Sabtu, Disember 13, 2008

YANG RASIONAL & YANG BERPERASAAN

Saya tertarik dengan komen yang ditulis oleh dua orang tamu yang telah mengakses blog Memo Belakang kepunyaan kawan saya Editor Watan, Zabidi Saidi. Zabidi menulis berhubung dengan calon PRK P36 Kuala Terengganu, dengan menonjolkan nama Dato’ Haji Che Mat Jusoh, bekas Speaker DUN Terengganu (2004-2008) dan juga bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu bukannya Senator Dato’ Wan Ahmad Farid yang disebut sebagai calon popular dan hampir pasti.

Sehingga saat ini, ada tujuh komen di situ. Cuma saya agak tertarik dengan dua komen daripada ‘Tanpa Nama’ dan ‘matkerakjunior’. Komen-komen mereka berbunyi begini :

Komen ‘Tanpa Nama’ :

bos, yang kalah tak semestinya tak main duit. janganlah bos nampak sgt kebodohan dlm analisa politik. semua main duitlah bos. lagi satu, datuk che mat mana layak. sumber bos tak boleh pakai. tak heboh langsung nama datuk che mat. majoriti di KT ialah pengundi muda. kalau letak datuk che mat yang tak pernah menang pilihan raya dan kalah pula dalam pemilihan bahagian, maka hancurlah dan hilanglah kerusi parlimen KT. fikirkanlah bos.

Komen ‘matkerakjunior’ :

pandangan nobisha amat tepat. tapi 'tanpa nama' terlalu emosional. tulisan ini hanya pandangan bukan keputusan. berfikirlah dengan waras dan matang. siapa zabidi saidi (penulis blog ini) yg boleh menentukan siapa layak siapa tak layak jadi calon. ini pandangan peribadi beliau, kenapa kita nak pertikaikan. zabidi hanya melontarkan idea dan pandangan sebagai seorang penulis/blogger. sebenarnya kita yang bodoh, bukan org yg menulis tu bodoh. kalau rasa cerdik sangat, buatlah analisa dan tulis sendiri, buka blog sendiri dan jangan baca blog / tulisan org lain, 'tanpa nama' terlalu taksud sangat dengan seseorang sbb itu semua org lain bodoh, dia saja yang betul.

Saya tertarik kerana dua komen berkenaan ada kontrasnya. Berbanding ‘matkerakjunior’, saya kira ‘Tanpa Nama’ tergolong di dalam kategori orang yang tidak cerdik dengan apa itu blog dan siapa itu blogger, selain beliau tidak bersikap profesional dengan bersikap dayus (menyembunyikan identiti), juga tidak tahu menilai yang mana blog dan blogger upahan, yang mana blog dan blogger memihak serta yang mana blog dan blogger bebas.

Orang-orang seperti ‘Tanpa Nama’ ini banyak saya temui komen mereka dalam blog-blog yang sempat saya kunjungi, malahan blog saya juga menerima komen yang hampir senada dengan komen di atas. Saya rumuskan ‘Tanpa Nama’ yang meninggalkan komen pada blog Memo Belakang dan ‘Tanpa Nama’ yang mengirimkan komen dalam blog saya adalah orang yang sama dan orang UMNO, kerana kebetulan komen yang saya terima juga berdasarkan tulisan berkaitan dengan ‘kemungkinan’ bukan Wan Farid sebagai calon BN dalam PRK Kuala Terengganu. (YANG SENSASI & TERKINI : BUKAN WAN FARID?)

Kerana menulis dan menonjolkan nama orang lain selain Wan Farid, ‘Tanpa Nama’ yang pada saya amat taksub dengan Wan Farid telah menunjukkan sikap kebudak-budakan dan emosional yang membuta tuli.

Saya tidak marah, malah tidak terasa apa-apa pun. Tidak ada rasa tersinggung dan tidak pula berasa hati atau apa-apa perasaan buruk yang lain. Cuma kadang-kadang kita kena rasional dalam membuat penilaian, sebab itu saya menulis artikel ini walaupun saya tahu banyak orang sudah tahu dan mengalami perkara yang sama. Bukan maksud saya untuk mengajar, jauh sekali untuk menjatuhkan aib dan maruah seseorang.

Maaf kalau saya mengambil contoh begini : Saya mengakses dan menjelajah ke banyak web/blog luar dan dalam negara, termasuk yang pro-PAS/Pakatan @ pembangkang. Dan selesai saya membaca satu-satu artikel yang dipaparkan, saya tidak pernah lupa untuk menjenguk (jika ada) ke ruangan komen di bawahnya. Saya akan terus membaca komen-komen yang telah disederhanakan oleh pemilik blog walaupun jumlahnya mencecah ke angka ratusan komen (seperti komen yang diterima oleh blog Dr Mahathir setiap kali beliau menulis). Sengaja untuk saya mendapat lebih banyak maklumat, pengetahuan sekali gus ‘membaca’ isi hati dan perasaan orang lain. Kerana saya yakin, sudah tentu di dalamnya ada pro dan kontra dengan apa yang ditulis oleh penulis. Dan dari situlah kita dapat percambahan idea.

Namun inilah bezanya pemikiran yang dapat ditemui daripada mereka yang pro-UMNO dengan mereka yang pro-PAS/Pakatan. Bukan maksud saya, saya menyokong, bersetuju atau menyebelahi sesiapa.

Tetapi yang nyata perbezaannya amat ketara. Saya ambil contoh berhubung dengan banyak web/laman blog yang menyiarkan tulisan yang berkaitan dengan PRK Kuala Terengganu sendiri. Kalau kita membaca komen-komen daripada pengunjung yang meninggalkan komen, masya-Allah, kutukannya kepada orang-orang UMNO amat dahsyat. Sesetengah komen tidak tergamak untuk membacanya. Demikian juga dengan sokongan dan keyakinan mereka. Pendek kata, seperti sudah pasti Kuala Terengganu menjadi hak mereka. UMNO sudah boleh balik awal dan kalau boleh dijadikan ayatnya - ‘baik UMNO usah bertanding kerana walau sesiapa pun calonnya, belum zohor lagi sudah kalah’.

Begitulah taksubnya penyokong/orang-orang pro-PAS/Pakatan ini kepada parti dan perjuangan mereka. Sebelum ini pun ketaksuban mereka sudah begitu, walaupun dalam masa yang sama, mereka amat sedar (dalam kiraan saya) di mana mereka menang dan di mana mereka kalah. Siapa memerintah negeri dan negara. Setakat mana kekuatan mereka di sini dan di sana.

Tetapi mereka tetap taksub dengan parti dan perjuangan mereka. Apa sekali pun istilah dan nawaitu yang mereka bawa dan terapkan, mereka tetap memberikan sokongan. Bezanya, mereka tidak memaki hamun blogger yang menulis artikel. Mereka tidak menulis kata-kata kesat yang membodohkan blogger seperti ‘Tanpa Nama’ yang membodohkan blogger. Inilah bezanya taksub kepada individu dengan taksub kepada perjuangan dan parti. Inilah bezanya mereka yang faham dan yang tidak faham apa itu blog dan blogger, apa itu penulis dan tulisan. Yang nyata ‘Tanpa Nama’ sengaja melodeh dan mendedahkan kelemahan diri dan dalaman UMNO kepada umum.

Dalam kes calon misalnya, bukan tidak ada pembaca yang pro-PAS/Pakatan yang taksub kepada Mat Sabu, banyak dan mengikut pungutan suara bebas daripada beberapa blog, rata-rata hendakkan Mat Sabu jadi calon di Kuala Terengganu. Tetapi mereka tidak melenting pun kalau bukan nama Mat Sabu diketengahkan sebagai calon PAS oleh blogger/penulis. Mereka tidak pun menuduh penulis/blogger sebagai bodoh, membuat analisis bodoh, melalut, merapu dan sebagainya kerana menonjolkan orang lain selain Mat Sabu.

Adalah tidak adil terutamanya kepada blogger atau penulis yang menulis ditohmahkan dengan sebegitu rupa tanpa kita memahami sepenuhnya maksud tulisan dan sumbernya. Kadang-kadang ada banyak tohmohan yang tidak berasas dilabelkan kepada blogger/penulis. Sebabnya mungkin mereka yang membuat tohmohan, cacian dan makian itu menganggap kebanyakan blogger/penulis itu menulis kerana dia memihak kepada orang-orang tertentu atau ada kepentingan tertentu. Blogger/penulis upahanlah mudah istilahnya.

Bagi saya, banyak yang saya tulis berdasarkan daripada banyak sumber, terutamanya pandangan, keluhan, cadangan mahupun luahan terbuka. Kemudian saya mengaplikasikannya semula dalam bentuk tulisan berdasarkan persepsi dan analisa saya, barulah dipaparkan untuk tatapan. Bermakna sebahagian tulisan-tulisan itu sudah tentu adalah berdasarkan pandangan, cadangan atau rasa tidak puas hati banyak orang.

Namun saya tidak menafikan, ada juga tulisan yang saya tulis berdasarkan persepsi peribadi. Tulisan jenis ini misalnya kebanyakannya memang ada hubungan langsung dengan saya atau pandangan saya sebagai penulis/blogger dalam konteks apa yang disentuh berasaskan pengetahuan dan kutipan dapatan yang saya tahu.

Yang pastinya, saya tidak pernah memaksa atau melarang sesiapa untuk membuka, melayari dan membaca laman blog saya. Kalau dirasakan pandangan yang saya catatkan tidak sesuai dan mengganggu ketaksuban dan menjolok rasa sehingga pembaca bersikap emosional dan kurang waras, pada saya, lebih baik mereka jangan membuka blog saya. Itu lebih selamat daripada kita memendam rasa amarah yang teramatnya hanya kerana tulisan kemudian kita menjadi hilang kewarasan akal dan tidak stabil pertimbangan tindakan. (Saya rasa para blogger lain pun berpandangan sama dengan saya dalam hal ini).

Jadilah kita manusia yang rasional, terbuka dan matang dalam menilai, membuat pilihan dan pertimbangan. Saya berpendapat semua blogger/penulis amat sedar siapa mereka. Mereka bukanlah orang yang boleh menentukan keputusan atau menghukum seseorang. Tulisan mereka hanyalah tulisan dan antaranya saya percaya adalah untuk memaklumkan sesuatu kerana mereka sayang kepada seseorang atau sesuatu. Sama ada pandangan atau tulisan mereka itu diterima atau sebaliknya, itu terpulang kepada kebijaksanaan mereka yang hak dan berkaitan. Mereka (para blogger) tidak pernah, tidak wajar dan tidak layak pun untuk memastikan agar sesuatu yang ditulis itu mesti dipatuhi, diikuti, diterima atau ditolak dan dilayan.

Saya tak pasti ‘matkerakjunior’ pro-PAS/Pakatan atau pro-UMNO. Apa-apa pun, terima kasih atas kefahaman saudara tentang blog dan blogger atau penulis dan tulisan. Kata orang, saudara ‘ada baca’. Sekurang-kurangnya saudara berusaha untuk mengangkat semula seluar ‘Tanpa Nama’ yang dah terlodeh sakan itu. Kalau anda orang pro-UMNO, anda berfikiran di luar kotak ketaksuban yang melampau dan anda antara orang UMNO yang berfikiran terbuka tanpa prejudis dan di luar kebiasaan. Syabas dan tahniah.

‘matkerakjunior’ adalah ikon yang rasional dan tidak berperasaan.

(p/s : baca cerita yang hampir sama di
http://cuitsikit.blogspot.com/2008/12/yang-bermula-pasti-berakhir.html). Kesimpulannya : Begitulah sikap sesetengah orang UMNO!!!
Related Posts with Thumbnails