Khamis, Januari 29, 2009

YANG BARU TERGADAH : PPSMI

1. Ramai teman bertanya pendirian saya tentang PPSMI. Ada juga blogger yang bertanya sambil memohon saya menjelaskan pendirian Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) dalam hal ini.

2. Benar saya adalah Setiausaha Satu PELITA tetapi pendirian saya tidak semestinya menggambarkan pendirian PELITA. PELITA adalah badan kerabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) yang ketika ini dilihat sebagai ‘power ranger’ dalam perjuangan memansuhkan PPSMI bersama Gerakan Mansuh PPSMI.

3. Dalam hal ini sudah pasti PELITA ‘terpaksa’ menuruti kehendak dan pendirian GAPENA. Namun pendirian dan pandangan saya ini adalah merupakan pandangan peribadi yang langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak terutama PELITA, GAPENA mahupun dengan institusi pelajaran, walau atas kapasiti apa sekali pun saya berdiri.

4. Sebelum memanjangkan penulisan ini, suka saya memberi sepintas nostalgia berhubung dengan isu ini serta isu sebutan bahasa baku dalam pendidikan ketika bersama Allahyarham Dato’ Razali Ismail (Bekas Timbalan Menteri Pelajaran dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu).

5. Allahyarham Dato’ Razali Ismail (juga merupakan Ahli Seumur Hidup PELITA) ketika hayatnya merupakan antara ‘teman’ dan ‘guru’ yang agak akrab dengan saya. Marahnya arwah kepada saya bukan marah benci atau marah bermusuhan tetapi ‘marah pendapat’ dan selepasnya kami tinggalkan marah itu di belakang sambil keakraban kami diteruskan dengan disaksikan oleh teh tarik yang sering menjadi teman sembang-sembang kami dalam pelbagai isu lainnya.

6. Namun sesuatu yang saya tidak nafikan seperti perakuan banyak orang, arwah memang amat peka dan menitikberatkan berhubung dengan pendidikan anak bangsa dan setia menjunjung dasar pendidikan negara seterusnya kuat bekerja ke arah penyempurnaan pelaksanaannya.

7. Bersama arwah seingat saya, ada dua isu besar berkaitan pendidikan negara yang bercanggahan pendapat antara saya dan arwah.

8. Pertama, semasa pelaksanaan sebutan bahasa baku BM dalam P&P dan oleh stesyen-stesyen penyiaran. Pelaksanaan bahasa baku diperkenalkan ketika DS Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan. Pada peringkat cadangan pelaksanaannya lagi, saya sudah membayangkan kebimbangan kalau-kalau perkara itu akan berjalan sekerat jalan saja. Saya sebutkan perkara ini di hadapan arwah (ketika itu beliau adalah Pengetua Maktab Perguruan Kuala Terengganu Batu Rakit dan AJK PELITA).

9. Saya sebutkan bahawa saya bimbang banyak orang terutama cikgu dan pelajar akan menjadi manusia hipokrit. Kerana pada saya, mereka hanya akan menggunakan bahasa baku semasa P&P dalam kelas sahaja. Apabila melangkah keluar dari pintu kelas, mereka tidak membawanya keluar bersama dan meninggalkannya di dalam meja kelas. Mereka mungkin akan menemuinya semula keesokan harinya. Dan begitulah seterusnya hipokrasi mereka.

10. Rupa-rupanya kebimbangan saya menjadi kenyataan. Beberapa tahun kemudian setelah Anwar Ibrahim terpecat daripada UMNO, penggunaan sebutan bahasa baku dihapuskan. Banyak yang membantah dan stesyen TV kerajaan diarahkan dengan serta merta supaya tidak lagi menggunakan bahasa baku.

11. Arwah berjumpa dan marahkan saya kerana saya membuat kenyataan menyokong pemansuhan sebutan bahasa baku setelah beliau membaca kenyataan saya (atas kapasiti Setiausaha Satu PELITA) disiarkan dalam Utusan Malaysia. Kata arwah, tidak sewajarnya saya sebagai guru BM dan pemimpin persatuan penulis dan bahasa menyokong penghapusan sebutan bahasa baku yang telah diperkenalkan oleh kerajaan.

12. Saya mempertahankan sokongan saya dengan memberi alasan seperti disebut di atas. Dan kalau tidak silap saya, GAPENA pun bersependapat dengan arwah yang membantah cadangan pemansuhan penggunaan sebutan bahasa baku itu.

13. Kes kedua berkaitan dengan PPSMI ini. Arwah ketika kerajaan bercadang melaksanakan PPSMI merupakan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Arwah antara orang yang kuat menyokong pelaksanaan PPSMI selari dengan dasar kerajaan yang telah menetapkan pelaksanaan begitu. Arwah tidak pernah lupa menyebut peri mustahaknya PPSMI kepada pendidikan anak bangsa dan negara dalam setiap program dan perjumpaan dengan mana-mana pihak yang dihadiri beliau.

14. Dalam satu perjumpaan saya dengan arwah, saya melahirkan rasa kebimbangan saya sekali lagi sambil tidak menyokong cadangan kerajaan untuk melaksanakan PPSMI. Sekali lagi arwah memarahi saya lantaran saya menyanggah usaha kerajaan meningkatkan keglobalan Sains dan Matematik di kalangan pelajar Malaysia.

15. Saya masih ingat, alasan yang dibawa oleh arwah ialah kerana Sains dan Matematik itu merupakan subjek global yang penting dan boleh disesuaikan dengan semua bahasa dan bangsa di dunia. Jadi sekiranya Sains dan Matematik diajar dalam BI, maka keglobalan penguasaan pelajar dalam subjek berkenaan akan dapat meningkatkan daya saing dan penguasaan pelajar Malaysia terhadap kemajuan sains dan teknologi dunia.

16. Kepada arwah, saya tidak menafikan bahawa itu merupakan satu usaha baik kerajaan, tapi saya bimbang dengan persediaan dan cara pelaksanaannya yang mungkin boleh merosakkan minda guru dan pelajar sambil meragui kemampuan sistem pendidikan umumnya dan sistem pendidikan perguruan negara khasnya dalam menghadapi cabaran ini, setelah saya sendiri menyedari pada tahap manakah guru-guru dan pelajar Malaysia berada ketika itu.

17. Saya langsung tidak kaitkan elemen pelaksanan PPSMI itu dengan Perlembagaan Persekutuan terutama yang melibatkan Fasal 152 kerana pada saya itu adalah dasar yang perlu dibentangkan dan mendapat persetujuan parlimen sebelum dilaksanakan. Dan sudah pasti sebelum sesuatu dasar itu menjadi dasar, segala aspek emak neneknya telah diambilkira.

18. Saya cuma menambah alasan, kemajuan sesebuah negara bukan terletak kepada bahasa apa yang mereka gunakan, kerana contohnya rakyat Jepun, Korea dan China sendiri tetap menggunakan bahasa ibunda mereka dalam sistem pendidikan negara mereka, malahan amat sukar untuk bertemu dengan pemimpin dan ilmuan mereka yang fasih berbahasa Inggeris. Tetapi mereka tetap menjadi rakyat yang berjaya di negara mereka yang sudah terbukti berjaya serta dengan megahnya berjaya menjadikan negara mereka sebegitu maju dan utama.

19. Kemudian NUTP dalam persidangan tritahunannya di Kuala Terengganu pada tahun yang sama (2002) turut membawa usul PPSMI ini dan dibincangkan dengan hangatnya oleh para perwakilan semua kaum. Persidangan kemudiannya membuat pengundian di kalangan perwakilan untuk menentukan pendirian NUTP terhadap cadangan kerajaan ini. Ketika itu Presidennya YM Tengku Hafsah dan Setiausaha Agungnya ialah Datuk Siva Subramaniam. Kebetulan saya juga adalah perwakilan ke persidangan itu.

20. Terus terang saya katakan, atas kapasiti diri saya sebagai perwakilan ketika itu, saya tidak menyokong pendirian NUTP berhubung dengan cadangan kerajaan itu walaupun keputusan yang dicapai oleh NUTP akhirnya majoriti perwakilan BERSETUJU dengan pelaksanaan PPSMI.

21. Sehari selepas keputusan persidangan, masih atas kapasiti peribadi (walaupun saya pada masa itu sudah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha NUTP negeri), saya dihubungi oleh beberapa orang SB untuk bertanya pendapat dan pendirian saya berhubung dengan PPSMI ini dan saya tetap katakan saya tidak bersetuju dengan alasan-alasan yang saya telah sebutkan.

22. Begitulah seterusnya selang beberapa bulan PPSMI dilaksanakan apabila saya mendapat banyak rungutan khususnya daripada kalangan guru-guru yang terlibat dengan P&P Sains dan Matematik itu sendiri. Hati kecil saya masih lagi berkata, PPSMI tidak sewajarnya dilaksanakan dalam kondisi semerta dan ‘kedhaifan kemampuan’ pelaksananya (guru). Apa lagi tahun berikutnya, anak sulong saya akan memasuki Tahun Satu yang sudah pasti akan terdedah dengan PPSMI secara langsung. Pun boleh diambilkira bahawa saya merupakan guru BM yang secara langsung dari perspektif umum dilihat wajar untuk memperjuangkan BM itu sendiri.

23. Namun sebagai rakyat yang berada di negara yang merdeka dan berdemokrasi, saya seorang daripada 25 juta warga negara Malaysia tetap menggagahi menuruti keputusan kerajaan meneruskan pelaksanaan PPSMI, walaupun secara peribadi ada rasa kecewa dan kesal, serta tidak bersetuju dengannya. Siapalah kita yang hanya seorang dan tiada apa-apa kuasa ajaib berbanding pemimpin dan ramai lagi manusia yang berkepentingan politik yang bersetuju dengan pelaksanaan dasar itu.

24. Sehingga kini, warga Malaysia yang mengharungi dunia pendidikan telah menggerakkan PPSMI itu selama 6 tahun dan ‘produk’ atau penanda aras pertama gagal berjayanya dasar itu telah diterjemahkan dalam UPSR 2008 lalu.

25. Namun beberapa bulan sebelum arwah Dato’ Razali meninggal, beliau ada merungut di hadapan saya betapa beliau kecewa dengan kemampuan guru dalam melaksanakan PPSMI ini. Dan beberapa hari selepas itu, kenyataan arwah terhadap ‘tahap’ guru-guru dalam menangani PPSMI ini ada disiarkan oleh beberapa akhbar utama negara.

26. Kini, setelah 6 tahun berlalu, PPSMI kembali meriah. Tambah meriah apabila PPSMI dijadikan antara saham besar penyumbang kepentingan politik banyak pihak.

27. Dan hari ini, setelah berusaha gigih menyesuaikan situasi dengan PPSMI yang turut melibatkan anak saya daripada tidak tahu apa-apa semasa mula-mula menjejak kaki ke sekolah hinggalah insya-Allah akan sempurnanya P&P beliau di sekolah rendah penghujung tahun ini, saya berpendapat gerakan memansuhkan PPSMI yang dilihat semakin membuak dan seolah-olah menjadi isu paling utama negara sekarang, perlu difikirkan semula. Yang jelas, saya tidak nampak apa alasannya yang maha munasabah selain dikatakan menggadai maruah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sekiranya Sains dan Matematik diajar dalam BI.

28. Alasan lain hampir semuanya adalah berkepentingan politik, walaupun Gerakan Mansuh PPSMI telah menyenaraikan 15 pengkhianatan oleh pemerintah apabila memaksa PPSMI dilaksanakan di sekolah-sekolah. GMP antaranya menyenaraikan pelaksanaan PPSMI telah melanggar Perlembagaan Malaysia perkara 10 (4), melanggar Perlembagaan Malaysia perkara 152, melanggar Perlembagaan perkara 159, menghina kedaulatan Raja-Raja Melayu dan bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996.

29. Hari ini, secara jelas saya melihat isu ini daripada perspektif yang agak berbeza dan mungkin pandangan atau pemikiran yang sedikit tersasar daripada banyak orang. Pendirian (kalau nak dikatakan pendirian) dan pandangan saya ini hendak saya kumpulkan dengan pendekatan mengajak semua memikirkan di luar kotak kepentingan peribadi dan politik dengan melihat implikasi berdasarkan beberapa persoalan berikut :

i) Perlembagaan Persekutuan perkara 152 dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan bahasa Melayu itu adakah menyebut ‘Bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik’ adalah bahasa rasmi negara?

ii) Tergadaikah maruah rakyat dan bangsa Malaysia di mata dunia atau di mata sesiapa sahaja kerana belajar Sains dan Matematik dalam BI?

iii) Sejauh mana penghinaan kedaulatan kepada Raja-Raja Melayu setelah 6 tahun PPSMI dilaksanakan dan sejauhmana PPSMI menggugat kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu?

iv) Keruntuhan akhlak remaja Melayu yang sudah sampai ke tahap kritikal itu apakah kerana mereka belajar Sains dan Matematik dalam BI?

v) Mat rempit yang hampir seratus peratus anak bangsa Melayu itu adakah faktor merempitnya mereka kerana mereka belajar Sains dan Matematik dalam BI?

vi) Selesaikah masalah mereka jika Sains dan Matematik diajar dalam BM?

vii) Tergugatkah dan tercemarkan pembelajaran lain yang sekarang diajar dalam bahasa Melayu seperti Bahasa Melayu sendiri kerana PPSMI?

viii) Tergugatkah BI kerana PPSMI?

ix) Tergugat, tercemar dan tergadaikah maruah akta pendidikan negara kerana PPSMI? Adakah PPSMI adalah manifestasi keseluruhan terhadap kelemahan dan kegagalan sistem pendidikan negara?

x) Tergugatkah dan tercemarkah pembelajaran mata pelajaran lain yang lebih bersifat nasional seperti Sejarah, Sivik dan Ketatanegaraan, Kajian Tempatan, Kemahiran Hidup Bersepadu, Geografi dan seumpamanya itu kerana mengekalkan Sains dan Matematik dalam BI?

xi) Kenapa kita tidak membantah dan merancang himpunan besar untuk membantah penetapan nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia seperti yang diumumkan sendiri oleh DS Najib Tun Razak tahun lalu, sedangkan Perlembagaan menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bukan bahasa Malaysia.

xii) Apakah kerana kita menghormati dan ingin membodek lantaran Najib akan menjadi PM dalam penantian? Apa nama politik kalau begitu pendiriannya kita? Mana GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka, GMP serta manusia-manusia yang dikatakan pencinta Bahasa Melayu?

xiii) Kenapa setelah enam (6) tahun baru kita tergadah? Kenapa bukan 6 jam, 6 hari, 6 minggu atau 6 bulan? Sedarkah kita bahawa 6 tahun itu bukan satu jangka masa yang pendek kepada sistem pendidikan dan pemugaran minda anak-anak?

xiv) Kenapa kita tidak memberi alasan yang seperti diberikan sekarang untuk menghentikan PPSMI ketika mula-mula diperkenalkan dulu dan terpaksa menunggu sehingga 6 tahun baru menemui alasannya?

xv) Kenapa kita tidak ‘mengugut’ untuk mengadakan perhimpunan 25 juta rakyat Malaysia ketika itu?

xvi) Apakah kita tidak pernah terfikir akan berlakunya penderaan minda kepada anak-anak kita yang telah mengikuti PPSMI selama enam tahun itu?

xvii) Apakah kita tidak pernah terfikir berapa banyak lagi masa, tenaga dan wang ringgit yang akan dibelanjakan untuk mengembalikan semula PPSMI kepada PPSMM termasuk menyediakan buku teks dan keperluan P&P?

xviii)Apakah kita nantinya hanya mudah untuk menghukum kerajaan membazirkan wang rakyat seperti kita menyalahkan kerajaan menggunakan wang royalti minyak untuk pembinaan Taman Tamadun Islam dan pembesaran lapangan terbang di Terengganu misalnya?

xix) Tidakkah GAPENA hanya ingin menghalalkan kealpaannya terhadap bahasa Melayu di Malaysia sebelum ini setelah dikritik kerana hanya mementingkan mencari dunia Melayu di serata dunia di luar Malaysia sebelum ini? Atau bagi menyelamatkan tapak Rumah GAPENA yang hampir-hampir diragut, kebetulan berlaku pada senggang masa yang tidak jauh dengan isu memulakan pelaksanaan PPSMI ini?

xx) Apakah dalam tempoh sebelum 6 tahun, kita tidak tersedar atau tidak ada sarjana, ilmuan, cerdik pandai, pejuang dan pakar dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan sehingga terlepas pandang terhadap perkara ini?

xxi) Atau apakah mereka itu memang kerjanya untuk cari makan dan menjaga periuk nasi masing-masing bagi mengelakkan kebuluran dan terburainya kepentingan?

xxii) Rugikah kita kalau setelah segala-galanya berada di tahap ini, GMP, GAPENA, DBP atau pejuang Melayu dan bahasa Melayu lainnya lebih gigih berusaha untuk memastikan tidak tergadainya lagi subjek lain yang kini diajar dalam BM? Sains dan Matematik hanya dua subjek. 15 -20 subjek yang lain yang kini diajar dalam BM atau bahasa ibunda masing-masing jangan pula nanti tergadai sama.

xxiii) Sejauh mana sistem pendidikan negara boleh dipengaruhi PPSMI untuk menjual maruah dan peradaban negara bangsa Malaysia?

xxiv) Apakah kurang lebih sejuta pelajar Malaysia yang telah mengikuti PPSMI sehingga hari ini akan dan telah menjual maruah negaranya atau berapa peratuskah daripada kalangan mereka yang bakal dan telah menjual maruah bahasa, bangsa dan negara Malaysia?

xxv) Sekadar tindakan memperjuangkan penghapusan PPSMI itu sajakah gambaran perjuangan politik dan bahasa di kalangan pejuang-pejuang bidang itu di Malaysia?

30. Bagi saya, bukan salah PPSMI dan melanggar serta mencabuli Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan yang hendak diperbesarkan sangat sebenarnya. Semua ini adalah usaha mempolitikkan dunia ilmu dengan kepentingan kepartian. Kerana saya cukup yakin, semua orang sedar dan insaf, kelemahan dan kegagalan sistem pendidikan negara atau tercabulnya Perlembagaan atau apa sahaja alasan yang diberikan, itu semua hanyalah alasan yang hanya tinggal alasan. Yang utamanya ialah kepentingan politik. Usah bohong dengan perkara ini kerana kita tidak banyak asas yang kukuh dan kuat dengan beralasan begitu.

31. Kalau benar PPSMI lemah kerana lemahnya guru dan sistem pendidikan negara, penyelesaiannya perlu dicari. Kerajaan perlu disaran untuk berbuat sesuatu bagi menguatkan guru, tenaga pengajar dan sistem pendidikan negara bukan mendera anak-anak kita dan menjadikan mereka mangsa permainan politik dan bahan eksperimen.

32. Kalau juga benar PPSMI telah mencabuli Perlembagaan dan Akta Pendidikan kerana tidak menggunakan BM, bodohlah Dr Mahathir dan pemimpin politik serta ahli-ahli Parlimen yang telah meluluskan dasar berkenaan 6 tahun lalu. Apa bengong sangatkah rakyat sehingga boleh memilih wakil rakyat Parlimen mereka yang buta Perlembagaan dan buta peraturan dan gagal mengerling masa depan rakyatnya?

33. Atau inikah gambaran sebenar tahap pemikiran dan kepentingan ahli-ahli politik negara, pemimpin negara, pemimpin NGO, pejuang-pejuang yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi dan politiknya daripada kepentingan anak bangsa dan maruah negaranya sendiri.

34. Inilah gambaran kesamaan dan perpaduan kebodohan di kalangan ahli-ahli politik (kerajaan dan pembangkang), NGO dan yang menggelarkan diri mereka pejuang kononnya dalam satu isu besar yang jelas memusnahkan minda dan maruah anak-anak yang masih tidak tahu apa-apa tentang politik dan sepak terajangnya.

35. Pada saya, PPSMI perlu dibuat penambahbaikan bukan membubarkannya secara total setelah kita berada pada tahap ini sekarang. Kerana kita bukan lagi berada pada zaman penjajah. Kita adalah tuan pada negara tercinta ini dan kita lebih daripada berhak untuk memutuskan apa-apa sahaja yang sesuai dengan kelangsungan mempertahankan maruah dan citra bahasa dan negara bangsa kita sendiri.

36. Banyak lagi perkara yang lebih menjadi keutamaan untuk dimartabatkan berbanding PPSMI. Bersatu dan berpadulah semua untuk itu dengan sejujur dan seikhlasnya, bukan hanya menyilau sepintas kepentingan politik dan penerusan hayat diri dan organisasi berkepentingan kendiri semata.

37. Alhamdulillah, sehingga hari ini saya masih lagi sering menggunakan kata keramat yang dizahirkan untuk didedikasikan kepada kedua ibu bapa saya : “terima kasih kepada kedua ibu bapaku yang telah mengenalkan aku dengan dunia ilmu yang sebegini luas”.

Rabu, Januari 28, 2009

YANG MENYELEWENG: KENYATAAN MENGHALALKAN CARA?

Isu JKKK nampaknya tidak pernah selesai. Hampir di semua negeri dalam Malaysia ada-ada saja masalah yang berkaitan dengan JKKK ini. Di Terengganu, isu JKKK pernah menjadi isu kontroversi di antara kerajaan PAS dan UMNO/BN di awal pemerintahan PAS di Terengganu pada 1999 dulu. Kerajaan PAS membubar JKKK dan menubuhkan JSR. BN/UMNO kemudian mengekalkan JKKK terus di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Kemudian pada zaman awal pemerintahan semula BN Terengganu di bawah Idris Jusoh sebagai Menteri Besar 2004, isu JKKK muncul lagi. Tindakan drastik Idris Jusoh menghadkan umur Pengerusi JKKK di bawah 60 tahun menjadi isu kontroversi juga, membuatkan Idris kemudiannya terpaksa akur dengan budi bicara untuk terus mengekalkan beberapa orang Pengerusi JKKK yang berusia lebih 60 tahun atas ‘kepentingan politik’.

Kali ini isu JKKK muncul lagi. Mat Said dengan tegas menyatakan fungsi JKKK akan dikaji semula kerana dilihat sudah semakin lemah untuk membantu kerajaan, sekali gus turut menyatakan akan menyiasat pelbagai penyelewengan yang dikatakan telah dilakukan selama ini di dalam organisasi terbesar peringkat kampung itu.

Soal fungsi dan ‘penyelewengan’ JKKK bukan isu baru. Sebelum zaman TS Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar Terengganu pun, soal ini sudah wujud. Apa lagi selama 25 tahun TS Wan Mokhtar menjadi Menteri Besar. Idris hanya 4 tahun dan Mat Said pula baru 9 bulan.

Kalau hendak disenaraikan soal tidak menepati fungsi dan penyelewengan oleh JKKK, memang tidak akan habis. Bermula dengan soal paling kecil seperti kuasa menandatangani borang, bantuan selimut gebar kepada mangsa banjir di kampung, agihan dua tiga keping atap zing atau soal sumbangan jamban sehinggalah kepada yang bersifat sederhana dan bersaiz besar seperti memilih bulu @ kroni, agihan wang ehsan, pembahagian rumah PPRT, pengagihan tanah kerajaan, indent, sebut harga, kontrak kerja, kawasan balak, menentukan jawatan dan berjuta keistimewaan lain yang berkaitan dan diberikan kepada organisasi itu.

Sama ada disedari atau tidak, JKKK merupakan ‘kuasa’ terbesar untuk pemimpin kecil setempat di peringkat kampung. Apa lagi apabila JKKK diperuntukkan dengan kuasa kewangan kepada individu berjawatan di dalamnya serta diberi pula kuasa penentu di kampungnya.

Dari segi strukturnya, perjalanan organisasi JKKK ini juga ‘wajib’ akur, patuh dan 'tekup batu' dalam menuruti kehendak pemimpin lebih tinggi (daerah mahupun negeri). ADUN dan Ketua Bahagian dilihat amat berkuasa dalam menentukan kedudukan seseorang, sama ada boleh dilantik atau tidak (diulang, BOLEH dilantik atau tidak, bukan LAYAK dilantik atau tidak).

Sebab itu bukan perkara pelik dan ajaib atau sesuatu yang luar biasa kalau ada di kalangan Pengerusi atau pemegang jawatan dalam JKKK (waima AJK sekali pun) kecut perut dan takut terlingkup periuk belanganya kalau tidak akur dengan arahan atau cakap ADUN atau Ketua Bahagian mereka. Mereka diugut akan ditabur pasir dalam periuk belanga mereka sekiranya mereka menentang pemimpin yang merasa lebih berkuasa daripada segala-galanya dan berkepentingan.

Saya sebutkan begitu kerana realiti yang berlaku selepas pemilihan UMNO Bahagian di Terengganu baru-baru ini, kuasa penuh perlantikan Pengerusi JKKK dan barisan AJKnya terletak sepenuhnya di tangan Ketua UMNO Bahagian. Cakap atau cadangan ADUN langsung tidak dilihat walau sekejip mata pun. Apa lagi kalau ADUN itu pula orang yang menyanggah dan melanggar arus menentang Ketua Bahagian. Jadilah ADUN-ADUN itu berkuasa ke atas batunya sendiri kerana kerja mereka sekarang hanya menghayun batu sahaja.

Itulah hakikatnya yang berlaku pada hampir semua Bahagian UMNO/Daerah di Terengganu selepas pemilihan UMNO baru-baru ini. Hampir seratus peratus pemimpin kecil setempat (khususnya Ketua UMNO Cawangan) yang menyokong dan menentang Ketua Bahagian dipecat dan diganti dengan orang yang sebulu dan penyokong totok Ketua Bahagian, walaupun dari segi kelayakan dan kemunasabahannya ibarat langit dengan bumi.

Akibatnya Mat Said selaku Menteri Besar menerima banyak aduan, bantahan dan rasa tidak puas hati rakyat. Yang susahnya, pemecatan dan penggantian Pengerusi JKKK dan barisan AJKnya itu bukan atas kehendak dan arahan Mat Said tetapi atas kehendak dan rasa berkuasanya Ketua Bahagian. Saya telah menulis senario pemecatan ini di satu bahagian UMNO/daerah sebelum ini (di sini).

Persoalannya sekarang apakah kenyataan dan tindakan Mat Said itu benar-benar telus dan berniat jujur untuk melihat fungsi dan peranan JKKK benar-benar comel dan sempurna serta bersih daripada penyelewengan? Apakah sememangnya benar-benar tidak ada apa-apa muslihat lanjutan kenyataan Mat Said itu? Tidakkah akan timbul tuduhan dan tohmohan bahawa keikhlasan Mat Said dalam hal ingin melihat semula fungsi dan menyelongkar penyelewengan dalam JKKK ini hanyalah alasan untuk menghalalkan cara semata?

Pun demikian kita sedar, apa pun alasan yang diberikan, bagaimana dan apa langkah mengatasi yang dilakukan pun, sebaik mana sekali pun, pasti akan ada rungutan dan rasa tidak puas hati. Bezanya cuma kuantiti dan tahap kewapan rasa itu sahaja.

Kita juga amat sedar, situasi akan menjadi sama saja. Kalau pemimpin A yang naik misalnya, maka tindakan yang sama juga mungkin akan diambil terhadap Pengerusi dan AJK JKKK yang menjadi penyokong kumpulan pemimpin B dan sebaliknya. Begitu juga seperti tindakan kerajaan PAS tahun 1999 lalu. Kerajaannya sudah tentu melantik di kalangan penyokong mereka sebagai Pengerusi JSR dan AJK, kerana itu sudah menjadi hak mereka. Kuasa dan kepentingan mereka perlu dijaga.

Cuma dalam kes kali ini yang melibatkan JKKK di bawah pentadbiran kerajaan BN Terengganu, tindakan, cara dan pendekatan menangani masalah ini sahaja yang perlu lebih diikhlaskan sifatnya oleh Mat Said selaku pemimpin negeri yang bertanggungjawab, bukannya kerana menutup keterlanjuran penyalahgunaan kuasa oleh orang lain atau menjadi kambing hitam kepada orang-orang kepercayaannya ataupun berunsur mengaburi mata rakyat bawahan yang marhain tapi masih lebih cerdik daripada sesetengah orangnya sendiri.

Apa-apa pun, tahniah kepada Mat Said yang mengambil inisiatif mengambil peduli semula soal JKKK ini. Setidak-tidaknya beliau baru sedar tentang kelemahan dan jalan tempangnya JKKK selama ini, walaupun beliau pernah menjadi Penolong Pegawai Daerah (JKKK di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah), pemimpin UMNO dan ADUN semenjak tahun 1990 lagi.

Diharap tindakan Mat Said ini adalah keikhlasan yang sebenar-benarnya atas niat ingin melihat JKKK selepas ini tidak lagi berliku seperti jalan tanah merah kampung tetapi sekurang-kurangnya sudah mengikut ril kereta api kalau pun tidak sebaik landasan kapal terbang. Harapnya lagi, tindakan ini bukan kerana terpengaruh atau menerima ‘arahan’ daripada orang-orang tertentu sama ada daripada enam jahanam atau budak tingkat 16.

Kerana itu Mat Said perlu menyelongkar sampai ke lubang kuman semua perkara dan semua peringkat orang yang terlibat dengan JKKK ini, bukan memilih hanya perkara dan orang-orang tertentu sahaja.

Isnin, Januari 26, 2009

YANG TELAH BERLALU : P036 (4)

UMNOlah yang membuatkan partinya menjadi parti satay.

Ada tukang kejar lembu / ayam / kambing
Ada tukang tangkap dan elak binatang-binatang tu dalam kandang
Ada tukang sembelih
Ada tukang melapah
Ada tukang menghiris halus-halus
Ada tukang kerat dan raut buluh
Ada tukang cucuk
Ada tukang nyalakan api
Ada tukang kipas
Ada tukang balik-balikkan
Ada tukang terlupa tengok sampai hangus
Ada tukang goreng kacang
Ada tukang tumbuk kacang
Ada tukang buat kuah
Ada tukang rasa
Ada tukang cicah
Ada tukang makan
Ada tukang hidu bau asap
Ada ramai tukang sedap

Akhirnya BN di P036 Kuala Terengganu jadi lidi satay.

Ahad, Januari 25, 2009

YANG TELAH BERLALU : P036 (3)

Kalau UMNO tidak melantik orang ini menjadi pemimpin UMNO negeri, tidak akan berlaku penyelewengan dan songlap duit pilihan raya kecil yang banyak dengan sewenang-wenangnya.

Kalau UMNO tidak membenarkan perlantikan orang ini juga, tidak akan berlaku pemberian kontrak bagi kerja-kerja memasang poster, bena, billboard dan pelbagai keperluan logistik sempena pilihan raya kecil P036 baru-baru ini, kepada syarikat milik anaknya sendiri.

Orang inilah dalam perbincangan membetulkan situasi BN menghadapi kesulitan semasa PRK baru-baru ini telah dengan lantang menuduh dan memalukan UMNO Kuala Terengganu apabila menyatakan “UMNO Bahagian Kuala Terengganu adalah UMNO Bahagian yang paling teruk sepanjang saya terlibat dengan pilihan raya. Belum pernah saya berjumpa dengan UMNO Bahagian seteruk UMNO Bahagian Kuala Terengganu ini”.

Sedangkan dalam masa yang sama, orang ini tidak pun memberi pandangan dan bantuan sewajarnya bagi membetulkan dan meredakan keadaan, sebaliknya menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mengadakan ‘sekatan ekonomi dan kemanusiaan’ kepada UMNO Bahagian Kuala Terengganu dan seluruh jentera BN PRK Kuala Terengganu.

Orang ini juga dikenal pasti sebagai ‘masterminder & grand designer’ yang menggunakan nama MB dalam usaha memastikan Wan Farid benar-benar terkubur di Kuala Terengganu.

Kesilapan UMNO adalah kerana UMNO terlalu memberi muka kepada orang seperti ini.

Kalau UMNO sudah insaf daripada kesilapan dan kesalahannya sehingga BN kalah di P036, UMNO tidak membiarkan pemimpin korup, pembelot dan gila kuasa gila kedudukan seperti orang ini untuk terus memimpin UMNO lagi.

Mat Said amat kenal orang ini.

Sabtu, Januari 24, 2009

YANG TELAH BERLALU : P036 (2)

SMS ini diterima sehari selepas PRK P036. Diturunkan sepenuhnya tanpa pindaan (kecuali ejaan) :

Asas pengundi menolak BN :

(1) Rakyat menolak kepimpinan kerajaan negeri Terengganu.
(2) TCS tak puas hati dengan penyusunan jawatan.
(3) Politik wang dalaman UMNO memualkan rakyat.
(4) UMNO negeri dipimpin oleh pembelot dan perasuah.
(5) Tiada program yang boleh dibanggakan oleh rakyat.
(6) Pemilihan dalam UMNO, kekuatan dibina oleh RM bukan dilihat dari sudut ketokohan yang dilihat oleh rakyat bukan segelintir ahli parti, suara rakyat adalah suara keramat, suara yang menentukan kedudukan kerajaan.

Marilah sama-sama berfikir dan merenung apakah pucuk pimpinan parti khususnya di Dungun boleh memujuk rakyat atau membeli ahli parti untuk menobatkan kedudukannya?

Catatan :

Setelah dibuat senarai keutamaan secara random di kalangan peminat 'program realiti UMNO' ini, faktor nombor (4) mendahului jauh di hadapan.

YANG MENJADI TEORI : PAK LAH KEKAL PM (& PRESIDEN UMNO?)

Ini hanya teori. Boleh juga kalau nak dikategorikan sebagai hipotesis dan tesis.

Sejak BPR dinaiktarafkan sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sudah berbaris berbondong nama-nama ahli UMNO telah, sedang dan akan disoal siasat. Sudah pasti, kemudiannya nanti akan ada yang didapati bersalah dan didenda.

Ada yang berteori, tindakan SPRM bukan kerana Pak Lah nak membalas dendam atau kerana Pak Lah dah nak berhenti, maka “peduli aku, siapa-siapa pun kena, aku dah nak berhenti, tak perlu lagi sokong menyokong bodek membodek”, tetapi dianggap sebagai kesengajaan yang tidak nampak sengaja untuk memastikan kerusi PM (dan mungkin Presiden UMNO juga) akan dapat terus didudukinya.

Pak Lah orangnya amat bertanggungjawab dan tidak lari kepala. Apa lagi kalau-kalau (hanya kalau-kalau), SPRM buat-buat tersalah siasat kes kapal selam dan helikopter, lagilah Pak Lah kena bertahan. Nak minta Timbalan Presiden memangku, Timbalan Presiden orang baru dan ADUN atau Senator saja (oooppp !!! dah comfirm ke?).

Pak Lah juga bukan sebarangan orang yang nak cuci tangan begitu sahaja dan ingin melihat parti keramatnya terus-terusan dihina dicaci dituduh dengan pelbagai amalan rasuah dan sejuta kehinaan lainnya. Pak Lah berhak mencadangkan kepada MT UMNO supaya mana-mana Bahagian yang pemimpinnya didapati terlibat dengan rasuah politik dibatalkan keesahan persidangannya dan perlu dibuat persidangan dan pemilihan semula. Kalau tak sempat tahun ini, boleh tahun hadapan atau tahun lagi hadapan atau lagi lagi hadapan, hinggalah PRU ke-13.

Itu kerja SPRM bukan kerja Pak Lah. Namanya Suruhanjaya, mesti bebas dan berkecuali.

Jumaat, Januari 23, 2009

YANG TELAH BERLALU : P036 (1)

BERSATU BERSETIA BERKHIDMAT

Dalam menentukan ‘kekalahan’ calon BN dalam PRK P036 Kuala Terengganu baru-baru ini, UMNO langsung menenggelamkan motto atau slogan keramat mereka ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’.

Justeru dalam semua keadaan, bermula sebaik sahaja arwah Datul Razali meninggal dunia, melalui sekitar kepelbagaian spekulasi siapa calon UMNO/BN sehinggalah kepada hari mengundi 17 Januari, tiga perkataan keramat yang menjadi kebanggaan UMNO sejak mula ditubuhkan itu langsung tidak digunapakai dan disuburkan roh semangatnya.

Yang bersalah menyebabkan BN kalah dalam PRK P036 adalah UMNO.

Rabu, Januari 21, 2009

YANG BERTEMBUNG LAGI : DUN LADANG

P036 Kuala Terengganu

N15 Ladang :

Pemilih berdaftar (mengikut senarai pada PRU-12/2008) : 16,777

Dato’ Tengku Hassan bin Tengku Omar (PAS) = 6,723 undi

Dato’ Wan Hisham bin Wan Salleh (BN) = 6,692 undi

Calon PAS menang dengan majoriti : 31 undi

Jumlah keluar mengundi (PRU 12/2008) : 81.67%

YANG MENGUASAI IBU NEGERI : SATU RENUNGAN

Selepas pilihan raya umum ke-12, 8 Mac 2008 lalu dan terbaru selepas PRK P036, hanya dua ibu negeri di Malaysia masih memihak kepada BN. Umum telah mengetahui peratusan pengundi di bandar-bandar ibu negeri di Malaysia adalah majoritinya bukan Melayu atau setidak-tidaknya menjangkau sehingga 40% pengundi bukan Melayu.

P02 KANGAR : Dato’ Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (BN)

P09 ALOR SETAR : Gooi Hsiao Leung (PKR)

P21 KOTA BHARU : Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (PAS)

P036 KUALA TERENGGANU : Mohd Abdul Wahid Endut (PAS)

P049 TANJUNG : Chow Kon Yeow (DAP)

P064 IPOH TIMUR : Lim Kit Siang (DAP)

P065 IPOH BARAT : M. Kulasegaran (DAP)

P083 KUANTAN : Fuziah Salleh (PKR)

P108 SHAH ALAM : Khalid Abd. Samad (PAS)

P128 SEREMBAN : John Fernandez (DAP)

P138 KOTA MELAKA : Sim Tong Him (DAP)

P160 JOHOR BAHRU : Datuk Sharil @ Shahril Abd. Samad (BN)

P172 KOTA KINABALU : Hiew King Chiew (DAP)

P195 BANDAR KUCHING : Chong Chieng Jen (DAP)

**(Tidak termasuk kerusi-kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang hanya berbaki satu buat BN).

Apa mesej dan apa sebenarnya yang mendorong kecenderungan pengundi bandar, khususnya pengundi bukan Melayu memilih wakil mereka bukan di kalangan wakil BN itu?

Isnin, Januari 19, 2009

YANG BELUM PASTI : ROSLAN AWANG CHIK TIMBALAN MENTERI

Kalau aliran perlantikan Menteri dan Timbalan Menteri yang diamalkan Pak Lah sebelum ini diambilkira, Senator Datuk Roslan Awang Chik boleh dilantik sebagai Timbalan Menteri bagi mengisi kouta wakil Terengganu.

Roslan sudah berjawatan Senator. Beliau adalah Bendahari UMNO Negeri Terengganu yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Terengganu. Pernah menjadi ADUN Ladang 1995-1999 dan pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu sebelum tewas kepada Wan Farid pada pemilihan UMNO tahun 2004 lalu. Roslan sehingga hari ini masih berjawatan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia.

Ada dua kekosongan jawatan Timbalan Menteri kouta Terengganu. Bagi kouta Ahli Parlimen menang, Nasir Ibrahim hampir pasti salah seorang daripadanya.

Namun kesan dan pengalaman kekalahan PRK baru-baru ini perlu juga diambilkira.

YANG MENJADI FAKTOR

Ramai teman-teman terus menghubungi dan mengharapkan saya turut mengambil bahagian sama dalam menyenaraikan punca kekalahan calon BN dalam PRK Kuala Terengganu.

Saya hanya menjawab – insya-Allah. Insya-Allah ini bukan insya-Allah politik.

Sehari dua ini sudah terlalu banyak yang membuat andaian dan membuat analisa punca kekalahan BN dan kemenangan PAS. Itu adalah analisa pasca laksana berdasarkan persepsi masing-masing. Itu adalah hak dan pandangan serta dapatan masing-masing, sama ada mereka terlibat secara langsung mahupun sebaliknya, mereka berhak untuk membuat analisa.

Kepada saya, hanya ada dua faktor utama yang boleh dikaitkan dengan kekalahan BN dan kemenangan PAS. Pertama UMNO dan kedua UMNO. PAS bukan faktor kemenangan dan calon PAS juga bukan faktor kemenangan. BN keseluruhannya bukan juga faktor kekalahan.

…. bersambung….

Ahad, Januari 18, 2009

YANG TERLEPAS : SEPERTI TELAH DIRANCANG

Keputusan PRK P036 Kuala Terengganu sudah diketahui. Sudah banyak yang membuat analisa tentang faktor kekalahan dan kemenangan. Pada saya sudah banyak yang saya tulis tentang faktor-faktor yang disebut banyak orang baik secara tersirat mahupun tersurat lagi jelas. Bukan sekadar menulis, kerana tulisan dalam blog JAM ini, hanya merupakan sebahagian kecil sahaja daripada pandangan dan cadangan yang diberikan dari semasa ke semasa berdasarkan situasi semasa dan terkini.

Sayangnya banyak orang merasakan pandangan yang telah diberikan adalah pandangan pinggiran yang perlu dilihat siapa yang mencadangkan dan apa tarafnya orang yang memberi pandangan dan cadangan itu, selain kurang fahamannya kita terhadap apa yang dinamakan komen negatif dan apa pula sifatnya provokasi. Banyak lagi perkara dan kelemahan yang kalau didedahkan, akan menyerongkan lagi persepsi banyak orang terhadap banyak orang.

Secara umumnya, banyak faktor yang membuatkan BN (bukan Wan Farid) kalah dan Wahid Endut (bukan PAS) menang. Kalau berkesempatan, saya akan cuba meluangkan masa menulis perihal ini.

Cuma yang saya nak sebutkan di sini, sehari sebelum PRK, saya ada mengandaikan calon BN akan menang dengan majoriti 3,341 undi. Provokasi itu hanya andaian setelah beberapa dapatan yang dikumpul membayangkan bahawa calon PAS akan menang dengan majoriti 1,433 undi.

Yang jelas, masalah yang melanda BN (UMNO sendiri khususnya) gagal diminimunkan malahan semakin bertambah sehingga ke saat-saat akhir hari pengundian. Dalam masa yang sama, PAS dan calon serta sekutunya semakin mengemaskan strategi dan gerakannya, selain memaksimumkan penyelesaian masalah. Kerana itulah majoriti undi PAS bertambah. Barangkali.

Sabtu, Januari 17, 2009

YANG BERBAKI 1 : SIAPA KALAH

Pengundian akan bermula kurang 3 jam dari sekarang. Pengundian akan berjalan selama 9 jam. Seorang pengundi akan mengundi tak sampai pun seminit. Agak lama kerana menunggu, beratur, berjalan, mencari pensil dan melipat kertas undi kemudian memasukkan ke dalam peti undi. Paling lama dengan semua kerja itu kira-kira 30 minit sahaja. Yang panjang ialah masa berkempen supaya pengundi mengundi dan paling panjang supaya pengundi mengundi calon @ parti mereka.

UMNO / BN sudah lebih 50 tahun berkempen. PAS juga begitu.

Siapa kata BN kalah? Siapa pula kata PAS kalah?

(1) Semasa sembang-sembang dengan seorang wartawan, dia masih mengeluh tentang banyak rasa tidak puas hati kepada calon dan dia meramalkan calon itu kalah.

(2) Semasa minum di warung jalan Sultan Sulaiman, seorang teman yang akan mengundi memaklumkan beliau meminta agar temannya ‘tolong’ ambilkan angpau yang dijanjikan oleh pihak calon. Banyak juga jumlahnya. Namun dia bimbang walau digunakan cara itu, calon itu masih akan kalah.

(3) Teman yang sama minum-minum turut menceritakan, calon sendiri yang menelefon bapanya yang berada di Kuala Lumpur supaya membawa balik keluarga yang boleh mengundi untuk membantu beliau tidak kalah. Kata teman itu, calon berkenaan mungkin tidak kalah.

(4) Cerita seorang penunggu markas. Duit diberitakan ada, tapi tak sampai-sampai. Kalau yang diamanahkan ‘pegang’ duit tu bertanding, pasti dia kalah.

(5) Semasa pusing-pusing, ada demontrasi kecil di jalan Sultan Zainal Abidin. Beberapa pemuda dan orang dewasa lelaki memegang poster gambar calon dan melaungkan kata-kata memancing undi bagi memastikan calonnya tidak kalah.

(6) Seorang kenalan lama menunjukkan sms yang diterima daripada seorang pemimpin parti sekutu bertulis ‘kita juga tidak menyangka, tetapi siapa-siapa pun tak apa, asal jangan 'orang itu'. Kita akan bekerja untuk tidak kalahnya calon itu.’

(7) Seorang pekerja menceritakan bagaimana bosnya 'paksa dalam rayu' agar pastikan calon pilihan tidak kalah. Siap dengan gertakan, kertas undi boleh disemak semula, ini siapa punya dan itu siapa punya.

(8) Ramai pekerja merungut kerana muak dipaksa ke majlis berkali-kali sekadar untuk mendengar cerita dan cakap-cakap politik bagi memastikan calon tidak kalah.

(9) Ceramah dan poster bukan penentu calon mereka kalah atau tidak kalah.

(10) Peti undi dan kertas undi tidak akan kalah.

SELAMAT MENGUNDI KEPADA YANG TIDAK BERANI KALAH.

Jumaat, Januari 16, 2009

YANG LAGI TERKINI : BLOGGER DIRASUAH?

Mungkin kerana duit lebih, bloggers yang menjadikan Pusat Media kerajaan negeri sempena PRK P036 Kuala Terengganu sebagai markas memblog mereka, tadi siang dikurniakan 'angpau' PRK sebanyak RM300 seorang.

Yang tukang membahagi-bahagikan angpau tu, seorang kakitangan Unit Komunikasi kerajaan Negeri Terengganu.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada yang 'menghargai' sumbangan blogger dalam PRK kali ini.

Tetapi yang lebih seronok dan menjadi berita panas dan penting ialah ada blogger yang telah membuat laporan polis petang tadi berhubung dengan angpau yang dianggap 'rasuah politik'.

Siapa cerdik dan siapa lebih cerdik dalam hal ini?

YANG TERKINI : BN MENANG

*** (hanya meminjam ruang blog JAM. Ini bukan cakap politik atau cakap blogger, tetapi cakap peribadi).

Calon Barisan Nasional (BN), Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh memenangi kerusi P036 Kuala Terengganu dengan majoriti 3,341 undi.

YANG BERBAKI 2

Peristiwa semalam tidak banyak yang boleh dicatatkan. Kurang sihat. Cuma kempen semakin rancak. Di sekitar Gong Kapas sahaja, ada tidak kurang 3-4 ceramah. Paling hampir (selang tiga buah rumah dengan rumah saya), ada ceramah PAS. Jiran sebelah rumah menelefon, terlalu kuat pembesar suara ceramah tu. Suara TV pun tenggelam.

Selepas ceramah, baru boleh memberi tumpuan kepada Astro 105 - '6 Jahanam' P. Ramlee ditayangkan. Seperti kebetulan atau kesengajaan.

Sudah lupa, sempat habis atau tidak cerita tu sebelum saya tertidur.

Khamis, Januari 15, 2009

YANG BERSUMPAH LAGI & LAGI : MAT KOTEX

Kepala 6 Jahanam, Mat Kotex bersumpah dan mencabar lagi. Malam tadi bertempat di Kampung Kubang Parit dalam DUN Wakaf Mempelam, Mat Kotex bersumpah lagi. Wallahi wabillahi watallahi hanya kerana nak menyakinkan pendengar ceramah berretorikanya agar mempercayai bahawa beliau tidak seperti yang dituduh Husam Musa –‘masuk UMNO untuk cari makan’.

Marahnya Mat Kotex kepada Husam tidak terkira kerana tuduhan itu, sehingga membuatkan Mat Kotex bersumpah dan mencabar lagi. Bagi Mat Kotex, tuduhan Husam itu besar, berdosa besar dan tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun kecuali oleh dirinya seorang sahaja. Kalau nak dikira, apa sangatnya tuduhan itu dibandingkan dengan tuduhan meliwat atau tuduhan munafik yang dilemparkan kepada Anwar oleh Mat Kotex.

Mat Kotex bersumpah bahawa pemimpin PAS pertama yang ditemuinya setelah beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan PKR ialah Husam Musa. Kata Mat Kotex, Husam ditemuinya bagi memaklumkan bahawa ada beberapa perkara yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim secara peribadi dan politik yang beliau tidak boleh menerimanya sebagai seorang Islam. Dan andainya beliau terus membantu Anwar, beliau akan terus menanggung dosa besar.

Hebatnya Mat Kotex. Angkuh dan sombongnya Mat Kotex apabila beliau mencabar Husam untuk menjawab kata-kata sumpahannya dan turut menyatakan, beliau tidak berhasrat untuk mendedahkan lagi, apa perkara yang dimaklumkan berkaitan Anwar kepada Husam kerana ‘menjaga aib orang’. Angkuhnya lagi Mat Kotex, siap dengan ugut mengugut, kalau Husam tidak menjawabnya sehingga 17 Januari ini, beliau akan menjelajah ke seluruh Kelantan mendedahkan perihal Husam dan Anwar ini. Itulah Mat Kotex, sombong dan takbur.

Mat Kotex mungkin lupa, sejak bila beliau pandai menjaga aib orang. Orang politik tetap orang politik. Aib dan malu adalah mainan politik. Mat Kotex bercakap pun atas dasar politik. Sekali lagi, sepatutnya perkara dan dedahan ini dibuat di Permatang Pauh bukan di Kuala Terengganu. Sekali lagi buat apa nak menjaga aib orang kalau benar orang sudah mendedahkan aib dirinya dan kita sendiri mendedahkan aib sendiri.

Apakah Mat Kotex sedar, bila beliau bercakap tentang dosa pahala dalam Islam, beliau tidak sewajarnya membiarkan orang lain bersubahat sama dengan Anwar Ibrahim dan menanggung dosa besar kerana perlakuan Anwar. Mat Kotex WAJIB mendedahkan, menyedarkan orang Islam yang lain sambil menyeru kepada umat Islam di seluruh dunia supaya tidak bersekongkol dengan Anwar kerana Anwar pembawa dosa besar. Alangkah besarnya pahala dan kurniaan yang bakal Mat Kotex perolehi sekiranya itu dilakukannya. Soal sama ada orang menerima atau pun tidak, itu bukan lagi soal Mat Kotex. Itu urusan orang lain dengan Allah. Tugas Mat Kotex sudah selesai.

Soalnya apakah Mat Kotex sudah menjalankan amanah dan suruhan Allah? Allah menyeru supaya manusia sesama Islam saling berpesan-pesan, tegur menegur dan ingat mengingati antara satu sama lain. Melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Tapi kalau begini caranya, nampaknya Mat Kotex kena belajar pondok lagi.

Saya yakin dan percaya teramat-amatnya, kalau Mat Kotex menyebut perkara itu, Nik Aziz dan Haji Hadi yang diakui oleh pengikut-pengikutnya sebagai Tok Guru itu pasti tidak akan bersama Anwar lagi. Pasti Nik Aziz, Haji Hadi, Harun Din, Ahmad Awang dan segala jenis lebai iman dalam PAS yang didakwa sebagai bertaraf ulama itu tidak akan bersama Anwar lagi dan sudah pasti Anwar akan tumbang seperti yang dihajatkan sangat-sangat oleh Mat Kotex dan kuncu-kuncunya serta oleh banyak orang pun.

Apakah ulama dan ustaz dalam PAS akan terus menerima Anwar apabila mereka mengetahui fie perangai Anwar? Ulama dan ustaz beragama Islam apa namanya kalau begitu. Pun kalau katakanlah ulama dan ustaz dalam PAS terus berdegil dan pembelit serta tidak boleh dipercayai, Mat Kotex wajib menyebutnya dulu. Mat Kotex kena sebut dan apabila mereka (ulama dan ustaz dalam PAS) tidak menerima, perkara ini akan menjadi modal besar untuk UMNO dan Mat Kotex.

Mungkn Mat Kotex memikirkan, mereka itu apabila mendengar apa yang diucapkan Mat Kotex, lantas mereka menuduh itu fitnah, cakap-cakap politik dan cerita rekaan semata-mata bagi menghalalkan penolakan cakap Mat Kotex. Mungkin benar. Tapi Mat Kotex juga kena sedar, kejujuran akan mengatasi segala-galanya. Soal terima atau sebaliknya itu soal mereka, asal Mat Kotex tidak memfitnah, bercakap politik dan mereka-rekakan cerita semata. Mat Kotex akan terlepas daripada bala dan dosa. Orang-orang UMNO akan terlepas daripada bala dan dosa. Terlepas daripada bersubahat dan bersekongkol mendengar cakap orang-orang PAS dan PKR yang berdosa besar itu.

Atau sebelum Mat Kotex memikirkan untuk meninggalkan PKR, apakah Mat Kotex tidak pernah terlintas untuk memaklumkan perihal perangai Anwar ini kepada orang dalaman PKR sendiri? Kalau itu berjaya dilakukan Mat Kotex, beliau tak perlu menyusahkan diri masuk UMNO semula sehingga timbulnya kata-kata yang amat menyinggung perasaan Mat Kotex itu. Sekurang-kurangnya Mat Kotex sudah melaksanakan kewajipannya dan punyai alasan kukuh untuk keluar PKR, kalau pun orang dalaman PKR amat taksub kepada Anwar.

Kecualilah Mat Kotex juga bercakap politik dan mereka-reka cerita, sebab itu Mat Kotex belum bersedia untuk mendedahkan. Maklumlah kena balik KL dulu, fikir masak-masak, apakah implikasi kalau disebut. Bagaimana nak mereka cipta cerita supaya lebih menarik dan dapat menarik perhatian ramai orang. Bagaimana nak menjawab dengan baik supaya orang tidak meragui dan terus mempercayai. Apa pula surat atau bukti yang hendak direka untuk ditunjukkan kepada ramai orang apabila nak menyebutnya nanti.

Kerana kalau Mat Kotex benar, segala macam perkara ini sudah sepatut dan sewajibnya Mat Kotex sebut lebih awal lagi. Dah disebut di Permatang Pauh, pada mana Anwar bertanding dan Husam membantu Anwar sampai nak gila. Tetapi kenapa Mat Kotex tidak menyebutnya? Kenapa Mat Kotex membiarkan Husam menjadi hampir gila sedangkan (kalau benar seperti didakwa Mat Kotex) Husam sudah pun tahu dosa besar Anwar ketika itu. Bodoh benar ke Husam sampai tidak boleh membatas dosa agama dan politik? Janganlah beralasan menjaga aib, menjaga aib, menjaga aib. Aib apa kalau kemudian boleh pula disebut? Ilmu apa dan ilmu mana Mat Kotex belajar nin?

Mesti ada sebab musababnya. Kalau pun Mat Kotex tidak berkesempatan untuk bersedia dengan rekaan baru, Mat Kotex sebenarnya belum terfikir skrip menarik itu untuk mendokong keenakan dan kemanisan bicaranya. Alasan lain, hanya untuk menyedapkan halwa telinga semata.

Apa sangatlah dengan perkataan ‘masuk UMNO untuk cari makan’ tu sehingga bersumpah, mencabar dan kena menjaga aib serta maruah orang lagi? Nampaknya Mat Kotex sengaja membogelkan fie perangainya yang sebenar. Mat Kotex sengaja nak tunjuk hebat. Sepatutnya, kalau Mat Kotex tidak boleh menerima cakap-cakap politik begitu dan terlalu banyak pantang larang dalam bercakap, elok Mat Kotex tinggalkan saja dunia politik yang penuh dengan kekejaman itu.

Jangan campur politik sebab Mat Kotex sendiri mendakwa kononnya dalam politik tak ada apa yang dapat. Menghabiskan wang ringgit, masa dan tenaga. Berkorban dan tak pernah dibela pun. Jadi buat apa terkejar ke sana ke sini untuk politik. Kan itu kerja bodoh namanya. Kalau tak terlibat dengan politik, tak adalah orang bercakap begitu. Kalau tiba-tiba aktif berpolitik sedangkan sebelumnya kita dah tinggalkan, banyaklah tafsirannya. Buat apa kita nak marahkan orang, apabila ditafsir begitu. Tafsiran tu tafsiran politik.

Nampak sangat bagi Mat Kotex, sumpah-sumpah itu perkara kecil. Niat dalam hati bahawa sumpah yang dilafaz bukan sebenar-benarnya, habis cerita. Hanya Allah saja yang tahu dalam perut pedalnya, orang lain tak tahu. Atau peduli apa dengan sumpah-sumpah tu. Itu hanya sebutan pemanis bibir. Sumpah orang politik bukan sumpah orang beriman. Mat Kotex sudah laih (lali) dengan sumpah.

Bagi Mat Kotex, sumpah adalah sebahagian daripada modal mencari makan dalam politik. Lagi kan bersumpah dalam masjid Mat Kotex tak heran, inikan pula bersumpah di pentas politik. Jelas, maruah Mat Kotex bila berperangai begini lebih rendah dan hina daripada ‘kotex’ itu sendiri sebenarnya.

YANG BERBAKI 3

Keadaan semakin hangat. Sudah banyak pencabulan. Sudah banyak perlanggaran pantang larang. Itu adalah antara tanda-tanda akhir kemenangan dan kekalahan. Pilihan raya sudah mahu kiamat.

Bermula dengan pencabulan hak dan kebebasan yang didakwa dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan raya sehingga adanya laporan polis, membawa kepada pemasangan dan cubaan merobohkan poster kempen pilihan raya yang cukup mengguris sensitiviti kedua-dua penyokong parti yang bertanding.

Sebelah malamnya ada lagi dakwaan berlakunya pencabulan amanah dan kemunafikan, yang sudah pasti terus menghangatkan siri berkempen PRK kali ini.

Yang jelas, pencabulan dan segala perbuatan yang tidak bermoral itu sebenarnya merugikan kedua-dua pihak. Yang pening dan sudah kelihatan letih untuk berhadapan dengan kemenangan atau kekalahan ialah Wan Farid dan Wahid Endut.

Yang tidak menghiraukan hangat dan panasnya situasi ialah Azharuddin. Malam tadi sahaja, selori posternya diusung untuk dipacak di tempat-tempat strategik dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu ini.

Rabu, Januari 14, 2009

YANG DILIHAT & DIDENGAR (PRK-5)

Isnin dan Selasa di Kuala Terengganu agak kurang sibuk berbanding Sabtu dan Ahad lalu. Pelancong dan pelencong politik pulang buat sementara menguruskan tugas di negeri masing-masing sementara menunggu Jumaat dan Sabtu nanti. Gerak kerja kempen telah dimulai sejak pagi dan kertas perang saraf sudah mulai dapat dikesan di mana-mana. Sudah pasti apabila namanya perang saraf, maka yang beredar banyak yang memburukkan pihak lawan. Baik BN mahupun PAS/PKR.

Ceramah teaterikal

Ceramah besar BN malam kelmarin (Isnin) di sebelah pasar Cabang Tiga Kuala Terengganu dihadiri ramai orang. Boleh sampai 1000 atau mungkin juga lebih. Tetamu utama ialah TPM. Ceramah bertemakan ‘Masihkah Kau Ingat’, slogan yang pernah dipopularkan oleh mantan MB Terengganu, Idris Jusoh.

Menariknya ceramah itu kerana diselitkan elemen teaterikal di dalamnya selain dibantu dengan tayangan slide pada layar besar yang dipasang kiri kanan pentas. Sesekali ceramah tu jadi macam persembahan wayang Cina, siap dengan iringan bising drum yang mengiringi kata-kata semangat penceramah termasuk mengiringi TPM berucap. Nampak cekap anggota pemain drum tu kerana seperti sudah ada ‘rehearsal’ sebelum ceramah.

Yang agak kurang menarik terdapat lebih 10 buah bas yang membawa pendengar (pengundi?) diletakkan di tepi-tepi jalan berhampiran lokasi ceramah. Lebih berkesan ceramah tu sekiranya bas-bas yang membawa pendengar tu tidak ditonjolkan. Bagaimanapun kurang pasti, sama ada bas-bas itu membawa pendengar untuk ke ceramah BN atau ke ceramah PAS kerana kira-kira 200-300 meter di kiri kanan lokasi ceramah BN tu, ada dua ceramah PAS (satu dalam DUN Bandar dan satu dalam DUN Wakaf Mempelam). Kehadiran pendengarnya pun boleh tahan.

Pasar Cabang Tiga adalah sempadan DUN Bandar dan DUN Wakaf Mempelam.

Najib puji Idris

Dalam ceramah besar di Cabang Tiga itu, Najib tidak lekang memuji Idris Jusoh. Tidak cukup dengan itu, pelbagai slogan yang dicipta Idris sepanjang Idris menjadi MB dulu, diulang-ulang semula oleh Najib. Mat Said hanya tersipu-sipu. Kenapa dan apa yang ada dalam kepala Najib atau kalau nak dikatakan ada muslihat di sebaliknya, buatlah tafsiran sendiri. Jangan tunggu sehingga orang PAS mengekspoitasi pujian Najib tu.

Surat khabar hari-hari

BN sepatutnya merakamkan jutaan terima kasih kepada akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian yang membekalkan akhbar mereka secara percuma setiap hari ke makas-markas BN. Maklumat terkini tak payah dibeli lagi. Cuma yang ‘sedikit’ tak kenanya, bekalan sampai agak lewat – petang dan ada markas yang menerima sebelah malam. Isu sudah basi atau ramai yang dah membelinya. Lebih menyedihkan banyak markas yang menjadi setor tidak rasmi kepada akhbar-akhbar berkenaan. Berlonggok di dalam dan luar.

Lim Kit Siang TPM

Semalam dalam ceramah di peti undi Batas Baru, salah seorang anggota 6 Jahanam bangkai PKR (bukan Mat Kotex) mengulangi lagi cerita memburukkan Anwar Ibrahim, terutamanya janji Anwar Ibrahim kepada Lim Kit Siang untuk melantiknya sebagai TPM sekiranya PR memerintah. Lebih mendalam katanya, Anwar atau PKR boleh menyaman beliau kerana timbulkan isu itu kalau kenyataannya berbaur fitnah. Beliau ada bukti kerana beliau sendiri yang mencatatkan minit mesyuarat perjanjian itu. Si penceramah nin kemudian meminta pengundi supaya tidak memberikan undi kepada PAS kerana itu (kalau PR memerintah, Cina akan jadi TPM). Sebelum ini dalam ceramah mereka bersebelah Flet Kampung Kolam perkara yang sama juga disentuh.

Kampung Kolam dan Batas Baru ada ramai juga pengundi Cina dan sebahagian mereka ada yang hadir mendengar ceramah tu. Kalau kita nafikan hak orang Cina, sulit juga penerimaan mereka, sedangkan MCA sendiri beberapa kali pernah mendesak supaya kerajaan melantik seorang daripada kalangan kaum Cina sebagai TPM Kedua.

Blogger tidak membantu

Seorang Menteri BN dalam ceramahnya menguar-uarkan kepada pendengar bahawa blogger tidak banyak membantu dalam kempen PRK kali ini. Katanya jangan percaya kepada blogger kerana banyak blogger yang menulis ‘tidak jejak dasar’ dan hanya tafsiran dan andaian sahaja.

Peliknya Menteri tu sendiri tahu banyak blogger menulis dan menyentuh tentang blogger. Kalau tak percayakan blogger, kenapa diuar-uarkan dalam ceramah kerana boleh membuatkan orang yang mendengar gesaan Menteri tu berhasrat ingin tahu dan kemudiannya akan ‘kelebet’ laman-laman blog.

Pyanhabib di KT

Begitulah khabarnya. Penyair dan pelakon Pyanhabib akan berada di Kuala Terengganu menjelang 17 Januari. Selebihnya akan dimaklumkan mengikut keperluan.

Kurang orang

Kata sesetengah orang, kurangnya pelancong dan pelencong politik di Kuala Terengganu berbanding PRK tempat lain, khususnya di Permatang Pauh, Ijok, Permatang Pasir dan beberapa tempat lain sebelum ini adalah disebabkan Kuala Terengganu hampir tidak ada pusat-pusat hiburan selepas tengah malam. Zon pemampan terdekat yang boleh menampung pusat keriangan itu juga agak jauh dari Kuala Terengganu.

Di mana petugas PR tinggal

Masih menjadi mesteri sehingga sekarang. Di mana petugas-petugas luar Pakatan Rakyat khususnya petugas PAS tinggal sepanjang berada di Kuala Terengganu.

Isu yang tidak sesuai

Banyak isu yang diketengahkan oleh tukang kempen baik di pihak PAS mahupun BN yang tidak sesuai dengan situasi tempatan dilontarkan sepanjang berkempen, khususnya dalam ceramah-ceramah dan kempen rumah ke rumah. Kadang-kadang isu yang dibawa juga tidak selaras dan tidak berkonsisten.

Penceramah

Rata-rata baik di khemah BN mahupun PAS yang melalak kebanyakannya bukan penceramah tempatan. Kebanyakan mereka pula amat cetek pengetahuannya terhadap politik dan keperluan pengundi tempatan. Sebab itu banyak isu tempatan tidak dapat disampaikan dengan baik. Lebih mendukacitakan yang melalak tu seolah-olah nak menunjukkan kejagoan mereka di luar gelanggang, sedangkan gelanggang sendiri pun ‘terlepas tangan bau tahi’. Macam cerita Pak Kadok dan Lebai Malanglah kira-kiranya.

Dilarang berpolitik

Ada banyak ketua agensi kerajaan yang melalak melarang keras pegawai dan kakitangannya supaya tidak berpolitik sedangkan dalam masa yang sama mengerah pekerja mereka menghadiri majlis yang diisi sepenuhnya dengan agenda politik.

Isu arwah

Sebolehnya biarkan roh Allahyarham Dato’ Razali berkeadaan aman di alam barzah, janganlah dijadikan isu untuk kepentingan politik manusia yang masih dipanjangkan umur oleh Allah swt. Demikian juga dengan isu orang-orang yang rapat dengan calon, kerana seperti kata Dato’ Nik Aziz, manusia nin dilahirkan bukan seperti proton saga yang serupa dan sama saja, walaupun sekali dikeluarkan jumlahnya sampai 10 ribu unit.

BN tetap menang

Orang BN/UMNO tidak henti-henti berkeyakinan “BN tetap menang” walau apa sekali pun tanggapan dan perolehan orang.

Selasa, Januari 13, 2009

YANG BERBAKI 4

Ada 4 hari lagi. Imbas kembali.

Sebaik sahaja nama Mohd Abdul Wahid Endut diumumkan sebagai calon PAS untuk berhadapan dengan calon BN, Wan Farid dalam pilihan raya kecil P036 Kuala Terengganu, pelbagai reaksi dapat kita dengar. Kepelbagaian bunyi reaksi-reaksi itu sudah terlalu banyak disebarkan.

Apa yang menarik, ada seorang wartawan teman penulis yang menghantar pesanan ringkas yang antara lain melahirkan kelegaannya dan sudah membayangkan selamatnya BN kerana nama Wahid Endut tiada dalam kotak fikir dan simpanan kepopularitiannya. Mudahnya beliau sendiri tidak mengenali atau mengetahui siapa Wahid Endut calon PAS itu.

Namun saya lantas menghubungi teman itu dan menyatakan, BN sebenarnya seboleh mungkin tidak mahukan Wahid Endut sebagai calon kerana BN akan kehilangan banyak isu terutamanya isu kelemahan peribadi calon yang hampir kosong.

Justeru BN perlu benar-benar mencari isu kelemahan parti yang diwakili Wahid sambil dalam masa yang sama mengenal pasti secara tepat kecenderungan pengundi pada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Sebenarnya berdasarkan sejarah pilihan raya, Parlimen Kuala Terengganu agak unik dan berbeza dengan banyak kawasan lain, baik dalam Terengganu sendiri mahupun di luar Terengganu.

Kuala Terengganu mempunyai pengundi yang kecenderungan mereka sukar diramal dan diwakili oleh empat DUN yang berbeza selera pengundiannya. Justeru komposisi kepada perbezaan kecenderungan itulah yang menyukarkan pihak yang bertanding membuat ramalan tepat selari dengan dapatan dan kajian lapangan yang dipungut mereka.

Sejarah pilihan raya umum telah membuktikan majoriti yang berjaya dipungut oleh calon yang menang bagi Parlimen Kuala Terengganu boleh menjadi kurang daripada seribu undi, tetapi pada satu ketika yang lain boleh melebihi 10 ribu undi. Itulah uniknya Kuala Terengganu yang memeningkan penganalisis politik sehingga ada analisa yang dibuat jauh tersasar daripada ramalan.

Konsistensi selera pengundi Kuala Terengganu sukar diramal. Kedudukan majoriti dan minoriti juga bukan penentu kalah menang parti yang bertanding. Antara satu DUN dengan DUN yang lain, jelas berbeza kehendak, selera serta menjadi penyumbang undi yang juga berbeza walaupun bersenario yang sama.

Dalam banyak hal, faktor calon banyak membantu kemenangan dan menafikan kakalahan di Kuala Terengganu. Faktor ini walaupun masih boleh dipertikaikan, tetapi masih boleh dijadikan faktor berprestasi tinggi kalau perbandingan mengikut perolehan undi oleh calon DUN pada pilihan raya-pilihan raya lalu diambilkira.

DUN Batu Burok misalnya banyak bergantung kepada calon. DUN ini pernah menyaksikan calon Bebas menjadi wakil mereka sebelum ditukar ganti antara calon mewakili PAS dan BN. Kemenangan Datuk Haji Mutalib sebagai calon Bebas yang sebelumnya mewakili BN jelas menggambarkan kehendak pengundi kepada calon.

Bagi DUN Bandar pula, situasinya agak tidak menentu. 63 peratus yang mewakili pengundi Melayu di DUN ini boleh dijadikan penyelamat. Kerusi tradisi MCA yang mewakili BN di sini tidak sahaja mengharapkan undi bukan Melayu, tetapi banyak bergantung kepada pengundi Melayu.

DUN ini pernah menyaksikan calon Bebas dan DAP bukan Melayu hampir-hampir memenangi kerusi itu. Tetapi dalam situasi yang lain, calon PAS Melayu juga pernah menang di DUN ini. Pada PRU 12/2008 lalu, DUN inilah satu-satunya yang menyaksikan undi yang diperolehi oleh Allahyarham Datuk Razali berjaya menimbus lebihan undi kalah daripada DUN lain.

DUN Ladang juga banyak bergantung kepada calon. Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud yang memenangi kerusi DUN itu sejak 1978-1990 amat disenangi pengundi Ladang. Bagaimanapun, kurangnya ciri-ciri ketokohan seperti yang dimiliki oleh Datuk Bakar menyebabkan Datuk Roslan Awang Chik dan kemudiannya Datuk Wan Hisham Wan Salleh kalah di situ.

Cuma bagi DUN Wakaf Mempelam, ketaksuban kepada parti dilihat lebih menyerlah. PAS yang telah menguasai kubu kuatnya dalam Parlimen Kuala Terengganu itu sejak 1978 berjaya mengekalkan prestasinya sehingga kini, walaupun hampir semua ‘jenis manusia BN’ diletakkan bertanding di kawasan itu. Waima Datuk Razali pada PRU lalu kalah teruk di DUN ini.

Justeru pada PRK yang masih berbaki beberapa hari ini, mahu tidak mahu Wan Farid perlu bekerja lebih keras mengolah keperibadian beliau untuk kemenangan bersandarkan primis berikut :

Pertama, memastikan ke semua 36 peratus pengundi ahli UMNO mengundi beliau. Kedua, memastikan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 11.7 peratus pengundi bukan Melayu memberi undi kepadanya dan ketiga, memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus undi popular peribadi daripada kalangan pengundi tanpa mazhab dan atas sempadan memihak kepadanya.

Kerana itu, Wan Farid perlu (1) merapatkan jurang kemaafan (apologitik) daripada kebersalahan dirinya dengan ahli-ahli UMNO, khususnya dengan apa yang telah terlanjur dilakukan olehnya selepas Mesyuarat UMNO bahagian baru-baru ini, (2) melontarkan keegoan peribadi yang telah mula dihidu banyak orang, (3) menyelesaikan masalah peribadi beliau dengan pemimpin sesama partinya, (4) menjelmakan roh keperibadian bekas wakil rakyat sebelumnya, terutama arwah Datuk Razali yang masih segar dalam ingatan para pengundi.

Selainnya, (5) menanam keyakinan diri dan dalam masa yang sama menyakinkan pengundi mengapa beliau wajar dipilih sebagai wakil mereka dengan imej mesra rakyat (yang sebenar bukan kerana kena buat @ hipokrik), (5) mengenepikan sentimen elitis dalam diri dan keluarganya, (6) tidak menonjolkan dengan perkataan provokasi bersifat peribadi yang dilontarkan kawan dan lawan.

Wan Farid juga perlu (7) membuka pagar sempadan tuan dan pekerja, (8) menjadi penghubung sebenar dalam menabur dasar parti untuk rakyat, (9) mengimbangi cakap politik dan cakap awam daripada tanggapan buruk pengundi kepada diri dan UMNO, dan (10) bersedia menghadapi kekalahan.

Kalau Wan Farid gagal melepasi halangan primis serta cadangan penyelesaian yang disebut dan dalam masa yang sama Wahid Endut berjaya menggunakan kelebihan peribadinya, ramai yang akan kempunan untuk menanti kemenangan Wan Farid, sebaliknya mereka terpaksa mengakui hakikat Wahid Endut adalah wakil rakyat P036 Kuala Terengganu mulai 17 Januari 2009.

YANG BERBAKI 5

Beberapa hari lepas JPP memanggil kontraktor Kelas F Kuala Terengganu dan sempat membahagi-bahagikan sejumlah lebih 500 projek kepada mereka. Yang datang semua akan dapat. Kesannya kepada PRK ini belum dapat dipastikan kerana semua kontraktor Kelas F dipanggil tanpa mengira fahaman politik mereka. Selepasnya maka adalah perli memerli dan timbul rasa kurang senang di kalangan mereka.

Kontraktor yang fahamannya lebih cenderung kepada pembangkang mendapat kontrak yang harganya lebih besar daripada kontraktor yang pro-BN. Bukan seorang dua tapi ramai. Dari satu segi, situasi begitu cukup baik. Nampak ketelusan kerajaan BN yang tidak memilih bulu, walaupun pembahagian itu dibuat secara undian. Cuma yang menimbulkan sedikit kecurigaan dan kebimbangan ialah kepada kontraktor pro-BN yang mungkin merajuk dan mengambil tindakan di luar kawalan.

Sempena PRK Kuala Terengganu ini, kalau pun BN tak berkempen dengan ceramah dan penerangan sepatutnya sudah dibolehkan. Pembangunan segera yang melimpah di mana-mana dan mendapat liputan meluas media massa dan elektronik sudah cukup banyak membantu calon BN Wan Farid untuk menang selesa.

Tetapi yang berlaku sebaliknya. Kerana itu kerja penyokong BN terus dilipatgandakan. Berlakunya begini kerana itulah. Ada manusia yang tidak pernah-pernah berpuas hati dengan apa yang diperolehi dan ada pula yang bila dah dapat pun masih mewujudkan rasa dengki mendengki. Nak menerima ucapan terima kasih dan bersyukur jauh sekali. Senario biasa, baik di kalangan penyokong pro-BN mahupun pro pembangkang.

Alasannya, itu adalah tugas kerajaan yang memerintah. Duit pun duit rakyat, bukan duit kerajaan. Woooooouuuhhh.

Yang menanggung sakit dan belum reda-reda kegusarannya ialah Wan Farid. Wahid Endut terus mencari peluang. Tambah memeritkan Wan Farid apabila ada suara-suara dari kem UMNO sendiri yang bercakap “Wan Farid kalah tidak akan ada orang yang menangis, tetapi kalau Wan Farid menang ramai yang akan menangis.”

Limpahan projek nampaknya masih belum dapat menyelamatkan orang UMNO daripada tidak menangis. Malah sebahagian besar amat menanti-nantikan peluang mencurah projek ini. Jangan hairan kalau ada yang bergurau sinis “nak dapat banyak benda (projek) dengan kerajaan, kena kerap ‘tanam’ orang (kebumikan YB)”

Benarlah kata Confuseus ‘kalau nak makmur setahun, tanamlah padi, kalau nak makmur sepuluh tahun, tanamlah pokok buah-buahan dan kalau nak makmur seratus tahun, tanamlah manusia’.

YANG BERBAKI 6

Semalam dalam posting terbaru saya ada disentuh tentang Dato’ Che Mat Jusoh (DCMJ). Sebelumnya pernah saya sentuh berhubung dengan peranan dan peri pentingnya juga menyelesaikan masalah DMCJ nin. Kalau ada cakap-cakap yang merasakan DMCJ bukan faktor yang boleh mengukuhkan kedudukan Wan Farid, itu terpulang. Tetapi DMCJ and the geng tetap mempunyai saham tersendiri khususnya dalam DUN Batu Burok.

Mengikut laporan daripada blog yang memetik cakap-cakap politik, DMCJ menonjolkan diri dalam arena kempen PRK ini adalah atas arahan MB. Sambil dalam masa yang sama masih tidak boleh menerima Wan Farid sebagai calon dengan memberikan beberapa alasan yang menyokong cakapnya.

Secara peribadi DMCJ boleh bercakap begitu. Demikian juga soal mengundi nanti. Undi tetap bersifat rahsia dan tidak siapa tahu siapa yang kita undi. Cuma dalam situasi sekarang, cakap-cakap DMCJ seolah-olah menjelaskan lagi pendiriannya untuk tidak memberi undi kepada Wan Farid. Dan kejelasan ini akan turut mempengaruhi ahli UMNO yang lain, terutamanya penyokong DMCJ sendiri.

Seperti yang telah saya sebutkan, kalau pun 100% pengundi ahli UMNO dalam Parlimen Kuala Terengganu mengundi Wan Farid, Wan Farid hanya akan memperolehi 36% sahaja daripada undi keseluruhan pengundi Kuala Terengganu. Kalau isu DMCJ masih gagal diselesaikan, hitunglah sendiri berapa peratus undi ahli UMNO yang akan memihak kepada Wan Farid?

Pengundi ahli UMNO amat penting kerana calon BN adalah daripada UMNO. DCMJ mungkin kepada Wan Farid atau sesetengah orang tidak penting, tetapi paling tidak beliau pernah menerajui DUN berkenaan dan pernah menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian. Paling koman pun, tetap ada 10 orang penyokong totok beliau yang akan taksub kepada DMCJ.

DMCJ pernah ‘merajuk’ apabila Nordiana dinamakan sebagai calon Batu Burok pada pilihan raya umum 2008 lalu. Tetapi akhirnya, dengan kesungguhan dan rayuan manja Nordiana, DMCJ berjaya dipujuk dan menjadi pencadang pencalonan Nordiana. Pun demikian, masih ada suara yang berbisik, kalau DMCJ ‘melepaskan’ semua orang-orangnya mengundi Nordiana ketika itu, Nordiana mungkin akan menang atau paling tidak pun mengurangkan majoriti PAS.

Itu baru kes DMCJ. Belum lagi mengambil kira kes-kes individu UMNO lain dalam DUN berkenaan atau dalam DUN lain.

Isnin, Januari 12, 2009

YANG DILIHAT & DIDENGAR (PRK-4)

(JAM mohon maaf kerana terlewat posting. Sepatutnya sudah dapat dibaca pada awal pagi. Gangguan litar dan gangguan broadband yang dialami dalam tempoh sehari dua ini agak mengganggu – harap maklum).

Hari ini Ahad. Kuala Terengganu agak sibuk menerima tamu luar Terengganu yang hari Ahad menjadi cuti hujung minggu mereka. Malam nanti mungkin sebahagian mereka akan balik kampung semula untuk datang lagi sebelum hari mengundi. Suasana sudah agak sesak dan semakin sibuk dan menyibukkan. Hampir semua markas parti menampung kawasan parkir untuk kereta pelbagai huruf.

Pukul 6.00 pagi kurang lebih, Kuala Terengganu hujan. Tak lebat tetapi tetap hujan. Kira-kira pukul 10 pagi, hujan sudah pergi. Yang tinggal pelancong politik dan pelencong politik.

Naik taraf

PRK menaikkan taraf logistik markas besar kecil BN. Biskut keras cicah air kopi tidak ada lagi. Diganti dengan behon, mee kuning dan beras mentah. Petugas terpaksa juga cari gerai makan di luar kerana ‘tukang masak’ mogok. Kesihan behon, mee kuning dan beras mentah yang tidak dilayan sepatutnya sebagai tetamu yang tidak diundang. Rokok?. oooo... no smoking.. Jentera BN diwajibkan mematuhi arahan kerajaan dalam kempen ‘tak nak merokok’. Rokok tidak akan dibekalkan.

Calon BN dalam Pilihan raya di Amerika

Manusia A : guana kata nak martabak bahase melayu. Poster pung tulis dalang bahase orang puteh. Masa aku gi indonesia baru ning, bapak-bapak dinung tengoh ngepeng presiden jugok, tapi poster sutir tadok tulis bahase inggeris. Tulis kut jawa adelah.

Manusia B : orang amerika rakyat berbilan kaung di malaysia jugok.

Polis cedera

Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor diberitakan cerita dan patah tangan kerana dirempuh motosikal. Tidak dapat dipastikan oleh Mat Rempit atau orang awam Terengganu. Tak dapat dipastikan juga sengaja melanggar atau insiden. Kalau insiden, kesihan kepada Inspektor berkenaan. Kata kawan saya “nak tahu berapa ramainya polis di Kuala Terengganu sekarang, kumpulkan bersama penduduk Kuala Terengganu dan lempar batu ke udara secara rambang, pasti batu itu jatuh di atas kepala polis”.

Laporan rasuah oleh AMK

Pukul 2.00 petang, rombongan AMK Terengganu menghantar memorandum rasuah kepada pihak BPR di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu. Memorandum berkaitan kerugian syarikat anak Kerajaan negeri.

Timbalan Menteri untuk orang Terengganu

Cerita kawan saya : dia ditemui oleh seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat di Negeri Sembilan. Datang ke Kuala Terengganu untuk ikut Menteri berkempen. Berjumpa dengannya beliau diumpan dengan momokan “Timbalan Menteri untuk orang Terengganu, kena bagi calon BN menang, kalau tak terlepas jawatan tu”. Kawan saya mengomel sakan – “aku dah beri tahu kepada JK penerangan PRK, jangan bawa isu tu. Tu namanya PM tidak ikhlas dan merendahkan kemampuan 6 Ahli Parlimen BN Terengganu yang lain. Mereka yang 6 orang lagi tu tak layak jadi Timbalan Menteri ke? Kena beri kepada Wan Farid juga ke? Kalau PM ikhlas, gantikan dulu tempat arwah (Dato’ Razali) sebagai Timbalan Menteri dengan orang Terengganu sebab satu kerusi Timbalan Menteri tu dah disandang oleh arwah, orang Terengganu”.

DCMJ sudah kelihatan

Dato’ Che Mat Jusoh, bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan bekas Speaker DUN Terengganu yang dikatakan turut melobi untuk menjadi calon PRK ni dikatakan telah muncul menunjukkan lubang hidungnya kepada khalayak Kuala Terengganu. Tetapi kemunculannya diragui banyak orang. Petikan berkaitan kemunculan DCMJ ini dipetik daripada sebuah blog pro-BN (permisi bnkterengganu – mohon ijin pak…) dengan cerita berikut :

Dato' Che Mat Jusoh semasa melawat UPU Permint Jaya telah mengaku bahawa beliau adalah pegawai pembangunan DUN Batu Burok.

Katanya beliau dilantik oleh MB dan bukan cadangan umno bahagian. Apa yang pelik beliau menyatakan kehadiran beliau bukan atas arahan umno bahagian, tetapi atas arahan MB sendiri.

Kenapa jadi begini? Sekali lagi pula che Mat Jusoh mengulangi kata-kata beliau yang mana Wan Farid ini bukan calon terbaik BN. Katanya Wan Farid ni suka mencantas atau cah keting, beliau memberi contoh macamana beliau dan arwah Dato' Razali dicantas dari umno bahagian kerana Wan Farid nak menangkan Md Sabri Alwi dan Wan Hisham.

Kalau betul Che Mat dilantik oleh MB, apa tujuan apa motifnya? Kenapa pula Che Mat Jusoh berkata demikian dalam keadaan Wan Farid sangat kritikal sekarang?

Apakah ini kerja MB Dato' Ahmad Said?

Tak yakin dengan SPR

Cerita tak yakin dengan ketelusan SPR ni tak ada kesudahannya. Terbaru seorang teman ada ceritakan bagaimana beliau berkempen dan berusaha menyakinkan pengundi agar jangan takut untuk mengundi kerana kertas undi tetap rahsia dan tidak akan dapat dikesan. Teman saya tu memberi contoh kertas undi yang sekarang tidak lagi ada nombor siri dan tidak akan dapat dikesan siapa yang punya kertas undi tu. Kawan saya dengan marah-marah mengadu kepada saya. “Ada ke dia kata, tu kata SPR depan kita, di belakang kita tak praktik pun. Entah-entah nombor siri tu tak dicetak terang-terang tapi dicetak macam pitis (duit). Nak tengok boleh nampak bila suluh bawah lampu ungu”.

Ceramah 6 Jahanam

6 Jahanam melalak lagi di Flet Bukit Kecil malam tadi. Isunya sama saja. Hentam calon PRK Kuala Terengganu Anwar Ibrahim dan melelong kotak kotexnya.

Ceramah PKR

Kira-kira 1 kilometer dari tempat 6 Jahanam berceramah, ada ceramah PKR di Pejabat Induk PKR Negeri Gong Kapas. Ceramah kali ini lebih ramai yang hadir sehingga beberapa kali diingatkan oleh pihak polis untuk tidak menggangu lalu lintas. Kedudukan pejabat utama PKR nin betul-betul di tengah di persimpangan lampu isyarat Gong Kapas menuju ke Jalan Pasir Panjang dan menjadi laluan utama ke bandar Kuala Terengganu. Bilik Gerakan Utama BN yang terletak di Bangunan UMNO bahagian Kuala Terengganu terletak kira-kira 200 – 250 meter sahaja dari situ. Ada dalam ceramah tu calon PAS Wahid Endut, Presiden PKR Dr Wan Azizah dan singgah sekejap MB Selangor. Tak tahu apa yang diceramahkan kerana tak sempat singgah, tiada parkir. Hanya yang sempat didengar ceramah akan terus diadakan pada setiap malam sehingga 16 Januari.

Ceramah BN

Datuk Mustaffa Mohamad berceramah di Permint Jaya, Cendering DUN Batu Burok. Sesuai dengan keperibadian Datu Pa yang lemah lembut, ceramah di situ juga ‘perlahan’ saja temponya. Yang hadir bapa angkat dan beberapa petugas markas di situ. Sempat singgah dan pekena behon goreng dan Teh O.

Banjir

Jalan dari simpang Cendering ke KL (Kampung Laut) 50 meter dari simpang menghala ke kawasan perindustrian Cendering dan Permint Jaya (di depan Puspakom) dinaiki air. Yang tidak berani mengharungi air dan sayang kereta, kena berpatah balik. Suasana di KL nin kurang meriah. Poster masih berkurang. Di sini adalah sempadan DUN Batu Burok dengan DUN Rhu Rendang, Marang di sebelah utara dan DUN Bukit Payong, Marang di sebelah selatan

Berat sokmo tapi menang

Singgah di Markas PKR/PAS. Teman wartawan nak dapatkan berita. Sambil duduk menunggu orang yang dicari, mencuri dengar isi cakapan sekelompok petugas PKR/PAS yang sedang berehat di meja hadapan. Saya kira bukan orang tempatan berdasarkan loghatnya. Kata salah seorang daripada mereka, “kalau tanya kedudukan UMNO sebelum pilihan raya, memang selalunya berat dan kritikal. Tetapi keputusan menang dia juga”.

Angpau Raya Cina

Pengundi Cina di Pulau Kambing dan Kampung Tiong dah dapat angpau Raya Cina. Mulanya untuk pengundi warga emas (70 tahun ke atas). Yang datang lewat sikit, akan dapat juga walaupun belum mencapai usia 70 tahun. Tak lah banyak sangat, sekadar dua belah tangan je. Nak banyak lagi tunggu wang ehsan raya Cina.

Surat ingatan mengundi

Kata seorang pengundi dalam DUN Wakaf Mempelam – “Seingat saya, sudah tujuh kali saya mengundi. Tak pernah dapat surat rasmi berkepala surat BN yang ditandatangani oleh Pengerusi BN Negeri mengingatkan tanggungjawab kita supaya keluar mengundi pada 17 Januari ini. Kali ini saya terima sepucuk surat siap dengan slip maklumat mengundi lagi”.

RM80 untuk edar

Akhbar sempena PRK ‘Ganukita’ boleh didapati secara percuma di hampir semua markas BN. Tidak dapat dipastikan siapa yang menerbitkan ‘Ganukita’. Cuma yang pasti kalau diteliti daripada sidang pengarang, kumpulan mereka adalah terdiri daripada petugas tetap Unit Komunikasi Kerajaan Negeri. Akhbar tu cukup baik kerana selain kualiti kertasnya yang baik, semua gambar berwarna dan berita / rencana yang tersiar di dalamnya tidak ada pun yang menghentam pembangkang. Sebaliknya menyiarkan kejayaan dan pembangunan negeri Terengganu keseluruhannya agar diketahui oleh rakyat, terutama pengundi Kuala Terengganu ketika ini. Cuma agak terkilan, petugas di markas tidak mampu untuk mengedarkannya secara meluas menjadikan akhbar berkenaan dibiarkan berlonggok di depan markas. Ada inisiatif markas-markas tertentu yang mengupah budak-budak mengedarkannya kepada pengundi dengan berkorban membelanjakan kos upah sebanyak RM80. Semangat berkorban terus disuburkan.

DAP bersungguh

Dua keadaan yang membingungkan seorang teman berbangsa Cina pengundi Kuala Terengganu. (1) DAP bersungguh benar berkempen untuk PAS dalam PRK ni (2) Ada pengundi Cina sendiri marah apabila sebut pasal hudud. Kata pengundi itu, “hudud dok kena ngena dengan kite lah…(hudud tak kena mengena dengan kita)”.

KIMMA hilang punca

KIMMA yang pernah minta bergabung dengan BN hilang punca. Seorang pemimpin KIMMA mendakwa ada 200 orang ahli mereka berdaftar sebagai pengundi dalam Parlimen Kuala Terengganu. Bila beliau ke Markas Utama BN untuk dapatkan satu naskah daftar pemilih bagi tujuan semakan pengundian, mereka tidak dilayan. Ke SPR, perlu ada wakil yang sah dan kena bayar lagi. Kemudian saya cadangkan kepada mereka, ambil masa sikit, buka laman web www.spr.gov.my dan carilah di situ seorang demi seorang. Lagi mudah dan cepat.

Pekena ‘pulut gaul nyior’

Awal pagi tadi (kira-kira 1.15 pagi), kami pekena pulut gaul nyiur kat restoran simpang lampu isyarat Masjid Terapung di Kuala Ibai. Kalau masa puncak, di sini susah nak cari parkir. Yang diminati ramai (bukan saja musim PRK nin, sepanjang masa) kerana ada macam-macam makanan dan minuman, daripada yang telah siap dimasak (nasi lemak, nasi dagang, nasi kunyit, nasi lemak, pulut, dan macam-macam) sehingga kepada masakan panas dan ‘western’. Kalau nak rasa nasi himpit kuah gulai nasi dagang, pergilah ke situ. (Iklan ini tidak berbayar).

Ahad, Januari 11, 2009

YANG TERSALAH CALON : 6 JAHANAM & KOTAK-KOTAKNYA

Bertempat di sebelah Flet Kampung Kolam, Kuala Terengganu ada ceramah khas BN. Dikatakan khas kerana yang menjadi penceramahnya ialah 6 Jahanam bangkai pemimpin PKR yang sekarang telah kembali ke pangkuan UMNO (sebagai makluman : jangan keliru kerana dalam UMNO Terengganu juga ada satu kumpulan yang dinamakan 6 Jahanam – baca di sini).

6 Jahanam ‘bangkai’ ini diketuai oleh Ezam Mohd Nor. Yang menjadi pengikut setia Ezam dalam episod ini ialah Hamdan Taha (Bangkai Pengerusi Perhubungan PKR Perak yang juga bangkai Timbalan AMK), Lokman Nor Adam (bangkai MPT PKR), SD (tak pasti apa makna SD – Sedia Didera?) Johari Hj Yasin (bangkai Setiausaha AMK), Azwanddin Hamzah (bangkai Ketua AMK Wilayah Persekutuan) dan Mohd Nazmi Rosli (bangkai Setiausaha Perhubungan PKR Selangor).

Seronok mendengar ceramah orang yang ada pengalaman boleh mengubahsuai kelembutan lidah ini menghentam lawan semasa dalam UMNO, kemudian menghentam UMNO semasa keluar UMNO dan kemudian menghentam semula PKR dan lawan apabila kembali menyertai UMNO. Banyak cerita-cerita menarik yang dapat kita pungut, walaupun 100% cerita-cerita mereka tidak banyak relevennya dengan PRK P036 Kuala Terengganu ini.

Bukan bermaksud untuk merendahkan kehebatan pidato dan isi pidato orang lain, saya hanya akan menyentuh sedikit berhubung dengan ceramah Ezam. Bukan juga kerana Ezam kepala 6 Jahanam dan bukan juga kerana dia dianggap VVIP yang tiba di penghujung ceramah (seperti iman yang akan mengimankan sembahyang berjemaah, lebih afdal masuk ke masjid paling lewat – betul ke, itu kena tanya Ustaz PAS).

Apa yang dapat disimpulkan selepas ceramah mereka terutamanya ceramah Ezam ialah, calon yang bertanding dalam PRK pada 17 Januari ini ialah antara Wan Farid vs Anwar Ibrahim vs Azharudin. Wahid Endut telah dengan rasminya bukan calon PRK ini. Wahid hanya meminjamkan namanya sahaja sebagai calon. Bukan proksi atau boneka tetapi bolehlah dikatakan calon photostat.

Sepanjang kurang lebih 35 minit ceramah Ezam yang menyentuh dua perkara besar, Ezam terus menerus menyerang Anwar Ibrahim yang masih diakui sebagai bekas (bangkai?) bosnya. Seolah-olah Anwar adalah calon PAS atau BN berhadapan dengan calon PKR dalam PRK ini.

Mungkin Ezam terlupa ini bukan Permatang Pauh tetapi Kuala Terengganu. Mungkin Ezam dan rakan-rakan 6 Jahanamnya terlupa yang calon di PRK Kuala Terengganu ini adalah calon PAS bukan PKR atau mungkin juga Ezam masih ‘mabuk udara’ (beliau maklumkan baru saja tiba dari Jakarta dan terus ke Kuala Terengganu) bahawa ini adalah pilihan raya kecil bukan pilihan raya umum. Sebab itu mereka bersikap dan bercakap begitu.

Ezam memang hebat berpidato. Suara, gaya dan cara penyampaiannya tidak ubah seperti bangkai bosnya Anwar Ibrahim. Itulah kelebihan yang dikurniakan Illahi kepada hamba-Nya.

Antara kenyataan Ezam
:

(1) Kalau tuan-puan memilih calon bukan dari BN pada 17 Januari ini bermakna tuan-puan merestui Anwar Ibrahim sebagai PM dan Lim Kit Siang sebagai TPM.

(2) 6 kotak berada dalam pengetahuannya bukan disimpan olehnya. 6 kotak disimpan di luar dan dalam negara. Ezam mengakui dia yang memulakan dan menyebut perihal kotak itu buat pertama kalinya pada tahun 1999 di Pasir Salak, Perak.

(3) 3 kotak dilihat isinya. Apa isinya tunggu Anwar jawab cabarannya (berhubung di mana dan apa isi kotak itu), kerana dia dan Anwar saja yang tahu tentang kotak itu dan di mana kotak-kotak itu disembunyikan. (p/s : Disahkan oleh Pejabat TPM bahawa Ezam dan Anwar sendiri yang memikul dan memunggah kotak-kotak itu. Kemudian Ezam dan Anwar memikul 3 kotak membawa lari ke luar negara).

(4) Tarikh tengok kotak ialah pada 8 September 1998 dan pada tarikh itu terpaksa meninggalkan isteri yang sakit nak bersalin kerana ada perkara paling mustahak yang terpaksa beliau buat pada malam 8 September itu. Perkara penting itu terpaksa dibuat pada malam itu juga dan ia berkaitan dengan hasrat Anwar untuk berdamai dengan Dr Mahathir.

(5) Ada suatu rahsia besar berserta bukti kukuh (yang boleh memalukan dan meruntuhkan politik Anwar jika dibongkar) telah diminta oleh Anwar supaya beliau buat pada malam 8 September 1998 itu. Tetapi beliau tidak akan bongkar selagi Anwar tidak menjawab cabaran berkaitan dengan kotak itu. Beliau akan sebarkan ke seluruh negara apabila sampai masanya.

Kesimpulannya :

(1) Ezam mengelirukan pengundi Kuala Terengganu. Seperti kata Dr Mahathir, pilihan raya kecil di Kuala Terengganu ini sepatutnya tidak dianggap penting. Sama ada BN menang atau kalah Kerajaan Terengganu tak akan berubah. Kerajaan Malaysia lagilah masih jauh untuk berubah.

(2) Kalau betul Ezam jujur dan benar serta ada rahsia besar yang masih disembunyikan terutama berkaitan kotak-kotaknya itu, PRK Permatang Pauh sepatutnya sudah menjadi tempat paling dan amat-amat sesuai untuk beliau dedahkan segalanya, kerana Anwar sendiri adalah calon PRK Permatang Pauh ketika itu. Matikan politik Anwar Ibrahim semasa beliau menjadi calon supaya Anwar tidak menang sebagai Ahli Parlimen, bukan sekarang yang terpaksa kena tunggu Anwar menjawabnya dulu.

(3) Ezam sendiri mengakui yang beliaulah orang yang menyebut dan mendedahkan perihal kotak itu. Kenapa perlu mencabar orang lain untuk menjawab?

(4) PRK Kuala Terengganu bukan medan soal jawab dan cabar mencabar untuk berbalas-balas membongkar maklumat tentang Anwar Ibrahim kerana masing-masing sepatutnya menumpukan kepada soal jawab dan cabar mencabar kenapa Wan Farid mesti menang atau kenapa Wahid Endut perlu dikalahkan atau kenapa Azharudin perlu dihilangkan wang pertaruhannya dalam PRK ini.

(5) Wan Farid atau orang-orang UMNO/BN Kuala Terengganu perlu mencabar (merayu?) Ezam supaya bongkarkan segera rahsia besar itu tanpa menunggu jawapan Anwar, kalau Ezam datang ke Kuala Terengganu ini benar-benar untuk membantu kemenangan Wan Farid dan Ezam benar-benar berniat suci, setia, amanah dan jujur serta ikhlas dengan UMNO setelah beliau kembali semula kepada UMNO. Apa lagi kalau benar isu 6 kotak itu menjadi isu penting dan amat diperlukan bagi menjamin kemenangan Wan Farid.

(6) Kalau pun Ezam merasakan isu 6 kotak itu boleh membantu kemenangan calon BN kenapa masih disembunyikan. Masa sudah tidak ada untuk beliau bongkarkan habis-habisan. Bagaimana kalau Anwar tidak menjawabnya sehingga 17 Januari ini dan ditakdirkan Wan Farid kalah (ditakdirkan sahaja). Katakanlah, dengan tidak dibongkarnya isu itu menjadi antara salah satu faktor yang tidak boleh membantu kemenangan Wan Farid. Dalam erti kata yang lain, Wan Farid pasti menang kalau Ezam dedahkan perihal 6 kotak itu, tetapi sayang Wan Farid terpaksa menerima kekalahan hanya disebabkan Ezam tidak membantu beliau dengan membongkar isu itu.

(7) Minta tolong Ezam jadikan Permatang Pauh sebagai panduan pada mana calon BN kalah kerana Ezam tidak membogelkan Anwar habis-habisan di sana. Maklumkan juga kepadanya, jangan biarkan tragedi Permatang Pauh itu berulang untuk kali keduanya di Kuala Terengganu ini. Orang UMNO dan rakyat Kuala Terengganu bukan semuanya suka menyaksikan lakonan Ezam.

(8) Besar dan hebat serta berkesan sangat ke isu 6 kotak itu sehingga Ezam terpaksa menunjukkan kejaguhannya yang hanya mahukan Anwar saja satu-satunya yang boleh menjawab. Atau Ezam saja nak menonjolkan keegoannya dalam mencari publisiti murahan sambil mendabik dada menunjukkan kejantanannya.

(9) Ezam pasti akan terus bermain wayang dengan lakonan hebatnya, sekiranya pada 17 Januari ini, Wan Farid diumumkan sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

(10) Ezam jangan menganggap pengundi Kuala Terengganu bodoh dengan lakonan menarik beliau atau pengundi Kuala Terengganu cetek maklumat berkenaan dirinya. Tuk Mun atau Azharudin Mamat @ Adam sebenarnya lebih jujur dan lebih ikhlas dan benar cakapnya daripada orang politik seperti Ezam dan geng 6 Jahanamnya itu, walaupun Tuk Mun dan Azharudin atau pengundi lain mungkin akan terpinga-pinga bila ditanya perihal kotak-kotak tu.

(11) Maaf. Saya sebenarnya sudah acap kali mendengar ceramah Ezam baik semasa masih dalam UMNO dulu, kemudian dalam PKR dan masa beliau kembali dalam UMNO semula sekarang. Juga ceramah pemimpin yang suka lompat-lompat ini. Yang dapat disimpulkan, semuanya sama sahaja. Cakap politik. Tidak ada pendirian, hanya berani bersuara dari luar atau setelah keluar. Hipokrit dan ada kepentingan peribadi. Ezam sama saja seperti Anwar Ibrahim atau Ibrahim Ali atau Kapten Abu Zahar atau sesiapa saja baik yang sekarang dah lompat ke UMNO, PAS, PKR, DAP atau parti apa sahaja, asal namanya lompat melompat dan kerja hakiki politiknya melompat ke sana ke mari, termasuklah juga Dr Mahathir. Semuanya politik ada kepentingan dan politik cari makan.

(12) Ezam dan geng 6 Jahanam merosakkan keharmonian berkempen yang telah dimeterai bersama oleh BN dan PAS bagi PRK Kuala Terengganu ini.

(13) Dah tak ada isu lain ke? Ke sana ke mari, isu kotak tu je yang dijaja. Carilah isu lain pula. KOTEX ke !!!

(14) Cakap politik Ezam and the geng adalah cakap politik berskema.

Soalan cepumas kepada Ezam :

Siapa yang memanjat pagar rumah Anwar Ibrahim untuk bertemu Nurul Izzah kerana gilakan anak perempuan Anwar Ibrahim itu?

YANG BERBAKI 8

Hari yang tinggal 8. Banyak orang bercakap pasal Wan Farid bukan orang sesiapa. Kalau bukan sesiapa, orang siapa? Pening juga bila banyak orang meletakkan tag line begitu. Dato’ Najib bagaimanapun dilihat berusaha untuk menyelamatkan Pak Lah dan Wan Farid. Memang betul, Najib berunding dan memilih Wan Farid bersama Pak Lah. Saya pernah ceritakan (di sini). Cuma tanpa disedari, cakap politik Pak Lah dan Najib itu meninggalkan kesan yang bukan mudah untuk ditutup.

Isunya kenapa perkara ini timbul. Dr Mahathir bukannya orang PAS. Sepatutnya dia sebutkan perkara ini kepada calon Bebas kerana dia bebas sekarang. Isu yang dibawa oleh orang PAS tidak pula diketengahkan sangat. Pak Lah nampaknya banyak bercakap soal peribadi Wan Farid yang sedikit sebanyak akan meninggalkan kesan yang kurang baik kepada calon BN itu.

Dengan masa hanya ada sekitar seminggu ini, sepatutnya soal-soal peribadi tidak wujud lagi. Sepatutnya sudah diselesaikan sejak tiga minggu yang lalu sebaik Wan Farid diumumkan sebagai calon BN. Itulah kelemahan ketara BN. Tidak pandai nak menggunakan kelebihan mengumumkan calon awal untuk membaiki prestasi dan membersihkan peribadi.

Wan Farid sewaku memberi cadangan agar calon BN diumumkan lebih awal daripada biasa, hanya berfikir untuk mengelakkan spekulasi. Tanpa memikirkan kelebihan lain, Wan Farid sendiri pada dua minggu yang awal sebelum penamaan calon, banyak menghabiskan masa menjawab isu peribadi yang kemudian terpalit semula kepadanya.

Itulah. Apabila tersilap langkah menjawab isu, akan memberikan kesan sampingan yang tidak baik kepada diri sendiri. Wan Farid dilihat sengaja menimbulkan masalah peribadinya apabila dengan sengaja ‘mengakui’ ada orang beranggapan dirinya sombong, sukar didekati dan tidak mesra rakyat. Sedangkan kalaulah Wan Farid hanya menjawab isu dan tohmohan itu dengan perbuatan dan teladan tanpa banyak bercakap, kesannya lebih bermakna.

Janji Wan Farid dan Wahid yang tidak akan menyentuh soal peribadi sebagai isu pilihan raya kecil ini patut diberi perhatian oleh semua orang, baik pemimpin atau penceramah kedua-dua belah pihak (ketiga belah?). Tetapi nampaknya kita sendiri yang membuka pekung di dada, lalu hari ini semua orang sudah melihat dan mendengar bahawa Wan Farid adalah calon sombong dan bukan calon kepunyaan siapa-siapa.

Mainan apa sebenarnya ini? Apabila pemimpin sendiri mengakui calon BN adalah bukan calon siapa-siapa. Kenapa tidak berani nak mengaku calon kita bersama, calon BN? Yang sakitnya Wan Farid, kerana beliau bukan calon mana-mana orang. Bukan calon untuk rakyat juga (?) Kalau beginilah keadaannya, Mat Said adalah orang yang betul apabila terus meragui prestasi Wan Farid, kerana Wan Farid bukan juga calon beliau atau calon UMNO/BN yang diketuainya.

Termasuk sama, lembab bergeraknya jentera UMNO/BN adalah kerana calon bukan orang mereka. Taraf Wan Farid sekarang sama dengan calon Bebas Haji Azharudin yang menjadi calon atas kehendaknya sendiri.

Pada saya, Wan Farid masih ada masa untuk menang kalau Pak Lah, Najib, Mat Said dan pemimpin serta orang-orang UMNO/BN membantu Wan Farid atas semangat kawan dan atas kapasiti seorang pemimpin UMNO.

Esok ada 7 hari lagi. Angka yang disebut orang sebagai 'cangkul'. Siapa yang akan dicangkul dan siapa mencangkul, tunggulah....

YANG DILIHAT & DIDENGAR (PRK-3)

Sedikit rancak. Dari pagi sampai malam tadi Kuala Terengganu hujan. Sekali renyai sekali reda sekali agak lebat. Tapi jangan keliru. Sedikit kesesakan di bandaraya Kuala Terengganu bukan menandakan suhu pilihan raya semakin hangat. Sebenarnya pada hari Sabtu biasa pun, Kuala Terengganu agak sibuk. Orang-orang kampung dari seluruh daerah lain masuk ke bandar Kuala Terengganu dengan pelbagai urusan masing-masing. Ditambah dengan musim pilihan raya kecil, mereka lagi seronok kalau boleh datang menyaksikan sendiri hiasan bandaraya dengan bendera parti-parti yang bertanding dan tidak bertanding.

Helikopter Berlegar

Sejak pagi, terdengar laungan suara helikopter di udara. Berlegar-legar mengelilingi bandaraya warisan pesisir air yang selama ini hampir tidak terdengar hiruk pikuk kenderaan udara itu. Seingatnya, kali terakhir kenderaan udara tu beredar dan membising di udara Kuala Terengganu ialah masa pertandingan kuda lasak dunia yang disertai sama oleh DYMM SPB YDP Agong. Helikopter tu sebenarnya adalah untuk memastikan keselamatan TPM semasa TPM jalan-jalan cari pengundi. Banyak program yang dihadiri oleh TPM hari ini. Minyak dah 7 kali turun.

Pertandingan Golf

Arena golf Tuanku Mizan Golf and Country Club di Kuala Ibai pagi ini ada pertandingan golf anjuran UMNO. Yang menyertai tak berapa kesah sangat hal-hal politik pilihan raya nin. Yang mereka tahu politik golf. Disertai sama oleh ramai petugas UMNO luar Terengganu yang sekarang sedang kuat bekerja untuk kemenangan Wan Farid. Masa santai begitu, bolehlah beriadah sikit. Kata kawan, golf tu Golongan Orang Lupa Famili. Ok lah juga, jangan Golongan Orang Lupa Fie (perangai) atau Golongan Orang Lupa Friend masa di Kuala Terengganu sudah.

Susah dapat komen

Beberapa teman wartawan masih merungut, sukar untuk dapatkan komen daripada calon yang bertanding. Nak cari di mana masa ni, masing-masing sibuk bagai nak rak. Calon ada urusan peribadi dan nak berehat. Tolong jangan ganggu.

Majlis di Kolej Komuniti Kuala Terengganu

Petang tadi ada program yang akan dihadiri oleh TPM di Kolej Komuniti Kuala Terengganu berhadapan dengan Wisma Darul Iman. Ada kumpulan kompang yang sedang mengadakan latihan akhir menyambut tetamu. Kelihatan ramai anak muda berpakaian batik Kolej Komuniti. Kerusi masih banyak yang kosong, majlis sudah nak dimulakan. Jalan sedikit sesak dan hujan renyai boleh dijadikan alasan atau menyedapkan hati, agar TPM lambat tiba.

Dah Jumpa dah !!!

Petang tadi baru terjumpa sekeping poster calon Bebas Haji Azharudin Mamat @ Adam. Guna lambang buku. Hasrat supaya pengundi Kuala Terengganu ‘ada baca’. Pusing-pusing ke tempat lain, belum lagi ada. Sebelah malam ketika melintasi bulatan batu bersurat Ladang, ternampak 'markas tunggal' calon Bebas ni. Terpampang besar gambar pada markas tu. Selepas selesai ceramah Ezam di Flet Seri Kolam, bersama dua teman wartawan, kami ke markas tunggal calon Bebas tu. Nasib kami baik, calon ada dan sempat ditemuramah dengan ramahnya. Menurut Azharudin, dia hanya membuka satu markas sahaja. Kebetulan markas tu adalah tempat dia berniaga (pengamal rawatan tradisional yang menggunakan ‘bantuan’ ayat-ayat al-Quran tanpa sebarang alatan moden). Markasnya terletak betul-betul di hadapan pasar kraf Ladang (tepi bulatan batu bersurat dan sebelahnya ada kanopi pondok polis). Yang seronoknya kata Azharudin, dia redha kalau hilang wang pertaruhan pun.

Ceramah PKR

Katanya Anwar Ibrahim akan hadir di ceramah PKR di Bilik Gerakan Utama, Pejabat PKR Perhubungan Negeri Terengganu di Gong Kapas. Melalui di situ kurang lebih pukul 10.15 malam, tidak ramai yang hadir. Cuma sekitar 50-60 orang sahaja. Mungkin faktor hujan atau mungkin faktor susah nak letak kereta menyebabkan orang tidak ramai. Atau memang pengundi sekitar tak minat kepada PKR dan Anwar. Tetapi yang pasti, di situ memang langsung tak sesuai untuk adakan ceramah umum. Kedudukannya di jalan utama dekat dengan lampu isyarat lagi. Yang menyusun program tu bukan orang Terengganu kot. Nak adakan majlis bawah kanopi sesuai.

Ceramah 6 Jahanam

Bertempat di Flet Kampung Kolam ada ceramah ‘6 Jahanam bangkai pemimpin PKR’ yang diketuai oleh Ezam Mohd Nor. Hadir sama Hamdan Taha, Lokman Nor Adam, SD Johari Hj Yasin, Azwanddin Hamzah dan Mohd Nazmi Rosli. Kehadiran boleh tahan. Sekitar 100 – 150 orang. Laporan sedikit terperinci isi ceramah (khususnya ceramah Ezam) akan menyusul.

Bekalan dan Logistik

Sekali lagi disebut, sehingga malam ini bekalan makan minum dan rokok Dunhill China masih tak sampai-sampai ke markas-markas BN. Memang tak sampai atau memang tak ada terus, itu kurang pasti. Yang pasti, petugas kena beli rokok Dunhill sendiri. Di kedai serbaneka Maidin Mall rokok Dunhill murah 20 sen daripada biasa. Pergilah ke situ. Dibuka 24 jam.

Nasi Lemak, Nasi Minyak dan keropok lekor

Awal pagi ini, kami hanya pekena nasi lemak dan nasi minyak pinggan dengan keropok lekor goreng panas-panas di hadapan pejabat akhbar Sinar Harian. Tidak seperti malam sebelumnya kami pekena di Perhentian Bas MBKT yang nasi lemaknya dibungkus. Di sini tidak buka 24 jam. Masa kami sedang makan, pekerja kedai nak susun kerusi meja dan bersih bekas nasi yang sudah habis. Warung ini terletak hanya kurang 100 meter dari markas tunggal calon Bebas.
Related Posts with Thumbnails