Jumaat, Oktober 17, 2008

YANG BERKEDUDUKAN CEMAS : SETIU

Pertembungan di Setiu : Cikgu Lan + Hj Ashaari - Mat Jidin = ???

UMNO Bahagian Setiu agak ‘tersisih’ daripada perbicaraan pertembungan merebut Ketua Bahagian dan jawatan-jawatan penting lain pada Persidangan Bahagian berkenaan 25 Oktober nanti. Apa nasib bahagian berkenaan sehingga tersisih daripada mendapat liputan, kurang pasti punca sebabnya.

Tetapi yang agak nyata, Bahagian Setiu menjadi antara Bahagian yang panas dan kedudukan Ketua Bahagian sedia ada agak cemas.

Siapa yang akan menjadi mangsa atau ‘bangkai’ Ketua Bahagian dan siapa yang bakal menjadi Ketua Bahagian pada 25 Oktober ini, hanya boleh diramal bersandarkan situasi sokongan dan kekuatan rangkaian kem yang bertanding.

Yang pasti, pertembungan tetap akan berlaku. Cikgu Ramlan Ali (Cikgu Lan) akan mencabar kerusi Ketua Bahagian. Kem Cikgu Lan dan kem Datuk Mohd Jidin (Mat Jidin) sudah bersiap sedia menghadapi saat-saat ‘pertempuran’. Daripada bacaan kasar, Ketua Bahagian, Mat Jidin berkedudukan genting dan bersendirian.

Cikgu Lan, ADUN Jabi dan Naib Ketua Bahagian berkongsi tenaga dengan semua wakil rakyat dan bekas wakil rakyat dalam Bahagian Setiu. Cikgu Lan bersama Haji Ashaari (ADUN Langkap/Exco Kerajaan Negeri), Abdul Halim Jusoh (ADUN Permaisuri) dan Ustaz Khazan (ADUN Batu Rakit/Ketua Pemuda Bahagian/Naib Ketua Pemuda Negeri).

Tidak cukup dengan itu, bekas Ahli Parlimen Setiu yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Yusof Majid juga khabarnya bersama-sama Cikgu Lan. Yusof sudah lama tidak sebulu dengan Mat Jidin dan terakhir Yusof telah dimalukan melalui percaturan Mat Jidin sehingga Yusof (bekas Ahli Parlimen tu) kalah dalam usaha mempertahankan kerusi Ketua Cawangan di kampungnya sendiri.

Seperti yang disebut, di atas pembacaan terbuka, Mat Jidin sudah lemas. Mat Jidin betul-betul diganyang. Mat Jidin, Ahli Parlimen Setiu dan bekas Exco Kerajaan Negeri perlu buat sesuatu untuk menguatkan semangatnya berhadapan dengan jentera bersepadu Cikgu Lan, sekali gus menyelamatkan malu aibnya. Kalau pada zaman Tan Sri Wan Mokhtar dulu, mungkin Mat Jidin boleh diselamatkan oleh Dato’ Tengku Mahmud Mansor (sifu dan otai politik Mat Jidin), tapi sekarang Mat Jidin nak bergantung dengan siapa lagi?

Mat Jidin masih boleh menggunakan talian hayat bantuan MB, walaupun ketika kemelut perlantikan MB dulu, Mat Jidin menjadi antara Ketua Bahagian yang kurang menonjol memberi sokongan kepada Mat Said. Saat dan ketika genting sebegini, Mat Jidin sudah tidak boleh untuk bermain wayang dan bermain selamat lagi.

Namun, tidak dapat dipastikan, apakah Cikgu Lan telah dipanggil MB sepertimana tiga calon pencabar Ketua Bahagian di Hulu Terengganu, Marang dan Dungun. Tidak juga dapat dipastikan, apakah Mat Jidin juga telah mengikuti jejak langkah kawan sejawatannya di tiga Bahagian itu yang telah memohon diselamatkan oleh MB dengan menggunakan talian hayat kedua mereka.

Mat Jidin perlu diselamatkan untuk menyelamatkan generasi politik Tengku Mahmud Mansor daripada terus lenyap di bumi Setiu yang telah dibangunkan bersama ‘air matanya’ itu.
Related Posts with Thumbnails