Najib “nak menang tapi macam tak nak menang” masih menghantui khemah UMNO/BN, sehingga Pengarah PRK BN Kuala Terengganu, Mat Said belum berpuas hati dengan prestasi Wan Farid. Disebut secara terbuka tanpa segan silu.

Wan Farid boleh menang, dengan syarat dia kena selesaikan masalah-masalah ini.

(1) Beliau mungkin tidak menyangka akan berlakunya PRK. Justeru kesilapan besar beliau yang banyak orang tidak menyedari ialah, sebaik selesainya Persidangan Bahagian baru-baru ini, Wan Farid telah menyisihkan banyak pemimpin di semua DUN dalam Bahagian Kuala Terengganu. Wan Farid tidak melantik semula Timbalan Pengerusi Penyelaras, Setiausaha Penyelaras dan sebahagian besar AJK Penyelaras dalam DUN Wakaf Mempelam yang diketuainya sendiri. Wan Farid melantik Adik Mat (Mohd Sabri Alwi) menggantikan Dato’ Che Mat Jusoh mengetuai penyelaras DUN Batu Burok, sambil dalam masa yang sama mengenepikan hampir keseluruhan orang-orang DMCJ dan orang-orang Nordiana. Wan Farid juga tidak melantik semula Ketua, Timbalan, Setiausaha dan AJK penyelaras DUN Bandar. Dan situasi yang hampir sama berlaku juga di DUN Ladang.

(2) Tindakan beliau menyebabkan kumpulan yang disingkirkan Wan Farid ‘berasa hati’ dan sehingga hari ini masih berdiam diri, entah di mana mereka susut kepala. Yang jelas sebahagian besar masih belum menampakkan lubang hidung untuk turut bekerja bagi menjamin kemenangan Wan Farid. Hampir semua DUN yang melibatkan orang-orang yang disebutkan di atas, tidak ternampak kelibat mereka. DMCJ misalnya perlu dipujuk. Walaupun banyak orang tahu beliau juga berusaha melobi untuk menjadi calon baru-baru ini, namun setelah keputusan dibuat oleh pimpinan parti, prinsip dan kepatuhan perlu diutamakan. DMCJ dan orang-orangnya langsung tidak kelihatan semasa hari penamaan calon. Pengaruh DMCJ, Wan Farid tak boleh nafikan. Paling tidak ada di belakang DMCJ orang-orang setia kepadanya yang kalau diminta untuk tidak keluar mengundi atau mengundi calon lain, akan dipatuhi mereka. Masa masih ada dan mereka masih boleh dipujuk untuk berganding bahu semula. Kita tahu DMCJ agak tegas pendiriannya, tetapi rasanya ada seorang tokoh yang boleh melembutkan hatinya. Wan Farid carilah TS Wan Mokhtar (mantan MB Terengganu) yang rumahnya hanya 200 meter dari rumah Wan Farid. Insya-Allah, masalah DMCJ boleh diselesaikan.

(3) Wan Farid perlu mencari alasan yang digunakan Najib sehingga Najib marah dan ‘mengarahkan’ secara sulit supaya Idris Jusoh ‘mengambil peranan’ (bukan mengambil alih) mengetuai PRK Kuala Terengganu. Najib juga mungkin bertindak sedemikian setelah cadangan Setiausaha UMNO Perhubungan supaya setiap peti undi TIDAK diketuai oleh ADUN-ADUN BN Terengganu, kononnya kerana wakil-wakil rakyat BN Terengganu tidak akan bekerja untuk Wan Farid. Setiausaha Perhubungan sebaliknya mahukan semua peti undi dikendalikan oleh Bahagian dan negeri-negeri angkat sahaja. Kerana itulah mungkinnya, pada hari penamaan calon, tidak kelihatan barisan Exco Kerajaan Negeri mahupun Ahli Parlimen serta ADUN Terengganu yang mengiringi Wan Farid. Yang kelihatan hanyalah beberapa orang sahaja seperti Khazan Che Mat (memimpin bacaan doa), Idris Jusoh (mantan MB/Pengerusi Perhubungan), Ustaz Ramli Noh, Sabri Cheek (Menteri). Yang lain entahlah. Mungkin ada mungkin tak ada. Mungkin tak masuk ke kawasan Stadium atau mungkin ada dalam kawasan hospital di hadapan Stadium. Atau mungkin sedang minum-minum sambil berkempen di kedai-kedai kopi berhampiran Stadium.

(4) Wan Farid jangan cepat melatah dengan hanya mendengar cakap-cakap orang tentang tidak perlunya Idris Jusoh and the geng dalam kem kerja PRK kali ini. Wan Farid jangan mudah terpengaruh dengan cakap-cakap itu, lantaran tanpa berfikir baik buruknya, terus menghantar sms kepada Idris melarang Idris turun membantunya. Memalukan juga bila ada pemimpin perhubungan yang keluar dari bilik mesyuarat ketika Idris memberi taklimat gerak kerja. Tidak habis di situ, mereka kemudian berbisik di luar dewan mesyuarat mempertikaikan tindakan Idris Jusoh. Mungkin mereka tidak sedar bahawa Idris sebenarnya ‘diarahkan’ oleh Najib, bukan buat-buat pandai dia sahaja.

(5) Jentera PRK di peringkat pemimpin perlu bersikap telus dengan pihak-pihak yang sepatutnya perlu dan wajib mengetahui kedudukan dan masalah semasa, bukan segala-galanya berstatus ‘rahsia dan sulit’. Kalau dalam mesyuarat sulit antara Ketua / Pengerusi Gerak Kerja PRK pun masih berstatus rahsia dan sulit, segala-galanya akan menjadi sulit dan menyulitkan kerja. Semua perlu bersikap terbuka memaklumkan yang sebenar, walaupun pahit.

(6) Wan Farid perlu memastikan peruntukan untuk belanja PRK dibelanjakan dengan telus dan turun ke sasarannya. Sehingga hari ini, bekalan apa pun masih belum ada di semua markas / pos, baik di markas / pos besar mahupun kecil. Wan Farid kena melantik orang yang betul-betul boleh memastikan peruntukan disalurkan dengan betul dan merata. Wan Farid kena tegas dan memainkan peranan mempengaruhi Pengarah PRK dalam hal ini. Atau laporkan sahaja kepada Presiden atau Timbalan Presiden parti. Hari ini cakap-cakap yang tidak sedap didengar sudah merebak. Duit peruntukan sudah turun tapi tak sampai-sampai ke cawangan / peti undi / markas / pos. Ke mana duit tu disimpan? Masuk simpanan tetap dulu ke? Yang pasti, semua orang bercakap RM2 juta sudah ada di tangan orang kanan UMNO Perhubungan dan RM700 ribu sudah ada di tangan orang kanan UMNO Bahagian sejak dua minggu lalu.

(7) Sesiapa sahaja yang terlibat perlu memastikan tidak berlaku masing-masing berdiri sendiri dan buat kerja sendiri-sendiri tanpa pelarasan yang betul. Keadaan hari ini kelihatan UMNO Pusat dengan dirinya, UMNO Perhubungan dengan dirinya, UMNO Bahagian dengan dirinya dan begitulah seterusnya. Perlu disedari bahawa pengundi UMNO Kuala Terengganu (ahli UMNO yang menjadi pengundi) hanya ada 36% sahaja. Bermakna, kalau 100% ahli UMNO memberi undi kepada Wan Farid pun, beliau baru mendapat 36 peratus undi, selebihnya?

(8) Tindakan beberapa pemimpin UMNO Perhubungan seperti ‘merestui’ kekalahan dan mengharapkan calon BN kalah. Tindakan dan tingkah laku serta gerak kerja yang meragukan seolah-olah mengiakan kenyataan ini. Ramai orang memerhati dari jauh bagaimana cara Ketua Penerangan bekerja, bagaimana cara Setiausaha Perhubungan bekerja, bagaimana cara Bendahari Perhubungan bekerja dan begitulah. Pemimpin lain di peringkat perhubungan, carilah sendiri.

(9) Realitikan kepimpinan melalui teladan untuk mesra rakyat. Rakyat akan menilai bagaimana hubungan dan tidak sekepalanya sesama pemimpin. Semasa berkempen, konsep mesra rakyat yang dibawa. Tapi apabila rakyat merungut dan menempelak semula, susah juga nak jawab. Kata mereka “macam mana nak mesrakan pemimpin dengan rakyat, kalau sesama pemimpin sendiri pun tak boleh mesra?” Sampai bila nak berlagak hipokrik dengan rakyat?

(10) Wan Farid sendiri kena mesrakan lagi dengan rakyat. Seboleh mungkin tragedi beliau balik dengan menaiki kereta dari dalam kawasan Stadium Negeri selepas penamaan calon, sedangkan di luar penyokong masih setia menunggu untuk memberi sokongan, perlu dielakkan daripada berulang. Begitu juga, cerita sedih yang dialami oleh beberapa wartawan yang sejak pagi menunggu kelibat beliau di hadapan rumahnya di Jalan Ibrahim untuk mendapatkan berita dan maklumat terkini, bagi membantu calon berkempen. Apa yang berlaku, Wan Farid dikatakan keluar dengan kereta dari dalam kawasan rumahnya tanpa berhenti untuk bertemu para wartawan yang setia menunggu calon di depan pintu pagarnya. Wartawan yang kecewa menghubungi PA calon dan PA beliau memaklumkan, ‘calon ada urusan peribadi’ pagi ini.

Ada lagi sepuluh hari – masih panjang untuk membetul keadaan tetapi sudah suntuk untuk terus membaharui masalah.
Related Posts with Thumbnails