Ahad, November 30, 2008

YANG DIUJI : 'LIMA BULAN' DI KUALA TERENGGANU?

Pilihan raya kecil (PRK) P036 Kuala Terengganu yang bakal diadakan berikutan kematian wakil rakyat kawasan tersebut, Dato’ Razali Ismail jumaat lalu menjadi ujian pertama kepada kepimpinan Dato’ Ahmad Said selepas beliau mengambil alih kepimpinan UMNO Negeri Terengganu pada 14 Jun lalu.

Selepas lima bulan Mat Said menerajui UMNO Terengganu dan selepas mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan dalam usaha beliau memantapkan UMNO Terengganu, PRK P036 Kuala Terengganu dilihat sebagai ujian getir pertama beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dalam menghadapi pilihanraya.

Mat Said yang juga Menteri Besar Terengganu dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baru pada 14 Jun 2008 bagi menggantikan Dato’ Idris Jusoh yang melepaskan jawatan berkenaan beberapa minggu sebelumnya.

Ujian yang bakal dihadapi Mat Said ini hampir menyamai ujian yang terpaksa dihadapi oleh Idris Jusoh sebaik sahaja selesai pilihanraya umum ke-11 2004 lalu apabila Idris terpaksa berhadapan PRK DUN Kuala Berang, Hulu Terengganu berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Cikgu Komaruddin Abdul Rahman.

PRK DUN Kuala Berang diadakan lima bulan selepas PRU ke-11 (21 Mac 2004), setelah Cikgu Komaruddin dalam rangka bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan meninggal dunia secara mengejut akibat sakit jantung juga di puncak Genting Highland pada 30 Julai 2004.

PRK DUN Kuala Berang diadakan pada 28 Ogos 2004 dan atas kerja kuat Idris serta komitmen semua pihak, calon BN Mohd Zawawi Ismail, memperolehi 6,051 undi menewaskan calon PAS, Muhyiddin Abdul Rashid, yang meraih 3,992 undi. Majoriti 2,059 yang diperolehi pada pilihan raya kecil DUN Kuala Berang merupakan satu peningkatan ketara berbanding majoriti 1,695 undi yang diperolehi Allahyarham Komaruddin pada pilihan raya umum memandangkan tempoh masa pilihanraya umum dan PRK yang hanya berjarak lima bulan.

Ternyata kedua-dua Mat Said dan Idris diuji selepas 'lima (5) bulan'. Bezanya Idris diuji dalam PRK DUN manakala Mat Said diuji dalam PRK Parlimen.

Yang menariknya, dalam tempoh baru lima bulan Mat Said menerajui UMNO Terengganu, beliau sudah perlu bekerja keras untuk menafikan hasrat meletakkan ‘lima bulan’ di Kuala Terengganu. Sekarang sudah ada 3 bulan (lambang PAS) dalam DUN, kalau kerusi Parlimen juga terlepas ke tangan PAS, akan menjadi 4 bulan berada di Kuala Terengganu. Bulan kelima sudah tentu diberi percuma oleh sekutu PAS iaitu PKR (lambang PKR juga ada bulan).

Senarionya : P036 Kuala Terengganu mempunyai empat DUN iaitu N13 Wakaf Mempelam, N14 Bandar, N15 Ladang dan N16 Batu Burok. Selepas pilihanraya umum ke-12 lalu BN hanya menguasai satu kerusi DUN iaitu DUN Bandar melalui calon BN/MCA, Toh Chin Yaw, manakala tiga DUN lain yang ditandingi calon BN/UMNO tewas di tangan PAS.

Kawasan parlimen ‘elit’ ini mempunyai jumlah pengundi seramai 80,325 (mengikut daftar pemilih yang digunakan pada PRU ke-12/2008) yang terdiri daripada pengundi Melayu sebanyak 88.14%, Cina 10.94%, India 0.65% dan lain-lain kaum 0.27%.

Pada PRU 12, Dato’ Zali (BN) menang dengan majoriti sebanyak 628 undi setelah beliau memperolehi 32,562 undi mengalahkan calon bebas Maimun Yusuf (685 undi) dan calon PAS Mohamad Sabu (31,934 undi). Jumlah mengundi ialah sebanyak 66,112 orang (82.31%) dan undi rosak sebanyak 931.

Pungutan undi berdasarkan DUN pula sebagaimana berikut : DUN Wakaf Mempelam, PAS menang dengan majoriti 2,193 (PAS 9,645 dan BN 7,452), DUN Bandar (BN 7,831 dan PKR 6,689, majoriti BN 1,142), DUN Ladang (PAS 6,723 dan BN 6,692, majoriti PAS 31) dan DUN Batu Burok (PAS 10,672 dan BN 9,511, majoriti PAS 1,161). Bermakna majoriti yang diperolehi semua calon PAS yang menang di tiga DUN ialah sebanyak 3,385, manakala majoriti BN hanyalah 1,142. @ (3,385 (PAS) – 1,142 (BN) = 1,158 undi kekalahan BN di DUN).

Di atas kertas, Dato’ Zali ‘sudah kalah’ kalau nak dikira daripada jumlah undi yang diperolehi PAS dan PKR berdasarkan DUN (undi popular PAS & PKR 33,729 manakala undi popular BN 31,486). Bayangkanlah tiga daripada empat DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu memihak kepada PAS dan hanya satu memihak kepada BN, namun Dato’ Zali masih boleh bertahan dengan undi popular peribadinya sebanyak 1,076 undi.

Kalau undi yang memihak kepada calon Bebas (685) dan undi rosak yang berjumlah 931 merupakan protes kepada calon PAS, Dato’ Zali akan lebih besar kekalahannya. Namun sesetengah pemerhati politik melihat, Dato’ Zali masih diberi kemenangan atas sebab peribadinya dan faktor protes kepada calon PAS yang meletakkan calon orang luar Terengganu.

Dato’ Zali juga adalah penyandang kerusi parlimen berkenaan sejak 2004 setelah mengalahkan calon PAS Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dengan majoriti 1,933 undi pada pilihan raya umum ke-11/2004.

Faktor ini perlu dicongak oleh Mat Said, apa lagi sekiranya PAS atau PR meletakkan calon anak tempatan dalam PRK kali ini.

Dalam banyak hal Mat Said dilihat akan mengharungi ujian yang lebih sukar berbanding cabaran Idris pada 2004 lalu, memandangkan kepada situasi politik negara dan tempatan terkini yang tidak menentu, terutamanya politik dalaman UMNO Terengganu sendiri yang masih belum stabil sepenuhnya selepas pemilihan UMNO Bahagian bulan lalu.

Bagaimanapun, banyak pemerhati politik melihat Mat Said mampu menyerlahkan kemampuannya mengekalkan Parlimen Kuala Terengganu di tangan BN/UMNO berdasarkan kepada susunan perlantikan pegawai kanan parti di peringkat negeri yang lebih ramai daripada Bahagian Kuala Terengganu.

Mat Said melantik Zubir Embong sebagai Ketua Penerangan UMNO negeri dan Roslan Awang Chik sebagai Bendahari UMNO negeri. Kedua-duanya adalah daripada Bahagian Kuala Terengganu.

Mat Said sebelumnya dipetik sebagai berkata, beliau mengambil tindakan demikian (melantik ramai pegawai dari bahagian Kuala Terengganu) kerana kawasan Kuala Terengganu telah menjadi punca banyak masalah kepada Barisan Nasional (BN). “Orang tanya kenapa semuanya dari Kuala Terengganu... Timbalan Menteri sampai ada dua... kerana saya lihat Kuala Terengganulah punca banyak masalah kepada kita... daripada empat DUN, satu DUN saja menang.

“Kalau kita kumpul orang ini bekerjasama, kalah lagi saya tidak tahulah... maknanya mereka ini bergaduh sesama sendiri, betullah kata rakyat... kalau mereka tidak boleh bersatu dan bekerjasama serta memenangkan parti dengan jawatan kita beri dan apa yang mereka dapat, tidak ada makna,” katanya.

Kenyataan pedas tetapi mencabar Mat Said itu dijangka akan menjadi pendorong kepada pemimpin UMNO Bahagian Kuala Terengganu bekerja lebih keras dan jujur bagi memastikan P036 kekal menjadi milik BN sekali gus menafikan 5 bulan ‘menerangi’ Kuala Terengganu.

Mampukah Mat Said?

YANG PERGI : KITA ADALAH PENUNGGU SETIA

Alfatihah… semoga roh mereka dirahmati Allah Azzawajalla jua hendaknya..

Setelah saya menerima berita kematian Dato’ Razali Ismail kira-kira pukul 7.00 malam, saya terus memaklumkan kepada teman-teman / kenalan dan sesiapa yang saya rasai perlu dimaklumkan lebih awal tentang kematian ini melalui sms. Saya jadi terkedu dan beberapa ketika saya seperti tidak tahu berbuat apa-apa.

Kira-kira pukul 10.47 malam, sedang saya asyik menyelongkar beberapa cerita melalui blog / laman web yang sudah pun mempunyai pelbagai cerita berkaitan kematian Dato’ Razali, saya menerima sms daripada teman saya di Kemaman, yang tadi telah saya sms memberitakan tentang kematian Dato’ Razali. Bunyi smsnya “mak mb teganu baru je meninggal kat kmc”.

Innalillahiwainnailaihirajiun…

Begitulah kehendak Tuhan, Allah yang maha esa. Takziah kepada keluarga Dato’ Razali Ismail dan takziah kepada Dato’ Ahmad Said dan keluarga.

Begitulah ketentuan-Nya. Yang pasti, makhluk Tuhan ini adalah penunggu setia. Ayah dan ibu serta keluarga menunggu kelahiran kita, kita menunggu kelahiran anak-anak dan keluarga kita, kita menunggu hari, minggu, bulan dan tahun berganti, kita menunggu semua perkara yang kita hasratkan dan akhirnya kita juga menunggu saat bila pula giliran kita akan dijemput oleh Allah Azzawajalla untuk menemui-Nya.

Hanya Tuhan yang tahu, bila kita akan kembali kepada-Nya. Amin.

Rabu, November 26, 2008

YANG MERUDUM : KUMPULAN UTUSAN

Minggu lalu semasa saya di Kuala Lumpur, saya bertemu dengan seorang kawan yang bertugas di pejabat Utusan Melayu. Dek kerana sudah lama tidak berjumpa, banyak cerita yang disembangkan sambil pekena sup tulang. Hangat dan menyelerakan walaupun kami bersembang dalam suasana hujan.

Banyak perkara yang disentuh dalam sembang warung kopi kami itu. Dan antaranya terkeluarkan cerita perihal syarikat Utusan yang menjadi tempat kawan saya mencari rezeki sejak berpuluh-puluh tahun itu.

Menjelang tahun 2009, kawan saya ni sebenarnya ‘mengharapkan’ berlaku pertukaran yang lebih besar dalam syarikat terutamanya yang melibatkan pertukaran dalam Jabatan Pengarang dan staff sokongan lain di negeri-negeri. Namun menurut beliau, untuk tahun 2009, suasananya agak berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.

Kata kawan saya, biasanya setiap tahun paling tidak akan ada dua atau tiga orang daripada Jabatan pengarang (termasuk Ketua Biro, Wartawan dan Jurugambar) akan bertukar, tapi tahun 2009 nanti, yang berlaku di kebanyakan negeri, hanya seorang sahaja wartawan yang bertukar, malah ada negeri yang langsung tidak ada pertukaran.

“Kenapa gitu? Prestasi dia orang baik kot, jadi tak payahlah tukar-tukar”, celah saya cuba memanjangkan cerita.

“Bukan pasal tu. Sebenarnya Utusan sekarang teruk dan parah. Ketara sangat. Utusan sekarang tak ada duit. Semua penerbitan oleh Utusan merudum teruk. Dalam pada tu, belanja overhead tinggi. Gaji pegawai entah apa-apa. Banyak jawatan ‘rekaan’ diwujudkan dalam Utusan.

"Jawatan rekaan?”, tanya saya buat-buat hairan.

“Ya lah, jawatan hakiki hanya satu atau dua sahaja, tetapi bagi menyelamatkan dan memberi peluang kepada kroni-kroni dan juak-juak orang-orang tertentu, diwujudkan jawatan sebagai hadiah naik pangkat. Pangkat naik, gaji pun mesti naik, sedangkan pengedaran dan jualan semakin turun. Dah nak cover ikut mana lagi?”, jelas kawan saya dengan soalan yang dia sendiri dan saya tak perlu jawab.

“Sebab itu pertukaran dihadkan. Bayangkan kalau bertukar sampai tiga empat orang dalam satu negeri. Berapa banyak wang yang perlu dibelanjakan? Seorang contohnya dari Perlis bertukar balik ke Ibu Pejabat (KL), paling kurang RM3ribu perlu dibayar, macam-macam elaun. Dah kalau tiga atau empat orang, berapa?”, kata kawan saya lagi dengan bersungguh-sungguh.

“Utusan boleh bangkrap kalau mulai sekarang tidak berjimat cermat. Jualan merudum teruk. Surat khabar jatuh hampir 100 peratus pengedarannya. Begitu juga dengan majalah, jatuh berkali-kali ganda. Aset ada banyak mana sangat”. Tambah kawan saya lagi.

“Kes merudum tu ada hubungan dengan kempen boikot Utusan ke? Provok saya lagi.

“Kaitan je lah. Selain pengedaran jatuh, iklan sumber utama pendapatan juga berkurang begitu banyak. Yang pasti, sekarang Utusan hanya mengharapkan beberapa negeri yang diperintah oleh BN saja untuk beli iklan.

“Masalah lain juga bertali arus. Pengurusan teruk, editorial tidak cekap dan kurang pengalaman, orang-orang berpengalaman disisihkan dan banyak lagilah. Kalau jadi Teresa Kok saman Utusan RM30 juta hari tu dan beliau menang, memang Utusan akan jatuh bangkrap. Mana lagi Utusan nak cari duit?” Kawan saya terus meluahkan isi hatinya.

“Apa-apa pun, lantak dia oranglah nak buat apa pun. Asal aku dapat gaji bulan-bulan, lepas sewa rumah, lepas makan minum pakai anak bini, cukup.” kata kawan saya menutup cerita berkaitan Syarikat pengantara rezeki kepadanya itu.

Mungkin kawan saya nin tidak terfikir, apa akan terjadi kepadanya kalau-kalau (saya ulangi kalau-kalau) bukan UMNO/BN lagi yang memerintah negara sebelum beliau pencen daripada Utusan.

Selasa, November 25, 2008

YANG AKAN TERPECAT LAGI : RASUAH POLITIK LAGI

Saya pernah menyiarkan salinan surat bantahan seorang ahli cawangan UMNO berhubung dengan ketidaksahnya mesyuarat cawangan kerana beberapa faktor yang telah digariskan.

Antaranya melibatkan etika calon dan rasuah politik yang melibatkan ugut mengugut dan ketakutan pemegang jawatan yang berkepentingan sehingga membuatkan proses mesyuarat dan pencalonan menjadi ‘mengikut arahan’ (baca di sini).

Terbukti selepas segala-galanya selesai (‘sempurnanya’ persidangan dan pemilihan di peringkat Bahagian), sekoyong-koyong telah diuar-uarkan bahawa mana-mana Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (Pengerusi JKKK - mudahnya disebut Ketua Kampung) sama ada mereka adalah Ketua Cawangan UMNO atau tidak (dalam konteks sekarang, ada Pengerusi JKKK bukan daripada kalangan Ketua Cawangan), semasa pemilihan bahagian baru-baru ini tidak menyokong Ketua Bahagian yang menang, akan digugurkan (atau dalam bahasa lebih lembut dan sopan berhemah – DIPECAT) daripada menjadi Pengerusi JKKK @ Ketua Kampung.

Khabar ini datangnya daripada Bahagian Dungun. Dan yang bakal menjadi mangsa termasuklah Ketua-ketua Cawangan yang sebelum ini menjadi Pengerusi JKKK tetapi dalam pemilihan UMNO Bahagian baru-baru ini mereka menyokong Dato’ Din Adam, bukannya Dato’ (Dr Jepun) Rosli Mat Hassan. Maknanya perkhidmatan mereka akan mulai diambilalih oleh orang lain mulai 1 Januari 2009 nanti. Tamat kontrak Pengerusi JKKK sekarang ialah pada 31 Disember ini. Khabarnya juga, senarai telah pun siap, hanya menanti saat dan ketikanya sahaja.

YB Din Adam dah terpecat, YB Ya Paka juga dah terpecat. Yang menanti ‘dengan pasti’ giliran mereka ialah Pengerusi JKKK pula, terutama dari DUN Bukit Besi dan Paka yang menyokong YB-YB mereka dan DUN Sura dan Rantau Abang yang menyanggah Ketua Bahagian yang ada.

Sama-samalah kita tunggu apa yang akan terjadi sambil kita juga menunggu apakah cadangan yang pernah disuarakan oleh Pak Lah (semasa perjumpaan Pak Lah dengan semua Ketua cawangan negeri-negeri di PWTC sebelum persidangan cawangan dulu) akan diingkari lagi oleh Mat Said.

Kata Pak Lah – kita akan selaraskan dan memastikan semua Pengerusi JKKK dilantik di kalangan Ketua-ketua UMNO cawangan.

Kalau Mat Said ingkari cakap Pak Lah lagi, bermakna RM400.00 sebulan tidak terhidu lagi oleh mereka yang malang itu.

YANG TERPERANGKAP : KISAH SEORANG PERWAKILAN

Ini cerita benar. Kisah seorang kawan dalam satu Bahagian UMNO di Terengganu. Kawan saya ini menjadi penyokong kuat seorang Ketua Bahagian sejak dulu-dulu lagi. Dan kawan saya nin, mungkin kerana kebijaksanaan beliau bermain politik, beliau selalu sahaja menang, baik kalau beliau bertanding sebagai perwakilan ke Kuala Lumpur (sekarang dikenali sebagai G7), mahu pun sebagai AJK Bahagian.

Beliau memang gurkha yang baik kepada Ketua Bahagian yang menang lagi setelah dicabar. Dan kawan saya ini juga menang lagi G7 dan AJK Bahagian. Daripada gambaran umum ‘kegurkhaan’ kawan saya itu, kita boleh fikirkan sendiri apa ‘habuan’ yang beliau perolehi sepanjang beliau mendambakan diri kepada Ketua Bahagian berkenaan.

Baru-baru ini kawan saya ini terperangkap oleh rasuah politik yang dilaporkan sama ada oleh ‘orang yang tidak bertanggungjawab’ atau oleh ‘orang-orang yang dengki kerana dia tak dapat’ kepada pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR). Aduan berkenaan menyebut kawan saya ini merupakan salah seorang yang terlibat dengan rasuah politik semasa proses pemilihan Bahagian berkenaan. Beliau dikatakan menerima sambil terlibat secara aktif mengagih-agihkan ‘Nokia communicator E90’ kepada perwakilan.

Kawan saya ini menjadi salah seorang yang dipanggil oleh BPR untuk disoal siasat. Maka gelabahlah hamba Allah yang ‘benar’ ini saat akan menghadapi BPR nanti. Maklum sajalah, bukan saja akan menjejaskan Ketua Bahagian yang beliau sayangi amat itu, malahan akan turut menjejaskan beliau selaku AJK Bahagian, G7 dan lebih penting sebagai Pegawai Kerajaan.

Lalu dalam proses mempersiapkan diri, kawan saya ini dengan megah tetapi gelabah mengumpulkan bukti-bukti pembelian communicator itu. Yang utamanya mestilah bil bukti pembelian. Entah mungkin kawan saya nin memikirkan bahawa pegawai BPR tu semuanya bodoh seperti dia juga, saya tidaklah mahu menuduh songsang begitu. Cuma yang pasti, tindakannya terlalu jelas menggambarkan kebodohannya.

Bil yang ‘dicari’ tu adalah bil umum (tanpa nama kedai) yang dijual di kedai-kedai alatan tulis yang digunakan oleh peniaga, pekedai runcit kecil-kecilan. Yang harganya satu pad kurang lebih RM1.50 tu. Lepas tu dicop (rubber stamp) nama kedai pembekal (Tuan kedainya orang Melayu). Memang kedai tu wujud, Cuma sepanjang pengetahuan saya, amat tidak logik kedai sebesar yang digunakan namanya itu, hanya menggunakan bil yang dibeli di pasar raya Maidin.

Paling tidak pun, kalau bil cetakan siap dengan nama syarikat/kedainya sudah kehabisan, mereka akan menggunakan komputer untuk mencetak bilnya. Itu standard kedai yang menjadi mangsa penggunaan nama tu. Saya boleh katakan begitu kerana saya tahu kedai tu dan rapat dengan bosnya dan saya sendiri amat biasa dengan kedai tu.

Yang lebih melucukan, ‘bil bukti pembelian communicator’ yang ditunjukkan kawan saya itu berkeadaan amat baru dan baik. Maklum sajalah kawan saya nin orangnya cermat, disimpan baik-baik bil / bukti pembelian tu dalam dompetnya. Dahlah nombor sirinya ditulis tangan, dakwat tulisannya pun baru saja kering, sedangkan communicator tu dah digunakan hampir setahun. Bil baru rekalah…

Sebaik sahaja saya melihat bil bukti pembelian yang ditunjukkan kawan saya tu, saya terus katakan bahawa betapa tidak cekapnya tuan kedai tu (inikah cara orang Melayu berniaga?) menguruskan jual beli telefon di kedainya. Akaun pun mungkin tidak menentu untuk diselaraskan. Apakan tidaknya, sudah pasti duit keluar masuk akan menjadi tidak sama dengan bil jualan dan stok barangan kerana beza beberapa bulan antara jual telefon dengan bil yang dikeluarkan. Audit syarikat kerjanya tidur ke?

Selain itu, kawan saya nin juga mungkin merasakan bahawa BPR pasti tidak punyai masa untuk menyiasat sampai ke dalam kedai, walaupun kedai tu tidaklah jauh sangat dengan Pejabat BPR pun. Tanggapan kawan saya, tidak mungkin BPR secerdik dia sampai nak ke kedai tu dan selongkar salinan bil bukti pembelian tu. Selamatlah kawan saya tu kalau dia berfikiran positif begitu.

Sampai hari ini tidak dapat dipastikan, sudah berapa kali BPR memanggil kawan saya itu. Yang pasti nampaknya BPR memberi masa secukupnya kepada kawan saya tu untuk menggandakan kelentongnya.
(p/s : Kepada Tukar Tiub (TT) maaflah... kempen anda untuk menyekat gejala tipu Melayu masih terlalu jauh untuk berhasil... tipu beli kapal selam, beli sukhoi tu besar sangat. nin kes tipu bil yang kecikkk je bro.... kah kah kah...)

YANG TERLEPAS PANDANG LAGI?

Mualaf terkilan permohonan bantuan mertua ditolakSinar Harian
KAMPUNG KUALA ABANG - Sebuah keluarga di sini tertanya-tanya akan punca permohonan bantuan kebajikan oleh ibu mereka yang uzur dan memerlukan ditolak tanpa alasan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Warga emas terbabit, Hambiah Abdul Wahab, 78, dikatakan oleh anggota keluarganya layak menerima bantuan tersebut memandangkan dia kini tidak mampu mencari makan sendiri sementelah pula menantunya, Kooi Keng Hong @ Rosli Abdullah, 66, yang menjadi pergantungan hidup selama ini turut menghadapi masalah kesihatan.
…………………
…………………
“Kalau boleh pihak tertentu khususnya wakil rakyat di kawasan ini campur tangan untuk membantu saya, lagi pun saya bukan pelarian, saya orang Malaysia, apatah lagi saya seorang mualaf,” katanya.

Hello Datuk Za’abar Mohd Adib. Datuk Yang Berhormat ADUN Rantau Abang kang? Cerita nin berlaku dalam kawasan YB lagi nin. YB tak sedar ke? Tak kan dah menang Timbalan Ketua Bahagian, perihal rakyat pun dah terlupa. Terlepas pandang lagi ke atau kepentingan bukan keutamaan dalam kes-kes yang sebegini.

Kalau terlepas pandang lagi, haik…. Dah dua tiga kes berlaku dalam kawasan YB je? Jangan pula nanti tuduh wartawan nak sabotaj YB pula. Memang dah mengadunya begitu, tak boleh nak sembunyilah YB.

Tapi mungkin dia orang nin bukan ahli UMNO kot YB? Atau kalau ahli UMNO, baru-baru nin bukan perwakilan cawangan. Atau kalau perwakilan cawangan, dia orang tak menyokong YB. Dah sekarang YB dah menang, YB dah ada kuasa, YB dah ada kedudukan, padan muka dia orang, rasakan. Sampailah giliran YB membalasnya pula. Betul tu YB… saya sukuuuuuung…….

YANG BERJANGKIT : UMNO & PAS, SAMA TAPI TAK SERUPA

Seronok juga baca cerita perihal PAS Selangor (laporan Malaysiakini serta ulasan MSO) serta PAS Kedah (laporan NOBISHA) dan cerita-cerita pergolakan parti itu di mana-mana sebelumnya.

Apabila selesai menelaah tulisan-tulisan berkenaan sambil mengenang kembali cerita-cerita terdahulu yang relevan, saya membuat kesimpulan bodoh sendiri – “apa-apa pun sama sahaja, baik parti mahupun orang di dalamnya”. Manusia ada selera dan selera itu walaupun kadang-kadang secara kebetulan banyak persamaan tetapi tetap tidak akan menjadi 100 peratus sama.

Pendek kata, walau apa sekali pun wadah perjuangan parti, ia tetap parti. Manakala pemimpin parti tetap manusia @ orang yang punyai kekuatan, kelemahan dan kekurangan tersendiri. Ada persamaan tapi tidak serupa.

Dato’ Seri Azizan Razak, Dato’ Dr Hassan Ali, Dato’ Ahmad Said dan Dato’ Rosli Mat Hassan ada persamaan tetapi jelas tidak serupa.

Secara umum yang sama dan paling ketara keempat-empat mereka adalah lelaki. Mereka berempat orang politik kepartian. Mereka berempat orang Melayu dan beragama Islam. Azizan dan Ahmad Said adalah Menteri Besar. Yang tidak serupanya Azizan dan Hassan Ali orang PAS dan Ahmad Said dan Rosli Mat Hassan adalah orang UMNO. Itulah lebih kurang.

Keempat-empatnya sama apabila dikaitkan dengan perkataan “PECAT” (sebagai kata dasar dan kemudian disebut menggunakan awalan, imbuhan dan akhiran seadanya). Baik UMNO mahupun PAS, sama saja, tetapi jelas tidak serupa.

Yang sama tapi tak serupa ialah Azizan dikhabaranginkan akan menerima undi tidak percaya bagi memecat beliau dan kerajaan pimpinannya di Kedah, tetapi masih belum berlaku. Manakala Ahmad Said telah menguar-uarkan akan memecat Exconya, tapi belum pun terpecat. Hassan Ali, Ahmad Said dan Rosli Mat Hassan sama kerana mereka memecat dan hendak memecat kerana ‘panas’.

Hassan Ali dan Rosli Mat Hassan walaupun tidak menguar-uarkan telah bertindak ‘memecat’. Hassan Ali sudah memecat dua pemimpin kanan PAS Selangor masing-masing sebagai Timbalan Pesuruhjaya dan Ketua Penerangan, manakala Rosli Mat Hassan telah pun memecat dua ADUN dalam Bahagian Dungun sebagai Pengerusi Penyelaras DUN masing-masing.

Yang tidak sama dan tidak serupa ialah Hassan Ali dan Rosli Mat Hassan telah pun menunaikan kepanasan masing-masing, manakala Ahmad Said yang pada mulanya nampak begitu kepanasan, masih belum mengotakan janjinya.

Jumaat, November 21, 2008

YANG BERJANGKIT : UMNO, RADIO & WANG DUIT PITIS

Berita Harian semalam (20 November) menyiarkan berita Badan Disiplin UMNO yang sedang ‘secara serius’ menyiasat dakwaan (dakwaan???) berlakunya politik wang @ duit @ pitis @ rasuah politik (kepartian UMNO) yang melibatkan dua jawatan tertinggi UMNO – Timbalan dan Naib Presiden.

Sama ada berlaku atau memang berlaku atau sah berlaku (katakan TIDAK kepada ‘tidak berlaku’), kita boleh membaca, menilai dan mentafsirkannya sendiri melalui banyak kenyataan, dakwaan, laporan, aduan dan yang penting terlalu banyak dapat kita temui dibicarakan secara telus dengan fakta dan bukti-bukti yang hidup di dalam blog-blog yang bertaburan berhubung dengan fenomena rasuah politik ini.

Justeru sekiranya saya menambahkan lagi cerita hal rasuah politik dan politik kepartian UMNO yang sudah semakin ‘merudum’ kesensasiannya ini (menjadi tidak begitu sensasi lagi kerana sudah terlalu banyak diperkatakan), perkara ini bukan lagi menjadi keutamaan untuk dibaca, cuma mungkin menjadi bahan bersejarah yang tiada nilai sejarahnya lagi, kemudian dilambakkan di setor barang buangan, walaupun saban waktu cerita berhubung dengan ‘membahagikan harta rampasan’ ini singgah ke telinga saya.

Contohnya seorang calon Timbalan Presiden yang dalam berita dan akhbar yang sama dengan selamba menyatakan “beliau tidak mempunyai sebarang masalah” untuk memberi kerjasama bagi tujuan disiasat, sedangkan sepanjang proses pencalonan, beliau sanggup ‘melabur’ melalui agen-agennya di seluruh negara sehingga RM50-RM100 ribu bagi satu bahagian hanya semata-mata untuk mendapatkan satu pencalonan.

Demikian juga dengan calon Ketua Pemuda, malah lebih daripada jumlah yang disebut untuk memastikan mereka mendapat satu pencalonan daripada Bahagian. Itu belum diambil kisah yang dialami dan diakui sendiri oleh kawan saya. Katanya beliau berhabisan hampir RM100 ribu sehingga membolehkan beliau menang AJK Bahagian dan G7. Itu baru AJK Bahagian, belum diambilkira jawatan yang lebih tinggi.

Demikian juga khabar yang diterima apabila dua orang calon Naib Presiden bertaraf Menteri yang baru sahaja selesai ‘lawatan kerja sambil menderma’ ke Sabah, sempat berjumpa dengan perwakilan dari Sabah dan melabur RM300 dan RM500 setiap seorang, sedangkan salah seorang Menteri yang dikatakan menyumbang RM300/seorang perwakilan itu merupakan antara Menteri yang dikenali dengan tabie ‘tahi hidung masin’ dan tidak bermain dengan wang dalam pemilihan-pemilihan sebelumnya.

Mungkin Menteri ini meletakkan tugas menyemarakkan roh, semangat, kecintaan dan perjuangan UMNO kepada orang-orang Sabah yang masih cetek daripada segalanya itu tidak menjadi agenda penting beliau. Yang penting baginya, beliau sudah berjaya menyedarkan dirinya bahawa penerimaan orang Sabah terhadap UMNO ialah “UMNO itu projek dan projek itu UMNO”.

Begitulah banyaknya cerita berkaitan dengan perkara ini kalau hendak diceritakan. Cuma kali ini kita cuba mengalihkan sedikit perbincangan terbuka terhadap gejala ini di luar kotak politik kepartian sempena pemilihan UMNO, tetapi masih mempunyai hubungan dengan rasuah politik atau politik wang @ duit @ pitis ini dan UMNO itu sendiri.

Yang saya maksudkan ialah berlakunya politik wang @ duit @ pitis atau rasuah politik dalam radio. Jelasnya politik wang juga menular dalam politik radio. Kurang jelasnya, sama ada rasuah politik radio ini menular dan berjangkit daripada rasuah politik UMNO atau sebaliknya atau jangkitan itu kerana dasar politik radio oleh politik UMNO, kita fikirkanlah bersama.

Saya hanya mendengar radio ketika memandu. Stesyen yang saya ikuti tidak tetap, maksudnya tidak menentu berdasarkan kesesuaian lagu yang diputarkan (sekarang diklikkan sahaja) atau kesesuaian segmen / siaran pada waktu-waktu saya sedang ikuti itu. Kerana itu, saya boleh mendengar sendiri bagaimana sambutan pendengar dan apa kaedah dan cara stesyen-stesyen radio berkenaan gunakan untuk memikat pendengar mengikuti siaran stesyen radio mereka.

Tidak dinafikan, faktor utama yang dititikberatkan oleh kebanyakan stesyen radio ialah penyampai atau mudahnya disebut Deejay mereka. Mereka menyediakan khidmat Deejay yang muda-muda, glamour, personaliti tersohor dan pelbagai kriteria lainnya, bersesuaian dengan sasaran pendengar, waktu siaran dan seumpamanya.

Jadi apa hubungannya dengan rasuah politik?

Seperti yang saya sebutkan, saya kurang pasti siapa mengikut siapa atau siapa terpengaruh dengan siapa antara politik UMNO dan politik radio ini. Yang pasti, rasuah politik radio nampaknya lebih dahsyat dan lebih serius daripada rasuah politik UMNO. Radio medium penyiaran yang boleh menarik sehingga jutaan orang mendengar dan memahami apa yang diudarakan walaupun si pendengar itu buta huruf. Berbeza dengan medium penyiaran massa dan IT (surat khabar, majalah, laman web, blog dan yang sewaktu dengannya) yang setidak-tidaknya memerlukan orang yang tahu membaca dan tidak buta IT. Kerana itu, sesuatu yang disebut melalui radio akan mudah diterima, difahami dan diikuti.

Dalam situasi stesyen radio yang bercambah dan masing-masing berlumba-lumba untuk menarik pendengar, pelbagai strategi, tektik, teknik, cara dan pendekatan digunakan. Tujuannya hanya satu, lebih banyak pendengar akan lebih banyaklah syarikat-syarikat berani melabur melalui iklan dan untunglah stesyen radio berkenaan. Itu saja.

Persoalannya bagaimana strategi, tektik, teknik, cara dan pendekatan itu? Dalam memastikan segala inilah berlakunya politik wang @ rasuah politik.

Cuba kita ikuti sebuah stesyen radio yang dipunyai oleh syarikat yang juga mempunyai stesyen TV swasta pertama negara. Boleh dikatakan bagi setiap segmennya bermula 6 pagi sehingga 6 pagi berikutnya, wajib melibatkan rasuah politik (‘dikatakan’- justeru saya tidak mengikuti siarannya selama 24 jam - yang pasti sepanjang segmen yang saya ikuti ada pertaruhan dan ganjaran @ rasuah politik radionya).

Bayangkanlah hanya sekadar menjadi pemanggil bilangan yang ke sekian sekiannya, atau meneka satu dua lagu atau memberi cogan kata dengan tepat atau memberi kata laluan dengan betul sahaja, pendengar sudah berjaya memenangi sejumlah wang yang disediakan. Dan kalau tidak berjaya dimenangi oleh pendengar yang kurang bernasib baik itu, wang rasuah itu akan dikumpulkan sehingga mencecah ribuan ringgit dan wajib diberikan walaupun sehingga kepada pemanggil / segmen ke-100.

Kebiasaannya ‘hadiah’ berupa wang tunai itu disediakan oleh penaja. Maka berulang-ulanglah motto, tagline atau cogan kata syarikat penaja dilaung-laungkan oleh Deejay yang bertugas.

Bagi mereka (stesyen radio) besarnya jumlah wang yang ditawarkan akan menjanjikan besarnya pengaruh stesyen radio mereka kepada pendengar. Inilah ‘perebutan’ kuasa dan pengaruh dalam politik radio - menggunakan wang sebagai hadiah sekali gus menggalakkan rasuah politik radio dan perjudian serta pertaruhan.

Kadang-kadang saya juga terfikir kenapa galakan kepada politik wang ini menjadi begitu dominan dalam menarik pendengar radio, sama seperti dominannya wang bagi mendapatkan pengaruh, pencalonan dan kuasa dalam politik kepartian UMNO. Perlu sangatkah wang atau memang manusia ini begitu mudah dipengaruhi kerana wang? Jawapannya memang ya. Kerana wang adalah kuasa adalah pangkat adalah darjat adalah segala-galanya. Pertukaran dengan bukan berbentuk wang mungkin menjejaskan minda dan pemikiran rakyat sehingga pemikiran mereka menjadi lebih terbuka dan sudah pasti akan menyanggah Menteri atau pemimpin atasan yang sudah selesa duduknya.

Contoh yang ketara, sebuah syarikat akhbar perdana yang menaja satu segmen dalam stesyen radio yang saya maksudkan di atas. Hanya dengan menjawab lima soalan mudah dan bodoh sahaja, pendengar sudah berjaya memenangi wang sejumlah RM500 (maknannya satu soalah mudah dan bodoh nilainya RM100). Dan kalau tak dimenangi wang akan dikumpulkan untuk segmen yang sama pada jam berikutnya. Akan bertambah bertambah dan bertambah hanya dengan lima soalan mudah dan bodoh.

Apa salahnya untuk menggalakkan pendengar @ rakyat membaca, mendalami dan melebarkan pengetahuan, hadiah wang tunai itu ditukar dengan langganan akhbar @ majalah @ sebarang penerbitan syarikat berkenaan selama tempoh yang boleh ditentukan sama nilainya dengan jumlah tunai itu. Pembacaan akan menambah ilmu dan pengetahuan dengan lebih luas. Minda tidak jumud. Pemikiran tidak kontot. Tetapi mungkin juga syarikat penaja berkenaan pemikirannya sama seperti saya yakni menganggap pendengar radio semuanya adalah buta huruf dan tidak tahu membaca.

Mungkin itu tanggapan stesyen radio atau mungkin itulah dasar yang ditetapkan kerajaan yang mewajibkan mereka mengikutinya. Kerana yang pasti kebanyakan stesyen radio yang sempat saya ikuti, termasuklah stesyen yang dipunyai oleh kerajaan, turut mengamalkan rasuah politik radio ini.

Perlakuan ini (menawarkan wang dan memenanginya) dibuat secara cukup terbuka, telus dan tersebar tanpa terselindung sedikit pun. Yang berlaku dalam politik kepartian UMNO adalah ‘ajaran’ tidak langsung kepada merebak dan berjangkitnya rasuah politik kepada radio dan banyak lagi agensi lainnya. Apakah ini dasar yang disengajakan atau dasar tersirat dan terselindung yang dihalalkan, itu kena tanya pemimpin-pemimpin UMNO yang sudah 51 tahun memperkenalkan dan mengamalkan pelbagai dasar untuk agensi di bawah kawalan mereka.

Persoalan yang perlu difatwakan : apakah rasuah politik @ politik wang @ duit @ pitis itu sama sifat dan hukumnya seperti dosa besar JUDI dan BERTENUNG NASIB?

Sekadar itu, insya-Allah mungkin lain kali kita boleh berkongsi idea berkaitan dengan ‘fulus mania’ yang disiarkan melalui saluran TV pula. Mungkin itu juga adalah rasuah politik untuk menarik penonton. Rasuah politik TV.

Selasa, November 18, 2008

YANG TERPECAT & TERENCAT

Sindrom pecat memecat dalam UMNO terus mekar dan segar. Di arena nasional beberapa bloger meramalkan kemungkinan terpecatnya Muhyiddin Yassin daripada jawatan menterinya kerana dianggap sebagai “trouble maker” (pencetus masalah). Di gelanggang tempatan (Terengganu kite), isu pemecatan Exco masih menjadi tanda tanya dan belum bernoktah.

Di pentas lagi kecil (bahagian) dalam Terengganu kite, ada cerita trouble maker vs trouble ‘blake’ (masalah belaka).

Dua orang trouble maker telah terpecat daripada jawatan Pengerusi Penyelaras DUN, walaupun mereka ini terdahulu adalah pengerusi penyelaras DUN masing-masing dan masih lagi menjadi ADUN bagi kawasan berkenaan. Perkiraan mana yang dijadikan kayu ukur, wallahuaklam. Yang pasti hak itu (memecat) terletak di tangan Ketua Bahagian.

YB Zakaria (ADUN Paka) dan YB Dato’ Din Adam (ADUN Bukit Besi) adalah dua individu yang dianggap sebagai pencetus masalah dalam UMNO Bahagian Dungun kerana mereka bersekongkol menentang Ketua Bahagian pada pemilihan bahagian baru lalu. Itulah hukumannya. Padan muka.

Maka kedua mereka pun ‘terpecatlah’…

Alakian, sumber yang rapat dengan UMNO Bahagian Dungun turut mengesahkan bahawa YB Matulidi Jusoh (Ahli Parlimen Dungun/Naib Ketua Bahagian) telah dilantik menjadi Pengerusi Penyelaras bagi kedua-dua DUN berkenaan. YB Matulidi pada pemilihan bahagian lalu telah bermain acilop dan kluk klek, sebab itu beliau selamat. Makan cari boss... Politik acilop samalah macam ikan celup tepung. Seburuk mana ikan di dalamnya dapat diselindung dengan tepung yang disalut dan digoreng.. eemmm sedapnya sehingga menjilat jari.

Alkisah, bagi mengenang jasa dan budi yang sudah pasti tidak sedikit, Ketua UMNO Bahagian Dungun merangkap Setiausaha UMNO negeri merangkak (jangan betulkan ejaan anda) Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan, Dato’ (Dr Jepun) HAJI Rosli bin Mat Hassan atau nama manjanya Pak Li, telah melantik pegawai UMNO bahagian di kalangan orang-orang yang dianggap ‘trouble blake’.

1) Setiausaha UMNO Bahagian (muflis @ bangkrap trouble) – telah disahkan muflis. Pengesahan muflis didedahkan semasa persidangan peringkat cawangan, sebab itu beliau tidak dapat bertanding AJK Bahagian. Semasa muflis, masih jadi pegawai kerajaan - Ketua JASA Parlimen Dungun.

2) Bendahari UMNO Bahagian (eeemmm listening trouble) – tak kesahlah tu masalah peribadi, seorang kontraktor dan Ketua cawangan. Orang lama dalam UMNO Bahagian Dungun. Pernah jadi Bendahari Pemuda zaman YB Zakaria jadi Ketua Pemuda. Pada ketika itu, beliau ini menjadi antara orang yang kuat menentang Pak Li. Kategori mini troublelah kiranya.

3) Ketua Penerangan UMNO Bahagian – (pecat lantik pecat lantik trouble). Pernah dilantik dan dipecat sebagai Ketua Penerangan oleh Pak Li, kemudian dipecat kemudian dilantik lagi, kemudian dipecat dan lantik lagi. Jangan peliklah nanti akan dipecat lagi dan kemudian dilantik lagi. No hal trouble lah dia ni.

Yang pasti mereka nin (termasuk YB Matulidi) tergolong dalam kategori orang-orang yang ‘terencat’ dan “troublers” (sekali lagi, jangan betulkan ejaan anda) dan Pak Li telah memainkan peranan serta haknya dengan bijaksana sekali, kerana ini bukan sekali dua Pak Li memecat orang. Demikian juga dengan melantik orang bermasalah, bukan pertama kali. Memang perkara memecat dan melantik orang bermasalah sebegini telah menjadi semacam kemestian dan tradisi Pak Li yang telah dibawa sejak dulu-dulu lagi.

Ahad, November 16, 2008

YANG BERBELIT & PUTAR ALAM (Siri 4)

Berikut adalah kenyataan pegawai kanan UMNO yang memang kerja mereka adalah ‘menerangkan’ yang kurang terang kepada ahli UMNO dan rakyat. Tugas mereka tak lah susah sangat, cuma menerangkan yang kurang terang, menjelaskan yang kurang jelas, memaklumkan yang kurang maklum. Tiga berita yang dipetik dari sumber yang sama (Sinar Harian) di bawah ini bagaimanapun ‘terang, jelas dan sedia maklum’ berbelit-belit dan putar alam.

Berita 1 (Datuk Zubir Embong, Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu) :
UMNO Terengganu semalam menafikan desas-desus bahawa parti itu sekarang sedang berdepan dengan pergolakan dan mengalami perpecahan antara pemimpin serta anggota parti itu sendiri. Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai khabar angin semata-mata, Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zubir Embong berkata, UMNO negeri ini tetap teguh dan hubungan antara pemimpin baik. Menurut Zubir, dakwaan tidak berasas itu adalah salah satu usaha musuh Barisan Nasional (BN) mengelirukan penyokong dan anggota UMNO selain cuba mengaut keuntungan daripada ketidakharmonian parti akibat fitnah tersebut.

Berita 2 (Haji Razali Idris, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu/Naib Ketua UMNO Bahagian Marang) :
“Sepatutnya dia (Abdul Rahman Bakar) kena redha dengan kekalahan, dia tidak diterima oleh akar umbi. Kalau kita pemimpin yang hebat dan tidak boleh hendak terima hakikat sebenar maka lebih baik dia keluar parti”.

Dia memang cukup hebat sehingga dipanggil ‘giant killer’ dan angkuh dengan gelaran itu tetapi sebenarnya yang melahirkan ‘giant killer’ itu ialah anggota UMNO Bahagian Marang. Tindakan beliau itu adalah tidak profesional, berunsur pembohongan sebab dia bekerja keras untuk menang.

Berita 3 (YB Senator Dato' Abdul Rahman Bakar, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Marang / Bekas Ketua UMNO Bahagian Marang) :
Menurut Abdul Rahman, paling mengejutkan apabila Razali dilihat angkuh dan sombong serta bersikap kurang ajar apabila memintanya keluar dari parti jika tidak dapat menerima hakikat yang beliau tidak diterima akar umbi.

“Saya bukannya ingin menghentam dia (Razali), tapi hanya mempertahankan diri saya kerana mungkin dia mempunyai agenda lain sehingga menuduh saya sebegitu. Nasihat saya jangan terlalu emosi dan membuat tuduhan ‘nakal’ yang boleh menjatuhkan dan menghukum orang lain tanpa sebab”.

(p/s : Yang terang lagi bersuluh, yang jelas lagi berkanta, yang maklum lagi bingung).

Jumaat, November 14, 2008

YANG KIRIM SMS, MENGUGUT, MEMAKI HAMUN & MENCARUT

Saya menulis bersandarkan prinsip “berkata benarlah walaupun pahit". Dan mungkin kerana kepahitan yang dirasai daripada kebenaran itulah yang menyebabkan saya menerima panggilan dan sistem pesanan ringkas (sms) daripada orang-orang tertentu.

Kesnya bermula mungkin kerana tulisan saya (baca di sini) yang turut dipetik oleh Zabidi Saidi (Editor Watan) daripada blog peribadi saya dan kemudian disiarkan dalam Mingguan Watan terbitan 9 – 15 November 2008.

12 November, pukul 10.39 malam, saya menerima sms yang berbunyi “Lan pendek kata Zabidi patut ditembak tengah padang bersetongkol dgn kaki jahat pembangkang mubin”.

Saya hubungi Roslan Abdul Rahman (yang disebut Lan pendek dalam sms tu) Pemangku Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) yang juga bekas Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Nerus (sekarang beliau dah jadi AJK Bahagian yang menang bertanding). Roslan sambil bersumpah "wallahi, wabillahi, watallahi" berserta kalimah "demi Allah" menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia ada berkata begitu. Kata Roslan, memang dia ada baca tulisan yang dimaksudkan dalam Watan yang ditunjukkan kepadanya, tetapi dia tidak pernah berkata sedemikian.

Lalu saya memaklumkan hal ini kepada Zabidi Saidi dan Zabidi ada menyebut seorang individu lain (tidak perlu disebut nama penuhnya di sini kerana saya sendiri tidak mengenalinya, cukup sekadar disebut sebagai Hj K sahaja). Kata Zabidi, Hj K yang memaklumkan perkara itu kepadanya. Sehingga hari ini saya tidak tahu sama ada Zabidi sudah selesaikan atau belum perkara ini dengan Hj K dan Roslan, kerana saya minta Zabidi untuk selesaikannya memandangkan perkara ini dimaklumkan kepada beliau (Zabidi) oleh Hj K yang turut melibatkan Roslan dan saya.

13 November, kurang lebih pukul 7.50 malam, saya menerima satu panggilan daripada nombor yang tiada dalam rekod telefon saya. Nombornya menggunakan talian DiGi prepaid 016. Pemanggil tanpa memperkenalkan diri bertanya “siapa ni?” Saya membalas dengan juga soalan “hendak bercakap dengan siapa?”. Pemanggil bertanya lagi apakah saya tuan punya nombor telefon yang didailnya (nombor telefon saya). Saya menjawab ya.

Pemanggil kemudian bertanya saya sama ada boleh berjumpa atau tidak. Saya katakan “Boleh, tak ada masalah. Tapi siapa nin?”

Tak perlu tahu siapa, jumpa nanti baru tahu”, jawab pemanggil berkenaan.
“Macam mana nak jumpa kalau saya tak tahu siapa-siapa, saya nak cari di mana dan untuk apa?” kata saya lagi.

“Kalau tak boleh jumpa, tak apalah”. Lalu pemanggil telefon berkenaan memutuskan percakapannya dengan saya.

Kira-kira tiga minit kemudian (pukul 7.53 malam) saya menerima sms daripada nombor sama yang baru menelefon saya sekejap tadi. Bunyi smsnya :

“Mu ada mana? mu wartawan jenis menatang mu. Aku nk jupe gok mu skali” (dialek Terengganu. Terjemahannya : Awak ada di mana? Awak ni wartawan jenis binatang. Aku nak berjumpa juga dengan awak sekali).

Sudah berbau ugutan dan saya langsung terfikir, kalau disebut ‘wartawan’, mungkin lanjutan daripada tulisan saya dalam Watan itulah.

Kami berbalas-balas sms. Sms daripada pengirim ini diselangseli dengan hampir 100 peratus kata-kata nista, memaki hamun, mengugut, mencarut, kata-kata kesat dan emosional. Saya menerima dan membaca kemudiannya membalas dengan penuh gurauan. Saya tidak mengikut rentaknya yang penuh perasaan itu, sebaliknya hampir seluruh balasan sms daripada saya, saya masukkan ketawa yang saya pinjam ketawa Tukar Tiub (saya suka dengan cara ketawa Tukar Tiub walaupun terdahulu saya juga pernah gunakan ketawa yang sama tetapi dieja Kah3... gitu aje).

Keseluruhannya ada enam atau tujuh kali kami berbalas sms. Saya tidak akan menyiarkan di sini apa kandungan sms terutama kandungan sms pengirim berkenaan. Cuma yang saya boleh katakan, smsnya dipenuhi dengan ugutan, maki hamun, mencarut dan kata-kata kesat yang tak layak untuk disiarkan untuk bacaan umum. Bayangkan bagaimana sikap dan pemikiran si pengirim sms itu kalau perkataan-perkataan ini digunakan (sebahagian sahaja kerana sebahagian lagi tak layak disiarkan) : anak babi, menatang, menatang babi, celaka, dayus, kurang ajar, bangang, tadok batu, mampus deras, kepala bapak, jaga mun, aku sumpah demi Allah mun masuk neraka jahanam, mapus mun sekeluarga, aku akan cari mun sampai ke …… , aku boleh main ikut belakang (pintu belakang? Ada orang berpengaruh di belakangnya?) dan sebagainya (untuk makluman, ada perkataan-perkataan ini digunakan lebih daripada sekali).

Saya akhiri membalas smsnya dengan “kah kah kah… terima kasih sahabat, assalamualaikum” dan saya tidak menerima balasannya lagi. Dapat disahkan bahawa pemanggil/pengirim sms adalah orang yang sama dan berketurunan Melayu (Islam?).

Persoalannya apa yang menyebabkan pengirim sms tu terlalu marahkan saya. Kalau nak diikutkan, tulisan saya tu tidaklah terlalu kasar dan totok sangat menghentam orang-orang tertentu (terutamanya Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said). Tapi itulah sebenarnya penerimaan banyak orang. Saya tidak mahu menuduh atau membuat andaian berkaitan adanya upahan, marah kerana berkepentingan atau sebagainya.

Yang saya hendak sebutkan hanyalah, sudah lebih 1000 kali kebaikan ditulis berkaitan dengan UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO, khususnya pemimpin dan UMNO Terengganu. Saya juga orang UMNO. Sudah lebih 25 tahun saya jadi ahli UMNO. Macam-macam tulisan sudah saya tulis berkaitan UMNO dan pemimpin-pemimpinnya. Dalam konteks sekarang pun, sudah terlalu banyak saya memuji Ahmad Said dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain. Sudah terlalu banyak kita seimbangkan pemberitaannya.

Namun yang peliknya, tidak ada sepatah pun ucapan terima kasih atau pujian atau kejian hasil daripada tulisan yang memuji dan memihak itu. Saya (atau akhbar Watan contohnya dalam kes ini) bukan mengharapkan sangat atau menagih pujian dan ucapan begitu. Tetapi hanya dengan sekali sahaja kita menulis yang agak sinis (hanya sinis, tak sampai ke tahap buruk sangat pun – sila rujuk balik tulisan tu), kita sudah melatah, sudah melenting dan macam-macam tuduhan buruk dilemparkan kepada wartawan. Itulah nasib wartawan.

Kita kena tengok apa tujuan kita menulis sesuatu rencana/berita. Apakah kita sedar kesilapan dan kesalahan kita sebelum membaca apa yang telah ditulis? Sejauh mana kita bersedia berubah kalau benar apa yang ditulis itu di luar kesedaran kita? Ada sesiapa yang pernah menegur kita sehingga kita terlalut dan membuat keputusan di luar peraturan. Tidak pernah terfikirkah bahawa tulisan juga adalah untuk membantu kita membaiki kelemahan dan kesalahan yang mungkin kita terlepas cakap, tersalah bicara, terlajak kata? Tidak pernah terlintas ke walau sekelumit rasa bahawa tulisan juga adalah untuk membantu kita dan kerana orang sayangkan kita, takut-takut kita semakin hanyut dan lupa daratan? Tulisan juga adalah penasihat, bukan orang sahaja yang boleh jadi penasihat. Berfikirlah secara positif dan jangan hanya mendapat nasihat daripada orang-orang yang berkepentingan sahaja.

Rasionalkan diri sikit. Jangan kita membaca satu dua akhbar sahaja. Jangan kita membaca akhbar yang pro kerajaan dan pro kita sahaja. Apabila kita hanya tertumpu kepada satu dua akhbar saja, inilah padahnya. Pemikiran kita menjadi jumud, terbatas dan apabila sahaja kita membaca yang tidak menguntungkan kita, kita segera menjadi tidak rasional. Perlakuan kita terbabas di luar batas kesopanan sebagai seorang Islam dan di luar batas kesantunan dan kesusilaan sebagai seorang Melayu. Banyakkan membaca. Tidak rugi kalau kita banyak membaca.

Bacalah surat khabar atau rajin-rajinlah membuka laman web dan blog yang jumlahnya sampai ratusan ribu itu. Ada yang pro kerajaan, pro pembangkang, yang liberal dan yang menyokong individu-individu tertentu. Kalau yang bukan pro UMNO/Kerajaan BN, seribu kali lebih teruk mereka menghentam pemimpin-pemimpin dan UMNO, termasuk pemimpin dan UMNO Terengganu. Kalau yang menyokong individu-individu tertentu, seribu kali lebih dahsyat kutukannya walaupun yang dipujapuji dan dihentamkutuk itu datangnya daripada parti yang sama. Baik PAS, DAP, MCA, MIC, PKR, UMNO atau parti apa-apa sekali pun. Kadang-kadang lebih dahsyat kutukannya antara sesama parti daripada mengutuk pihak lawan atau berlainan parti. Ambillah contoh yang berlaku dalam UMNO sekarang. Di seluruh negara, bukan sahaja pemimpin tertinggi di peringkat pusat, malah di peringkat cawangan pun berlaku buruk memburuk. Selongkarlah blog/web yang pelbagai anutan, ideologi, kecenderungan dan ketaksuban. Itulah contoh terbaik yang boleh kita jadikan panduan.

Kalau pun kita membaca satu dua akhbar yang pro kerajaan dan menghentam teruk pemimpin dan parti lawan. Apa yang kita rasa? Seronok? Suka? Padan muka? Patut dah begitu? Memang betul begitu? Pemimpin itu tak guna, pemimpin ini tak guna? Memang Anwar kaki liwat.. Memang Haji Hadi dan Nik Aziz putar belit Islam. Pakai serban je besar, perut busuk, kaki kelentong. Memang Kit Siang anti-Melayu. Samy Vellu gila kuasa? Sokong Hindraf? Memang Karpal Singh anti-Islam. Berapa banyak kita ucapkan terima kasih kepada wartawan yang menulis begitu? Berapa banyak yang kita upah wartawan yang mengutuk orang yang kita tidak suka itu? Atau ada kita marah, memaki hamun, mencarut dan menghantar sms mengugut mereka kerana tulis keburukan yang maha teruk kepada pemimpin-pemimpin itu.

Marahkah kita dan memaki hamunkah kita kepada wartawan yang memburukkan Dato’ Idris Jusoh? Memaki hamunkah kita kepada wartawan yang memburukkan Dato’ Rosol Wahid? Memaki hamunkah kita kepada wartawan yang memburukkan Dr Mahathir dan Pak Lah? Memaki hamunkah kita kepada wartawan yang memburukkan dan menuduh Dato’ Najib? Memaki hamunkah kita kepada Dr Mahathir yang tidak serik-serik menghentam Pak Lah sehingga Pak Lah terpaksa turun takhta?

Kerana kita taksub dan mempunyai banyak kepentinganlah, maka kita menjadi pembela dan penyokong yang membabibuta dan hilang maruah diri. Kerana kita takut dengan bayang-bayanglah, maka kita menjadi pengikut yang liar bertindak tanpa kesantunan, kesopanan dan kesusilaan. Kerana kita totoklah, kita menjadi orang yang tidak bermoral dan hilang akal. Kita bertindak di luar kawalan sebagai seorang Islam berbangsa Melayu. Jangan sampai orang luar menambahkan label kejelikan UMNO dek kerana tingkah laku kita yang kebudak-budakan ini.

Inilah manusia, tidak mudah untuk menerima kelemahan dan kekurangan diri. Tidak boleh menerima kritikan dan teguran. Tidak matang berpolitik. Masih beranggapan diri kita seratus peratus sempurna dan tiada cacat celanya, walaupun kesalahan dan kesilapan kita itu sudah disaksikan oleh sejagat raya manusia di seluruh dunia. Jadilah orang yang pandai bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang ada. Atau kalau kita masih lagi tidak dapat merasionalkan diri dan masih tidak boleh menerima teguran/kutukan, baiknya kita baca sahaja media (akhbar/web/blog dsbnya) yang hanya memihak kepada kita. Jangan baca surat khabar atau web atau blog pro pembangkang dan liberal yang menghentam kita atau tidak memihak kepada kita, termasuklah juga akhbar Watan, kerana Watan adalah surat khabar liberal dan berkecuali yang tidak memihak kepada sesiapa. Ada kalanya menyokong dan ada kalanya mengkritik, tidak kira kerajaan atau pembangkang. Dengan itu, barulah kita akan aman dan tidak akan merasa 'sakit hati'.

Saya langsung tidak kesah dengan ugutan, caci maki, celaan, carutan begitu kerana saya sudah lali dengan situasi begitu. Saya hanya ingin merakamkan jutaan terima kasih sahaja. Saya pernah mengalami situasi yang lebih teruk daripada ini. Saya sudah lama menghadapi perkara seperti ini, sudah lebih dua puluh tahun. Saya sudah ‘kalih’ naik turun mahkamah kerana menulis dan tulisan. Saya pernah diperintah mengadap ke istana semasa hayat al-Marhum Sultan Terengganu kira-kira dua puluh tahun lalu, juga kerana tulisan saya. Saya pernah diperintah bersemuka dengan Menteri Besar (TS Wan Mokhtar Ahmad) kerana tulisan.

Saya pernah dipanggil oleh Ketua Polis negeri juga kerana tulisan. Saya pernah diugut bunuh oleh ‘gengstar’ juga kerana tulisan. Ketika pemilihan UMNO yang menyaksikan pertembungan jawatan Presiden UMNO tahun 1987 antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah, seorang Timbalan Menteri pernah menyaman saya dan akhbar Watan (kepunyaan penerbit ketika itu, bukan Watan sekarang) juga kerana tulisan. Rekod dan segala maklumat yang berkaitan dengan kes-kes tu masih ada saya simpan sebaiknya.

Namun saya bersyukur kerana dengan prinsip “berkata benarlah walaupun pahit” dan bukti-bukti yang sahih tentang apa yang ditulis, baginda Sultan tidak memurkai saya. Saya dinasihati, langsung tiada kemurkaan atau bertitah kasar dengan saya. Itulah ciri-ciri yang dituntut oleh Islam. Ciri-ciri yang amat sebati dengan jiwa dan roh keMelayuan. Ciri-ciri berdaulatnya seorang Sultan.

TS Wan Mokhtar juga tidak memarahi saya dan beliau sendiri mengakui kesilapannya kerana salah tanggapan terhadap saya menyebabkan beliau seakan-akan ‘berdendam’ dengan saya (tetapi setahun kemudian beliau sedar, kesilapannya berdendam dengan saya). Ketua Polis juga hanya menasihati agar ‘pandang-pandanglah’ ketika menulis, dan mengakui bahawa saya dipanggil kerana melaksanakan tugas yang diarahkan.

“Gengstar’ yang mengugut saya sempat juga 'beristirehat' di Penjara Kajang, tetapi tidaklah lama, hanya lima tahun sahaja. Timbalan Menteri yang menyaman saya juga menarik balik samannya sebelum dibicarakan dan selepas itu beliau tidak lagi menjadi Timbalan Menteri.

Untuk kes terbaru ini, saya boleh agak siapa orang/pengirim sms ini dan siapa orang-orang di belakang orang ini. Mungkin agakan saya ini betul atau mungkin juga salah. Yang jelas ‘orang dan orang-orang’ ini, saya namakan sebagai suspek. Tetapi itu semua tidak penting. Yang juga tidak penting, sekadar makluman saja ialah segala maklumat sms, nombor-nombor telefon, nama-nama individu yang ‘disyaki’, nama-nama individu yang melalui proses penghantaran sms dan pemaklum (termasuk Zabidi Saidi, Roslan Abdul Rahman dan beberapa orang lagi) sudah berada dalam rekod Jabatan Siasatan Jenayah. Setakat ini maklumat berkenaan hanya sebagai rekod sahaja, bukan untuk diambil apa-apa tindakan susulan. Maaf, ini bukan ugutan atau untuk menakut-nakutkan sesiapa, cuma sekadar untuk memaklumkan sahaja.

Itulah adat dunia. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Rabu, November 12, 2008

YANG CAP AYAM : KOKOK BERDERAI, EKOR BERSALUT TAHI

Seorang teman menghantar SMS petang tadi :

> BERITA TERKINI : Mesyuarat Exco hari ini dok bincang pun isu pemecatan dan rombokan exco. Alasan MB sampai masa akan dimaklumkan… itu saja jawapan diberikan.. [drp : sumber rasmi]. Dok beranilah tu… dokleh nak keneng dah ke… cakap jer… tqvm. Drp: xxxxx <

Ini adalah contoh berita cap ayam. Ayam memang hebat sebab itu hal-hal yang berkaitan dengan ayam banyak diibaratkan dan dianalogikan. Sebahagiannya dijadikan pepatah pepatih dan peribahasa Melayu. Contohnya :

- Jangan diikut resmi ayam, bertelor sebiji riuh sekampung
- Kokok berderai-derai, ekor bergelumang dengan tahi.
- ayam terlepas, tangan bau tahi

Itulah hebatnya “ayam” dan hebatnya peribahasa Melayu. Sebab itu timbulnya “cap ayam’.

Yang masih menjadi persoalan : berita tersebut atau isi berita tersebut yang cap ayam?

YANG BERBELIT & PUTAR ALAM (Siri 3)

UMNO Terengganu menafikan desas-desus bahawa parti itu sekarang sedang berdepan dengan pergolakan dan mengalami perpecahan antara pemimpin serta anggota parti itu sendiri. Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai khabar angin semata-mata, Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zubir Embong berkata, UMNO negeri ini tetap teguh dan hubungan antara pemimpin baik. Menurut Zubir, dakwaan tidak berasas itu adalah salah satu usaha musuh Barisan Nasional (BN) mengelirukan penyokong dan anggota UMNO selain cuba mengaut keuntungan daripada ketidakharmonian parti akibat fitnah tersebut.

Kata kunci :
(1) menafikan parti sedang bergolak dan alami perpecahan
(2) khabar angin semata-mata
(3) hubungan antara pemimpin baik
(4) usaha musuh BN mengelirukan penyokong dan anggota UMNO
(5) mengaut keuntungan daripada ketidakharmonian parti

Kenyataan yang berbelit-belit dan putar alam. Zubir mengeluarkan kenyataan dan bercakap kepada orang Bangladesh, Myanmar, India dan China yang tak faham cakap Melayu tapi bekerja di Malaysia, terutamanya di Terengganu.

Mohon Zubir jangan bercakap dari atas angin dan hendaknya jengoklah realiti. Zubir tidak tidur macam Pak Lah, tapi Zubir bermimpi macam mat jenin. Minta Zubir baca dengan teliti (dengan penghayatan bahasa Malayu yang baik) beberapa kata kunci yang dicatatkan di atas. Ada percanggahan? Ada kebodohan? Ada ketongongan? Tak ada kera masakan pokok bergoyang?

Satu sahaja yang nak tunjukkan jalan mentafsir kata kunci di atas : Zubir mengaut keuntungan daripada ketidakharmonian parti dengan mengaitkan musuh yang langsung tak ada kena mengena untuk menutup kelemahan dan kesalahan sendiri. Aaaminnnn.

Frasa tambahan : cukuplah memutarbelitkan fakta dan memutaralamkan pemikiran rakyat hanya kerana kita dibenarkan bercakap.

Sebaris ayat daripada Tukar Tiub : “cukuplaaa…. jangan laaa tipu melayu…. dah 50 tahun melayu kena tipu….hentikanlaa projek tipu melayu…. dah banyak melayu jadi bodoh…. kah kah kah”.

Ahad, November 09, 2008

YANG TERLUPA DAN PELUPA

"Walaupun saya mungkin tidak tahan lama, tidak ada seorang pun
yang boleh menafikan saya adalah Menteri Besar ketika ini"

Hari ini (9 November 2008) Kejohanan Kuda Lasak Dunia FEI 2008 (FEI-World Endurance Championship 2008) akan melabuhkan tirai kejohanan. Janji Mat Said Menteri Besar Terengganu, akan ada rombakan kabinet negeri melibatkan beberapa orang Exco Kerajaan negeri yang akan digugurkan dan diganti selepas berakhirnya kejohanan dunia itu. Salah seorang yang sudah comfirm disebut untuk menukar status Exco kepada wakil rakyat kosong ialah Ketua UMNO Bahagian Marang yang baru, YB Yahya Khatib Mohamad.

Rentetan cerita dan kronologi berkaitan dengan ‘pemecatan’ Exco oleh Mat Said ini tidak perlu diulang tayang dan dipanjangkan lantaran isu ini telah mendapat liputan meluas dan mendapat sambutan jauh lebih hangat berbanding kejohanan kuda bertaraf dunia itu. Itulah kehebatan politik manusia berbanding ‘politik kuda’.

Namun menjelang tamatnya kejohanan kuda dunia dan paling mendebarkan menjelangnya pengumuman Mat Said bagi menentukan nasib Yahya dan dua orang yang lain sebagai Exco, telah tersebar cerita kononnya Yahya (dan dua lagi Exco?) tidak akan digugurkan. Sama ada untuk sementara waktu atau untuk waktu-waktu tertentu, itu tidak dapat dipastikan. Yang disebarkan, Yahya dilihat hadir pada Majlis Perasmian FEI-WEC 2008 di Stadium Sultan Mizan pada sebelah malam Rabu lalu, sedangkan mesyuarat mingguan Exco pada paginya, Yahya tidak hadir dan dimaklumkan oleh Mat Said bahawa Yahya kurang sihat.

Difahamkan Yahya hadir pada sebelah malamnya kerana telah dimaklumi yang beliau 'tidak jadi' digugurkan.

Kalau benar cerita yang dihebohkan itu, rupa-rupanya Mat Said yang bermati-matian berkeras untuk meneruskan hasratnya memecat Exco yang keras kepala, masih boleh dilembutkan kengnya. Siapa yang melembutkannya tidak penting. Yang penting untuk dimaklumkan ialah Mat Said adalah Menteri Besar yang pelupa. Beliau lupa bahawa bukan Pak Lah atau UMNO/BN yang mencadangkan beliau ke jawatan MB. Beliau terlupa bahawa beliau pernah berkata, beliau menjadi MB bukan kerana Pak Lah.

Yang penting lagi, Mat Said terlupa perlantikan Exco adalah cadangan daripada beliau untuk mendapat perkenan daripada istana, seperti juga perlantikan beliau sebagai MB yang perlu mendapat perkenan daripada istana. Mat Said sebenarnya lupa kepada istana dan Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri dalam melayani keras kengnya. Mat Said lupa bahawa bagaimana pertembungan wakil rakyat BN dengan pihak istana sehingga ‘teman-teman’ mereka itu dicop sebagai ‘23 Melayu Derhaka’. Mat Said lupa ‘pengorbanan’ dan kesungguhan kumpulan tujuh (G7) dan ‘enam jahanam’ yang menjunjung tinggi keputusan istana melantik beliau sebagai MB.

Kerana Mat Said pelupa itulah yang menyebabkan beliau berkata “saya MB, lantik Exco adalah hak saya”. Kerana Mat Said pelupa jugalah Yahya dapat ‘diselamatkan’ mungkin.

Tetapi itu semua hanya kemungkinan. Sebab kemungkinan itu boleh dipelbagaikan, sesuai dengan namanya kemungkinan. Boleh diandaikan, kemungkinan juga Mat Said tidak berjaya mendapat kesanggupan YB BN untuk menduduki kerusi Exco atau kemungkinan juga Mat Said baru tersedar dari kelupaannya setelah menyaksikan ‘politik kuda’.

Cuma Mat Said mungkin terlupa untuk tidur lena apabila memikirkan hal ‘pecat memecat’ ini tatkala beliau teringat peribahasa Melayu - terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kata mesti dikota, lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Justeru, langsung tidak menghairankan kalau Mat Said benar-benar 'terlupa untuk tidak memecat' Yahya dan mana-mana Exco yang keras kepala. Melayu mudah lupa.

Yang kurik itu kundi yang merah itu saga, yang baik itu budi yang indah itu bahasa.

Jumaat, November 07, 2008

YANG SEDANG TAWAR MENAWAR

Geng "23 Melayu Derhaka". Dua Exco Mat Said yang 'sanggup dibuang daerah kerana derhaka' berada di barisan depan. Melayu UMNO marahnya hanya sekejap, merajuknya hanya sementara.

Berita terkini ASTRE Watsediri (saluran 2200) melaporkan Menteri Besar Terengganu telah menawarkan jawatan Exco kerajaan negeri kepada McCain yang tewas dalam Pilihanraya Presiden AS semalam. Ketua Jurucakap Kanan kepada McCain, Mat Keras Keng dipetik sebagai berkata, calon Presiden yang tewas itu sedang memberi pertimbangan serius berhubung dengan tawaran itu. STOP NEWS.

Begitulah khabar yang didengar dan dimaklumi. Telah ada beberapa orang kepercayaan Mat Said datang berjumpa dengan beberapa ADUN BN/UMNO di beberapa bahagian untuk menawarkan jawatan Exco dalam proses penyusunan semula Exco dan pentadbiran kerajaan pimpinan Mat Said.

Tawaran dan jajaan yang dilakukan ini adalah lanjutan daripada cadangan Mat Said untuk ‘merombak’ (bahasa halus dan lembut menggantikan perkataan ‘memecat’. Perkataan ‘pecat’ disifatkan oleh sesetengah pemerhati bangsa-bangsa bersatu sebagai agak zalim dan kasar serta keras bunyi dan perbuatannya) barisan Exco Kerajaan negeri yang baru berusia tujuh (7) bulan itu.

Menurut sumber, selain YB Yahya Khatib Mohamad (ADUN Pangkalan Berangan, Parlimen Marang) yang bakal dirombak statusnya, seorang daripada ‘dua Exco lain’ yang bakal menerima nasib yang sama seperti Yahya ialah YB Datuk Za’abar Mohd Adib. Alasannya, prestasi Za’abar yang diharapkan sebagai seorang Exco jauh daripada mencapai standard ISO. Sekadar ulangan dan makluman, Za’abar adalah ADUN Rantau Abang (Parlimen Dungun) dan dilantik sebagai Exco bagi portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri. Za’abar pada pemilihan UMNO Bahagian Dungun baru-baru ini telah mencabar YB Mohd Ariffin @ Zakaria Abdullah, ADUN Paka bagi merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian. YB Zakaria adalah penyandang jawatan Timbalan Ketua Bahagian 2004-2008. Za’abar menang dengan majoriti 152 undi.

Yang benar : Kalau berita terbaru ini ada kebenarannya, maka sahlah bahawa Mat Said sudah tidak mengambil kira pandangan dan nasihat para enam jahanamnya lagi, terutama pandangan dan nasihat (atau bodekan) Kaki Ampu Nombor Wahid merangkap Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan merangkap Setiuasaha UMNO negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Dungun merangkap Ketua Tukang Buat Baju MB Kanan, Yang Berbahagia Dato’ (Dr Jepun) Rosli Mat Hassan. Mungkin Mat Said mula sedar bahawa enam jahanam inilah yang memunahkan dirinya selama ini. Benar jugalah bahawa Mat Said sekarang amat dipengaruhi oleh ‘budak tingkat 16”.

Yang tidak benar : Kenyataan Kaki Ampu Nombor Wahid merangkap Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan merangkap Setiausaha UMNO negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Dungun merangkap Ketua Tukang Buat Baju MB Kanan yang dipetik oleh beberapa akhbar perdana dua hari lalu bahawa MB selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri memutuskan agar Ketua Bahagian sahaja tidak dicanggah dan Exco tidak dilarang bertanding jawatan lain selain Ketua Bahagian, adalah merupakan usaha berterusan mengekalkan fie peragai buruknya untuk mengelentong rakyat dan ahli UMNO Terengganu.

Tiada yang tidak benar melainkan benar : kalau benar semua ADUN BN/UMNO telah sepakat untuk tidak menerima tawaran dan jajaan Exco oleh Mat Said dan mereka benar-benar bersatu, Mat Said benar-benarlah perlu melelong jawatan Exco. Mat Said akan diaibkan oleh mereka. Jadinya Mat Said perlu cerdik dengan menyelesaikan dulu tawaran dan penerimaan pengganti sebelum tindakan memecat merombak barisan Exco dilaksanakan.

Tiada yang tidak benar melainkan tidak benar : rasanya tidak benar kalau semua ADUN sepakat menolak jawatan Exco. Mereka orang UMNO. Orang UMNO memang berperangai kluk klek. Bila masanya orang UMNO tidak ada kepentingan? Mereka orang Melayu. Melayu UMNO memang mudah lupa. Siapa yang tidak gila nak jadi Exco? bohong kalau orang UMNO yang dah jadi wakil rakyat tidak mahu jadi Exco, tidak gila jawatan, tidak kemaruk kuasa. Jadi Exco gaji campur pelbagai elaun sudah mencapai RM20 ribu sebulan, belum termasuk elaun di luar Exco lagi. Jadi Exco boleh pakai mercedes E200 compresor baru. Jadi Exco boleh macam-macam. Cuma satu saja yang dilarang bila jadi Exco, tak boleh lawan Ketua Bahagian. Yang lain bebas dan berkecuali.

Pengalaman kemelut perlantikan MB yang didokong sepenuhnya oleh ‘23 Melayu Derhaka’ boleh dijadikan pengajaran. Ada beberapa orang YB yang lantang bersuara bahawa mereka “rela dibuang daerah kerana derhaka, namun bersekongkol dengan Mat Said sebagai MB apa lagi menerima tawaran sebagai Exco, tidak sekali-kali." Kerana cakap-cakap itu dianggap cakap politik barangkali, YB berkenaan tanpa segan silu dan malu aib menyambut jawatan Exco yang ditawarkan Mat Said. Belum pun habis Mat Said menyebutnya, cepat-cepat YB berkenaan bersetuju. Malah lebih memalukan, ada YB yang bercakap begitu, awal-awal lagi menyondolkan kepalanya pada lutut Mat Said merayu agar beliau dilantik menjadi Exco. Mat Said tersengeh menang.

Demikian juga dengan pengalaman ura-ura berlakunya pertembungan perlantikan Yang Di Pertua DUN (Speaker) antara kumpulan Mat Said dan kumpulan Idris Jusoh. Kegagalan mereka (kumpulan Idris Jusoh pada ketika itu) baru di peringkat perkiraan dan perbincangan siapa mencalonkan dan siapa mencadangkan sahaja. Sampai di situ mereka sudah tidak dapat mencapai kata sepakat dan masing-masing ‘susut pala’, bimbang kalau-kalau kepentingan mereka tergugat dan ada yang ‘terkorban’. Akhirnya tiada apa-apa yang berlaku. Perlantikan Ku Tera sebagai Speaker DUN berjalan lancar dan aman sentosa. Yang menang lagi ialah Mat Said. Yang jadi mangsa ialah Dato’ Bakar Ali (Cikgu Kor).

Lantaran itu Mat Said langsung tidak bimbang kerana beliau sudah masak dan maklum, itulah standard wakil rakyat UMNO. Melayu UMNO marahnya hanya sekejap, merajuknya hanya sementara. Tawar menawar hanya syarat, lelongan hanya gimik politik semata.

Siapa wakil rakyat BN/UMNO Terengganu yang berani menyanggah telahan ini? Saya berani katakan, Mat Said akan menang lagi dan lagi dan lagi.....

Khamis, November 06, 2008

YANG BERBELIT & PUTAR ALAM (siri 2)

Pecat memecat perkara biasa dalam UMNO Terengganu sekarang. Kekalahan YB Senator Dato’ Rahman Bakar di Marang menyebabkan YB Yahya Khatib Mohamad akan menjadi ‘bangkai’ Exco. Dua orang Exco lagi (atau kemungkinan lebih) akan menerima nasib yang sama dalam drama bersiri ‘pecat khas’ ini.

Beberapa hari selepas mesyuarat khas Perhubungan UMNO negeri, Setiausaha UMNO negeri merangkap Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan, Dato’ (Dr) Rosli Mat Hassan membuat kenyataan berikut :

(a) Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tidak harus dipersalahkan berhubung isu pengguguran Ketua Umno Bahagian Marang, Yahya Khatib Mohamad daripada barisan Exco negeri. Badan perhubungan Umno Terengganu membuat keputusan supaya penyandang ketua bahagian tidak dicabar dalam pemilihan parti sekarang, bagi mengelak berlaku perpecahan di peringkat bahagian. Setiausaha UMNO negeri, Datuk Rosli Mat Hassan berkata, UMNO negeri memutuskan - kecuali jawatan ketua - jawatan-jawatan lain boleh ditandingi kerana ia dirasakan tidak memberi kesan kepada bahagian.

(b) Ketua Umno bahagian Dungun itu berkata, setiap ahli Umno diibaratkan seperti sebuah keluarga, justeru keakraban dan kesepaduan sesama ahli dalam parti perlu dipupuk kembali supaya dapat bekerjasama dalam satu pasukan bagi memastikan parti terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat.


Kesimpulan :

(1) Kenyataan Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan itu hanya menjelaskan lagi lidah bercabang dan berbelit-belit serta amat putar alamnya Pak Rosli ini. Sebagai orang kanan, bosnya perlu dipertahankan. Sememangnya Mat Said tidak harus dipersalahkan kerana Mat Said hanya mengikut tradisi. Sebelum Mat Said bercadang untuk memecat Yahya (baru cadangan nin), Pak Rosli dan Ku Tera telah pun terlebih dahulu bertindak memecat orang-orang yang tidak sebulu dengannya. Sila baca di sini, di sini, di sini dan di sini.

(2) Terbaru, Pak Rosli bertindak menyingkirkan wakil rakyat kawasan sebagai Pengerusi Penyelaras DUN Paka dan Bukit Besi hanya kerana kedua-dua wakil rakyat ini bertindak menyanggah beliau sebagai Ketua Bahagian. Tindakan ini mengulangi tindakannya menafikan bekas YB Ustaz Kamal sebagai Pengerusi Penyelaras DUN Sura sepanjang tempoh 2004-2008. Tindakan Pak Rosli ini juga tidak mustahil akan diikuti oleh kuncu-kuncunya yang lain termasuk Ku Tera dan Mat Jidin. Inilah tradisi kepimpinan melalui teladan – bapa borek anak rintik.

(3) Jawatan lain boleh ditandingi kerana tidak memberi kesan kepada Bahagian atau kerana jawatan lain tidak menggugat kedudukan dan kepentingan penyandang Ketua Bahagian? Sebagai Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan, Pak Rosli sepatutnya insaf apa kesan yang ada di Kuala Terengganu selepas pertembungan Timbalan dan Naib Ketua serta apa yang berlaku di Kemaman yang menyaksikan Naib Ketua sedia ada ditentang oleh orang-orang tertentu atau proksi yang tidak sehaluan dengan juak-juak Mat Said. Di mana keakraban dan kesepaduan sesama ahli? Atau kenyataan Pak Rosli ini hanya kerana hendak menyelamatkan YB Za’abar dan YB Rozi yang menentang penyandang Timbalan Ketua Bahagian di Dungun dan Hulu Terengganu daripada terpecat jawatan Exco? Umum telah maklum, Za’abar dan Rozi adalah kambing hitam yang dicucuk hidungnya agar memihak kepada Ketua Bahagian (baca di sini).

(4) Ikhlas dan jujurnya niat Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan ini. Malangnya beliau memberi kenyataan untuk memaklumkan kepada orang-orang Jerman, Bangladesh, India dan Jepun sahaja, bukan untuk orang Terengganu atau Malaysia, kerana orang-orang Terengganu dan Malaysia sudah kenal siapa beliau dan cakapnya bukan sahaja berbelit-belit dan putar alam, malahan sedikit pun cakapnya itu tidak serupa apa yang dibuatnya. Cakap tidak serupa bikinlah.

(5) Hendaknya janganlah selepas ini lidah Pak Rosli akan bercabang menjadi tiga atau empat pula.

YANG HAMPIR MENJADI KENYATAAN

Saya pernah menulis YANG DILIHAT 10 TANDA-TANDA AWAL KELAIHAN UMNO TERENGGANU. Tulisan itu juga disiarkan dalam Mingguan Watan keluaran 19-25 Oktober 2008.

Sahabat saya Editor Watan (Zabidi Haji Saidi) mengirimkan sms kepada saya. Beliau bertanya apa makna KELAIHAN. Saya menjawab sepatutnya sebagai anak Terengganu, soalan itu tidak timbul. Bagaimanapun saya menjelaskan perkataan itu terbit daripada kata dasar LAIH dalam dialek/loghat Terengganu yang membawa makna dok rok, lemah, letih, lembik, hampir-hampir nak hancur. Begitu kira-kira maknanya.

Kemudian Zabidi sms lagi katanya beliau takut nanti MB dan pemimpin UMNO marah kerana tulisan saya itu. Jawab saya – tulisan tu tidak terlalu berat atau terlalu menghentam kerajaan / UMNO Terengganu. Cuma Mat Said selaku MB dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri kena fikir dan perbetulkan keadaan, mana-mana yang patut dibetulkan sekiranya perkara yang disebut dalam tulisan itu ada yang tidak betul. Saya juga tegaskan kepada Zabidi agar amalkan dengan sebenar-benarnya prinsip Watan iaitu bebas, berkecuali dan seimbang, sesuai dengan tagline Watan “Berani, Telus, Benar” seperti yang selalu beliau sebutkan. Mungkin kerana itu, tulisan berkenaan disiarkan.

Hari ini, dengan kemelut politik UMNO Terengganu yang semakin parah, telahan dalam tulisan saya itu hampir-hampir menjadi realiti. Saya tidak katakan yang saya adalah nujum atau penganalisa atau peramal politik yang betul dan tepat, jauh sekali hebat. Mungkin kerana kebetulan. Seperti juga beberapa tulisan lain yang saya tulis ada yang menjadi kenyataan dan ada juga yang tersasar.

Yang saya nak maklumkan, saya menulis bukan berdasarkan andaian dan tilikan ‘kecek’ nujum pak belalang, tetapi saya menulis berdasarkan sumber nyata dan ‘keluhan’ yang terkeluar daripada rakyat marhain hanya untuk memohon sedikit perhatian daripada orang yang berkenaan. Kalau dipedulikan, alhamdulillah dan kalau tidak pun, saya tidak rugi apa-apa.

Kepada sahabat saya Zabidi, saya tamatkan sms dengan “berkata benarlah walaupun pahit - kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai". Jawab Zabidi “ok. Cuma sekarang orang dah tak buat rumah tepi pantai sbb kerajaan marah”.

Selasa, November 04, 2008

YANG TAK TERKATA : MB TERHEBAT ABAD INI

UMNO Terengganu berpecah dua. UMNO Terengganu kian hancur. UMNO Terengganu menuju keruntuhan.

Begitulah banyak orang bercakap. Banyak orang menulis, banyak orang mentafsir. Ada yang ketawa berdekah-dekah, ada yang sukanya sampai berguling bating, ada yang tergolek seronoknya. Sama ada mereka yang begitu orang UMNO atau bukan, itu tidak penting. Yang penting, mereka seperti ‘merestui’ perpecahan, kehacuran dan keruntuhan UMNO. Padam muka. Kasihan kepada UMNO Terengganu, kasihan kepada pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu, tak habis-habis dengan masalah dan kemelut. Lepas satu, satu yang muncul.

Yang peliknya, tak ada pun terdengar bahawa ada orang yang meraung-raung menangis, meronta-ronta seperti diserang histeria, meratap hiba atau terkedu sedihnya dengan apa yang bakal dihadapi oleh UMNO Terengganu ini. Tak simpati langsung.

Lebih tak bersimpati dan tak berhati perutnya orang-orang UMNO hari ini ialah marahnya mereka kepada Mat Said, Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu. Mereka marah kerana Mat Said bertindak melangkaui perlembagaan parti, ingkar teguran Presiden parti dan tidak peduli pandangan dan keluh kesah ahli-ahli mereka di peringkat akar umbi. Kata mereka, Mat Said terlalu mengikut telunjuk penasihat-penasihatnya yang bijak pandai lagi bestari.

Memang benar, Mat Said tidak sewajarnya dimarah dan dimusuhi sebegitu rupa. Mat Said adalah Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri. Mat Said adalah bos dalam negeri Terengganu. Mat Said berkuasa. Mat Said hebat. Mat Said boleh buat apa saja yang dia suka. Orang lain tak ada lagi yang lebih tinggi daripada beliau di Terengganu sekarang. Jadi, orang lain peduli apa? Apa hak orang lain nak marah dan menegur Mat Said. Apa hak orang lain nak berlagak menegur dan mengajar Mat Said? Mat Said tak perlukan itu semua. Dia sudah berjawatan besar, sudah berkedudukan tinggi, sudah berkuasa, sudah pandai. Mat Said bukan sahaja amat berhak memecat Exco atau seseiapa saja yang dia suka, malah Mat Said boleh memecat Perdana Menteri, kalau dia mahu. Yang Mat Said tak boleh (atau tak berani) pecat hanyalah raja sahaja.

Sesungguhnya, Mat Said wajib disokong kuat untuk memberikan semangat dan kekuatan merealisasikan hasrat dan cita-cita murninya untuk menyelamatkan juak-juaknya. Mat Said perlu diberi semangat untuk menjelmakan iltizamnya menjadi MB terbaik abad ini yang prihatin kepada kuncu-kuncunya. Mat Said wajib disokong dalam segala hal dan tindakannya, termasuk dalam hal pecat memecat sekali pun. Tindakan Mat Said adalah betul. Bos selalunya betul. Bos tak mungkin salah. Hanya orang yang berkepentingan sahaja menyatakan bos salah. Kalau orang yang tiada kepentingan, mesti kata bos betul dan benar.

Siapa kata Mat Said tidak peduli dengan masalah yang melanda UMNO sekarang? Kalau UMNO hancur atau lingkup pun, bukan disebabkan dia. Ramai lagi sekarang ini orang yang sedang memusnahkan UMNO. Kalau UMNO hancur sekali pun, dia sudah dapat rasa jadi Menteri Besar, sudah dapat jadi Pengerusi UMNO Negeri. UMNO hancur dia peduli apa? Dia boleh berhenti bila-bila masa, orang lain boleh ambil alih. UMNO bukan agama. Kalau Mat Said keluar atau berhenti jadi ahli UMNO bukan boleh jadi murtad. Orang lain boleh betulkan semula UMNO. Kalau UMNO tak hidup-hidup dan terus bungkus pun, itu sudah kerana UMNO dah nak mampus. Mat Said sudah dapat pencen MB. Mat Said lepas tu sudah boleh balik kampung tanam kacang.

Mat Said adalah pemimpin tulin yang mendokong kuat UMNO. Bagi Mat Said, hanya UMNO yang perjuangkan agama, bangsa dan negara. Siapa kata UMNO bukan pembela Melayu? Siapa kata pemimpin UMNO tidak pejuangkan anak bangsanya. Siapa kata UMNO bukan penyelamat anak bangsa Melayu dan rakyat ramai? Yang memperjuangkan semua itu dan sayang kepada UMNO hanya Mat Said seorang sahaja. Sebab itu Mat Said nak pecat orang sana sini, sebab nak betulkan UMNOlah. Orang UMNO yang tak tahu apa-apa, jangan banyak mulut. Kamu tahu apa? Kamu bodoh dan bangang. Sesuailah kamu jadi orang UMNO, boleh dicucuk hidung. Yang cerdik hanya Mat Said dan penasihat-penasihat kanannya saja. Apa lagi kalau bukan orang UMNO, lagilah tak layak untuk mengatakan apa-apa kepada Mat Said dan UMNO. Kamu tu siapa? Jaga dan perkuatkan parti kamu sudahlah.

Siapa kata Mat Said tidak peduli kepada akar umbi? Mat Said sayang dan menjaga akar umbi dengan baik. Cuma Mat Said tidak mahu akar umbi ‘cangkul tanah orang’ saja. Tugas akar umbi ikut arahan, memilih pemimpin. Tugas memecat orang yang dipilih akar umbi ialah tugas Mat Said. Bukan lagi tugas akar umbi. Mat Said tak mahu akar umbi UMNO kerja keras sehingga cangkul tanah orang, campur urusan orang, ambil alih tugas orang. Tugas akar umbi yang paling penting ialah waktu pilihanraya. Akar umbi kena sedar, mereka tak ada hak langsung mencadangkan, apalagi memilih calon. Yang berhak hanyalah Mat Said sebagai pemimpin. Tugas akar umbi, wajib memangkah dacing. Jangan pangkah Mat Said. Kena dacing juga. Biar sengek sebelah tak apa, janji pangkah. Pangkah biar penuh-penuh, jangan sikit-sikit. Tak cukup duit nak bagi penuh, pemimpin UMNO boleh bagi. Sekadar RM50 seorang, tak jadi kudis gatal langsung. Duit tu pun bukan duit siapa-siapa, duit rakyat juga, duit akar umbi juga.

Itu saja tugas dan peranan akar umbi. Untuk pilih MB bukan lagi kerja akar umbi. Kerja akar umbi beri undi kepada Mat Said, bukan MB, bukan pangkah MB, pangkah Mat Said. Ingatan ini bukan bermakna, ahli-ahli UMNO akar umbi semuanya bodoh dan bahlol, boleh dicucuk hidung, walaupun Mat Said dan penasihat-penasihatnya beranggapan begitu. Yang penting, ahli di kampung wajib kena dengar cakap Ketua. Kena ikut telunjuk bos. Ketua dan bos kerajaan dan parti UMNO di Terengganu sekarang ialah Mat Said. Jangan memandai-mandai nak lawan tokey. Apa yang Mat Said kata, jangan melenting, jangan dicanggah, jangan dilarang, jangan dihalang, jangan dibangkang. Tapi Mat Said bukan pendendam, Mat Said hanya tidak simpan dendam kesumat dalam hati sahaja. Kalau sekali-sekali Mat Said marah dan terluah rasa dendam, itu bukan tidak sengaja.

Siapa pula kata Mat Said keras keng? Mat Said tidak keras keng, Cuma dia tak dengar cakap orang saja. Mat Said berpegang kepada ikut hati tak akan mati, ikut rasa tak mungkin binasa. Cuma sekali-sekala Mat Said dengar nasihat penasihat-penasihat beliau yang boleh jilat kaki. Akar umbi atau orang-orang lain yang tak mahu jilat kaki Mat Said, itu adalah salah mereka sendiri.

Jadi semua orang UMNO Terengganu kena akur dan tunduk kepada Mat Said, barulah Mat Said boleh dikenang sebagai MB terbaik dan terhebat abad ini. Barulah Mat Said akan jadi Pengerusi UMNO Negeri yang termasyhur kurun ini.

YANG BAKAL TUMBANG DI KUALA NERUS

“Seorang lagi hulubalang Mat Said dijangka tumbang!!!” Mat Said akan melenting lagi. Mat Said akan memecat Exco lagi dan sesiapa sahaja yang ada kepentingan di bawah bidang kuasanya. Itu cakap-cakap umum berdasarkan perkiraan di atas kertas dan cakap-cakap sentimen keyakinan kem yang bertanding.

YB Dato’ Nasir Ibrahim, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, berhadapan laluan sukar. Jauh lebih sukar sewaktu beliau bersaing bersama Datuk Rahin Said dalam pemilihan 2004 lalu. Saingan ketika itu agak seimbang, walaupun ramai yang meramalkan Rahin boleh menang mudah, yang berlaku Nasir berjaya menerajui Bahagian Kuala Nerus walaupun dengan majoriti tipis 10 undi.

Kali ini Nasir berhadapan dengan Che Azmi Abd Rahman, Timbalan Ketua Bahagian yang pernah menjadi regunya pada pemilihan 2004 lalu di samping turut menghadapi Basir Ismail, Naib Ketua Bahagian. Azmi dan Basir mempunyai satu tekad. Bekerja untuk menumbangkan Nasir di Kuala Nerus. Sama ada Azmi dan Basir akan bersaing dalam pertembungan tiga penjuru atau kemudiannya mereka bergabung menjadi dua penjuru, Nasir tetap akan bersendirian.

Nasir yang diuar-uarkan akan dilantik sebagai Menteri atau Timbalan Menteri, serta dengan rasmi telah menawarkan diri bertanding jawatan MKT itu, kali ini hanya bergandingan bersama Haji Ismail Nik, Pengerusi Penyelaras DUN Bukit Tunggal untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua. Manakala Azmi dan Basir menyediakan jalur kepimpinan yang didokong setiap seorang dengan seorang Exco Kerajaan negeri. Di belakang Azmi ada adiknya YB Ahmad Razif (ADUN Seberang Takir / Exco Kerajaan negeri), manakala di belakang Basir ada YB Datuk Rahin Said (ADUN Teluk Pasu / Exco Kerajaan negeri) dan ada juga YB Ustaz Ramli Noh (ADUN Tepuh).

Nasir hampir lemas. Amaran MB supaya Ketua Bahagian tidak dicabar dan amaran MB kepada Exco menjadi pelampung utama Nasir bagi menyelamatkan dirinya agar tidak terus tenggelam begitu saja. Nasir amat mengharapkan tindakan memecat Exco yang ‘keras kepala’ dan bersubahat dengan pencabar Ketua Bahagian dapat dilaksanakan oleh Mat Said sesegera mungkin, paling tidak sebelum persidangan Bahagian Kuala Nerus 8 November ini. Ini penting kerana kalau benar berlaku tiga pemecatan (Yahya Khatib dan dua Exco yang bersekongkol dengan calon yang menyanggah Ketua Bahagian), dua Exco di Bahagian Kuala Nerus akan turut kecut perut. Nasir berkeadaan sedikit selamat, sekiranya Rahin dan Razif dipaksa terjun dulu ke dalam sungai Nerus sebelum rakit mereka merempuh rakit Nasir dan menenggelamkannya.

Tumbangnya Azmi atau/dan Basir 8 November ini tidak meninggalkan impak yang besar, tetapi tumbangnya Nasir akan bertambah parahnya luka MB, selain perihnya nyilu keaiban Nasir. Nasir perlu menang seperti menangnya Dato’ Mat Jidin di Setiu, walaupun secara bersendirian terpaksa berhadapan dengan 4 sekawan. Nasir ada resepi tersendiri untuk menutup maruah dirinya yang cuba diaibkan itu.

Berjayakah Nasir atau apakah Nasir juga akan menerima nasib seperti Man Bakar? Mungkinkah Rahin dan Razif akan turut mengikuti jejak Yahya Khatib Mohamad? Kuala Nerus yang menentukan dan Mat Said yang akan melaksana. Marang dan Kuala Nerus mungkin memiliki aura dan sentimen politik yang sama tetapi tidak serupa.

Isnin, November 03, 2008

YANG MUDAH LUPA : MELAYU ITU PEMAAF?

Tun Dr Mahathir, mantan PM ketika mengambil tindakan memecat DS Anwar Ibrahim daripada kabinet dan UMNO kira-kira 10 tahun lalu pernah berkata bahawa Melayu mudah lupa. Amarah dan berontaknya jiwa Melayu tidak lama. Paling lama enam bulan akan kendurlah dan lama kelamaan Melayu akan lupa peristiwa yang membawa kemarahan mereka itu.

Justeru Mahathir nekad memecat Anwar. Kenyataan Mahathir sebahagiannya benar kerana sebahagian Melayu (Melayu UMNO yang berkepentingan?) sudah lupa tragedi Anwar. Tetapi masih ada sebahagian Melayu yang tidak mudah melupai dan tidak akan melupai ‘dosa’ Mahathir lantas menghukum beliau dalam PRU ke-10/1999. Walaupun bahananya tidak sekuat tsunami PRU-12/2008, Melayu Terengganu (termasuk Melayu UMNO) telah membalas dosa Mahathir dengan menganugerahkan tanah hitam putih itu kepada PAS.

Sindrom Melayu mudah lupa berulang lagi dalam kemelut perlantikan MB Terengganu selepas PRU ke-12 Mac lalu. Idris Jusoh tersingkir dan Mat Said berhempas pulas menggalas tanggungjawab yang kononnya diamanahkan untuk beliau pikul. Kata Mat Said selepas dilantik sebagai MB, “insya-Allah segalanya akan selesai. Semua YB adalah sahabat saya. Selepas ini akan sejuklah dan saya yakin mereka akan memberi kerjasama dan bersama saya memimpin Terengganu. Mereka akan melupai pertelingkahan keluarga ini”. Mat Said merujuk kepada ‘23 Melayu Derhaka’.

Kata-kata Mat Said sama nadanya seperti yang disuarakan oleh Mahathir. Pengalamanlah yang mengajar mereka bercakap sedap mulut begitu. Perasaan dalaman mereka juga sama barangkali. Sebab itu tindakan diambil menggunakan modal Melayu mudah lupa.

Hari ini Mat Said mengulangi sekali lagi perasaan dalamannya berdasarkan peristiwa 23 Melayu Derhaka. Mat Said dengan nekad dan ‘keras keng’nya tetap meneruskan hasratnya memecat Yahya Khatib Mohamad sebagai Exco. Mat Said dengan yakinnya menolak sebarang kemungkinan yang tidak baik berlaku, sekiranya beliau terus memecat Yahya. Baginya Yahya wajar dan wajib dipecat. Yahya adalah saki baki Melayu derhaka, Cuma bezanya sekarang Yahya derhaka kepada Melayu keras keng.

Mat Said menganggap peristiwa 23 Melayu Derhaka sudah terpadam dalam kotak fikir orang Melayu yang mudah lupa. Mat Said pasti, kemelut itu sudah dimaafkan oleh semua orang Melayu UMNO dan rakyat yang berkepentingan. Sebab itu Mat Said tidak menghiraukan penasihat enam jahanamnya dan lebih memilukan langsung tidak layan cakap Pak Lah yang hampir tertanam.

Mat Said langsung tidak merasa gusar hanya kerana menggugurkan tiga orang Exco, sedangkan bagi beliau, 23 orang ADUN boleh tunduk kepadanya. Sekarang semuanya sudah akur dan sudah boleh menerima beliau sebagai MB dan bos UMNO negeri. 10 daripada mereka pula lagilah tunduk dan menyondol sehingga boleh dicucuk hidung hanya berumpankan tali Exco. Inikan hanya tiga. Kacang je. Melayu UMNO mudah lupa.

Sejauh mana telahan dan tafsiran Mat Said terhadap Melayu mudah lupa itu benar dan benarkah 23 Melayu Derhaka memang benar-benar lupa dan pemaaf, sama-sama kita tunggu pengumuman rasmi pemecatan Yahya Khatib Mohamad dan dua yang lain sebagai Exco kerajaan negeri oleh Mat Said.

Kalau Melayu UMNO itu pemaaf, Melayu derhaka hanya suka-suka dan Melayu UMNO itu benar-benar mudah lupa sama ada atas dasar ‘kepentingan’ atau apa sekali pun istilahnya, benarlah Mat Said amat bijak bermain politik, amat layak menjadi MB, amat sesuai menjadi bos UMNO negeri dan amat kenalah ‘keras kengnya’.

Kalau semuanya berjalan lancar, kita sewajarnya boleh tabik spring kepada Mat Said dan kekallah Mat Said sebagai MB sehingga beliau sendiri berasa puas dan bosan dengan jawatan itu. Kalau ada Melayu PAS atau Melayu PKR atau Melayu parti apa saja yang mudah lupa, jangan bermimpi untuk merebut takhta dari tangan Mat Said, kerana sememangnya Melayu itu pemaaf dan mudah lupa.

Sabtu, November 01, 2008

YANG TERKINI : LETAK JAWATAN BERAMAI-RAMAI?

Kedegilan dan ‘kekeraskepalaan’ Mat Said sudah tidak dapat dihalang lagi. Lawan kedegilan dan kekeraskepalaan itu sudah tentu kebencian dan ‘kepadam-mukaan’. Itu saja ubat yang dapat menyembuhkan sakit tayar ahli-ahli UMNO Marang yang memberi sokongan kepada Ketua Bahagian baru mereka, YB Yahya Khatib Mohamad.

Umum sedang menunggu ‘perkiraan akhir” dan tindakan drastik perletakan jawatan secara beramai-ramai empat peringkat dalam UMNO Bahagian Marang meliputi semua sayap (Bahagian/cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri) bermula di peringkat Bahagian sehingga ke cawangan.

Perletakan jawatan secara beramai-ramai ini merupakan amaran awal ahli-ahli UMNO Bahagian Marang kepada Mat Said sebagai protes kepada cadangan pemecatan Yahya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta hilang keyakinan dan kepercayaan mereka kepada kepimpinan Mat Said sebagai Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Jika tindakan perletakan jawatan secara beramai-ramai ini benar-benar terjadi, jentera UMNO di Marang akan lumpuh dan bala besar pembubaran cawangan-cawangan UMNO dalam Bahagian Marang akan mengikuti. Yang pasti, tindakan ini menjelaskan petanda awal kehancuran UMNO di Terengganu, khasnya di Bahagian Marang.

Tindakan segera perlu diambil oleh pucuk pimpinan UMNO, sama ada untuk menyelamatkan UMNO atau untuk tidak menyelamatkan Mat Said. Dalam pada itu, Haji Hadi dan Fariz Musa and the geng sudah boleh tersenyum lebar.
Related Posts with Thumbnails