yang semasa

Ahad, September 07, 2008

YANG INGKAR GUNA KERETA TERLARANG

Isu pengunaan kereta Mercedes E200 Kompressor kerajaan Terengganu yang dilarang penggunaannya oleh kabinet terus menjadi perhatian dan tanda tanya orang ramai, sama ada isu berkenaan telah selesai atau sebaliknya.

Ini kerana ‘kereta terlarang’ itu masih atau digunakan semula oleh Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri walau pun telah ditegaskan larangan penggunaannya oleh kabinet.

Dimaklumkan terbaru kereta terlarang itu digunakan sendiri oleh Menteri Besar dengan menggunakan nombor pendaftaran lama TD 12 yang dulunya didaftarkan pada kereta yang digunakan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Amar Di Raja Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Pada 25 Julai lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan ke semua 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor yang telah dibeli kerajaan negeri Terengganu tidak boleh digunakan oleh Menteri Besar, Exco dan para pegawai kanan negeri itu. Perdana Menteri berkata, kereta-kereta itu hanya akan digunakan untuk membawa tetamu-tetamu kerajaan negeri.

Menurut Abdullah, beliau dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengenai pendirian Kabinet bahawa kerajaan negeri itu perlu mengutamakan kereta nasional Proton Perdana V6 Executive. Keputusan itu kata Perdana Menteri, adalah muktamad.

Bagaimanapun selepas arahan itu, masih terdapat Exco yang terus menggunakan kenderaan berkenaan dengan alasan sementara proses siasatan BPR ke atas kereta proton perdana V6 Executive yang diambil oleh BPR selesai dan sehingga kereta-kereta berkenaan dipulangkan.

Menurut sumber, alasan yang diberikan oleh mereka hanyalah sekadar alasan untuk mengaburi mata rakyat bagi membolehkan mereka bergaya dengan kereta baru secara senyap-senyap.

“Apa tidaknya, kereta yang diambil oleh BPR untuk siasatan hanya 4-5 buah sahaja, sedangkan masih banyak kereta mewah dan sesuai digunakan oleh Exco dan pegawai kanan kerajaan berada di Pejabat SUK”, tambah sumber itu.

Menurut sumber itu lagi, di Pejabat SUK sahaja, kereta yang dijadikan kereta ‘pool’ lebih daripada 20 buah terdiri daripada kenderaan pelbagai model dan jenis, termasuk model proton perdana, mercedes dan kenderaan MPV. Sekiranya Menteri Besar, Exco dan pegawai kanan kerajaan hendak menggunakannya dan berhasrat untuk berjimat, ia lebih daripada mencukupi.

JAM dimaklumkan kedudukan sebenar kereta yang dibeli dan dipakai oleh Menteri Besar, Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri semenjak zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Datuk Seri Haji Hadi Awang (PAS) dan Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar.

Menurutnya pada zaman peninggalan Wan Mokhtar dan semasa Terengganu diperintah oleh kerajaan PAS (1999), sudah terdapat beberapa buah mercedes model “masterpiece” dan mercedes ‘lampu bulat’ yang digunakan oleh Menteri Besar, Exco dan pegawai kanan kerajaan pada masa itu.

Difahamkan juga, hanya sebuah mercedes “masterpiece” dijual secara ehsan kepada bekas Exco Datuk Abdul Rashid Ngah dan sebuah mercedes ‘lampu bulat’ juga dijual secara ehsan kepada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Che Mat Jusoh. Kedua-duanya dijual semasa zaman pemerintahan kerajaan PAS.

Semasa kerajaan Terengganu diperintah semula oleh BN pada 2004 dan Idris Jusoh menjadi Menteri Besar, beberapa buah kereta mercedes “masterpiece” dan dua buah mercedes ‘lampu bulat’ masih terus digunakan oleh exco pada peringkat awalnya, sehingga kereta nasional Proton Perdana V6 Executive dibeli beberapa bulan kemudian.

Pembelian kereta Proton Perdana V6 Executive adalah untuk kegunaan Menteri Besar, tiga pegawai tinggi kerajaan (ex-officio) dan lapan exco. Manakala dua ‘exco kanan’ ketika itu memilih untuk terus menggunakan mercedes ‘mata bulat’ tinggalan kerajaan PAS.

Kira-kira dua tahun kemudian, kerajaan negeri bersetuju untuk membeli enam buah mercedes ‘mata bulat’ (recond) berharga kira-kira RM180 ribu sebuah untuk kegunaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan empat exco kerajaan negeri yang tinggal di daerah Kemaman, Dungun dan Besut.

Bagaimanapun, sebuah daripada mercedes ‘lampu bulat’ yang baru dibeli itu dijual secara ehsan kepada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Muhatar Abdullah yang telah memilih untuk bersara awal.

JAM juga difahamkan, selepas pilihanraya umum 2008 dan kerajaan Terengganu dipimpin oleh Ahmad Said sebagai Menteri Besar, sebuah mercedes ‘lampu bulat’ (zaman kerajaan PAS) dan sebuah mercedes ‘lampu bulat’ (zaman Idris Jusoh) serta dua buah Proton Perdana V6 Executive (zaman Idris Jusoh) dijual secara ehsan kepada empat bekas exco kerajaan negeri.

Ini bermakna kereta sama ada mercedes “masterpiece” atau mercedes “mata bulat” atau Proton Perdana V6 Executive (baki yang tidak diambil untuk siasatan oleh BPR) masih berkeadaan baik, masih boleh digunakan, masih banyak dan masih mencukupi untuk kegunaan para exco dan pegawai kanan kerajaan lainnya.

Persoalannya, ke mana perginya kereta-kereta itu sehinggakan Menteri Besar dan Exco serta pegawai kanan kerajaan Terengganu ‘terpaksa’ menggunakan Mercedes E200 Kompressor yang baru, walau pun sudah dilarang penggunaannya oleh kabinet.
Related Posts with Thumbnails