Ahad, September 14, 2008

YANG BENAR DERHAKA @ DEMOKRASI?

APABILA Yang Amat Berhormat Datuk Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menasihatkan supaya tidak berlaku pertandingan dalam pemilihan di peringkat Bahagian-bahagian dalam negeri Terengganu, pelbagai reaksi pro dan kontra dapat didengar.

Keputusan supaya tiada pertandingan, selain beberapa kali diucapkan oleh Ahmad Said dalam majlis-majlis rasmi parti orang Melayu terbesar negara itu, juga dikatakan telah disuarakan dan diperolehi keputusannya secara konsensus dalam mesyuarat pertama Badan Perhubungan UMNO Negeri yang dipengerusikan oleh Ahmad Said, selepas beliau mengambil alih jawatan berkenaan daripada Datuk Idris Jusoh.

Persoalannya sekarang, apakah Ahmad Said mempunyai muslihat tertentu untuk ‘menyelamatkan’ Ketua-ketua Bahagian sedia ada daripada terus tersungkur atau niatnya memang murni dan ikhlas untuk melihat perpaduan dan kekuatan parti?

Umum mengetahui beberapa Ketua Bahagian di Terengganu, khususnya Ketua-ketua Bahagian yang dilabelkan sebagai telah dicantas oleh Idris Jusoh untuk bertanding dalam PRU, menjadi antara pendokong kuat Ahmad Said dalam kemelut perlantikan Menteri Besar Terengganu selepas PRU ke-12 lalu.

Demi menyelamatkan maruah mereka daripada terus berkubur dalam arena politik Terengganu, selain membalas budi dan jasa kerana sokongan mereka dalam kemelut perlantikan Menteri Besar, Ahmad telah membuat percaturan hidup mati dengan menggunakan platform paling tepat dan selamat dan sekali gus dilihat oleh sesetengah pemerhati politik sebagai sengaja mewujudkan pertembungan dasyat antara kem Ahmad Said dan kem Idris Jusoh.

Sesetengah pendapat mengatakan bahawa kenyataan dan harapan Ahmad Said untuk tidak melihat adanya pertandingan jawatan utama dalam pemilihan Bahagian Oktober nanti hanyalah provokasi untuk menghalalkan cara bagi terus mengekalkan orang-orang kanan mereka dalam kepimpinan UMNO di semua Bahagian, sekali gus memastikan kedudukan beliau selaku Menteri Besar akan lebih terjamin dan selamat.

Hasil daripada kenyataan dan harapan Ahmad Said itu, banyak persoalan yang agak sukar dijawab dan dijelaskan untuk memuaskan hati banyak pihak.

Tafsiran apa sebenarnya yang demikian sukar dijelaskan. Bagaimana bentuk kompromi dan tunjuk teladan yang boleh dipatuhi, kemudiannya menjadikan hasrat menggunung Ahmad Said dapat diakuri sepenuhnya. Jika ini dapat dihuraikan, diyakinkan dan diperincikan sebaiknya kepada pemimpin dan ahli UMNO di peringkat akar umbi, Ahmad Said akan dihormati dan air liurnya akan menjadi masin.

Mari kita meretrospeksi semula beberapa persoalan yang ditimbulkan banyak pihak lanjutan daripada kenyataan Ahmad Said itu. Pertama, tidak ada pertandingan atau tidak menyanggah Ketua Bahagian sedia ada? Persoalan ini tidak menjurus kepada satu lapis tafsiran sahaja.

Mungkin maksud tidak ada pertandingan yang menjadi hasrat Ahmad Said itu ialah agar kedudukan Ketua Bahagian sedia ada perlu dikekalkan status quo mereka dan tidak dicanggah. Dengan itu, akan terselamatlah Ketua-ketua Bahagian yang bermati-matian menyokong beliau sebagai Menteri Besar sekali gus menenggelamkan dinasti Idrisisme.

Tetapi itu hanyalah tafsiran sebelah. Pada sebelah yang lain, mereka mentafsirkan bahawa tiadanya pertandingan itu, tidak bermakna mengekalkan Ketua Bahagian sedia ada.

Dalam hal ini, calon-calon atau mereka yang berhasrat untuk bertanding jawatan Ketua Bahagian termasuk Ketua Bahagian yang berhasrat mengekalkan jawatan, perlu duduk semeja, bermuafakat dan bermuzakarah bersemuka mencari formula terbaik berdasarkan beberapa kriteria yang bersituasi menang menang (win win situation) dan akhirnya memutuskan siapa yang sepatutnya ke hadapan sebagai Ketua dan siapa pula yang perlu berundur dengan terhormat, rela hati, jujur dan ikhlas, waima kalau diputuskan penyandang sedia ada perlu berundur sekali pun. Barulah namanya tidak ada pertandingan dan mematuhi kehendak Pengerusi Badan Perhubungan negeri.

Kedua, apabila kriteria menjadi pertaruhan, apakah jumlah pencalonan boleh diambilkira sebagai salah satu kriteria yang dimaksudkan? Jawabnya mungkin boleh atau mungkin amat tidak boleh. Boleh kalau pencalonan daripada cawangan-cawangan yang bersidang itu diberikan kebebasan sepenuhnya, seterusnya disahkan seratus peratus bebas daripada rasuah politik, ugut mengugut, lobi melobi, dan bebas daripada pelbagai macam cara yang tidak sihat.

Tetapi kalau anasir yang disebutkan di atas turut pula menjadi salah satu kriteria untuk mendapatkan pencalonan, maka aspek bilangan pencalonan cawangan wajib diketepikan sama sekali dalam senarai kriteria mengharamkan adanya pertandingan.

Ketiga, kenapa hanya jawatan utama Bahagian yang tidak perlu adanya pertandingan? Apakah yang dimaksudkan dengan utama itu? Apakah Ketua Bahagian sahaja? Jawatan Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian atau Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian serta Naib Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian apakah tidak diistilahkan sebagai utama?

Apakah kerana Ahmad Said daripada pengamatannya sendiri atau dengan mendapat pandangan daripada Ketua-ketua Bahagian sedia ada sekarang amat sedar bahawa orang-orang dalam dinasti Idrisisme masih merata di bahagian-bahagian dengan berjawatan kedua dan ketiga utama selain daripada Ketua Bahagian? Lantas bagi mengekang mereka ini daripada terus menyuburkan idealisme Idris, maka mereka dihalalkan ditentang?

Atau demi menyelamatkan maruah Ketua-ketua Bahagian sedia ada daripada terus berkubur dalam arena politik Terengganu, juga menunjukkan kepada penganut ideologi Idrisisme, bahawa Idris melakukan kesilapan besar bertindak mencantas mereka dalam PRU ke-12 lalu, selain hasrat murni Ahmad Said untuk membalas budi dan jasa kerana Ketua-ketua Bahagian sedia ada itu sahaja yang dilihat ke hadapan dalam mengharungi kemelut perlantikan Menteri Besar baru-baru ini?

Keempat, bagaimana pelan kompromi Bahagian Kuala Terengganu patut dijadikan panduan.

Sebelum persidangan cawangan-cawangan dan sebelum perlantikan jawatan-jawatan kanan oleh Ahmad Said dalam Badan Perhubungan UMNO Negeri, telah diuar-uarkan bahawa Datuk Zubir Embong (Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Terengganu) akan mencabar Ketua Bahagian sedia ada, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, manakala Senator Datuk Roslan Awang Chik pula akan mencabar kedudukan Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang sekarang disandang oleh Datuk Che Mat Jusoh.

Zubir Embong kemudiannya dilantik Ahmad Said sebagai Ketua Penerangan UMNO Negeri dan Roslan Awang Chik sebagai Bendahari.

Umum menganggap bahawa Wan Ahmad Farid yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri adalah daripada kem Idris Jusoh dan Zubir Embong menjadi antara master mind dalam percaturan meletakkan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu. Justeru pertembungan kedua mereka akan menjelaskan lagi episod pertembungan isme Ahmad Said dan Idris Jusoh.

Mungkin kerana Ahmad Said sempat menyedari bahawa arahan supaya tidak ada pertandingan di peringkat pemilihan Bahagian keluar dari mulutnya dan tidak mahu nampak terlampau jelas yang beliau terlalu bias kepada kemnya dalam membuat keputusan (walau pun beliau terlepas pandang bahawa ‘orangnya’ berhasrat merampas kerusi Ketua Bahagian Kuala Terengganu), maka pelan kompromi disusun elok.

Mudah saja alasan dan faktornya. Selain faktor inginkan perpaduan dan memperkukuhkan parti yang sudah demikian klise, alasan Zubir dan Roslan memberi laluan kepada penyandang sekarang adalah kerana kedua-dua mereka (Zubir dan Roslan) telah pun ‘mempunyai’ jawatan di peringkat negeri.

“Pangkat” mereka di peringkat Negeri dikira lebih besar daripada pangkat di peringkat Bahagian. Jadi untuk apa lagi mereka bertanding? Jalankan tugas melalui UMNO Perhubungan yang lebih menyeluruh. Boleh menjelajah ke seluruh negeri dan menjaga UMNO Negeri, bukan sekadar Bahagian.

Namun resmi Zubir Embong dan Roslan Awang Chik tidak pula dituruti oleh YBM Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu) dan Datuk Rosli Mat Hassan (Ketua UMNO Bahagian Dungun). Apakah Ahmad Said juga terlepas pandang kepada mereka berdua atau Ahmad ada alasan yang kuat untuk membenarkan mereka berdua mempertahankan jawatan Ketua di Bahagian masing-masing.

Isunya sekarang ialah ‘jangan ada pertandingan’ dan dalam kes Zubir dan Roslan, isunya mereka berjawatan di peringkat negeri. Kalau isu berjawatan di peringkat negeri didahulukan serta dijadikan satu lagi kriteria muafakat dan muzakarah dalam menentukan siapa perlu berundur dan memberi laluan untuk tidak adanya pertandingan, maka Tengku Putera dan Rosli Mat Hassan sepatutnya memberi laluan kepada pencabarnya di Bahagian masing-masing.

Apa tidaknya. Jawatan mereka sudah besar di peringkat negeri. Tengku Putera kekal sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Rosli Mat Hassan dilantik Ahmad menjadi orang penting dan amat sibuk sebagai Setiausaha. Barulah tidak ada pertandingan, tidak wujud sikap menderhaka dan akhirnya Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan - dirinya dan hasratnya akan dihormati.

Demikian gambaran kepada hasrat, harapan dan ‘saranan yang tidak dihormati’ dalam kemelut pemilihan yang akan dirempuhi di peringkat Bahagian Oktober nanti. Yang jelas, andai kekeliruan dapat dirungkaikan, kekurangjelasan itu dapat diterangkan, kekalutan dapat ditenangkan, segalanya dapat diselesai dengan sempurna.

Kalau segalanya itu masih berada pada status quo yang klasik dan banyak orang masih kurang berpuas hati dan teraba-raba untuk terus menjadi gulita, Ahmad Said dinasihatkan agar usah pedulikan lagi dengan kedegilan dan keras kepala pemimpin-pemimpin tertentu dan para pengikut mereka yang telah lama taksub untuk merealitikan pertandingan.

Persoalan akhir, apabila pertandingan diteruskan, apakah pertandingan itu melurusi lunas demokrasi atau menggambarkan satu bentuk tidak hormat dan menderhaka kepada Ketua atau derhaka kepada sesiapa?
Related Posts with Thumbnails