yang semasa

Isnin, Disember 08, 2008

YANG DIJANJI : UNTUNG BERGANDA (edisi rahsia)

Kali ini khabarnya Mat Said berjanji lagi. Katanya ada hitam putih, tapi puas diselongkar tak berjumpa dengan janji yang dikatakan ada hitam putih tu. Dirisik-risik dengan kekawan, katanya memang ada dan janji ini sudah ramai yang tahu dan dengar.

Janji jangan sebarang janji. Kadang-kadang janji akan merugikan kita yang berjanji, walaupun kata orang lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji. Janji berbeza dengan dendam. Berbeza juga apabila janji sekadar tinggal janji saja. Itu janji politik namanya.

Ceritanya : Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama, Sidang Dewan Undangan Negeri Kedua Belas yang turut membentangkan bajet 2009 akan diadakan pada 14 hingga 18 Disember ini. Selang hanya kurang lebih sebulan sebelum berlangsungnya ‘perang’ PAS – BN dalam PRK Kuala Terengganu.

Dalam bajet yang bakal dibentangkan, dikatakan kononnya untuk mengambil hati dan sokongan orang-orang tertentu, Mat Said khabarnya akan mengumumkan sesuatu yang menguntungkan pihak lawan bagi perkara yang berkaitan dengan wang ihsan @ Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP).

Kalau ini benar-benar terjadi, dua implikasi besar akan berlaku. Pertama yang melibatkan ahli-ahli Yang Berhormat kerajaan dan kedua akan melibatkan ‘isu’ untuk PRK serta iklim politik masa depan.

Untuk sementara ini, biarlah tidak diceritakan apa implikasi yang melibatkan ahli-ahli Yang Berhormat kerajaan. Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Cuma yang ingin saya sebutkan ialah melibatkan PRK Kuala Terengganu dan situasi politik seterusnya.

Katakanlah janji yang disebut itu benar-benar diungkapkan oleh Mat Said. Maka akan dijajalah perihal itu sepanjang kempen PRK nanti dan seterusnya seterusnya seterusnya.

Mungkin ungkapannya “jangan takut untuk memberi undi kepada kami kerana Kuala Terengganu ini bertaraf bandaraya dan ibu negeri lagi. Mahu tidak mahu pembangunan tetap diteruskan, sama seperti bandar-bandar besar dan ibu negeri lain yang sejak sekian lama, pengundinya sudah memberi undi kepada pembangkang.

Pembangunan tetap berjalan, tak kan ibu negeri nak dianaktirikan semata-mata kawasannya diwakili pembangkang! Yang lagi penting, sekarang bukan sahaja rakyat tanpa mengira parti atau menyokong mana-mana pihak sahaja yang sudah disamaratakan, malah kami ahli-ahli Yang Berhormat juga sudah merasainya. Kalau orang UMNO dapat 20 sen, kita pun akan dapat 20 sen atau paling tidak pun 15 sen. Maknanya ada bahagian jugaklah, walaupun kurang”.

Kita kena ingat, dalam situasi sekarang, masing-masing tentera yang bersiap sedia untuk berperang sedang mengumpul seberapa banyak peluru untuk menembak musuh. Dan yang pasti dalam peperangan, siapa yang punyai ‘peluru’ lebih, mereka akan mempunyai kelebihan, kecuali dalam perang olok-olok.

Kita juga masih kuat ingatan betapa ‘benarnya’ apa yang dilakukan oleh Dr M dengan wang ihsan @ DKKP. Walaupun sumpahan dan marahnya sesetengah orang dengan cara Dr M bertindak, kesannya tetap memihak kepada BN. Itulah sebenarnya ‘politik’ untuk servival politik.

Harapnya, khabar itu bukan sesuatu yang betul dan janji itu hanya janji politik.
Related Posts with Thumbnails