Isnin, September 08, 2008

YANG BERJUDUL JAM

Jarum detik yang bernafas itu
hanyalah analogi melengkapkan nama
tanpa menjadi faktor terpenting
sama ada bergerak atau tidak
mahu pun geraknya songsang
atau tertib mengekori putaran

kerana itu kekadangnya
jam terus angkuh dan sombong
kerana baginya
alam dan hidupannya
akan menjadi sukar untuk hidup
atau terus menghirup denyut tanpanya
sedangkan ia hampir-hampir terlupa
bahawa siang dan malam itu
tetap berganti dan genap putarannya
tanpa peduli zahirnya jam

demikian ketika jarum detiknya
tiba-tiba berhenti bernafas
hanya waktu yang bingung dan tertinggal
sedang masa tetap azalinya bergerak
tanpa menanti waktu
apa lagi untuk jarum detik mengekorinya

dan nafas hidupnya terus berlalu dan
tetap akan terhenti pada waktu kehendak-Nya
tanpa menunggu jam

31 Disember 2001
Kuala Terengganu
Related Posts with Thumbnails