yang semasa

Sabtu, Oktober 18, 2008

YANG SEMAKIN SUKAR : KJ

Khairi Jamaludin (KJ) mungkin gagal mendapat sebarang pencalonan daripada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian-bahagian dalam negeri Terengganu untuk beliau bertanding merebut kerusi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Mac 2009 nanti. Setelah dua daripada lapan Pemuda Bahagian bersidang sehingga semalam (Jumaat), kedudukan KJ untuk mendapat sokongan Pemuda Bahagian dari Terengganu dilihat semakin sukar.

Hari ini (18 Oktober, Sabtu) beberapa Pemuda Bahagian di Terengganu akan turut mengadakan persidangan masing-masing. Tumpuan bagi menentukan kedudukan KJ sama ada mampu atau tidak untuk mendapatkan pencalonan akan lebih berfokus kepada Pemuda Bahagian Kuala Terengganu yang diketuai oleh Mohd Sabri Alwi (Adik Mat).
Kulit Buku Cenderamata Mesyuarat Pemuda Bahagian Kuala Terengganu : kelihatan Adik Mat mengangkat tangan kiri dan mengucapkan "Selamat tinggal KJku"

Adik Mat yang juga Ketua Pemuda negeri adalah orang kuat KJ di Terengganu dan sebelum ini dikatakan pernah berjanji untuk memastikan semua Pemuda Bahagian dalam negeri Terengganu mencalonkan KJ sebagai Ketua Pemuda. Setidak-tidaknya sebagai jasa terakhir Adik Mat kepada KJ sebelum beliau melepaskan jawatan Ketua Pemuda Bahagian dan Negeri. Adik Mat melepaskan jawatan Ketua Pemuda Bahagian kerana melepasi had umur pemuda.

Trend ‘pedulikan Ketua’ yang dimulai oleh Pemuda Bahagian Besut minggu lalu (mencalonkan Dato’ Mukhriz) dituruti oleh Pemuda Kemaman (mencalonkan DS Khir Toyo) semalam. Berdasarkan trend ini, dijangkakan enam (6) lagi Pemuda Bahagian yang bakal bersidang akan memberikan keputusan di ‘luar kawalan’. Situasi mutakhir ini amat menyulitkan KJ untuk mendapatkan pencalonan, waima daripada Pemuda Bahagian Kuala Terengganu sendiri pun.

Pemuda Bahagian Kuala Terengganu akan bersidang hari ini (Sabtu) bermula 8.00 malam di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar, Kuala Terengganu. Pemuda Kuala Terengganu yang bakal memartabatkan Ketua yang baru menyaksikan pertembungan tiga (3) penjuru di antara Naib Ketua Pemuda, Badrol Hisham Haji Zaki dan dua muka baru Heshaiful Bahari Mohamad dan Abdul Latif Ibrahim. Badrol yang mendapat restu Adik Mat dijangka tidak menghadapi laluan sukar ke jawatan Ketua.

Namun bagi memastikan KJ mendapat pencalonan Ketua, menyulitkan juga Adik Mat dan Badrol. ‘Perjanjian persefahaman’ antara kem Heshaiful dan kem Latif memutuskan untuk mencalonkan Mukhriz. Kalau persefahaman berkenaan turut direstui anak buah mereka berdua, nescaya gabungan itu menghasilkan keputusan yang memeningkan Adik Mat.

Dan kalau Pemuda Kuala Terengganu sendiri gagal mencalonkan KJ, rasanya KJ sudah boleh tutup fail peribadinya di negeri Terengganu dan memberikan tumpuan kepada negeri-negeri lain yang lebih berpotensi. Bimbang kalau-kalau KJ benar-benar tertidur di ‘bawah anjing’ (underdog).
Related Posts with Thumbnails