yang semasa

Ahad, November 30, 2008

YANG DIUJI : 'LIMA BULAN' DI KUALA TERENGGANU?

Pilihan raya kecil (PRK) P036 Kuala Terengganu yang bakal diadakan berikutan kematian wakil rakyat kawasan tersebut, Dato’ Razali Ismail jumaat lalu menjadi ujian pertama kepada kepimpinan Dato’ Ahmad Said selepas beliau mengambil alih kepimpinan UMNO Negeri Terengganu pada 14 Jun lalu.

Selepas lima bulan Mat Said menerajui UMNO Terengganu dan selepas mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan dalam usaha beliau memantapkan UMNO Terengganu, PRK P036 Kuala Terengganu dilihat sebagai ujian getir pertama beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dalam menghadapi pilihanraya.

Mat Said yang juga Menteri Besar Terengganu dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baru pada 14 Jun 2008 bagi menggantikan Dato’ Idris Jusoh yang melepaskan jawatan berkenaan beberapa minggu sebelumnya.

Ujian yang bakal dihadapi Mat Said ini hampir menyamai ujian yang terpaksa dihadapi oleh Idris Jusoh sebaik sahaja selesai pilihanraya umum ke-11 2004 lalu apabila Idris terpaksa berhadapan PRK DUN Kuala Berang, Hulu Terengganu berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Cikgu Komaruddin Abdul Rahman.

PRK DUN Kuala Berang diadakan lima bulan selepas PRU ke-11 (21 Mac 2004), setelah Cikgu Komaruddin dalam rangka bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan meninggal dunia secara mengejut akibat sakit jantung juga di puncak Genting Highland pada 30 Julai 2004.

PRK DUN Kuala Berang diadakan pada 28 Ogos 2004 dan atas kerja kuat Idris serta komitmen semua pihak, calon BN Mohd Zawawi Ismail, memperolehi 6,051 undi menewaskan calon PAS, Muhyiddin Abdul Rashid, yang meraih 3,992 undi. Majoriti 2,059 yang diperolehi pada pilihan raya kecil DUN Kuala Berang merupakan satu peningkatan ketara berbanding majoriti 1,695 undi yang diperolehi Allahyarham Komaruddin pada pilihan raya umum memandangkan tempoh masa pilihanraya umum dan PRK yang hanya berjarak lima bulan.

Ternyata kedua-dua Mat Said dan Idris diuji selepas 'lima (5) bulan'. Bezanya Idris diuji dalam PRK DUN manakala Mat Said diuji dalam PRK Parlimen.

Yang menariknya, dalam tempoh baru lima bulan Mat Said menerajui UMNO Terengganu, beliau sudah perlu bekerja keras untuk menafikan hasrat meletakkan ‘lima bulan’ di Kuala Terengganu. Sekarang sudah ada 3 bulan (lambang PAS) dalam DUN, kalau kerusi Parlimen juga terlepas ke tangan PAS, akan menjadi 4 bulan berada di Kuala Terengganu. Bulan kelima sudah tentu diberi percuma oleh sekutu PAS iaitu PKR (lambang PKR juga ada bulan).

Senarionya : P036 Kuala Terengganu mempunyai empat DUN iaitu N13 Wakaf Mempelam, N14 Bandar, N15 Ladang dan N16 Batu Burok. Selepas pilihanraya umum ke-12 lalu BN hanya menguasai satu kerusi DUN iaitu DUN Bandar melalui calon BN/MCA, Toh Chin Yaw, manakala tiga DUN lain yang ditandingi calon BN/UMNO tewas di tangan PAS.

Kawasan parlimen ‘elit’ ini mempunyai jumlah pengundi seramai 80,325 (mengikut daftar pemilih yang digunakan pada PRU ke-12/2008) yang terdiri daripada pengundi Melayu sebanyak 88.14%, Cina 10.94%, India 0.65% dan lain-lain kaum 0.27%.

Pada PRU 12, Dato’ Zali (BN) menang dengan majoriti sebanyak 628 undi setelah beliau memperolehi 32,562 undi mengalahkan calon bebas Maimun Yusuf (685 undi) dan calon PAS Mohamad Sabu (31,934 undi). Jumlah mengundi ialah sebanyak 66,112 orang (82.31%) dan undi rosak sebanyak 931.

Pungutan undi berdasarkan DUN pula sebagaimana berikut : DUN Wakaf Mempelam, PAS menang dengan majoriti 2,193 (PAS 9,645 dan BN 7,452), DUN Bandar (BN 7,831 dan PKR 6,689, majoriti BN 1,142), DUN Ladang (PAS 6,723 dan BN 6,692, majoriti PAS 31) dan DUN Batu Burok (PAS 10,672 dan BN 9,511, majoriti PAS 1,161). Bermakna majoriti yang diperolehi semua calon PAS yang menang di tiga DUN ialah sebanyak 3,385, manakala majoriti BN hanyalah 1,142. @ (3,385 (PAS) – 1,142 (BN) = 1,158 undi kekalahan BN di DUN).

Di atas kertas, Dato’ Zali ‘sudah kalah’ kalau nak dikira daripada jumlah undi yang diperolehi PAS dan PKR berdasarkan DUN (undi popular PAS & PKR 33,729 manakala undi popular BN 31,486). Bayangkanlah tiga daripada empat DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu memihak kepada PAS dan hanya satu memihak kepada BN, namun Dato’ Zali masih boleh bertahan dengan undi popular peribadinya sebanyak 1,076 undi.

Kalau undi yang memihak kepada calon Bebas (685) dan undi rosak yang berjumlah 931 merupakan protes kepada calon PAS, Dato’ Zali akan lebih besar kekalahannya. Namun sesetengah pemerhati politik melihat, Dato’ Zali masih diberi kemenangan atas sebab peribadinya dan faktor protes kepada calon PAS yang meletakkan calon orang luar Terengganu.

Dato’ Zali juga adalah penyandang kerusi parlimen berkenaan sejak 2004 setelah mengalahkan calon PAS Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dengan majoriti 1,933 undi pada pilihan raya umum ke-11/2004.

Faktor ini perlu dicongak oleh Mat Said, apa lagi sekiranya PAS atau PR meletakkan calon anak tempatan dalam PRK kali ini.

Dalam banyak hal Mat Said dilihat akan mengharungi ujian yang lebih sukar berbanding cabaran Idris pada 2004 lalu, memandangkan kepada situasi politik negara dan tempatan terkini yang tidak menentu, terutamanya politik dalaman UMNO Terengganu sendiri yang masih belum stabil sepenuhnya selepas pemilihan UMNO Bahagian bulan lalu.

Bagaimanapun, banyak pemerhati politik melihat Mat Said mampu menyerlahkan kemampuannya mengekalkan Parlimen Kuala Terengganu di tangan BN/UMNO berdasarkan kepada susunan perlantikan pegawai kanan parti di peringkat negeri yang lebih ramai daripada Bahagian Kuala Terengganu.

Mat Said melantik Zubir Embong sebagai Ketua Penerangan UMNO negeri dan Roslan Awang Chik sebagai Bendahari UMNO negeri. Kedua-duanya adalah daripada Bahagian Kuala Terengganu.

Mat Said sebelumnya dipetik sebagai berkata, beliau mengambil tindakan demikian (melantik ramai pegawai dari bahagian Kuala Terengganu) kerana kawasan Kuala Terengganu telah menjadi punca banyak masalah kepada Barisan Nasional (BN). “Orang tanya kenapa semuanya dari Kuala Terengganu... Timbalan Menteri sampai ada dua... kerana saya lihat Kuala Terengganulah punca banyak masalah kepada kita... daripada empat DUN, satu DUN saja menang.

“Kalau kita kumpul orang ini bekerjasama, kalah lagi saya tidak tahulah... maknanya mereka ini bergaduh sesama sendiri, betullah kata rakyat... kalau mereka tidak boleh bersatu dan bekerjasama serta memenangkan parti dengan jawatan kita beri dan apa yang mereka dapat, tidak ada makna,” katanya.

Kenyataan pedas tetapi mencabar Mat Said itu dijangka akan menjadi pendorong kepada pemimpin UMNO Bahagian Kuala Terengganu bekerja lebih keras dan jujur bagi memastikan P036 kekal menjadi milik BN sekali gus menafikan 5 bulan ‘menerangi’ Kuala Terengganu.

Mampukah Mat Said?
Related Posts with Thumbnails