Ahad, Oktober 05, 2008

YANG KIRIM, YANG HANTAR DAN YANG LESAP

Ini cerita dulu sikit daripada cerita raya. Maaf baru dapat perihalannya.

Konon ceritanya pada bulan ramadhan baru-baru nin, Kerajaan Negeri (?) telah mengedarkan sekotak kurma bersama air zam-zam, katanya kepada muslimin dan muslimat / orang Islam di seluruh negeri Terengganu. Dikatakan daripada Kerajaan Negeri kerana bekas berupa beg kecil ada tercetak pejabat Menteri Besar / Kerajaan Negeri Terengganu.

Edaran dibuat melalui JKKK di seluruh negeri. Makanya berjalanlah ke hulu ke hilir Pengerusi JKKK atau wakil-wakilnya membahagikan ingatan dan sumbangan mulia pada bulan barakah itu. Walau pun harganya mungkin tak seberapa, namun inisiatif dan ingatan kerajaan khususnya Menteri Besar kepada rakyat jelata amat tinggi fadilatnya. Apa lagi sumbangan, sedekah dan ingatan itu dibuat pada bulan ramadhan.

Tetapi itulah, pahala yang dicari bala yang datang. Mungkin Menteri Besar atau orang-orang atasan yang mengemukakan idea mulia ini tidak tahu bagaimana perjalanan dan edaran barangan berkenaan di kampung-kampung. Kalau baru-baru ini Menteri Besar dah melenting kerana pembahagian dana khas hari raya diselewengkan, janganlah sekali lagi Menteri Besar melenting hanya kerana sekotak kurma.

Tetapi yang nyatanya, Menteri Besar atau Pejabat Menteri Besar kena ambil tahu bagaimana JKKK menguruskan hal ini. Jangan nak kata semua orang kampung beragama Islam (tak kira UMNO, PAS, Keadilan, DAP, MCA, Gerakan atau apa saja partinya) boleh merasai sumbangan Kerajaan prihatin tu, di kalangan Ahli JKKK sendiri pun ada yang tak menerima. Malah dikhabarkan ada yang tak bergerak pun sumbangan tu. Di mana disimpannya?

Kes ini kecil saja kalau dilihat dari segi nilainya. Bukan nilai yang dipertikaikan, apa lagi sebahagian besar orang kampung mampu kalau sekadar untuk membeli sekotak kurma di mana-mana, tetapi keadilan, keikhlasan, kejujuran, amanah, baik busuknya hati JKKK tu yang perlu ditelusi semula. Di mana keakraban silaturahim sesama Islam dan usaha murni merakyatkan Kerajaan seperti yang dihajati oleh Menteri Besar / Kerajaan Negeri? Sampaikah matlamat Menteri Besar? Sampaikah hajat pemimpin negeri? Ataukah kerana kes kurma tu kes kecil, maka Menteri Besar tak perlulah dibodek?

Pemimpin-pemimpin kenalah tengok perkara ini. Janganlah hanya perwakilan (sekarang musim perwakilan) dan ‘orang-orang kita’ sahaja yang kita nampak. Turunlah ke padang. Jangan nak turun ke padang masa berkempen nak jawatan Ketua Bahagian atau nak jadi Wakil Rakyat saja. Kesian Menteri Besar, hasratnya murni, pelaksanaan macam buah kuini (kulit luar cantik, bau menyelerakan tapi isi dipenuhi ulat).

Jadilah pemberi yang amanah kepada penerima yang bersyukur. Jangan menjadi pemberi yang tersungkur kerana tidak amanah.
Related Posts with Thumbnails