Selasa, September 30, 2008

YANG PENDEK : FIZIKAL + AKAL = KHETOQ **

Belum selesai lagi belajar mencari sinonim kata pendek @ pandak @ katik @ renek @ rendah @ singkat @ tidak cukup inci, Ketua Bahagian dah buat komen yang menjelaskan sangat sifatnya yang bukan sahaja pendek @ pandak @ katik @ renek @ rendah @ singkat @ tidak cukup inci fizikal, malah pendek @ pandak @ katik @ renek @ rendah @ singkat @ tidak cukup inci akal.

Kes 1 : Akhbar Watan bilangan 03/08 menyiarkan berita berhubung dengan pertembungan Ketua UMNO Bahagian Dungun yang menggunakan tajuk ‘Perebutan Jawatan Ketua UMNO Dungun : Buku Bertemu Ruas’ (gambar keratan berita berkenaan).

Ketua Bahagian Dungun merangkap Setiausaha Badan Perhubungan Negeri ini dengan megahnya membuat ulasan yang menjelaskan kepandakan akalnya sendiri. Konon-konon dia serba hebat dan serba tahu. Mungkin tak reti nak komen yang lain atau dah tidak ada komen atau bahan nak dijadikan isu lagi, maka si Ketua Bahagian ini pun membuat komen terhadap tajuk berita berkenaan. Sambil mencemeh katanya “macam mana buku bertemu ruas kalau hanya dapat 27 pencalonan? Kalau dapat separuh seorang pencalonan (dari cawangan-cawangan) barulah buku bertemu ruas”.

Dua perkara yang perlu dijelaskan daripada kerenekan akal Ketua Bahagian ini. Pertama memang sah dan nyata dan comfirmed, Ketua Bahagian ini buta peribahasa. Jangan ingat kita jadi Ketua Bahagian merangkap Setiausaha UMNO Negeri, kita dah tahu segala-galanya. Ada lagi ke orang Melayu yang macam nin. Makna peribahasa pun tak tahu. Tak kanlah nak kena mengajar Bahasa Melayu pulak dalam blog nin.

Makna peribahasa tu ialah “yang sesuai @ yang serasi @ yang seimbang @ padan benar”, bukan maknanya dapat pencalonan sama banyak baru nak dikira sesuai, serasi, seimbang, padan benar untuk bertanding. Jangan jelaskan sangat kesingkatan akal kita tu.

Kedua, kalau bilangan pencalonan nak dijadikan alasan kekuatan atau baru dapat bertemunya buku dengan ruas, janganlah semasa cawangan-cawangan hendak mengadakan persidangan dan nak mencalonkan barisan kepimpinan di peringkat Bahagian baru-baru ini, mereka diugut, dipaksa, disogok, dikumpul, dinafikan hak dan kebebasan mereka, dinafikan hak asasi mereka, digunakan pelbagai cara dan kaedah dan saluran untuk menghalalkan cara agar mereka mencalonkan kita sahaja. Tektik, teknik, kaedah, cara, pendekatan, gerakan tu semua orang tahu. Janganlah nampak sangat kekatikan akal kita.

Kes 2 : Antara isu yang ditaburkan kepada perwakilan sekarang ini bahawa Dato’ Din Adam yang akan mencabar Dato’ Pak Rosli bukan orang Dungun. Din orang Kampung Jerung, Marang. Jadi kena tolak orang luar, pilih orang Dungun sahaja.

Pertama, kenapa baru sekarang kita menunjukkan kepandakan akal kita. Memang Din Adam orang Jerung, Marang. Tapi macam orang lain jugak, dia dah lama tinggal di Dungun, ada rumah tangga di Dungun dan pernah memegang jawatan Ketua Pemuda Bahagian. Kenapa masa tu tak dijadikan isu? Atau mungkin masa tu, Din tidak menggugat kedudukan dan kepentingan Dato’ Pak? Maka tidak timbul isu.

Kedua, apakah semua pemimpin, bekas dan bakal pemimpin UMNO Dungun (termasuk pemimpin di semua peringkat – cawangan, wanita, pemuda, puteri dan sebahagiannya pernah memegang jawatan penting di peringkat Bahagian) semuanya orang Dungun? Sekadar mengambil beberapa nama – bekas YB Dato' Engku Bijaya Sura orang mana? bekas YB Datuk Awang Jabar orang mana? bekas YB Cikgu Harun Ali orang mana? bekas YB Ustaz Kamal orang mana? YB Matulidi Jusoh orang mana? bekas SU Bahagian Ustaz Adam Sulong orang mana? Saudara Razak Endut orang mana?

Apakah semua Ketua Cawangan dalam Dungun termasuk yang berada di dalam Felda semuanya berasal dari Dungun? Kenapa mereka ini Dato’ Pak tidak jadikan isu sebagai orang luar? Kerana mereka sokong Pak? Kerana mereka tidak menggugat kedudukan Pak? Atau kerana kita sengaja nak jadikan isu dan nak memekakkan teliga, membutakan mata?

Kalau ya pun nak beri komen atau nak dijadikan isu, sesuaikanlah dengan status Doktor berkurung (Dr) tu. Jangan beri orang mentafsir Dr berkurung tu dengan makna macam berkurung di bawah tempurung.

Oooppp.. lupa, Dr berkurung bukan dapat dari Malaysia, sebab itu Dr ning kurang faham peribahasa dan pepatah Melayu. Dr tu dapatnya dari Jepun. Dalam loghat Hulu Jepun mungkin bunyinya “bupandakku bereneko tekatimu rupoktaracukuinci ahhhhh…”

Agak menghairankan juga, macam mana orang seperti ini diberi jawatan Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA dan Pengerusi Kolej Ketengah dan khabarnya dilantik sebagai Panel Pemikir Kementerian Penerangan dan Pengerusi Unit Komunikasi (UKOM) Kerajaan Negeri Terengganu pula. Semua tu (pelajaran, kolej, pemikir, komunikasi) berkait rapat dengan pendidikan @ pelajaran @ ilmu. Rosak binasalah anak bangsa kalau institusi pelajaran @ ilmu dipertanggungjawabkan kepada orang-orang macam ini.

Benarlah kata orang Terengganu, pendek fizikal campur pendek akal jadinya pendek khetoq.

(Nota ** : khetoq dalam dialek Terengganu bagi menggambarkan kata ganda pendek. Pendek yang sependek-pendeknya)

YANG PENDEK : SUSAH KIRA?

Semasa di Kuala Lumpur dalam majlis berbuka Datuk Mukhriz di Menara KL, saya berjumpa dengan seorang teman wartawan. Teman saya ini mengenali Dato’ Rosli Mat Hassan dan juga mengenali Dato’ Din Adam, mungkin lebih baik daripada saya mengenali dua Dato' ni.

Oleh kerana kenalnya teman saya dengan dua Dato’ yang akan bertembung di peringkat Bahagian Dungun itu, dia tidak bertanya pun saya, siapa punyai peluang lebih baik untuk menang Ketua Bahagian. Maknanya mungkin dia sudah boleh buat formula dan perkiraan sendiri berhubung ‘nasib’ dua Dato’ ini.

Cuma satu perkara yang diajukan kepada saya dan saya tidak boleh menjawabnya dengan sempurna sehinggalah kami berpisah.

Kata teman saya “Kenapa (Dato’) Din Adam tak jaga anak buah dan orang-orang kanan / kuat yang pernah bekerja dengan dia? (Dato’) Pak Rosli masa dia tidak jadi wakil rakyat sekarang ni pun, dia masih kekalkan semua pegawai yang dia lantik masa dia jadi MP dulu. Macam mana Din nak jaga Bahagian kalau anak buah sendiri pun tak tahu duduk perkaranya”.

Saya cuma berkata ringkas “orang-orang pandak nin susah nak kira bicara”.

Kami sama-sama ketawa sehingga saya terlupa nak tanya teman saya, dari mana beliau dapat cerita menarik tu.

YANG DIJADIKAN ISU

Pandaknya pemikiran dan akal sesetengah orang kita ialah dengan menjadikan soal-soal atau perkara peribadi sebagai isu @ modal berkempen mereka bagi menghadapi pemilihan di peringkat Bahagian nanti. Terlalu peribadi. Soal berhubung dengan misi dan visi calon terhadap perjuangan, servival, kelangsungan kepimpinan, hala tuju parti, masa depan agama, bangsa dan negara, sayangkan parti dan sebagainya, langsung tidak dihiraukan. Mungkin tak terlintas pun dalam kepala mereka perkara-perkara berkenaan boleh dijadikan isu, misi dan visi mereka untuk mempertahankan jawatan atau merebut jawatan.

Yang dijadikan isu soal yang membuatkan orang terfikir “alahai… singkat akalnya dia ning….”

Soal bina rumah, orang luar, tak jaga anak buah, 10 tahun dalam parti dah kumpul harta, kereta mewah berbelas-belas buah, ubahsuai rumah berjuta-juta, kroni-kroni berkuasa lebih dari tuan, sombong, tak tegur orang, kaki bodek, orang dia orang kita, bertanding atas kehendak orang atas, orang-orang kenamaan, kerabat dan sebagainya tu – kalau pun nak guna dan dijadikan sebagai isu, minta tolonglah orang-orang asli Somalia yang tukang canangkan.

Tak payahlah kita canangkan sendiri. Nanti orang kata tak cukup inci pemikiran kita, perut masuk angin pula.

YANG SINONIM

Kedua-dua calon Ketua UMNO Bahagian Dungun yang bakal bertembung pada pemilihan Bahagian 25 Oktober 2008 ini nampaknya sama saiz dan sama bentuk. Kedua-duanya diakui mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing. Masih terlalu awal untuk meneka siapa menang siapa kalah. Memang di atas kertas, berdasarkan beberapa faktor tertentu, Ketua Bahagian sedia ada dilihat mempunyai kelebihan.

Cuma saya pernah dipesan oleh cikgu saya, katanya “dalam menentukan kemenangan atau kekalahan hanyalah peluang. Kebijaksanaan mengambil peluang dan menggunakan peluang akan memberi lebih peluang kepada kita. Maka cari dan gunakanlah peluang yang amat relatif sifatnya itu”.

Makanya bagi saya, kedua-dua mereka mempunyai peluang dan kelebihan. Namun perlu diingat, mereka juga ada kelemahan dan kekurangan kerana tiada manusia yang sempurna dan itulah sifat manusia yang dijadikan Allah SWT.

Umum telah mengetahui. kedua-dua calon ini banyak perbezaannya, namun masih ada walau pun sedikit persamaan. Yang agak jelas persamaan mereka berdua, mereka tergolong dalam kategori “orang pendek @ pandak @ katik @ renek @ rendah @ singkat @ tidak cukup inci”.

Cuma kita perlu mencari peluang untuk menentukan betul tidaknya kata orang bahawa “orang pendek @ pandak @ katik @ renek @ rendah @ singkat @ tidak cukup inci ini susah nak kira bicara”.

Sama-samalah kita tentukan, pendek panjangnya hayat mereka dalam politik UMNO Dungun itu.

Isnin, September 29, 2008

YANG WAJAR MENANG - MUKHRIZ?

Kesempatan bertemu dengan Dato’ Mukhriz Mahathir bukanlah sesuatu yang luar biasa. Mukhriz memang popular di kalangan kerabat wartawan, itu diakui banyak pihak. Kebetulan petang semalam, Mukhriz mengadakan majlis berbuka puasa bersama teman-teman wartawan dan teman-teman blogger di Menara KL. Tingginya Menara KL begitulah tingginya harapan Mukhriz untuk menduduki kerusi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, barangkali.

Kenapa Mukhriz dan kenapa saya katakan beliau ‘yang wajar menang’ dalam perebutan kerusi Ketua Pemuda nanti? Jawapannya mudah sahaja – banyak masalah.

Bukan kerana beliau menjamu saya dan teman-teman wartawan untuk berbuka puasa di penghujung bulan ramadhan yang mulia ini di tempat antara 4 menara tertinggi di dunia itu. Bukan juga kerana beliau anak bekas negarawan yang tersohor lagi termasyhur itu. Bukan juga kerana beliau satu-satunya Wakil Rakyat Kerajaan yang menulis surat supaya Perdana Menteri turun takhta. Bukan juga kerana beliau anak muda yang berani bersuara untuk berubah. Bukan juga kerana beliau calon yang berani mencabar KJ. Bukan juga kerana beliau tak ada kerja lain, asyik nak berlawan saja. Bukan, bukan, bukan….

Mudahnya pada saya ialah kerana :

1. Beliau wajar menang kerana KJ.
2. Beliau wajar menang kerana sebahagian Ketua-ketua Pemuda Negeri sokong KJ.
3. Beliau wajar menang kerana beliau bukan bekas Menteri Besar yang hilang negeri.
4. Beliau wajar menang kerana beliau bukan pemimpin Bahagian di negeri yang bermasalah untuk melantik Menteri Besar.
5. Beliau wajar menang kerana beliau tidak sokong Ku Li dan tidak juga sokong Pak Lah.
6. Beliau wajar menang kerana beliau kurang duit yang dikumpul di zaman bapanya jadi Perdana Menteri.
7. Beliau wajar menang kerana beliau tidak ikut telunjuk bapanya, apa lagi untuk bapanya mengikut telunjuk beliau.
8. Beliau wajar menang kerana beliau tidak pandai guna peluang semasa bapanya jadi Perdana Menteri.
9. Beliau wajar menang kerana beliau hanya anak kepada bekas Perdana Menteri bukan menantu.
10. Beliau wajar menang kerana beliau tak wajar kalah.

Yang hanya boleh menentukan Mukhriz tidak wajar menang ialah para perwakilan pemuda yang mungkin telah dinafikan kewajarannya dengan pelbagai pulangan dan janji penerusan pulangan dan pulangan awal menentukan kewajaran pencalonan dan seterusnya pemilihan yang telah ditentukan dengan keajaiban buatan manusia untuk memihak kepada siapa-siapa. Wallahuaklam.

Ahad, September 28, 2008

YANG NAK PAK LAH BERHENTI

Baru sekejap kawan saya Editor Watan balik setelah keluar selepas isyak tadi. Pagi ini dia balik dengan membawa ole-ole yang istimewa untuk bersahur, katanya. Dia membawa pulang tujuh buah buku kecil berkulit hitam berjudul “25 ALASAN PAK LAH WAJIB BERHENTI DARIPADA PM DAN PRESIDEN UMNO – PARTI LEMAH, KERAJAAN GOYAH, RAKYAT SUSAH” yang ditulis oleh apa yang digelar sebagai Kumpulan Pemerhati Profesional Rakyat Malaysia.

Agak menarik buku kecil ini sekiranya dikaitkan kerelevanannya dengan situasi politik negara semasa, walau pun isi kandungannya masih tidak kuat untuk menyakinkan pembaca. 25 alasan ada relevannya, Cuma ulasan setiap alasan itu seolah-olah masih takut-takut dan tidak yakin.

Saya mengambil dari sudut yang positif. Rata-rata 25 alasan yang diberikan oleh kumpulan penulis buku kecil ini adalah alasan yang banyak orang sudah tahu serta telah dan sedang berlaku. Cuma mungkin buku kecil ini diterbitkan bersegera sebelum 9 Oktober bagi membantutkan tindakan Pak Lah terus menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO.

Usaha kumpulan penulis buku kecil ini wajar dihormati. Kita letakkan dulu ke tepi kumpulan penulis ini mirip kepada siapa-siapa. Cuma yang pasti, saya kira dan banyak orang lain juga berkira-kira begitu, bahawa kumpulan penulis ini sayang kepada UMNO sebagaimana Pak Lah kata dia sayangkan UMNO. Cuma mungkin kumpulan penulis ini bukan pemimpin yang mempunyai kuasa dan kedudukan, maka buku kecil menjadi pilihan, bukannya media perdana negara sebagai tempat memberi pandangan dan meluahkan perasaan.

Saya rasa, melihat kepada kualiti dan cara buku kecil ini diterbitkan, tiada sesiapa yang menaja mereka (kumpulan penulis ini) untuk terbitkan buku kecil ini. Mereka guna duit sendiri, bukan duit untung buat jambatan atau duit untung subsidi minyak atau duit untung jual kapal.

Saya tak pasti, berapa banyak buku kecil ini beredar di khalayak. Kerana itu, di bawah ini saya perturunkan 25 alasan yang dimuatkan di dalam buku kecil ini untuk renungan kita. Ulasan kepada alasan tak mampu untuk saya taipkan semuanya, boleh cari sendiri buku kecil ini, tetapi jangan marah mamat gerai buku kalau buku ini tidak terjual di gerai-gerai mereka.

25 ALASAN PAK LAH WAJIB BERHENTI DARIPADA PM DAN PRESIDEN UMNO :

1) BN tidak dapat 2/3 suara (kerusi) Parlimen dalam pilihanraya ke-12.
2) Pulau Pinang, negeri dibawahnya sendiri ditawan DAP–keseluruhan orang Cina tidak sokong Pak Lah.
3) Calon-calon kesayangannya kalah teruk (Setiausaha Politiknya 3 orang kalah di Kedah).
4) Lima negeri jatuh ke tangan pembangkang.
5) Majoriti undi dirinya merosot – 8 ribu.
6) Undi Cina dan India berpaling tadah di seluruh negara.
7) Lima menteri-menterinya kalah di tangan orang yang tak terkenal-anak bilis.
8) Raja tak hormat watikahnya di Perlis dan Terengganu.
9) Setiausaha Agung UMNO letak jawatan kerana tak dilantik sebagai menteri.
10) Dua timbalan menteri tolak jawatan dan satu timbalan letak jawatan.
11) Wakil wanita UMNO tidak dilantik dalam kabinet.
12) Kabinet membawa keresahan mudharat parti, ramai yang terasa hati.
13) Tiada wakil ahli agama yang berwibawa dalam kabinet negara-agama dipinggirkan.
14) Kelemahan Pak Lah yang membawa negeri Terengganu tiada kerajaan baru sehingga 1 bulan – menipu penyokong setianya sendiri (Dato’ Idris dan semua ADUN).
15) Lantikannya ditolak oleh istana Terengganu (krisis MB Terengganu).
16) 60% anggaran rakyat akar umbi tidak bersetuju dengan Pak Lah terus menjadi PM-25% tak peduli.
17) Peribadinya tidak disukai-ditakuti kerana pangkatnya-tidak dihormati oleh banyak pihak.
18) Cakap tidak sama dengan amalan.
19) Kurang prihatin kepada permasalahan masa depan negara.
20) Seronok melakukan kerja-kerja yang tidak disukai ramai.
21) Sukar menerima pakai nasihat kawan.
22) Lemah dalam apa jua tindakan, lembab dan bertangguh.
23) Ucapan dan kata-katanya tidak menarik, kurang mendapat perhatian, kadang-kadang menjemukan.
24) Tidak dapat menstabilkan harga bahan utama keperluan rakyat secara yang tidak membebankan.
25) Umum mengetahui pemikiran dan tindakannya senang dipengaruhi oleh keluarganya.

Pada akhir alasan itu, kumpulan penulis menulis :

Dengan 25 hujah dan alasan ini menjadi bukti Pak Lah tidak lagi layak menjadi orang no. 1 negara. Benarlah sabda Nabi : “Apabila diserahkan sesuatu urusan kepada bukan Ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya (kiamat)”.

Pak Lah berhenti negara selamat,
Pegang lagi parti tenat, Melayu gamat, negara kiamat.

Marilah kita doa dan usahakan agar Melayu selamat, negara berkat, Raja-raja terus berdaulat. Agama teras penyelamat, Wassalam.

p/s : Kalau Pak Lah baca buku kecil ini, ada can ke dia letak terus jawatannya. Kalau MT yang sebut pun, dia boleh pusing, ini kan pula hanya sekadar buku kecil. Tapi, sama-samalah kita berusaha dan bertawakal… demi Agama, bangsa dan negara. Aminnn..

Sabtu, September 27, 2008

YANG MANA KERAJAAN DAN YANG MANA PARTI

Pagi tadi (pukul 9.47 pagi), saya menerima satu sms. Saya kurang pasti siapa pengirimnya kerana beliau menggunakan nombor yang tiada dalam simpanan telefon saya. Yang itu saya kira tidak penting, yang lebih penting isi sms yang diterima sungguh mengesankan dan amat memalukan sekali.

Bunyi smsnya (saya perturunkan sepenuhnya tapi telah diubahsuai bahasa/perkataan) :

Majlis penyerahan rumah shalini. Semua YB dijemput hadir TETAPI rumah akan diserahkan oleh Datuk Rosli. Depan orang ramai nin. Konklusinya ialah (1) Semua YB (Exco, Parlimen, DUN Bukit Besi, DUN Paka), MB kita tak berahi. (2) Semua YB di Dungun tak reti (pandai) buat kerja. (3) Kalau biar Datuk Rosli jadi Ketua Bahagian lagi, semua YB jadi pak pacak je. Tukang pergi dengar Datuk Rosli berucap. TUKANG TEPUK TANGAN. JANGAN BIARKAN INI TERJADI.

Saya kira pengirimnya ialah penyokong atau orang yang pro-Dato’ Din Adam. Itulah senario hari ini, kalau di Dungun, satu kumpulan dicap orang Dato’ Rosli dan satu kumpulan yang lain orang Dato’ Din Adam. Tiada orang lain melainkan dua kumpulan orang itu sahaja.

Saya pernah menulis YANG TERSEMBUNYI DI PADANG PULUT. Saya bayangkan yang ada kemusykilan di sebalik program yang dilaksanakan tempoh hari.

Sekadar rekod, semasa berkunjung ke rumah keluarga adik Sharlinie di Padang Pulut, YAB Dato’ Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu (atas kapasitinya Menteri Besar bukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri) telah memberi jaminan kepada bapa adik Sharlinie, Mohd Nashar Mat Hussin, 'yang Kerajaan (melalui KETENGAH) akan membantu' menyiapkan rumah sebelum menjelangnya hari raya. Sehari selepas itu, Ahli Parlimen Dungun, YB Matulidi Jusoh mengeluarkan kenyataan sokongan akan membantu keluarga Mohd Nashar dan akan berbincang dengan KETENGAH (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah) untuk menguruskan hal ini. Padang Pulut terletak di dalam DUN Rantau Abang dan KETENGAH sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah bertanggungjawab sebagai agensi pelaksana dalam program pembangunan kampung tradisi dan PPRT di mana Padang Pulut masih terletak di bawah jajahan takluknya.

Maknanya kalau KETENGAH yang menguruskan pembinaan dan bantuan rumah keluarga Sharlinie itu, maka ia sudah menjadi tanggungjawab KERAJAAN, hasil daripada saranan Kerajaan Negeri melalui YAB Menteri Besar. YB Matulidi atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Dungun mengambil tanggungjawab memastikan agenda kerajaan pusat dan negeri ini dilaksanakan dengan sempurna. Apa kena mengenanya dengan parti? Mungkin kita nak kaitkan dengan 'government of the day', tapi biarlah tukang serah rumah tu orang yang ada jawatan dalam kerajaan, paling tidak pun ADUN Kawasan, kalau pun dah tak suka kepada Ahli Parlimen. ADUN Kawasan kan Exco Kerajaan Negeri, lebih afdal beliau yang mewakili Menteri Besar. Atau kalau masih tidak mahu, minta Pengurus Besar KETENGAH atau Pegawai Daerah Dungun sahaja yang serahkan bagi pihak Kerajaan.

Kekeliruan terhadap yang mana KERAJAAN dan yang mana PARTI masih berterusan seperti yang saya sebutkan dalam YANG TIDAK BOLEH TENGOK COPONG. Inilah bahananya kalau kita terlampau kemaruk kuasa.

Apa-apa pun, tahniah kepada semua YB di Dungun yang telah berjaya diperbodohkan. Tahniah juga kepada semua Jabatan Kerajaan di Dungun terutama KETENGAH dan Pejabat Daerah yang telah berjaya dikambinghitamkan. Tahniah Yang Amat Besarnya kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu yang dengan mudah telah diperalatkan dan diperbudakkan.

Teringat saya kepada kawan kepada kawan saya yang saya temui malam semalam di Restoran Putra, Kuala Lumpur. Antara katanya “Mat Said boleh jadi MB yang baik dan dihormati, sekiranya beberapa orang pembodek (kuncu-kuncu) di kalangan pemuda Bahagian (Kemaman) yang sekarang ini terlalu angkuh dan sombong dapat dihapuskan. Punahnya Mat Said adalah kerana mereka itu”.

Sinonim dengan kata kawan kepada kawan saya di atas. Cuma yang perlu ditukar ‘Pemuda Bahagian Kemaman’ kepada ‘Rosli Mat Hassan’. Tahniah kepada ‘kawan’ saya yang menghantar sms dan diharap sms itu beredar lebih banyak sasarannya.

Tetapi jangan terkejut beruk kerana dengar ceritanya Mat Said akan mempraktikkan perlantikan Senator DUN tidak lama lagi. Salah seorang yang bakal dilantik sebagai Senator DUN ialah Rosli Mat Hassan. Khabarnya lagi Senator DUN Dato’ (Dr) Rosli bin Mat Hassan akan dilantik pula sebagai Yang Amat Berhormat Ketua Timbalan Menteri Besar Kanan Terengganu.

Dah jadi orang nombor dua bosss…. dah upgred ke pingat perak. Barulah tidak bertukar takir antara Kerajaan dengan parti.

YANG TIDAK TAHU

Kurang lebih pukul 9.10 malam tadi (Jumaat, 25 September) saya melalui belakang SOGO Jalan Raja Laut Kuala Lumpur. Deretan manusia dan kereta amat luar biasa. Kereta-kereta yang berderetan termasuk kereta saya seolah-olah tidak bergerak sementara menunggu lampu isyarat menukar gilir - hijau kuning dan merah.

Manusia berpesta dengan jualan dan belian sempena menyambut kedatangan 1 syawal yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Lebih setengah jam dari belakang SOGO (betul-betul di bawah stesyen LRT Bandaraya), saya berjaya menyusul masuk ke tempat letak kereta di bawah SOGO. Setengah jam kemudian, kereta saya masih tidak dapat diparkir. Ramainya manusia dan banyaknya kereta. Tambah ramai termasuk kami bertiga yang baru tiba.

Kira-kira pukul 12.30 tengah malam selepas keluar dari parkir kereta SOGO, saya ke Restoran Putra, Jalan Putra bertemu kawan kepada kawan saya yang datang dari Kemaman.

Kurang lebih pukul 2.15 pagi, selepas sembang menyembang (majoriti peratus topik perbincangan tentang politik), saya menghantar kawan ke Hotel Adamson (sebelah KLI Hotel) dan saya kembali pusing mengikut Jalan Tunku Abdul Rahman untuk pulang ke Damansara Damai. Kami hanya tinggal berdua.

Pukul 2.30 pagi Jalan Tunku Abdul Rahman (sekitar Chow Kit) masih sesak. Kereta masih berensok-ensok. Rupa-rupanya pesta-pestaan jual beli masih berlaku pada waktu sebegitu. Manusia masih berjualan dan manusia masih memilih dan membeli.

Yang boleh ditelah betul salahnya ;

Manusia ramai tidak tahu dan tidak ambil pusing pun, siapa yang tak nak berhenti.
Manusia ramai tidak tahu dan tidak endah pun, siapa nak jadi PM.
Manusia ramai tidak tahu dan tidak peduli pun, parti mana nak perintah Malaysia.
Manusia ramai tidak tahu dan tiada hal pun, apa itu gawat politik dan gawat ekonomi.
Manusia ramai tidak tahu dan tidak kesah, parti siapa yang mewakili kawasan di situ.
Manusia ramai tidak tahu dan tidak mungkin tahu pun, kenapa UMNO tangguh sidang.
Manusia ramai tidak tahu dan tak tahu pun tak apa, apa itu ISA, apa itu demokrasi.
Manusia ramai tidak tahu dan tapi buat-buat tahu, Pak Lah Presiden PKR, Hj Hadi Presiden UMNO, Anwar Ibrahim Penasihat PAS, Karpal Sing Presiden MCA, Lim Guan Eng Presiden Gerakan, Ibrahim Ali Presiden MIC dan Samy Vellu Presiden SAPP.
Manusia ramai tidak tahu dan susah kalau tahu, rakyat Iraq, rakyat Afganistan, rakyat China, rakyat Samolia dan rakyat Palestin sedang buat apa sekarang.
Manusia ramai tidak tahu, apa-apa yang patut mereka tahu.

Yang mereka tahu dan perlu (malah wajib) tahu : mereka nak raya dan anak isteri/suami mereka nak raya, walau pun harga barang naik berganda, walau pun minyak hanya turun 10 sen saja, walau pun kereta tak cukup jalan, walau pun hampir semua peniaga di Chow Kit bukan warganegara mereka lagi.

Bagusnya kerana mereka menjadi manusia yang tidak tahu. Malangnya kalau mereka menjadi manusia yang serba tahu.

Rabu, September 24, 2008

YANG TELUS YANG LURUS?

Membaca wawancara Aqil Fithri bersama Ir. Hj. Khalid Abd Samad, Ahli Parlimen Shah Alam ini, kita dengan sendirinya dapat menilai apakah pandangannya telus dan lurus atau ada muslihat tertentu untuk ‘mengurangkan’ pengaruh PAS dan pemimpin PAS dari Terengganu? Maklumlah adik Menteri. Apa pun, segala persepsi baik atau sebaliknya, terletak dalam minda anda.

Di bawah ini saya perturunkan sepenuhnya wawancara khas oleh wartawan ummahonline.com – dipetik daripada laman www.ummahonline.com, berhubung kontroversi yang sedikit sebanyak menggugat PAS dan kedudukan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Mustaffa Ali.

Khalid Abd Samad: PAS Terengganu Tidak Ada Sebab Untuk Kalah

Oleh: Aqil Fithri

Ada yang keliru, bila khalayak ditontonkan dengan pemimpin PAS bangkang-membangkang secara terbuka. Tema 16 September gegeran Anwar Ibrahim memang berbisa. Tema ini bukan sahaja mengugat kestabilan Umno, malah turut dikatakan mengugah keharmonian PAS.

Ir. Hj. Khalid Abd Samad, selain Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, adalah antara yang kental membela 16 September. Manakala Dato’ Hj. Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu pula tampak begitu sinis dengan usaha tersebut. Sementara, Harakah pula menjadi medan seteru dialektik tersebut. Justeru, bagi mendapatkan keadaan sebenar dari satu sisi, Ummahonline.com berkesempatan mendapatkan penjelasan dari Ahli Parlimen Shah Alam tersebut.

Anda dan Dato’ Hj. Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu dilihat ada konflik pendapat sepertimana yang umum ketahui baru-baru ini. Dalam konflik tersebut, anda ada menggunakan frasa “bawah tempurung” ketika mengambarkan lingkungan pemikirannya. Sebenarnya, apa masalah PAS Terengganu berbanding dengan PAS di negeri-negeri yang lain?

Saya tidak boleh bercakap banyak pasal PAS Terengganu ini. Tapi apa yang kita nampak terdapat kecederungan di kalangan pimpinan PAS Terengganu yang terlalu khuatir tentang kemampuan kita untuk mempengaruhi dasar-dasar PR apabila kita berkongsi kuasa kelak.

Di sini, saya rasa mereka tidak ada keutamaan, iaitu yang mana yang mahu diutamakan dahulu. Soal itu mereka maseh tidak begitu jelas. Apa yang kita dapati, mereka mahu mengharamkan konsert, mahu mengharamkan minuman keras, mahu mengharamkan judi, mahu mengharamkan cara pemakaian, mahu mengharamkan pertunjukan dan sebagainya. Bagi saya, apa yang kita mahu utamakan sekarang ialah bagaimana untuk membentuk suatu kerajaan dan pentaadbiran yang lebih amanah, lebih telus, dan lebih adil. Ini yang penting sebenarnya. Walaupun mungkin dari segi amalan-amalan maksiat yang disebutkan tadi maseh berlaku pada tahap yang sama pada peringkat permulaannya, tapi bagi saya ianya merupakan suatu proses yang kita terpaksa lalui. Hal-hal itu tetap berlaku, dulu berlaku dan sekarang pun di bawah PR pun ia berlaku. Hal-hal tersebut tidaklah lebih teruk. Mungkin juga tidak kurang, atau mungkin tidak dapat dikurangkan, ataupun barangkali juga dapat dikurangkan sedikit.

Tetapi yang harus diberikan keutamaan ialah tentang pemerintahan serta pengisian progam-program yang kita mahu jalankan. Ini boleh dilakukan melalui program masjid kita, surau kita, dan sebagainya—yang akhirnya akan mendatangkan hasil di mana masyarakat ini dengan sendirinya akan menolak amalan-amalan yang seperti itu. Ini maknanya, bagi saya, amalan soleh itu akan berlaku bila manusia bergerak ke arah kefahaman yang soleh dan sebagainya. Maka, perubahan-perubahan ini tak perlu dipercepatkan lebih daripada proses yang biasa.

Dalam hal ini, bagaimana pula dengan PAS Terengganu?

Tapi bagi PAS Terengganu, mentaliti keutamaan mereka ialah bila mereka berkuasa dan mreka mahu mengharamkannya. Dan bagi saya di Selangor, itu sukar kerana kita kini hidup di dalam suasana yang berbeza. Di Terengganu suasananya lain, di Selangor suasananya pula lain. Kalau kita lihat PAS peringkat pusat dan negeri pun berbeza. Jadi, apa yang perlu kita lakukan ialah proses perubahan yang bermula daripada menyediakan suasana di mana maaruf. Ini penting supaya maaruf tersebut boleh berkembang tanpa dihalang, iaitu tanpa menyekat sangat serta tidak bertindak menggunakan kekuasaan untuk memaksa masyarakat yang belum bersedia untuk menerima apa yang kita inginkan. Maka, proses untuk menyediakan masyarakat sudah tentu memakan masa. Inilah yang saya rasa dari satu segi PAS Terengganu punya uslub dakwah berbeza, manhaj berbeza, dan mereka mempunyai fikrah yang tersendiri tertentu kerana mereka hidup di Terengganu.

Bagaimana pula dengan PAS di Kelantan?

Ya. Dalam masa yang sama, PAS di Kelantan juga hidup dalam hampir 100% orang Islam. Tetapi atas sebab-sebab pengalaman mereka, mungkin PAS Kelantan menyedari bahawa kaedah sepertimana yang saya sebutkan tadi adalah yang lebih praktikal dan lebih berkesan. Jadi, kita perlu tegakkan satu kepimpinan yang bertanggungjawab, yang bertaqwa dan membawa masyarakat ke arah Islam mengikut kadar yang mampu dilaksanakan dan dihayati oleh masyarakat.

Saya punya tanggapan bahawa kita akan sampai kepada keadaan di mana masyarakat itu sendiri yang akan meminta perkara tersebut diharamkan. Itu yang dikatakan sebagai masyarakat sivil. Jadi, pemaksaaan tersebut bukannya datang dari peringkat kerajaan.

Fikiran dalam generasi muda waktu ini nyata berbeza dengan sebelumnya. Malah, sangat ketara perbezaannya. Mungkinkah kita boleh katakan bahawa pemimpin PAS Terengganu tidak begitu memahami zaman?

Saya tidak mahulah memburuk-burukkan, serta memperkecil-kecilkan PAS Terengganu. Saya pun dalam blog saya telah pun menyebut yang pada hakikatnya PAS Terengganu itu jauh lebih kuat dari Selangor. Tetapi mungkin diperlukan sesuatu dari segi kaedah dan pendekatan supaya lebih sesuai dengan naluri masyarakat.

Kita cuba perhatikan, dengan majoriti Melayu muslim yang ramai, PAS Terengganu maseh tidak dapat menang dalam pilihanraya umum ke-12 Mac lalu. Jadi, kita perlu lihat kembalilah mengenai kaedah kita, daya penarik kita dan sebagainya. Ini kerana, kita tidak boleh terlalu keras, kerana akhirnya orang tidak akan beri kita sokongan. Jadi, apa maknanya? Sedangkan kalau kita ada kekuasaan, kita boleh gunakan untuk menyemarakkan lagi kesedaran di kalangan umat Islam berhubung dengan apa yang kita sedang kita perjuangan.
Dari sini, saya rasa mereka mungkin tidak memahami dan masih tidak mahu cuba untuk memikirkan uslub dakwah yang lebih berkesan.

Mustafa Ali, atau Cikgu Pa ada menggunakan beberapa istilah seperti “mustahil”, “janji kosong”, “gimik” dan lain-lain lagi bagi merujuk kepada 16 September. Hari ini sudah 16 September. Dan, memang pada hari ini kita lihat tidak ada perubahan struktur dalam kerajaan. Adakah ini menunjukkan pandangan Cikgu Pa benar?

Pokoknya beginilah. Bila dikatakan “janji kosong” atau “gimik” dan sebagainya itu, ia seolah-olah satu benda yang macam Anwar Ibrahim pula yang membohongi rakyat. Sebenarnya agenda ini sedang diusahakan dan saya memyatakan bahawa dalam apa-apa usaha bila ditetapkan tarikh akhir dan diusahakan supaya ianya tercapai pada tarikh akhir tersebut, maka ia merupakan satu kaedah yang biasa. Sekiranya tidak kena pada tarikh tersebut, tidak bererti itu satu pembohongan. Itu hanya bererti bahawa mungkin ada tindakan-tindakan di pihak lawan yang kita tidak jangka, malah yang kita tidak ambil kira di peringkat awalnya. Sebagai contoh tindakan menghantar ahli-ahli parlimen BN ke Taiwan dan sebagainya. Kita pun tidak terfikir mereka akan lakukan sampai ke tahap itu. Tapi itu tidak bererti kita berbohong. Tapi itu semua merupakan satu perkara yang dinamik yang ada faktor push-pull. Jadi, sepatutnya semua orang harus berkerjasama untuk menjadikannya usaha ini satu realiti. Ini orang sedang berusaha, kita duduk tepi dan buat komen. Ini tidak begitu menariklah. Lebih baik kita sama-sama turun dan kita sama-sama usahakan. Itu adalah lebih baik.

Kalau kita lihat, Cikgu Pa menyatakan bahawa tindakan penyeberangan ini merupakan sesuatu tindakan yang “tidak bermoral” dan “tidak demokratik.” Itu memang merupakan nada dan hujah yang lazim digunakan oleh banyak pihak, termasuk di kalangan pembangkang yang tidak senang sekali pun. Sebenarnya bagaimana kita nak letakkan hukum pada penyeberangan ini?

Bagi pandangan saya, kalau penyeberangan ini dilakukan atas ugutan, atas tawaran, dibeli, maka ianya boleh dikatakan sebagai sesuatu tindakan yang tidak bermoral, di mana sebahagian wakil rakyat tersebut menjual dirinya untuk mendapatkan imbuhan dan sebagainya.

Tetapi dalam kes ini, apa yang kita lihat mereka tidak minta apa-apa, dan tidak dibeli oleh mana-mana pihak. Tetapi, oleh kerana suasana politik yang telah berubah di mana pilihanraya umum Mac 2008 lalu, mereka beranggapan bahawa sememangnya tidak ada satu parti yang selain dari BN yang boleh memerintah dan mereka tidak sanggup untuk duduk sebagai pembangkang. Oleh kerana fikiran begitu, maka mereka telah bertanding sebagai calon BN, sebab pada masa itu mereka menganggap kalau mereka bertanding sebagai calon parti lain, sekiranya mereka menang sekalipun, mereka akan jadi pembangkang. Tapi, mereka tidak mahu jadi sebagai pembangkang. Inilah yang pernah dilalui oleh ahli-ahli politik di Sabah dan mereka sudah cukup serik dengan pengalaman itu.

Tapi, kali ini mereka lihat suasana telah berubah, dan demi kepentingan rakyat, mereka pun memahami kehendak rakyat Sabah yang nampaknya pun mahukan perubahan. Maka mereka pun ingin bersama dengan arus perubahan ini. Lalu, saya rasa dalam keadaan yang seperti ini, jika mereka berhijrah atas atas keinsafan dan atas kesedaran, maka kita tidak bolehlah dikatakan tidak bermoral. Malahan, adalah lebih tidak bermoral untuk mereka kekal di situ, dalam keadaan mereka menyedari bahawa mereka tidak lagi disokong oleh rakyat. Jadi, itu adalah lebih tidak bermoral dalam mereka duduk dan sedangkan mereka memahami bahawa rakyat tidak menyokong mereka tapi mereka terus bersama BN.

Bukankah lebih baik kuasa ahli-ahli parlimen BN ini dipulangkan kembali kepada rakyat, dan disahkan semula apakah sememangnya benar kehendak rakyat yang diwakilinya begitu?

Kita memang kalau boleh, apa yang kita ingin adalah pilihanraya sekali lagi bagi mendapatkan mandat. Tapi, pilihanraya yang kita mahukan itu mestilah dilakukan dalam keadaan dan suasana yang betul-betul telus. Kerana, selama ini kita semua telah sebutkan—dan ini bukan gimik ataupun sandiwara—bahawa pilihanraya di Malaysia adalah tidak adil. Dan, hakikat kita mencapai kemenangan Mac 2008 adalah kerana pihak BN tidak sangka kita akan mendapat sokongan yang seperti itu. Maka, mereka tidak meningkatkan tahap penipuan dalam pilihanraya Mac 2008 itu.

Sekiranya mereka sedar bahawa kita adalah sekuat sepertimana yang telah terbukti ini, maka sudah pasti mereka bertindak untuk memintas keadaan itu, sama ada dengan persempadanan baru, dengan daftar pemilih yang lebih tercemar, sama ada dengan pengeluaran kad pengenalan yang palsu, atau sebagainya.

Jadi bagi kita, dan perkara ini telah pun disebut oleh pimpinan PR sendiri, sekiranya kita menang dan membentuk kerajaan sekalipun, kita akan membubarkan parlimen antara enam bulan hingga setahun. Namun, kalau menurut padangan saya, sewajarnya antara setahun hingga dua tahun. Kerana dalam tempoh tersebut diperlukan untuk kita membersihkan SPR, daftar pengundi, membetulkan proses undi pos bagi menjamin pilihanraya yang lebih adil. Kalau kita nak buat sekarang ini, orang-orang yang letak jawatan tersebut tidak boleh bertanding balek, melainkan seluruh parlimen dibubarkan.

Jadi, sekiranya seluruh parlimen dibubarkan, dalam keadaan sekarang SPR boleh menentukan lagi keputusan dengan kerjasama radio, tv, surat khabar, dll. Maka sudah tentu pilihanraya tersebut adalah pilihanraya yang terkotor. Jadi, kenapa kita mahu pertahankan mereka (BN) sangat?

Difahamkan Cikgu Pa telah menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Harakah untuk memaksa Harakah menerbitkan pandangan peribadinya di muka surat hadapan dalam keluarannya baru-baru ini. Seperti yang kita sedia maklum, tindakan penyeberangan yang cuba dilakukan oleh PR telah dilihat oleh Cikgu Pa sebagai “tidak bermoral” dan “tidak demoktarik.” Tapi, apakah kita boleh juga katakan bahawa campur-tangan Cikgu Pa secara peribadi dalam Harakah ini juga merupakan sesuatu tindakan yang “tidak bermoral”, “tidak demoktarik”, malah barangkali seperti tampak seperti “diktator”?

Saya tidak mahulah menggunakan istilah-istilah itu. Tapi bagi saya ia tidak sepatutnya menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pandangan peribadinya disiarkan. Sama ada bermoral ataupun diktator, saya tidak mahu cakaplah. Tapi, memang tidak patutlah dia buat begitu. Dia sepatutnya menyedari bahawa Harakah sepatutnya digunakan untuk pandangan rasmi, ataupun untuk mana-mana pandangan-pandangan yang selari dengan pandangan yang rasmi.

Tapi, Cikgu Pa sendiri katakan itu pandangan peribadi. Masalahnya, kalau pandangan peribadi, kenapa siar di muka depan. Ini boleh menyebabkan satu gambaran seolah-olah itu pendirian PAS, kerana Harakah adalah lidah rasmi PAS. Itu yang tidak betul.

Saya rasa Cikgu Pas mungkin terlalu ghairah pada masa itu untuk melakukan apa yang dia sifatkan hendak menyelamatkan PAS. Tapi, saya rasa dari sudut setiakawannya, dari sudut kerjasamanya, dari sudut politiknya, maka saya rasa ia cukup merugikan.

Di Terengganu mungkin persepsinya berbeza. Dia mungkin akan turun dan berkata pada ahli-ahli PAS di Terengganu bahawa kita telah cakap benda ini, maka bila tidak berlaku 16 September, jadi kita pun selamatlah. Sepatutnya itu bukan mesejnya—untuk selamatkan diri kita seorang diri. Sepatutnya mesejnya ialah, memang kita sedang berusaha untuk mencapai matlamat 16 September, dan hampir tercapai pun. Tapi oleh kerana tindakan pihak lawan, ianya terganggu sedikit, namun itu tidak bererti gagal.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ada mengeluarkan kenyataan yang membidas balek pandangan Cikgu Pa ini. Sayangnya, tidak disiarkan secara sewajarnya. Jadi, apakah kesan yang wujud ekoran pertelingkahan secara terbuka di kalangan pimpinan utama PAS ini?

Ini bukan benda yang kita banggakan. Malah ia adalah sesuatu yang malang apabila perkara ini berlaku. Tapi, kesalahannya saya letakkan pada bahu Cikgu Pa kerana dia yang siarkan pendirian peribadinya yang bercanggah dengan pimpinan parti di muka depan dalam akhbar parti. Bagi saya, dialah puncanya. Saya rasa dengan keadaan begini, dan nampak gaya masing-masing, khususnya Cikgu Pa maseh mempertahankan tindakannya, maka kita macam menghadapi masa depan yang kurang baik, nauzubillah.

Kita sewajarnya mesti mampu berbincang dengan orang yang tidak setuju dengan kita. Bila Cikgu Pa mahu buat kenyataan itu, maka dia jangan bincang dengan orang yang di Terengganu. Dia kena bincang dengan orang yang di Selangor dan di negeri-negeri lain. Dan, tengoklah dulu maklum balas dari kami. Kalau bincang dengan orang-orang di Teregganu yang memang dah sealiran pemikirannya dengannya, maka tidak gunalah. Kerana, dia mesti tahu bahawa tindakannya itu adalah satu tindakan yang agak kontroversi. Tapi malangnya, dia tidak bincang dengan kami, sebaleknya bincang sesama mereka.

Akhirnya sekali, kalau kita melihat faktor Terengganu tersebut, sejauh mana pula Cikgu Pa dapat mempengaruhi presiden parti, Ustadh Hadi dalam merumuskan sebarang keputusan parti? Sebab, kita sering mendengar banyak dakwaan yang menyatakan bahawa Ustadh Hadi ini terlalu dipengaruhi oleh Cikgu Pa?

Saya rasa sedikit sebanyak mesti ada kebenaran. Saya tahu bahawa Ustaz Hadi menghormati Cikgu Pa dari segi bacaan politiknya. Namun, hakikatnya mereka dalam keadan yang jauh lebih kuat dari kami di Selangor, tetapi mereka tidak berjaya untuk menjatuhkan kerajaan BN Terengganu. Kami di Selangor yang jauh lebih lemah dari mereka, tapi kami berjaya.

Lalu apa yang perlu difikirkan ialah mungkin ada strategi dan kaedah mereka yang perlu diperbaiki. Kerana tidka ada sebab mereka harus kalah, sedangkan negeri-negeri lain yang yang lebih sukar kita boleh menang.

Ahad, September 21, 2008

YANG MARAH DAN KENA MARAH

Sebelumnya saya membaca sedikit kesah tentang bagaimana kononnya Mursyidul Am PAS 'marah-marah sikit' kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu, sehinggalah saya diberitahu oleh teman saya bahawa kenyataan penuh Mursyidul Am PAS itu ada dalam satu laman blog pro-UMNO. Setelah saya ketemuinya dan menghayati setiap patah kata yang diucapkan oleh ‘orang tua’ (panggilan yang digunakan sendiri oleh Mursyidul Am PAS), saya tertanya-tanya sendiri, betul ke apa yang saya baca nin?

Sebagai rakyat Terengganu, saya tumpang simpati kepada ‘anak’ yang telah dimarahi oleh ‘ayah’nya seperti dalam kes ini. Cuma mungkin kesimpulan yang boleh kita buat ialah kerana DS Anwar Ibrahim yang berulang-ulang kali menyebut 16 September, semua orang jadi susah. Anak kena marah, ayah marah anak, ayah hantar anak ke luar negara, anak terpaksa tipu orang kampung, dan macam-macam penyakit berjangkit lagi, seperti yang telah saya tulis terdahulu.

Jadi saya mengambil keputusan untuk menyiarkan semula sepenuhnya berita berkaitan dan kenyataan ‘kemarahan’ ayah kepada anak itu untuk sama-sama kita ambil iktibar. Cuma jangan jadi macam saya yang berfikir berkali-kali dan bertanya tanpa jawapan perihal betul atau tidak apa yang dibaca ini.

Berita yang dipetik dari Siasahdaily bertarikh 19 Januari 2008 :

KOTA BHARU, 18 Sept : "Selesai,” kata Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali sebaik sahaja selesai pertemuan antara beliau dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi ini.

Setelah dilihat bertembung dalam akhbar rasmi parti mereka, Harakah, Mustafa bertemu dengan Nik Abdul Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10 jam 10 pagi ini. Pertemuan itu berlangsung lebih satu jam dalam suasana yang sangat harmoni.

"Ia umpama pertemuan anak dan ayah," kata Mustafa kepada wartawan.

Kedua-dua mereka dilihat bertembung apabila Harakah menyiarkan wawancara khas dengan Mustafa berkait dengan 16 September dan usaha menubuhkan kerajaan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mustafa, dalam wawancaranya, tidak pro sangat dengan projek itu. Nik Aziz tidak bersetuju dengan Mustafa lalu membuat satu kenyataan kepada Harakah selepas lidah rasmi PAS itu menyiarkan wawancara Mustafa itu.

Harakah telah menyiarkan pula kenyataan Nik Aziz itu dan dijadikan berita utama muka belakang. Tidak cukup dengan kenyataan itu, Nik Aziz telah sekali lagi mengkritik Mustafa dalam ceramahnya di Markas Tarbiyah PAS di Taman Melewar beberapa hari lepas.

Sesetengah pihak mendakwa Harakah menyekat kenyataan Nik Aziz seolah-olah tidak menyiarkannya dengan menuduh Harakah mengISAkan kenyataan itu. Padahal apa yang dilakukan Harakah adalah menyiarkan kenyataan itu dengan mengambil fakta penting kenyataan itu dan dibuat dalam bentuk berita. - siasah

Berikut pula ialah kenyataan penuh Datuk Nik Aziz yang disiarkan dalam satu laman blog di bawah tajuk 'Kenyataan Nik Abdul Aziz yang ‘diharamkan' :

RAKYAT TERENGGANU SALAH PILIH PESURUHJAYA

1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.

2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskan oleh Muktamar secara “standing ovation”.

3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.

4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.

5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.

7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.

8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?

9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Bertarikh : 11 Ramadhan 1429 11 September 2008.

p/s Kenyataan di atas telah diarah ditarik siarannya dari Harakah. Terdapat tangan-tangan hitam di puncak Raja Laut yang begitu taksub dengan UMNO sehingga tindakan mereka pun sudah sama dengan UMNO.

Sabtu, September 20, 2008

YANG TERSEDAK DAN TERDESAK

Saya tersenyum sendirian sebaik menerima sms sahabat saya dari Kuala Lumpur. Kata sms tu “ada majlis MB di KL, Pok Li ada. Dia marah aku berita pecat Ustaz Kamal”.

Kerana sahabat saya tu Editor Akhbar Watan yang menyiarkan berita tu, maka dialah yang menjadi mangsa keadaan. Mungkin berita tu banyak orang yang tahu datangnya dari saya walau pun tanpa byline, sebab nama saya tercatat senarai sidang pengarang akhbar berkenaan. Keduanya kerana saya orang Dungun dan ketiganya, kerana cerita tu saya siarkan semula dalam blog jarang anak melayu ini (rujuk : yang telah dipecat).

Pok Li mungkin tersedak kerana tidak menyangka berita tu boleh ditulis dan disiarkan dalam akhbar. Dia juga mungkin tidak perasan dan tidak menyangka bahawa Watan adalah akhbar bebas dan tidak memihak kepada sesiapa. Yang mungkin Pok Li tahu, perlu ditulis berita yang molok-molok semata dan membodek sahaja.

Itulah kalau orang dah terdesak, boleh marah orang tak tentu pasal. Cakapnya nak minta orang hormati dan dengar, dan sebolehnya terbitkan berita-berita yang baik-baik sahaja. Yang kurang baik atau tidak baik tu, pejam mata saja.

Takkanlah dalam hal pemecatan yang benar-benar berlaku pun kita nak sembunyikan lagi faktanya. Salah ke berita tu, memfitnah ke berita tu, rekaan ke berita tu? Inilah susahnya kalau orang senantiasa merasakan dia saja yang betul dan punyai kuasa, tidak mahu mengakui kelemahan dan kekurangan sendiri dan merasakan segala macam perkara dia saja yang boleh tentukan dengan ‘kuasa’ yang terperasan dia miliki sementara itu.

Saya balas sms kawan saya tu : “baguslah, maknanya ada kesan cerita tu, tu kan berita skop, yang kelasnya Editor, sebab akhbar kau yang dapat, akhbar lain tak dapat. Lagi pun, apa hak dia nak marahkan kau? Dia bagi makan kat kau ke? Atau kau minta makan dengan dia?

YANG NAK SUKA

Dalam saya berbual kosong dengan sahabat saya di hospital, tiba-tiba dia menyentuh tentang pertandingan merebut Ketua Bahagian. Sahabat saya bertanya saya, sama ada jadi atau tidak pertandingan tu. Jawab saya, insya-Allah jadi. Itulah setahu saya.

Yang nak sukanya, saya tanya kenapa? Kata sahabat saya tu, amat munasabahlah sebab penyandang sedia ada menggunakan pelbagai kaedah untuk menghalalkan cara. Antara yang paling kartun, katanya perwakilan telah digula-gulakan kononnya hari ini dalam pentadbiran kerajaan negeri, beliau adalah orang no.3 yang berkuasa.

Kalau gitu, takkan nak pilih orang lain bosss… pingat gangsa dah tu.

YANG MEMBAWA DIRI

Khabarnya seorang orang kuat pemimpin parti di satu bahagian telah ‘disisihkan’ oleh bosnya dan kini membawa diri entah ke mana.

Orang ini telah terlebih dahulu disisihkan daripada terlibat secara langsung dalam Pilihanraya Umum ke-12 lalu, setelah kerusi parlimen bahagian berkenaan ditandingi oleh orang lain yang bukan bosnya.

Yang seronoknya, semasa berkuasa dulu, orang inilah yang mempunyai kuasa penuh dan boleh menentukan apa saja yang dikehendakinya melebihi daripada bosnya sendiri. Pendek kata, apa kata beliau adalah kata bosnya dan dalam sesetengah kes, apa kata bosnya, tidak semesti kehendaknya dan masih boleh ditentukan olehnya.

Mungkin bosnya baru terkejut daripada tidur yang panjang, maka tindakan telah diambil. Atau mungkin juga bosnya hendak menyelamatkan diri sementara kerana sedang berhadapan dengan perjuangan hidup mati di peringkat partinya.

Yang nyata, nama bosnya menjadi amat tidak baik kerana tindak tanduk orang ini sebelum ini, dan sesetengah ahli parti bosan dengan sikapnya itu, menyebabkan ada yang memberi amaran kepada bosnya, kalau orang ini masih bersama dan berkuasa menentukan segala macam seperti sebelumnya, mereka tidak akan bersama bosnya lagi.

Cuma yang jelas, sama ada hilang atau pun disingkir, orang kampung semua dah tahu bahawa bos borek anak buah rintek.

YANG TERHARU DAN SIMPATI

Petang tadi (Jumaat, 19 September 2008) saya ke hospital melawat sahabat baik saya yang dimasukkan ke wad. Haji Mohamad Ali, sahabat saya sejak lebih 20 tahun dalam belia MAYC dan politik, khususnya di Dungun. Kami sama-sama dalam perjuangan.

Sedihnya sahabat saya tu dikatakan menghidapi barah usus, tapi belum dapat dipastikan. Katanya, doktor memerlukan lebih banyak masa untuk mengesahkan penyakitnya. Beliau sudah dibedah, tapi tak dijumpai simptom penyakit tu. Kini beliau masih di wad 2EF, Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu sejak seminggu lalu, sebelum sample kajian penyakitnya diambil lagi dan akan dihantar ke Hospital USM, Kubang Kerian.

Kerana kami bukan doktor atau belajar dalam bidang perubatan, Cuma setakat itu sajalah yang boleh kami bualkan. Kebetulan tiada tetamu lain yang mengziarahi dia, saya bersembang soal-soal lain, termasuk soal bagaimana perjuangan kami dulu-dulu dalam belia mahu pun politik.

Saya jadi amat terharu dan simpati dengan Haji Mohamad Ali. Beliau masih kental dengan perjuangan, walau pun sudah memasuki usia setengah abad. Yang seronok katanya, dalam tempoh perjuangan itu, hampir ke semua anak-anaknya telah berjaya dalam pelajaran. Ada yang sedang menuntut di UiTM, ada di UMSabah, ada di MRSM dan tempat-tempat elitis yang lain.

Cuma yang agak terkilan sikit katanya, ‘perjuangannya yang sedikit’ dalam belia dan politik itu, juga dibalas dengan sedikit penghargaan dalam usaha beliau memberi didikan kepada anak-anaknya, hanya semata-mata kerana dia antara orang yang bukan yes man, agak menentang arus dan kurang bersetuju dengan pandangan orang-orang yang lebih berkuasa.

Saya hanya mampu minta dia bersabar dan sama-sama berdoa agar penyakitnya cepat sembuh dan dia dapat menjalani kehidupannya seperti biasa.

Rabu, September 17, 2008

YANG TERLIBAT DAN DILIBATKAN

Kisah pecat memecat rupanya tidak terhenti setakat melibatkan jawatan-jawatan dan orang-orang dalam parti sahaja. Malahan sindrom yang seakan-akan menjadi kemestian ini telah juga menular dengan hebatnya dalam badan-badan NGO di bawah agensi kerajaan dan swasta.

Tapi yang menarik dan seronoknya ialah yang terlibat. Walau pun tidak berlaku dalam parti, tetapi yang terlibat seperti punca, sebab musabab dan orang-orangnya amat berkait rapat dengan satu faktor utama – politik.

Nampaknya tradisi menghalalkan cara telah digunakan dengan sebaiknya oleh pemimpin-pemimpin parti yang berkepentingan ini. Dengan kuasa yang masih berbaki, mereka menggunakan ketua jabatan, pegawai jabatan, pengarah-pengarah jabatan, ketua-ketua bahagian dan unit, bos-bos waima sesiapa sahaja yang berkuasa di jabatan / pejabat kerajaan atau swasta untuk mengugut dan menghalang.

Sebelum ini, semasa berlangsungnya persidangan cawangan, sudah terlalu banyak aduan dan rungutan yang diterima daripada ahli-ahli yang agak berkecenderungan menongkah arus, mengatakan yang mereka telah diugut dan dihalang. Mereka diugut akan ditukar, diugut akan menghalang kenaikan pangkat, mereka dihalang menjalankan tugas-tugas yang boleh menuntut elaun lebih masa dan elaun perjalanan serta macam-macam cerita yang enak-enak didengar lagi.

Bos-bos di pejabat ini dipergunakan oleh Ketua Bahagian dan kuncu-kuncunya untuk mengekang pengaruh orang lain, sehingga sanggup menggunakan kuasa pejabat. Bos-bos ini diarah memanggil, mengadap, menegur, melarang, menasihati anak-anak buahnya yang berkecenderungan dengan politik menongkah arus dan mereka diberi kata dua, sama ada menyokong Ketua Bahagian atau menghadapi tindakan yang lebih berupa ugutan.

Yang terbaru jawatan Pengerusi KRT yang menjadi jawatan lantikan oleh Pegawai Perpaduan Daerah pun dipecat daripada orang yang tidak sebulu dengan Ketua Bahagian, semata-mata kerana cawangan yang dipimpin oleh Pengerusi KRT lama ini tidak mencalonkan Ketua Bahagian.

Yang lebih seronok untuk diteliti, nama saja pejabat perpaduan, tindakannya perpecahan. Malah bos pejabat perpaduan ini dengan bangga dan besar kepalanya mencabar dengan mengatakan tiada siapa yang berani untuk menukar atau mengambil tindakan terhadap beliau, walau apa pun tindakan dan cara yang beliau lakukan. Woowww.. sudah mendapat lampu hijau.

Itulah sikap manusia yang kemaruk kuasa dan takut hilang kuasa.

Yang seolah-olah tidak terjangkau di akal untuk difikirkan ialah nilai ketua-ketua jabatan, pegawai jabatan, pengarah-pengarah jabatan, ketua-ketua bahagian dan unit atau bos-bos ini tadi….. sebahagian besar nilai dan maruah diri mereka hanya sebuah Communicator Nokia E90.

YANG DIUJI DAN TERUJI

Sudah hampir seminggu saya demam. Akibatnya banyak yang saya nak tulis untuk blog jarang anak melayu sedikit terbantut.

Semua itu adalah ujian Tuhan.

Diuji ketabahan sempena bulan ramadhan yang mulia ini juga.

Apa-apa pun paling tidak, kita secara pantulan akan beringat, kali ini giliran kita diuji setelah beberapa kali sebelumnya (sama ada secara sedar atau sebaliknya), kita menguji sahabat taulan, orang lain dan orang-orang yang kita kenal tapi mereka tidak mengenali kita.

Tinggal lagi, tidak pasti sama ada kita dan ‘orang-orang’ itu teruji atau tersalah uji.

Selasa, September 16, 2008

YANG TERSEMBUNYI DI PADANG PULUT

Alkisah maka berangkatlah rombongan YAB Menteri Besar Terengganu ke Kampung Padang Pulut, Dungun tujuan ziarah simpati dan empati seterusnya menyampaikan bingkisan Hari Raya ke pangkuan keluarga adik Sharlinie yang hilang sejak Januari lalu.

Mohd Nashar Mat Hussin, 30 tahun ayahanda kepada adik Sharlinie dan keluarga pulang dari Kuala Lumpur untuk menetap di kampung asal keluarganya di Kampung Padang Pulut Dungun, sekurang-kurangnya bagi mengurangkan bebanan emosi lanjutan kehilangan adik Sharlinie yang dianggap oleh Menteri Besar sebagai satu tragedi sedih yang terpaksa dilaluinya.

Kata Menteri Besar, Kerajaan Negeri amat bersimpati dengan apa yang menimpa Mohd Nashar dan keluarga. Kemudian Menteri Besar memberi jaminan untuk membantu Mohd Nashar menyiapkan segera rumah untuk kediaman mereka. Alhamdulillah itulah tanda dan lambang kecaknaan yang ikhlas dan terpuji Kerajaan Negeri kepada rakyatnya terutama rakyat pedalaman yang ditimpa kesusahan dan memerluan sokongan.

Yang ini bukan nak pertikai kerja kebajikan dan keprihatinan pihak Kerajaan Terengganu, jauh sekali untuk menafikan rasa simpati dan kelayakan Mohd Nashar sekeluarga untuk menerima prihatin dan bantuan Kerajaan. Cuma yang sedikit agak peliknya, kenapa baru sekarang dan kenapa hanya keluarga Mohd Nashar sahaja?

Apakah wakil rakyat kawasan tidak dimaklumkan (kalau sendiri nak ambil tahu, mungkin banyak kerja) tentang banyaknya lagi keluarga di Padang Pulut khasnya dan dalam DUN Rantau Abang serta Parlimen Dungun khususnya yang memerlukan simpati dan perhatian pihak Kerajaan lebih daripada kes Mohd Nashar ini. Dan kenapa baru sekarang, setelah sepenggal yang lalu wakil rakyat kawasan hampir-hampir tidak dibenarkan menjejaki kampung berkenaan dan beberapa kampung lain dalam DUN atau Parlimennya sendiri?

Apakah dalam kes simpati dan kemanusiaan sebegini pun ada agenda politik tersembunyi? Apakah terpaksa tunggu parti lawan menguar-uarkan akan membantu dulu baru nak bertindak? Mungkinkah pemimpin tempatan sengaja menggunakan peluang untuk menumpang publisiti? Ataukah kerana ada hubungan dengan pemilihan Bahagian Oktober ini, yang secara kebetulan cawangan kampung itu telah dirampas jawatan ketuanya oleh orang yang tidak memihak kepada Ketua Bahagian dan wakil rakyat kawasan?

Tetapi harap-harap jawapan kepada semua persoalan ini adalah tidak. Hendaknya sendiri jawab dan sendiri ikhlas.

YANG TIDAK BOLEH TENGOK COPONG

Ada majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Pegawai Daerah Dungun. Oleh kerana itu merupakan majlis rasmi kerajaan… saya ulangi majlis rasmi kerajaan….. saya ulangi majlis rasmi kerajaan… saya ulangi majlis rasmi kerajaan, maka saya pun turut hadir sama meraikan rasminya jemputan.

YAB Menteri Besar Terengganu pun dijemput sama menghadiri majlis rasmi berkenaan. Sudah tentu atas kapasitinya sebagai Menteri Besar bukan sebagai pemimpin parti politik. Jemputan rasmi Pegawai Daerah sudah tentu tidak dilupakan terdiri daripada kalangan ahli-ahli YB, pemimpin dan pembodek parti-parti politik, khususnya parti yang menguasai kerajaan hari ini, selain Ketua-ketua Jabatan / Pejabat, JKKK, Ubest, U tak Best dan segala orang mak nenek yang ada di Daerah Dungun tu.

Yang nak diceritakan berlaku dalam majlis rasmi kerajaan itu ialah ada di kalangan pemimpin parti politik yang tidak boleh tengok copong. Dengan tidak mengambil kira majlis tu majlis rasmi kerajaan atau tidak, kira nak berucap je. Yang lebih tidak fahamnya atau memang pemimpin parti itu sendiri tidak faham-faham atau tidak cerdik kefahaman, atas kapasiti apa pemimpin parti hendak sangat berucap dalam majlis rasmi kerajaan dan di kediaman rasmi kerajaan dan di hadapan tetamu rasmi kerajaan dan di hadapan tetamu istimewa utama kerajaan.

Kalau pemimpin itu memegang satu jawatan di peringkat pentadbiran kerajaan (persekutuan, negeri atau daerah), atau jadi Ahli Parlimen ke, ADUN ke, rasanya masih boleh diterima akal. Yang pasti, beliau hanya Ketua Bahagian parti politik. Kalau ya pun jiwa kepimpinannya berkobar-kobar dan kepetahan bercakapnya tercabar setiap kali tengok pembesar suara (copong), kuatkanlah iman dengan berastagfirullah dan bisikkan dalam hati “ini bukan majlis parti aku” atau “aku tak layak bercakap dalam majlis rasmi kerajaan gini, siapa aku?”

Mungkin si pemimpin ini rasa dia amat berkuasa dan boleh buat apa sahaja dengan jawatan politik yang dipegangnya. Atau mungkin dia memang perasan dan berperasaan bahawa dia mempunyai kedudukan dalam kerajaan. Atau dia TERperasan bahawa kerajaan Terengganu hari ini 'ana yang punya'.

Rasanya di daerah-daerah lain, Pegawai Daerah ada juga buat majlis seperti di Dungun ni dan YAB Menteri Besar ada juga dijemput hadir sama. Tapi tak terdengar pula atas kapasiti Ketua Bahagian, ada pemimpin daerah-daerah berkenaan dihalalkan ucapannya di hadapan khalayak. Wallahuaklam.

Isnin, September 15, 2008

YANG TERLAMPAU – KEBODOHAN, KESOMBONGAN DAN KEBODOHSOMBONGAN

Malam 13 September 2008, pukul 11.58 malam, saya menerima sms daripada teman saya di kampung. Mesejnya ringkas saja – mesyuarat semula cawangan Gong Pasir esok (14 September 2008) jam 9.00 pagi.

Dalam UMNO Bahagian Dungun, hanya dua cawangan yang bantahan Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan diterima. Satu cawangan Taman Setia, Bandar AMBS, dalam DUN Bukit Besi dan satu lagi cawangan Gong Pasir dalam DUN Rantau Abang.

Keputusan oleh UMNO Bahagian agar kedua-dua cawangan ini mengadakan semula persidangan diputuskan pada 7 September 2008. Dua cawangan ini perlu mengadakan persidangan semula selewat-lewatnya 14 September 2008, barulah cawangan berkenaan berstatus aktif dan berhak menghantar perwakilan ke Persidangan Bahagian nanti. Itulah peraturan.

(*****Sekadar catatan, kedua-dua cawangan ini mirip sokongan lebih kepada calon Ketua Bahagian yang akan mencabar.)

Untuk sementara kita tinggal cerita di Taman Setia kerana mereka sudah selamat mengadakan mesyuarat. Yang hendak diceritakan cawangan Gong Pasir dalam Dewan Undangan Negeri Rantau Abang.

Ketua Cawangan Gong Pasir atas sifatnya yang betul bendul dan betul sodek (almaklum Ustaz) pergi mendapatkan pandangan dan nasihat daripada YB Setiausaha Bahagian yang juga merangkap ADUN/wakil rakyat Rantau Abang yang juga merangkap Exco Kerajaan Negeri. Malangnya 'pandangan' YB Setiausaha Bahagian alias Wakil Rakyat DUN RANTAU ABANG alias EXCO Kerajaan Negeri ini langsung tidak mencerminkan kerasionalan pemikirannya dengan jawatan yang besar-besar itu. Jawapan yang diterima langsung tidak berpatriotik untuk kelangsungan perjuangan dalam UMNO.

Katanya mesyuarat tidak perlu diadakan lagi, nanti selepas Persidangan Bahagian baru kita tengok macam mana. (ini cawangan dalam DUN beliau sendiri - mungkin juga beliau menjawab dalam keadaan kecewa dan sudah bosan untuk jadi wakil rakyat. Tapi amat sesuai sekali dengan cerita yang berlaku di Cawangan YB sendiri - sehinggakan tidak ada ahli yang hendak menghormati beliau).

Namun atas desakan ahli-ahli cawangan yang ‘sayangkan’ parti, mungkin itu yang jadinya “notis” persidangan semula itu diterima hanya dalam tempoh kurang 2 minit 9 jam persidangan semula hendak diadakan.

Alahai YB… moral cerita sekali gus untuk mengenali YB dalam menangani kes kecil macam nin, mungkin boleh kita kata dengan nada yang lemah lembut dan penuh kesopanan :

Sebagai Setiausaha Bahagian - terlampau kebodohan YB...
Sebagai ADUN Rantau Abang - terlampau kesombongan YB...
Sebagai Exco Kerajaan Negeri - terlampau kebodohsombongan YB…

Ahad, September 14, 2008

YANG KE TAIWAN & TERTAWAN

Yang boleh dikatakan sahih ceritanya.

Hairan dan agak pelik, semua orang teramatnya orang-orang PM dan BN gelabah dengan gertakan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sampai menyempurnakan strategi tergempar membawa ahli-ahli Parlimen BN ke luar negara. Walau pun banyak mulut yang sudah berbuih menyatakan program BNBBC itu sudah lama dirancang, namun setitik air jatuh ke dahi, sudah tahu sejuk suamnya. Jawapan yang pelbagai, tarikh yang sekali begitu sekali begini dan tempat yang juga bertukar takir, menjelaskan jenis kegelabahan mereka.

Kepada rakyat pengundi yang diwakili, dikatakan YB mereka mengikuti lawatan sambil belajar. Ke Taiwan katanya - yang satu dunia dah tahu. Maknanya orang kampung semua dah tahu, ahli Parlimen mereka dah berangkat ke luar negara - Taiwan, negeri yang sebahagian besar rakyat kampung-kampungan tak tahu pun sebelah mana kedudukan geografinya dalam peta dunia, apa lagi nak jejakkan kaki. Tapi bila jadi Ahli Parlimen (terutamanya bagi yang baru), ke mana nak pergi, boleh dijejaki. Semuanya angkara Anwar Ibrahim yang tak putus-putus menyebut 16 September.... 16 September....

Di sebalik cerita, rupa-rupanya ada YB yang beritahu orang kampung beliau nak ke Taiwan, tertawan di Kuala Lumpur saja. Mereka ditawan oleh orang-orang tertentu dan dikurung di satu tempat yang tidak ada siapa yang tahu. Mungkin hanya kaum keluarga rapat dan orang-orang kanan YB saja yang tahu. Yang jelas sah sebahagian mereka ini telah tertawan oleh gertakan.

Siapa cerdik dalam hal ini, Pak Lah ke? pemimpin-pemimpin BN ke? Ahli-ahli Parlimen yang tertawan itu ke? Atau Anwar Ibrahim ke? Atau semuanya sah tidak cerdik dan kurang cerdik.

YANG MEMBERI SERIBU MAKNA PADA SEKEPING GAMBAR SEBARIS KATA



MENCARI KEHILANGAN

kaki yang menderapkan tapak di pinggir habour bridge
hanya mampu melihat rona petang
yang menoleh di belakang opera sydney
redup merah mentari yang mengintai di celah bumbungnya
hanya sekadar menelaah mimpi bangsa yang hanyut
di tengah hilau tawa warganya sendiri

kelip mata basah berisi sedu tak ternyata
hanyalah angan yang terpintal mengurung sepi
bayang mimpi yang menginsuk gelisah di belakang gelegar
ternyata bukanlah haknya yang pasti
tetapi masih beku menjadi milik mutlak pribumi
walau diungkit dengan seribu baris sejarah silam yang panjang

pasrah – hilang dirinya dicelah mentari senja sydney
adalah mimpi ngeri yang mengendung sejuta impian menggunung
menjunjung bangsa di tanah milik sendiri
di buminya tanah yang hilang sekangkang kera itu
masih memerah lembab menimbus maruah sendiri
dengan wajah sinis bangsa bumi dipijak ini

di mana dirinya menghilang?
masihkah berada di sebalik bumbung opera sydney
atau terus tergantung berayun di tengah-tengah tertegapnya
habour bridge yang menjadi kemegahan bangsa berdiri tegap itu
atau masih terus menggila mengilai di selimut mimpi yang masih panjang

mereka terus berjalan mengelilingi pusar angin senja
yang semakin sendu dan sayu hempasannya
tepat hinggap menyanggah dada warga asia yang masih berona
miskipun kalau di bumi sendiri siulan desir indah itu
hanya mengimbaskan helaian kertas tanpa sedikit pun menganjaknya

(masihkah ada ruang untuk mengejutkan sedar mimpi bangsa
yang terus menconteng walang)

Sydney, Australia
5 Mac 2006

YANG LOMPAT MELOMPAT

DIBERITAKAN sekurang-kurangnya dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Terengganu akan menyertai Pakatan Rakyat menjelang 16 September, tarikh yang disasarkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menguasai Putrajaya.

Dakwaan adanya Ahli Parlimen Terengganu yang akan melompat ke Pakatan Rakyat telah mula dibisikkan bukan sahaja oleh orang banyak malahan menjadi perbualan hangat di kalangan pemimpin UMNO Terengganu sejak lebih sebulan yang lalu.

Cakap-cakap mereka kemudian diperkuatkan oleh kenyataan ADUN PAS Kawasan Ladang Terengganu, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar ketika berceramah di Kampung Tanjung Sabtu, Manir, Kuala Terengganu baru-baru ini.

“Bahkan saya juga terdengar, bahawa kalau ada yang menyeberangi masuk Pakatan Rakyat, maka ada ahli-ahli parlimen negeri Terengganu juga paling kurang dua orang, akan melompat masuk Pakatan Rakyat“, katanya.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dan satu daripadanya dikuasai oleh PAS melalui Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang, manakala tujuh kawasan Parlimen lainnya dikuasai oleh UMNO (BN).

Kerusi Parlimen yang dikuasai BN/UMNO ialah Parlimen Kemaman diwakili oleh Dato’ Ahmad Shabery Cheek (Menteri Penerangan dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian), Parlimen Dungun (Matulidi Jusoh, Ketua Penerangan UMNO Bahagian) dan Parlimen Hulu Terengganu (Cikgu Mohd Nor Othman).

Selain itu, BN/UMNO juga menguasai Parlimen Kuala Terengganu (Dato’ Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran), Parlimen Kuala Nerus (Dato’ Nasir Ibrahim, Ketua UMNO Bahagian), manakala Ketua UMNO Bahagian Setiu yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie di Parlimen Setiu.

Parlimen Besut pula mengekalkan penyandang 2004, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Dato’ Dr Haji Abdullah Mat Zin.

Siapakah daripada ketujuh-tujuh Ahli Parlimen BN/UMNO yang disenaraikan di atas dikatakan bakal menyertai Pakatan Rakyat dan apakah kemungkinan faktor-faktor tarikan dan tolakan yang boleh menyokong menafikan kesetiaan mereka kepada BN/UMNO sehingga tindakan keluar parti terpaksa menjadi jalan terakhir mereka.

Mungkin faktor utama ialah kelemahan Pak Lah sendiri. Dalam konteks di Terengganu, Pak Lah dilihat gagal semenjak pengumuman calon bertanding dalam PRU ke-12 lagi. Kekalutan itu berlarutan sehingga membawa kepada kemelut perlantikan Menteri Besar Terengganu.

Kegagalan Pak Lah menyakinkan istana untuk meletakkan Idris sebagai Menteri Besar menyerlahkan kelemahan Pak Lah, apa lagi umum mengetahui Idris adalah pilihan Pak Lah. Tambah parah apabila Dato’ Ahmad Said, calon bukan pilihan dan bukan kehendak Pak Lah dilantik Istana sebagai Menteri Besar menggantikan Idris.

Tamparan hebat ini bukan sahaja dirasai oleh Pak Lah malahan tempiasnya sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi. Pro dan kontra dapat dilihat. Ahmad Said terpaksa mengharungi getir perjalanan yang tidak mudah untuk menjejaki kaki ke tingkat 16, Wisma Darul Iman.

Insiden ini sudah pasti, banyak orang termasuk Ahli Parlimen dan menjadi orang Idris yang masih setia turut sama merasai kekecewaan dan marah kepada Pak Lah, malah tidak melampau kalau dikatakan mereka ‘tidak menyukai dan enggan mengiktiraf Ahmad Said’.

Boleh dikatakan keseluruhan calon ahli Parlimen di lapan (8) Parlimen dalam negeri Terengganu adalah ‘orang Idris’. Atau kalau ada yang enggan mengakui dan telah mulai marah kerana dilabelkan sebagai orang Idris, mahu tidak mahu, mereka perlu mengakui bahawa mereka telah dicalonkan oleh Idris dan tujuh daripadanya menang dalam PRU.

Idris selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Pengerusi BN Negeri ketika itu telah mencalonkan mereka dan kemudian telah dipersetujui oleh Pak Lah. Kerana itu, tidak mustahil masih ada beberapa Ahli Parlimen yang kecewa dengan Pak Lah dalam kes ini dan Pak Lah tidak berjaya memulihkan keyakinan dan kekecewaan mereka. Mungkin mereka ini secara diam-diam merakamkan hasrat untuk tidak lagi bersama BN/UMNO.

Pak Lah juga gagal memberi alasan yang kukuh kenapa Dr Abdullah Mat Zin digugurkan daripada kabinet. Dr Abdullah orang agama, menang bertanding dan baru sepenggal berada dalam kabinet. Dr Abdullah juga masih menjadi Ahli Majis Tertinggi UMNO yang dilantik oleh Pak Lah.

Lebih malang, Terengganu sering dianaktirikan atau selalu didiskriminasikan dalam hal penganugerahan jawatan kabinet. Bukan sahaja di zaman Pak Lah, malahan sejak zaman Dr Mahathir lagi. Tetapi Pak Lah meneruskan dasar yang mengecewakan. Dari dulu, Terengganu tidak pernah mempunyai lebih daripada seorang Menteri, malahan ada ketikanya tidak mempunyai seorang Menteri pun.

Dr Abdullah digugurkan dan Terengganu diperuntukkan seorang Menteri dan dua Timbalan Menteri baru. Ahli Parlimen Kemaman dilantik sebagai Menteri Penerangan dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran. Seorang lagi Timbalan Menteri Dalam Negeri adalah Ahli Dewan Negara (Senator).

Kenapa Pak Lah tidak melantik di kalangan Ahli Parlimen yang menang sebagai Timbalan Menteri dari Terengganu? Pak Lah melantik Senator yang tidak bertanding ke jawatan Timbalan Menteri dan lebih memilukan lagi, kedua-dua Timbalan Menteri datangnya dari Kuala Terengganu.

Sedangkan di kalangan Ahli Parlimen yang ada, mereka bukan calang-calang orang. Sudah ada bekas Menteri, ada yang sudah berpuluh tahun bergelumang dengan politik, ada bekas anggota Exco Kerajaan Negeri, ada Ketua Bahagian, ada anak kepada pemimpin tertinggi negeri, ada yang berkelulusan PhD atau Sarjana, malahan ada bekas pegawai tinggi kerajaan.

Namun Pak Lah tidak melihat itu sebagai prasyarat perlantikan mereka sebagai Menteri atau Timbalan Menteri. Dan ini mungkin mengecewakan mereka. Bagi mereka, pilihan terbaik ialah menyongsong arus walau pun mereka mungkin tidak dijanjikan apa-apa.

Kegagalan Pak Lah dan Menteri Besar Terengganu untuk memujuk dan memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen Terengganu juga mungkin antara faktor. Pak Lah dan Ahmad Said tidak memberi peluang kepada mereka sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah badan-badan Berkanun Kerajaan atau syarikat-syarikat Anak Kerajaan Negeri.

Sebaliknya Pak Lah dan Ahmad Said hanya nampak ‘orang luar’ untuk dilantik atau mengagihkan jawatan yang berduit itu. Kalau sekadar sebagai Ahli Parlimen “bodoh”, bagaimana hendak menjaga survival politik dan memenuhi kehendak rakyat? Jawapannya, “alang-alang aku tidak dapat apa-apa, lebih baik semua tidak dapat”.

Kelemahan pimpinan pusat dan negeri terus diperkatakan. Kali ini, Pak Lah dan Ahmad Said gagal menghalang mereka daripada ditentang dalam pemilihan UMNO 2008. Sebahagian mereka adalah Ketua Bahagian. Sebahagian lagi adalah Timbalan dan Naib Ketua Bahagian. Mereka akan digempur sengit dalam pemilihan bahagian Oktober ini.

Ahmad Said hanya mengeluarkan kenyataan supaya jawatan Ketua Bahagian tidak ditentang dan untuk jawatan-jawatan lain tidak dinyatakan. Nasihat Ahmad Said itu tidak dihiraukan. Itu kelemahan Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri sedangkan beliau mempunyai “cara dan kuasa” tertentu untuk menundukkan mereka.

Dan tidak mustahil, kalau pun mereka tidak berpaling menjelang 16 September ini, mereka akan mengambil keputusan yang sama selepas mereka tersungkur pada Oktober atau November nanti.

Dalam kes kepimpinan di peringkat negeri ini juga, Ahmad Said selaku Pengerusi Badan Perhubungan Negeri tidak memberi peluang untuk mereka berjawatan di dalam parti. Ahmad Said rela melantik pegawai-pegawai kanan parti bukan di kalangan mereka. Mereka merasa terpinggir, apa lagi mereka yang tidak berjawatan apa-apa di peringkat Bahagian.

Mungkin itu antara faktor yang memungkinkan seorang atau dua atau mungkin LIMA daripada Ahli Parlimen Terengganu bakal menyeberang jambatan yang telah dibina rakyat untuk mereka ke tanah Pakatan Rakyat.

Apa pun alasannya, seperti kata seorang kawan, “pada pendapat aku bab lompat melompat tak salah malah bermaruah jika sekiranya ia sebagai jalan untuk mengembalikan hak rakyat dari dipimpin oleh manusia lemah yang menggelapkan mahsul negara untuk kepentingan kroni bukan untuk rakyat”.

YANG BENAR DERHAKA @ DEMOKRASI?

APABILA Yang Amat Berhormat Datuk Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menasihatkan supaya tidak berlaku pertandingan dalam pemilihan di peringkat Bahagian-bahagian dalam negeri Terengganu, pelbagai reaksi pro dan kontra dapat didengar.

Keputusan supaya tiada pertandingan, selain beberapa kali diucapkan oleh Ahmad Said dalam majlis-majlis rasmi parti orang Melayu terbesar negara itu, juga dikatakan telah disuarakan dan diperolehi keputusannya secara konsensus dalam mesyuarat pertama Badan Perhubungan UMNO Negeri yang dipengerusikan oleh Ahmad Said, selepas beliau mengambil alih jawatan berkenaan daripada Datuk Idris Jusoh.

Persoalannya sekarang, apakah Ahmad Said mempunyai muslihat tertentu untuk ‘menyelamatkan’ Ketua-ketua Bahagian sedia ada daripada terus tersungkur atau niatnya memang murni dan ikhlas untuk melihat perpaduan dan kekuatan parti?

Umum mengetahui beberapa Ketua Bahagian di Terengganu, khususnya Ketua-ketua Bahagian yang dilabelkan sebagai telah dicantas oleh Idris Jusoh untuk bertanding dalam PRU, menjadi antara pendokong kuat Ahmad Said dalam kemelut perlantikan Menteri Besar Terengganu selepas PRU ke-12 lalu.

Demi menyelamatkan maruah mereka daripada terus berkubur dalam arena politik Terengganu, selain membalas budi dan jasa kerana sokongan mereka dalam kemelut perlantikan Menteri Besar, Ahmad telah membuat percaturan hidup mati dengan menggunakan platform paling tepat dan selamat dan sekali gus dilihat oleh sesetengah pemerhati politik sebagai sengaja mewujudkan pertembungan dasyat antara kem Ahmad Said dan kem Idris Jusoh.

Sesetengah pendapat mengatakan bahawa kenyataan dan harapan Ahmad Said untuk tidak melihat adanya pertandingan jawatan utama dalam pemilihan Bahagian Oktober nanti hanyalah provokasi untuk menghalalkan cara bagi terus mengekalkan orang-orang kanan mereka dalam kepimpinan UMNO di semua Bahagian, sekali gus memastikan kedudukan beliau selaku Menteri Besar akan lebih terjamin dan selamat.

Hasil daripada kenyataan dan harapan Ahmad Said itu, banyak persoalan yang agak sukar dijawab dan dijelaskan untuk memuaskan hati banyak pihak.

Tafsiran apa sebenarnya yang demikian sukar dijelaskan. Bagaimana bentuk kompromi dan tunjuk teladan yang boleh dipatuhi, kemudiannya menjadikan hasrat menggunung Ahmad Said dapat diakuri sepenuhnya. Jika ini dapat dihuraikan, diyakinkan dan diperincikan sebaiknya kepada pemimpin dan ahli UMNO di peringkat akar umbi, Ahmad Said akan dihormati dan air liurnya akan menjadi masin.

Mari kita meretrospeksi semula beberapa persoalan yang ditimbulkan banyak pihak lanjutan daripada kenyataan Ahmad Said itu. Pertama, tidak ada pertandingan atau tidak menyanggah Ketua Bahagian sedia ada? Persoalan ini tidak menjurus kepada satu lapis tafsiran sahaja.

Mungkin maksud tidak ada pertandingan yang menjadi hasrat Ahmad Said itu ialah agar kedudukan Ketua Bahagian sedia ada perlu dikekalkan status quo mereka dan tidak dicanggah. Dengan itu, akan terselamatlah Ketua-ketua Bahagian yang bermati-matian menyokong beliau sebagai Menteri Besar sekali gus menenggelamkan dinasti Idrisisme.

Tetapi itu hanyalah tafsiran sebelah. Pada sebelah yang lain, mereka mentafsirkan bahawa tiadanya pertandingan itu, tidak bermakna mengekalkan Ketua Bahagian sedia ada.

Dalam hal ini, calon-calon atau mereka yang berhasrat untuk bertanding jawatan Ketua Bahagian termasuk Ketua Bahagian yang berhasrat mengekalkan jawatan, perlu duduk semeja, bermuafakat dan bermuzakarah bersemuka mencari formula terbaik berdasarkan beberapa kriteria yang bersituasi menang menang (win win situation) dan akhirnya memutuskan siapa yang sepatutnya ke hadapan sebagai Ketua dan siapa pula yang perlu berundur dengan terhormat, rela hati, jujur dan ikhlas, waima kalau diputuskan penyandang sedia ada perlu berundur sekali pun. Barulah namanya tidak ada pertandingan dan mematuhi kehendak Pengerusi Badan Perhubungan negeri.

Kedua, apabila kriteria menjadi pertaruhan, apakah jumlah pencalonan boleh diambilkira sebagai salah satu kriteria yang dimaksudkan? Jawabnya mungkin boleh atau mungkin amat tidak boleh. Boleh kalau pencalonan daripada cawangan-cawangan yang bersidang itu diberikan kebebasan sepenuhnya, seterusnya disahkan seratus peratus bebas daripada rasuah politik, ugut mengugut, lobi melobi, dan bebas daripada pelbagai macam cara yang tidak sihat.

Tetapi kalau anasir yang disebutkan di atas turut pula menjadi salah satu kriteria untuk mendapatkan pencalonan, maka aspek bilangan pencalonan cawangan wajib diketepikan sama sekali dalam senarai kriteria mengharamkan adanya pertandingan.

Ketiga, kenapa hanya jawatan utama Bahagian yang tidak perlu adanya pertandingan? Apakah yang dimaksudkan dengan utama itu? Apakah Ketua Bahagian sahaja? Jawatan Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian atau Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian serta Naib Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian apakah tidak diistilahkan sebagai utama?

Apakah kerana Ahmad Said daripada pengamatannya sendiri atau dengan mendapat pandangan daripada Ketua-ketua Bahagian sedia ada sekarang amat sedar bahawa orang-orang dalam dinasti Idrisisme masih merata di bahagian-bahagian dengan berjawatan kedua dan ketiga utama selain daripada Ketua Bahagian? Lantas bagi mengekang mereka ini daripada terus menyuburkan idealisme Idris, maka mereka dihalalkan ditentang?

Atau demi menyelamatkan maruah Ketua-ketua Bahagian sedia ada daripada terus berkubur dalam arena politik Terengganu, juga menunjukkan kepada penganut ideologi Idrisisme, bahawa Idris melakukan kesilapan besar bertindak mencantas mereka dalam PRU ke-12 lalu, selain hasrat murni Ahmad Said untuk membalas budi dan jasa kerana Ketua-ketua Bahagian sedia ada itu sahaja yang dilihat ke hadapan dalam mengharungi kemelut perlantikan Menteri Besar baru-baru ini?

Keempat, bagaimana pelan kompromi Bahagian Kuala Terengganu patut dijadikan panduan.

Sebelum persidangan cawangan-cawangan dan sebelum perlantikan jawatan-jawatan kanan oleh Ahmad Said dalam Badan Perhubungan UMNO Negeri, telah diuar-uarkan bahawa Datuk Zubir Embong (Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Terengganu) akan mencabar Ketua Bahagian sedia ada, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, manakala Senator Datuk Roslan Awang Chik pula akan mencabar kedudukan Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang sekarang disandang oleh Datuk Che Mat Jusoh.

Zubir Embong kemudiannya dilantik Ahmad Said sebagai Ketua Penerangan UMNO Negeri dan Roslan Awang Chik sebagai Bendahari.

Umum menganggap bahawa Wan Ahmad Farid yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri adalah daripada kem Idris Jusoh dan Zubir Embong menjadi antara master mind dalam percaturan meletakkan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu. Justeru pertembungan kedua mereka akan menjelaskan lagi episod pertembungan isme Ahmad Said dan Idris Jusoh.

Mungkin kerana Ahmad Said sempat menyedari bahawa arahan supaya tidak ada pertandingan di peringkat pemilihan Bahagian keluar dari mulutnya dan tidak mahu nampak terlampau jelas yang beliau terlalu bias kepada kemnya dalam membuat keputusan (walau pun beliau terlepas pandang bahawa ‘orangnya’ berhasrat merampas kerusi Ketua Bahagian Kuala Terengganu), maka pelan kompromi disusun elok.

Mudah saja alasan dan faktornya. Selain faktor inginkan perpaduan dan memperkukuhkan parti yang sudah demikian klise, alasan Zubir dan Roslan memberi laluan kepada penyandang sekarang adalah kerana kedua-dua mereka (Zubir dan Roslan) telah pun ‘mempunyai’ jawatan di peringkat negeri.

“Pangkat” mereka di peringkat Negeri dikira lebih besar daripada pangkat di peringkat Bahagian. Jadi untuk apa lagi mereka bertanding? Jalankan tugas melalui UMNO Perhubungan yang lebih menyeluruh. Boleh menjelajah ke seluruh negeri dan menjaga UMNO Negeri, bukan sekadar Bahagian.

Namun resmi Zubir Embong dan Roslan Awang Chik tidak pula dituruti oleh YBM Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu) dan Datuk Rosli Mat Hassan (Ketua UMNO Bahagian Dungun). Apakah Ahmad Said juga terlepas pandang kepada mereka berdua atau Ahmad ada alasan yang kuat untuk membenarkan mereka berdua mempertahankan jawatan Ketua di Bahagian masing-masing.

Isunya sekarang ialah ‘jangan ada pertandingan’ dan dalam kes Zubir dan Roslan, isunya mereka berjawatan di peringkat negeri. Kalau isu berjawatan di peringkat negeri didahulukan serta dijadikan satu lagi kriteria muafakat dan muzakarah dalam menentukan siapa perlu berundur dan memberi laluan untuk tidak adanya pertandingan, maka Tengku Putera dan Rosli Mat Hassan sepatutnya memberi laluan kepada pencabarnya di Bahagian masing-masing.

Apa tidaknya. Jawatan mereka sudah besar di peringkat negeri. Tengku Putera kekal sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Rosli Mat Hassan dilantik Ahmad menjadi orang penting dan amat sibuk sebagai Setiausaha. Barulah tidak ada pertandingan, tidak wujud sikap menderhaka dan akhirnya Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan - dirinya dan hasratnya akan dihormati.

Demikian gambaran kepada hasrat, harapan dan ‘saranan yang tidak dihormati’ dalam kemelut pemilihan yang akan dirempuhi di peringkat Bahagian Oktober nanti. Yang jelas, andai kekeliruan dapat dirungkaikan, kekurangjelasan itu dapat diterangkan, kekalutan dapat ditenangkan, segalanya dapat diselesai dengan sempurna.

Kalau segalanya itu masih berada pada status quo yang klasik dan banyak orang masih kurang berpuas hati dan teraba-raba untuk terus menjadi gulita, Ahmad Said dinasihatkan agar usah pedulikan lagi dengan kedegilan dan keras kepala pemimpin-pemimpin tertentu dan para pengikut mereka yang telah lama taksub untuk merealitikan pertandingan.

Persoalan akhir, apabila pertandingan diteruskan, apakah pertandingan itu melurusi lunas demokrasi atau menggambarkan satu bentuk tidak hormat dan menderhaka kepada Ketua atau derhaka kepada sesiapa?

Khamis, September 11, 2008

YANG BERNAMA AHMAD ISMAIL

Pukul 6.18 petang kelmarin (10 September), saya menerima satu mesej pesanan ringkas (sms). Saya kira orang lain pun mungkin ramai yang terima sms seperti ini. Saya perturunkan teks asal sms tu (kecuali dengan sedikit pembetulan ejaan/perkataan) Bunyi sms tu :

SIAPA DATO’ AHMAD ISMAIL?

UMNO dan Melayu jangan terperangkap. Ahmad Ismail BUKAN pejuang Melayu tetapi boneka Anwar yang menjadi gunting dalam lipatan. Anwar suruh Ahmad cetuskan ketegangan dalam BN untuk menarik parti komponen keluar menyertai pembangkang menjelang 16 September. Ahmad kawan lama Anwar. Dia digelar “toy boy Anwar” malah dia baik dengan adik Anwar iaitu Marzuki Ibrahim dan mempunyai syer dalam syarikat PENA. Ahmad Ismail banyak dapat projek dari Pak Sheikh masa dulu. Ketika mahu melawan Ghafar Baba, pemuda Bahagian Ahmad Ismail diberikan telefon bimbit dan motosikal Virago sebagai upah. Ini fakta yang tidak boleh dinafikan. Dia jadi kaya sebab Anwar. Dia jadi Ketua Bahagian sebab Anwar. Dia buat kecoh dalam BN sekarang pun kerana Anwar. Ini bukan soal Agenda Melayu tetapi permainan halus Anwar. Jangan ikut emosi. Ikut akal. Selamatkan perpaduan dan jangan biarkan Anwar musnahkan setiakawan BN demi cita-cita dia melalui peristiwa Ahmad Ismail ini. Jika BN hancur, bolehkah kestabilan negara dan perpaduan kaum terjamin di bawah kerajaan boneka DAP dan orang-orang yang jelas anti-Islam dalam PKR?

(Catatan : Ada lagi ke orang UMNO macam nin? Atau ada lagi ke orang macam nin dalam UMNO? Atau UMNO lagi ke? Atau ada lagi ke orang yang berfikir macam UMNO?)

YANG LEBIH SUSPEN UNTUK TERPECAT

Yang lagi suspen.

Setelah adiknya Jalaluddin Ismail menjadi bangkai AJK UMNO Bahagian Hulu Terengganu, YB Zawawi Ismail, ADUN Kuala Berang pun dijangka akan menerima nasib yang sama dengan mangsa-mangsa terdahulu dan yang sewaktu dengannya.

Zawawi Ismail dilantik oleh Tengku Putera sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian dan merupakan orang kanan kepada Dato’ Rosol Wahid yang berada dalam kem Cikgu Mohd Nor.

Bagaimanapun, Zawawi dijangka hanya akan menerima status sebagai ‘bangkai Ketua Penerangan’ UMNO Bahagian Hulu Terengganu di saat-saat akhir sebelum menjelangnya pemilihan Bahagian Oktober/November nanti.

Hal ini demikian disebabkan Tengku Putera pun baca politik tinggi. Zawawi adalah wakil rakyat yang sudah tentu pengaruhnya pun tidak mudah. Jangan pecat-pecat sebarangan Ku..

Maknanya YB Zawawi masih boleh bernafas sikit lagi dan yang penting, YB Zawawi masih boleh melaram dengan status Ketua Penerangannya untuk dibuat lawa pada hari raya nanti.

YANG BAKAL TERPECAT

Yang baru diterima.

Lanjutan daripada pemecatan tragis Setiausaha dan dua Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Hulu Terengganu, dikhabarkan akan ada lagi senarai menunggu yang akan menukar statusnya sebagai ‘bangkai AJK Bahagian’.

Masih ada 4 orang AJK Bahagian yang ‘dilantik’ oleh Ketua Bahagian. Daripada 4 orang tu, ada dua orang yang dikatakan mirip sokongannya kepada Cg Mohd Nor yang akan mencabar Tengku Putera merebut kerusi panas Ketua Bahagian.

Dua orang ini dikatakan sedang menunggu dengan tabah.

Rabu, September 10, 2008

YANG TERKINI DAN SENSASI

Yang baru diterima daripada sumber-sumber yang sahih dan boleh dipercayai.

Setiausaha UMNO Bahagian Hulu Terengganu telah dipecat daripada jawatannya. Alasan tidak menghadiri mesyuarat tiga kali berturut-turut.

Yang mungkin sebenarnya kerana bangkai Setiausaha ini telah menjadi wakil calon dan sokongannya lebih bermirip kepada seorang YB yang hari ini akan mencabar Ketua Bahagian sedia ada.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Bahagian turut dipecat. Alasannya masih disiasat.

Yang pasti, bangkai AJK ini ada pertalian keluarga dengan YB ADUN Kuala Berang yang dilihat lebih memihak kepada pencabar Ketua Bahagian.

Yang menariknya, sindrom pecat memecat "orang-orang tidak setia" kepada Ketua Bahagian dalam UMNO negeri Terengganu telah menular ke Bahagian yang akan dicabar pada pemilihan Bahagian nanti.

Yang sensasinya, terdahulu Ketua Bahagian Dungun telah memulai kerja pecat memecat ini. Yang lebih sensasinya kedua-dua Ketua Bahagian Dungun dan Hulu Terengganu ini dilihat sebagai orang-orang MB baru Terengganu.

Yang kita tunggu - orang tidak setia dari Bahagian mana pula selepas ini akan menjadi bangkai terbaru.

YANG TELAH DIPECAT

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sura, Ustaz Ahmad Kamal Abdullah antara dua yang ‘dipecat’ daripada jawatan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Dungun berkuatkuasa serta merta dalam usaha kepimpinan Bahagian membersihkan ‘orang tidak setia’ dalam UMNO Bahagian berkenaan.

Turut dipecat Setiausaha Veteran UMNO Bahagian Dungun, Abdul Samad Mamat. Kedua mangsa ini merupakan Ahli Jawatankuasa Bahagian yang dilantik atas kuasa Ketua Bahagian menepati fasal 15.12.1.5 Perlembagaan UMNO.

Bagaimanapun difahamkan, surat rasmi khusus berhubung dengan pemecatan mereka tidak dikeluarkan, sebaliknya hanya diketahui melalui salinan surat yang disalinkan kepada mereka bagi memaklumkan pengganti.

Ini bermakna, pemecatan mereka berdua dilihat telah dibuat secara tidak terhormat, apa lagi untuk mereka mengetahui sebab-sebab mengapa mereka dipecat dan digantikan dengan orang lain.

Melalui surat yang diterima, Ustaz Kamal yang pada ketika itu masih berjawatan Naib Pengerusi Penyelaras DUN Sura telah diganti dengan Rosli Harun, calon BN yang juga menggantikan beliau bertanding bagi kerusi DUN Sura pada PRU ke-12 lalu.

Bagaimanapun dalam PRU ke-12, Rosli gagal mempertahankan kerusi DUN Sura apabila beliau tewas kepada calon PAS Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dengan majoriti 1,000 undi.

Sekadar makluman, Pengerusi Penyelaras DUN Sura dipegang sendiri oleh Ketua Bahagian sejak 2004, walau pun Ustaz Kamal adalah ADUN Sura penggal 2004-2008.

Sementara veteran UMNO Bekas ADUN Sura (1986 – 1999) juga bekas Exco Kerajaan Negeri dan bekas Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Aziz @ Ibrahim Awang dilantik oleh Ketua Bahagian bagi menggantikan tempat Abdul Samad. Ibrahim juga adalah calon Parlimen Dungun dalam PRU ke-10, 1999 yang tewas kepada calon PAS, Datuk Mustaffa Ali.

Ketua Bahagian Datuk Rosli Mat Hassan merangkap Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri dipercayai mengambil tindakan demikian antaranya disebabkan kecenderungan Ustaz Kamal dan Abdul Samad yang lebih mirip kepada Datuk Din Adam dalam menghadapi pertembungan pemilihan Bahagian Oktober nanti.

Selain itu kalangan ahli parti juga berpendapat Rosli Mat Hassan sengaja mengambil tindakan itu sebagai tindakan “membalas dendam” dan sama-sama merasai bagaimana peritnya apabila menjadi mangsa “cantas mencantas”.

“Yang hairannya, kenapa ada Ahli Jawatankuasa Bahagian yang sudah disahkan muflis tidak dipecat atau diambil tindakan, malahan dilantik pula menjadi penggerak utama kempen mengekalkan Ketua Bahagian dan masih diberi peranan mewakili Bahagian ke persidangan cawangan-cawangan”, kata seorang ahli cawangan yang enggan namanya disiarkan.

Abdul Samad ketika dihubungi menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan berkeyakinan bahawa mungkin itulah keputusan dan tindakan terbaik yang telah diambil oleh Ketua Bahagian setelah difikirkan secara mendalam.

Abdul Samad adalah orang lama dan cukup matang dengan jatuh bangun dalam politik UMNO, khususnya UMNO Dungun dan pernah menjadi penyokong totok Rosli Mat Hassan di Bahagian Dungun.

“Saya akui bahawa kuasa melantik dan memecat adalah kuasa penuh Ketua Bahagian dan dalam hal ini, saya hormati tindakan Ketua Bahagian kerana beliau dengan bijaksana telah menggunakan kuasa itu sepenuhnya”, jelas Abdul Samad lagi.

Sementara itu, Ustaz Kamal gagal dihubungi bagi mendapatkan komen daripadanya.

(Catatan : telah diterbitkan dalam Mingguan Watan bilangan 03/08. Pakat beli Watan ramai-ramai deh…)
Related Posts with Thumbnails