Rabu, Oktober 01, 2008

YANG SALAH DAN SILAP : SELAMAT HARI RAYA

Seperti tahun-tahun sebelumnya dan beberapa tahun kebelakangan ini, telalu banyak ucapan selamat hari raya diterima melalui sms. Saban tahun, mungkin juga seperti orang lain, saya juga agak sudah agak kurang menerima kiriman kad selamat hari raya melalui pos. maklumlah dunia sudah berubah, kemudahan yang ada semakin canggih dan melalui sms, kita boleh menerima terus ucapan yang diterima dan dihantar.

Terima kasih kepada semua keluarga sahabat teman rakan taulan yang tidak jemu-jemu menghantar kad dan sms ucapan raya kepada saya. Agak tidak terlarat untuk saya membalasnya. Dengan sms saja, sehingga pagi ini, saya masih lagi menerima ucapan. Masuknya tidak menentu masa, 24 jam tanpa batasan waktu. Macam-macam bentuk, gaya, cara, ucapan, bunyi, susunan ayat yang boleh dibaca dan dilihat. Yang pasti, semuanya menuju kepada yang satu, mengucapkan selamat hari raya dan memohon maaf zahir batin. Yang lebih penting tanda ingatan dan tanda persahabatan yang tidak pernah luntur. Alhamdulillah.

Ramai dan tidak terhitung kaum keluarga sahabat teman rakan taulan yang masih mengingati saya dan mengirimkan ucapan. Saya amat sedar, selain yang masih tidak melupakan saya, sudah ada di kalangan teman-teman yang mungkin sudah terlupa kepada saya, saat saya tidak lagi berada di kedudukan seperti tahun-tahun sebelumnya. Sesekali kita terfikir, mungkin kita menjadi tidak penting bagi sesetengah orang apabila tiada apa lagi yang boleh memenuhi keperluan mereka.

Begitulah adat dunia, kehidupan kita bagai roda, ada masanya kita berada di atas, ada ketikanya kita di tengah dan sudah pasti kita terpaksa melalui saat berada di bawah. Yang penting teman sejati masih terus bersama kita, walau di mana dan saat mana kita tempohi, susah, senang, di bawah atau di atas. Di sinilah sebenarnya nilai dan harga persahabatan.

Terima kasih kepada seniman Ahmad Yatim, seorang sahabat yang tidak pernah lekang dan tidak pernah lupa untuk menghantar sms ucapan selamat hari raya sejak bertahun-tahun lalu, walau pun kami jarang-jarang bertemu dan berhubung. Terima kasih kepada semua yang telah mengirimkan kad dan sms selamat kepada saya. Budi baik kalian tidak pernah saya lupakan, walau pun sebahagiannya tidak sempat saya balas.

Semoga kita semua dirahmati Illahi dan dikurniakan keberkatan dan kelapangan dalam kita mengharungi kehidupan yang masih berbaki ini.

SELAMAT HARI RAYA, maaf zahir dan batin daripada saya sekeluarga.
Related Posts with Thumbnails